You are on page 1of 1

KARANGAN CONTOH : ISU 

VANDALISME

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI GEJALA VANDALISME

Saban hari, kita sering mendengar isu remaja yang tidak pernah habis diperkatakan.
Tidak kurang juga berita-berita mengenai salah laku oleh remaja yang tidak pernah lekang di
dada-dada akhbar tempatan hampir pada setiap hari. Remaja sebenarnya bolehlah
dianalogikan sebagai batu permata yang bakal mencorakkan masa depan negara. Namun,
mereka tidak sedar akan hakikat tersebut. Mereka sering melakukan kesalahan yang
melibatkan kemusnahan harta benda awam yang boleh diringkaskan dengan perkataan
‘vandalisme’. Menyedari tentang hal ini, tiadakah usaha-usaha dari pihak tertentu untuk
menangani masalah ini?.
Dalam konteks ini, ibu bapalah yang perlu memainkan peranan penting. Didikan
agama dan nilai moral yang sempurna haruslah ditanam dalam jiwa anak-anak mereka. Ibu
bapa perlu mendidik anak-anak mereka supaya menghargai harta benda awam yang terdapat
baik di kawasan tempat tinggal mereka mahupun di tempat lain. Selain itu, mereka harus
memantau aktiviti-aktiviti yang biasa dilakukan oleh anak-anak mereka dan mengetahui latar
belakang rakan-rakan bagi anak-anak mereka. Sekiranya mereka mendapati anak-anak
mereka terlibat dalam gejala vandalisme ini, tindakan sewajarnya harus dilakukan. Hal ini
termasuklah dengan memberi amaran tegas kepada anak-anak mereka. Tindakan ini memang
sesuai dengan kata orang-orang tua,“Sayangkan anak, tangan-tangankan”.
Di samping itu, masyarakat tidak harus berpeluk tubuh apabila gejala vandalisme
‘menjalar’ dengan berleluasa di kawasan perumahan mereka. Perbuatan seperti menconteng
dinding bangunan, merosakkan telefon awam, buaian di taman permainan dan tong sampah
awam wajar diambil perhatian. Masyarakat di sesebuah kawasan itu perlu mengadakan
mesyuarat dengan para ibu bapa tentang gejala itu dan mengenakan tindakan seperti denda
berupa bayaran kepada ibu bapa yang didapati anaknya terlibat dalam salah laku ini.
Kesannya, ibu bapa akan menjadi lebih peka terhadap tindak-tanduk anak-anak mereka.
Selain itu, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen untuk memerangi gejala
vandalisme. Pihak kerajaan boleh menyebarkan idea tersebut melalui stesen televisyen dan
radio tempatan untuk menangani gejala yang semakin ‘membarahi’ negara ini. Kerajaan juga
perlu mengenakan bayaran kompaun yang setimpal kepada sesiapa yang didapati melakukan
sebarang aktiviti yang melibatkan kerosakan harta benda awam. Individu yang didapati
bersalah melakukan perbuatan laku musnah ini perlulah melakukan kerja-kerja kebajikan
kepada masyarakat seperti menyapu sampah dan membersihkan tandas awam dan taman-
taman permainan. Natijahnya, sudah pasti gejala vandalisme akan dapat diatasi dengan
penguatkuasaan undang-undang yang tegas oleh pihak berwajib.
Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu dan mengerah keringat untuk
bersama-sama memerangi gejala vandalisme ini. Walaupun isu ini dilihat tidaklah terlalu
teruk, tetapi ingatlah bahawa ia dapat memberi impak yang besar kepada negara. Sekiranya
semua kemuahan awam kita tidak boleh digunakan atau diconteng, maka di manakah kita
hendak meletakkan air muka kita. Imej negara yang bersih hanya akan tinggal kenangan
sahaja. Ayuhlah kita bertindak segera untuk ‘memerangi’ gejala ini dan ingatlah , ‘jangan
sudah terhantuk barulah nak terngadah’.

You might also like