You are on page 1of 13

1

1.0 Pengenalan

Zakat adalah alat yang penting dalam mengimbangi sosio-ekonomi umat Islam. Masyarakat
Islam secara umumnya telah mengetahui bahawa zakat adalah rukun Islam yang keempat dan
diwajibkan ke atas semua muslim yang layak untuk membayar zakat. Zakat wajib dikenakan ke
atas semua harta yang disepakati atau yang telah tekmaktub dalam Al-Quran, As-Sunnah dan
dalil-dalil yang sahih.

Pengurusan zakat di negara kita adalah terletak di bawah bidang kuasa dan
tanggungjawab negeri masing-masing. Kebanyakan negeri, pengurusan zakat diletakkan di
bawah pengurusan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan terdapat juga di sesetengah negeri
diwujudkan institusi khas yang agak tersendiri oleh MAIN untuk menguruskan pembayaran
zakat. Bermula dengan kewujudan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) di Wilayah Persekutuan dalam
tahun 1991 dan seterusnya telah diikuti oleh beberapa negeri yang lain seperti Lembaga Zakat
Selangor (MAIS), Pusat Urus Zakat (PUZ) di Pulau Pinang, Pusat Kutipan Zakat (PKZ) di
Pahang, Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) dan Pusat Zakat Melaka (PZM). Majlis Agama
Islam Negeri-Negeri berkenaan telah mewujudkan anak syarikat atau perbadanannya sendiri
untuk mengurus kutipan zakat secara korporat dan profesional melalui proses penswastaan zakat.

Walaupun kesedaran tentang pembayaran zakat dalam kalangan masyarakat islam telah
meningkat, namun masalah bocoran, masalah penentuan harta yang dizakatkan serta
ketidaksedaran golongan profesional mengenai pembayaran zakat masih lagi wujud pada hari ini.
Jabatan Agama telah mengambil inisiatif dengan mengadakan kempen kesedaran kepada
masyarakat Islam tentang kewajipan untuk membayar zakat. Meskipun kempen yang dilakukan
oleh Jabatan Agama didapati telah memberi kesan kepada masyarakat tetapi hal ini tidak dapat
menambah hasil kutipan zakat secara signifikan. Sambutan dingin tersebut dipercayai telah
berpunca daripada tanggapan masyarakat tentang ketidakcekapan pengurusan zakat oleh Jabatan
Agama dalam menguruskan agihan wang zakat tersebut. Tanggapan sedemikian adalah berpunca
daripada beberapa isu negatif berkenaan zakat yang masih membelenggu pemikiran masyarakat
Islam dan menyebabkan kurang kesedaran terhadap kewajipan pembayaran zakat.
2

Banyak kajian berkenaan dengan zakat yang hanya menjurus kepada aspek kutipan iaitu
bagaimana hasil kutipan zakat dapat ditingkatkan dan kaedah yang berkesan untuk pengagihan
zakat (Mohd Ali et.al,2003; Abdul Monir, 1994; Mohd Parid, 2001). Menurut Mohd Parid
(2001) telah membincangkan pelbagai kaedah pengagihan zakat menurut perspektif Islam.
Menurut beliau pengagihan zakat perlu mencapai satu tahap kecukupan dan keselesaan
kehidupan golongan penerima zakat serta keluarga yang ditanggungnya selain agihan tersebut
perlu mencapai kadar tertentu yang boleh menjamin kualiti hidup yang berterusan. Kajian dan
perbincangan tentang kewajipan zakat bagi harta yang diikhtilaf telah lama dibincangkan. Sayid
Saiq (1981), Wahbah al-Zuhaili (1994) telah menyentuh beberapa persoalan tentang mewajibkan
zakat bagi harta yang diikhtilaf namun masih terdapat perbezaan pandangan oleh para fuqaha.

