You are on page 1of 11

BEBERAPA SUMBANGAN SYEIKH DAUD AL-FATANI

DALAM SISTEM PENGAJIAN PONDOK DI KELANTAN1


Hadenan Bin Towpek *
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya Kuala Lumpur
E-mail: hadenant@perdana.um.edu.my; hadenant@sarawaknet.gov.my

Abstrak
Tulisan ini membincangkan sumbangan Syeikh Daud bin „Abdullah al-Fatani dalam
perkembangan keintelektualan Melayu Islam dengan memfokuskan kepada pengaruhnya terhadap
pemerkasaan pengajian pondok di Kelantan khasnya dan di rantau Nusantara amnya, menerusi
pengkaryaan kitab jawi. Beliau merupakan seorang ulama yang masyhur dan pengarang kitab yang
produktif di rantau Asia Tenggara kerana banyaknya karya-karya yang dihasilkan dalam berbagai
bidang ilmu Islam, seperti pemikiran Islam (aqidah), perundangan Islam (feqah), tasawuf, sejarah dan
lain-lain. Sumbangan beliau dalam sistem pengajian pondok di Kelantan sejak dari zaman berzaman
menerusi penghasilan karya-karya agama Islam dalam kitab jawi yang sebahagiannya masih
berterusan dicetak dan dijual di pasaran, adalah sukar untuk dinafikan malah sumbangan beliau amat
ketara dalam menyediakan asas pengetahuan dan amalan agama Islam khususnya dalam bidang feqah
mazhab al-Syafi„i dan bidang tawhid pada aliran Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Sumbangan beliau
yang berterusan ini juga merupakan antara asas kekuatan sistem pengajian pengajian pondok.

Kekunci:
Tokoh Ulama Melayu, Syeikh Daud al-Fatani, Pusat Pengajian Pondok, Kitab Jawi.

PENGENALAN
Negeri Kelantan sememangnya salah sebuah negeri yang telah banyak menyumbangkan
dakwah Islamiyah ke seluruh negeri sekitarnya. Penemuan wang emas Kelantan sekitar tahun 1912M
di Kubang Labu (bekas ibu negeri Kelantan yang dahulu) yang terletak di tebing barat sungai
Kelantan, setidaknya memberi gambaran bahawa Islam telah bertapak di Kelantan selewat-lewatnya
pada abad ke 12M. Kesan tulisan arab yang tertera pada wang emas dengan “al-Mutawakkal ‘ala
Allah” memberi pengertian berserah kepada Allah. Manakala di muka sebelah wang emas tersebut
tercatat “al-Julus Kelantan” yang bermaksud Kerajaan Kelantan, dan di atas tulisan ini terdapat
tulisan berbentuk “٥٧٧” iaitu satu angka arab yang bermakna 577 yang diandaikan merujuk kepada
tahun 577H bersamaan 1180M. (Nik Mohamed bin Nik Mohd Salleh, 1985:96)
Sejak itulah benih-benih Islam tumbuh bercambah di Negeri Kelantan. Tambahan pula
kedudukan geografinya yang berdekatan dengan wilayah Patani. Kedua-dua negeri ini sering
melakukan hubungan politik, keagamaan dan keilmuan. (Ab. Aziz Ismail, 1994:153; Mohammad
Husin Khal„e Haji Awang, 1969:7; Abdullah al-Qari, 1991:8) Tidak hairanlah pada tahun 1903
apabila pertama kalinya sekolah Melayu didirikan di Kelantan, Penyata Tahunan Negeri untuk tahun
itu menyebut: “Pada waktu ini ramai budak lelaki dihantar ke sekolah di Patani.” (Awang Had
Salleh, 1974:1). Bahkan Patani adalah tapak bagi para pelajar dari Semenanjung melanjutkan
pelajaran mereka ke situ sebelum berkelayakan menyambung pengajian ke Mekah yang menjadi pusat
ilmiah seluruh umat Islam (Awang Had Salleh, 1977:40). Malah hubungan keilmuan ini dimantapkan
lagi apabila pendakwah Patani sering mengunjungi Kelantan untuk mengajar dan memberi kuliah
kepada anak-anak Kelantan. Kesinambungan itu masih dirasakan sehingga ke hari ini bila mana
bahan-bahan bacaan Patani masih lagi digunakan sebagai teks rasmi di pusat-pusat pengajian
tradisional di Kelantan, tidak terkecuali juga kitab-kitab karya Syeikh Daud al- Fatani, yang
merupakan seorang ulama tersohor dan pengarang kitab yang terbilang di Asia Tenggara. (Ab. Aziz
Ismail, 1994:153-154)

RIWAYAT HIDUP SYEIKH DAUD AL-FATANI


Syeikh Daud bin „Abdullah al-Fatani merupakan salah seorang ulama yang terkenal di
Nusantara sekitar abad ke 13H/19M. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Tok Syeikh Daud Fatani.
Beliau juga mendapat gelaran-gelaran seperti “al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arif al-Rabbani”, “Syeikh
Daud Waliullah”, “Syeikh Daud Keramat” dan “Syeikh Daud Pengarang Kitab”. (Wan Mohd.
Shaghir, 1990a:21-22; 1991a:18; Hooker, 1991:73)

1
Dibentang dalam Seminar Keintelektualan Islam, anjuran Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Cawangan Kelantan,
dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, pada 31 Mei-1 Jun.

