You are on page 1of 14

1.3.

Analisis Kebolehpercayaan dan Kesahan Alat Kajian

Analisis kebolehpercayaan dan kesahan merupakan analisis yang perlu dilaksanakan

ke atas alat kajian. Ini bagi memastikan alat atau instrumen kajian yang digunakan untuk

penyelidikan ini adalah alat kajian yang sesuai dan berupaya mengukur apa yang

seharusnya diukur dan seterusnya menjawap persoalan kajian.

Terdapat enam konstruk yang perlu melalui analisis kebolehpercayaan dan

kesahan alat ujian. Konstruk-konstruk tersebut adalah imbasan persekitaran, analisis

bekalan sumber manusia, analisis permintaan sumber manusia, integrasi perancangan

sumber manusia dengan perancangan strategik organisasi, integrasi perancangan sumber

manusia dengan fungsian pengurusan sumber manusia dan prestasi organisasi.

1.3.1. Analisis Kebolehpercayaan Alat Kajian

Analisis kebolehpercayaan ini amat penting bagi mempastikan alat kajian yang

digunakan adalah stabil, boleh meramal dan boleh menghasil dapatan yang tepat serta

tidak diragui. Kebolehpercayaan alat kajian menunjukkan kestabilan dan kekukuhan alat

kajian tersebut mengukur sesuatu konsep dan ia juga menilai kebagusan (“goodness”)

pengukuran tersebut (Sekaran, 2003). Ia dianalisa dengan mengenalpasti samada alat


kajian tersebut menghasilkan jawapan atau nilai yang sama apabila sesuatu angkubah itu

diukur.

Kebolehpercayaan alat kajian ini diukur dengan menggunakan Kaedah Alpha

Cronbach. Ia merupakan alat pengukur ketekalan dalaman yang paling kerap digunakan

oleh para penyelidik untuk mengenalpasti koheren item yang menyepadukan skala indeks

(Churchill, 1979). Kaedah ini mengandaikan tiap-tiap item itu sebagai satu ujian setara

dan semua korelasi antara item adalah sama.

Di dalam kajian ini, kaedah ketekalan dalaman digunakan bagi menentukan tahap

kebolehpercayaan setiap konstruk. Jadual 4.7 menunjukkan perbandingan nilai alpha bagi

setiap angkubah di dalam kajian rintis dengan kajian sebenar. Berdasarkan nilai alpha

yang diperolehi menunjukkan setiap konstruk mempunyai kebolehpercayaan yang

memuaskan. Skor alpha yang tinggi menunjukkan tinggilah kebolehpercayaan alat kajian

itu untuk mengukur sesuatu yang perlu diukur. Butir-butir lanjut mengenai nilai alpha

bagi setiap konstruk dipaparkan di Lampiran 2.

4.4.1.1.Kajian Rintis

Sebelum pengutipan data sebenar dibuat, ujian kebolehpercayaan alat kajian telah

melalui kajian rintis terlebih dahulu. Kajian rintis telah dibuat ke atas syarikat-syarikat

pembuatan asing yang beroperasi di Negeri Kedah pada bulan Disember 2004. Syarikat-
syarikat tersebut dipilih berdasarkan Senarai Syarikat-syarikat Pembuatan di Negeri

Kedah yang dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) untuk tahun

2003. Sebanyak 63 borang soal-selidik berserta sampul surat bersetem dan beralamat

sendiri telah dikirim melalui pos. Setelah sebulan borang soal-selidik dihantar dan

beberapa panggilan susulan melalui telefon dibuat, penyelidik telah menerima kembali 31

borang soal-selidik yang telah diisi. Walaubagaimanapun, daripada jumlah tersebut di

dapati hanya 27 syarikat sahaja yang melaksanakan perancangan sumber manusia.

Berdasarkan kajian rintis ini, keputusan ini menunjukkan, alat kajian yang

digunakan untuk kajian rintis mempunyai kebolehpercayaan yang memuaskan dengan

nilai alpha Cronbach antara .662 hingga .956.

