You are on page 1of 6

Perbezaan Pembelajaran Kolaboratif & Pembelajaran Koperatif

Pendahuluan

Pembelajaran kolaboratif dan pembelajaran koperatif sering digunakan dalam bilik kuliah maktab
perguruan dan kedua-dua jenis pembelajaran memainkan peranan yang amat penting dalam
pendidikan guru. Nanum demikian banyak guru pelatih masih kurang faham perbezaan kedua-dua
pembelajaran tersebut. Masalah ini menjadi lebih ketara menjelang musim menyiapkan kerja
kursus berportfolio di mana guru-guru pelatih akan meminta sesiapa sahaja untuk menyemak dan
menandatangani portfolionya. Alasannya ialah untuk memenuhi syarat kolaborasi lalu mendapat
markah yang lebih tinggi.

Lantaran itu, tujuan rencana ini adalah untuk menjelaskan persamaan dan perbezaan
pembelajaran kolaboratif dan pembelajaran koperasi agar amalan kedua-dua pembelajaran lebih
berkesan dan diharap pelatih akan mengaplikasinya dalam bilik darjah kelak.

Skop

Perbincangan dan pengajian tentang pembelajaran kolaboratif dan pembelajaran koperatif amat
luas. Ia sering dikaitkan dengan pembelajaran aktif, konstruktivisme, pembelajaran konteksual,
pembelajaran eksperiensial dan pembelajaran sosial.

Justeru itu, dalam rencana ini, skop perbincangan dihadkan kepada pengajaran dan pembelajaran dalam bilik
kuliah maktab perguruan sahaja. Ini bererti kolaborasi antara pensyarah dalam pembelajaran pelbagai disiplin,
penyelidikan dan pembangungan sekolah tidak diambilkira. Selain itu, kolaborasi antara pensyarah dan pelatih
dalam penyelidikan dan projek khas juga diketepikan.

Satu lagi aspek yang cuma dibincangkan sepintas lalu ialah penilaian, ciri-ciri pembelajaran kumpulan serta
berbagai-bagai bentuk pembelajaran elektronik. Begitu juga kolabori berpandukan WWW seperti Web Quest
dan sebagainya.

Contoh Kes

Untuk melihat perbezaan antara pembelajaran kolaboratif dan pembelajaran koperasi, adalah
baiknya jika kita meneliti satu contoh kes yang boleh menunjukkan perbezaan pelaksanaan kedua-
dua pembelajaran tersebut. Dayang Awang merupakan pelatih yang mengikut kursus Ilmu
Pendidikan di bawah bimbingan Dr. Sun Tan seorang pensyarah yang menggunakan prinsip-prinsip
pembelajaran koperatif. Dayang juga mengikuti kursus penulisan di bawah Dr. Star Bun yang
mengamalkan pembelajaran kolaboratif. Dalam kuliah Dr. Sun, Dayang dan ahli-ahli kumpulannya
melibatkan diri dalam aktiviti kumpulan yang berstruktur semasa mereka menyelesaikan masalah
atau mempelajari sesuatu kemahiran; sering kalinya Dayang diperuntukkan pranan spesifik dalam
kumpulan. Dalam kuliah pembelajaran kolaboratif Dr. Star, Dayang dan ahli-ahli kumpulannya
diminta untuk mengorganisasi usahasama dan berunding sesama ahli kumpulan tentang peranan
masing-masing untuk mengkritik dan membincangkan esei pelajar lain.

Bila ahli-ahli kumpulan sedang memainkan peranan masing-masing dan menjalankan aktiviti
berstruktur dalam kuliah pembelajaran koperatif, Dr. Sun beredar dari satu kumpulan ke satu
kumpulan yang lain untuk memerhati interaksi dan mendengar perbualan ahli kumpulan. Sekiranya
perlu, Dr. Sun akan mencampur tangan untuk membetulkan perjalanan dan hasil perbincangan.
Dalam kuliah pembelajaran kolaboratif, Dr. Star tidak memantau secara aktif kegiatan kumpulan
malah mengembalikan semua soalan kepada kumpulan untuk dibincangkan. Pada akhir kuliah, Dr.
Sun mengadakan sesi kesimpulan untuk merumuskan perjalanan kuliah dan aktiviti kumpulan; ada
kalanya kumpulan diminta menyampaikan secara lisan laporan ringkas tentang hasil dapatan atau
menyerahkan salinan hasil perbincangan kepada Dr. Sun untuk komen dan penilaian. Kuliah Dr. Sun
biasanya diakhiri dengan sesi plenari; pelajar-pelajar sendiri membuat rumusan dan melaporkan
hasil kerja perbincangan dan selepas itu menyimpan segala catatan perbincangan tentang
karangan yang dikritik untuk dijadikan bahan pembelajaran dalam kuliah akan datang.

