You are on page 1of 8

Bab 1 - Novel T2: Erti Sebuah Pengorbanan

SINOPSIS NOVEL TINGKATAN 2 (2011)


Tajuk: Erti Sebuah Pengorbanan
Penulis: Zaihanim bt. Zainal Abidin
Penerbit: KZ Berjaya Enterprise

Bab 1: Kisah Seorang Kawan

Iman Zulaikha, gadis berusia 13 tahun, bersahabat baik dengan Pei Wen. Mereka tinggal
berdekatan dan belajar bersama-sama. Ibu bapa Iman telah bercerai ketika Iman berusia 12
tahun. Iman tinggal bersama dengan datuk dan neneknya, setelah ibunya melanjutkan
pelajaran ijazah kedoktoran di New Zealand selama dua tahun.

Linda dan Iman bermusuh ketat di sekolah. Linda tidak mahu menganggotai kumpulan kerja
kursus Sejarah Iman. Akhirnya, Iman bertindak menyertai kumpulan Zulkarnain dan
Mohana. Iman turut bersimpati akan nasib Pei Wen. Saban hari, Pei Wen perlu berhadapan
dengan ibu tirinya yang garang. Ketika merenung gambar keluarga, Iman terkenang akan
perpisahan ibu dan bapanya. Walaupun mereka sudah berpisah, ibu dan bapanya masih
bersahabat dan berharap agar Iman belajar berdikari dan menerima kenyataan.

Selepas waktu zuhur, Pei Wen mengunjungi rumah Iman. Pei Wen meluahkan perasaannya
tentang ibu tirinya (mak cik, gelar Pei Wen) dan kehadiran lelaki asing kepada Iman. Sikap
ibu tirinya (mak cik) berubah sejak dia keguguran apatah lagi bapa Pei Wen senantiasa sibuk
di gerai ikan. Ibu tirinya pula sibuk menyiapkan tempahan kain baju pelanggan. Datuk dan
nenek Iman telah menasihati Pei Wen.

Sebelum tidur, Iman akan membaca dan membalas e-mel ibunya di New Zealand. Melalui e-
mel, ibu memberitahu Iman tentang kesibukan kuliah dan tugasannya. Turut disebut, Albert
pemuda Inggeris yang berkaca mata, kenalan baharu ibu. Menurut Iman, ayahnya baru balik
dari Manila. Iman bertekad untuk menyatukan ibu dan ayahnya semula. Dia mempunyai
rancangan pada 15 haribulan kerana hari tersebut ialah hari jadi ibunya.

Bab 2: Pemilihan

Cikgu Julia memperkenalkan Adif Danial kepada murid-murid Tingkatan Satu Dinamik. Adif
Danial bertukar dari SMK Damansara. Linda pula mengambil kesempatan untuk berkenalan
dengan Adif.

Cikgu Julia turut mengumumkan pertandingan pidato peringkat daerah. Seorang pemidato dari
Tingkatan Satu Dinamik akan dipilih. Ai Ling mencadangkan nama Iman Zulaikha. Cadangan Ai
Ling disokong oleh Pei Wen. Malangnya, Linda tidak bersetuju. Sebenarnya, Linda ingin
bertanding dengan Iman. Cikgu Julia akan berbincang dengan Cikgu Osman, guru Perbama
tentang tarikh pertandingan bersertakan tajuknya. Berkat dorongan dan sokongan rakan-rakan,
akhirnya Iman bersetuju untuk berentap dengan Linda.

Selepas menjamu selera di kantin, Iman dan Pei Wen berbual-bual tentang ibu tiri Pei Wen.
Menurut Pei Wen, ibu tirinya meminta maaf dan berpesan agar hal yang berlaku tidak sampai
ke pengetahuan bapanya. Zulkarnain dan Adif Danial menghampiri mereka. Zulkarnain
meluahkan perasaan bengangnya terhadap sikap Linda. Iman terpaksa menenangkan
Zulkarnain.

