You are on page 1of 21

Syeikh Yusuf Makasar

Sunday, February 01, 2009, 12:59:50 AM (laluansutera)

Syeikh Yusuf lahir tahun 1036 H/1627 M. Jika kita dahulukan catatan tahun
Masihi, bererti Syeikh Yusuf lahir 1626 M/1035 H. Dari sini dapat dibuktikan
bahawa yang telah ditulis selisih selama setahun. Apa yang betul secara
pasti tahun kelahiran Syeikh Yusuf terdapat dua perbandingan tahun 1036 H
= 1627 M dengan tahun 1626 M = 1035 H. Saya berpendapat, oleh sebab
masyarakat Islam zaman itu menggunakan tahun Hijrah maka catatan yang
betul adalah 8 Syawal 1036 H/23 Jun 1627. Catatan tahun wafat
Muhammad Baqi Billah al-Lahori juga ada dua. Ada orang yang menyebut
tahun 1012 H/1603 M, ada pula yang menyebut tahun 1013 H/1604 M).

Rasanya saya masih berkemampuan mengemukakan hujah-hujah ilmiah


untuk meniti kebenaran dan pembelaan atas tulisan-tulisan saya supaya
dapat dipelajari oleh pihak-pihak yang memerlukannya. Mohd Nasir menulis
dalam kertas kerjanya hlm. 15, “... dan juga kesilapan mengidentifikasikan
antara dua individu yang berlainan (antara Syeikh Abdul Baqi al-Mizjaji
dengan Muhammad Abdul Baqi / Baqi Billah al-Lahori) telah membawa
pengertian yang salah bagi pihak ustaz Wan Mohd. Shaghir sehingga beliau
mengatakan ketika menerangkan Tarekat Naqsyabandiyyah yang dibawa
oleh Syeikh Ismail al-Minankabawi bahawa Syeikh Muhammad Baqi Billah al-
Lahori adalah guru kepada Syeikh Yusuf al-Mankatsi (al-Maqassari) Taj al-
Khalwati.”

Kenyataan Syeikh Muhammad Baqi Billah al-Lahori adalah guru kepada


Syeikh Yusuf al-Mankatsi bukanlah merupakan pendapat saya, tetapi adalah
berdasarkan beberapa manuskrip yang tersebut di bawah ini. Rujukan yang
pertama ialah manuskrip Kitab Ar-Risalah an-Naqsyabandiyah Yusuf li al-
Qadhi Bilad Buni (maksudnya: Bone, Sulawesi Selatan, pen:), koleksi saya
sendiri, ditulis dalam bahasa Arab. Terdapat salasilah lengkap Tarekat
Naqsyabandiyah, disebut nama gurunya Mahdi az-Zaman al-Khuji
Muhammad al-Baqi al-Lahuri (Lahore, India, pen:). Diperkukuhkan lagi
dalam manuskrip Zubdah al-Asrar fi Tahqiq Ba'dhi Masyarib al-Akhyar, juga
koleksi peribadi saya sendiri, beliau tulis nama selengkapnya Syaikhuna
(maksudnya guruku, pen:) al-Imam Muqtadha al-Anam al-Wali al-Arif Billahi
Taala Maulana asy-Syeikh Muhammad Baqi an-Naqsyabandi al-Yamani.
Diperkukuhkan lagi dalam manuskrip Zubdah al-Asrar, manuskrip Universiti
Leiden Or. 7025 disebut oleh Nabilah Lubis dalam buku Syeikh Yusuf, Al-Taj
Al-Makasari hlm. 132 pada catatan nota hujung nombor 55, menggunakan
nama Maulana asy-Syeikh Muhammad al-Baqi Billah. Ia juga menggunakan
nama yang sama iaitu Maulana asy-Syeikh Muhammad Baqi an-Naqsyabandi
al-Yamani, hlm. 114 teks Arab dan hlm. 115 teks bahasa Indonesia. Dalam
Zubdah al-Asrar, manuskrip dalam bahasa Jawa, Naskhah Jakarta A 45,
nama yang disebut juga sama iaitu Syeikh Muhammad Baqi Naqisybandi
Tariqatane, Yamani Desane.

Hamka dalam Dari Perbendaharaan Lama menggunakan nama Abi Abdillah


Muhammad Abdul Baqi (hlm. 40). Terkini, baru-baru ini (April 2006),
Syamsul Bahri Andi Galigo dalam kertas kerjanya juga menggunakan nama
Syeikh Abu Abdillah Muhammad Abdul Baqiy (Prosiding Nadwah Ulama
Nusantara III, hlm. 641). Tidak satu nama pun daripada rujukan-rujukan di
atas menyebut nama Syeikh Abdul Baqi al-Mizjaji (hlm. 15) ataupun
Muhammad bin Muhammad al-Mizjaji al-Yamani (hlm. 16) seperti yang
disebut oleh Mohd. Nasir. Walau bagaimanapun, saya tidak menafikan
memang ada karya Syeikh Yusuf selain yang disebut itu memakai ‘al-Mazjaji’
(al-Mizjaji) pada hujung nama, selengkapnya seperti Syeikh Abu Abdullah
Muhammad Abdul Baqi bin Syeikh al-Kabir al-Mazjaji (al-Mizjaji) al-Yamani
az-Zaidi an-Naqsyabandi.

Nama ini beliau sebut dalam karyanya judul Sainah an-Najah, juga disebut
oleh Prof. Dr. Tudjimah dalam buku Syeikh Yusuf Makasar, Riwayat dan
Ajarannya (hlm. 16 dan 202). Bagi saya, masih dalam ‘kemungkinan’ ada
dua nama yang serupa atau hampir serupa dalam satu zaman, yang seorang
terdapat pada hujung namanya ‘al-Mazjaji’ (al-Mizjaji) dan yang seorang lagi
tidak. Saya anggap yang terdapat ‘al-Mazjaji’ (al-Mizjaji) pada hujung nama
masih sangat lemah kerana sepanjang penelitian saya tidak seorang pun
penulis yang menyebut tahun lahir ataupun tahun wafatnya. Mohd. Nasir
dalam kertas kerjanya juga tidak menyebut tahun lahir ataupun tahun wafat
‘al-Mazjaji’ yang dikemukakannya sebagai guru Syeikh Yusuf Taj al-
Khalwati. Perkara itu serupa dengan nama sehingga meragukan dan timbul
pertanyaan apakah hanya seorang tokoh atau dua orang, atau lebih, bukan
berlaku terhadap ulama yang diriwayatkan di atas saja, tetapi juga terjadi
pada ulama-ulama lain. Sebagai contoh Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri
ataupun Syeikh Abdur Rauf Singkel.

