You are on page 1of 13

AKADEMI PENGAJIAN MELAYU

JXEA 1104
FALSAFAH DAN LOGIKA MELAYU

KARYA MELAYU KLASIK:


HIKAYAT HANG TUAH

Nama Pelajar:
JOYNER ANAK SEDIN

No. Matrik :
JEA080028

No. Kumpulan Tutorial :


RABU(12.00-1.00 PETANG)

Nama Pensyarah :
DR. AMRAN MUHAMMAD

Nama Tutor :
CIK HADIJAH BT ABDUL RAHMAN
FALSAFAH DAN LOGIKA MELAYU

Perkataan falsafah berasal daripada bahasa Yunani atau Greek purba dan

pertama kali digunakan oleh Pythagoras[570-504 Sebelum Masihi(S.M)] iaitu ahli fikir

Yunani dalam abad ke-6 S.M. Perkataan falsafah mengandungi gabungan dua perkataan

iaitu “philo” bermaksud “cinta”, dan “sophia” bermaksud “kebijaksanaan”. Oleh itu

falsafah boleh diertikan sebagai “cinta akan kebijaksanaan”. Namun takrif ilmu falsafah

seharusnya lebih terperinci daripada pengertian yang begitu luas dan longgar itu.

KESUSASTERAAN HIKAYAT

Dalam perbendaharaan kesusasteraan Melayu tradisional, genre kesusasteraan

hikayat merupakan genre terbesar dari segi bilangannya. Menurut Hooykas(1940), genre

ini merujuk kepada “buku yang mengandungi fantasi India”. Emies(1952) pula

berpendapat “hikayat merupakan lanjutan daripada cerita-cerita lipur lara yang diperkaya

dengan jalinan unsure-unsur cerita asing”. Menurut Zalila Sharif et al. (penyelanggara,

1993) pula, sastera hikayat ini merupakan hikayat-hikayat yang berbentuk cerita atau

naratif, bersifat hiburan dan didaktik. Hasil genre ini jelas lahir daripada tradisi tulisan

berdasarkan banyaknya manuskrip atau naskhah yang terkumpul di pusat-pusat

dokumentasi naskhah Melayu di serata dunia.

Perkataan ‘hikayat’ berasal daripada bahasa Arab, hikaya. Makna asal yang

didukung oleh perkataan Arab ini ialah “pelbagai sejarah” tetapi menerusi peredaran

zaman maksudnya berubah menjadi cerita rekaan yang berunsur naratif dengan

kecenderungan menghibur yang ketara. Kesusasteraan hikayat ini dihasilkan dalam

bentuk prosa dan puisi. Oleh itu, karya kesusasteraan hikayat banyak membawakan cerita

ajaib yang berunsur hiburan hasil daripada imaginasi pengarangnya.


KESUSASTERAAN EPIK

Kesusasteraan epik juga dikenali sebagai kesusasteraan kepahlawanan. Genre

ini menceritakan wira dan kepahlawanan sesuatu bangsa. Dengan kata lain, watak yang

dikisahkan ialah wira bangsa dan lambang keagungan budaya bangsa sehingga menjadi

sanjungan dan sumber inspirasi masyarakat khalayaknya. Watak wira dilukiskan dengan

sifat yang begitu unggul sama ada dari segi keperibadian, ketokohan, kepintaran,

kegagahan, mahupun ketangkasan. Sifat yang dilukiskan ini dilebih-lebihkan sehingga

menjadikan watak berkenaan begitu sempurna. Kadangkala watak wira itu dikatakan

tidak mati dan dipercayai masih hidup hingga kini. Kesusasteraan epik ditulis dalam

bentuk puisi yang panjang. Sebaliknya, dalam konteks kesusasteraan Melayu tradisional,

genre ini ditulis dalam bentuk prosa. Kesusasteraan epik Melayu dapat diklasifikasikan

kepada epik kebangsaan dan epik bersumberkan Islam(Ismail Hamid, 1993).