Cikgu Julia telah menyerahkan tiga buah tajuk pidato untuk dipilih oleh Iman. Sejak hari itu,
Iman membuat rujukan di perpustakaan bersama-sama Pei Wen, Adif Danial dan Zulkarnain.
Iman turut mendapat bimbingan Cikgu Julia, guru bahasa Malaysia di sekolah itu. Pertandingan
pidato antara Iman dan Julia akan bermula 9 pagi, hari Sabtu minggu berikutnya. Hubungan
Iman dengan Linda semakin renggang. Jika bertembung, Linda pasti akan mengelak atau
memalingkan wajah.

Pagi itu, sebaik sahaja tiba di sekolah, Iman bersemuka dengan Linda. Maka berlakulah
pertikaman lidah. Linda menuduh Iman bertindak mempengaruhi kawan-kawannya,
termasuklah Adif Danial. Mujur muncul Zulkarnain, Adif Danial dan Pei Wen. Iman segera
meninggalkan kelas. Pei Wen mengekorinya ke tandas. Iman menangis di dalam tandas. Dia
ingin menarik diri daripada pertandingan. Pei Wen tidak berpuas hati sambil bertindak
memberikan dorongan kepada Iman. Menurut Pei Wen, maruah sekolah di bahu Iman.
Akhirnya, semangat baharu menular ke dalam diri Iman.

Bab 3: Ibu dan Ayah

Sabtu. Iman tidak ke sekolah. Iman memperoleh kata-kata semangat daripada ibu melalui e-mel.
Pertama, ibu mahu Iman menjadi johan dan mewakili sekolah ke pertandingan daerah. Kedua,
ibu menasihati Iman agar bersabar terhadap kerenah Linda. Menurut ibu, dugaan akan
mencabar kehidupan. Yang penting niat ikhlas.

9 pagi. Iman menerima panggilan telefon daripada ayahnya. Ayah bertanyakan khabar. Jika
mengizinkan, ayah akan berjumpa dengan Iman. Sejak meletakkan jawatan pensyarah, Yusri
(ayah Iman) sibuk akan dunia perniagaan perhotelan. Namun, Yusri tidak pernah mengabaikan
tanggungjawabnya terhadap Iman Zulaikha.

Iman sempat mengingatkan hari jadi ibu pada 15 haribulan. Iman mendesak agar ayahnya
mengirimkan kad ucapan sempena ulang tahun kelahiran ibu yang ke-38 tahun. Iman mohon
izin untuk mengirimkan kad bagi pihak ayahnya. Ayah turut menyampaikan salam kepada
datuk dan nenek Iman.

Iman dikejutkan oleh kehadiran Pei Wen, Zulkarnain dan Adif Danial. Mereka bersalaman
dengan nenek Iman. Pei Wei sempat menghulurkan bungkusan berisi beberapa ekor ikan sungai
kepada nenek. Iman muncul dan memohon kebenaran nenek untuk berlatih pidato di sekolah
pada pukul 10.15 pagi. Sekolah sibuk dengan akitiviti kokurikulum.

Adif Danial bertanyakan skrip pidato. Iman menjelaskan bahawa skrip pidato sudah
ditunjukkan dan mendapat persetujuan Cikgu Julia. Mereka ke kelas Tingkatan Satu Dinamik.
Rupa-rupanya, kumpulan Linda sedang berlatih di dalamnya. Linda menyindir Iman lagi. Linda
kurang senang melihat Iman bergaul rapat dengan Adif Danial. Maka, berlakulah usik-mengusik
dan sindir-menyindir. Linda amat yakin bahawa Iman akan kalah dalam pertandingan pidato itu
nanti. Kata-kata Linda diterima baik oleh Iman. Pertemuan Linda dengan Iman menghairankan
teman-teman Iman.

