You are on page 1of 11

KERATAN AKHBAR 

/ UTUSAN MALAYSIA / Utusan Malaysia : 27 April 2010 : Kemasukan Pengamal Filem Asing Bantu Jana Pendapatan
Negara

UTUSAN MALAYSIA : 27 APRIL 2010 : KEMASUKAN PENGAMAL FILEM


ASING BANTU JANA PENDAPATAN NEGARA
KUALA LUMPUR 27 April - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menggalakkan kemasukan penggiat
filem dan artis luar kerana ia mampu menjana pendapatan negara selain meningkatkan mutu seni tempatan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, menurut laporan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan
Persembahan Artis Luar Negara (Puspal), purata kemasukan mereka ialah sekitar 9,000 orang setahun.

"Jumlah tersebut sangat besar dan dilihat mampu menjana pendapatan negara melalui bayaran cukai pegangan dan Pas
Lawatan Ikhtisas (PLIK).

"Tahun lalu, Puspal berjaya memperolehi cukai sehingga RM4.73 juta dan bayaran PLIK berjumlah RM2.705 juta,'' katanya
pada sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran buku Garis Panduan PUSPAL Edisi 2010 di Finas, di sini hari ini.

Beliau berkata, kehadiran penggiat seni luar negara dilihat mampu mewujudkan persaingan yang sihat antara mereka
dengan penggiat seni tempatan.

"Kita perlu lihat dari sudut positif iaitu kemasukan mereka mampu meningkatkan mutu seni tanah air serta mewujudkan
kerjasama dan menjadikan penggiat seni tempatan lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.

"Kualiti yang mereka miliki jauh lebih baik jika dibandingkan dengan penggiat seni tempatan. Oleh itu kita perlu bergerak
dari sekarang untuk mencontohi mereka,'' katanya.

Menyentuh mengenai pelancaran buku tersebut, Rais berkata, peningkatan permohonan untuk memasuki negara ini oleh
penggiat seni luar menyebabkan Puspal mengkaji semula buku garis panduan edisi sebelum ini.

"Buku edisi ketiga ini bertujuan menetapkan peraturan yang perlu dipatuhi penggiat filem dan artis luar negara agar tidak
bertentangan dengan sosiobudaya serta sensitiviti masyarakat tempatan.

"Panduan baru ini diharap memudahkan urusan permohonan penggiat filem dan artis luar negara serta meningkatkan
kemasukan mereka pada masa akan datang," katanya.

Pada majlis tersebut, kementerian turut menerima sumbangan RM109,500 daripada lima syarikat swasta untuk disalurkan
kepada Akaun Amanah Kebudayaan kementerian tersebut.

Terakhir dikemaskini ( Isnin, 03 Mei 2010 02:30 )


Trend dan cabaran Sinema Malaysia kontemporari
Forum itu diadakan sebagai salah satu aktiviti Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM20) anjuran bersama Perbadanan Kemajuan Filem
Nasional Malaysia (Finas) dan Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM).

Ahli panel forum itu terdiri daripada Prof. Dr. Che Wan Zawawi Ibrahim, Prof. Madya A. Razak Mohaideen, Deepak Kumaran,
Afdlin Shauki dan Maya Karin. Forum itu menarik untuk dibincangkan kerana ia boleh mencetuskan idea-idea baru bagi
mempertingkatkan lagi kualiti dunia perfileman tempatan.

Para panel haruslah mengusulkan cara mana mereka hendak menanggani kemunculan sesuatu trend dalam dunia perfileman kita.

Adakah sesuatu trend itu harus diikuti secara membuta tuli ataupun ia harus disesuaikan dengan persekitaran semasa ?

Selain itu, perlu ada inisiatif di kalangan para pembikin filem kita dalam usaha mengetengahkan seni dan budaya tempatan yang
mempunyai identiti tersendiri.

Mereka tidak sepatutnya terikut-ikut dengan trend filem aksi dari Hong Kong misalnya, yang memaparkan seni mempertahankan
diri, kung-fu.

Tentunya akan menjadi jelik apabila elemen budaya luar itu turut meresap dalam filem kita apatah lagi menerusi jalan cerita yang
berlatarbelakangkan zaman kesultanan Melayu.

Begitu juga adegan melompat dan terbang tinggi seperti yang pernah dipaparkan dalam filem-filem kita sebelum ini.

Itu adalah antara cabaran yang harus difikirkan semula supaya dunia perfileman kita tidak menjadi ‘medan bahan kitar semula’
tetapi pada masa sama juga haruslah menampilkan jalan cerita yang tersendiri.

Dunia perfileman kita pada era tahun 1950-an dulu misalnya pernah menghasilkan filem berjudul Pontianak yang mengisahkan
seorang wanita penghisap darah yang mahu membalas dendam.

Namun, selepas separuh abad, adakah kita juga akan mengambil idea dan jalan cerita yang sama untuk dipaparkan semula di layar
perak?

Cabarannya ialah, apakah idea baru yang harus diketengahkan supaya filem yang dihasilkan itu lain daripada yang lain?