Epik kebangsaan Melayu diwakili oleh Hikayat Hang Tuah. Dalam hikayat

ini dilukiskan kehebatan dan kehandalan tokoh Hang Tuah sejak zaman kecilnya

hinggalah ia “ghaib”. Beliau dibantu oleh empat orang sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang

Kasturi, Hang Lekir, dan Hang Lekiu. Zaman keagungan Hang Tuah melambangkan

keagungan empayar Melayu Melaka. Di samping itu, Hang Tuah juga merupakan

lambang kesetiaan bangsa Melayu terhadap rajanya yang tidak berbelah bagi terutama

dalam masyarakat Melayu feudal. Hang Tuah melindungi rajanya dari sebarang ancaman

sehingga sanggup mengadaikan nyawanya sekalipun.

KARYA MELAYU KLASIK:HIKAYAT HANG TUAH

Petikan daripada Hikayat Hang Tuah


“…..Hatta keesokan harinya, maka raja Melaka pun masuk menghadap

Betara Majapahit diiringkan oleh laksamana dan segala pegawai dan pertuanan.

Syahadan Seri Betara pun sudah keluar duduk di peseban dihadap oleh segala raja-raja

dan ceteria dan perdana menteri dan kesateria, sida-sida, bentara dan hulubalang. Maka

raja Melaka datang lalu duduk menyembah pada Seri Betara. Maka laksamana pun duduk

menyembah di bawah raja Melaka itu. Maka Patih Gajah Mada pun duduk di atas segala

raja-raja yang banyak itu.

Sebermula penjurit itu pun merampas arak tuak dijual arang di pesara itu.

Maka penjurit pun naiklah ke atas kedai merampas dan merebut. Apabila tiada diberinya

oleh yang empunya kedai itu, maka ditikamnya dan dibunuhnya. Hatta dengan demikian

gemparlah pasar itu, kerana banyak orang mati ditikam oleh penjurit itu. Maka sekalian

yang berkedai itu pun habis lari mengatakan orang mengamuk. Maka penjurit tujuh puluh

itu mengamuk; barang yang terlintang ditikamnya. Banyaklah orang mati dan luka. Maka

gemparlah terlalu huru-hara. Maka orang itu pun habis lari mengatakan orang mengamuk

terlalu banyak di tengah pesara itu, banyak orang mati dan luka.

Maka terdengarlah kepada Betara Majapahit bunyi huru-hara itu. Maka titah

Seri Betara, “Apa bunyi kedengaran itu terlalu riuh?” Maka sembah Patih Gajah Mada,

“Orang mengamuk tuanku, di tengah pesara; banyak orang mati dan luka, tiada

terkembari lagi.” Maka orang pun sebagai lari masuk ke peseban itu. Maka pintu peseban

pun ditutup oranglah. Setelah Seri Betara mendengar sembah Patih Gajah Mada demikian

itu maka Seri Betara pun memandang ke kiri dan ke kanan, lalu bertitah pada raja

Melaka, “Hai anakku, apatah jadi negeri ayahanda ini, habis mati dan luka? Jikalau

demikian ini, binasalah negeri.”


Setelah raja Melaka mendengar titah Seri Betara itu, maka baginda pun

memandang pada laksamana; laksamana pun menyembah lalu memekis, katanya, “Cis!

Manatah hulubalang Majapahit maka tiada terkembari orang mengamuk sekian ini?”

Maka laksamana pun berbangkit berdiri seraya disingsing tangan bajunya, lalu

menyembah pada raja Melaka; serta diselaknya penduanya lalu melompat terjun di atas

peseban lalu berdiri sambil berlari-lari pergi mendapatkan orang mengamuk itu. Setelah

datang ke tengah pasar itu, dilihat oleh laksamana banyak orang mengamuk itu. Maka

laksamana pun fikir dalam hatinya: “Ah, terkenalah aku oleh Patih Gajah Mada! Tetapi,

insya-Allah, tiada mengapa. Belum tanah Majapahit ini mengandung Si Tuah.”