Pada permulaan semester, Dayang dan rakan-rakan sekelasnya dalam kuliah Dr. Sun diberi latihan
tentang kemahiran sosial dalam kumpulan kecil seperti pendengaran aktif, dan memberi maklum
balas konstruktif kepada rakan sekumpulan. Dayang tidak menerima latihan formal tentang
teknik-teknik tersebut dalam kuliah Dr. Star kerana ia berpendapat pelatih-pelatih telah
memiliki kemahiran-kemahiran sosial yang asas untuk kerja-kerja kumpulan. Selain itu, dalam
kuliah Dr. Sun, pelatih-pelatih sering melakukan tugasan ‘pemprosesan’ kumpulan di mana pelatih-
pelatih menilai fungsi kumpulan dan bagaimana ahli-ahli kumpulan (secara individu atau kumpulan)
boleh memperbaiki paras penglibatan dan prestasi kumpulan. Dalam kuliah Dr. Star, tidak
terdapatnya sesi pemprosesan kumpulan kerana ia inginkan Dayang dan pelatih-pelatih lain
menyelesaikan konflik kumpulan atau isu-isu penglibatan ahli-ahli kumpulannya.

Dalam kuliah-kuliah hipotetikal yang baru dinyatakan, prosedur Dr. Sun dan Dr. Star
menggambarkan komitmen kepada pembelajaran aktif kumpulan kecil yang jelasnya berbeza
daripada nilai dan gaya kuliah tradisi. Kedua-dua pensyarah telah menyerahkan sebahagian
autoriti tradisi pengajar kepada pelatih. Keputusan yang diambil oleh kedua-kua pensyarah
bergandung kepada andaian tentang peranan pengajar, sifat pelajar, dan autoriti pengetahuan.
Bagaimanapun, amalan kedua-dua pengajar dan andaian-andaiannya berbeza kerana mereka telah
mengambil kaedah berbeza tentang pembelajaran kumpulan.

Berasaskan huraian kuliah Dr. Sun dan Dr. Star, maka jelasnya terdapat perbezaan di antara
pembelajaran koperatif dan pembelajaran kolaboratif. Mengikut Matthews et. al, antara
perbezaan-perbezaan yang boleh dikesan ialah:

Gaya, fungsi, dan darjah penglibatan pengajar;


Isu hubungan autoriti dan kuasa antara pengajar dan pelajar;
Setakat mana pelajar perlu dilatih untuk bekerja dalam kumpulan;
Bagaimana pengetahuan dibina dan diasimilasikan;
Isu-isu implementasi lain seperti pembentukan kumpulan, pembinaan tugasan, akauntabiliti
individu dan kumpulan, dan penilaian yang tepat.

Dalam pada itu, Matthews et. al juga mengenalpasti beberapa persamaan di antara pembelajaran
koperatif dan pembelajaran kolaboratif. Antaranya ialah:

Pembelajaran dalam bentuk aktif adalah lebih berkesan daripada penerimaan maklumat secara
pasif;
Pengajar memainkan peranan sebagai fasitator, jurulatih atau ‘bidan’ dan bukan ‘sage on the
stage’;
Pengajaran dan pembelajaran adalah pengalaman yang dikongsi di antara pengajar dan pelajar;
Menyeimbangkan syarahan dan aktiviti kumpulan kecil adalah bahagian penting dalam bilik
kuliah;
Penglibatan dalam aktiviti kumpulan kecil dapat membangunkan kemahiran berfikir aras tinggi
dan memantapkan kebolehan individu untuk mengaplikasikan pengetahuan;
Penerimaan tanggungjawab untuk pembelajaran sama ada secara individu atau kumpulan dapat
mengukuhkan perkembangan intelek;
Penyuaraan idea-idea sendiri dalam situasi kumpulan kecil mengayakan kebolehan pelajar untuk
merefleksi akan andaian dan proses pemikirannya;
Pembangunan kemahiran sosial dan kumpulan melalui pembinaan konsensus secara bertolak
ansur merupakan asas pendidikan liberal;
Keahlian dalam komuniti akademik yang suportif dapat meningkatkan kejayaan dan ingatan
pelajar; dan
Menghargai kepelbagaian atau diversiti bilik kuliah adalah mustahak untuk kehidupan
demokrasi berbilang bangsa dan budaya.