Sinema Malaysia masa kini memang berdepan dengan pelbagai cabaran ter utamanya kemasukan filem-filem dari luar negara.

Perkara itu tidak dapat dielakkan kerana berlakunya pertambahan jumlah pawagam yang ada di negara kita sejak kebelakangan ini
selain kemunculan pawagam-pawagam digital.

Fenomena itu secara tidak langsung telah ‘menghimpit’ filem-filem tempatan yang terpaksa bersaing dengan filem-filem asing.

Ahli-ahli panel pada forum itu juga haruslah mencurahkan idea bagaimana cara untuk menangani cabaran, trend dan persaingan
dengan filem-filem dari luar negara.

Jika bercakap soal cabaran, ia mencakupi ruang yang amat luas dan tidak mencukupi hanya dengan forum yang mengambil masa
sekitar dua jam itu sahaja bagi membincangkan isu tersebut.

Tetapi sekurang-kurangnya, setiap ahli panel haruslah mengemukakan cadangan bagi menangani isu trend dan cabaran dalam
sinema Malaysia bersama-sama dengan jalan penyelesaiannya sekali.

Harapan kita agar forum seperti itu bukanlah sekadar untuk merancakkan kemunculan FFM20 semata-mata, tetapi biarlah ia
boleh mencetuskan idea-idea baru demi peningkatan dunia perfileman kita pada masa depan.
Ahmad Puad Onah merupakan nama besar dalam industri perfileman tempatan. Beliau berkhidmat sebagai wartawan
selama 22 tahun, bermula dengan Bernama (1976-1981) diikuti Berita Harian (1981-1992), pengarang Harian Metro
(1992-1994) dan Pengarang Berita dan Ehwal Semasa TV3 (1994-1998) sebelum mengetuai Grand Brilliance (GB)
pada 1998 hingga sekarang.

Anak jati Kuala Lumpur ini berpengalaman membuat liputan ehwal semasa dan politik negara, meliputi Perhimpunan
Agung Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Perang Teluk pertama 1991 dan persidangan antarabangsa serta lawatan
pemimpin Malaysia ke pelbagai negara termasuk Asia, Timur Tengah, Amerika dan Eropah sehingga ke Bosnia
Herzegovina.

Sebagai Pengurus Besar GB, beliau turut menghadiri pasaran dan festival filem di Cannes, Los Angeles, Gold Coast,
Hong Kong dan Dhaka.
Ikuti wawancara Editor Sinema Malaysia bersama beliau yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

SINEMA MALAYSIA (SM): GB adalah antara syarikat gergasi dalam industri perfileman yang menerbitkan pelbagai
genre filem. Boleh ceritakan latar belakang dan operasi GB?

AHMAD PUAD ONAH (AP): GB ditubuhkan pada 1994 sebagai sebuah syarikat produksi filem dan drama dengan
matlamat utama untuk mengeluarkan kandungan bukan sahaja bagi keperluan pawagam tetapi juga untuk stesen
televisyen TV3 sewaktu awal penubuhannya, dan kini untuk stesen-stesen TV dalam Kumpulan Media Prima Berhad
termasuk TV9 dan ntv7.

Kami memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak seni yang tamat pengajian dalam bidang perfileman, penyiaran
dan komunikasi massa. Mereka diberi peluang untuk mempraktikkan ilmu yang dipelajari sama ada sebagai pengarah,
penerbit, pelakon atau krew belakang tabir secara penuh masa, kontrak atau sambilan.

Dalam penerbitan filem, kami mengeluarkan empat hingga enam filem setahun, merangkumi pelbagai genre, daripada
drama masyarakat kepada kisah cinta, komedi dan cerita seram. Selain itu, GB turut mengadakan usaha sama dan
perkongsian penerbitan dengan syarikat-syarikat filem tempatan.

Satu lagi bidang perniagaan GB ialah menjadi pengedar filem untuk penerbit-penerbit yang tidak mempunyai kekuatan
dan pengalaman untuk mengendalikan promosi dan pengedaran filem. Selain filem tempatan, GB turut menjadi
pengedar filem asing, khususnya filem dari Hong Kong, Indonesia, Thailand dan Hollywood.

GB turut berfungsi sebagai pemasar kandungan TV daripada Kumpulan Media Prima ke pasaran antarabangsa. Selain
itu, kami turut bersaing dengan syarikat-syarikat penerbitan tempatan untuk menerbitkan drama bagi siaran televisyen.
Tahun ini matlamat kami ialah menerbitkan kira-kira 100 jam drama televisyen. Mulai pertengahan tahun ini, GB melalui
satu proses transformasi apabila Media Prima menghimpunkan semua jabatan penerbitan programnya, iaitu filem dan
drama, majalah dan dokumentari, program hiburan dan sukan yang sebelum ini diterbitkan secara berasingan oleh
TV3, ntv7, TV9 dan 8TV ke dalam GB. Berikutan langkah itu, nama GB ditukar kepada Primeworks Studios Sdn. Bhd.
Bagaimanapun, filem dan drama terbitan kami masih terus menggunakan jenama GB. Matlamat transformasi ini adalah
untuk menjadi sebuah syarikat produksi terunggul dalam pencetusan idea kreatif dan penerbitan program berkualiti
untuk edaran dan siaran di negara serantau dan dunia.