Hatta maka dilihat oleh penjurit tujuh puluh itu seorang Melayu berlari-lari

dengan keris panjang dipegang; maka kata penjurit itu, “Inilah Melayu yang dikatakan

oleh Patih Gajah Mada itu.” Maka segera diusirnya akan laksamana; laksamana pun

undur sambil memarang, tetapi melihat ke belakang tempat bertahan. Dengan takdir

Allah Taala, maka laksamana pun bertemu dengan suatu lorong; pagarnya lorong itu batu

kiri kanan; luasnya telus seorang juga. Hatta maka laksamana pun segera menghunus

keris panjangnya lalu melompat ke dalam lorong itu bertahan. Maka penjurit tujuh puluh

itu pun beriring-iring masuk ke dalam lorong itu. Maka diparang oleh laksamana dengan

keris panjangnya putus lehernya terpelanting. Maka masuk pula hendak menikam, itu pun

dipancungnya. Dengan demikian, orang tujuh puluh itu pun habis mati tinggal tujuh

orang lagi di muka pintu lorong itu; tiada berani masuk. Maka laksamana pun segera

melompat keluar. Setelah dilihatnya akan laksamana sudah keluar itu, maka penjurit tujuh

orang itu pun berkeliling hendak menikam laksamana; laksamana pun melompat serta
diparangnya; ketujuh orang itu pun mati: ada yang putus lehernya; ada yang putus

tangannya; ada yang penggal pahanya.

Maka Hang Jebat dan Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu pun datang

dititahkan oleh raja Melaka akan membantu laksamana. Tatkala itu laksamana pun lelah,

maka duduk pada sebuah kedai berhentikan lelahnya. Syahadan kerisnya pun tiada

tersarung lagi dan tubuhnya pun berlumur dengan darah. Maka Hang Jebat, Hang

Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu pun datang serta menangis, seraya diciumnya kepala

laksamana dan disapunya darahnya pada tubuhnya laksamana itu. Maka keris pada

tangan laksamana pun dibawanya pulang diusungnya. Setelah sampai ke peseban, maka

dilihat oleh raja Melaka Hang Jebat datang mengusung berempat-empat itu; maka raja

Melaka pun berdebar-debar hatinya. Maka laksamana pun melompat naik ke peseban itu

lalu kepada raja Melaka. Maka dilihat oleh Ratu Majapahit dan Patih Gajah Mada

laksamana datang itu; maka Seri Betara dan Patih Gajah Mada pun tersipu-sipu dan

gentar segala anggotanya. Maka titah Seri Betara, “Hai laksamana, pada bicara kita

seorang dua juga mengamuk itu. Jikalau kita tahukan tujuh puluh orang mengamuk itu,

masakan kita menyuruh laksamana seorang. Jika laksamana pergi pun, dengan alat

senjata kita suruhkan.” Maka Sahut laksamana, “Pada bicara patik ini, jangankan tujuh

puluh, jika seribu antara dua ribu sekalipun patik tidak endahkan; patik mudah juga

mengembari dia. Jika orang berani itu dengan mudahnya patik bunuh. Orang penakut itu

juga – inilah sukarnya patik akan mengembari dia; banyak budi bicaranya hendak

mengenai orang juga!”

