You are on page 1of 13

JURNAL REFLEKTIF MINGGU KEDUA

Secara keseluruhannya, pada minggu ini saya bersama dengan rakan sepelatih
iaitu Nik Ahmad Syafiq berjaya mengharungi dengan jayanya. Pada minggu ini terdapat
pelbagai program sekolah antaranya ialah Kejohanan Olahraga Peringkat Zon
Butterworth. Jadi, kami berdua turut sama mengikuti program ini kerana ingin turut
merasakan bahang kejohanan. Akan tetapi, disebabkan kami berdua terikat dengan
praktikum, kami hanya boleh pergi ke stadium hanya untuk acara petang sahaja iaitu
bermula dari pukul 3 hingga 6.30 petang.

Pada hari pertama pertama persekolahan minggu ini kami menghadapi sedikit
kekangan iaitu masa perhimpunan terlalu panjang dari yang dijadualkan sehingga
menjejaskan sedikit perancangan pengajaran dan pembelajaran saya. Akan tetapi,
saya tidak menjadikan itu sebagai masalah besar dengan mengubah sedikit corak dan
langkah pengajaran dengan hanya menerapkan aktiviti yang mampu membuat hasil
pengajaran tercapai. Disebabkan bilangan ahli kelas darjah 4 Arif yang saya ajar hari ini
adalah sedikit iaitu hanya 17 orang, jadi, saya telah menggunakan pendekatan aktiviti
sukaneka kerana mereka kebanyakannya sangat aktif dan tidak cukup orang untuk
bermain permainan berunsur kemahiran seperti bola sepak, bola jaring dan sebagainya.
Walaupun menghadapi sedikit kekangan dan waktu pengajaran yang sedikit terjejas,
namun hasil dan onjektif pengajaran saya pada hari ini masih tercapai. Murid-murid
dapat mengikut arahan dengan baik dan kawalan kelas saya pada hari ini sangat
memuaskan hati saya. Ini turut diakui oleh guru pembimbing saya iaitu Encik Roshidi
dengan mengatakan aktiviti dan kawalan murid semasa pengajaran sangat baik.

Pada hari kedua pengajaran minggu ini, saya telah merancang aktiviti yang
menarik untuk murid-murid saya iaitu murid tahun 2 Bestari. Disebabkan murid tahun 2
ini lebih gemarkan aktiviti berunsur gembira dan seronok maka saya sekali lagi telah
mengadakan aktiviti sukaneka bagi membolehkan mereka berasa seronok dan gembira
semasa melakukan aktiviti. Murid tahun 2 Bestari ini mempunyai 17 orang murid dan
kesemuanya begitu teruja dalam setiap aktiviti yang saya jalankan. Ini telah
menjadikan saya bersemangat untuk menghasilkan aktiviti pengajaran yang lebih
menyeronokkan kepada murid-murid pada minggu akan datang. Walaubagaimanapun,
saya telah menghadapi sedikit kekangan iaitu pada pertengahan pengajaran hujan
renyai-renyai telah turun dan sedikit merencatkan rentak pengajaran saya. Mujur
disekolah ini terdapat beberapa khemah kanopi yang membolehkan saya melakukan
aktiviti di situ. Secara keseluruhan pada hari kedua hasil pengajaran saya mencapai
objektif sambil murid-murid berasa sangat seronok dengan aktiviti yang dijalankan.