Setiba di rumah, Iman terkejut. Hadir sebuah Proton Perdana di hadapan rumah. Iman
keriangan menyambut kedatangan ayahnya. Mereka berbual panjang termasuklah hal
pertandingan pidato. Malangnya, ayahnya perlu berangkat ke Langkawi pada petang Jumaat
sedangkan pertandingan Iman pada 9 pagi, hari Sabtu.
Petang itu, Iman, ayah, datuk dan nenek bersiar-siar di pantai Port
Dickson. Selepas berdarmawisata, mereka makan ikan bakar di sebuah restoran. Sempat juga
Iman bercerita tentang pelajaran dan aktivitinya di sekolah. Datuk dan nenek Iman dikejutkan
oleh pertanyaan dan hasrat Yusri untuk membawa Iman tinggal bersama dengannya di bandar.
Menurut Iman, dia perlu mendapat keizinan ibu dan mahu ibunya tinggal bersama-sama.
Kemudian, Yusri berbincang dengan nenek dan datuk Iman.

Sejak pulang dari Port Dickson, Iman sedar akan perubahan diri nenek. Rupa-rupanya nenek
berasa cemburu akan Yusri, ayah Iman. Nenek bimbang kalau-kalau Yusri membawa Iman
tinggal di bandar bersama dengannya. Perbualan Iman dengan datuk disedari oleh nenek.
Menurut nenek, jika Iman tinggal bersama dengan ayahnya, maka akan sunyilah mereka berdua
di kampung. Menurut Iman, dia hanya akan tinggal bersama dengan ayah sekiranya ibunya
turut bersama semula.

Bab 4: Pertandingan

Sejak awal pagi lagi, Iman dan Pei Wen tiba di sekolah. Banyak murid hadir untuk memberikan
sokongan. Linda sedang berbincang dengan rakan-rakan. Penasihat Linda, Cikgu Azwaliza turut
kelihatan. Iman duduk di sebelah Pei Wen dan Zulkarnain. Adif Danial tidak kelihatan.
Kononnya, Adif Danial suka akan Iman. Keresahan Iman dapat ditangani dengan kehadiran Adif
Danial.

Selepas ucapan Guru Penasihat Bahasa Malaysia, tampil Cikgu Julia membaca syarat
pertandingan. Peserta pertama, Norazlinda Borhan. Kemudian, tiba giliran Linda. Linda dapat
menyampaikan pidatonya dengan lancar, bernas dan bersemangat. Bagi Iman, Linda berbakat.
Sepuluh minit kemudian, giliran Iman pula. Iman terpandang akan ayahnya. Ayahnya muncul
untuk memberikan dorongan semangat. Akhirnya, Iman muncul juara pidato dan mewakili
sekolah di peringkat daerah. Kejayaan Iman disambut oleh rakan-rakan dan ayahnya.

Iman memperkenalkan ayahnya kepada rakan-rakan. Anehnya, salam tangan tidak disambut
oleh Arial Danial. Arial Danial kelihatan serius dan mendiamkan diri. Dia memalingkan
wajahnya dan meminta diri dengan tiba-tiba. Iman kehairanan. Cikgu Julia mengucapkan
tahniah kepada Iman sambil mengingatkan bahawa pertandingan pada bulan yang berikutnya
lebih bermakna. Iman perlu berusaha dengan sungguh-sungguh.

Linda kelihatan sedih dan cuba mengelakkan diri daripada Iman. Iman mendekati Linda dan
cuba memujuk Linda. Iman ingin tahu akan sebab Linda begitu marah akan dirinya. Menurut
Linda, mereka boleh bersahabat dengan syarat Iman menarik diri sebagai wakil sekolah dalam
pertandingan pidato daerah. Tempoh tiga hari diberikan kepada Iman. Sebaik pulang dari
rumah, Iman mengurungkan diri di dalam bilik. Iman kekeliruan tentang Adif, permintaan Linda
dan tajuk perbualan dengan ayahnya pada malam hari. Iman menghadap komputernya. E-mel
ibu dibaca olehnya. Dibalasnya e-mel ibu sambil bertanyakan sama ada ibu merindui ayah. Ceria
kembali Iman.