Maka Seri Betara dan Patih Gajah Mada pun malu, di dalam hatinya: ‘Aku

juga dikatanya ini.’ Maka raja Melaka pun bermohon pulang ke istananya…..”
Sinopsis

Patih Gajah Mada dan Seri Betara telah merancang untuk membunuh Hang

Tuah. Pelbagai cara dan taktik telah dilakukan, namun usaha untuk membunuh Hang

Tuah sentiasa menemui kegagalan. Suatu hari, Patih Gajah Mada memanggil tujuh puluh

orang penjurit untuk memberikan tawaran supaya membunuh Hang Tuah. Penjurit-

penjurit itu diarahkan untuk membuat kekecohan dan mengamuk di pasar. Oleh kerana

Majapahit tidak mempunyai pahlawan untuk menghalang dan menumpaskan penjurit-

penjurit yang mengamuk itu, maka raja Melaka menitahkan Hang Tuah agar menghalang

amukkan penjurit-penjurit itu dan menyelamatkan rakyat Majapahit. Apabila penjurit-

penjurit itu melihat kemunculan Hang Tuah di pasar itu, mereka cuba membunuh beliau

dengan pelbagai serangan tetapi semuanya hanya sia-sia. Sebaliknya, mereka yang

berjaya ditumpaskan oleh Hang Tuah.


KUPASAN FALSAFAH(HIKAYAT HANG TUAH)

Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah karya Melayu klasik yang ingin

saya kupas. Hikayat Hang Tuah ialah epik kebangsaan Melayu yang menggambarkan

kehebatan dan kehandalan tokoh Hang Tuah sejak beliau masih kecil lagi. Beliau dibantu

oleh empat orang sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, dan Hang

Lekiu. Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya merupakan lambang kesetiaan bangsa Melayu

terhadap rajanya yang tidak berbelah bagi terutama dalam masyarakat Melayu feudal.

Saya telah tertarik dengan watak dan perwatakan yang terdapat dalam kesusasteraan epik

ini. Oleh itu, saya menjadikan hikayat ini sebagai bahan kajian untuk saya kupas.

Kupasan yang saya lakukan adalah berdasarkan falsafah yang dipegang oleh watak utama

iaitu Hang Tuah dan watak lain yang menjadi watak sampingan untuk menghidupkan lagi

hikayat ini.

Berdasarkan Hikayat Hang Tuah yang saya kaji, saya mendapati bahawa

Hang Tuah berpegang kepada falsafah setia kepada raja. Beliau merupakan seorang

laksamana yang sentiasa setia di samping rajanya iaitu raja Melaka. Sebagai contoh,

Hang Tuah telah mengikut raja Melaka ke Majapahit untuk berjumpa dengan ayahanda

raja Melaka iaitu Seri Betara. Semasa berada di Majapahit, beliau sentiasa menemani raja

Melaka walau ke mana saja baginda pergi. Hang Tuah yang merupakan lambang

kesetiaan bangsa Melayu sentiasa melindungi rajanya dari sebarang ancaman sehingga

sanggup mengadaikan nyawanya sekalipun.Beliau merupakan seorang laksamana yang

tidak pernah ingkar akan arahan rajanya dan sentiasa mematuhi segala titah rajanya.

Contohnya, raja Melaka telah menitahkan agar Hang Tuah menghalang penjurit-penjurit

yang melakukan kekecohan dan mengamuk di pasar. Sebagai seorang rakyat yang akur
akan arahan pemimpan, Hang Tuah pergi ke pasar itu untuk menumpaskan penjurit-

penjurit yang mengamuk dan seterusnya menyelamatkan rakyat jelata.

Di samping itu watak Hang Tuah juga dilukiskan mempunyai falsafah lain.

Dalam hikayat ini, Hang Tuah turut dikagumi kerana kebijaksanaan beliau dalam segala

hal. Hal ini dapat dibuktikan semasa Hang Tuah menyembah Seri Betara untuk

berceritera tentang perintah segala raja-raja dahulu kala. Dalam keasyikkan Hang Tuah

berceritera, Patih Gajah Mada telah mengatur rancangan jahat untuk mengambil keris

Hang Tuah tetapi malangnya dia telah masuk dalam perangkapnya sendiri apabila Hang

Tuah terlebih dahulu mengesan rancangan kotor Patih Gajah Mada lalu mengambil keris

Patih Gajah Mada secara senyap-senyap. Akibat daripada peristiwa itu, Patih Gajah Mada

telah mendapat malu kerana cuba mengenakan Hang Tuah. Untuk menutup rasa malu,

Patih Gajah Mada memberitahu Hang Tuah bahawa itu hanyalah satu gurauan supaya

Hang Tuah tidak mengesyaki apa-apa.