2.0 Konsep Zakat


Zakat merupakan satu pembayaran yang wajib dikeluarkan oleh orang tertentu berdasarkan
kepada syarat-syarat tertentu dan diagihkan kepada golongan tertentu dan ianya juga boleh
dianggap sebagai salah satu alat dasar fiskal disamping sistem kewangan Islam yang berperanan
sebagai sumber kewangan dan penyelaras bagi kebajikan sosial masyarakat (Sanep, 2004).
Zakat secara umumnya bermakna penambahan. Ianya juga mambawa makna bersih, subur,
berkat dan jernih (Ibn Manzur, 1990). Daripada sudut hukum fiqh ianya bermaksud
mengeluarkan kadar tertentu daripada harta tertentu untuk faedah golongan tertentu sebagaimana
ditentukan oleh Allah. (Ibn Qudamah,1968). Kadang-kadang ia membawa maksud yang sama
dengan sedekah (Al-Mawardi, 1978).

Apabila dilihat dari sudut ekonomi, zakat merupakan salah satu sumber bagi pendapatan
negara dan merupakan alat untuk membasmi kemiskinan masyarakat Islam . Zakat dikutip untuk
mencapai beberapa matlamat yang telah digariskan seperti menyucikan harta dan jiwa pembayar
zakat. Zakat adalah salah satu daripada sumber pembiayaan utama bagi mencapai matlamat-
matlamat kebajikan dan pembangunan yang selaras dengan peruntukan syarak untuk diagihkan
kepada kelapan-lapan asnaf zakat (Sanep, 2004).

Namun begitu, zakat juga dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu zakat yang
diikhtilaf dan zakat yang diiktifak. Zakat yang diikhtilaf adalah harta yang tidak disepakati wajib
3

zakat atasnya oleh para fuqaha manakala zakat yang diiktifak bermaksud harta yang disepakati
wajib zakat oleh para fuqaha berdasarkan dalil al-Quran dan al-Hadis.(Sanep & Hairunnizam,
2004). Pada masa kini zakat yang diiktifak hanya bergantung kepada zakat harta yang disepakati
zakat atasnya sahaja iaitu zakat atas tanaman makanan asasi seperti gandum, beras dan jagung serta
haiwan ternakan seperti lembu, biri-biri, kambing dan unta manakala bagi hasil galian seperti emas
dan perak. Berlainan dengan zakat harta diikhtilaf yang terdiri daripada empat kategori
perusahaan utama iaitu perolehan pendapatan wang, profesional dan terimaan seperti gaji,
pendapatan bebas, bon dan saham; hasil tanaman seperti kelapa sawit, getah dan kelapa; hasil
ternakan seperti ternakan ayam, ikan dan itik; hasil perlombongan dan galian seperti timah, bijih
besi, permata dan minyak.

3.0 Peranan Zakat

Peranan zakat meliputi bidang moral, sosial, dan ekonomi. Dalam bidang moral, zakat boleh
ditafsirkan untuk mengikis ketamakan dan untuk mengagihkan sumber kekayaan, berlainan pula
peranan zakat dalam bidang sosial iaitu zakat berfungsi untuk menghapuskan kemiskinan
masyarakat. Dalam bidang ekonomi pula peranan zakat dilihat untuk mencegah penumpukan
kekayaan orang kaya dan merupakan sumbangan wajib orang Islam untuk perbendaharaan
negara. Daripada ketiga-tiga peranan zakat ini dapat disimpulkan bahawa zakat adalah alat yang
penting dalam mengimbangi sosio-ekonomi umat Islam dalam negara kita.

4.0 Masalah-Masalah Pembayaran Zakat


4.1 Bocoran Zakat
Faktor yang menyebabkan berlakunya kekurangan jumlah hasil dalam pungutan zakat oleh
Jabatan Agama Islam Negeri ialah kerana ketidakpatuhan sesetengah individu untuk membayar
zakat khususnya zakat bagi harta yang diiktifak, disamping berlakunya bocoran dimana individu
yang membayar zakat, lebih suka membuat bayaran terus kepada asnaf daripada membayar terus
melalui institusi zakat. Didapati sehingga kini peranan institusi zakat sebagai badan untuk
membantu golongan miskin tidak dapat diserlahkan dan kurang meyakinkan masyarakat.
Kekurangan hasil kutipan zakat ini menyebabkan ianya tidak mencukupi untuk digunakan bagi
membantu golongan asnaf sebagaimana yang sepatutnya.
4

Bocoran bayaran zakat berlaku disebabkan agihan zakat dikatakan tidak memuaskan
pembayar zakat serta asnaf yang terlibat dimana ketidakadilan berlaku dalam proses pengagihan
tersebut. Bocoran dalam zakat bermaksud terdapat individu yang enggan membayar zakat
melalui jabatan agama atau institusi kutipan zakat.