3.4.1.2.Kajian Sebenar

Pengumpulan data bagi kajian sebenar pula telah dibuat pada bulan April 2005

sepertimana telah dibincangakan di dalam bahagian 3.3. Ujian kebolehpercayaan yang

dibuat mendapati nilai alpha yang diperolehi bagi setiap dimensi di dalam setiap

angkubah adalah memuaskan dan boleh diterima. Sepertimana kajian rintis, angkubah

prestasi organisasi memperolehi nilai alpha tertinggi dengan nilai .926. Nilai alpha

terendah pula ialah .738 yang diperolehi oleh dimensi intergrasi vertikal dalam angkubah

intergrasi dengan perancangan strategic organisasi. Secara keseluruhannya, nilai alpha

alat kajian bagi kajian sebenar tiada banyak perbezaan dengan yang diperolehi di dalam

kajian rintis.
Jadual 4.7

Perbandingan Analisis Kebolehpercayaan Kajian Rintis dan Kajian Sebenar

Bil. Konstruk (Dimensi) Bilangan Nilai Apha Nilai Alpha


Item Kajian Rintis Kajian Sebenar

1. Imbasan Persekitaran
1.Faktor Ekonomi 4 .703 .848
2.Faktor Teknologi 4 .944 .887
3.Faktor Sosial 4 .866 .857
4.Faktor Demografi 4 .831 .816
5.Faktor Undang-undang dan 4 .901 .797
Kerajaan

2. Analisis Permintaan Sumber


Manusia
1.Pasaran Produk 4 .778 .892
2.Pesaing 5 .924 .753
3.Pengeluaran dan Kualiti Produk 5 .793 .912
4.Teknologi 4 .853 .937

3. Analisis Bekalan Sumber Manusia


1.Demografi Pekerja 4 .687 .852
2.Kemahiran 4 .691 .863
3.Sikap di tempat kerja 5 .842 .768
4.Penilaian Prestasi Pekerja 4 .662 .862
5.Kepuasan Pekerja 4 .967 .894

4. Integrasi dengan Perancangan


Strategik Organisasi
1.Intergrasi Vertikal 4 .703 .738
2.Intergrasi Horizontal 4 .701 .766
5. Integrasi dengan Fungsian .
Pengurusan Sumber Manusia
1.Penilaian Prestasi 4 .728 .843
2.Pengurusan Kerjaya 4 .745 .932
3.Latihan dan Pembangunan 4 .773 .880
4.Pengambilan dan Pemilihan 5 .662 .816
5.Pampasan dan Kemudahan 5 .788 .848
Pekerja
6.Perhubungan Industri 6 .871 .907

6. Prestasi Organisasi 5 .956 .926

1.3.2. Analisis Kesahan Alat Kajian

Kesahan alat kajian merujuk kepada takat sesuatu alat kajian benar-benar

menyukat angkubah-angkubah yang hendak disukat atau mengukur apa yang sepatutnya

diukur (Ary, Jacobs dan Razavieh, 2002; Sekaran, 2003). Di dalam kajian ini kesahan

alat kajian dijalankan melalui dua prosedur iaitu kesahan kandungan dan kesahan muka.

Kesahan kandungan merujuk kepada sejauh mana alat kajian tersebut

mengandungi set item yang cukup dan mewakili konsepnya (Sekaran, 2003). Untuk

mendapatkan kesahan kandungan, pemilihan item-item dibuat berdasarkan sorotan

terperinci ke atas literatur serta konsep-konsep amalan perancangan sumber manusia

sepertimana yang diutarakan di dalam Bab 3.

Disamping itu, penyelidik berjumpa dan mendapat maklumbalas daripada

beberapa orang pensyarah sumber manusia daripada Universiti Utara Malaysia serta
Universiti Malaysia Sarawak. Penyelidik juga mengadakan perbincangan dengan dua

orang pengurus kanan Bahagian Sumber Manusia, Tenaga Nasional Berhad berkaitan

dengan item-item yang digunakan. Mereka adalah pegawai yang bertanggungjawap ke

atas perancangan sumber manusia Tenaga Nasional Berhad dan mempunyai pengalaman

yang luas dalam pengurusan sumber manusia. Semua maklumbalas dan komen yang

diperolehi telah diambilkira untuk membentuk soal-selidik sebelum kajian rintis

dijalankan.