1
Terdapat tiga tempat yang dikaitkan dengan tempat kelahiran beliau iaitu Kampung Bendang
Gucil (Abdullah al-Qari, 1967:131), Kampung Parit Marhum (Ismail Che Daud, 1989:3; Engku
Ibrahim Ismail, 1992:20; Ahmad Fathy al-Fatani, 2002:136), dan Kampung Kerisik (Wan Mohd.
Shaghir, 1990a:20; 1991a:8). Tempat ketiga ini adalah lebih kuat hujahnya yang merujuk kepada syair
yang ditulis oleh Hj. Muhammad Hussain bin Abd al-Latif al-Fataniy, pada kitab Hidayat al-
Muta‘allim wa ‘Umdat al-Mu‘allim iaitu: “Fatani yang masyhur negeri muallifnya; kampungnya itu
Keresik yang hampir sungainya.” (Wan Mohd. Shaghir, 1991a:8) Para penyelidik juga tidak
sependapat dalam menentukan tahun kelahiran beliau sama ada 1133H/1720M atau 1553H/1740M
atau 1183H/1769M (Wan Mohd. Shaghir, 1990a:23). Namun hujah yang lebih kuat berpandukan
kepada Tuan Guru Hj. Abd al-Hamid bin „Abd al-Qadir al-Sanawiy dalam bukunya Risalah Bahasan
Niat Sembahyang telah menyimpulkan bahawa beliau telah dilahirkan pada tahun 1131H/1718M.
(Wan Mohd. Shaghir, 1991a:4-7; 2003a:7)
Beliau adalah anak sulong dari enam orang adik beradik iaitu Syeikh Wan „Abd al-Qadir,
Syeikh Wan „Abd al-Rasyid, Syeikh Wan Idris, Haji Wan Nik dan seorang perempuan. Tidak banyak
maklumat yang diperolehi mengenai perkahwinan dan isteri beliau. Setakat diketahui, beliau sendiri
tidak mempunyai anak. Oleh itu, beliau telah mengambil anak-anak dan cucu saudaranya sebagai anak
angkat. Beliau memulakan pendidikan awal dalam lingkungan keluarga sendiri kerana keluarganya
adalah terdiri daripada kalangan ulama. Di samping belajar dengan keluarga sendiri beliau juga
berguru dengan ulama-ulama setempat yang datang dari Timur Tengah atau Yaman. Kemudian, beliau
juga dikatakan belajar di Acheh selama dua tahun sebelum beliau berangkat ke Hijaz. Beliau belajar di
Mekah selama tiga puluh tahun dan di Madinah selama lima tahun. Semasa di Mekah, beliau telah
berguru dan mempelajari berbagai ilmu dengan ulama dan mahaguru yang terkenal di kota ilmu itu.
Beliau dapat menguasai berbagai bidang ilmu keagamaan dan kemasyarakatan, seperti usuluddin,
feqah, tasawuf, sejarah dan lain-lain termasuk ilmu-ilmu pelengkap yang membolehkan beliau
menterjemah karya-karya bahasa Arab ke bahasa Melayu. (Wan Mohd. Shaghir, 1990a:24-25)
Beliau sangat kuat berpegang kepada mazhab dan bukannya seorang mujtahid bebas. Dalam
bidang feqah beliau berpegang kepada mazhab Syafi„i. Dalam bidang tawhid beliau berpegang kepada
aliran Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Sementara dalam bidang tasawuf pula beliau mengamal tariqat
Syatariyyah, tariqat Samaniyyah dan tariqat Syazaliyah (Ensiklopedi Tasawuf, 2008:316-322). Beliau
dikatakan sempat berguru dengan Syeikh Muhammad Zayn bin Faqih Jalal al-Din al-Asyi, pengarang
kitab Bidayat al-Hidayah dan Kasf al-Kiram semasa beliau di Acheh. Beliau juga berguru dengan
Syeikh „Abd al-Rahman bin „Abd al-Mubin Pauh Bok. Sewaktu di Mekah, beliau telah berguru
dengan ulama-ulama Patani yang bermastautin di sana, seperti Syeikh Muhammad Salih bin „Abd al-
Rahman al-Fatani, seorang ulama syariat dan tasawuf, Syeikh „Ali bin Ishaq al-Fatani. Beliau juga
berguru dengan Syeikh Muhammad bin „Abd al-Karim Samman al-Mandani, dan Syeikh Ali al-
Fatani. Guru-guru beliau yang lain, antaranya ialah Syeikh al-Sayyid al-Syarif Ahmad al-Marzuqi,
Syeikh Muhammad Salih bin Ibrahim (Mufti Syafi‟iyyah di Mekah), Syeikh Muhammad „Ali
Syanwani, Syeikh Muhammad As‟ad, Sayyid Sulayman bin Yahya bin Umar Maqbul al-Ahdal dan
Syeikh Muhammad bin Sulayman al-Kurdi. (Wan Mohd. Shaghir, 1990a:33-35)
Sungguhpun beliau sibuk menghasilkan karya-karya agama dan bertanggungjawab sebagai
pengelola jemaah haji di Kota Mekah, beliau juga tidak ketinggalan untuk memanfaatan sedikit ilmu
pengetahuannya kepada para jemaah haji tersebut. Beliau merupakan salah seorang tenaga pengajar di
Masjid al-Haram dan mempunyai ribuan murid sama ada orang Arab atau bukan Arab. Murid-murid
beliau inilah yang menambahkan lagi kemasyhuran nama beliau dalam perkembangan dakwah
Islamiyah menerusi pendidikan tradisional yang menggunakan kitab-kitab karangan beliau.
Beliau juga mempunyai banyak keistimewaan berbanding dengan ulama-ulama Nusantara
yang lain. Antaranya ialah beliau adalah orang pertama mengambil inisiatif membentuk Syeikh Haji di
Makkah dan Madinah, sekaligus menjadi Ra’is Syeikh Haji yang pertama dan selanjutnya Ra’is Syeikh
Jama‘ah al-Jawi (Wan Mohd. Shaghir, 2003b:38); orang Melayu pertama menjadi Imam dan Khatib
di Masjid al-Haram Makkah pada tempat Imam Mazhab Syafi‟i; dan ulama Melayu yang paling
banyak menghasilkan karangan dalam bahasa Melayu, sekaligus yang paling besar pengaruhnya di
seluruh dunia Melayu dengan jarak waktu yang relatif paling lama masih tetap diajarkan. (Wan Mohd.
Shaghir, 2001:4)
Beliau meninggal dunia di Taif pada tahun 1847M dan dikuburkan bersebelahan dengan kubur
„Abdullah bin „Abbas RA (Wan Mohd. Shaghir, 1990a:24). Namun kajian terkemudian daripada itu
menemukan bukti bahawa beliau sebenarnya meninggal dunia pada 1297H/1879M dalam usia 90
tahun (Wan Mohd. Shaghir, 1991a:9).

2
KARYA-KARYA KITAB JAWI SYEIKH DAUD AL-FATANI
Syeikh Daud al-Fatani merupakan seorang ulama dan pengarang kitab terbilang di Asia
Tenggara. Menurut Voorhoeve (1965:183), beliau merupakan ulama Patani yang masyhur dan
produktif sekali di rantau ini kerana banyaknya karya-karya yang dihasilkan. Karya-karya ini dikenali
sebagai “kitab jawi” yang merujuk kepada buku-buku agama Islam yang ditulis dalam bahasa Melayu
klasik yang menggunakan huruf-huruf arab. “Kitab” bermaksud buku, manakala “jawi” bermaksud
penduduk yang tinggal di Pulau Jawa iaitu merujuk kepada orang Melayu. Ini kerana orang-orang
Arab pada zaman dahulu menganggap semua penduduk di kepulauan Melayu sebagai orang-orang
Jawa. Lantaran itu, tulisan Melayu yang menggunakan huruf-huruf Arab dikenali sebagai skrip jawi.
(Mohd. Nor Bin Ngah, 1983:vii; Roolvink, 1975:2) Selain itu, beliau juga berkarya dalam bahasa
Arab, tetapi ia tidak tersebar meluas di rantau Asia Tenggara, berbanding dengan bahasa Melayu yang
banyak tersebar dan dipelajari di Alam Melayu, termasuklah karyanya yang disalin oleh murid-
muridnya dan diajarkan kepada orang lain setelah mereka kembali ke tempat masing-masing. Malah
beliau sendiri menyediakan jurutulis untuk menyalin karya-karyanya. (Wan Mohd. Shaghir, 1990a:27)
Dari segi teknik pengkaryaan beliau, secara umumnya ia dikategorikan kepada empat kategori,
iaitu pertama, dalam bentuk terjemahan literal daripada buku-buku turath yang terkenal atau karya-
karya guru beliau yang ditulis dalam bahasa Arab; kedua, karya asli yang dihasilkan oleh beliau
sendiri; ketiga, karya yang merupakan salinan karya orang lain seperti guru-guru beliau dan orang lain
juga tanpa sebarang tambahan; dan keempat, karya yang merupakan ulasan dan penjelasan terhadap
karya penulis lain dengan memuatkan tambahan daripada beliau sendiri dan dimasukkan juga
pendapat ulama yang lain. (Fauzi Deraman, 2010:42) Sementara ditinjau dari sudut kekerapan
penerbitan, karya-karya beliau boleh dibahagikan kepada tiga, iaitu pertama, karya yang banyak
diketahui umum kerana masih diterbitkan sampai sekarang; kedua, karya-karya nadir iaitu karya yang
hanya diterbitkan sekali atau paling banyak tiga kali. Karya nadir ini tidak beredar lagi di pasaran
bahkan tidak terdapat di perpustakaan; dan ketiga, karya yang belum pernah diterbitkan iaitu masih
dalam bentuk autograf atau dibuat salinan oleh orang tertentu. (Wan Mohd. Shaghir, 1990b:857).
Menurut sebahagian pengkaji yang bersumberkan daripada Snouck Hurgronje menyatakan
bahawa beliau menghasilkan karya terawal pada 1224H/1809M, dan karya terakhir pada
1258H/1843M (Voorhoeve, 1965:183; Matheson & Hooker, 1988:21-25). Namun, sebenarnya tahun
terawal karya beliau adalah lebih awal daripada tahun tersebut (1224H/1809M) berdasarkan maklumat
tahun-tahun penulisan beliau yang lain iaitu 1204H/1789M, 1215H/1800M dan 1220H/1805M (Wan
Mohd. Shaghir, 1991a:20). Manakala tahun terakhir karya beliau dihasilkan ialah 1259H/1843M
(Wan Mohd. Shaghir, 1995:9). Karya feqah beliau yang paling lengkap sekalian babnya dalam feqah
mazhab al-Syafi‟i ialah Hidayat al-Muta‘allim selesai ditulis pada 1244H/1828M. Sementara Ward
al-Zawahir (1245H/1829M) merupakan karya beliau yang paling lengkap mengenai aqidah. Manakala
Furu‘ al-Masa’il merupakan karya beliau yang paling besar, ditulis sejak 1254H/1838M dan dapat
disiapkan pada 1257H/1841M. (Fauzi Deraman, 2010:42)
Kitab-kitab karangan Syeikh Daud al-Fatani kebanyakannya dicetak untuk pertama kalinya di
Mekah, Mesir, Istanbul dan Turki. Kemudiannya diulang cetak di Nusantara sendiri seperti di Pulau
Pinang, Singapura, Patani, Bangkok, Kota Bharu, Ceribon dan Surabaya. Sebahagian daripada kitab-
kitab beliau kini boleh didapati di pasaran sama ada yang dicetak di Mesir, Arab Saudi dan Malaysia.
Pelanggan di Malaysia boleh mendapatinya di kedai-kedai buku Pulau Pinang, Kedah, Kelantan,
Kuala Lumpur selain Patani dan Singapura. Berdasarkan katalog manuskrip Perpustakaan Negara
Malaysia, lebih 500 daripada 3500 katalog manuskripnya adalah tulisan karya beliau (Bradley,
2007:122). Menurut Wan Mohd. Shaghir (1990a:55-57; 2003a:8-21; 1991:21), keseluruhan karya
beliau menjangkau 101 judul tetapi hanya 66 judul yang dapat disenaraikan. Jumlah 66 judul ini boleh
diklasifikasikan kepada lima kategori iaitu:
Pertama, kategori tawhid dengan 12 judul yang terdiri daripada Siya al-Murid fi Ma‘rifat
Kalimat al-Tawhid, al-Bahjah al-Saniah fi ‘Aqa’id al-Saniyah, Kitab Sifat Dua Puluh, Kifayat al-
Mubtadi, Risalat al-Ta‘alluq bi Kalimah al-Iman, al-Durr al-Thamin, Nahj al-Raghibin - Juz 1, Nahj
al-Raghibin - Juz 2, Iqdat al-Jawahir, Ward al-Zawahir, Fara’id al-Fawa’id al-Fikr fi al-Iman al-
Mahdi, dan Syarah Qasidah Ibn al-Wara.
Kedua, kategori feqah dengan 23 judul iaitu Bughyat al-Tullab, Sayd al-Dhaba’ih, Risalat al-
Masa’il, Kayfiyyah Solat al-Tarawih, Risalat al-Sa’il, Tuhfat al-Raghibin, Ghayat al-Taqrib, Bulugh
al-Maram, Ghayat al-Maram, Munyat al-Musalli, Sullam al-Mubtadi, Hidayat al-Muta‘allim wa
‘Umdat al-Mu‘allim, Idah al-Bab, Fath al-Mannan, al-Jawahir al-Saniyyah, Furu‘ al-Masa’il wa
Usul al-Wasa’il, al-Bahjah al-Mardiyyah, Qismat al-Zakat Bayna al-Asnaf, Fatwa berjual beli dengan
orang kafir, Hukum Hayd dan Istihadah, Nubdhah fi Bayan Syurut al-Juma‘ah, Ta’liq Latif, dan Diya’
al-Lam‘ah.