4.2 Keberkesanan Agihan Zakat


Nilai bantuan zakat yang diberikan amat sedikit berbanding keperluan kehidupan semasa.
Pencapaian kutipan zakat yang tinggi dan meningkat dari tahun ke tahun oleh pusat zakat setiap
negeri tidak dapat dinafikan lagi. Namun kumpulan fakir miskin masih lagi ramai dan jumlahnya
didapati masih meningkat kebelakangan ini. Keberkesanan agihan terhadap kualiti hidup fakir
miskin masih dipersoalkan. Walaupun dari segi pendapatan, golongan ini masih lagi
dikategorikan miskin tetapi mereka mungkin telah berasa berkecukupan dengan kualiti hidup
sedia ada atau berkemungkinan mereka telah melepasi garis kemiskinan zakat, tetapi perasaan
mereka masih dibelenggu kemiskinan masih lagi wujud disebabkan kualiti hidup mereka yang
rendah.

4.3 Penentuan Harta Yang Dizakatkan


Masalah penentuan harta yang dizakat terjadi di negara kita kerana tiada keseragaman atau
kesepakatan dalam menguruskan pembayaran zakat. Hal ini adalah disebabkan zakat diurus
mengikut Majlis Agama mengikut negeri masing-masing. Hal ini dapat kita lihat iaitu pada tahun
1997, Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa gaji atau pendapatan individu Islam
adalah diwajibkan atasnya zakat. Walaupun begitu hanya negeri Perak sahaja telah mewartakan
bahawa zakat pendapatan hasil penggajian adalah tidak wajib diambil sejak tahun 2004.
Sumbangan kutipan zakat pendapatan terkecuali negeri Perak kepada jumlah keseluruhan zakat
di Malaysia adalah masih tinggi iaitu sekitar 40 peratus ke 60 peratus setahun.

4.4 Kurangnya individu Yang Membayar Zakat


Dalam masyarakat Islam hari ini masih ramai lagi individu yang tidak menunaikan tangungjawab
untuk membayar zakat terutamanya golongan profesional. Bilangan pembayar zakat pendapatan
dalam kalangan profesional didapati masih lagi di tahap yang rendah (Laporan Zakat,2001). Data
daripada Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) juga
menunjukkan bahawa bilangan kakitangan profesional yang membayar zakat adalah relatif kecil
5

bagi setiap kategori pembayar mengikut jenis pekerjaan. Keadaan ini terus berlaku walaupun
pelbagai usaha dan kemudahan pembayaran telah ditingkatkan seperti tambahan prasarana
kutipan, kemudahan pembayaran melalui potongan gaji, pembukaan kaunter zakat di bank dan
pejabat pos, Kawanku Phone Banking Maybank dan kemudahan atas talian (Maybank 2U).

4.5 Masalah Penentuan Harta Zakat

Dalam penentuan harta yang patut dizakat masih wujud perbezaan oleh ulama dalam
menentukan nilai harta bagi zakat terutama bagi zakat harta yang diikhtilaf. Hal ini bermakna
bahawa zakat sepatutnya dikenakan kepada harta lain selain yang disepakati ulama. Mungkin
rasional daripada sudut alam sekitar adalah usaha ke atas harta lain turut menjejaskan alam dan
persekitaran (kesan eksternaliti) sebagaimana usaha ke atas harta yang lain yang disepakati wajib
zakat. Oleh itu tindakan sewajarnya harus diambil ke ata hasil semua aktiviti ekonomi yang
memberi kesan kepada persekitaran perlu juga dikongsi bersama oleh orang lain. Sekiranya jenis
harta tambahan (ikhtilaf) boleh dizakat, terdapat masalah dalam menentukan kaedah pengiraan
zakat harta tersebut. Persoalannya wujud walaupun usaha tersebut secara bendanya (ain) tidak
diwajibkan zakat tetapi mungkin secara illahnya boleh dikenakan zakat.