Perbincangan

Mengikut Panitz (1996), ‘Collabortion is a philosophy of interaction and personal lifestyle


whereas cooperation is a structure of interaction designed to facilitate the accomplishment of
an end product or goal’.

Pembelajaran kolaboratif  bukan hanya merupakan satu teknik dalam bilik darjah malah
merupakan suatu falsafah peribadi. Dalam semua situasi kolaboratif, orang berinteraksi dalam
kumpulan dan memerlukan penghormatan tentang kebolehan dan sumbangan ahli kumpulan.
Terdapatnya perkongsian autoriti dan penerimaan tanggungjawab di antara ahli kumpulan
terhadap tindakan kumpulan. Premis asas pembelajaran kolaboratif ialah pembinaan konsensus
melalui koperasi ahli kumpulan. Ini bertentangan dengan persaingan di mana setiap ahli cuba
mengatasi orang lain. Pengamal pembelajaran kolaboratif menggunakan falsafah ini dalam bilik
darjah, mesyuarat jawatankuasa, kumpulan komuniti, keluarga dan secara amnya apabila
berhubung dengan orang lain.
Pembelajaran koperatif didefinisikan sebagai satu set proses untuk membantu interaksi manusia
agar mencapai matlamat tertentu atau membangunkan produk yang spesifik. Ianya lebih terarah
daripada pembelajaran kolaboratif dan biasanya diawasi dengan teliti oleh pengajar. Walaupun
terdapat mekanisme untuk analisis kumpulan dan renungan kendiri, pendekatan teras
pembelajaran koperatif adalah berpusatkan guru manakala pembelajaran kolaboratif lebih
berpusatkan pelajar.

Spencer Kagan mengutarakan definisi pembelajaran koperatif dengan melihat kepada ‘creation,
analysis and systematic application of structures, or content-free ways of organizing social
interaction in the classroom’. Sesuatu struktur biasanya terdiri daripada langkah-langkah bersiri
dan setiap langkah ditentukan tingkah laku khas. Contoh-contoh strurktur yang biasanya
digunakan dalam bilik darjah ialah “Think-Pair-Share”, “Numbered Heads Together” dan
“Paraphrase Passpot”.

Mengikut John Myers (1991), pembelajaran kolaboratif mementingkan proses bekerjasama dalam
pembelajaran manakala pembelajaran koperatif menegaskan hasil atau produk pembelajaran.
Selain itu, pembelajaran koperatif  berasal usul dari Amerika Syarikat, khasnya berdasarkan
hasil karya John Dewey yang mengutarakan pembelajaran berunsur sosial serta pendirian Kurt
Lewin yang mengutamakan dinamika kumpulan. Bagi pembelajaran kolaboratif pula, asal usulnya
adalah dari United Kingdom, terutamanya syor-syor guru bahasa inggeris yang ingin membantu
pelajar bertindak balas kepada kesusasteraan dengan lebih aktif dan bertanggungjawab. Justeru
itu, pembelajaran koperatif berkecenderungan menggunakan kaedah kuantitatif yang meneliti
pencapaian pelajar iaitu hasil pembelajaran. Pembelajaran kolaboratif lebih cenderung
menggunakan pendekatan kualitatif yang menganalisa ucapan pelajar semasa ia mengkritik
sesuatu penulisan kesusasteraan atau sejarah. Di samping itu, menurut Meyers lagi, perbezaan
kedua-dua konsep adalah seperti berikut:

“Supporters of co-opertive learning tend to be more teacher-centered, for example when


forming heterogeneous groups, sturcturing positive inter-dependence, and teaching co-operative
skills. Collaborative learning advocates distrust structure and allow students more say in
forming friendship and interest groups. Student talk is stressed as a means for working things
out. Discovery and contextural approaches are used to teach interpersonal skills.”

Rocky Rockwood meninjau perbezaan pembelajaran koperatif dan pembelajaran kolaboratif dari
segi jenis isi kandungan yang dipelajari. Bagi Rockwood, pembelajaran koperatif digunakan dalam
pembelajaran pengetahuan tradisi atau kakonik manakala pembelajaran kolaboratif seiring
dengan gerakan konstruktivis sosial mementingkan liberisasi pengetahuan dan autoritinya.
Hasilnya ialah suatu anjakan daripada ‘foundational (cognitive) understanding of knowledge’,
kepada ‘a nonfoundational ground where “we understand knowledge to be a social construct and
learning a social process” (Brufee, 1993).