Apakah hanya seorang Syeikh Abdur Rauf atau dua orang? Perkara ini
termasuk dalam polemik antara Prof. Dr. Hamka dengan Ir. Mangaradja
Onggang Parlindungan. Sangat panjang bicaranya dalam buku Buya Hamka
berjudul Antara Fakta dan Khayal Tuanku Rao terbitan Bulan Bintang,
Jakarta, 1971.

Ada pun nama yang disebut dalam salasilah Syeikh Ismail al-Minankabawi
dalam konteks yang dipersoalkan ialah asy-Syeikh al-Imam Muhammad Baqi
Billah yang dapat dirujuk selengkapnya dalam ar-Rahmah al-Habitha fi Zikr
Ism az-Zat wa ar-Rabithah (Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1425
H/2004 M, hlm. 83). Masih banyak perkara dalam kertas kerja Mohd. Nasir
perlu saya bahas tetapi kerana kekurangan ruangan terpaksa saya
tinggalkan saja, dan akan saya bahas lebih lengkap dalam buku tentang
Syeikh Yusuf.
MURSYID THARIQAT QADIRIYAH
AHMAD KHATIB SAMBAS

KESOHORAN Syeikh Ahmad Khathib Sambas di kalangan pengamal Tariqat


Qadiriyah-Naqsyabandiyah, sama ada peringkat Nusantara mahu pun
antarabangsa pada zamannya tidak dinafikan. Sekurang-kurangnya terdapat
dua buah kitab yang ditulis dalam bahasa Arab oleh orang Arab,
menceritakan kisah ulama-ulama Mekah dan nama Syeikh Ahmad Khathib
Sambas juga terdapat di dalamnya. Kitab yang pertama, Siyar wa Tarajim,
karya Umar Abdul Jabbar. Kitab kedua, Al-Mukhtashar min Kitab
Nasyrin Naur waz Zahar, karya Abdullah Mirdad Abul Khair yang
diringkaskan oleh Muhammad Sa'id al-'Amudi dan Ahmad Ali. Kita sangat
berterima kasih kepada kedua-dua penulis Arab itu, walau bagaimanapun
ketepatan data dan fakta termasuk tahun lahir dan wafatnya perlu ditinjau
kembali.

Nama lengkapnya ialah Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Ghaffar bin
Abdullah bin Muhammad as-Sambasi. Lahir di Kampung Dagang,
Sambas. Tarikh lahirnya hanya disebut oleh Umar `Abdul Jabbar, ialah pada
bulan Safar 1217 H (kira-kira bersamaan 1802 M, pen:), tidak terdapat
tulisan lainnya. Wafatnya di Mekah tetapi terdapat perbezaan pendapat
mengenai tahun kewafatannya antara Umar Abdul Jabbar dengan Abdullah
Mirdad Abul Khair. Abdullah Mirdad Abul Khair menyebut bahawa Syeikh
Ahmad Khathib wafat tahun 1280 H (kira-kira bersamaan 1863 M, pen:),
tetapi menurut Umar Abdul Jabbar, pada tahun 1289 H (kira-kira bersamaan
1872 M, pen:). Tahun wafat 1280 H yang disebut oleh Abdullah Mirdad Abul
Khair sudah pasti ditolak, kerana berdasarkan sebuah manuskrip Fat-h
al-'Arifin salinan Haji Muhammad Sa'id bin Hasanuddin, Imam Singapura,
menyebut bahawa ``Muhammad Sa'ad bin Muhammad Thasin al-Banjari
mengambil tariqat daripada gurunya, Syeikh Ahmad Khathib yang tersebut
itu di dalam negeri Mekah al-Musyarrafah di dalam khalwatnya, dan
khatamnya pada hari Arba', yang ketujuh hari dari bulan Zulhijjah sanah
1286 Hijrah''. Jadi bererti pada 7 Zulhijah 1286 H, Syeikh Ahmad Khathib
Sambas masih hidup. Oleh itu Syeikh Ahmad Khathib Sambas wafat tahun
1289 H yang disebut oleh Umar Abdul Jabbar menepati yang sebenarnya.
KEMUNCAK KEMASYHURAN

Manusia menjadi terkenal kerana berbagai-bagai sebab, Syeikh Ahmad


Khathib Sambas terkenal kerana beliau sebagai Mursyid Tariqat Qadiriyah-
Naqsyabandiyah. Pada zamannya, di Mekah tentang tariqat itu, Syeikh
Ahmad Khathib Sambas merupakan Syeikh Mursyid yang teratas sekali. Ia
bukan sahaja bagi masyarakat dunia Melayu, tetapi juga diakui oleh ulama-
ulama dunia luar. Sepanjang sejarah perkembangan Tariqat Qadiriyah di
dunia Melayu dari dahulu hingga sekarang memang tidak dapat dinafikan
bahawa tokoh yang terbesar dan paling berkesan bagi ulama-ulama
Jawi/Nusantara dalam penyebaran Tariqat Qadiriyah itu ialah Syeikh Ahmad
Khathib Sambas. Nama beliau juga dikenal di Uzbekistan, kerana salah
seorang murid beliau bernama Syeikh Abdul Murad, adalah seorang ulama
Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang menerima tawajjuh kedua-dua
tariqat itu daripada Syeikh Ahmad Khathib Sambas.

FAT-HUL 'ARIFIN.

Fat-hul `Arifin termasuk salah satu istilah yang banyak dibicarakan di


kalangan sufi. Tetapi yang dimaksudkan di sini ialah sebuah risalah atau
kitab yang berasal daripada imlak Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Imlak
tersebut ditulis oleh beberapa orang muridnya, dan yang sempat diterbitkan
hanyalah versi catatan Syeikh Muhammad bin Ismail bin Abdur Rahim al-
Bali. Manuskrip Fat-hul `Arifin yang dinisbahkan kepada Syeikh Ahmad
Khathib Sambas, yang ada pada penulis ialah:

1. Judul Silsilah Tariqat Qadiriyah wan Naqsyabandiyah yang dicatat oleh


Abdul Hakim ibnu Marhum Lebai Abdul Kari Sambas, Kampung Asam.
Naskhah ini merupakan satu-satunya yang ditulis oleh orang yang berasal
dari Sambas sendiri.

