You are on page 1of 2

GERAKAN FEMINISME DI MALAYSIA

Oleh ABD. Rahim ABD. Rashid (DEWAN BUDAYA, OGOS 1998, BIL 8 JIL 20, M/S 10-11)

GERAKAN feminisme di Malaysia kuat dipengaruhi oleh gerakan feminisme di Barat, lebih
bermotif reformasi sosial dan politik golongan wanita. Gerakan ini didukung oleh wanita elit dan
menengah atasan yang berpendidikan tinggi. Mereka begitu tertarik kepada gerakan feminisme
di Barat yang membangkitkan soal keadilan sosial, kesaksamaan, hak kemanusiaan, hak wanita,
liberalisasi kaum wanita, dan pelbagai pendekatan yang berpusat pada kepentingan dan
pandangan yang memihak dan menyebelahi wanita. Dengan mengeksploitasi pelbagai isu yang
bukan sahaja bersifat gender bias,  kebanyakan pejuang gerakan feminisme terperangkap oleh isu
asas yang masih dihadapi oleh masyarakat negara membangun. Isu jantina yang menjadi
landasan perjuangan gerakan feminisme di Malaysia dapat diatasi sekali gus sekiranya isu asas
yang mencengkam masyarakat seperti kemiskinan, kemunduran, pemodenan, keadilan sosial,
dan pergeseran kelas sudah dapat ditangani dengan baik. Namun, ada pihak yang berpendapat
bahawa langkah menangani isu jantina perlu diberi keutamaan untuk membanteras kemiskinan,
kemunduran, merintiskan pemodenan, meluaskan keadilan sosial, dan mengurangkan pergeseran
kelas yang diwarisi oleh masyarakat membangun.

Beberapa gerakan feminisme yang dianjurkan di luar negara melalui persidangan


antarabangsa seperti di Beijing (1996) dan di Nairobi (1985) memberi kesan yang meluas
terhadap kemunculan gerakan feminisme di negara membangun. Satu jawatankuasa di peringkat
antarabangsa dibentuk bagi menghidupkan hala tuju perjuangan gerakan feminisme di negara
membangun. Dari semasa ke semasa, resolusi berkaitan dengan perjuangan feminisme diluluskan
untuk dikemukakan kepada pemimpin di negara mem~ bangun dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu untuk diterima pakai sebagai dasar pembaharuan dan perubahan bagi wanita. Dasar
jantina diluaskan dalam pelbagai bidang meliputi politik, kepemimpinan, pekerjaan,
profesionalisme, pendidikan, kurikulum pengajian jantina, dan sebagainya. Dalam keadaan
tertentu, gerakan feminisme yang bias serta mempunyai kecenderungan yang tidak sihat
mencetuskan semangat tidak puas hati dan meningkatkan prasangka dan permusuhan antara
kaum wanita dengan lelaki. Gerakan pembebasan wanita di Barat memulakan era baru peranan
wanita yang lebih luas yang mempunyai persamaan dengan lelaki.