3
Ketiga, kategori tasawuf dengan 12 judul iaitu Wasaya al-Abrar wa Mawa’iz al-Akhyar,
Terjemah Bidayat al-Bidayah, Manhal al-Safi, Bisyarat al-Ikhwan, Al-Qurb ila Allah, Muqaddimat al-
Qubra, Minhaj al-‘Abidin, Kanz al-Minan, Matn al-Hikam li ‘Allamah Ibn Ruslan al-Dimasyqa, al-
Tanbih ‘ala Hikam Ibn ‘Atau Allah, Risalat Syatariyyah wa Samaniyyah, dan Karya Tasawuf.
Keempat, kategori sejarah dengan 7 judul iaitu Qisah Nabi Yusyuf, Hikayat Lelaki Soleh,
Tarikh al-Fatani, Kifayat al-Muhtaj fi Isra’ wa Mi’raj, al-Musawwadah, Jama‘ al-Fawa’id wa
Jawahir al-Qala’id, dan Syarah Maulud Syarf al-Anam.
Kelima, kategori pelbagai yang terdiri daripada 12 judul iaitu Kasf al-Ghummah, Kayfiyyat
Khatam al-Qur’an, Tanbih al-Ghafilin, Kifayat al-Jawiyyah, Jihayat al-Takhtub, Muzakirat al-Ikhwan,
Risalat Kelebihan Basmalah, Risalah Kelebihan Hamdalah, Bahjah Wardiyyah, Tuhfat al-Ikhwan fi
Nisf al-Sya’ban, Hikayat Imam, dan Risalah Muzakarah.
Sesungguhnya sebahagian daripada karya-karya ini menjadi silibus pengajian dan sumber
rujukan di pusat-pusat pengajian pondok termasuklah di pondok-pondok di negeri Kelantan.

PENGAJIAN PONDOK DI KELANTAN


Perkataan pondok difahamkan sebagai sebuah institusi pendidikan kampung yang
mengendalikan pengajian agama Islam, di mana guru, yang lebih dihormati dengan panggilan Tuan
Guru, adalah diakui kepakarannya oleh penduduk kampung yang menjemputnya untuk mengajar
mereka yang ingin melanjutkan pengajian agama Islam melewati pengetahui asas tentang undang-
undang Islam dan pembacaan al-Quran (Awang Had Salleh, 1977:33). Bagi negeri Kelantan dan
Patani khususnya serta di Naratiwat, Yala, Songkla dan Satun, pondok adalah institusi agama Islam
secara swasta dan mempunyai asrama (Nik Mohamed bin Nik Mohd. Salleh, 1985:99-100; Portal
Pendidikan Kelantan, 2010). Pondok juga ditakrifkan sebagai sebuah perkampungan Islam yang
tersusun yang diketuai oleh seorang Tuan Guru dan ahli jemaah tadbir dengan menjalankan pengajian
ilmu Islam tradisional. Selain itu pondok juga merupakan sebuah tempat peribadatan dan penempatan
bagi orang-orang tua, anak-anak yatim, saudara baru selain pelajar itu sendiri. (Risalah Pusat
Pembangunan Pondok Berhad, t.t.)
Menurut Rahimin Affandi Abd Rahim (2007:112), dalam konteks penerapan budaya ilmu,
keistimewaan yang dimiliki oleh sistem pondok ini adalah dari segi sistem pengajiannya yang dibuat
secara persendirian tanpa kongkongan dan kekangan polisi daripada pihak pemerintah. Keadaan ini
menyebabkan seseorang ulama itu dapat bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana
pihak yang mempunyai agenda dan kepentingan tertentu. Lebih tepat lagi, ulama pondok dalam era
tradisi telah bertindak sensitif dan proaktif dengan isu semasa yang timbul di dalam masyarakat.
Beliau menambah (2007:112-11), sistem pengajian yang berorientasikan perkaitan antara teori dan
praktikal yang menekankan pemupukan budaya ilmu bagi menjadikan seseorang pelajar itu
memperolehi sebanyak mungkin ilmu untuk mencapai keredhaan Allah, mampu bertindak mengikut
perkiraan ilmunya. Mereka juga berupaya menyebarkan ilmu agama kepada masyarakat dan berfungsi
sebagai pemimpin masyarakat. Pelajar pondok lebih cenderung menjadikan matlamat pencarian ilmu
bukan untuk tujuan kebendaan (makan gaji) tetapi untuk mencapai keredhaan Allah dan nikmat
pengetahuan. Apa yang lebih penting lagi, sistem pondok mampu mendidik pelajar sebagai seorang
yang mampu berdikari tanpa bergantung kepada orang lain. Untuk tujuan ini, mereka akan dibekalkan
dengan segala bentuk keilmuan Islam dan kemahiran hidup yang amat diperlukan, di samping
menekankan persoalan akhlak dan disiplin Islam melebihi segala-galanya.
Dalam konteks negeri Kelantan, pengajian pondok adalah satu sistem pengajian tradisional
yang muncul disebabkan sambutan masyarakat Kelantan yang sangat suka terhadap pengajian agama
Islam yang diberikan di surau dan di masjid. Dalam hal ini, Rahim bin Abdullah (1983:1) menyatakan
bahawa pondok di Tanah Melayu muncul pada permulaan abad ke 20, dan dipelopori oleh ulama dari
Patani. Hasilnya murid-murid yang belajar di Patani balik ke Kedah dan Kelantan, lalu menubuhkan
pondok sendiri, dan penuntut-penuntut lain tidak lagi ke sana untuk belajar. Beliau menambah
(1983:3), di Tanah Melayu, Kelantanlah negeri yang mula-mula sekali mewujudkan sistem pondok,
dan mula-mula mengadakan lembaga ini. Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Hassan (1977:18-19) pula
menjelaskan bahawa suasana pengajian agama di Kota Bharu menjadi tarikan pula kepada pelajar-
pelajar dari luar negeri Kelantan seperti Kemboja, Wilayah Selatan Thailand, Pulau Sumatera,
Vietnam, dan negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu untuk datang belajar dan tinggal di
Kelantan. Mohd Sukeri bin Hamid (2004:47-48) pula menjelaskan bahawa pelajar-pelajar yang datang
dari jauh itu ditempatkan dalam satu ruangan khusus di lingkungan masjid yang berfungsi sebagai
tempat pengajaran agama. Mereka kemudian mendirikan rumah-rumah kecil sebagai tempat tinggal.
Proses pengajian pondok adalah berdasarkan keikhlasan dan pengabdian kerana Allah SWT
semata-mata tanpa adanya gaji bagi para pengajar. Pengajian pondok ini mencapai zaman