2. Manuskrip tanpa judul, hanya dinyatakan `Talkin, zikir dan bai'ah tariqat
yang diijazahkan oleh guru kita Maulana asy-Syeikh Ahmad Khathib bin
Abdul Ghaffar Sambas yang di dalam negeri Mekah al-Musyarrafah kepada
sekalian muridnya''. Pada manuskrip ini dimulai nama pencatatnya bernama
Haji Muhammad Sa'id bin Hasanuddin, Imam Singapura, bahawa beliau ``...
mengambil talkin, dan bai'ah, dan tawajjuh, serta ijazah daripada gurunya
Sayid Muhammad bin Ali al-'Aidrus. Dia mengambil daripada Sayid Ja'afar
bin Muhammad as-Saqaf Pontianak, mengambil daripada Muhammad Sa'ad
bin Muhammad Thasin al-Banjari mengambil daripada Syeikh Ahmad
Khathib... `` Manuskrip ini ditulis tahun 1286 H dan selanjutnya disalin oleh
Sayid Ahmad bin Ismail al-'Aidrus pada hari Khamis, 4 Zulhijah 1293 H/21
Disember 1876 M, diperoleh di Pontianak pada 8 Syawal 1422 H/22
Disember 2001 M. 3. Fat-hul `Arifin, naskhah yang ditulis oleh Haji
Muhammad bin Syeikh Abdus Samad al-Kalantani diselesaikan pada tahun
1294 H/1877 M. Dalam manuskrip ini dikombinasikan dengan Tariqat
Syathariyah.

Tiga versi yang tersebut di atas merupakan manuskrip yang pernah


diterbitkan iaitu versi catatan Syeikh Muhammad bin Ismail bin Abdur Rahim
al-Bali, beliau selesai menulis kembali setelah diteliti dan bersih daripada
corat-coret pada bulan Rejab 1295 H/Julai 1878 M. Naskhah tersebutlah
yang ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, kemudian dicetak pertama
kalinya oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah Mekah, 1305 H/1887 M, yang
diterbitkan itu diberi judul Fat-hul `Arifin.Walaupun Syeikh Ahmad Khathib
Sambas sebagai seorang tokoh sufi, namun selain ditonjolkan karya tasawuf
Fat-hul `Arifin, beliau juga menghasilkan karya dalam bidang ilmu fikah.
Penulis juga memiliki manuskrip fikah karya beliau, iaitu Fatwa Syeikh
Ahmad Khathib Sambas Perihal Jumaat. Naskhah tulisan tangan itu dijumpai
tahun 1986, bekas koleksi Haji Manshur yang berasal dari Pulau Subi,
Kepulauan Riau. Kandungan naskhah selain membicarakan masalah Jumaat
terdapat pula fatwa beliau mengenai hukum penyembelihan secara Islam.
Pada bahagian akhir naskhah terdapat pula suatu nasihat beliau yang
panjang, kemudian ditutup dengan beberapa amalan wirid beliau selain
amalan Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah. Sebuah karya (judul yang
sebenar tidak terdapat) yang membicarakan fikah mulai taharah,
sembahyang dan pengurusan mayat. Manuskrip tanpa dinyatakan tarikh,
hanya terdapat tahun penyalinan dinyatakan ``... Hari Khamis, 11 Muharam
1281 H oleh Haji Ahmad ibnu al-Marhum Penggawa Nashir ahli al-Kayung
jama'ah Tuan Syeikh Ahmad Khathib Sambas di Mekah al-Mukarramah ...''
Manuskrip di atas diperoleh di Kampung Mendalok, Sungai Kunyit,
Kabupaten Pontianak, Kalimantan Barat, pada 6 Syawal 1422 H/20
Disember 2001 M.
MURID MURID NYA

Besar nian pengaruh Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang bersumber


daripada Syeikh Ahmad Khathib Sambas di dunia Melayu, melebihi tokoh-
tokoh penyebar Tariqat Qadiriyah seperti Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Syeikh
Abdur Rauf al-Fansuri dan lain-lainnya yang lebih dahulu. Di Jawa misalnya,
dapat kita semak pada beberapa lembar tulisan Zamakhsyari Dhofier dalam
bukunya Tradisi Pesantren, beliau menyebut, ``Dalam abad ke-19,
organisasi-organisasi tariqat di Jawa memperoleh semangat dan dukungan
baru daripada masyarakat. Hal ini disebabkan oleh kedatangan para
pengikut Syeikh Ahmad Khatib Sambas dan Sulaiman Effendi dari Mekah''.
Seterusnya, ``Namun yang cukup menarik ialah di Jawa Syeikh Ahmad
Khatib Sambas dikenal sebagai pendiri suatu tariqat baru, Tariqat
Naqsyabandiyah''. Selanjutnya, ``Kedudukan Syeikh Ahmad Khatib sebagai
seorang sarjana Islam perlu kita sedari betul-betul ...''.

Selanjutnya, ``Adalah suatu hal yang penting bahawa seorang sarjana


besar seperti Syeikh Sambas, kepada siapa hampir semua kiyai di Jawa
menelusuri penealogi intelektual mereka juga dikenal sebagai seorang
pemimpin tariqat''. Kalau demikian yang diperkatakan, sekarang mari kita
menjejaki kemantapan sistem pengkaderan yang dilakukan kepada murid-
muridnya. Salah seorang muridnya bernama Syeikh Zainal Abidin yang
berasal dari Kelantan diutus oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas ke
Kalimantan Barat sebagai `Ketua Khalifah' di sana. Jadi bererti murid-
muridnya yang lain, yang semuanya berasal dari Kalimantan Barat, adalah
di bawah pengawasan Syeikh Zainal Abidin al-Kalantani. Selanjutnya semua
mereka disuruh supaya mendalami pelbagai ilmu kepada ulama yang berasal
dari Kelantan itu. Kebenaran untuk mentawajjuh/ membai'ah sekali-kali
tidak dibenarkan kepada murid-murid yang lain selagi Syeikh Zainal Abidin
al-Kalantani masih hidup, atau selagi beliau masih berada di Kalimantan
Barat. Syeikh Zainal Abidin al-Kalantani meninggal dunia di Kampung
Sebedang, Sambas.