Sehubugan dengan itu, dari segi pembelajaran kolaboratif, autoriti untuk menilai dan menentukan
kewajaran hasil kerja kumpulan diproses melalui (1) kumpulan kecil, (2) kumpulan plenari, dan (3)
komuniti ilmu yang lebih luas. Konsep ilmu bukan teras mencabar proses yang digunakan untuk
memperoleh ilmu teras selain daripada hasil proses tersebut. Satu aspek yang penting dalam
pembelajaran koperatif ialah letaknya autoriti dalam tangan pengajar. Pengajar berkuasa untuk
menentukkan tugasan, masalah, serta kewajaran hasil kerja kumpulan. Sebaliknya dalam
pembelajaran kolaboratif, selepas pengajar menentukan tugasan, ia telah memindahkan autoriti
kepada kumpulan. Secara unggulnya, tugasan kumpulan akan sentiasa terbuka untuk disahkan oleh
komuniti ilmu yang lebih luas dan bukan pengajar semata-mata.

Lantaran itu, dari perspektif empowerment, pembelajaran koperasi kurang memberi kuasa
kepada pelajar. Pelajar cuma dikehendaki untuk mengusahakan matlamat pengajar dan
menghasilkan jawapan yang ‘betul’ atau diterima oleh pengajar. Pembelajaran kolaboratif lebih
memberi kuasa kepada pelajar dan sedia menanggung risiko-risiko empowerment. Contohnya
pengajar harus menerima hasil kolaborasi kumpulan yang berkemunkinan bercanggah dengan
pendiriannya dan terlalu mudah mahupun ringkas. Mengikut Rockwood, pembelajaran koperatif
merupakan pendekatan yang paling sesuai untuk pengetahuan teras. Selepas pelajar telah
menguasai dengan wajarnya dalam pengetahuan asas, maka barulah ia bersedia untuk
pembelajaran kolaboratif.

Matthews et al. berpendapat kebanyakan penyelidik dan ahli teori pembelajaran koperatif
merupakan ahli psikologi-sosial atau sosiologi yang berfokuskan aplikasi di sekolah rendah dan
menengah. Tujuan utama penyelidikan mereka ialah untuk mencari perbandingan di antara
pembelajaran koperatif dengan bentuk pengajaran yang lain. Bagaimanapun dalam dekad ini,
teknik-teknik koperasi telah dikembangkan dan diadaptasikan di peringkat kolej. Penyelidik-
penyelidik dan ahli teori yang menumpukan perhatian kepada pembelajaran kolaboratif biasanya
berlatar belakangkan bidang kemanusiaan dan sains sosial. Hasil karya golongan ini sering
membangkitkan isu-isu teoritikal, politikal dan falsafah tentang sifat pengetahuan sebagai
pembinaan sosial serta autoriti dalam bilik darjah. Di sini timbulkan perkaitan amalan kolaboratif
dengan pedagogi feminis.

Kesimpulan

Pembelajaran koperatif dan kolaboratif dikembangkan secara terasing di mana pengikut-


pengikutnya telah membentuk persatuan, menerbitkan jurnal-jurnal, dan menganjurkan
konferens yang berbeza dan pada ketika yang berlainan. Hasilnya ialah keraguan dan kejahilan
satu golongan terhadap golangan yang lain. Kekurangan komunikasi dan informasi di antara
pengikut-pengikut kedua-dua pendekatan telah menyebabkan rasa ortodoks yang kaku.

Rencana ini merupakan satu usaha untuk menjelaskan konsep pembelajaran kolaboratif dan
pembelajaran koperasi agar guru pelatih berasa lebih yakin untuk mengamalkan kedua-duanya
dalam maktab mahupun di sekolah kelak. Ini menjadi lebih penting lagi memandangkan teknologi
maklumat telah meruntuhkan sempadan masa dan ruang agar koperatif dan kolaborasi menjadi
unsur yang penting dalam pendidikan. 
Disediakan oleh:
Ng Kim Choy (M.Tech.Mgt.,B.A. (Hons.), Dip.Ed.),
Ketua Jabatan, Jabatan Ilmu Pendidikan, MPSS.
11 Ogos 1999

http://www.teachersrock.net/Perbezaan%20K%20&%20K.htm

You might also like