5.0 Faktor-Faktor Mempengaruhi Kesedaran Membayar Zakat

5.1 Keimanan Dan Kefahaman Agama

Keimanan merupakan faktor pendorong yang sangat penting dalam mempengaruhi kesedaran
membayar zakat di Malaysia. Kajian Hairunnizam, Sanep & Mohd Ali (2003) menyatakan
semakin tinggi tahap keimanan seseorang maka seseorang individu muslim itu akan cenderung
untuk membayar zakat. Keimanan individu dapat ditingkatkan melalui kefahaman melalui
pegangan agama yang dianutinya. Apabila individu memahami tuntutan agama untuk
menunaikan zakat maka keimanan seseorang itu akan bertambah kerana kecenderungan
membayar zakat dipengaruhi oleh faktor dalaman individu tersebut. Justeru keimanan dikatakan
sebagai pemangkin dalam menentukan tindakan seseorang individu terutamanya muslim
(Qadrawi,1988).
6

5.2 Pengetahuan tentang Zakat


Pengetahuan dan pendidikan mengenai zakat amat mempengaruhi pembayaran zakat kepada
individu. Kesedaran tentang kepentingan zakat dapat ditingkatkan melalui pendidikan dan
pengetahuan kepada seseorang sekaligus dapat meningkatkan kecenderungan untuk membayar
zakat misalnya melalui aktiviti ceramah, kempen dan sebagainya. Kajian Mohd Ali, Hairunnizam
& Sanep (2003) telah membuktikan bahawa aspek pengetahuan zakat amat signifikan dalam
mempengaruhi pembayaran zakat. Faktor pendidikan dan pengetahuan mestilah bergerak seiring
bagi memberi masyarakat benar-benar memahami kewajipan untuk membayar zakat. Ianya
menjelaskan semakin tinggi tahap pendidikan, semakin tinggilah pengetahuan agama kerana
pengetahuan agama yang luas serta sikap keterbukaan dan kesungguhan mereka mencari
pelbagai ilmu pengetahuan termasuklah mendalami ajaran Islam.

5.3 Sikap

Kajian Kamil (2002) mendapati faktor sikap adalah penentu penting bagi kepatuhan individu
untuk membayar zakat khususnya zakat terhadap harta yang diikhtilaf seperti zakat pendapatan.
Elemen-elemen sikap meliputi sikap malas, rajin, bertanggungjawab dan prihatin. Hal ini kerana
sikap adalah merupakan faktor dalaman individu. Dalam teori kognitif mengatakan bahawa nilai
dan moral individu mempengaruhi gelagat kepatuhan untuk membayar zakat (Qadrawi, 1988).
Oleh itu sikap merupakan satu faktor yang mendorong kepada kepatuhan membayar zakat
melalui institusi formal, swasta dan elektronik.

5.4 Persepsi Agihan Zakat

Terdapat hubungan yang signifikan antara persepsi agihan zakat oleh pembayar zakat dengan
pembayaran zakat di institusi formal (Sanep & Hairunnizam, 2004). Hal ini disebabkan oleh
andaian bahawa berlakunya pengurusan yang tidak cekap, pecah amanah, kebocoran wang, serta
agihan zakat yang tidak seimbang yang wujud di institusi-institusi formal sekaligus
menyebabkan pembayar zakat membayar zakat di institusi tak formal atau memberikan zakat
secara terus kepada asnaf yang layak menerimanya. Biarpun wujudnya ketakseimbangan
kepatuhan membayar zakat secara formal dan tidak formal namun begitu masih ramai yang
berminat membayar zakat secara formal berbanding dengan tidak membayar secara formal.
7

5.5 Jantina

Peratusan jantina lelaki membayar zakat adalah lebih banyak berbanding dengan perempuan
mengikut kajian (Sanep & Hairunnizam, 2004).Hal ini adalah kerana lelaki lebih memahami
tentang tanggungjawab untuk berkongsi perolehan dengan orang lain berbanding perempuan.
Selain itu, sikap lelaki yang berfikiran lebih terbuka, lebih terdedah dengan pembaharuan dan
lebih mudah menerima perubahan. Golongan lelaki juga dikatatakan lebih terlibat dengan soal
agama dan persekitaran.