Pada hari ketiga pula, pengajaran saya menjadi terbantut kerana pada awalnya
saya telah mengumpulkan kesemua murid tahun 3 Mahir di tengah padang untuk
mengadakan aktiviti pengajaran. Akan tetapi, selepas membuat aktiviti memanaskan
badan, tiba-tiba tanpa semena-mena hujan turut dengan lebatnya. Oleh yang demikian,
saya dengan tidak bersedia untuk situasi tersebut telah meminta murid-murid untuk naik
ke kelas dan mengadakan pengajaran di dalam kelas sahaja. Mujur pengajaran saya
pada hari ini adalah bertajuk masa tindak balas. Jadi, saya telah mengadakan aktiviti
seperti kuiz dan sebagainya untuk memastikan hasil pengajaran saya tercapai
walaupun tanpa beraksi di atas padang. Alhamdulillah, objektif pengajaran masih
tercapai namun murid-murid dilihat begitu kecewa kerana tidak dapat melakukan aktivti
di padang. Pada sebelah petangnya pula, saya telah mengikuti program kokurikulum
dan saya telah membantu guru pengakap iaitu Encik Muhammad dan Encik Ridzuan.
Pada sesi kali ini, guru telah mengajar tentang persetiaan pengakap, prinsip rukun
negara, dan beberapa buah lagu pengakap. Disebabkan saya merupakan ahli
pengakap di institut, saya dapat belajar bagaimana untuk mengendalikan pengajaran
aktiviti pengakap di dalam kelas pada petang ini.

Pada hari keempat pula telah menyaksikan skrip serupa seperti hari sebelumnya
kerana hujan telah mulai turun sejak tengah malam lagi sehingga ke pagi. Jadi saya
tiada pilihan lain melainkan mengajar di dalam kelas berkaitan tajuk yang telah
dirancang. Bilangan ahli kelas yang ramai juga telah membantutkan usaha saya untuk
menggunakan khemah yang sedia ada di padang untuk aktiviti. Semasa pengajaran di
dalam kelas, saya telah mendengar banyak keluhan dari muird-murid yang meminta
saya untuk mengajar di padang walaupun hujan turun dengan lebatnya. Namun, saya
terpaksa memekakkan telinga dengan menegaskan keputusan saya serta
menerangkan mengapa tidak boleh diadakan pengajaran di padang. Saya telah
mengajar dan melaksanakan aktiviti yang sama seperti kelas tahun 3 Mahir semalam
memandangkan tunjang dan kemahiran yang saya rancangkan tetap sama cuma tahun
yang berbeza iaitu pada hari ini saya mengajar tahun 5 Mahir. Walaupun pengajaran
berlangsung dengan sedikit hambar kerana murid-murid telah bosan dengan aktiviti
kelas,akan tetapi mereka masih dapat memahami dan menjadikan hasil pengajaran
saya pada hari ini tercapai.

Pada hari kelima iaitu hari yang terakhir dalam minggu ini, saya telah mengajar
kelas 6 Mahir yang kebanyakannya terdiri daripada murid-murid awal remaja. Pada sesi
pengajaran hari ini, saya telah diselia oleh guru pembimbing iaitu Encik Roshidi. Saya
sangat tidak berpuas hati dengan pengajaran saya pada hari ini kerana secara
keseluruhannya saya dapat lihat murid-murid tahun 6 ini begitu obses dengan bola
sehinggakan aktiviti yang saya rancangkan berjalan dengan hambar dan lesu kerana
murid-murid menunjukkan sikap protes kerana tidak mengikut kehendak mereka yang
mahukan bermain bola sepak dan bola jaring. Walaubagaimanapun, perancangan
aktiviti pengajaran saya perlu juga mencapai objektifnya. Oleh yang demikian,
memandangkan keadaan telah menjadi begitu rumit dengan beberapa murid telah
menunjukkan ketegangan semasa aktiviti berlansung, saya telah mengambil langkah
drastik dengan memanggil tiga murid yang menunjukkan sikap tidak disenangi untuk
berjumpa saya di hadapan. Jadi, saya telah bercakap dengan nada perlahan dan lagak
seperti kawan dengan mereka dan menerangkan serba sedikit tentang tujuan saya ke
sekolah. Syukur alhamdulillah, selepas sahaja saya “slow talk” dengan mereka, aktiviti
telah berubah dan murid-murid mula menghayati aktiviti yang saya rancangkan dengan
seronok dan gembira. Di sini saya telah mendapat satu pendekatan baru iaitu
memanggil beberapa murid bermasalah dan menyelesaikan dengan kaedah yang
lembut bukan dengan kekerasan. Ini akan membuat murid-murid tersebut rasa dihargai
seterusnya mereka akan memberikan kerjasama yang baik kepada guru. Hasil
pengajaran saya pada hari ini mencapai objektifnya dan pujian dari Encik Roshidi turut
diterima walaupun saya menghadapi sedikit masalah yang mampu menggugat
kesabaran mana-mana guru.
Sebagai kesimpulan, pada minggu ini, semua aktiviti pengajaran berlangsung dengan
baik dan mencapai objektifnya walaupun tidak semua yang dirancang dapat dijalankan
terutama apabila cuaca tidak mengizinkan. Oleh yang demikian, sebagai guru yang
serba boleh, saya perlu sentiasa peka dengan keadaan dan cuba suaikan diri dengan
keadaan sekeliling supaya apa jua cabaran yang datang, objektif pengajaran perlu
dicapai keseluruhannya. Semoga untuk minggu yang seterusnya, saya dapat
melakukan aktiviti pengajaran dengan lebih baik dan tersusun lagi hendaknya,
InsyaAllah.

