You are on page 1of 2

FUNGSI DAN KUASA SUHAKAM

FUNGSI

SUHAKAM ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Akta 597.
Seksyen 2 Akta ini mentakrif "hak asasi manusia" sebagai merujuk kepada "kebebasan asas
sebagaimana yang termaktub dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan".

Fungsi SUHAKAM sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 4(1) adalah:

(a) Untuk memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan yang berhubung hak asasi manusia;
(b) Untuk menasihati dan membantu Kerajaan dalam merumuskan perundangan dan arahan dan
tatacara pentadbiran dan mengesyorkan langkah-langkah yang perlu diambil;
(c) Untuk mengesyorkan kepada Kerajaan berkenaan dengan penandatanganan atau penyertaan
dalam perjanjian dan suratcara antarabangsa yang lain dalam bidang hak asasi manusia;
(d) Untuk menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia.

Selain daripada itu, Seksyen 4(4) Akta berkenaan menegaskan bahawa hendaklah diberi perhatian
berat kepada Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) selagi Pengisytiharan itu tidak
bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna, apa jua hak dan kebebasan yang
tidak disebut dalam Bahagian II tetapi ada dirujuk dalam UDHR mesti dipertimbangkan dengan syarat
tidak ada percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Fungsi menyiasat aduan berhubung dengan pelanggaran hak asasi manusia tertakluk kepada syarat
yang dikenakan oleh Seksyen 12 Akta tersebut. Seksyen 12 memberi SUHAKAM kuasa memulakan
sendiri penyiasatan terhadap tuduhan wujudnya pelanggaran hak asasi manusia, di samping
bertindak berasaskan aduan yang dibuat kepadanya. Bagaimanapun, SUHAKAM tidak boleh
menyiasat aduan yang menjadi perkara prosiding yang sedang menunggu keputusan mana-mana
mahkamah undang-undang atau yang sudah diputuskan dengan muktamad oleh mahkamah.
Penyiasatan mesti dihentikan sekiranya perkara yang sedang disiasat dibawa ke mahkamah.

KUASA

Akta penubuhan telah memberi SUHAKAM kuasa yang membolehkannya menjalankan fungsinya
dengan efektif. Di bawah Seksyen 4(2) dalam Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999,
Akta 597, SUHAKAM diberikan kuasa:

(a) Untuk memupuk kesedaran mengenai hak asasi manusia dan untuk mengaku janji
mengadakan penyelidikan dengan mengendalikan program, seminar dan bengkel dan untuk
menyebarkan dan mengedarkan hasil penyelidikan itu;
(b) Untuk menasihati Kerajaan dan / atau pihak berkuasa yang berkaitan mengenai aduan
terhadap pihak berkuasa dan mengesyorkan kepada Kerajaan dan / atau pihak berkuasa itu
langkah-langkah sesuai yang hendaklah diambil;
(c) Untuk mengkaji dan menentusahkan apa-apa pelanggaran hak asasi manusia mengikut
peruntukan Akta ini;
(d) Untuk melawat tempat tahanan mengikut tatacara yang ditetapkan oleh undang-undang yang
berhubungan dengan tempat tahanan itu dan untuk membuat syor yang perlu;
(e) Untuk mengeluarkan pernyataan awam mengenai hak asasi manusia apabila perlu; dan
(f) Untuk mengaku janji apa-apa aktiviti sesuai lain yang perlu mengikut undang-undang bertulis
yang berkuat kuasa, jika ada, berhubung dengan aktiviti itu.

You might also like