Malam. Restoran di tepi sebuah tasik. Iman makan malam bersama ayahnya. Cuba dikisahkan
oleh Iman kenangan sambutan Hari Raya Adilfitri dua tahun yang lalu. Mereka sekeluarga
sedondon memakai pakaian berwarna ungu. Indah ketika itu. Ayah memberitahu Iman bahawa
kenangan itu sudah berlalu. Yang penting, mereka perlu membina hidup baharu. Iman
bertanyakan hasrat ayah untuk membina keluarga yang runtuh semula. Iman meluahkan kasih
sayang kepada ibu dan ayahnya. Yusri tahu benar akan hasrat dan niat hati anak gadisnya setiap
kali mereka berjumpa. Iman mendengar penjelasan daripada ayahnya tentang takdir
perpisahan dan mengumumkan pengganti ibunya. Hati Iman bergetar. Dirinya terkejut dan
terpaku seketika. Wanita yang kematian suami itu bernama Sofia, kenalan lama ayah Iman.
Iman mengalihkan pandangannya ke tengah tasik seolah-olah dia kini keseorangan. Kata ayah,
Arial Danial ialah anak tunggal Sofia. Alangkah kecil dunia ini. Iman dilanda kekecewaan. Hasrat
untuk menyatukan ibu dan ayahnya tidak kesampaian. Dia bakal menerima seorang ibu tiri
seperti Pei Wen.

Selepas menghantar Iman ke rumah mentuanya, Yusri bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Nenek
dan datuk menunggu cucu kesayangan mereka di muka pintu. Iman memandang tepat ke wajah
nenek. Air mata menanti masa untuk gugur. Iman memeluk neneknya erat-erat.

Bab 5: Kawanku, Adif

Isnin. 7.30 pagi. Adif masih belum tiba di sekolah lagi. Murid-murid lain sudah mengisi tempat
duduk masing-masing. Zulkarnain menegur Iman. Cikgu David, guru Matematik di sisinya. Iman
ditegur oleh Cikgu David kerana mengelamun di dalam kelas. Iman didenda berdiri di luar kelas.
Zulkarnain kegelisahan. Kolam mata Iman digenangi air. Tiada sesiapa yang mengerti perasaan
yang bersarang di jiwanya.

Rehat. Iman tidak pergi ke kantin. Iman ditegur oleh Zulkarnain. Alasan malas diberikan oleh
Iman lebih-lebih lagi ketidakhadiran Adif dan Pei Wen. Zulkarnain ingin mendengar masalah
yang dihadapi oleh Iman. Iman pun menceritakan hal perkahwinan ayahnya dengan Sofia, ibu
kepada Adif Danial. Mereka bercadang ke rumah Adif pada petang itu.

Tengah hari. Datuk dan nenek Iman sedang membaca surat Razlan, anak bongsu datuk. Pak Su
Razlan baru sahaja menamatkan pengajian universitinya di New Zealand. Datuk dan nenek
gembira, Pak Su Razlan akan pulang tidak lama lagi. Muncul Iman memberikan salam. Nenek
berasa kesal kerana merahsiakan hal ayah Iman. Nenek memberitahu Iman bahawa ayahnya
menelefon dan memohon maaf daripada Iman. Iman serba salah. Nenek memahami kedudukan
Iman. Datuk menasihati Iman agar menerima keputusan ayahnya. Sempat Iman meminta izin
nenek untuk ke rumah Adif. Adif Danial anak Sofia.

Iman dan Zulkarnain tercegat di hadapan sebuah banglo. Selepas salam dibalas, muncul seorang
lelaki sebaya usia datuk Iman. Zulkarnain bersalaman dengan lelaki itu sambil mendapat
kepastian sama ada rumah itu rumah Adif Danial. Rupa-rupanya lelaki tua itu datuk Adif Danial.
Mereka dijemput masuk.

