You are on page 1of 9

FALSAFAH DAN LOGIKA MELAYU

JXEA 1104

TAJUK: SINGAPURA DILANGGAR TODAK

NAMA: NOR HAFIZAN BT MD DESA

NO MATRIK: JEA080072
PENGENALAN

Karya klasik ‘Singapura dilanggar todak’ terkandung dalam teks Sejarah Melayu

atau Sulalatus Salatin yang telah dikarang oleh Tun Seri Lanang dalam bab empat ,

halaman 67. Kisahnya bermula semasa Tuan Jana Khatib yang merupakan seorang yang

mahir dalam ilmu agama telah datang ke Singapura. Di Singapura, Tuan Jana Khatib

berjalan di pekan Singapura sehinggalah ke pintu peranginan raja. Di situ, Tuan Jana

Khatib telah menilik atau merenung pohon pinang sehingga pohon itu terbelah dua dan

kejadian itu berlaku di hadapan permaisuri raja. Raja telah menitahkan hukuman bunuh

keatas Tuan Jana Khatib karana menganggap Tuan Jana Khatib sengaja ingin menunjuk-

nunjuk kebolehannya di hadapan permaisuri. Beberapa lama kemudian, Singapura

menerima bencana besar iaitu bencana serangan todak. Ramai rakyat jelata telah

terkorban. Nyawa rakyat terus melayang apabjla Paduka Seri Maharaja telah

memerintahkan rakyatnya berkotakan betis. Kemudian datang seorang budak yang pintar

mencadangkan agar mereka berkotakan batang pisang. Akhirnya berkat cadangan bernas

budak pintar tersebut, serangan todak telah berakhir. Tetapi budak tersebut telah dijatuhi

hukuman bunuh akibat hasutan para pembesar terhadap raja yang tidak berfikir panjang

tentang kebijaksanaannya yang di khuatiri akan menggugat raja apabila dia besar kelak.
Singapura Dilanggar Todak
Maka dipandangnya di pintu peranginan raja itu, ada seorang perempuan dilindungi oleh
pohon pinang gading; oleh Tuan Jana Khatib ditiliknya pohon pinang itu belah dua.
Setelah dilihat oleh Paduka Seri Maharaja perihal itu maka baginda pun terlalu murka;
titah baginda, “Lihatlah kelakuan Tuan Jana Khatib, diketahuinya isteri kita ada dipintu
maka ia menunjukkan ilmunya.” Maka disuruh baginda bunuh; Tuan Jana Khatib pun
dibawa orang akan dibunuh, hampir ujung negeri tempat orang membuat bikang; di
sanalah ia ditikam orang. Maka titik darahnya setitik, badannya pun ghaiblah. Orang
yang membunuh itu pun kembalilah, dipersembahkannya kepada raja. Maka oleh
perempuan yang membuat bikang itu, darah Tuan Jana Khatib yang titik itu ditutupnya
dengan bikangnya. Dengan berkat darah wali Allah, perempuan itu pun menjadi kayalah
dari harga bikangnnya; tutup bikang itu pun menjadi batu, ada sekarang di Singapura.
Ada diceriterakan orang, badan Tuan Jana Khatib itu terhantar di Lengkawi, ditanamkan
orang disana. Inilah dibuat orang pantun:
Telur itik dari Singgora,
Pandan terdandar di batang tui;
Darahnya titik di Singapura,
Badan terhantar di lengkawi.
Hatta tiada berapa lama antaranya, maka datanglah todak menyerang Singapura,
berlompatan lalu keparit. Maka segala orang yang di pantai itu banyak mati dilompati
todak itu; barang yang kena terus-menerus olehnya. Maka gempalah orang berlari-larian
ke sana kemari, semuanya mengatakan, “Todak datang menyerang kita; banyaklah sudah
mati ditikamnya.” Maka Paduka Seri Maharaja pun segera naik gajah, lalu baginda keluar
diiringkan segala menteri hulubalang sida-sida bentara sekalian. Setelah datang ke pantai,
maka baginda pun hairanlah melihat perihal todak itu, barang yang kena dilompatinya
sama sekali matilah. Maka terlalulah banyak orang yang mati ditikam todak itu, terus
berkancing ke sebelah. Adapun todak itu seperti hujan, usahkan kurang, makin banyak
orang mati.
Syahadan pada antara itu, datanglah seorang budak berkata, “apa kerja kita berkotakan
betis ini? ,Mendayakan diri kita. Jika berkotakan batang pisang alangkah baiknya?”
setelah didengar Paduka Seri Maharaja kata budak itu, maka titah baginda, “Benar seperti
kata budak itu,” maka dikerahkan baginda rakyat mengambil batang pisang diperbuat
kota. Maka dikerjakan oranglah berkotakan batang pisang. Maka segala todak yang
melompat itu lekatlah jongornya, tercacak kepada batang pisang itu; dibunuh oranglah
bertimbun-timbun di pantai itu, hingga tiadalah termakan lagi oleh segala rakyat. Maka
todak itu pun tiadalah melompat lagi. Pada suatu ceritera pada masa todak itu melompat,
datang ke atas gajah Paduka Seri Maharaja, kena baju baginda; maka diperbuat orang
seloka:
Cerek baju dilompati todak,
Baharu menurut kata budak.
Setelah itu maka Paduka Seri Maharaja pun kembalilah ke istana baginda. Maka sembah
Orang Besar-besar, “Tuanku, akan budak itu terlalu sekali besar akalnya. Sedang ia lagi
budak sekian ada akalnya, jikalau sudah ia besar betapa lagi? Baiklah ia kita bunuh,
tuanku.” Maka titih raja, “Benarlah kata tuan hamba sekalian itu, bunuhlah ia!”
Dalam kisah ‘Singapura Dilanggar Todak’, persoalan yang jelas terkandung di dalamnya