Yang dilantik oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas sebagai khalifahnya di


Mekah ialah Syeikh Abdul Karim al-Bantani, beliau mempunyai murid yang
ramai sesudah Syeikh Ahmad Khatib Sambas. Untuk di Jawa terdapat tiga
orang wakil khalifah, iaitu: Di Jawa Timur, Syeikh Ahmad Hasbullah bin
Muhammad al- Manduri (Madura) dan lain-lain. Di Jawa Tengah, Syeikh
Zarkasyi Barjan, Porwajo Syeikh Ibrahim Berumbung. Di Jawa Barat, Syeikh
Asnawi Banten dan lain-lain.Murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang
bernama Syeikh Muhammad bin Ismail bin Abdur Rahim berasal dari Pulau
Bali. Beliau juga diberikan kebenaran mentawajjuhkan. Salah seorang
muridnya yang menjadi ulama besar ialah Tuan Guru Haji Abdur Rahman
yang berasal dari Ambon. Murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang
bernama Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir berasal dari Sarawak. Di
antara muridnya ialah Haji Muhammad Arsyad bin Abdur Rahman Pontianak.
Murid Haji Abdul Lathif yang berasal dari Sarawak yang menjadi ulama
besar, mengajar di Masjidil Haram, Mekah, ialah Syeikh Utsman bin Abdul
Wahhab as-Sarawaqi. Tetapi selanjutnya Syeikh Utsman Sarawak ini
menerima tawajjuh Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah sekali lagi daripada
Syeikh Abdul Karim al-Bantani di Mekah. Masih banyak kisah murid-murid
Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang belum sempat disebutkan di sini,
penulis menyimpulkan saja bahawa institusi pengajaran Tariqat Qadiriyah-
Naqsyabandiyah yang bersumber daripada Syeikh Ahmad Khatib Sambas
yang masih kekal sampai sekarang ialah daripada muridnya yang bernama
Syeikh Abdullah Mubarak. Pondok Pesantren yang beliau dirikan 7 Rejab
1323 H/ 5 September 1905 M masih kekal sam-pai sekarang, bahkan
terkenal di seluruh Indonesia dan Malaysia. Sistem pelajaran Tariqat
Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang berasal daripada Syeikh Ahmad Khatib
Sambas itu dikembangkan dengan penyesuaian pada zaman moden.

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


Khalifah Tarekat Naqsyabandiah Ke 36

Tuan Guru Syeikh Haji Ahmad Haji Muhamad al Baqir


( Khalifah Tarekat Naqsyabadi Terawal Di Negeri Sembilan)

Prakata:

Dalam menyingkapkan sejarah perkembangan aliran tarekat di negeri ini


dan Tanah Melayu amnya, kita bagai terlupa kepada pembawa asal tarekat
Nasyabandiah al Kholidiah di negeri pengamal adat perpatih ini iaitu Tuan
Guru Syeikh Haji Ahmad al Baqir ini. Beliau kiranya adalah sezaman
dengan kehadiran Syeikh Muhamad Said al Linggi yang mengasaskan
tarekat Ahmadiah di negeri kita. Malangnya, tiada pula penyusun temui
penyelidikan khusus mengkaji perjuangan syeikh ini atau sememangnya
sudah ada usaha yang ke arah tersebut. Permata gemilang ini adalah anak
watan yang berjasa dan melahirkan ratusan pewaris dalam abad ini.

Ketika menyusuri sejarah hidup anak muridnya iaitu al Marhum Syeikh Haji


Maarof Yaakob di Lenggeng ( khalifah ke 37 Naqsyabandiah) dalam buku
perjuanganya oleh Tuan Haji Sulaiman bin Haji Mohd Nor, penyusun tertarik
untuk menjejaki liku-liku hidup tokoh awal ini dan insyaallah, penyusun akan
cuba mendapatkan maklumat sahih dari waris-waris almarhum di Pantai,
Seremban.
Mengenali Syeikh

Dicatatkan bahawa Syeikh Haji Ahmad pernah menuntut dan bermukim di


bumi Mekah Al Mukarramah. Di sanalah beliau menerima ijazah Khalifah
tarekat dari Syeikh Ali Redha yang menetap di Jabal Qubais. Syeikh Ali
Redha pula adalah pewaris ke 35. Almarhum Haji Ahmad dikatakan waris
kepada Dato Kelana Sungai Ujung dan balik membuka suluk di Pantai sejak
awal 1900 lagi.

Melalui didikan dan pengawasan Syeikh inilah, ramai murid berjaya


menjalani program tawajuh dan bersuluk. Haji Maarof Yaakob adalah antara
anak murid bungsunya yang sempat menerima ijazah pada tahun 1942.
Dikatakan semasa mengadakan program bersuluk terakhir dalam tahun
1942, Syeikh Ahmad telah begitu uzur namun beliau masih menggagahi
untuk menaiki tangga surau bagi menyertai majlis. Surau suluknya kira-kira
10 kaki sahaja dari pintu rumahnya. Adakalanya beliau akan diusung di atas
kerusi oleh anak muridnya untuk naik ke surau.

Empat hari sebelum tamat majlis suluk dalam tahun itu, tiba-tiba Almarhum
berkata kepada murid-muridnya: "Suluk ini mesti ditamatkan!".

Hari jumaat sesudah maghrib, 1 Syaaban 1362H bersamaan 30 Julai 1942


Tuan Guru yang soleh itu pun pergi menemui kekasihnya yang abadi.
Jenazah yang mulia itu dikebumikan pada hari sabtu hari berikutnya di
tanah perkuburan Pantai kira-kira 15 rantai dari suraunya.
( rencana lanjut akan disediakan selepas penyusun menziarahi Pekan Pantai,
insyaallah.)

Pada 2 mei 2007 hari selasa petang itu, saya mula menjejaki waris
Almarhum Syeikh Haji Ahmad AlBaqir di Pantai, Seremban. Setelah
berpindah ke Seremban, saya kira banyak ruang masa untuk membuat
koleksi tokoh-tokoh alim ulama’ negeri ini. Pantai adalah nama penempatan
atau sebuah pekan kecil di Jalan Jelebu kira-kira 15 km dari Bandar
Seremban. Lokasi yang cari ialah sekitar pekan tersebut dan menyusuri
jalan di sana mengingatkan saya zaman remaja ketika bersekolah di Jalan
Sikamat, Seremban.

Lebih 30 tahun telah berlalu, banyak perubahan dan pembangunan di Jalan


Jelebu khususnya dalam kawasan perbandaran Seremban. Mengimbau
kenangan ketika berbasikal di sini, yang pastinya tiada lagi lorong-lorong
lama dan rakan-rakan berbasikal zaman persekolahan . Berhampiran kilang
rempah Jalan Jelebu itu, saya sering berselisih dengan pelajar senior yang
menaiki basikal bermotor yang kiranya waktu itu memang sukar ditemui,
mudah sahaja dia melalui lorong berbukit sedang saya ‘mencunggap’
mengayuh basikal tua. Beberapa tahun kemudiannya, sahabat lama
memberitau pelajar senior yang berlagak dengan basikal itu ialah Ahmad
Tarmimi Sarigar pelakon terkenal itu. Betul ke?