Muncul Adif Danial dari tingkat atas. Zulkarnain bertanyakan khabar Adif. Giliran Iman pula
berbual dengan Adif. Iman ingin tahu sama ada Adif masih memarahinya. Adif menyuruh
mereka balik. Dia masih belum bersedia untuk membicarakan hal antara Iman dengan dirinya.
Adif tidak memberikan peluang kepada Iman untuk memberikan penjelasan. Yang jelas, Adif
masih tidak boleh menerima bahawa ayah Iman akan berkahwin dengan ibunya. Adif terus
beredar ke tingkat atas tanpa mempedulikan Iman dan Zulkarnain. Sikap Adif ditegur oleh
datuknya. Menurut datuk Adif, sikap cucunya berubah sejak dua tiga hari. Dulu Adif tinggal
bersama dengan ibunya, Sofia (menantu datuk Adif) di Kuala Lumpur. Tidak semena-mena, dia
ingin balik dan bersekolah di kampung. Menantunya memberitahukan hal perselisihan Adif
dengan Sofia. Adif marah benar apabila Sofia ingin berkahwin lagi.

Sejak ditengking oleh Adif Danial, Iman tidak berani berbual dengan Adif lagi. Tiada sapaan dan
senyuman lagi. Iman menceritakan peristiwa itu kepada Pei Wen sekembalinya dia daripada
cuti dua hari. Petang itu, Iman dan Pei Wen pergi ke sebuah kedai buku berdekatan dengan
sekolah. Selepas Iman membeli tiga buah buku Matematik dan Bahasa Inggeris, Pei Wen
mengajak Iman makan ais kacang di sebuah restoran yang berdekatan. Setelah memesan dua
mangkuk ais kacang, Pei Wen memberitahu Iman bahawa ibu tirinya (mak cik) sudah banyak
berubah dan bersalah selepas bertengkar dengan ayahnya. Lelaki misteri yang sering datang
berjumpa dengan ibu tirinya ialah bekas suaminya.

Bekas suaminya kerap datang untuk meminta wang daripada ibu tirinya. Akhirnya, lelaki itu
telah diberkas oleh polis kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah. Pei Wen memuji
semangat Iman ketika mengharungi masalah. Tiba-tiba mereka ternampak akan Linda dan Adif
di kedai buku yang berhampiran dengan restoran tersebut. Barangkali, timbul pula perasaan
cemburu di hati Iman. Iman berjanji akan ke rumah Pei Wen petang nanti.

Bab 6: Kenapakah, Ibu?

Iman berasa bimbang kerana sudah beberapa hari e-mel ibu tidak kesampaian. E-mel Iman pula
tidak berbalas. Biarlah ayahnya sendiri memberitahukan hal Mak Cik Sofia kepada ibu.
Pertandingan pidato daerah akan bermula selepas Peperiksaan Pertengahan Tahun. Iman
pandai membahagikan masa, yakni antara pelajaran dan pertandingan. Iman tidak
mempedulikan permintaan Linda. Ketika bertembung dengan Linda, Iman menjelaskan
pendiriannya bahawa dia tetap akan bertanding. Keputusan itu menaikkan kemarahan Linda.
Linda menolak Iman. Kaki Iman terpelecok, tersungkur di anak tangga yang terakhir dan
terguling-guling sebelum jatuh terduduk. Linda segera beredar dari situ. Perbuatan itu terlihat
oleh Mohana dan Adif Danial. Mujur Mohana memapah Iman ke biik guru.

Nenek Iman terkejut benar tanpa mengetahui perkara yang sebenar. Iman telah berpakat
dengan Pei Wen untuk merahsiakan hal tersebut. Pei Wen cukup marah akan perbuatan Linda
dan berasa bimbang akan tindakan Linda seterusnya. Iman bermohon agar hal itu juga tidak
diberitahukan kepada Zulkarnain dan Adif Danial.