dari sudut falsafah ialah mengenai ketaatan dan kesetiaan terhadap tanggungjawab dua

golongan utama pada waktu itu iaitu golongan pemerintah dan rakyat biasa. Rakyat

jelata ialah golongan manusia yang dipimpin dan diperintah oleh sebuah institusi

tertinggi di dalam sesebuah negeri, daerah atau jajahan. Golongan pemimpin pada waktu

itu terdiri daripada para pembesar dan golongan bangsawan atau darah keturunan raja.

Sesebuah negeri memerlukan satu jalinan yang amat akrab daripada kedua-dua golongan

ini bagi membentuk sebuah kehidupan yang aman, stabil, dan harmoni.

Peristiwa todak yang telah membinasakan rakyat Singapura tersirat dengan

persoalan dan falsafah ketaatan serta tanggungjawab rakyat dan pemerintah. Contohnya

peristiwa di mana Tuan Jana Khatib dijatuhi hukuman bunuh oleh Paduka Seri Maharaja

akibat dianggap sengaja menunjukkan ilmunya. Keputusan yang di buat oleh Paduka

Seri Maharaja itu merupakan keputusan yang terburu-buru dimana dia tidak

menggunakan pertimbangan akal yang sepenuhnya sebaliknya hanya menggunakan

emosi semata-mata. Hal ini disebabkan dia tidak menyiasat terlebih dahulu perkara yang

sebenar lalu terus membuat keputusan tanpa soal selidik. Perbuatan Tuan Jana Khatib

yang merenung pohon pinang sehingga terbelah dua di hadapan permaisuri sebenarnya

terdapat dua kemungkinan. Pertama, kemungkin benar dia ingin menunjukkan ilmunya

dan yang kedua, mungkin itu adalah satu cara menjalankan tanggungjawabnya bagi

mengajak rakyat singapura untuk mendalami ilmu agama Islam. Hal ini berikutan Tuan

Jana Kathib merupakan orang cerdik pandai dan tinggi ilmunya dalam agama serta ilmu

khayal lillah. Jelas kelihatan adalah sifat cemburu raja yang sepatutnya diketepikan bagi

menjadi seorang pemimpin yang bijaksana menguruskan negerinya dengan penuh


tanggungjawab supaya aman makmur. Musibah atas perbuatan pemerintah itu telah

diterima dalam peristiwa serangan todak. Musibah yang diterima amat kukuh kerana

pemerintah telah menzalimi dan menganiaya rakyatnya.