Namun begitu, terdapat banyak faktor lain yang menyumbang kepada kesedaran
pembayaran zakat. Antara faktor-faktor lain yang dapat mempengaruhi pembayaran zakat ialah,
umur, taraf perkahwinan, taraf pendidikan, jenis pekerjaan, aliran pendidikan, jumlah
pendapatan, bilangan tanggungan, perbelanjaan bulanan serta kepercayaan kepada institusi
pengutip zakat,kefahaman politik yang berbeza dan kemudahan pembayaran.

6.0 Kesan Bantuan Zakat

Sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) lagi kerajaan menekankan matlamat membasmi kemiskinan
terutamanya kepada kaum bumiputera. Walaupun kerajaan telah banyak menjalankan dasar serta
strategi tertentu, namun jumlah isirumah orang melayu yang miskin masih lagi tinggi. Selain itu,
zakat telah menjadi salah satu alternatif bagi membasmi kemiskinan. Antara kesan-kesan
bantuan zakat ialah;

6.1 Meningkatkan Pendapatan

Sekiranya masyarakat islam telah membayar zakat dengan cara yang sepatutnya, pendapatan
negara mungkin akan meningkat. Dengan ini, kerajaan dapat membelanjakan penerimaan zakat
berkenaan dengan baik dan berkesan untuk semua rakyat yang memerlukannya. Dari aspek
masyarakat pula, golongan fakir miskin yang menerima sumbangan zakat akan dapat menikmati
cara hidup yang lebih baik berbanding dengan sebelumnya dan mereka mungkin dapat
merasakan kehidupan yang lebih terautur dan selesa.
8

6.2 Pendidikan

Apabila dilihat dari aspek pendidikan pula, anak-anak penerima zakat berjaya mencapai
pendidikan yang berkualiti hasil daripada bantuan daripada pihak kerajaan dan
berkemungkinan daripada bantuan wang zakat yang telah diberi oleh pihak Majlis Agama
Negeri, walaupun kesan zakat tidak begitu besar terhadap kualiti pendidikan anak-anak mereka.
Hal ini disebabkan kerana pihak kerajaan telah pun menyediakan bantuan pendidikan termasuklah
bantuan yuran, biasiswa dan makanan di sekolah untuk keperluan anak-anak golongan yang
berpendapatan rendah ini. Oleh itu bantuan zakat kepada golongan miskin terhadap pendidikan
hanyalah sebagai pelengkap sahaja walaupun nilai bantuan yang diberikan amat kecil. Hal ini
menunjukkan golongan miskin pada hari ini telah mula memberi perhatian terhadap pendidikan
untuk anak-anak mereka.

6.3 Peluang Pekerjaan.

Apabila institiusi zakat diswastakan seperti pusat-pusat pemungut zakat seperti Pusat Zakat
Selangor (PZS) Pusat Pungutan Zakat (PPZ) di wilayah persekutuan dan sebagainya, hal ini
menunjukkan bahawa penswastaan institusi zakat tersebut telah dapat meningkatkan prestasi
pungutan zakat walaupun tidak signifikan. Kesan daripada penubuhan institusi zakat ini juga
boleh mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat Islam terutamanya golongan yang
amat memerlukan terutamanya golongan yang menerima zakat. Langkah ini secara tidak
langsung dapat meningkatkan pendapatan golongan penerima zakat dan membolehkan
penerima zakat menjalani kehidupan yang lebih sempurna berbanding sebelumnya.