Petang itu, rumah datuk dan nenek dikunjungi Pak Su Razlan, lulusan jurusan Pentadbiran
Perniagaan dari universiti di New Zealand. Ibu Iman juga belajar di universiti yang sama.
Menurut Pak Su Razlan, dia sempat berjumpa dengan ibu Iman sebanyak tiga kali dan
bersembang beberapa minit sahaja dek kesibukan. Iman meluahkan keresahan kerana e-melnya
tidak berbalas. Pak Su Razlan tersenyum sinis lalu memberitahu Iman bahawa ibunya
berhubungan mesra dengan seorang lelaki Inggeris. Iman terdiam. Wajahnya berubah.
Perubahan ini menimbulkan ketidaksenangan Pak Su Razlan. Pak Su Razlan ditegur oleh nenek
sebelum dicelah oleh datuk.

Iman bertekad untuk mengetepikan semua masalah yang berlaku. Yang penting, dia perlu
menghadapi peperiksaan seminggu lagi dan pertandingan pidato minggu yang berikutnya.
Keesokan hari, tengah hari, selepas mata pelajaran Matematik, Iman ingin berjumpa dengan
Cikgu Julia biarpun diajak oleh Pei Wen untuk pulang bersama. Selepas berkemas, Iman
terserempak dengan Adif Danial dan Linda. Senyuman Iman tidak berbalas juga. Kemudian,
Iman ke bilik guru. Akhirnya, Iman dapat berjumpa dengan Cikgu Julia. Iman meminta
pandangan Cikgu Julia tentang ibunya. Iman menceritakan hal ibu dan bapanya satu persatu.
Yang jelas, hasrat Iman untuk menyatukan ayah dan ibunya semula musnah kini.

Menurut Cikgu Julia, senario kehidupan ayah dan ibunya sudah ditentukan oleh takdir waima
ayahnya akan berkahwin dengan ibu Adif Danial, Mak Cik Sofia dan kesahihan hubungan ibunya
dengan lelaki Inggeris yang barangkali merupakan teman sekolej. Yang penting, menurut Cikgu
Julia, Iman perlu bersabar, berterus terang dan berkorban. Fikiran Iman tenang dan positif
kembali selepas berbual-bual dengan Cikgu Julia. Album gambar dibelek satu persatu. Gambar
keluarga Iman tetap akan menjadi kenangan sampai bila-bila. Tiba-tiba, Iman dikejutkan oleh
panggilan nenek. Kata nenek kawan lelaki Iman sedang mencarinya. Zulkarnain dan Adif Danial!
Adif Danial ingin memohon maaf daripada Iman. Sebenarnya, Adif Danial merindui saat-saat
bersama dengan Pei Wen, Zulkarnain dan Iman. Iman dan Adif Danial sama-sama mengaku
kesalahan tentang kisah ibu dan ayah masing-masing. Malah, Adif Danial cukup kagum akan
ketabahan Iman menghadapi masalah tersebut lebih-lebih lagi Pei Wen dan Zulkarnain telah
menceritakan segala-galanya, termasuk tindakan kasar Linda terhadap Iman.

Ibu Adif Danial memahami kehendaknya anak lelakinya. Ibunya sanggup membatalkan
perkahwinan sekiranya hasrat tersebut diingini Adif. Yang jelas, ibu Adif tidak akan berkahwin
dengan ayah Iman. Hati Iman bertambah lega sekarang. Fikirannya bertambah lapang. Pagi itu
datuk dan nenek Iman menjamu Adif Danial dan Zulkarnain makan buah rambutan dan
cempedak.

Bab 7: Usaha dan Cabaran

Peperiksaan menjelang tiba. Iman mengadakan perbincangan berkumpulan bersama-sama Pei


Wen, Zulkarnain dan Adif Danial. Iman mahir dalam pelajaran Matematik. Mereka bantu-
membantu. Iman mahu mengungguli pencapaian akademik Tingkatan Satu Dinamik. 20 Mei
2006. Peperiksaan Pertengahan Tahun telah pun berlalu. Kini, Iman memberikan tumpuan pada
pertandingan pidato daerah. Teks disediakan oleh Iman dan disemak oleh Cikgu Julia.
Kemudian, Iman akan berlatih bersama-sama Pei Wen, Zulkarnain dan Adif Danial selepas
sekolah. Di rumah, Iman berlatih di hadapan datuk dan nenek.