Beberapa minggu lalu, ketika persatuan bekas pelajar sekolah kami telah
mengadakan mesyuarat agong kali ketiga. Di sana saya melihat kefasihan
pelakon itu sebagai pengerusi majlis. Ramai pelajar senior yang telah jadi
‘somebody’ menunjukkan aksi mereka sehingga saya begitu terasing sekali
dalam dewan tersebut. Sebelum ini YAB Menteri Besar turut meluangkan
masa memeriahkan majlis maklumlah beliau juga bekas pelajar sekolah ini
tetapi memori ‘CPU’ saya begitu sukar mengimbas wajahnya lebih 30 tahun
lalu. Mungkin beliau budak baik waktu itu sehingga diari pelajar nakal
seperti saya tidak ‘tally’ untuk membuat rangkaian maklumat dari data-data
lama. Inilah pelajar yang pernah dilibas 'rotan godang' oleh Pak Imam
( Pengetua sekolah) dan ditumbuk dek Pitung ( Warden asrama) kerana
gara-gara perilaku dan gurauan terlampau. Pengetua itu pernah
menggunting rambut saya hingga capuk-mapuk, lalu saya botakkan kepala
tanda protes. Phobia dihambat guru itu berlarutan hingga saya sudah
berkerja. Sering saya termimpi-mimpi diburu dek kedua guru tersebut.
Semuanya tinggal kenangan dan di manakah kawan-kawan lama saya?
( kalau terbaca email : abu_afdhal@yahoo.com )

Pekan Pantai

Kalau melalui Bandar Seremban, kita boleh ke pekan Pantai melalui Jalan
Sikamat atau Jalan Jelebu. Awalnya, saya mengira sebuah surau kayu yang
usang sebelah kanan jalan sebelum pekan itu madharasah Tuan Syeikh
Ahmad Baqir. Di depannya terdapat beberapa kawasan perkuburan yang
berkunci. Menurut beberapa penduduk di sini, kubur-kubur tersebut ialah
milik keluarga Dato’ Klana Sungei Ujung iaitu Undang Luak bagi Daerah
Seremban. Rata-rata kalangan mereka tidak mengetahui siapa Syeikh Haji
Ahmad khalifah Tareqat Naqsyabandi terawal di negeri ini.

Seorang lelaki tua yang menyemenda di Pantai, menyarankan saya


berjumpa orang yang lebih tua bernama Haji Abdul Rahman di Kampung
Batu 7, Pantai yang mungkin lebih banyak mengetahui riwayat tokoh yang
saya cari ini. Alhamdulillah, saya dapat bersua muka dengan orang tua
sudah uzur seperti yang dimaksudkan. Beliau menyebut nama Syeikh
Ahmad Albaqir sebagai "Dato’ Laksamana Haji Ahmad Alkholidi" iaitu
seorang kerabat dalam Dato’ Undang Luak Sungei Ujong.

Saya begitu terkejut, apabila isterinya yang juga sedikit uzur itu turut
mencelah perbualan kami memberitau bahawa orang yang dimaksudkan itu
ialah bapa suaminya atau mertua beliau. Tidak hairanlah jika lelaki tua
banyak membetulkan perkhabaran tentang orang alim yang saya cari ini.
Beliau seolah-olah cuba mengelak untuk membicarakan sejarah hidup
bapanya kerana takut tersilap fakta katanya. Tetapi isterinya agak peramah
itu, banyak membantu saya mengimbas kisah mertuanya. Menurutnya,
suami beliau sudah uzur dan pelupa pula. Namun saya perhatikan Haji Abdul
Rahman anak kedua dari isteri kedua Syeikh Khalifah ini kelihatan lebih ceria
apabila imbauan sejarah 70 tahun lampau dibangkitkan.

Keluarga Khalifah

Syeikh Haji Ahmad adalah keturunan akrab kepada pewaris Dato’ Klana.
Zaman mudanya beliau dilantik ke jawatan Dato’ Laksamana dan mendapat
didikan agama hingga di Mekah Almukarramah dalam usianya 20an. Beliau
mungkin dilahirkan dalam tahun 1876 dan mengenali Syeikh Muhamad Said
Al Linggi ulama terkenal dan pembawa Tareqat Ahmaddiah yang dominan di
negeri ini. Dalam tempoh tersebut ramai anak watan bermukim di kota suci
Mekah untuk belajar agama.

Menariknya, kepulangan Syeikh Muhamad Said ke tanah air seakan sekapal


pula dengan Syeikh Haji Ahmad. Kedua anak watan yang alim ini terus
membuka pusat pengajian di kampung masing-masing dalam mukim Luak
Sungai Ujong ini. Antara pusat pengajian masing-masing hanya sekadar 10
km sahaja dan pondok mereka menjadi tumpuan ratusan murid-murid yang
datang dari berbagai tempat untuk menimba ilmu agama dari dada orang
alim ini. Dua bahtera besar yang mengibarkan panji-panji kesufian
Ahmaddiah dan Naqsyabandiah terawal di negeri beradat. Sejak kehadiran
Syeikh Haji Ahmad inilah, penduduk negeri mula mengenali tuwajjuh dan
bersuluk.

Madrasah atau surau dua tingkat dibina bersebelahan dengan rumah Tuan
Guru. Rumah batu yang masih tersegam kukuh dua tingkat itu seolah-olah
bangalow peninggalan penjajah. Kini premis dan surau itu terbungkam sepi
dan berkunci. Dulunya menurut nenek Siti Zaharah Hashim isteri Haji Abdul
Rahman, kanak-kanak hingga murid tua datang berkampung di sini. Apabila
petang mereka berbondong-bondong mandi di sungai yang jernih di bawah
jambatan tepi rumah nenek ini. Siti Zaharah dengan Tuan Haji Abdul
Rahman adalah bersaudara kerana nenek mereka adik beradik. Hanya dari
perut isteri pertama Syeikh Haji Ahmad bernama Posah itu sahaja yang
layak mewarisi Dato Klana. Cucu mereka YTM Dato’ Klana Petra Dato’ Haji
Mubarak bin Doha sekarang adalah anak kepada Mahari anak perempuan
ketiga dari Syeikh Haji Ahmad. Isteri kedua Syeikh Ahmad iaitu Sitiawan
binti Haji Yaakob dikawini selepas kematian isteri pertamanya.

Sitiawan binti Haji Yaakob pula adik kepada Tuan Syeikh Haji Maarof
khalifah Naqsyabandi dari Lenggeng itu. Haji Maarof menuntut agama dan
bersuluk di bawah asuhan Syeikh Haji Ahmad sendiri semasa hidupnya
( baca riwayat hidup Haji Maarof). Apabila negeri ini ditawan oleh tentera
Jepun dan kematian tuan guru, aktiviti bersuluk dipimpin pula oleh anak-
anak muridnya termasuk Haji Maarof yang berpusat di Lenggeng. Beberapa
peralatan kerusi meja dari surau Haji Ahmad telah dipindahkan penduduk
ketika berlakunya dharurat, sebahagiannya digunakan untuk peralatan di
sekolah dewasa yang dibina waktu itu.