Perkara ini telah terkandung dalam perjanjian penting dikenali sebagai waad

yang terkandung dalam teks Sejarah Melayu yang telah dipersetujui oleh Demang Lebar

Daun (rakyat) dengan Seri Teri Buana (pemerintah) sebelum ini, dimana golongan rakyat

tidak boleh menderhaka terhadap raja dan raja juga tidak boleh menghina dan menzalimi

rakyatnya. Contohnya sebagai balasan, rakyat yang melanggar waad akan menerima

balasan dan bencana daripada Allah, manakala raja yang melanggar waad akan

diterbalikkan negerinya. Hal inilah yang amat memerlukan pemerintah dan rakyat

menjalankan tanggungjawab mereka kapada negeri mereka yang tercinta dengan

bijaksana. Segala perlakuan mereka haruslah didasari dengan akal dan pertimbangan

yang waras.

Dalam waad ini, rakyat meminta raja tidak berlaku zalim kepada mereka. Begitu

juga dengan raja, yang meminta rakyat tidak derhaka kepada raja walaupun raja berlaku

zalim. Ini bermaksud kedua-dua pihak tidak boleh sama sekali mederhaka, malah

ketaatan adalah elemen terpenting. Berbalik kepada kisah ‘Singapura Dilanggar Todak’,

pelanggaran waad telah dibuat oleh Paduka Seri Maharaja (pemerintah) terhadap Tuan

Jana Khatib. Paduka Seri Maharaja tidak wajar bertindak membunuh rakyat tanpa usul

periksa serta yang bertentangan dengan hukum syarak. Perkara ini bermakna pemerintah

telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ketaatan terhadap perjanjian dan

pegangan serta amalan yang sepatutnya dijaga dan dihormati. Dari sudut falsafah,

Konsep waad ini sendiri sebenarnya mewajibkan rakyat dan pemerintah supaya cinta
terhadap kebijaksanaan malah mengamalkannya melalui kebaikan dalam kehidupan

seharian terhadap segala yang ada dalam alam semesta. Apatah lagi tujuan seseorang

dilahirkan ke dunia adalah sebagai wali Allah dan bertanggungjawap untuk

memakmurkan bumi Allah yang tercinta ini.

Waad melahirkan konsep “taat”, “derhaka”, “tulah,” dan “daulat.” Konsep-

konsep ini telah menjadi pegangan masyarakat melayu tradisional sejak zaman Demang

Lebar Daun dengan Seri Teri Buana sehinggalah ke zaman kerajaan Melayu Singapura

dan Melaka. Serangan todak yang melanda Singapura dianggap sebagai balasan atas

pelanggaran perjanjian, dan kezaliman terhadap rakyat. Sewaktu berlakunya serangan

tersebut, Paduka Seri Maharaja telah mengarahkan penduduk menahan serangan todak

tersebut menggunakan betis. Melalui tindakannya ini, dapat dilihat betapa ceteknya akal

dan pemikiran pemerintah ketika itu. Mujurlah terdapat juga golongan rakyat yang pintar

yang mempraktikkan dan mengamalkan ilmu serta kebijaksanaannya ke jalan yang

sepatuttnya dengan penuh tanggungjawab, manfaat dan faedah.

Peranan ini dapat dilihat dalam watak budak pintar yang telah memberikan idea

yang berjaya menyelamatkan negerinya yang tercinta. Dapat dilihat perwatakan budak

pintar ini yang amat lurus dan taat terhadap pemerintahnya. Dia juga amat

bertanggungjawap dalam melaksanakan peranannya sebagai rakyat dengan baik. Sikap

taat dan setianya amat dituntut supaya menjadi ikutan dan teladan setiap rakyat pada

waktu itu mahupun pada masa sekarang. Fakta ini jelas kerana selain sikap terpujinya

itu, dia juga seorang yang berani. Sungguhpun dengan usia yang muda itu, budak pintar

itu berani mengetengahkan ideanya tidak lain tidak bukan semata-mata untuk

menyelamatkan negerinya tanpa terfikir akannya akibat atau apa-apa perkara negatif.
Sikap si budak pintar ini amat berbeza sekali dengan Paduka Seri Maharaja yang mana

bersikap membahayakan rakyat dengan menyuruh rakyat berkubukan betis bagi

menghalang serangan todak. Bukan setakat itu, selain berfikiran cetek, Paduka Seri

Maharaja juga mudah terpengaruh dengan pembesar yang iri hati dengan si budak pintar.