Sudah genap sepuluh hari Iman tidak berutus e-mel dengan ibunya. Barangkali, ibunya telah
menemui pengganti ayah. Sempat Iman berbual-bual dengan nenek. Dapatlah nenek mendengar
dan berkongsi luahan rasa Iman. Nenek tahu benar akan perangai ibu Iman. Kata nenek,
mencari pengganti suami bukan mudah dan menasihati Iman agar tidak berprasangka terhadap
ibu Iman sendiri. Iman tertunduk. Air mata mengalir dari kolam matanya. Iman berasa terlalu
berdosa. Nenek menepuk-nepuk bahu cucunya.

Tiba-tiba datuk, nenek dan Iman dikejutkan dengan panggilan Ruhaida, ibu Iman dari New
Zealand. Rupa-rupanya, ibu Iman terlantar di hospital selama sepuluh hari kerana kemalangan
jalan raya. Iman menangis teresak-esak kerana bersalah menuduh ibunya. Iman meluahkan
perasaannya melalui e-mel.

Esok, pertandingan pidato akan dijalankan. Iman telah membuat persediaan yang rapi. Para
peserta juga diminta menyediakan satu teks salinan asal berkaitan tajuk yang dipersembahkan.
Teks itu disisipkan di dalam diari yang berwarna ungu. Ungu, warna kegemaran keluarga Iman.
Petang itu, Iman dan Pei Wen ingin bertemu dan berbincang dengan Cikgu Julia. Iman juga
mahu menyerahkan teks itu untuk disimpan oleh Cikgu Julia agar lebih selamat. Malangnya,
diari ungu tidak kelihatan. Diari itu ditinggalkan oleh Iman di dalam beg sebelum memasuki
perpustakaan. Iman ke kelas untuk mencari diarinya. Pei Wen pula ke perpustakaan untuk
tujuan yang sama. Malangnya, diari itu tiada di dalam kelas. Panik. Hampa. Iman bagaikan mahu
menangis. Gagal juga Pei Wen mencari diari tersebut di perpustakaan.

Iman dan Pei Wen terpaksa berjumpa dengan Cikgu Julia semula. Sebuah teks baharu perlu
disediakan oleh Iman. Sesungguhnya, Iman tidak mengaku kalah. Iman meneruskan latihan.
Zulkarnain dan Adif Danial turut memberikan kata-kata semangat. Dalam e-mel, ibu Iman turut
mendoakan kejayaan Iman. Teks pidato dihafal. Solat hajat ditunaikan. Malam itu, Iman tidur
awal. Esok, datuk dan nenek akan pergi bersama-sama.

8.15 pagi. Ramai murid hadir di majlis itu. Enam buah sekolah menyertai pertandingan tersebut.
Setiap sekolah menghantar enam orang wakil. Iman peserta kedua terakhir. Pei Wen menjadi
peneman dan pendorong utama Iman. Zulkarnain, Adif Danial dan Ai Ling turut hadir
memberikan perangsang. Ayah Iman turut hadir. Maka bertambah semangatlah Iman. Yang
penting, Iman memberikan tumpuan kepada persembahannya nanti.

Bab 8: Pengorbanan

Kejayaan Iman muncul johan pidato daerah menjadi buah mulut murid-murid dan guru-guru.
Yang lebih berbangga, Cikgu Julia. Iman menerima ucapan tahniah daripada datuk, nenek dan
rakan-rakan. Hubungan Iman dan ayahnya kembali bertaut.

Jumaat. Hari terakhir sebelum sekolah mula bercuti selama dua minggu. Kelas Tingkatan Satu
Dinamik riuh-rendah. Cikgu Julia akan mengumumkan keputusan Peperiksaan Pertengahan
Tahun. Zulkarnain sempat berlawak jenaka melibatkan Pei Wen. Pei Wen mencebikkan bibir.
Rupa-rupanya, Zulkarnain menaruh hati pada Pei Wen.