Syeikh yang dikenali

Menurut menantunya, syeikh ini pernah membina kolam ikan di depan


suraunya iaitu di tepi jalan besar sekarang. Kawasan ini seperti berpaya dan
mungkin dulunya bekas sawah dan sekarang dijadikan tapak semaian benih
getah. Haji Abdul Rahman mendakwa bapanya ada mengalami sakit dalam
dada dan mudah lelah di kala waktu tuanya. Beliau pernah membawa
bapanya menaiki basikal ke Bandar Seremban untuk mengambil pencen
bapanya sebagai Dato Laksamana.

Selepas majlis tuwajjuh malam itu, bapanya yang uzur itu dipimpin anak
murid ke rumahnya. Malam yang hening di kampung bertuah itulah ruhnya
dijemput kembali oleh Penciptanya. Almarhum berusia 66 tahun waktu itu
seperti yang dimaklumkan oleh menantunya Siti Zaharah Hashim ( 1936).
Beliau meninggalkan 12 orang anak iaitu 7 orang anak dari isteri pertama
dan 5 orang anak dari isteri kedua. Antara nama anak-anak isteri pertama
yang masih diingati Haji Abdul Rahman ialah Suri, Mahari, Nuri dan Abdul
Aziz. Dari perut Suri lahir seorang cendikiawan bernama Prof. Dr Raja Kuziah
yang pernah bertugas di UITM dan Dato’ Klana sekarang pula anak Mahari.
Manakala isteri kedua pula ialah Zainal Abidin, Haji Abdul Rahman sendiri,
Bahauddin, Siti Khadijah dan kembarnya Abdul Jalil, Abdullah Fadhil Suhaimi
dan yang bungsu bernama Abu Zahid.

Abangnya yang sulong dan kedua adik kembarnya telah kembali ke


rahmatullah. Adiknya yang bungsu masih bujang solo walaupun telah
berusia 65 tahun, kata puan Siti Zaharah iparnya itu terlalu memilih hingga
jadi bujang terlajak.

Lebah sebagai penyambut tetamu

Petang itu, kira-kira jam 6.30 saya singgah meninjau tapak surau Haji
Ahmad. Lelaki tua yang mungkin sibujang terlajak itu sedang menyapu
sampah di tepi rumah batu yang sepi dan pintu pagar premis tua itu
berkunci kemas. Ketika tangan mulai bersalaman, sekawan lebah seolah-
olah turut menyambut saya.

"Bahaya ni…" ujar Abu Zahid.

Memandangkan suasana mencemaskan itu, saya meminta diri untuk


meninggalkan beliau sebelum berlaku kejadian yang tidak diingini. Dalam
perjalanan kembali itu, saya memikirkan apa hikmahnya atas kejadian
tersebut. Namun begitu saya bersyukur kerana maklumat keluarga Tuan
Syeikh Khalifah ke 36 Tareqat Naqsyabandi terawal dari bumi adat perpatih
ini diperolehi dari sumber pertama iaitu anak beliau sendiri yang pernah
hidup bersamanya. Beliau berusia 15 tahun sewaktu bapanya mengakhiri
hayatnya.
Khalifah Naqsyabandiah Al Kholidiah

Guru Tarekat Naqsyabandiah Tuan Syeikh Haji Maarof bin Yaakob

Alhamdulillah ketika tercari-cari bahan untuk koleksi 'Tokoh-tokoh ulama di


negeri adat perpatih' ini, penyusun bagai dipandu untuk mencapai
websitewww.bicarasufi.com di sana ahli-ahli membicarakan kesufian dan
tokoh-tokoh tarekat di negeri kita. Hati menjadi tenang dan diruntun untuk
mendekati diskusi ini. Antara tokoh tuan guru tarekat yang disebut-sebut
ialah khalifah tarekat Naqsyabandiah al Kholidiah di Lenggeng. Rakan
setugas penyusun yang kebetulan pengambil tarekat ini walaupun beliau
berasal dari Terengganu, beliau dengan ikhlas telah meminjamkan buku
perjuangan Tuan Syeikh Haji Maarof bin Yaakob untuk memudahcara usaha
penyusun mengutip ringkasan hidup tokoh yang soleh ini.

Penyusun ingin memohon keizinan kepada waris guru ini dan khususnya
Tuan Haji Sulaiman Haji Muhamad Nor selaku penyusun buku bagi maksud
di atas. Semoga paparan kisah ini dapat menarik minat pengunjung
mengenali lebih dekat perjuangan Tuan Syeikh Haji Maarof bin Yaakob.
Andaikata ada kekurangan dan kesilapan dalam menyaring kisah ini, maka
penyusun mengharapkan semua pihak sudi melengkapkannya. Sila hubungi
penyusun melalui email :abu_afdhal@yahoo.com atau meninggalkan coretan
komentar dalam laman web ini.

Latar belakang guru


Tokoh yang kita bicarakan ini berasal dari Lenggeng, Negeri Sembilan iaitu
sebuah mukim yang bersempadan dengan kawasan Ulu Langat Selangor.
Kawasan ini lebih mudah dihubungi melalui jalan Kajang- Seremban.
Sebahagian besar penduduknya ialah berasal dari tanah seberang
khususnya masyarakat Minangkabau. Tuan Haji Maarof dilahirkan pada
tanggal 1901 bersamaan lebih kurang tahun 1322H pada hari selasa pukul
10.00 pagi di sebuah pondok tengah sawah Kampung Sungai Bunga. Anak
pertama bagi pasangan Yaakob Haji Saman dan Siti Hajar Haji Arshad
asalnya diberi nama Muhamad Jinid, namun bayi ini sering menghadapi
masalah dan mengikut kepercayaan orang-orang tua nama tersebut tidak
serasi bagi batang tubuh anak. Lalu ditukarkan kepada Maaruf dengan
harapan akan mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.

Nenek moyang sebelah ibunya berasal dari tanah Jawa. Neneknya bernama
Inah dan bapanya Haji Arshad dari Jawa Tengah. Mereka berhijrah ke
Semenanjung Tanah Melayu dan berkampung di Pulau Besar. Keluarga ini
akhirnya masuk suku mengikut adat negeri ini iaitu berperut kepada Suku
Biduanda. Manakala sebelah bapanya berasal dari Tanah Minang dan
bermukim pula di Kampung Ampang Penajis. Di sanalah bapanya dilahirkan
dan ternaung di bawah Suku Batu Hampar.