Berbeza daripada gerakan feminisme di Barat, wanita dalam masyarakat Timur kuat
dipengarnhi oleh budaya dan agama yang mencorakkan peranan tertentu yang perlu dimainkan
oleh wanita. Walaupun angin pemodenan bertiup kuat dan mengubah perspektif baru peranan
wanita Timur, faktor keagamaan dan kebudayaan menjadi benteng pendidikan wanita tentang
kesetiaan, tanggungiawab, nilai hidup, peranan, fungsi, dan tugas yang membina yang perlu
dipertahankan oleh wanita dalam masyarakat moden. Pemodenan tidak bermakna membuang
semua tradisi hidup dan mengambil apa-apa sahaja yang dianggap moden oleh masyarakat Barat.
Wanita Timur tidak dikehendaki terlampau ekstrem dan membabi buta mengikut pengaruh
feminisme Barat. Kebebasan yang diberi kepada wanita tidak bermakna, jika bercanggah dengan
nilai dan norma masyarakat Timur yang kaya dengan kesopanan dan peradaban. Faktor
kebudayaan, sosial, dan agama amat berpengaruh dalam mencorakkan pergerakan feminisme dan
penonjolan isu jantina dalam masyarakat membangun.
Perspektif moral mempunyai kesan yang kuat ke atas pergerakan feminisme Malaysia,
khususnya. Masyarakat Timur tidak dapat menerima tindakan dan tingkah laku wanita yang
bercanggah dengan nilai budaya, keagamaan, dan etika yang bertopengkan perjuangan
liberalisasi menuntut hak individu, hak persamaan dengan lelaki, dan hak kebebasan seks yang
bercanggah dengan ajaran agama dan tamadun hidup ketimuran. Golongan feminisme tempatan
yang jahil tentang agama dan begitu terpengaruh oleh Barat sering mencemuh agama dan gagal
memahami pengajaran agama Islam dalam membawa perubahan nasib wanita yang amat jumud
kedudukannya pada zaman jahiliah. Pada zaman jahiliah moden, wanita diperalat dengan
pelbagai cara. Pergerakan liberalisasi wanita umumnya membuka ruang yang lebih luas kepada
eksploitasi wanita dalam pelbagai bidang. Wanita menjadi alat komersial yang begitu canggih
dan mudah digunakan untuk pelbagai tujuan. Dari satu segi, gerakan feminisme bertujuan untuk
melindungi kepentingan wanita yang semakin terancam, mengalami keruntuhan moral dan
akhlak, dan kehilangan idealisme dan hala tuju. Dari segi yang lain, gerakan ini bertujuan untuk
memberi lebih banyak kebebasan dan menuntut hak yang lebih luas mengatasi lelaki.

Gerakan feminisme di Barat umumnya mencerminkan kegagalan wanita dalam kehidupan


berkeluarga dan perkahwinan. Gerakan feminisme dapat dikira sebagai persaingan wanita
dengan lelaki. Eksploitasi wanita dari segi imej, status, moral, seks, dan biologikal, khususnya
melalui iklan perdagangan, mendorong perjuangan feminisme untuk menghapuskan sebarang
bentuk eksploitasi, diskriminasi, prejudis, stereotaip, berat sebelah, dan melemahkan semangat
yang berlaku dengan meluas terhadap wanita. Dari satu segi, terdapat kesedaran dan
kesungguhan untuk mengangkat dan membina status, imej, dan moral. Wanita merupakan aset
yang amat bernilai dan tenaga penggerak kemajuan. Wanita merupakan benteng pertahanan
moral dalam masyarakat yang berubah dan sering dilanda kegawatan dan kemelut sosial. Wanita
menjadi sumber inspirasi dan kasih sayang serta pembinaan masyarakat penyayang. Peranan
wanita sangat dikehendaki dan dipertahankan oleh masyarakat Timur demi kestabilan institusi
keluarga daripada tergugat dan runtuh seperti yang berlaku di kalangan masyarakat Barat.

DALAM arena politik, ketrampilan dan kebolehan wanita umumnya tidak menonjol. Dalam
banyak hal, wanita masih bergantung dan mengharapkan ihsan serta sokongan lelaki. Walaupun
terdapat sebilangan kecil pemimpin wanita yang cuba mengeksploitasi isu jantina sebagai modal
politik untuk meraih sokongan wanita, kebolehan pemimpin wanita untuk merobah imej negatif
dan stereotaip terhadap wanita masih belum berjaya. Dari segi biologinya dan emosinya, wanita
masih dikira lemah berbanding dengan lelaki. Faktor keemosian sering mengatasi kekuatan
intelektual apabila terpaksa berhadapan dengan isu yang mencabar kredibiliti sosial dan moral
mereka. Agenda penstrukturan semula sosial terhadap jantina menjadi semakin penting dan
mempengaruhi kecenderungan perkembangan jantina dan wanita dalam masyarakat moden
dengan menggunakan perspektif positif pembinaan imej, peranan, dan status wanita. Isu jantina
semakin menarik perhatian dalam kerangka pergerakan golongan reformis feminisme di
kebanyakan negara membangun yang dianggotai oleh golongan intelek dan kelas menengah
wanita yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat. Perspektif sosiologi yang berasaskan teori
fungsi pembiakan yang menekankan faktor biologi, perahan, dan status tradisional wanita dilihat
mempunyai pengaruh yang negatif terhadap pembinaan imej, fungsi, dan status baru wanita
moden yang membawa perubahan yang besar kepada kedudukan, status, dan peranan wanita.

You might also like