Keputusan telah diumumkan. Adif Danial, Iman Zulaikha dan Haris Fadzillah menduduki tempat
pertama, kedua dan ketiga di dalam kelas. Kedengaran tepukan dan ucapan tahniah. Zulkarnain
dan Pei Wen mendapat tempat keenam dan kelapan. Pada keseluruhannya, Cikgu Julia amat
berpuas hati dengan prestasi murid-muridnya. Cikgu Julia tidak lupa mengingatkan murid-
muridnya agar mengulang kaji pelajaran pada musim cuti.

Adif Danial pula akan bertukar ke Kuala Lumpur. Keadaan ini dijadikan modal untuk Zulkarnain
untuk mengusik Adif Danial dan Iman. Iman tertunduk malu. Dalam kesibukan murid-murid
menyemak keputusan, muncul Cikgu Shaharudin, guru disiplin sekolah itu. Linda dan Iman
Zulaikha dipanggil ke depan kelas. Diari ungu dikeluarkan daripada sampul surat. Iman
tersentak. Linda tidak berani bertentang mata dengan Cikgu Shaharudin. Salah seorang murid
dari kelas Tingkatan Satu Anggerik telah membuat pengakuan bahawa dia telah mengambil
diari Iman seperti yang telah dirancang oleh Linda. Terkejut Iman. Dia beristighfar sambil
merenung wajah Linda. Bahu Linda terhinggut-hinggut. Dia menangis sambil menutup
wajahnya dengan tapak tangan. Akhirnya, Linda mengaku. Iman sedia memaafkan Linda
seandaInya dia sedia berubah. Linda mendakap Iman dengan erat. Cikgu Shaharudin terpana
melihat sikap terpuji yang ditunjukkan oleh Iman, anak murid kesayangan Cikgu Julia.

Datuk dan nenek Iman mengadakan kenduri kesyukuran atas kejayaan Iman dalam
pertandingan pidato peringkat daerah dan Peperiksaan Pertengahan Tahun baru-baru ini.
Anak-anak dan cucu-cucu dijemput hadir. Sebenarnya, datuk dan nenek dikurniai lima orang
anak. Ibu Iman Zulaikha, anak yang kedua. Pei Wen dan keluarganya, Adif Danial dan ibunya,
Zulkarnain, Cikgu Julia serta beberapa rakan sekelasnya turut hadir. Pada hari itu, Iman
memakai baju kurung berwarna ungu. Baju itu pernah dipakai semasa menyambut Hari Raya
Adilfitri bersama-sama dengan ayah dan ibunya dua tahun yang lalu.

Para tetamu lelaki mengambil tempat di ruang tamu rumah datuk. Tetamu wanita pula berada
di ruang dapur. Datuk mengetuai bacaan tahlil dan zikir dalam majlis tersebut. Selesai berdoa,
hidangan pun diangkat ke ruang tamu. Sempat juga Iman berbual-bual dengan Mak Cik Sofia,
ibu Adif Danial.

Malam itu, Iman duduk di anjung rumah sambil menghirup udara malam. Rumah datuk dan
nenek kembali sunyi. Tiba-tiba muncul ayah Iman mengemukakan cadangan kepada Iman. Ayah
Iman ingin bercuti bersama dengan Iman ke New Zealand. Yang penting, Iman amat
memerlukan ayah dan ibu di sisi Iman. Walaupun malam gelap pekat, Iman dapat melihat ada
sinar yang terang menantinya di hujung sana. Ayah Iman Zulaikha, Yusri ingin membina ikatan
kekeluargaan yang runtuh selama ini semula. Iman mengangguk dan mendakap ayahnya erat-
erat. Doa Iman, biarlah kasih sayang ibu dan ayah kukuh selama-lamanya. Air mata kesyukuran
membasahi pipi Iman Zulaikha. Bersyukur Iman kepada Tuhan kerana memakbulkan doanya
selama ini.

You might also like