Disediakan oleh :

(..................................................)

Mohd Zahiruddin Bin Abdul Halim

5 PISMP PJ/PK/PSK

IPGM Tuanku Bainun


JURNAL REFLEKTIF

Minggu :1

Tarikh : 21 Mac – 25 Mac 2011-04-04

Masalah : Kehadiran Murid Lain Di Dalam Kelas

Masalah Yang Difokuskan

Masalah yang telah saya hadapi pada minggu ini yang sukar untuk saya tangani ialah
dengan kehadiran murid-murid dari kelas lain yang telah merencatkan sedikit
rancangan pengajaran saya. Jadi sukar untuk saya melakukan aktiviti dengan murid
yang jumlahnya dua kali ganda dari jumlah yang telah dirancangkan. Ini akan
menyebabkan suasana dan kawalan kelas menjadi tidak kondusif dan teratur serta
menyebabkan keadaan tidak terkawal. Jadi saya telah merujuk kepada orang yang
pakar untuk membantu saya pada masa akan datang.

Analisis Masalah

Masalah yang saya hadapi telah saya analisis dengan lebih terperinci. Saya dapat lihat
kehadiran murid-murid kelas lain ke dalam kelas yang saya ajar adalah disebabkan
guru yang sepatutnya mengajar tidak merancang aktiviti PJ mungkin kerana faktor
mengandung dan sebagainya. Oleh yang demikian, murid-murid mereka terbiar dan
ingin belajar bersama rakan dari kelas lain. Kesan dari keadaan ini akan menyebabkan
kelas menjadi terlalu ramai dan kawalan kelas menjadi tidak teratur serta alatan tidak
mencukupi untuk menampung keseluruhan ahli kelas. Jadi, isu ini sangat besar bagi
saya kerana ini merupakan praktikum saya yang pertama dan saya tidak mempunyai
pengalaman yang luas dalam bidang pendidikan. Justeru, kawalan kelas akan menjadi
lemah sekiranya murid terlalu ramai kerana saya mengajar di padang dan bukan di
kelas. Suara saya tidak cukup kuat untuk mengawal jumlah murid yang terlalu ramai.
Cadangan dan Idea Menyelesaikan Masalah

Saya telah mengambil beberapa langkah yang saya fikirkan relevan dan sesuai untuk
merubah keadaan ini supaya tidak mengganggu hasil pengajaran saya pada hari yang
lain. Langkah pertama ialah dengan bersemuka dan berbincang dengan guru yang
sepatutnya mengajar kelas tersebut. Saya telah berbincang dengan berhemah dan
mengemukakan mengapa saya perlu mengasingkan kelas supaya kawalan kelas lebih
terkawal memandangkan saya masih dalam penyeliaan Institut perguruan. Langkah
kedua yang saya ambil ialah dengan meminta semua murid yang saya sepatutnya
mengajar agar memakai tali getah supaya saya dapat membezakan mereka dengan
murid kelas yang lain. Ini bagi mengelakkan terdapat murid lain yang menyamar dan
berada sekali semasa pengajaran berlansung.