6.4 Sebagai Satu Cara Ibadah

Masyarakat Islam di negara ini telah mengetahui zakat adalah salah satu ibadah yang wajib
ditunaikan dan merupakan Rukun Islam yang keempat. Ibadah zakat ini boleh membersihkan diri
seseorang individu itu daripada sifat bakhil dan kedekut, selain itu juga ianya dapat membentuk
seseorang individu itu untuk bersifat pemurah, rajin berusaha dan suka menolong orang yang
susah dan memerlukan. Kesimpulannya banyak kesan yang boleh dipupuk sekiranya ibadah
zakat ini direalisasikan dalam kehidupan masyarakat Islam pada hari ini.
9

Firman Allah dalam surah At-Taubat, ayat 103, bermaksud :

"Pungutlah zakat daripada harta mereka supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari
dosa) dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doa itu menjadi ketenteraman bagi
mereka".

6.5 Meningkatkan Sosio Ekonomi

Ibadah zakat juga boleh memberi kesan kepada sosio-ekonomi kepada masyarakat dalam negara
kita. Zakat adalah salah satu ibadah yang mampu untuk meningkatkan taraf hidup golongan
masyarakat dengan mengurangkan bilangan isi rumah dan kualiti hidup golongan miskin secara
keseluruhannya. Oleh itu, golongan penerima zakat ini tidak tersisih daripada masyarakat
kerana selama ini telah dibelenggu kemiskinan malah mempunyai hubungan yang semakin erat
dengan masyarakat setempat sekiranya saling membantu antara satu sama lain. Hal ini adalah
kerana setiap Muslim adalah bersaudara disamping dapat mengeratkan hubungan silaturahim
yang ada antara mereka.

7.0 Langkah-Langkah Untuk Meningkatkan Hasil Kutipan Zakat

7.1 Meningkatkan Kefahaman dan Kesedaran Individu untuk Membayar Zakat

Pengetahuan tentang keperluan membayar zakat adalah penting dalam kalangan masyarakat
supaya masyarakat lebih mengetahui tentang kewajipan untuk membayar zakat bagi masyarakat
Islam. Hal ini boleh dilakukan dengan pihak institusi pungutan zakat perlu mengadakan program
kesedaran dan pemahaman tentang zakat dari semasa ke semasa untuk meningkatkan hasil
kutipan zakat di negara kita. Program kesedaran boleh dilakukan dalam bentuk penerangan,
ceramah, forum, kempen dan sebagainya bagi memberi pendedahan secara umum tentang
kewajipan membayar zakat.

Tumpuan utama kepada program ini dan penekanan perlulah dikhususkan kepada
golongan perempuan, individu yang mempunyai tahap pendidikan rendah, golongan muda, dan
individu yang bekerja sendiri kerana golongan tersebut mempunyai kesedaran yang agak rendah
berkaitan dengan pembayaran zakat di Malaysia. Sekiranya program ini sentiasa dipantau dan
dilakukan sentiasa tidak mustahil kutipan zakat di negara kita akan mengalami peningkatan dan
sekaligus dapat membasmi kemiskinan.
10

7.2 Meningkatkan Peranan Institusi Pungutan Zakat

Institusi pungutan zakat adalah salah satu institusi yang diberikan kepercayaan untuk
menguruskan hasil kutipan zakat. Oleh yang demikian institusi ini perlu meningkatkan peranan
mereka sebagai tempat untuk menguruskan pembayaran zakat dengan telus dan cekap bagi
meningkatkan kutipan pembayaran zakat. Institusi zakat perlu mengambil suatu tindakan yang
drastik untuk memastikan kualiti hidup orang miskin adalah terjamin sekurang-kurangnya
mendapat barang keperluan yang mencukupi di samping perlu menambahkan keyakinan
masyarakat terhadap keupayaan institusi formal dalam pungutan zakat. Hal ini juga adalah untuk
mengelakkan berlakunya bocoran kutipan hasil zakat dan dapat memperkemas proses agihan
zakat. Dengan ini fungsi dan peranan zakat sebagai institusi jaminan sosial dapat dirasai oleh
kesemua ahli masyarakat dan dapat memuaskan hati pembayar zakat. Hal ini menunjukkan
semakin mudah mekanisma untuk umat Islam membayar zakat, semakin tinggi kutipan zakat
yang diterima terutamanya zakat pendapatan.