SM: Antara tuntutan negara ialah mengubah paradigma agar produk seni yang dihasilkan tidak sekadar memenuhi
tuntutan selera khalayak dan wajar mengajak penonton berfikir. Namun trend sekarang ialah 90 peratus filem dibuat
untuk memenuhi pasaran yang condong kepada komersial. Apakah pandangan saudara?

AP: Pada saya, penerbitan filem di negara ini boleh dibahagikan kepada tiga kategori. Pertama, penerbit yang
mengeluarkan filem untuk mengumpulkan kandungan bagi keperluan syarikat atau kumpulannya. Kategori ini
menerbitkan filem sebagai komoditi atau aset jangka panjang. Kedua, penerbit yang menghasilkan filem kerana minat
dan sebagai satu bidang perniagaan, manakala kategori ketiga ialah pengarah yang mencari penerbit atau menjadi
penerbit untuk menghasilkan filem bagi memenuhi minat kepada seni perfileman.

Walau apa pun matlamat penerbit-penerbit ini, yang utamanya adalah untuk mendapatkan pulangan bagi pelaburan
masing-masing. Namun, ini tidak bermakna mereka hanya mengutamakan komersialisme tanpa mengambil kira
tanggungjawab untuk memberi kesedaran, mendidik dan memberi teladan kepada penonton filem mereka.
Kita sedar ramai penonton filem bertumpu ke pawagam untuk mendapatkan hiburan dan melupakan masalah mereka
selama dua jam filem ditayangkan. Ada penonton yang tidak mengharapkan filem untuk mendidik atau mengajar
mereka, tetapi ada juga penonton yang mahu mendapat sesuatu maklumat atau pengalaman baru apabila menonton
filem.

Pada pandangan saya, kita perlu mengimbangkan tuntutan selera khalayak dengan keperluan menggunakan filem
sebagai medium untuk mengajak penonton berfikir. Tetapi sebagaimana saya nyatakan, penerbit filem tempatan, sama
ada yang mengeluarkan wang sendiri atau mendapat pembiayaan menerusi pinjaman atau penajaan perlu
mendapatkan pulangan supaya dapat terus menerbitkan filem atau membayar pinjaman.

GB mengimbangi kedua-dua aspek ini dengan mengeluarkan filem yang memberi pulangan dan pada masa sama
menjadi matlamat kami untuk menerbitkan satu atau dua filem setahun yang sesuai dan layak dipertandingkan di
festival-festival filem tempatan dan antarabangsa. Ini adalah untuk menguji keupayaan dan kemampuan kami dengan
menggunakan festival sebagai pengukur tahap pencapaian kami.

SM: Penerbitan filem di Malaysia dianggap berisiko tinggi memandangkan pasaran yang kecil dan pulangan yang tidak
menggalakkan. Apakah pandangan saudara secara umum sebagai pengeluar filem?

AP: Bidang penerbitan filem di negara ini masih kecil dan belum begitu sesuai diiktiraf sebagai satu industri. Daripada
kira-kira RM300 juta kutipan kasar pawagam di Malaysia, filem tempatan hanya mencatatkan 10 peratus atau RM30
juta dengan purata 25 hingga 30 filem dikeluarkan setahun. Ini kerana pasaran filem tempatan, khususnya filem
Melayu, hanya terhad kepada penonton Melayu.

Secara purata, jumlah penonton filem Melayu kira-kira 300,000 orang. Jika diambil harga purata tiket wayang RM7, ini
bermakna kutipan kasar berjumlah RM2.1 juta. Setelah ditolak bahagian pengusaha pawagam sebanyak 50 peratus, ini
bermakna penerbit hanya memperoleh RM1.1 juta, itu pun setelah dicampurkan dengan pulangan duti hiburan. Itulah
kos yang boleh dikeluarkan oleh seseorang penerbit untuk mengeluarkan dan memasarkan serta mempromosikan
sesebuah filem.

Keuntungan penerbit hanyalah daripada pendapatan sampingan, iaitu jualan hak video dan hak siaran televisyen.
Bagaimanapun, pendapatan yang diterima daripada kedua-dua sumber itu bergantung pada sama ada filem berkenaan
berjaya mencatat kutipan box-office. Tetapi, jika diambil kira tempoh masa yang diambil penerbit untuk menghasilkan
filem, daripada pengumpulan cerita, produksi, sehingga pengedaran, selama 12 hingga 18 bulan, keuntungan yang
diperoleh tidak banyak kerana perlu membayar pelbagai kos.