Tempoh Masa Yang Diambil

Saya telah mengambil tempoh masa seminggu untuk menyelesaikan masalah ini
dengan berjumpa dengan setiap guru bagi kelas yang tiada pengajar subjek PJ. Saya
telah meminta pandangan mereka dan rata-rata mereka menerima dengan hati terbuka
dan sedia memberi kerjasama. Saya berharap pada minggu seterusnya tiada lagi
insiden serupa ini berlaku.

Tindakan Susulan

Tindakan susulan yang bakal saya ambil sekiranya berlaku lagi kejadian sebegini di
masa hadapan, saya mungkin terpaksa mengubah rancangan pengajaran saya pada
hari itu dengan menggunakan kaedah stesen. Saya memilih kaedah tersebut kerana
saya rasakan itu sahaja teknik yang sesuai mengajar di dalam kelas yang ramai ahlinya
beserta alatan yang terhad. Selain itu, saya turut akan membuat tindakan lain seperti
meminta murid-murid dari kelas lain untuk bermain permainan bola sepak dan murid-
murid saya belajar apa yang telah dirancang. Jadi, tiada gangguan luar dari kelas lain
semasa sesi pengajaran.

Pelaksanaan

Saya akan sentiasa berurusan dengan guru-guru pendidikan jasmani terutama bagi
kelas-kelas lain supaya tiada lagi berlaku masalah sedemikian semasa sesi pengajaran
saya berlansung.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, saya merasakan masalah ini dapat diselesaikan sekiranya saya
mempunyai pengalaman yang luas dalam pendidikan perguruan ini.
Walaubagaimanapun, saya amat mengharapkan kerjasama dari guru dan kakitangan
sekolah agar dapat membantu saya bagi memastikan praktikum saya buat fasa yang
pertama ini berjalan dengan lancar dan terkawal. Itulah harapan saya.
JURNAL REFLEKTIF

Minggu :3

Tarikh : 04 April – 08 April 2011

Masalah : Masa Yang Digunakan Melebihi Dari Yang Diperuntukkan

Masalah Yang Difokuskan

Masalah yang ingin saya fokuskan pada minggu ini ialah pengajaran saya melebihi
masa yang telah diperuntukkan. Saya telah mengesan masalah ini dari minggu pertama
lagi dan saya dapat rasakan bahawa masalah ini sangat besar memandangkan saya
akan mengambil masa guru lain selepas waktu Pendidikan Jasmani. Ini akan
menimbulkan perasaan kurang senang dikalangan guru lain jika tidak saya tangani
dengan kadar segera.

Analisis Masalah

Masalah ini saya telah perincikan sedalam-dalamnya. Saya dapat lihat banyak faktor
yang telah menyebabkan berlakunya keadaan demikian. Ini kerana salah satu faktornya
ialah perancangan yang saya lakukan sebelum mengajar adalah terlalu bercita-cita
tinggi. Saya berkata demikian kerana saya telah melakukan banyak perancangan
aktiviti sehingga masa yang diperuntukkan tidak mencukupi untuk kesemuanya berjalan
mengikut perancangan sedia ada. Selain itu, murid-murid pada minggu ini boleh
dikatakan setiap hari akan habis perhimpunan lewat kira-kira 10 minit kerana perlu
melihat persembahan pidato dan bercerita dari peserta yang akan mewakili sekolah.
Jadi, ini antara penyebab masalah kelewatan pengajaran berlaku.