Analisis kesahan muka juga dilaksanakan untuk kesahan alat kajian. Walaupun

tiada peraturan yang ketat bagi mendapatkan kesahan, namun Bailey (1984)

mencadangkan supaya penyelidik memahami dengan jelas konsep-konsep dan definisi

operasional yang digunakan di dalam kajian ini. Bagi mendapatkan kesahan muka dan

sebagai kesahan yang paling asas, pembangunan soalselidik dan alat kajian ini telah

diterokai sejak awal untuk memastikan penyelidik benar-benar memahami bidang kajian

dengan mendalam disamping membincangkan isu-isu berkaitan dengan penyelia dan

beberapa penyelidik lain.

Bagi menganalisa kesahan alat kajian, penyelidik tidak mengunakan prosedur

kesahan konstruk seperti analisis faktor kerana jumlah responden kajian yang sedikit iaitu

61 tidak membolehkan penyelidik menjalankan analisis faktor ke atas data-data yang

diperolehi. Sebagai peraturan asas, untuk menjalankan analisis faktor jumlah sampel

hendaklah sekurang-kurangnya lima belas kali ganda daripada jumlah item yang hendak

dianalisa (Hair et al., 1998; Sharidan dan Lyndall, 2003). Oleh yang demikian, kajian ini
telah menjalankan ujian “uni-dimensional” bagi mengenalpasti ketekalan dalaman setiap

dimensi di dalam setiap angkubah yang diukur.

Analisis kesahan alat kajian yang dijalankan juga memenuhi prosedur kesahan

yang disyorkan oleh Nunnally et al. (1993). Nunnally et al. (1993) menyatakan kesahan

kandungan haruslah memenuhi keperluan berikut; “ ….the adequacy with which

important content has been sampled and adequacy with which the content has been cast

in the form of test items” (m.s.171).

Selain itu, analisis faktor itu sendiri mempunyai beberapa kelemahan. Peranan

analisis faktor bagi menentukan samada item-item berada di dalam satu konstruk

(confirmatory purposes) sering dipertikaian. Malah ramai penyelidik berpendapat ia

hanya berfungsi untuk tujuan penerokaan sahaja (exploratory purposes) iaitu apabila

penyelidik bertujuan untuk mengenalpasti atau merumus struktur di dalam satu set

angkubah ataupun sebagai kaedah pengurangan data (data reduction method). Ini kerana,

ia hanya bergantung semata-mata kepada data yang diperolehi dan tidak meletakkan

sebarang sekatan atau had ke atas jangkaan komponen ataupun jumlah komponen yang

dicerap (Hair et al., 1998, muka surat 91). Malah, kritik analisis faktor juga dinyatakan

oleh Nicolás Sánchez and Miles Cahill (1998) seperti berikut ; “Critics of factor analysis

point out that in reducing the original variables into a smaller number of factors, some

information is lost. Specifically, when the number of extracted factors is less than the

original number of variables, the factors do not explain all the variance of the original
variables. Further, it is suggested that the regression coefficients obtained by factor

analysis are biased” (m.s.5).

Oleh itu, untuk mendapat gambaran jelas mengenai konstruk perancangan sumber

manusia yang diamalkan oleh organisasi maka temuramah secara berstruktur telah dibuat

ke atas syarikat-syarikat yang mengamalkan perancangan sumber manusia. Analisis

kualitatif daripada hasil temuramah tersebut dibincangkan di dalam Bab 6.

1.4. Analisis Data

Bahagian ini membincangkan kaedah analisis data yang digunakan di dalam

kajian ini. Memandangkan pengumpulan data untuk kajian ini melalui dua kaedah iaitu

borang soal selidik dan temuduga, maka data yang diperolehi dianalisa dengan analisis

kuantitatif dan analisis kualitatif. Analisis kuantitatif menganalisa data-data yang

diperolehi melalui borang soal selidik manakala analisis kualitatif pula membincangkan

maklumat-maklumat yang diperolehi melalui temuduga yang dijalankan.