Perkiraan di atas hanya bagi filem yang berjaya memperoleh kutipan RM2 juta untuk dipanggil box-office. Bagaimana
pula filem-filem yang gagal mencatat kutipan sebanyak itu. Tentulah penerbitnya mengalami kerugian, dan tanpa
sumber kewangan yang kukuh, sudah pasti agak sukar bagi penerbit berkenaan hendak terus mengeluarkan filem. Jika
kita mengikut perkiraan di atas juga, adalah sukar untuk penerbit mengeluarkan filem dengan kos RM1.1 juta. Ini
kerana GB misalnya memperuntukkan RM500,000 untuk kempen promosi dan kos bulk print. Jika kita tolak peruntukan
itu, ini bermakna kos produksi hanya RM600,000. Mana mungkin kita dapat menghasilkan sebuah filem yang boleh
diterima oleh penonton yang membayar RM10 untuk ke pawagam dengan perbelanjaan sedikit itu.

Dalam keadaan semua harga perkhidmatan, keperluan peralatan dan upah yang terus meningkat, sesebuah syarikat
penerbitan perlu membelanjakan kira-kira RM1.2 juta untuk produksi sahaja. Apabila ditambah kos promosi, ini
bermakna kita perlu mencatat kutipan kasar RM3.4 juta untuk break-even.

Berdasarkan perkiraan inilah, penerbit filem di Malaysia banyak mengeluarkan filem genre drama masyarakat, sama
ada kisah cinta, komedi atau cerita seram. Untuk mengeluarkan filem yang memerlukan penggunaan imej janaan
komputer atau CGI dan pembinaan set yang besar, misalnya bagi sebuah filem bertaraf epik, perbelanjaan yang
diperlukan untuk produksi sahaja tentulah memerlukan lebih RM3 juta.

Lagi banyak kos dikeluarkan, lagi tinggi risiko yang dihadapi penerbit untuk mendapat pulangan. Bagaimanapun, ini
tidak bermakna tidak ada penerbit yang berjaya mencatat jumlah penonton melebihi 600,000 orang.

SM: Jika dilihat, kita lebih toleran menerima filem luar dan ini terbukti dengan kemasukan filem asing yang membanjiri
pasaran. Keadaan ini sangat berbeza dengan penerimaan filem kita di negara luar. Filem kita dikatakan agak sukar
diterima apatah lagi untuk menembusi pasaran luar. Mohon saudara jelaskan keadaan ini?
AP: Malaysia mengamalkan sistem pasaran bebas dalam kemasukan filem asing. Kecuali filem-filem yang gagal
melepasi tapisan LPF, pengedar filem bebas membawa masuk filem dari mana-mana negara, selagi ada pawagam
yang sedia menayangkannya. Dari satu segi, ini menunjukkan kerajaan kita mengambil pendekatan liberal dengan
membenarkan rakyat menilai sendiri kesesuaian filem yang hendak ditonton. Tetapi dari segi lain pula, pendekatan ini
menyekat peluang filem tempatan untuk bersaing dengan filem-filem yang dihasilkan dengan kos puluhan atau ratusan
juta ringgit, terutama dari Hollywood.

Beberapa negara jiran kita, misalnya Indonesia dan Thailand, mengehadkan kemasukan filem asing dengan
mengenakan syarat sama ada dialih suara ke dalam bahasa tempatan atau ditayangkan di pawagam yang terhad di ibu
negara berkenaan sahaja. China dan Korea pula mengehadkan jumlah filem asing yang boleh ditayangkan di negara itu
kepada kuota tertentu.

Sebaliknya, negara kita membenarkan kemasukan filem asing dengan syarat utama melepasi tapisan dan
meletakkan subtitle dalam bahasa Melayu.

SM: Pada pandangan saudara, adakah kita mampu menghasilkan filem yang sarat dengan nilai kemanusiaan serta
menggarap persoalan yang lebih serius mengenai isu-isu kemanusiaan sejagat seperti filem Alexander (2004) atau
filem lain yang memaparkan kehebatan budaya bangsa mereka?

AP: Kita tentulah tidak dapat menyaingi filem-filem berbajet besar yang dikeluarkan untuk sajian penonton dunia. Tetapi
ini tidak bermakna tidak ada ruang untuk penerbit tempatan mengeluarkan filem yang lebih mendekati nilai-nilai murni
Timur, jati diri, adat resam, budaya dan amalan agama kita sebagai tontonan alternatif bagi rakyat tempatan.

SM: Kebanyakan filem yang dihasilkan oleh negara Asia Timur seperti Iran, Jepun, China, Korea mengangkat budaya
warisan mereka melalui filem. Apakah pandangan saudara dalam konteks filem tempatan?

AP: Beberapa negara Asia, misalnya China dan Korea Selatan, mengetengahkan filem mereka ke persada
antarabangsa menerusi usaha permulaan kerajaan masing-masing membiayai penghasilan filem yang mengangkat
sejarah, budaya dan adat resam mereka. Langkah itu kini diikuti negara-negara lain seperti Singapura, Thailand dan
Vietnam. Kerajaan mereka memberi geran kepada penerbit dan pengarah tempatan untuk mengeluarkan filem berbajet
besar dan membiayai kempen pemasaran dan promosi di pasaran filem antarabangsa.

Melalui usaha permulaan ini, filem-filem mereka dikenali di peringkat antarabangsa serta berjaya menembusi pasaran
dunia. Hari ini penerbit dari negara-negara berkenaan sudah berani membiayai sendiri filem masing-masing kerana
pengedar dan pempamer filem asing sudah tahu dan mengenali hasil filem mereka.