4
keemasannya antara tahun 1925 sampai tahun 1945. Pada era tersebut, Kelantan merupakan pusat
pengajian ilmu agama Islam yang dikunjungi oleh pelajar-pelajar dari berbagai wilayah. Pondok-
pondok yang didirikan di daerah ini memiliki ratusan, bahkan ribuan. (Abdullah Jusuf, 1990:9)
Sistem pengajian pondok yang berkembang di Kelantan adalah gabungan daripada sistem
pondok yang ada di Patani dan corak pengajaran „halaqah’ yang dipraktikkan di Mekah, iaitu seorang
guru duduk di tengah dikelilingi oleh murid-muridnya. Pelajaran yang diberikan meliputi berbagai
disiplin ilmu seperti tawhid, feqah, usul feqah, al-quran, tafsir, hadis, nahwu, saraf, tasawuf, balaghah,
mantiq, sastera Arab, tareqat dan doa. Dalam menyampaikan mata pelajarannya, Tuan Guru membaca
dan mengajarkan kitab kepada para pelajar yang akan membuat catatan kecil di pinggiran halaman
kitab masing-masing. Hal ini dilakukan untuk memudahkan pemahaman dan agar tidak lupa pelajaran
yang telah disampaikan oleh Tuan Guru. (Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Hassan 1977:54)
Pada pertengahan abad ke 20 corak pendidikan Islam di sesetengah institusi-institusi pondok
mula sedikit perubahan dengan penerapan kurikulum pendidikan secara nizami, juga yang berbentuk
dua aliran iaitu agama dan akademik (Ghazali Darulsalam, 2001:123). Biasanya mata pelajaran
sebagai kurikulum pengajian pondok menitikberatkan kepada ilmu-ilmu na‘liyah di samping ilmu
‘asriyah (perantaraan atau ilmu bantu) yang lain (Abdullah Ishak, 1995:208). Pada peringkat awal
selain daripada al-quran dan tajwid, pengajaran dan pembelajaran juga tertumpu kepada feqah,
tawhid, tafsir al-quran, hadis, nahwu, soraf dan tarikh (sejarah Islam). (Md Ramly Mahmood,
2005:100) Manakala sistem ‘umumi pula adalah sistem pengajian yang mengikut sistem pengajian
agama Masjid al-Haram di Mekah al-Mukarramah. Biasanya mata pelajaran yang diambil di peringkat
ini menggunaka kitab yang lebih tinggi, berkisar tentang feqah, tajwid, nahwu, soraf, balaghah,
mantiq (logik), usul al-tafsir, mustalah al-hadis, „arud qawafi, falaq, tajwid, tasawuf dan lain-lain.
Sistem ‘umumi ini bukanlah berupa pengajian umum yang dibuka kepada semua orang, sebaliknya
hanya dibuka kepada pelajar-pelajar pondok. Kelas awam (umum), biasanya ditentukan beberapa hari
dalam seminggu dengan menggunakan kitab jawi khusus seperti Matla‘ al-Badrin, Munyat al-Musalli,
Faridat al-Fara’id, Sullam al-Mubtadi, Furu‘ al-Masa’il, Hidayat al-Salikin, al-Hikam, ‘Aqidat al-
Najin dan lain-lain. (Md Ramly Mahmood, 2005:101)

BIDANG DAN KITAB YANG MENJADI SILIBUS PENGAJIAN DI PONDOK


Secara umumnya pengajian agama di institusi pondok di Kelantan menawarkan pengajaran dan
pembelajaran dalam pelbagai bidang disiplin ilmu Islam dengan menjadikan kitab-kitab arab dan jawi
sebagai kitab silibus. Kebanyakan kitab yang diajar adalah kitab-kitab tua yang disusun dan dikarang
oleh ulama muktabar yang mujtahid daripada mazhab al-Syafi„i dan berpegang kepada Ahl al-Sunnah
wa al-Jama‘ah. Berdasarkan kajian Abdullah bin Muhammad Zain & Che Yusoff Che Mamat
(2002:82-93) dan Md Ramly Mahmood (2005:103-110), bidang ilmu Islam ini merangkumi lapan
bidang utama iaitu bidang tawhid, feqah, tasawuf, tafsir, hadis, nahwu dan soraf, sejarah Islam dan
mantiq (lojik). Bidang-bidang ini menggunakan pelbagai kitab sebagaimana berikut:
Pertama, bidang tawhid menggunakan pelbagai kitab, antaranya ialah: Fath al-Majid Syarh al-
Durri al-Farid fi ‘Aqa’id Ahl al-Tawhid, karangan al-Syeikh Muhammad Nawawi bin „Umar al-Jawi
al-Syafi„i, Kifayat al-‘Awwam fi ‘Ilm al-Kalam, karangan al-Syeikh Muhammad al-Fadali, al-
Syarqawi ‘ala al-Hududi, karangan Syeikh „Abdullah al-Syarqawi, Hasyiah ‘ala Syarh Ummi al-
Barahin, karangan Muhammad bin Ahmad bin „Arafah al-Dusuqi, Faridat al-Fara’id fi ‘Ilm al-
‘Aqa’id, karangan Ahmad bin Muhammad Zayn bin Mustafa, Miftah al-Murid fi ‘Ilm al-Tawhid,
karangan al-„Allamah Zayn al-„Abidin bin Muhammad al-Fatani, Bidayat al-Hidayah, karangan al-
„Allamah al-Syeikh Muhammad Zayn bin al-Faqih Jalal al-Din, Syarh Matn Jawharat al-Tawhid,
karangan al-Syeikh Ibrahim al-Laqqani, Aqidat al-Najin fi ‘Ilm Usul al-Din, karangan al-„Allamah
Zayn al-„Abidin bin Muhammad al-Fatani, al-Durr al-Thamin, karangan al-Syeikh Daud bin al-
Syeikh „Abdullah al-Fatani. Selain daripada senarai nama kitab di atas, masih banyak lagi kitab-kitab
tawhid yang diajar di pondok-pondok. Antaranya ialah Syarh al-Sanusiyyah, Kitab Luma‘, Hasyiah
Muhammad Amir, Matn Ummi al-Barahin, ‘Aqa’id al-Durriyyah, Laqtah al-‘Ajlan li al-Nisa’ wa al-
Sibyan, Miftah al-Jannah, Syarh Usul al-Tahqiq fi ‘Ilm Usul al-Din, Bidayat al-Mubtadi wa ‘Umdat
al-Awlad, Siraj al-Huda, dan lain-lain.
Kedua, bidang feqah menggunakan kitab-kitab seperti Asma’ al-Matalib Syarh Rawd al-Talib,
karangan Abu Yahya Zakariyya al-Ansari al-Syafi„i, al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, karangan al-
„Allamah Ibn Hajar al-Makki al-Haytami, Hasyiah al-Qalyubi wa ‘ala Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj
al-Talibin li al-Nawawi fi Fiqh Madhhab al-Imam al-Syafi‘i, karangan al-Syeikh al-Qalyubi dan al-
Syeikh Umayrah, Munyat al-Musalli, karangan al-Syeikh Daud bin „Abdullah al-Fatani, dan Matla‘
al-Badrayn wa Majma‘ al-Bahrayn, karangan Syeikh Muhammad bin Isma‟il Daud al-Fatani. Selain
daripada senarai kitab di atas, masih terdapat banyak lagi kitab-kitab feqah yang diajar di pondok-