Budi yang amat besar dibalas dengan kekejaman oleh para pemerintah. Terbuktilah sikap

pemerintah pada masa itu yang amat tidak bertanggungjawap, mementingkan diri, dan

tamak. Seharusnya masyarakat Melayu tinggi dengan segala budi, budi bahasa, budi

pekerti, budi baik, dan sebagainya berkaitan budi kerana budi memang amat penting dan

sinonim dengan masyarakat Melayu sehiggakan dibawa sampai mati. Kelihatan amat

ketara bahawa Paduka Seri Maharaja dan orang bawahannya tidak menjalankan

tanggungjawab terhadap rakyat seperti mana yang sepatutnya.

Perbuatan menzalimi rakyat itu sendiri adalah salah dan bertentangan dengan

agama Islam malah pemimpin yang gagal melaksanakan tanggungjawap serta menyalah

gunakan kuasa adalah dikira berdosa. Pembunuhan budak pintar ini telah menimbulkan

kesan kepiluan atau pathos. Perbuatan ini hanya memberi gambaran buruk terhadap

pemerintah. Hakikatnya, apa yang diharapkan dan perlu ada dalam diri seseorang

pemimpin adalah sikap-sikap terpuji dan nilai-nilai murni seperti penyayang, mengambil

berat,bertolak ansur, saling membantu dan bekerjasama bagi memakmurkan organisasi

dibawah lembayungnya. Sebelum memikul tanggungjawap ini lagi, seseorang pemimpin

itu harus memikirkan akan kemampuannya dalam kepimpinan kerana mereka harus sedar

bahawa tugas ini amat berat dan tidak boleh diambil mudah. Begitu juga halnya dengan

rakyat. Rakyat juga harus bertanggungjawab terhadap negeri tanah tumpahnya darah

mereka, terhadap pemimpin, dan sesama rakyat. Hal nilah yang digambarkan oleh budak
pintar yang memberikan idea yang bernas sehingga telah berjaya menyalamatkan

negerinya. Paduka Seri Maharaja telah bersetuju dengan cadangan tersebut Namun

sebutir permata ini telah lenyap akibat sikap para pembesar dan raja yang buta hati.

Pembesar yang iri hati telah menghasut Paduka Seri Maharaja agar membunuh budak itu

kerana dikuatiri pada masa akan datang budak itu akan merampas kuasa raja. Seharusya

mereka berbangga mempunyai rakyat dari golongan muda yang bergeliga otaknya,

kerana kelak dapat membantu menguat dan mengukuhkan kerajaan sedia ada.

Mungkin hal ini turut bergantung pada zaman dan waktu tertentu, yang mana

sistem beraja pada waktu itu amatlah disanjung tinggi. Perlanggaran pada sebarang titah

raja,taat setia serta ingkar suruhan raja, boleh dianggap sebagai menderhaka. Raja tidak

boleh dikaitkan dengan derhaka, sebaliknya boleh dikaitkan dengan zalim. Dalam

masyarakat Melayu tradisional yang berpegang teguh pada institusi feudal, penderhakaan

dianggap sesuatu yang hina. Darah rakyat yang menderhaka dihalalakan oleh raja untuk

dibunuh. Rakyat pada waktu itu lebih bersikap akur, taat, tunduk, serta patuh. Konsep

ini merupakan nilai hidup terpenting daripada kaca mata masyarakat Melayu tradisional.

Mereka menyerahkan diri dengan penuh taat setia tanpa membantah malah menyumbang

bakti yang tidak terbatas meskipun di luar kemampuan dan batas kemanusiaan serta

sanggup berkorban apa sahaja. Namun pemikiran seperti ini sudah tidak ada dalam

pemikiran masyarakat sekarang khususnya mayarakat Melayu. Raja masih dimuliakan

tetapi lebih terbatas dan begitu juga dengan rakyat yang tidak dianiaya sesuka hati malah

telah terpelihara hak dan kebajikan mereka. Kesimpulannya, kedua-duanya haruslah

memahami tanggungjawab, interaksi dan saling bergantungan antara mareka.


BIBLIOGRAFI

Tun Seri Lanang. Sulalatus Salatin, Sejarah Melayu. A. Samad Ahmad.


Kuala Lumpur; Dewan Bahasa dan Pustaka

You might also like