7.3 Nilai Bantuan Zakat Perlu Dinilai Semula

Keperluan untuk menilai semula bantuan zakat adalah perlu pada masa sekarang bagi
memastikan kualiti hidup orang miskin adalah terjamin sekurang-kurangnya mendapat barang
keperluan yang mencukupi bagi menyara kehidupan mereka. Nilai bantuan zakat perlu dinilai
semula kerana nilai bantuan yang diberi amatlah kecil berbanding dengan keperluan kehidupan
semasa. Pihak Majlis Agama Islam Negeri perlu memikirkan nilai bantuan serta kaedah agihan
zakat yang sesuai agar kualiti hidup mereka dapat ditingkatkan ke tahap yang sekurang-
kurangnya memuaskan hati mereka dan dapat mengurangkan beban yang ditanggungi mereka.
Tindakan ini adalah wajar untuk memastikan sekurang-kurangnya kualiti hidup mereka adalah
baik setanding dengan masyarakat lain di Malaysia walaupun pendapatan mereka masih lagi
dibawah paras kemiskinan.

7.4 Tindakan Undang-Undang Harus Dikemaskini

Hasil kutipan zakat boleh ditingkatkan dengan mengemaskini tindakan undang-undang.


Perlaksanaan sesuatu peraturan atau undang-undang lazimnya perlu kepada penguatkuasaan
kerana tanpa penguatkuasaan peraturan tidak akan dipatuhi. Kamil (2003) menyatakan bahawa
undang-undang dan penguatkuasaan zakat amat perlu untuk menentukan kepatuhan. Bagi
11

menjayakan langkah ini beberapa perkara perlu diberi perhatian di antaranya ialah mewartakan
kewajipan zakat harta tersebut melalui perundangan, akta zakat dan penguatkuasaan peraturan
zakat, memperincikan kaedah pengiraan zakat bagi setiap jenis harta dan menyediakan prasarana
yang mencukupi dan dengan adanya penguatkuasaan tersebut individu akan bertambah komited
untuk membayar zakat. Adalah wajar juga sekiranya nilai bantuan zakat ditingkatkan mengikut
kualiti hidup dan ekonomi semasa dan perundangan khusus mengenai zakat yang dikhtilaf perlu
diwujudkan bagi mengelakkan kekeliruan yang melanda masyarakat antara harta itu wajib
dizakat atau tidak.

7.5 Memberikan Kefahaman Melalui Pendidikan

Bidang pendidikan juga perlu diberi perhatian yang sewajarnya oleh pihak kerajaan
memandangkan ianya adalah salah satu kaedah yang berkesan dalam membasmi kemiskinan.
Selain itu juga faktor kefahaman dan kesedaran tentang zakat melalui pendidikan juga dijangka
mempengaruhi ketaatan membayar zakat. Kesedaran individu tentang kewajipan agama dan
tanggungjawab berzakat dijangka berpunca dari wujudnya faktor kefahaman agama yang sedia
ada dalam semua aliran sistem pendidikan negara. Jika dilihat dalam aspek pendidikan, anak-
anak mereka berjaya mencapai pendidikan yang dapat menikmati peluang pendidikan yang
berkualiti untuk anak-anak mereka dan dapat bersama-sama terlibat dalam segala aktiviti sosial
dan masyarakat berkualiti hasil bantuan kerajaan dan kemungkinan bantuan wang zakat yang
telah diberi oleh pihak Majlis Agama. Oleh yang demikian pihak yang berkenaan haruslah
mempertingkatkan usaha melalui pendidikan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat
terhadap pembayaran zakat di Malaysia. Kutipan yang terkumpul ini akan dapat membantu
memastikan matlamat jaminan sosial umat Islam di Malaysia dapat dipertingkatkan.