5
pondok. Antaranya ialah: Fath al-Qarib, al-Minhaj al-Qawim, al-Thimar al-Bayi’ah fi al-Riyad al-
Badiah, Sittin Mas’alah Mawahib al-Samad, Fath al-Mu’in, Fath al-Jawad Syarh al-Irsyad, Mughni
al-Muhtaj, Bujayrimi ‘ala Khatib, Tuhfah al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, Minhaj al-Tullab, Hasyiah a-
Bajuri ‘ala Ibn Qasim al-Ghazi, al-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syarh Sullam al-Tawfiq, ‘Iddah al-Bab li
Murid al-Nikah bi al-Sawab, Wishah al-Afrah wa Isbah al-Falah, Jam‘ Jawami‘ al-Musannafat, lain-
lain lagi. Manakala dalam bidang usul feqah, kitab yang biasa digunakan ialah al-Waraqat, Lata’if al-
Isyarat, Lubb al-Usul, al-Luma‘, al-Asybah wa al-Naza’ir, Ghayat al-Wusul Syarh Lubb al-Usul, Jam‘
al-Jawami‘ dan lain-lain.
Ketiga, bidang tasawuf pula menggunakan kitab-kitab seperti Ihya’ ‘Ulum al-Din, karangan al-
Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazzali, Siyar al-Salikin fi Tariqat al-Sadah al-
Sufiyyah, karangan Syeikh „Abd al-Samad al-Falimbani, al-Azkar Nawawi, karangan Imam Yahya al-
Nawawi. Selain daripada senarai kitab di atas, kitab-kitab dalam bidang tasawuf yang turut diajar,
antaranya ialah Bidayat al-Hidayah, Minhaj al-‘Abidin, Sir al-Salikin dan Hidayat al-Salikan,
karangan Imam al-Ghazzali, Nasa’ih al-Diniyyah, karangan Syed „Abdullah Balawi al-Hadadi, Irsyad
al-‘Ibadi, karangan Zayn al-Din bin „Abd al-„Aziz al-Misri, Risalah al-Khusairi, karangan Abu
Qassim Khusairi, Ta‘lim al-Muta‘allim, karangan al-Sarnuji.
Keempat, bidang tafsir pula boleh dikatakan menggunakan sebahagian daripada kitab Tafsir bi
al-Ma’thur seperti Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (Tafsir Ibn Kathir), karangan al-Imam „Imad al-Din Abu
al-Fida‟ Isma‟il bin Kathir al-Qurtasyiy al-Dimasyqi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil (Tafsir al-
Baydawi), karangan al-Imam Nasir al-Din Abu Sa„id „Abdullah bin „Umar bin Muhammad al-Syirazi
al-Baydawi, Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, karangan Muhammad „Ali al-Saybani, dan al-Futuhat al-
Ilahiyyah bi Tawdih Tafsir al-Jalalayn li Daqa’iq al-Khafiyyah, karangan Sulaiman bin „Umar al-
Ujayli al-Syafi„i. Selain daripada teks-teks di atas, kitab tafsir yang biasa digunakan juga seperti
Safwah al-Tafasir, Tafsir al-Nasafi, Tafsir Juzu’ ‘Amma, Tafsir Khazin, Tafsir al-Jamal, Tafsir
Nisaburi, Tafsir al-Baydawi karangan Syeikh „Abd al-Ra‟uf al-Fansuri, dan Tafsir Nur al-Ihsan.
Manakala dalam bidang Tajwid teks selalu digunakan Hidayat al-Mustafid, Siraj al-Qari, Miftah al-
Jannah, Panduan Qari dan Qariah, Tuhfah al-Ikhwani dan lain-lain lagi.
Kelima, bidang hadis. Kitab-kitab hadith adalah antara kitab yang banyak diajar di pondok-
pondok. Antara kitab-kitab yang menjadi bahan pengajaran di pondok dalam bidang ini adalah seperti
berikut: Matn al-Arba‘in al-Nawawiyyah fi al-Ahadith al-Sahihah al-Nabawiyyah, karangan al-Imam
Yahya bin Syaraf al-Din al-Nawawi, Bulugh al-Muram min ‘Adillat al-Ahkam, karangan al-„Allamah
al-Hafiz ibn Hajar al-Asqalani, Riyad al-Salihin min Kalam Sayyid al-Mursalin, karangan Muhyi al-
Din Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Sunan Abi Dawud, karangan al-Imam al-Hafiz Abu
Dawud Sulayman al-Sajastani al-„Azdi, Sahih al-Bukhari, karangan al-Imam Abu „Abdullah
Muhammad bin Isma’il al-Bukhari, Sahih Muslim, karangan al-Imam Abu al-Hussayn Muslim bin
Hajar Muslim al-Qusyayri al-Naysaburi, Syarh Muwatta’ al-Imam Malik, karangan Abu „Abdullah bin
„Abd al-Baqi bin Yusuf al-Zarqani, Fath al-Bari Syarh al-Bukhari, karangan Ahmad bin „Ali bin
Hajar al-„Asqalani, Sunan al-Nasa’i Syarh al-Hafiz Jalal a-Din al-Suyuti wa Hasyiah al-Imam al-
Sindi, karangan al-Imam al-Nasa‟i, al-Imam al-Suyuti dan al-Imam al-Sindi.
Selain daripada senarai kitab di atas, beberapa kitab hadis lain turut diajar seperti kitab-kitab
Misykat al-Masabih, Mukhtasar Abi Jamrah li al-Bukhari, al-Yawaqit wa al-Jawahir, Mustika Hadith,
al-Jawhar al-Mawhub wa Munabbih al-Qulub, Kasyf al-Ghaybiyyah, Dalil al-Falihin dan lain-lain
lagi. Manakala dalam bahagian Mustalah al-Hadith, kitab-kitab yang digunakan ialah al-Baykuniyah,
karangan Syeikh „Umar ibn Syeikh Muhammad, Hasyiah Baykuniyah, karangan Syeikh „Atiyah al-
„Ajhuri, Nahbat al-Fikar, karangan Ibn Hajar al-„Asqalani dan Syarh al-Baykuniyah, karangan Syeikh
Muhammad Zuqani.
Keenam, bidang nahwu dan soraf pula menggunakan kitab seperti berikut: Alfiah Ibn Malik fi
Nahw wa al-Sarf, karangan al-„Allamah Muhammad bin „Abdullah bin Malik al-Andalusi, Syarh al-
‘Allamah Ibn ‘Aqil ‘ala Alfiah Ibn Malik, karangan al-„Allamah Ibn „Aqil, dan al-Kawakib al-
Durriyyah Syarh Matammimah al-Ajrumiyyah, karangan al-„Allamah Muhammad bin Ahmad bin
„Abd al-Bari al-Ahdal. Selain daripada senarai kitab ini, banyak lagi kitab-kitab nahwu dan soraf yang
biasa digunakan seperti Matn al-Ajrumiyyah, Mukhtasar Jiddan, al-Syeikh Khalid, al-Makudi, al-
Fawakih al-Junnayh (matammimah) Syarh Matn al-Ajrumiyyah, Qutr al-Nada’, al-Asmawi ‘ala Matn
al-Faqih li Qutr al-Nada’, Matn al-Bina’, Matn al-Maqsud, Matn al-‘Izi, dan lain-lain. Di samping
nahwu dan soraf, terdapat beberapa buah kitab dalam bidang ‘arud dan balaghah juga turut digunakan
seperti kitab Mukthsar al-Syafi ‘ala Matn al-Kafi, Majmu‘ah Khams Rasa’il li al-Sayyid Ahmad Zayni
Dahlan, Tashil al-‘Arud fi ‘Ilm al-‘Arud, al-Muqaddimah al-Samarqandiyyah (Syafie Abu Bakar,
1984:7-10). Manakala dalam bidang balaghah, kitab-kitab yang digunakan ialah kitab al-Sawi, al-
Samarkhandi, al-Jawhar al-Maknun, karangan „Abd al-Rahman al-Akhzuri, ‘Addat al-Jumani,
karangan al-Imam al-Suyuti, Mukhtasar Ma‘ani dan lain-lain.

6
Ketujuh, bidang sejarah Islam menggunakan kitab-kitab seperti Khulasah Nur al-Yaqin, Tarikh
al-Islam li al-Imam al-Khayyat, Itmam al-Wafa’ fi Sirah al-Khulafa’ dan Qasas al-Anbiya’.
Kelapan, bidang mantiq (lojik). Hanya beberapa buah kitab sahaja yang diajar dalam bidang
ini. Antaranya ialah kitab Tahrir al-Qawa’id al-Mantiqiyyah dan ‘Uqud al-Jiman. Selain itu terdapat
juga pelajar yang mempelajari pelajaran sampingan seperti berzanji, nasyid, marhaban, qasidah, cerita
dan sebagainya. Biasanya pelajaran sampingan ini bertujuan bagi menerima jemputan masyarakat
dalam majlis-majlis keramaian dan hari-hari kebesaran Islam seperti Mawlud Nabi. (Syafie Abu
Bakar, 1984:10)
Ringkasannya kitab-kitab yang digunakan dalam lapan bidang ilmu utama di atas bukan hanya
menggunakan kitab-kitab tulisan arab tetapi juga kitab-kitab yang dikarang dalam tulisan jawi. Kitab-
kitab ini dikarang oleh ulama-ulama muktabar termasuklah Syeikh Daud al-Fatani.