Inilah galakan yang diperlukan oleh penerbit filem tempatan. Mereka yang sudah berjaya menerbitkan filem yang
mencatat kutipan box-office atau terbukti dapat membayar balik pinjaman sama ada filem mereka berjaya atau tidak,
perlu diberi peluang untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Harapan saya ialah kerajaan dapat membiayai penerbitan dua atau tiga filem berbajet sederhana besar pada setiap
tahun untuk dipasarkan di peringkat antarabangsa atau setidak-tidaknya dapat memberi persaingan sengit di festival-
festival filem. Tidak rugi rasanya pelaburan dalam penerbitan filem mengenai sejarah, adat, jati diri dan cara hidup
masyarakat berbilang kaum di Malaysia untuk tatapan dunia. Tetapi, jika hasrat ini hendak diserahkan sepenuhnya
kepada penerbit tempatan dengan pembiayaan mereka sendiri, saya berpendapat lamalah lagi untuk kita melihat filem
tempatan bersaing di pasaran antarabangsa.

SM: Sebagai pembikin filem, apakah cabaran besar yang dihadapi dan kekangan utama yang dihadapi oleh para
penggiat filem?

AP: Cabaran utama yang dihadapi oleh penerbit filem tempatan adalah untuk mendapatkan cerita yang baik. Kita
memerlukan lebih banyak penulis skrip dan lakon layar yang berkeupayaan untuk mengangkat pelbagai isu
masyarakat, tamadun dan budaya tempatan ke layar sinema. Saya percaya tidak ada salahnya untuk kita
mengadaptasi gaya penceritaan asing dengan cerita dan pendekatan tempatan asalkan kita tidak menciplak hasil kerja
orang lain. Hari ini kita dapat melihat Hollywood mengadaptasi filem-filem dari Hong Kong, Korea, Thailand dan India.

Kita sudah mempunyai beberapa institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus-kursus dalam bidang perfileman
terutama yang menghasilkan tenaga kerja kreatif di belakang tabir. Namun demikian, kita masih kekurangan sekolah
lakonan yang dapat melahirkan bakat-bakat lakonan. Yang kita ada ialah bakat yang dilahirkan oleh pengarah dan
penerbit atau pelakon yang mempelajari sendiri bidang lakonan. Keadaan ini menyebabkan muka-muka yang sama
dapat dilihat menerusi drama TV dan filem. Melainkan bakat-bakat berkenaan mampu memberikan lakonan berkarakter
yang berkesan dan sesuai dengan jalan cerita, amat sukar bagi kita menarik penonton untuk membeli tiket wayang jika
mereka dapat melihat pelakon berkenaan secara percuma di televisyen.

SM: Sebagai Presiden Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM), apakah pandangan saudara terhadap
senario industri perfileman masa kini dan dalam tempoh lima tahun?

AP: Saya berpendapat penerbit filem tempatan masih memerlukan “pertolongan” daripada kerajaan untuk
menghasilkan filem. Pembiayaan yang disediakan oleh Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan
menerusi FINAS dan SME Bank amat dihargai. Walaupun ia dalam bentuk pinjaman yang perlu dibayar balik,
sekurang-kurangnya ini dapat membantu penerbit memulakan projek. Bagaimanapun, seperti apa juga bidang
perniagaan, penerbit tidak bolehlah mengharapkan 100 peratus pinjaman daripada kerajaan. Sebaliknya, mereka perlu
mempunyai modal sekurang-kurangnya 30 peratus daripada sumber sendiri. Ini akan membuatkan mereka bekerja
dengan lebih tekun dan gigih lagi untuk mendapatkan pulangan.

Selain pinjaman, kerajaan juga wajar memberi geran kepada penerbit-penerbit yang berjaya untuk menghasilkan filem-
filem berunsur kenegaraan untuk ditayangkan di peringkat antarabangsa dan menambah khazanah filem kita bagi
tatapan golongan muda dan generasi akan datang. Sampai bila kita hendak bergantung pada filem Sergeant
Hassan, Bukit Kepong dan Leftenan Adnan untuk ditayangkan pada setiap kali ulang tahun kemerdekaan negara.

PFM amat menghargai pulangan duti hiburan yang diberikan oleh kerajaan. Bagaimanapun, bagi membolehkan lebih
banyak filem tempatan dihasilkan, PFM berpendapat cukai hiburan yang diterima kerajaan daripada filem-filem asing
yang ditayangkan di negara ini boleh dimasukkan sebahagian daripadanya ke dalam satu tabung dan digunakan untuk
membiayai penerbitan filem tempatan. Jika usaha ini dapat dilaksanakan, kita tidak perlu sampai kepada keadaan
penerbit tempatan menuntut kerajaan menyekat kemasukan filem asing bagi membolehkan filem tempatan mendapat
tarikh tayangan dan peluang ditayangkan lebih lama berbanding wajib tayang dua minggu sekarang.