Mereka berpindah ke Lenggeng dalam sekitar tahun 1895. Di sinilah ibu dan
bapanya bertemu jodoh. Lima tahun kemudian, mereka dikurniakan cahaya
mata. Pondok penginapan mereka terletak kira-kira di hadapan Masjid
Mandom sekarang.

Pendidikan

Meningkat usia 7 tahun, Maarof pun menjejakkan kakinya di Sekolah Melayu


Pekan Lenggeng kira-kira 2.5 km dari rumahnya. Sekolahnya hanya
beratapkan rumbia dan berdinding papan di tepi sawah. Di sinilah ia
bersekolah hingga menamatkan darjah 5. Kemudian beliau terpilih
melanjutkan pendidikan dua tahun lagi sehinggalah lulus peperiksaan
peringkat sekolah rendah. Haji Maarof mendapat nombor ke lapan dari
2,550 murid yang mengambil peperiksaan itu. Kejayaan ini membuka
peluang kepada beliau untuk menjadi guru kecil ( pelatih) dan diterima
mengajar di Sekolah Melayu Pantai, Jalan Jelebu. Sebagai tanda
kelayakannya, Kerajaan British ketika itu menganugerahkan beliau
'Certificate For Standard V' ( 30 Jun 1917) dan 'Certificate Of Registration Of
A Teacher' pada 28 Oktober 1921. Haji Maarof kemudiannya berpindah pula
ke Sekolah Melayu Mantin (1918). Beliau bertemu jodoh dalam tahun 1921
berkahwin dengan seorang gadis bernama Ghina bt Muhamad Nuh.

Anggota M.V.I

Apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama, Kerajaan kolonial British telah


menubuhkan pasukan tentera simpanan yang dikenali sebagai Malayan
Voluntary Infantry ( MIV) di negeri ini. Maarof telah berkhidmat dalam
pasukan ini ketika masih menjadi guru. Beliau memakai nombor 1619 M.V.I
dan terpaksa berlatih 2 kali seminggu di Seremban dan kemudiannya latihan
intensif selama 2 tahun di Kem Batu 4 Port Dickson dalam tahun 1922.
Mungkin tempoh tersebut juga beliau ditukarkan ke Sekolah melayu Bagan
Pinang, Port Dickson. Beliau berkhidmat dalam pasukan beruniform ini
hingga tahun 1924.

Letak jawatan

Dalam tahun 1925, beliau dipindahkan pula ke Sekolah Melayu Beranang. Di


sinilah Haji Maarof meletakkan jawatan sebagai guru secara sukarela dengan
gaji terakhir sebanyak $18.70 sebulan. Bagi memenuhi masa lapangnya,
beliau belajar memandu kereta sehingga memperolehi lesen memandu.
Selepas itu beliau memandu kereta sewa ke Seremban dan bersawah padi di
kampung.

Cita-cita mengaji di pondok

Tuan Haji Maarof pernah bercita-cita belajar ilmu agama secara mendalam.
Antara negeri-negeri sasarannya ialah Pantai Timur, Pattani dan Kedah.
Dalam diam-diam beliau pergi mendapatkan akuan dari Dato' kelana Putra
Luak Sungai Hujung yang menyatakan Maarof adalah anak buahnya dan
menyokong hasrat beliau untuk merantau menuntut ilmu agama. Surat
akuan itu diperolehi bertarikh 4 Mac 1925. Sayangnya, hasrat beliau tidak
mendapat restu ibunya.

Merantau ke Jambi

Sebetulnya, Haji Maarof masih menanam tekad untuk menuntut ilmu agama
dan dalam tahun 1925, beliau memberanikan diri meminta izin ibunya untuk
ke Jambi pula. Tujuan beliau ialah untuk mencari wang belanja bagi
meneruskan cita-citanya menuntut ilmu agama di Pantai Timur. Kali ini
ibunya mengizinkan, anak muda yang taat kepada ibu dan bapanya itupun
bertolaklah ke Singapura bersama pak ciknya. Mereka bermalam di masjid
Kg Jawa sebelum belayar ke Jambi.

Di Jambi, Haji Maarof bekerja membersihkan kebun getah dan sebagai


pemandu boat tambang di Sungai Jambi. Kemahirannya memandu dan
boleh membaik pulih injin itu telah menarik minat penduduk di Pekan jambi
untuk mendapat khidmatnya. Beliau balik ke Lenggeng semula setelah
dimaklumkan ibunya sakit merinduinya. Kemudian beliau bekerja sebagai
'Revenue officer grade III di Kuala Lumpur dengan gaji bulanan sebanyak
$35 dan tambahan $5 untuk elaun basikal. Dia bertugas bermula 11 April
1927 hingga 31 Oktober 1928. Setelah itu Haji Maarof bertukar beberapa
kerja sehinggalah mengambil keputusan untuk pulang ke kampungnya.

Mengambil Tarekat

Ketika mengajar di sekolah Mantin dalam tahun 1920, Haji Maarof


mengambil tarekat daripada Tuan Guru Syeikh Haji Ahmad bin Mohd
AlBaqir di Pantai, Seremban. Sekembalinya dari Jambi itu, Haji Maarof mula
bersuluk. Suluk pertamanya selama 20 hari dan gurunya mengarahkannya
membuat tahlil sebanyak 4 khatam selama sebulan.

Dinyatakan aktiviti bersuluk telah lama diamalkan di kawasan Lenggeng.


Surau suluk pertama dicatatkan ada sejak tahun 1901 di bawah pimpinan
Syeikh Kubung. Kemudian pusat-pusat bersuluk tumbuh di sana seperti di
Kampung Tengah pimpinan Haji Mustaffa, Kg Suluk pimpinan Tuan Faqih, Kg
Sungai Macang oleh Haji Abdullah Haji Ismail dan di Kg Dacing pimpinan
Haji Said dan Syeikh Muda. Dilaporkan di Kg Dacing itu ramai murid-murid
berasal dari tanah seberang.