ANALISIS SUMBANGAN SYEIKH DAUD AL-FATANI DALAM SISTEM PENGAJIAN


PONDOK DI KELANTAN
Sungguhpun Syeikh Daud al-Fatani telah menyumbangkan banyak karya kitab jawi yang
hampir meliputi semua bidang asas pengajian Islam, namun hanya sebahagian kecil sahaja kitab-kitab
beliau yang menjadi silibus pembelajaran dan bahan rujukan di institusi pengajian pondok khasnya di
negeri Kelantan dan di Malaysia amnya. Menurut Abdul Razak Mahmud (1994:23), antara maklumat
terawal yang merekodkan pengajian kitab jawi karya Syeikh Daud boleh didapati dalam Penyata
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Tahun 1918. Penyata ini menyatakan bahawa
antara karya-karya Syeikh Daud al-Fatani yang digunakan dalam pengajian di Masjid Muhammadi
Kota Bharu ialah Munyat al-Musalli diajar oleh Hj. Wan Hassan bin Hj. Awang, Sullam al-Mubtadi
diajar oleh Hj. Pak Cik Musa Abdul Rahman, dan al-Durr al-Thamin diajar oleh Hj. Wan Daud
Khatib.
Pada zaman kontemporari ini sumbangan Syeikh Daud al-Fatani begitu menonjol dalam ilmu-
ilmu asas Islam terutamanya dalam bidang feqah dan bidang tawhid menerusi penggunaan sejumlah
kitab-kitab karya beliau yang masih berterusan diajar dan ditelaah di institusi pengajian pondok di
Kelantan. Dalam bidang feqah, antara kitab-kitab beliau yang digunakan ialah Munyat al-Musalli,
Bughyat al-Tullab, Sullam al-Mubtadi, al-Jawahir al-Saniyyah, dan Furu‘ al-Masa’il. Manakala
dalam bidang tawhid pula, antara kitab beliau yang digunakan ialah al-Durr al-Thamin, Kifayat al-
Mubtadi ,dan Ward al-Zawahir. Memang tidak dinafikan mungkin ada kitab-kitab beliau yang lain
yang tidak dinyatakan dalam senarai ini, namun senarai kitab tersebut merupakan kitab-kitab beliau
yang popular di institusi pengajian pondok.
Dalam pengkaryaan dalam bidang feqah, kesemua tulisan Syeikh Daud al-Fatani adalah
berdasarkan kepada mazhab Syafi„i. Bidang ibadat khususi merupakan bidang yang sangat popular
dalam tulisannya sebagaimana yang dibicarakan dalam kitab-kitab beliau seperti Munyat al-Musalli
dan Bughyat al-Tullab. Dalam kitab Sullam al-Mubtadi dan al-Jawahir al-Saniyyah pula, cakupan
perbincangannya adalah lebih luas dengan menyentuh tajuk-tajuk seperti zakat, puasa, haji dan
perundangan Islam yang lain. Sementara Furu‘ al-Masa’il pula direka dalam bentuk “tanya jawab”
dalam bidang feqah termasuk perkara-perkara furu ‘ atau cabang yang halus dan seni yang jarang
dibicarakan atau sukar ditemui dalam kitab-kitab jawi yang lain.
Menerusi kitab Munyat al-Musalli (dihasilkan pada 1242H/1826M), Syeikh Daud al-Fatani
menulis hal-hal berkaitan dengan ilmu feqah bab ibadah khusus iaitu bab sembahyang dengan
penerangan yang ringkas tetapi padat. Kitab ini merupakan kitab feqah yang paling banyak digunakan
untuk pelajaran sembahyang di seluruh Asia Tenggara. Munurut kajian Marwazi bin Dziyauddin
(2005:xviii), terdapat tiga faktor yang menyebabkan kitab ini masih mampu bertahan dan digunakan
sampai sekarang iaitu pertama, kandungan kitab ini mencakupi keseluruhan topik-topik yang
berkaitan dengan ibadah sembahyang, atau dengan kata lain ia dianggap sempurna dari segi isi,
huraian dan perbincangan; kedua, perbahasannya yang memfokuskan kepada persoalan sembahyang
sahaja menjadikannya tidak terlalu panjang dan berat untuk dipelajari. Ini membolehkan pengajiannya
dapat ditamatkan dalam waktu yang singkat; dan ketiga, disebabkan penggunaannya yang meluas
suatu ketika dahulu, maka kesinambungan pengajiannya dapat dikekalkan dan diteruskan sehingga ke
hari ini.
Kandungan kitab ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian besar iaitu sembahyang wajib,
sembahyang sunat dan tugas sebagai seorang pemerintah. Dalam bahagian pertama kitab ini
menjelaskan tentang syarat-syarat penting bagi mendirikan sembahyang dan rukun sembahyang serta
perkara-perkara sunat dalam sembahyang. Penjelasan mengenai sembahyang Jumaat juga dibahaskan.
Bahagian kedua pula menerangkan jenis-jenis sembahyang sunat seperti sembahyang sunat rawatib,
sunat witir, sunat duha, sunat awwabin dan lainnya. Setiap jenis sembahyang ini dijelaskan syarat,

