You are on page 1of 4

Usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita

Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak
pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak
menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari
kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan
semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak
mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat
patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.
Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di
negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik
dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu,
“melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat
patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan
masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.
Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek
semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan,
murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu.
Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya
diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-
murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.
Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen
yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat
patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik
seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan
masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat
meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media
elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan
semangat cinta akan negara.
Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk
meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh
dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada
peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga
perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan
juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat
memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.
Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin
masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi
pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan
menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang
kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini
hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah
pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang
akan datang.
Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini
demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan
menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang
tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan
cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja,
pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah
berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan
masyarakat.

USAHA MEMBENDUNG KENAIKAN HARGA BARANG

Belakangan ini, kenaikan harga barang telah melanda negara kita. Kenaikan ini menyebabkan perbelanjaan rakyat Malaysia
semakin bertambah. Bagi golongan yang hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang atau kurang berada ini,
kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban kepada mereka. Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak
untuk menghadapi kenaikan ini, bak kata pepatah, ingat sebelum kena jimat sebelum habis.
Satu daripada langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini ialah setiap rakyat Malaysia perlulah mempraktikkan
amalan berjimat cermat. Amalan ini dapat dilaksanakan dengan mengurangkan perbelajaan atau ikat perut. Sebagai contohnya,
jika pada suatu ketika dahulu kita berbelanja sebanyak 100 peratus, perbelanjaan tersebut hendaklah dikurangkan kepada 50 atau
60 perataus sahaja. Wang selebihnya hendaklah kita simpan. Melalui cara ini, kita dapat mengurangkan pengaliran wang di
pasaran dan seterusnya dapat mengurangkan permintaan terhadap sesuatau barangan sekali gus dapat mengurangkan kenaikan
harga barang.

Selain itu, ketua sesebuah keluarga pula hendaklah merancang perbelanjaan keluarga dengan teliti. Semua perbelanjaan
hendaklah dibuat berdasarkan keperluan yang sebenarnya. Hal ini bermaksud barang-barang yang tidak diperlukan hendaklah
diketepikan. Sebagai contohnya, setiap ahli keluarga hendaklah menangguhkan pembelian pakaian yang berjenama mahal,
peralatan perabot, dan sebagainya. Mereka hendaklah menumpukan pembelian barangan keperluan utama seperti beras, gula,
tepung, dan sebagainya.

Di samping itu, semua ahli masyarakat hendaklah memboikot barang-barang di pasaran yang harganya naik secara mendadak.
Dalam hal ini, masyarakat hendaklah bersatu hati seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu, iaitu bersatu teguh bercerai
roboh. Sebagai contohnya, masyarakat janganlah membeli ayam daging di pasar yang mengalami kenaikan harga yang tidak
munasabah. Apabila pembeli memboikot pembelian terhadap ayam daging tersebut dalam tempoh tertentu, harga ayam tersebut
akan turun kembali.

Bukan itu sahaja, pihak kerajaan pula hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas terhadap
mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan tanpa mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Pegawai yang
bertanggungjawab hendaklah mengadakan lawatan secara mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi
peraturan yang telah ditetapkan atau tidak bersikap seperti lintah darat. Sebagai contohnya, mana-mana penjual yang menaikkan
harga barangan secara sesuka hati atau cuba memasang lukah di pergentingan, mereka hendaklah didakwa di mahkamah.
Tindakan ini akan menyebabkan mereka tidak berani untuk mengambil kesempatan dalam suasana negara menghadapi kemelut
kenaikan harga minyak.

Kesimpulannya, kenaikan harga barang telah menyusahkan banyak pihak. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur
dengan tebing untuk menangani masalah ini. Bagi sesetengah pihak pula, janganlah bersikap seperti enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing. Semua rakyat Malaysia mestilah bertindak seperti ke bukit sama-sama didaki dan ke lurah
sama-sama dituruni untuk mencari jalan bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku. Sebagai pengguna pula, kita mestilah
memboikot barang-barang tertentu jika ada pihak yang ingin mengambil kesempatan dalam situasi genting yang bagai telur di
hujung tanduk ini.

Kini, sektor pelancongan memainkan peranan penting dari sudut ekonomi negara kita. Pada tiap-tiap tahun, dianggarkan jumlah
pelancong yang berkunjung ke negara kita adalah melebihi 6 juta orang. Kebanyakan pelancong adalah terdiri daripada
pelancong asing seperti pelancong Singapura, Amerika Syarikat, Jepun dan sebagainya selain daripada pelancong tempatan.
Terdapat pelbagai faktor yang telah menggalakkan kedatangan mereka ke negara kita.
............Antara faktor utama pelancong berkunjung ke Malaysia adalah disebabkan negara kita mempunyai pelbagai tempat
menarik. Malaysia banyak memiliki kawasan rekreasi yang sesuai untuk dikunjungi oleh para pelancong. Antaranya ialah
kawasan pantai yang bersih, cantik dan berpasir putih seperti yang terdapat di pantai Desaru, pantai Cahaya Bulan dan
sebagainya. Hal ini menggalakkan pelancong bertumpu di kawasan tersebut untuk mandi-manda sambil menikmati keindahan
alam.
............ Selain itu, Malaysia juga mempunyai banyak tempat menarik untuk di kunjungi oleh pelancong. Para pelancong dapat
menikmati bangunan-bangunan tinggi mencakar langit atau bangunan bersejarah yang sentiasa terpelihara. Di ibu kota Kuala
Lumpur umpamanya terdapat bangunan canggih iaitu bangunan KLCC yang sentiasa menjadi daya tarikan pelancong. Hal ini
telah menyebabkan jumlah pelancong ke negara kita sentiasa bertambah.

............Pada masa yang sama, kedatangan pelancong ke negara kita adalah disebabkan oleh kepelbagaian jenis budaya yang
terdapat di Malaysia. Memandangkan Malaysia mempunyai masyarakat majmuk, pelbagai jenis makanan terdapat di sini.
Pelancong dapat menikmati makanan kaum Melayu seperti sate, ketupat dan rendang mahupun makanan kaum India seperti tosei
dan maruku. Mereka juga boleh menikmati tarian pelbagai kaum seperti tarian zapin dan tarian inang bagi kaum Melayu dan
tarian singa dari kaum Cina. Keunikan budaya ini telah menggalakkan kunjungan pelancong ke negara kita.

............Di samping itu, kemudahan pengangkutan awam turut menggalakkan kemajuan dalam sektor pelancongan negara.
Kerajaan telah membina jalan raya untuk menghubungkan kawasan pelancongan agar dapat dikunjungi dengan mudah. Kerajaan
juga meningkatkan kekerapan penerbangan ke negara-negara lain untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke Malaysia.
Hal ini terbukti berkesan apabila jumlah pelancong yang berkunjung ke Malaysia sentiasa bertambah dari setahun ke setahun.

............Faktor terakhir yang menggalakkan pelancong berkunjung ke Malaysia ialah terdapatnya kemudahan membeli-belah yang
disediakan untuk para pelancong. Dengan wujudnya kemudahan ini, mereka dapat berbelanja atau mendapatkan cenderamata
untuk dibawa pulang ke negara mereka. Barang-barang yang terdapat di situ juga dijual dengan harga yang berpatutan. Hal ini
menggalakkan pelancong untuk terus berkunjung ke negara kita.

............Intihanya, sektor pelancongan di Malaysia semakin meningkat maju kerana disebabkan oleh pelbagai faktor. Justeru,
rakyat jelata perlulah sentiasa menunjukkan sikap mesra pelancong dan bersopan-santun bagi menggalakkan kehadiran mereka
ke negara kita.

....................................

You might also like