1.4.1. Analisis Data Kuantitatif

Analisis data kuatitatif dijalankan bagi menjawap persoalan kajian dan menguji

hipotesis kajian. Bagi menganalisa data kuantitatif, tiga jenis analisis statistik digunakan
di dalam kajian ini iaitu analsis diskriptif, analisis korelasi dan analisi regresi. Data-data

yang diperolehi dianalisa menggunakan pakej perisian SPSS (Statistical Package for

Social Science 12.0). Butiran lanjut analisis tersebut adalah seperti berikut :

a) Analisis Diskriptif

Analisis diskriptif melibatkan aplikasi beberapa kaedah analisis statistik asas seperti

analisis frekuensi, tabulasi silang, peratusan, purata dan sisihan piawai. Analisis-analisis

ini bertujuan untuk menerangkan dan mengambarkan ciri-ciri sampel dan juga fenomena

yang berkaitan dengan persoalan kajian.

b) Ujian-t

Ujian-t digunakan untuk menjawap objektif kajian yang pertama iaitu untuk

mengenalpasti samada wujudnya perbezaan prestasi organisasi syarikat yang

melaksanakan perancangan sumber manusia dengan syarikat yang tidak melaksanakan

perancangan sumber manusia.

c) Analisis Korelasi

Analisis korelasi digunakan untuk menjawap objektif kajian yang kedua iaitu untuk

mengenalpasti hubungan antara amalan-amalan perancangan sumber manusia (iaitu

imbasan persekitaran, analisis bekalan sumber manusia, analisis permintaan sumber

manusia, integrasi dengan perancangan strategik organisasi dan integrasi dengan fungsian

pengurusan sumber manusia) dan prestasi organisasi.

d) Analisis Regresi
Analisis regresi pula digunakan untuk mengenalpasti hubungan antara satu angkubah

bersandar dengan satu set angkubah tidak bersandar iaitu prestasi organisasi dengan

amalan perancangan sumber manusia (iaitu imbasan persekitaran, analisis bekalan

sumber manusia, analisis permintaan sumber manusia, integrasi perancangan sumber

manusia dengan perancangan strategik organisasi dan integrasi perancangan sumber

manusia dengan fungsian pengurusan sumber manusia). Oleh itu, model regresi yang

digunakan untuk kajian ini adalah seperti di bawah :

PRESTASI = β + β1 IMBASAN + β2 PERMINTAAN + β3 BEKALAN +

β4 STRATEGI + β5 FUNGSIAN + ε

Di mana,

PRESTASI = Prestasi Organisasi

IMBASAN = Imbasan Persekitaran

PERMINTAAN = Analisis Permintaan Sumber Manusia

BEKALAN = Analisis Bekalan Sumber Manusia

STRATEGI = Integrasi dengan Perancangan Strategik Organisasi

FUNGSIAN = Integrasi Fungsian Pengurusan Sumber Manusia

β = Konstan (Constant)

ε = Kesalahan Standard (Standard Error)

Di dalam analisis ini, Ujian F (F Test) digunakan untuk menguji samada model regresi

tersebut berupaya menerangkan varian angkubah tidak bersandar.


Analisis regresi “hierarchical” pula digunakan untuk mengenalpasti peranan saiz,

industri dan umur organisasi sebagai angkubah penyederhana hubungan antara satu

angkubah bersandar dengan satu set angkubah tidak bersandar iaitu prestasi organisasi

dengan amalan perancangan sumber manusia (iaitu imbasan persekitaran, analisis

bekalan sumber manusia, analisis permintaan sumber manusia, integrasi perancangan

sumber manusia dengan perancangan strategik organisasi dan integrasi perancangan

sumber manusia dengan fungsian pengurusan sumber manusia).

1.4.2. Analisis Data Kualitatif

Data kualitatif kajian ini diperolehi daripada temuramah yang telah dijalankan.

Temuramah dikendalikan berpandukan set soalselidik yang dibangunkan berdasarkan

kepada set soalselidik kuantitatif. Namun set soalselidik untuk temuramah ini adalah

bersifat soalan terbuka yang memberi ruang kepada responden untuk memberi

pandangan, komen dan idea secara bebas. Set soal-selidik ini adalah seperti di Lampiran

1C.

Analisis data kualitatif dibahagikan kepada 4 bahagian. Bahagian 1

membincangkan demografi responden dan latarbelakang perancangan sumber manusia

yang dilaksanakan oleh responden. Bahagian 2 pula membincangkan konstruk amalan-

amalan perancangan sumber manusia organisasi dan hubungannya dengan prestasi

organisasi. Bahagian 3 pula menyentuh tentang permasalahan yang dihadapi semasa


melaksanakan perancangan sumber manusia. Bahagian terakhir merumuskan penemuan

kajian dan juga dapatan-dapatan yang tidak dianalisa di dalam kajian ini.