Malah, watak Hang Tuah mempunyai ketangkasan sebagai seorang

pahlawan. Hal ini dapat dibuktikan apabila beliau yang hanya seorang diri berjaya

menumpaskan tujuh puluh orang penjurit yang mengamuk di pasar. Hang Tuah

mempunyai taktik tertentu untuk menumpaskan penjurit yang ramai itu. Pada mulanya

beliau berundur untuk mencari tempat bertahan. Beliau telah menemui satu lorong yang

hanya muat untuk seorang manusia sahaja dan pagar lorong itu diperbuat daripada batu.

Hang Tuah masuk ke dalam lorong itu untuk bertahan. Tujuh puluh orang penjurit itu

juga masuk ke dalam lorong itu secara beiringan. Dengan ketangkasan yang dimiliki,

Hang Tuah berjaya memancung kepala penjurit-penjurit tersebut.


Watak Hang Tuah juga digambarkan sebagai seorang yang pintar dan

cerdik. Sebagai contoh, dalam satu acara, Seri Betara telah cuba memabukkan Hang

Tuah tetapi rancangannya itu tidak membuahkan hasil. Walaupun telah diberikan

minuman itu secara bertubi-tubi, namun ianya tidak dapat memabukkan Hang Tuah. Hal

ini kerana, Hang Tuah merupakan seorang yang bijaksana; walau diberi racun sekalipun,

apabila diminumnya, akan jadi penawar. Semua pegawai dan priayi yang berada di istana

itu turut cuba memberinya minuman untuk membuat beliau mabuk tetapi beliau masih

dalam keadaan normal dan waras. Sebaliknya, pegawai dan priayi itu yang mabuk hingga

tidak sedarkan diri.

Selain itu, watak Hang Tuah dilukiskan mempunyai kehebatan dan

kehandalan dalam melawan musuh yang cuba menghuru-harakan sesebuah tempat.

Hal ini dapat dibuktikan apabila Seri Betara telah menyuruh seorang penjurit yang

mempunyai kesaktian yang tinggi untuk membunuh Hang Tuah tetapi rancangan itu tidak

berjaya. Penjurit yang dimaksudkan ialah Sang Winara Semantera; merupakan guru

segala penjurit. Sang Winara pergi ke kampung raja Melaka untuk membunuh Hang

Tuah. Kedatangan Sang Winara dapat dikesan oleh Hang Tuah melalui firasatnya dan

beliau menasihatkan sahabat-sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan

Hang Lekiu agar berhati-hati. Semasa beliau menasihatkan sahabat-sahabatnya, Hang

Tuah melihat kelibat seseorang berhampiran pagar. Orang itu ialah Sang Winara. Sang

Winara tidak sempat lari lalu menjadikan dirinya tunggul kayu. Hang Tuah memarang

tunggul kayu itu dengan kerisnya. Sang Winara kemudian bertukar menjadi anjing

manakala laksamana menjadikan dirinya harimau lalu mengusir anjing itu keluar dari

kampung. Dengan kehebatan dan kehandalan yang dimiliki oleh Hang Tuah Sang Winara
berjaya dibunuhnya iaitu dengan memenggal kepala dan kedua-dua belah bahu Sang

Winara. Oleh yang demikian, kehandalan yang dimiliki oleh beliau tidak boleh

dipertikaikan lagi apabila berjaya membunuh guru segala penjurit.