Cadangan dan Idea Menyelesaikan Masalah

Saya telah memikirkan dan bertanya dengan guru pembimbing saya iaitu Cikgu Roshidi
tentang masalah yang saya hadapi. Jadi banyak pandangan yang telah diberikan oleh
Cikgu Roshidi yang boleh saya aplikasikan pada sesi pengajaran pada masa akan
datang. Antaranya ialah, beliau mencadangkan agar saya mengurangkan sedikit aktiviti
semasa merancang perancangan P&P. Ini penting agar saya dapat meneliti dan
memastikan objektif pengajaran saya pada hari tersebut dapat dicapai dan murid-murid
dapat menguasai kemahiran yang telah diajar. Selain itu, beliau juga turut mengatakan
supaya saya menyiapkan dulu alatan sementara menunggu murid-murid habis
perhimpunan. Ini bagi mengelakkan masa yang telah dibuang menjadi lebih terbuang.

Tempoh Masa Yang Diambil

Saya telah mengambil sedikit masa kira-kira 2 hari untuk mengubah dan memikirkan
aktiviti yang sesuai dengan murid-murid terutamanya murid tahun 4, 5 dan 6. Jadi, saya
akan sentiasa berkomunikasi dengan guru pembimbing saya iaitu Cikgu Roshidi untuk
memastikan aktiviti yang saya rancangkan dapat kerjasama dan perhatian murid
seterusnya membuatkan hasil pengajaran saya tercapai.

Tindakan Susulan

Tindakan susulan yang saya akan ambil sekiranya berlaku lagi kejadian sebegini ialah
dengan bertemu dan berbincang muka ke muka dengan guru matapelajaran selepas
waktu Pendidikan Jasmani. Saya akan berbincang dan akan meminta sedikit
kelonggaran kepada mereka untuk murid-murid menukar baju dalam masa kira-kira 5
minit.

Pelaksanaan

Saya akan sentiasa berurusan dengan semua guru tidak terhad kepada guru
pembimbing sahaja bagi memastikan pengajaran saya semakin meningkat dan
mendapat kerjasama murid dan murid-murid akan menjadi gembira semasa melakukan
aktiviti Pendidikan Jasmani. Langkah ini sangat penting bagi memastikan murid-murid
lebih aktif semasa pengajaran berlansung seterusnya membantu mencapai objektif
pengajaran.
Kesimpulan

Secara keseluruhannya, saya dapat merasakan bahawa masalah ini dapat diselesaikan
sekiranya saya menitikberatkan aktiviti-aktiviti yang dirasakan sesuai sahaja dalam
merancang P&P agar tidak berlaku kejadian mengambil masa guru lain. Ini sangat
penting bagi memastikan kesejahteraan dan kesenangan warga sekolah dapat
dipelihara dan tiada istilah bermasam muka dan dendam mendendami di kalangan kami
warga sekolah.
JURNAL REFLEKTIF

Minggu :4

Tarikh : 11 April – 15 April 2011

Masalah : Bilangan Murid Yang Terlalu Sedikit Mendorong Ketiadaan Gerak


Kerja Kelas

Masalah Yang Difokuskan

Masalah yang ingin saya fokuskan pada minggu ini ialah pengajaran saya terganggu
pada minggu ini kerana murid yang terlalu sedikit di kelas 4 Arif. Kelas ini pada asalnya
mempunyai 17 orang murid, akan tetapi pada minggu ini kelas ini hanya dihadiri tujuh
orang murid sahaja. Terdapat 5 orang terlibat dengan pertandingan kawad dan 5 orang
lagi tidak hadir ke sekolah. Oleh yang demikian, pengajaran saya menjadi sedikit suram
dan murid-murid dilihat sangat pasif dengan keadaan ini. Keadaan ini juga telah
menyebabkan saya mengubah cara pengajaran saya dengan menekankan gerak kerja
kelas dan individu sahaja kerana gerak kerja kumpulan sukar untuk dijalankan. Perkara
ini telah menjadi isu besar kepada pensyarah pembimbing iaitu Puan Shanti yang
melihat perkara ini suatu masalah yang serius dan perlu diambil perhatian.