Ijazah Khalifah

Awal tahun 1940an, Haji Maarof menumpukan masanya berguru sambil


bersuluk di surau Syeikh Haji Ahmad bin Mohd Albaqir di Pantai, Seremban.
Tuan guru itu telah lama mengadakan majlis ilmu di sana dan beliau
merupakan khalifah tarekat Naqsyanbandi kholidiah ke 36 dan murid kepada
Syeikh Ali Redha yang bermastautin di Jabal Qubais Mekah al Mukarramah,
penyusun muat turunkan kedudukan lokasi Qubais ini sebagaimana catatan
pengembaraan Ibnu Batttutah iaitu:

"Makkah ialah sebuah kota yang besar dan mempunyai bangunan-


bangunan yang rapat-rapat. Ia berbentuk bujur dan terletak di dasar
sebuah lembah yang dikelilingi oleh bukit bukau. Pengunjung yang
datang tidak akan dapat melihat kota tersebut hingga ia benar-
benar sampai di situ. Bukit-bukau yang mengelilinginya itu tidaklah
begitu tinggi. Antara bukit tersebut ialah Jabal Abu Qubais dan Jabal
Qu’aiqi’an iaitu dua buah Jabal al-Akhsyaban. Jabal Abu Qubais
terletak di sebelah selatan kota Makkah dan Jabal Qu’aiqi’an pula di
sebelah baratnya. Di sebelah utaranya terletak Jabal al-Ahmar.
Bersebelahan dengan Jabal Abu Qubais pula terletak Ajyad al-Akbar
dan Ajyad al-Asghar, kedua-duanya curam serta sempit selain Jabal
al-Khandamah yang akan diceritakan kemudian. Tempat-tempat
untuk melaksanakan haji iaitu Mina, ‘Arafah dan Muzdalifah,
semuanya terletak di timur Makkah. "

Berkat Kesungguhan dan mujahaddah Haji Maarof ketika menuntut dengan


Syeikh Haji Ahmad itu maka beliau terpilih untuk diijazahkan Khalifah
Tarekat dalam tahun 1941. Ketika bertawajuh dalam tahun 1942, Haji
Maarof mengalami sakit teruk hingga melemahkan tubuhnya. Gurunya
mengarahkan murid-murid menyediakan setin minyak tanah air sejuk yang
dibacakan surah Yassin. Selepas khatam tawajuh, Maarof dipimpin rakan-
rakannya ke bawah jambatan sungai yang tidak jauh dari surau suluk
mereka. Di atas batu tengah sungai itulah Haji Marof dimandikan. Dia begitu
bersyukur kerana selepas dimandikan, tubuh badannya kembali sehat dan
mampu berjalan tanpa dipapah lagi.

Memimpin jamaah

Selepas kembalinya ke rahmatullah Syeikh Haji Ahmad al Baqir pada 1


Syaaban 1362 H bersamaan 30 Julai 1942, Haji Maarof terus bersuluk
dengan Haji Abdullah Haji Ismail di Suluk Sungai Bunga. Haji Abdullah
dianggap guru dan abang tua dalam aliran tarekat ini. Haji Abdullah telah
menulis ijazah ( bertarikh 28 April 1952) boleh memimpin tawajuh dan
menyuluk bagi Haji Maarof yang tidak sempat ditulis oleh Syeikh Haji Ahmad
dalam tahun 1942. Bertawajuh dengan Haji Abdullah berjalan hinggalah Haji
Abdullah meninggal dunia lebih kurang tahun 1953/54.
Peninggalan Haji Abdullah, jamaah masih bertawajuh di Masjid Mandom
setiap malam selasa dan jumaat di bawah pimpinan Haji Maarof. Kemudian
mereka berpindah pula ke bangunan sekolah lama yang telah ditinggalkan
dan lebih kurang 10 tahun pula mereka menggunakan bangunan tersebut.
Akhirnya, dengan kesepakatan jamaah dan gotong royong telah didirikan
surau baru di Kg Hilir pada 23 Ogos 1965. Surau suluk ini telah didaftarkan
di Pejabat Agama dan kebenaran bertulis untuk menjalankan aktiviti
keagamaan turut diberikan oleh pihak berwajib. Dato Kelana Putra, Undang
Luak Sungai Ujung turut berkenan hadir di hari penutup suluk tahun
tersebut. Walau bagaimanapun, jamaah ini tidak lepas dari fitnah orang
yang tidak memahami aliran bersuluk atau bertarekat. Surat bantahan dari
individu yang ditujukan kepada pihak berwajib telah dilayangkan tetapi
kelulusan Pejabat Agama Negeri telah lama diperolehi. Malah dalam surat
sokongan jabatan agama negeri bertarikh 23 Disember 1975 antara lain
menyatakan:

"..Jabatan ini adalah sentiasa memberikan sokongan kepada apa-apa


kegiatan keagamaan dan kerohanian yang boleh membawa masyarakat
Islam di negeri ini kembali kepada Allah.."

Mereka juga berharap Tuan Guru Haji Maarof bin Yaakob akan dapat
memimpin masyarakat Islam khasnya di kalangan jenerasi muda ke arah
menghayati ajaran agama dan bertakwa.

Aktiviti jamaah

Surau telah diperbesarkan sesuai dengan pertambahan murid atau jamaah


yang mengikuti majlis pimpinan Haji Maarof. Ramai pengunjung datang
menyertai aktiviti di sini dari merata pelusuk negeri termasuk dari
Singapura. Setiap majlis penutup suluk, jamaah akan mengadakan kenduri
dan jiran-jiran berhampiran yang tidak bersuluk pun turut dijemput serta
dalam kenduri tersebut. Apabila datang hari raya, program menziarahi tuan
guru dan majlis korban turut diadakan. Haji Maarof akan diwakilkan untuk
menyembelih binatang korban murid-murid beliau.

Penutup

Ratusan orang muridnya telah diberi pengakuan mengambil tarekat dan


dibenarkan mengadakan tawajuh di masa hidupnya. Mereka adalah dari
semua lapisan masyarakat dewasa dan berlatar belakang berbagai
profession dari merata negeri. Tidak kira lelaki atau wanita yang ingin
mencari keredhaan Illahi tidak akan dihampakan oleh Tuan Guru yang soleh
itu. Dipercayai bilangan murid bagi aliran Naqsyabadi Kholidiah telah
mencapai ribuan orang di merata pelusuk negeri. Selepas pemergiannya,
difahamkan majlis tawajuh di surau itu masih diteruskan oleh menantunya
Sheikh Talib.

Hasil perkongsian hidup dengan Hajah Fatimah Idris ( isteri kedua),


Almarhum telah dikurniakan 8 cahaya mata dan mewarisi cucu cicit yang
ramai. Isteri beliau meninggal dunia pada 7 Jun 1987 bersamaan 9
Ramadhan 1407H. Manakala Tuan Guru Syeikh Haji Maarof kembali ke
rahmatullah pada tanggal tahun 1994. Kita berdoa agar jasa dan perjuangan
almarhum khalifah Naqsyabandiah alKholidiah ini mendapat tempat di sisi
Allah.
Lawati website JEJAK ULAMA DI NEGERI ADAT PERPATIH

You might also like