Watak Hang Tuah juga mempunyai keperibadian yang mulia dan digemari

orang ramai di samping mempunyai ketokohan sebagai pemimpin untuk memimpin

sesebuah negeri. Keperibadian mulia yang dimilikinya dapat digambarkan apabila beliau

tidak berat tulang untuk menyumbangkan tenaganya dan sumbangan dalam bentuk lain

untuk menolong rakyat jelata yang memerlukan pertolongannya. Malah Hang Tuah

mempunyai ketokohan sebagai pemimpin apabila beliau sentiasa bersedia berbakti

kepada nusa dan bangsa demi keamanan negerinya. Beliau juga merupakan ketua kepada

sahabatnya yang lain dan ini jelas memperlihatkan dirinya sebagai seorang yang

mempunyai tokoh kepimpinan dalam dirinya sendiri untuk memimpin sesebuah negeri.

Negeri tersebut pasti aman dan makmur kerana mempunyai seorang pemimpin yang

berwibawa seperti Hang Tuah.

Di samping itu, watak Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan

Hang Lekiu dilukiskan sebagai orang yang berpegang pada falsafah semangat

setiakawan. Hal ini dapat dibuktikan apabila Hang Tuah terpaksa berhadapan dengan

penjurit seramai tujuh puluh orang. Atas dasar setiakawan, Hang Jebat, Hang Kasturi,

Hang Lekir dan Hang Lekiu datang untuk membantu Hang Tuah. Tetapi pada masa itu

Hang Tuah telah berjaya menumpaskan semua penjurit itu. Beliau duduk di kedai untuk

menghilangkan rasa lelahnya dengan badan yang berlumuran darah. Para sahabatnya

yang baru datang terkejut melihat keadaan beliau dan mereka menangis sambil mencium

kepala Hang Tuah. Mereka menyapu darah yang melumuri tubuh Hang Tuah. Tindakan
ini jelas menunjukkan bahawa betapa tebalnya semangat setiakawan antara mereka.

Setelah mengkaji Hikayat Hang Tuah ini secara mendalam, saya telah mendapat satu

rumusan bagi menyimpulkan keseluruhan kisah dalam hikayat ini.

Kesimpulannya, Hikayat Hang Tuah telah merungkai banyak falsafah untuk

dijadikan pegangan hidup manusia. Falsafah yang pada dasarnya membawa maksud cinta

akan kebijaksanaan akhirnya mempunyai pengertian yang begitu luas dan mendalam

apabila kita dapat menggali makna falsafah sehingga ke akar umbinya. Dalam hikayat ini,

watak Hang Tuah berpegang pada falsafah kesetiaan kepada raja sehingga sanggup

mengorbankan diri, kebijaksanaan dan kepintaran dalam mencari tahu kelemahan yang

ada pada musuh, ketangkasan dalam bermain senjata iaitu keris yang digunakan semasa

berlawan, kehandalan dan kehebatan menumpaskan pihak lawan, keperibadian yang

mulia dan ketokohan sebagai pemimpin serta semangat setiakawan yang erat dapat

menghasilkan sebuah masyarakat yang sejahtera di samping mengekalkan keamanan

dalam sesebuah negara. Hal ini kerana seorang tokoh yang berpegang pada falsafah yang

benar dan menjadikan falsafah itu sebagai panduan dalam kepimpinannya akan mampu

mengekalkan kedaulatan sesebuah negara.


BIBLIOGRAFI

Hashim bin Haji Musa, 2001. Falsafah, Logik, Teori


Nilai dan Etika Melayu (Suatu Pengenalan).
Universiti Malaya: Akademi Pengajian Melayu.

Kassim Ahmad (peny.), 1975. Hikayat Hang Tuah


Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Majlis Peperiksaan Malaysia, 2003. Mutiara Sastera


Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Siti Hawa Salleh, 1997. Kesusasteraan Melayu Abad


Kesembilan Belas. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Zalila Sharif dan Jamilah Haji Ahmad (peny.), 1993.


Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

You might also like