1.5. Ujian Normaliti dan Homosidasiti, Lineariti, dan Multikolineariti

Analisis multivariat merupakan salah satu kaedah analisis data yang digunakan di

dalam kajian ini. Menurut Hair et al. (1998), data-data haruslah memenuhi beberapa

andaian sebelum analisis multivariat boleh dilaksanakan. Andaian-andaian tersebut

adalah normaliti, homosidasiti, lineariti dan multikolineariti.

Bagi memeriksa kenormalan data, kaedah asas yang sering digunakan adalah

dengan melihat rajah histogram (Norusis, 2004). Selanjutnya Norusis (2004)

menjelaskan, taburan normal boleh dilihat daripada rajah histogram dengan memerhati

garis-garis tegak (bars). Walaubagaimanapun adalah sukar untuk mendapat taburan

normal yang benar-benar tepat disebabkan data yang diperolehi bergantung kepada

persepsi responden berbeza-beza. Rajah histogram untuk angkubah-angkubah tidak

bersandar dan angkubah bersandar di dalam Lampiran 3 menunjukkan kenormalan data

yang diperolehi. Rajah-rajah tersebut menunjukkan tidak terdapat pengkelompokan

residual yang nyata samada ke arah nilai positif mahupun negatif. Memandangkan

taburan residual yang agak seimbang, maka andaian kenormalan data kajian ini telah

dapat dipenuhi.
Selain daripada itu, kenormalan data juga boleh dilihat dengan menggunakan

kaedah plot kebarangkalian normal (normal probability plot) sepertimana dicadangkan

oleh Hair et al.. (1998). Rajah-rajah plot kebarangkalian normal bagi angkubah-angkubah

bersandar dan tidak bersandar (Lampiran 3) menunjukkan garisan lurus dari kiri ke kanan

adalah garisan normal. Manakala plot berkotak-kotak menunjukkan nilai residual yang

dikaji keseluruhannya berada pada garis lurus normal atau menghampiri garisan tersebut.

Ini juga membuktikan bahawa data bagi kajian ini memenuhi andaian kenormalan.

Ujian lineariti dijalankan bagi memastikan terdapatnya hubungan linear di antara

angkubah. Norusis (2004) menyatakan bahawa lineariti boleh dikenalpasti dengan

melihat plot serakan (scatter plot). Memandangkan salah satu objektif utama kajian ini

adalah untuk melihat hubungan di antara angkubah tidak bersandar dan angkubah

bersandar, maka ujian lineariti adalah penting. Rajah-rajah plot serakan di Lampiran 3

menunjukkan nilai residual adalah bertaburan secara rawak di dalam satu pola kelompok

di sekeliling garisan melintang 0. Keseimbangan ini menunjukkan andaian lineariti telah

dapat dipenuhi untuk semua angkubah.

Memandangkan kaedah analisis regresi digunakan untuk menjawap persoalan

kajian, maka ujian multikolineariti ke atas peramal (predictor) perlu dijalankan. Masalah

multikolineariti timbul apabila angkubah-angkubah tidak bersandar mempunyai korelasi

yang tinggi sesama mereka (Kothari, 1995). Oleh itu ia akan menjejaskan ketepatan dan

keseimbangan jangkaan parameter model. Ianya dapat dikenalpasti dengan melihat nilai

faktor varian inflasi (Varian Inflation Factor – VIF). Nilai VIF untuk angkubah tidak
bersandar hendaklah tidak melebihi 10 sebagaimana yang dicadangkan oleh Hair et al..

(1998). Bagi kajian ini, nilai VIF yang diperolehi adalah tidak melebihi 2 sepertimana di

Lampiran 4. Oleh yang demikian, ujian multikolineariti ke atas angkubah tidak bersandar

menunjukkan tidak ada perhubungan linear atau masalah multikolineariti antara

angkubah-angkubah tersebut.

1.6. Rumusan

Bab ini telah menghuraikan metodologi kajian iaitu rekabentuk kajian,

pengukuran angkubah, pengumpulan data, analisis kebolehpercayaan dan kesahan alat

kajian, dan analisis data. Dapatan dan analisis kajian ini dibentangkan di dalam bab yang

berikutnya.

You might also like