8.0 Perbincangan

Jika dilihat dari aspek pengamalannya di Malaysia didapati bahawa tidak ada keseragaman di
antara kerajaan negeri dalam memberi fatwa tentang kewajipan zakat bagi harta yang diikhtilaf.
Oleh kerana Majlis Agama Islam setiap negeri mempunyai bidang kuasa tersendiri dan
berasingan dalam menentukan fatwa, maka negeri-negeri di Malaysia didapati mempunyai
pendirian yang berbeza diantara satu sama lain. Sebahagian sahaja negeri yang mewartakan
zakat harta yang diiktilaf seperti zakat pendapatan.
12

Terdapat harta benda yang boleh dikenakan zakat tetapi masih tidak diwajibkan,
sekiranya diwajibkan dapat memberikan sumber pendapatan kepada negara secara tidak
langsung dapat membasmi kemiskinan. Oleh itu, pihak Majlis Agama Islam Negeri perlu
memikirkan dan mengelaskan jenis harta zakat yang boleh dizakat bagi zakat harta diikhtilaf
serta menentu nilai bantuan dan kaedah agihan zakat yang sesuai agar kualiti hidup golongan
lapan asnaf yang lain agar ditingkatkan ke tahap yang sekurang-kurangnya dapat memuaskan
hati mereka.

Oleh itu, peratusan pembayaran zakat ini juga boleh ditingkatkan sekiranya pendidikan
dan tindakan undang-undang terhadap zakat dikemaskini. Hal ini kerana, jika peraturan dan
undang-undang diwartakan membolehkan masyarakat Islam sedar tentang kewajipan
pembayaran zakat selain lebih memahami fungsi zakat yang sebenarnya dalam meningkatkan
sosio-ekonomi ummah dan masa depan negara.

Perluasan sumber zakat bagi zakat ikhtilaf sepatutnya menjadi pendorong yang kuat
kepada berbagai pihak wajib untuk melaksanakan usaha memperluaskan lagi asas zakat harta
diiktifak bagi sebagai suatu cara untuk mengukuhkan ekonomi negara.

9.0 Rumusan

Secara praktikalnya kesedaran membayar zakat sama ada zakat diikhtilaf atau diiktifak sukar
untuk diukur tetapi membawa kesan kepada keimanan. Zakat secara umum merupakan satu
ibadat sebagaimana kewajipan ibadat yang lain seperti sembahyang, puasa dan menunaikan haji.
Apabila melibatkan amalan agama, faktor ketaatan berkait rapat dengan keimanan. Oleh itu
ketidaktaatan untuk membayar zakat melambangkan ketidaktaatan melakukan perintah agama
dan memberi gambaran bahawa tingkat keimanan yang kurang. Aidit,(1998) menyatakan bahawa
untuk mengatasi masalah ketidaktaatan khususnya tidak mahu membayar zakat bukanlah satu
perkara mudah kerana ia berkait dengan tahap keimanan dan sikap serta persepsi.

Kesan keimanan kepada amalan ini juga ditegaskan oleh Qardawi (1998) yang menyebut
bahawa amalan ekonomi berkait rapat dengan faktor keimanan. Tanpa faktor iman amalan
ekonomi tidak dapat diselaraskan dengan kehendak agama tetapi dilakukan mengikut kehendak
sendiri. Abdul Hamid (1998) mendapati bahawa terdapat segolongan individu yang menganggap
13

bayaran cukai menyamai zakat dan beranggapan bahawa sekiranya ianya telah membayar cukai
maka telah terlepaslah tanggungjawab zakat. Memandangkan cukai dan zakat sememangnya
wujud dan kedua-duanya merupakan alat yang pernah digunakan oleh kerajaan Islam maka
kedua-dua perkara tersebut perlu dibezakan dan mungkin memerlukan penjelasan lanjut dari segi
perlaksanaannya. Kamil, Chek Derashid dan Engku Ismail (1997) pula menunjukkan bahawa
sikap dan persepsi mempengaruhi kepatuhan.

You might also like