Analisis Masalah

Masalah ini saya telah perincikan sedalam-dalamnya. Saya dapat lihat banyak faktor
yang telah menyebabkan berlakunya keadaan demikian. Antaranya ialah kelas 4 Arif
merupakan kelas yang paling lemah berbanding kelas lain. Ini menyebabkan
pergerakan dan minat mereka terhadap Pendidikan Jasmani ini dilihat begitu kurang.
Selain itu, mungkin masalah dari keluarga yang ada hal penting atau murid tersebut
tidak sihat untuk hadir ke sekolah telah mendorong masalah bilangan murid yang terlalu
sedikit pada minggu ini. Ini telah sedikit sebanyak telah merencatkan proses pengajaran
saya yang telah dirancang dengan begitu teliti dan tersusun. Walaubagaimanapun,
saya bersyukur kerana murid-murid masih dapat memberikan kerjasama yang baik
walaupun hanya terdapat 7 orang di dalam kelas.

Cadangan dan Idea Menyelesaikan Masalah

Saya telah memikirkan dan bertanya dengan guru pembimbing saya iaitu Cikgu Roshidi
dan pensyarah pembimbing Puan Shanti tentang masalah yang saya hadapi. Jadi
banyak pandangan yang telah diberikan oleh Cikgu Roshidi dan Puan Shanti yang
boleh saya aplikasikan pada sesi pengajaran pada masa akan datang. Antaranya ialah,
mereka mencadangkan saya agar melakukan juga gerak kerja kumpulan walaupun
bilangan murid yang ada terlalu sedikit di dalam kelas. Ini kerana mereka berpendapat
gerak kerja kumpulan dapat menyebabkan murid-murid ada semangat ingin bersaing
antara kumpulan dan keadaan ini akan menyebabkan suasana kelas menjadi hidup dan
seronok.

Tempoh Masa Yang Diambil

Saya telah mengambil sedikit masa kira-kira 2 hari untuk mengubah dan memikirkan
aktiviti yang sesuai dengan murid-murid terutamanya murid tahun 4, 5 dan 6. Jadi, saya
akan sentiasa berkomunikasi dengan guru pembimbing saya iaitu Cikgu Roshidi untuk
memastikan aktiviti yang saya rancangkan dapat kerjasama dan perhatian murid
seterusnya membuatkan hasil pengajaran saya tercapai. Selain itu, saya turut meminta
kerjasama guru disiplin iaitu Cikgu Yusof untuk mengambil tindakan kepada murid-
murid yang tidak hadir ke kelas Pendidikan Jasmani. Dengan cara ini, murid-murid akan
lebih berhati-hati dan akan hadir ke kelas PJ dengan penuh disiplin dan tidak ponteng
kelas.

Tindakan Susulan

Tindakan susulan yang saya akan ambil sekiranya berlaku lagi kejadian sebegini ialah
dengan bertemu dan berbincang muka ke muka dengan murid yang tidak hadir ke kelas
Pendidikan Jasmani. Saya akan berbincang dan akan meminta alasan mengapa
mereka tidak hadir ke kelas PJ semasa sesi pengajaran berlangsung.
Pelaksanaan

Saya akan sentiasa berurusan dengan semua guru tidak terhad kepada guru
pembimbing sahaja bagi memastikan pengajaran saya semakin meningkat dan
mendapat kerjasama murid dan murid-murid akan menjadi gembira semasa melakukan
aktiviti Pendidikan Jasmani. Langkah ini sangat penting bagi memastikan murid-murid
lebih aktif semasa pengajaran berlansung seterusnya membantu mencapai objektif
pengajaran.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, saya dapat merasakan bahawa masalah ini dapat diselesaikan
sekiranya ibu bapa dan pihak sekolah menitikberatkan disiplin yang tinggi ke atas setiap
murid. Ini kerana dengan adanya disiplin yang baik, murid akan tidak berani untuk
ponteng bukan sahaja dalam kelas PJ bahkan dalam semua kelas pembelajaran.
Seterusnya, ianya akan menyenangkan guru-guru untuk menghasilkan pengajaran
yang berkesan hasil dari kelansungan rancangan pengajaran yang dirancang sebelum
ini.

You might also like