Perancangan masa depan industri filem tempatan bagi saya ialah menggalakkan penerbitan lebih banyak filem tidak
kira dalam bahasa apa sekalipun. Dengan adanya volume yang tinggi, saya yakin satu hari nanti penerbit filem
tempatan berada dalam kedudukan yang membolehkan mereka “memaksa” pengusaha pawagam untuk memberi
keutamaan bagi penayangan filem tempatan dan bukan mengehadkan satu filem pada setiap dua minggu seperti hari
ini

SM: Berdasarkan pengamatan saudara, adakah situasi dan kondisi penerbitan filem di Malaysia mempengaruhi
penggiat filem mengeluarkan produk mereka?

AP: Saya bersetuju. Ini merupakan trend dan banyak bergantung pada selera dan penerimaan penonton. Berdasarkan
pengalaman, semacam ada satu cycle apabila penonton menggemari filem komedi, seram atau drama berat
sebagaimana pusingan minat penonton kepada filem Hindi dan Indonesia.

SM: Apakah harapan saudara terhadap FINAS?

AP: Bagai saya, FINAS telah berjaya memainkan peranannya sebagai agensi penggalakan dan pembangunan filem.
Langkah seterusnya ialah menjadi agensi pemasaran dan promosi filem tempatan di peringkat pasaran antarabangsa.

FINAS perlu menjadi sebuah suruhanjaya perfileman yang berfungsi sebagai penggerak utama industri filem tempatan.
Ia hendaklah menyediakan pembiayaan untuk penerbitan filem cereka, filem digital dan dokumentari, mewujudkan
budaya mencintai filem dan menghormati harta intelek, menyelaraskan kurikulum perfileman di institusi-institusi
pengajian tinggi bagi memenuhi keperluan industri, mengawal selia penerbitan filem tempatan dan penerbitan filem oleh
penerbit asing di Malaysia.

Ada pandangan mengatakan FINAS perlu membiayai pembukaan pawagam, khususnya di negeri-negeri yang tidak
mempunyai pawagam seperti di Kelantan, Terengganu dan Perlis. Bagi saya pembinaan dan pembukaan pawagam
adalah satu bidang perniagaan dan harus diusahakan oleh sektor swasta. Tetapi FINAS boleh membantu dengan
memberikan pembiayaan awal bagi membolehkan pengusaha pawagam menyediakan projektor digital di pawagam-
pawagam luar bandar bagi
Di sini saya juga ingin menyentuh dan menyokong usaha FINAS memperkenalkan penubuhan kelab-kelab pencinta
filem di peringkat sekolah dan pusat pengajian. Langkah ini dapat menanam semangat cinta akan filem dan hasil seni
tempatan kepada rakyat kita sejak mereka di bangku sekolah. Menerusi pendekatan ini juga, diharapkan mereka dididik
mengenai pentingnya menghormati hak intelektual dan kreatif orang lain dengan tidak membuat salinan haram atau
membeli DVD cetak rompak. Jika kita diajar bahawa mencuri wang walau 10 sen sekalipun adalah satu dosa, kita juga
tidak harus “mencuri” hak cipta orang lain.

Saya juga tertarik dengan usaha FINAS kebelakangan ini iaitu menerbitkan buku perfileman. Jika dilihat, kita memang
ketandusan buku-buku filem berbahasa Melayu. Kajian dan penulisan buku berkaitan perfileman berbahasa Melayu
amat kurang di pasaran. Usaha FINAS menerbitkan buku-buku berkaitan adalah wajar kerana ia bukan sahaja dapat
menjadi rujukan kepada warga industri, pelajar perfileman dan pencinta filem tetapi secara tidak langsung
meningkatkan ilmu pengetahuan kalangan karyawan.

SM: Sinema Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudian saudara untuk berkongsi pandangan tentang
industri perfileman tempatan.

AP: Sama-sama. Saya juga berterima kasih kerana memberi ruang kepada saya menyatakan sesuatu yang berkaitan
industri.
1. Terlebih dahulu izinkan saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak
Kementerian Kebudayaan, Perpaduan, Kesenian dan Warisan dan kepada FINAS di atas kesudian untuk
menjemput saya ke majlis yang penuh bermakna ini. Saya kira majlis pada malam ini amat penting
dalam susur galur pembangunan industri perfileman tanah air, dengan majunya kita setapak lagi dalam
lapangan teknologi pembikinan filem. 

2. Saya amat berbesar hati di atas penghormatan yang diberikan untuk saya merasmikan Studio Digital
Mixstage FINAS ini, yang merupakan komponen penting dalam melonjakkan industri perfileman Malaysia
ke tahap yang lebih tinggi dan membanggakan. 

Tuan-tuan dan puan-puan, 

3. Banyak perkara yang telah diperkatakan tentang industri filem tempatan oleh pelbagai pihak. Industri
ini, sebenarnya telah lahir sejak zaman pra-merdeka lagi, iaitu lebih 75 tahun yang lampau, ketika filem
Melayu pertama diterbitkan di Singapura pada tahun 1932. Dalam tempoh yang lama itu, industri
perfileman telah mengalami pelbagai perubahan dan pembaharuan, kejayaan dan juga cabaran. Ada
yang menyebut bahawa industri ini telah pun mengecap detik kegemilangannya pada tahun 50-an dan
60-an, ketika filem-filem tempatan mendapat sambutan sungguh hangat dan berjaya mengharumkan
nama negara di kalangan negara-negara serantau. 