7
bacaannya serta fadilatnya. Bahagian ketiga sekali mengenai dengan tugas seorang pemerintah
terutamanya berlaku adil terhadap rakyatnya.
Dalam kitab Bughyat al-Tullab (judul penuhnya: Bughyat al-Tullab li Murid Ma’rifat al-
Ahkam bi al-Sawab) (dihasilkan pada 1226H/1811M) pula, beliau membicarakan bidang feqah
bahagian ibadat dalam Mazhab Syafi„i. Beliau menulis: “Bahawa menghimpun beberapa masalah
sedikit daripada Abwab al-Fiqh, daripada Kitab al-Taharah hingga akhir Kitab al-Ummahat,
daripada kitab muktamad yang difatwakan.”
Dalam kitab Sullam al-Mubtadi (judul penuhnya: Sullam al-Mubtadi fi Ma‘rifat Tariq al-
Muhtadi) (dihasilkan pada 1252H/1836M), Syeikh Daud al-Fatani mengembangkan garapan
perbincangan bukan sahaja membincangkan tajuk mengenai sembahyang tetapi juga turut menyentuh
tajuk-tajuk yang lain seperti puasa, zakat, haji, korban dan sebagainya; jual beli dan segala perkara
yang ada hubungan dengannya; faraid, wasiat dan sebagainya; perkahwinan dan perkara yang ada
hubungan dengannya; jenayah, jihad, kehakiman, perhambaan dan perkara-perkara yang ada
hubungan dengannya. Perbincangan mengenai bab aqidah hanya dimuatkan dari halaman 2–5 sahaja.
Seperti kitab Sullam al-Mubtadi, kitab al-Jawahir al-Saniyyah (dihasilkan pada
1252H/1836M) juga menggarap perbincangan yang luas merangkumi hukum bersuci, berwuduk,
tayammum, jenis-jenis sembahyang fardhu, sembahyang jenazah dan sembahyang sunat; zakat dan
perkara yang ada kaitan dengannya; puasa fardhu dan puasa sunat; haji dan umrah; jual beli dan riba
serta bidang yang ada hubungan dengannya; sewa-menyewa dan hukum-hukum muamalat yang lain,
tetapi tidak termasuk bidang-bidang yang ada kaitan dengan kehakiman, penyaksian, hukum-hukum
jenayah, dan hubungan antarabangsa (jihad). Perbincangan mengenai akidah dimuatkan dalam
halaman 1–38.
Seterusnya kitab Furu‘ al-Masa’il (dihasilkan pada 1254H/1838M) pula merupakan antara
kitab kitab feqah yang terbesar dan tersohor serta terlengkap karangan Syeikh Daud al-Fatani dalam
bahasa Melayu dengan tulisan jawi yang pernah suatu masa dahulu menjadi rujukan bukan sahaja di
Tanah Melayu tetapi juga di Nusantara. Berdasarkan cetakan Matba„ah Halabi, Patani, kitab ini
mengandungi dua jilid iaitu jilid pertama mempunyai 275 halaman dan jilid kedua mempunyai 394
halaman. Jilid pertama menyentuh tentang tawhid, fiqh ibadah, taharah, zakat, puasa, i„tikaf, haji dan
umrah, korban, makanan, pemburuan dan sembelihan. Sementara jilid kedua menyentuh tentang fiqh
muamalah, fara‟id, wasiat, perkahwinan, jenayah, jihad, perlumbaan dan memanah, sumpah, kaffarah,
nazar, qada‟, persaksian dan keterangan, dan memerdekakan hamba.
Dalam pengkaryaan dalam bidang tawhid pula, kesemua tulisan Syeikh Daud al-Fatani adalah
berdasarkan kepada aliran Ahl Sunnah wa al-Jama‘ah. Antara kitab beliau yang paling popular
digunakan di institusi pengajian pondok ialah kitab al-Durr al-Thamin (judul penuhnya ialah al-Durr
al-Thamin fi ‘Aqa’id al-Mu’minin) (dihasilkan pada 1232H/1816M). Secara ringkasnya, kandungan
kitab ini boleh dibahagikan kepada lima perkara pokok, iaitu: sifat wajib bagi Allah, dua puluh sifat
yang mustahil bagi Allah, sifat harus bagi Allah, kewajipan percaya kepada Rasul Allah, dan
mengenai ajal dan perkara-perkara yang bersangkutan dengannya. Kitab ini bersumberkan tokoh-
tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah seperti Syeikh al-Suhaymi dalam syarah al-Hududi, Syeikh Najm
al-Din al-Nasafi, Syeikh Liqani, Abu Ishaq al-Isfiani serta maklumat-maklumat daripada tokoh-tokoh
yang lain.
Selain itu, kitab Kifayat al-Mubtadi (judul penuhnya ialah salah satu daripada dua judul
berikut: Kifayat al-Mubtadi fi I‘tiqad al-Mursyidin atau Irsyad al-Atfal al-Mubtadi’in fi ‘Aqa’id al-Din
wa al-Ad‘iyyah al-Nafi‘ah al-Din) (tidak dinyatakan tahun dihasilkan) juga termasuk dalam kategori
bidang tawhid. Antara kandunganya ialah penjelasan mengenai empat rukun syahadah, empat syarat
syahadah, empat perkara membinasakan syahadah, empat tanda Islam, dan empat syarat Islam. Turut
dihuraikan dalam kitab ini ialah sepuluh syarat iman dan sepuluh perkara yang membinasakan iman.
Bahagian akhir dimuatkan mengenai kompilasi berbagai doa.
Seterusnya kitab Ward al-Zawahir (judul lengkapnya ialah Ward al-Zawahir li Hill al-Alfaz
‘Aqd al-Jawahir) (dihasilkan pada 1245H/1829M) adalah sebuah kitab dalam bidang usuluddin yang
terbesar dan terlengkap di Dunia Melayu, yang merupakan syarah kepada kitab karya tawhid beliau
dalam bentuk syair dengan judul I‘dat al-Jawahir. Secara umumnya, kitab Ward al-Zawahir ini
memuatkan perbincangan mengenai ilmu tawhid bermula halaman mukadimah hingga halaman 388.
Ia disambung dengan membicarakan mengenai ilmu tasawuf bermula pada halaman 388 hingga
halaman 420. Secara ringkasnya, kandungan utama kitab ini membicarakan akidah menurut Ahl al-
Sunnah wa al-Jama‘ah. Selain itu, terdapat juga tajuk-tajuk kecil yang dibincangkan seperti sejarah;
tafsiran ayat al-quran secara terperinci; tafsiran hadis Nabi SAW secara terperinci; sastera Islam
Melayu klasik; ilmu Fiqh; perbandingan firqah Islami; ilmu isti‘arah; peristilahan; pemerintahan
Islam (politik); dan lain-lain.

8
Dengan meneliti kepada beberapa institusi pengajian pondok di Kelantan didapati bahawa
terdapat beberapa karya Syeikh Daud al-Fatani yang dijadikan sebagai teks rasmi bagi mata pelajaran
feqah dan tawhid. Umpamanya, Pondok Lubuk Tapah atau Madrasah al-Rahmaniah Lubok Tapah,
Pasir Mas menggunakan karya-karya beliau seperti kitab Munyat al-Musalli. Menurut Ab. Aziz Ismail
(1994:130), kitab ini diajar bagi pengajian peringkat kedua iaitu diajar pada hari Isnin, jam 8.30 pagi –
10.30 pagi. Md Ramly Mahmood (2005:240,242) pula merekodkan bahawa kitab ini diajar bagi kelas
pengajian kitab jawi oleh Ustaz Haji Mokhtar bin Omar dan Ustaz Mohd Nor bin Hamat. Sementara
Muhamed Suhaimi bin Mostapar (2008:66-69) mencatatkan bahawa terdapat kitab lain yang diajar di
pondok ini iaitu kitab Bughyat al-Tullab yang diajar bagi peringkat peralihan dan menengah, kitab al-
Durr al-Thamin dijadikan mata pelajaran wajib bagi semua pelajar, dan kitab Sullam al-Mubtadi pula
diajar untuk kelas umum.
Begitu juga di Pondok Pasir Tumbuh atau al-Madrasah al-Diniyyah al-Bakriyyah atau
dikeneali juga sebagai Pondok Terusan Limbat, Pasir Tumbuh, Kota Bharu. Menurut Ab. Aziz Ismail
(1994:120-122), semua kitab feqah berbahasa Melayu yang diajar di pondok ini adalah karangan
Syeikh Daud al-Fatani. Semua karangan beliau yang terdapat di pondok ini diajar secara ‘umumi, iaitu
secara terbuka kepada semua pelajar pondok dan masyarakat sekitarnya. Kitab-kitab beliau ini dibaca
oleh beberapa orang guru beliau yang mahir dan berpengalaman. Manakala kebanyakan pelajarnya
pula terdiri daripada kalangan pelajar yang sudah lama memondok. Kitab-kitab feqah tersebut ialah
Sullam al-Mubtadi, Munyat al-Musalli, Kifayat al-Mubtadi, Bughyat al-Tullab dan Furu‘ al-Masa’il
serta al-Jawahir al-Saniyyah (Ibnuatiq, 2010). Sementara kitab-kitab lain karangan Syeikh Daud al-
Fatani yang dibaca dipondok ini ialah kitab al-Durr al-Thamin dalam bidang tawhid, kitab al-Hikam
kitab tasawuf karya Abu Madyan yang diterjemah dan dihurai oleh Syeikh Daud al-Fatani. Mohd
Pakhruddin bin Abdullah (2003:85-86) pula menyatakan antara kitab utama dalam pengajian fiqh
pada peringkat permulaan ialah Munyat al-Musalli dan Sullam al-Mubtadi. Sementara pada peringkat
pertengahan, antara kitab-kitab Syeikh Daud al-Fatani yang digunakan ialah al-Jawahir al-Saniyyah,
Furu‘ al-Masa’il dan Bughyat al-Tullab.
Pondok Sungai Durian atau Madrasah Muhammadiyyah Kuala Krai juga sebagaimana institusi
pengajian pondok di Kelantan menjadikan beberapa karya jawi Syeikh Daud al-Fatani sebagai teks
rasmi ilmu feqah dan tawhid. Umpamanya, dalam mata pelajaran feqah menggunakan kitab Sullam al-
Mubtadi yang dibaca selepas Asar pada hari Sabtu, kitab Munyat al-Musalli yang dibaca pada hari
Isnin selepas Asar dan kitab Bughyat al-Tullab yang dibaca selepas solat Maghrib setiap Isnin. Dalam
mata pelajaran tawhid, pondok ini menggunakan kitab al-Durr al-Thamin dibaca untuk kuliah
Maghrib setiap hari Rabu. (Ab. Aziz Ismail, 1994:111-114) Namun jadual ini berubah dari semasa ke
semasa. Munyat al-Musalli dibaca selepas solat Asar setiap Isnin. Selepas solat Maghrib dibaca kitab
al-Durr al-Thamin (Pondok Sungai Durian, 2008).
Senario yang sama juga boleh dilihat di Pondok al-Yusufiah, Pasir Mas di mana pondok ini
juga menjadikan karya Syeikh Daud al-Fatani sebagai teks rasmi ilmu feqah. Umpamanya, kitab
Furu‘ al-Masa’il diajar bagi kelas umum pada setiap hari Ahad hingga Khamis, pada jam 7.30 pagi
hingga 9.00 pagi, diajar oleh Tuan Guru Haji Awang bin Yusuf. Pada hari dan masa yang sama juga
kitab Sullam al-Mubtadi diajar bagi kelas Nizami yang diajar oloeh pembantu guru. (Md Ramly
Mahmood, 2005:246-247).
Sebagai rumusannya, sumbangan Syeikh Daud al-Fatani dalam sistem pengajian pondok di
Kelantan sejak dari zaman berzaman adalah sukar untuk dinafikan, malah sumbangan beliau amat
ketara dalam menyediakan asas pengetahuan dan amalan agama Islam khususnya dalam bidang feqah
mazhab al-Syafi„i dan bidang tawhid pada aliran Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Sumbangan beliau
yang berterusan ini juga merupakan antara asas kekuatan sistem pengajian pengajian pondok.

