You are on page 1of 1

CARA-CARA MEMUPUK PERPADUAN DALAM KALANGAN PELAJAR

Kata-kata hikmat yang berbunyi “ bersatu teguh, bercerai roboh ” jelas menunjukkan betapa
pentingnya perpaduan kepada sesebuah negara. Tanpa perpaduan, negara bukan sahaja tidak
stabil dan maju, malah akan mengalami keruntuhan. Sebagai contoh, pada awal kurun ke-16,
oleh sebab perpecahan dalam kalangan rakyat, Kesultanan Melayu Melaka semakin merosot
sehingga akhirnya ditawan oleh orang Portugis.

Walaupun Malaysia sebuah negara yang berbilang kaum, tetapi dengan adanya perpaduan,
kita telah berjaya mencapai kemerdekaan daripada penjajah British tanpa pertumpahan darah.
Pemimpin pelbagai kaum menunjukkan semangat muhibah dan perpaduan yang tidak berbelah
bahagi sehingga berjaya meyakinkan pihak penjajah tentang kebolehan rakyat negara kita untuk
mentadbirkan negara sendiri.

Untuk memastikan negara kita terus maju dan makmur, perpaduan rakyat mesti dikekalkan.
Satu tempat yang sesuai untuk menyemaikan benih perpaduan ialah sekolah. Pelajar yang
menuntut di bawah satu bumbung harus disemaikan semangat muhibah dan perpaduan agar
apabila dewasa kelak, tenaga mereka dapat digembleng tanpa mengira kaum untuk membawa
negara ke mercu kecemerlangan.

Pengenalan Rukun Negara merupakan satu daripada usaha kerajaan untuk mewujudkan
sebuah masyarakat yang bersatu padu. Para pendidik hendaklah berusaha sedaya upaya agar
para pelajar dapat menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara dan mengamalkan prinsip-prinsip
dalam kehidupan sehari-hari .

Perpaduan hanya dapat dipupuk sekiranya semua kaum berpeluang bercampur gaul dengan
mesra. Oleh itu, guru dan pihak sekolah perlu merancang aktiviti-aktiviti untuk penyertaan
pelbagai kaum. Sebagai contoh, guru boleh menetapkan kumpulan perbincangan yang terdiri
daripada pelbagai kaum. Pihak sekolah pula boleh dari semasa ke semasa mengadakan projek
gotong-royong yang melibatkan pelbagai kaum. Aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan sebaik-
baiknya melibatkan pelbagai kaum agar interaksi kaum dapat dicapai. Misalnya, pelajar Melayu
dan India harus digalakkan menyertai pasukan bola keranjang manakala pelajar Cina dan India
digalakkan menyertai kelab sepak takraw. Peribahasa Melayu ada mengatakan ‘tak kenal maka
tak cinta’. Melalui interaksi antara kaum, kita dapat memahami adat resam dan pantang larang
kaum lain dan seterusnya sikap prasangka terhadap kaum lain dapat dikikis.

Selain itu, dalam aspek pengajaran, setiap subjek yang diajarkan harus menekankan nilai-nilai
murni seperti hormat-menghormati, bertoleransi, bertolak ansur, dan bersopan santun. Jika
semua kaum dapat mengamalkan nilai-nilai murni ini, perpaduan pasti dapat dicapai.

Kesimpulannya, perpaduan kaum merupakan kunci kemajuan dan kemakmuran negara.


Langkah-langkah tersebut di atas harus dijalankan dengan sungguh-sungguh dan bukan sekadar
melepaskan batuk di tangga agar benih perpaduan dapat disemaikan dalam kalangan pelajar.

You might also like