4. Namun begitu ramai juga yang berpendapat bahawa sejak beberapa dekad yang lalu, industri filem
tempatan agak ketinggalan, mungkin kerana fenomena globalisasi yang mendedahkan lebih ramai
rakyat Malaysia kepada filem-filem antarabangsa khususnya dari barat. Mungkin juga filem-filem
tempatan menerima kesan dengan perkembangan teknologi terkini yang mempermudahkan lagi para
pengguna mendapatkan filem asing dalam bentuk pita video dan cakera padat, apatah lagi dengan
menularnya gejala cetak rompak. 

5. Yang jelas, faktor-faktor ini adalah antara faktor utama yang mempengaruhi pasaran filem dan
membawa kesan negatif kepada industri filem tempatan. Justeru itu bermulalah “vicious cycle” apabila
kutipan dari jualan filem berkurangan yang menyebabkan modal pusingan serta pelaburan bagi
pembikinan filem juga berkurangan dan akhirnya faktor kewangan ini mempengaruhi mutu dan hasil
kerja pengusaha-pengusaha filem. 

6. Bukan sahaja aspek teknikal pembikinan filem terjejas disebabkan kekurangan dana, tetapi aspek-
aspek lain juga terganggu termasuklah penghasilan skrip dan pemilihan bakat-bakat bagi menjayakan
sesebuah filem. Apabila mutu filem dari segi penerbitan dan hasil seni terjejas akibat faktor kos, lama
kelamaan filem-filem yang dihasilkan dalam keadaan demikian mengalami kesukaran untuk menambat
hati penonton. Lebih-lebih lagi apabila diambil kira kematangan penonton filem hari ini, yang
mempunyai cita rasa tinggi dalam memilih filem yang ingin ditonton. 

7. Namun begitu, kita bersyukur kerana industri filem tempatan masih terus bertapak, dan masih
terdapat filem-filem yang diterbitkan yang mendapat sambutan yang hebat di kalangan penggemar
filem Melayu. Yang perlu kita semua sedari ialah sememangnya masih banyak ruang untuk kita perbaiki
dan mantapkan lagi industri perfileman kita agar dapat dikatakan bahawa industri perfileman kita
setanding dengan industri-industri filem negara lain yang lebih maju dan terkenal. Yang penting,
pengusaha-pengusaha filem perlu sentiasa sedar dan peka akan cita rasa penonton filem yang sering
berubah dan sentiasa berkeinginan untuk menonton sesuatu yang baru. 

8. Di sinilah letaknya peranan FINAS yang amat besar dan penting. Pemerhatian serta bimbingan FINAS
diperlukan bagi menjamin mutu filem yang dihasilkan. Saya amat gembira dengan sasaran FINAS yang
dinyatakan menerusi Pelan Strategik bagi tahun 2009 sehingga tahun 2013 untuk memastikan
penerbitan 50 filem dari pelbagai genre setahun, berbanding purata 20 hingga 25 filem setahun pada
masa kini. Saya benar-benar berharap sasaran 50 filem ini boleh dicapai. Saya percaya dalam mengejar
sasaran ini, mutu dan nilai seni setiap penerbitan akan diberikan penekanan yang sewajarnya oleh pihak
FINAS agar bukan sahaja matlamat kita tercapai dari segi kuantiti, tetapi ia juga tercapai dari segi
kualiti. Saya juga difahamkan bahawa FINAS menyasarkan purata 500,000 penonton bagi setiap filem
dalam tempoh Pelan Strategik tersebut. Ini merupakan satu cabaran yang besar bagi FINAS, namun
begitu, saya yakin bahawa ianya mampu dicapai jika semua pihak yang terlibat dalam industri filem
termasuklah tuan punya panggung wayang bekerjasama dan filem-filem yang dihasilkan berkualiti tinggi
dan menepati cita rasa penggemar-penggemar filem. 

9. Dari segi pengukuhan aspek teknikal industri ini pula, dengan adanya Studio Digital Mixstage ini
FINAS bukan sahaja mampu memantapkan penghasilan filem-filem tempatan, tetapi lebih dari itu, ia
kini berupaya untuk memposisikan Malaysia sebagai antara destinasi “post-production” terbaik dirantau
ini. 

10. Dalam kata lain, bukan sahaja filem-filem tempatan tidak lagi perlu ke negara jiran untuk proses
“Post–Production” yang melibatkan adunan suara dan suntingan kesan bunyi (dubbing and sound effects
editing), malah penerbit-penerbit filem asing juga boleh ditarik ke Malaysia untuk menjalankan proses
yang sama bagi filem-filem mereka. Ini amat selari dengan hasrat kita untuk memasarkan Malaysia
sebagai destinasi perfileman yang baik, yang memiliki kepelbagaian lokasi yang sesuai untuk pelbagai
bentuk filem. 

11. Dengan adanya kemudahan studio ini, maka promosi Malaysia sebagai destinasi perfileman yang
lengkap lebih mudah dijalankan. Insya-Allah, FINAS akan mampu memanfaatkan sepenuhnya studio
canggih ini dan hasrat serta sasarannya akan mampu dicapai dalam masa yang ditetapkan. 

12. Bagi pihak kerajaan, sudah tentu industri ini tetap dianggap penting dan akan terus diberikan
perhatian sewajarnya. Antara lain kerajaan akan melaksanakan inisiatif-inisiatif yang selaras dengan
Dasar Perfileman Negara termasuklah: 

• Mempertimbangkan tambahan dana Skim Pinjaman Filem Cereka dari RM50 juta kepada RM100 juta; 

• Mewujudkan peruntukan khas bagi menyokong usaha-usaha mempromosikan serta penerokaan


pasaran baru bagi filem-filem Malaysia ke peringkat antarabangsa; 

• Memperluaskan kerjasama penerbitan dokumentari dan animasi dengan saluran antarabangsa; 

• Menimbang untuk melengkapkan lagi kemudahan Kompleks FINAS untuk kegunaan industri; dan 

• Mengkaji insentif khas galakan penggambaran filem asing di Malaysia. 

13. Selain itu, bagi memperkasakan aktiviti persatuan perfileman terutamanya yang bernaung di bawah
Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) dan juga persatuan yang memperlihatkan
kemampuan menjalankan program kebajikan dan peningkatan profesionalisme, saya dengan
sukacitanya mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk geran batuan pengurusan yang
disalurkan melalui FINAS kepada setiap persatuan ditingkatkan dari RM20,000 setahun ke RM30,000
setahun. Ini adalah bagi membolehkan persatuan terus fokus merangka dan melaksanakan program
pembangunan di kalangan ahli-ahlinya. 

14. Demikianlah prihatinnya kerajaan terhadap industri perfileman tanah air, yang sebenarnya memiliki
potensi besar untuk maju dan berkembang sebagai salah satu industri utama yang menyumbang
kepada ekonomi negara. Saya berkeyakinan bahawa hasrat dan wawasan kita bagi industri ini akan
mampu kita capai jika semua pihak berusaha dan memainkan peranan masing-masing. Insya-Allah
dengan bimbingan dari pihak Kementerian dan dengan pemantauan serta inisiatif-inisiatif yang khusus
dari pihak FINAS terutamanya, Industri Filem Malaysia akan lebih kukuh dan mantap, dan filem-filem
yang diterbitkan akan mampu bersaing dengan filem-filem yang dihasilkan dari mana-mana jua negara
lain. 

Tuan-tuan dan puan-puan, 

15. Sekali lagi saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Kementerian Kebudayaan,
Perpaduan, Kesenian dan Warisan, dan syabas serta tahniah saya rakamkan kepada pihak FINAS di atas
bermulanya operasi studio yang serba canggih ini. Saya doakan agar usaha-usaha kita untuk
memajukan lagi industri filem negara akan terus berjaya. Maka dengan itu, dengan lafaz
Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Studio Digital Mixstage Finas ini. 
Ibu Bapa Dan Guru Main Peranan Kawal Anak Daripada
Pengaruh Filem Asing

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Kerajaan menggalakkan ibu bapa dan guru
memainkan peranan mengawal anak-anak supaya tidak terlalu terpengaruh dengan
tayangan filem asing sehingga boleh menjejaskan nilai-nilai murni ketimuran.

Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Joseph Salang Gandum mengakui
sukar bagi kerajaan untuk mengelakkan rakyat daripada terpengaruh dengan filem
negara asing memandangkan terdapat begitu banyak teknologi baru dalam bidang
berkenaan.

"Kita sendiri terdedah kepada macam-macam tayangan yang ada tapi kita boleh pilih
(tayangan yang ingin ditonton) daripada televisyen swasta atau kerajaan," katanya
menjawab soalan tambahan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) pada
persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Shamsul Anuar ingin tahu sama ada kerajaan ada membuat sebarang kajian mengenai
kesan buruk terhadap pembangunan modal insan hasil daripada rakyat yang
terpengaruh dengan tayangan filem asing.

Joseph berkata tugas itu menjadi bertambah sukar apabila stesen televisyen negara
didigitalkan tidak lama lagi.

Katanya satu cara menanganinya ialah dengan kerajaan dan kementerian menyediakan
tabung bagi membolehkan pembikinan lebih banyak kandungan tempatan agar dapat
menampung keperluan semua stesen televisyen di negara ini.

Ketika menjawab soalan asal Shamsul Anuar yang ingin tahu mengapa terlalu banyak
filem atau rancangan luar negara disiarkan di stesen televisyen tempatan, Joseph
menjelaskan sebanyak 60 peratus kandungan di stesen televisyen adalah dalam bahasa
Melayu dan 40 peratus tayangan dalam bahasa asing.

Katanya kerajaan sentiasa memantau dan menapis kandungan filem luar negara yang
ditayangkan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Penapisan Filem
2002.

-- BERNAMA 

You might also like