PENUTUP
Perbincangan di atas dapat disimpulkan bahawa Syeikh Daud al-Fatani telah memberikan
sumbangan yang amat ketara sekali dalam perkembangan keintelektualan Melayu Islam dengan
memfokuskan kepada pengaruhnya terhadap pemerkasaan pengajian pondok di Kelantan khasnya dan
di rantau Nusantara amnya, menerusi pengkaryaan kitab jawi terutamanya dalam bidang feqah dan
tawhid. Selagi mana wujudnya pengajian kitab-kitab beliau dilakukan terutamanya di institusi
pengajian pondok atau di mana-mana sahaja, maka selagi itulah sumbangan keilmuan beliau masih
berterusan dan berkekalan walaupun beliau telah meninggal dunia lebih daripada 250 tahun yang lalu.

9
______________________________________

* Penulis adalah Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan
Agama Islam Sarawak

RUJUKAN
Ab. Aziz Ismail (1994), Sheikh Daud al-Fatani (1769-1847M): Pengaruh Pemikirannya di Kelantan,
Tesis Sarjana Pengajian Islam. Bangi: Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malayisa.
Abdullah al-Qari Haji Salleh (1967), “Pujangga Syeikh Daud Fatani”, Majalah Dian, Bil. 10, Kota
Bharu.
Abdullah Ishak (1995), Pendidikan Islam dan Pengaruhnya di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan
Bahawa dan Pustaka.
Abdul Razak Mahmud (1994), “Halaqat Kitab di Masjid Muhammadi”, dlm. Nik Mohamed bin Nik
Mohd. Salleh, Warisan Kelantan XIII, Monograf Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Kota
Bharu: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.
Abdullah Jusuf (1990), Pengenalan Tamadun Islam di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.
________ (1991), “Sumbangan kitab jawi di dalam perkembangan Islam di Alam Melayu”, Kertas
Seminar Warisan Kitab-kitab Lama, anjuran Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana
Menteri, Kuala Lumpur pada 7 September.
Abdullah Muhammad Zain & Che Yusoff Che Mamat (2002), “Pondok Pasir Tumbuh dan
Peranannya Dalam Dakwah”, dlm. Sulaiman Ibrahim, et. al. (ed), Dakwah Kepada Masyarakat
Muslim di Malaysia, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia
Ahmad Fathy al-Fatani (2002), Ulama Besar Dari Patani, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Awang Had Salleh (1974), Pelajaran dan Perguruan Melayu di Malaya: Zaman British (dengan
rujukan khas kapada Sultan Idris Training College), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
________ (1977), “Institusi Pondok di Malaysia”, dlm. Zainal Kling, Masyarakat Melayu: Antara
Tradisi dan Perubahan, Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distribution
Bradley, Francis R. (2007), “Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani‟s Writing Contained in the National
Library of Malaysia”, Jurnal Filologi Melayu, J. 15, h. 121-141.
Engku Ibrahim Ismail (1992), Syeikh Dawud al-Fatani: Satu Analisis Peranan dan Sumbangannya
Terhadap Khazanah Islam di Nusantara, Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti
Malaya.
Ensiklopedi Tasawuf (2008), Jld. I [A-H], Bandung: Penerbit Angkasa.
Fauzi Deraman (2010), Hadith dalam Karya Syeikh Daud al-Fatani, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka
Ghazali Darulsalam (2001), Pedagogi Pendidikan Islam, Kuala Lumpur: Utusan Publication &
Distributors
Hooker, M.B. (1991), Undang-undang Islam di Asia Tenggara, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Ibnuatiq (2010), “Sukatan Pelajaran”, Pondok Pasir Tumbuh, Kota Bharu Kelantan. Diup-date pada
Sabtu, 17 April 2010, 22:49. Dicapai pada 18 Mei 2010 di alamat sesawang: http://www.al-
bakriah.com.my/index.php?option=com_content&view=article&id=43:sukatan-
pengajian&catid=6:sukatan-dan-jadual&Itemid=24
Marwazi Dziyauddin (2005), Tahqiq Kitab: Munyah al-Musalli Karangan al-Alim al-Syeikh Daud bin
Abdullah al-Fatani, Disertasi Sarjana Syariah, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya.
Pondok Lubok Setol (2010), “Pengenalan”, Madrasah Diauddin, Pondok Gual Dalam, Lubok Setol.
Dicapai pada 18 Mei 2010, 16:35 di alamat sesawang: http://pondokluboksetol.webs.com/
Pondok Sungai Durian (2008), “Jadual Pengajian Umum”, Masjid al-Rahman, Pondok Sungai Durian,
Kuala Krai, Kelantan. Diup-date pada Selasa, 27 Mei 2008. Dicapai pada 18 Mei 2010 di alamat
sesawang:http://www.pondoksgdurian.com/index.php?option=com_content&task=view&id=11
&Itemid=13
Ismail Che Daud (1989), Tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu, Kota Bharu: Majlis Ugama Islam dan
Adat Istiadat Melayu Kelantan.
Matheson, V. & Hooker, M.B. (1988), “Jawi Literature in Patani: The Maintenance of an Islamic
Tradition”, JMBRAS, 1988, Vol. 61, Part 1, h. 1-86.

10
Md Ramly Mahmood (2005), Peranan Pondok dalam Pendidikan Islam di Kelantan: Suatu Kajian di
Pasir Mas, Kelantan. Disertasi Sarjana Sejarah dan Tamadun Islam, Jabatan Sejarah dan
Tamadun Islam, Bahagian Pengajian Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya,
Kuala Lumpur.
Mohd. Nor Bin Ngah (1983), Kitab Jawi: Islamic Thought of the Malay Muslim Scholars, Singapore:
Institute of Souhteast Asian Studies.
Mohd Pakhruddin bin Abdullah (2003), Pengajian Ilmu Fiqh di Pondok Pasir Tumbuh: Suatu Kajian
Terhadap Metodologi dan Keberkesanan, Disertasi Sarjana Usuluddin, Jabatan Sejarah dan
Tamadun Islam, Bahagian Pengajian Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, UMKL.
Mohd. Sukeri bin Hamid (2004), Institusi Pendidikan Islam di Kelantan: Suatu Kajian Mengenai
Sejarah Perubahan Dari Sistem Pondok ke Sistem Sekolah, Disertasi Sarjana Usuluddin, Jabatan
Sejarah dan Tamadun Islam, Bahagian Pengajian Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, UMKL.
Muhamed Suhaimi bin Mostapar (2008), Metode Pengajian Fiqh di Pondok Lubok Tapah, Pasir Mas,
Kelantan, Disertasi Sarjana Syariah, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Muhammad Husin Khal„e Haji Awang (1969), Kelantan Dari Zaman Ke Zaman, Kota Bharu: Dian
Dar al-Naim.
Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Hassan (1977), Perkembangan Ulama Kelantan, Kota Bharu: Pustaka
Aman Press
Nik Mohamed bin Nik Mohd. Salleh (1985), “Perkembangan Pendidikan atau Pengajian Islam di
Negeri Kelantan”, dlm. Nik Mohamed bin Nik Mohd. Salleh (ed.), Warisan Kelantan IV, Kota
Bharu: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.
Portal Pendidikan Kelantan (2010). Di bawah tajuk “Sejarah Pendidikan”, dicapai pada 16 Mei 2010,
jam 10.00 pagi, di alamat: http://www.kelantan.edu.my/sej%20pend.htm
Rahim bin Abdullah (1983), “Pelajaran Pondok di Kelantan”, dlm. Khoo Kay Kim, Beberapa Aspek
Warisan Kelantan II, Monograf Perbadanan Muzium Negeri Kelantan III, Kota Bharu:
Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.
Risalah Pusat Pembangunan Pondok Berhad (t.t.), Kota Bhar: Pusat Pembangunan Pondok Berhad
Roolvink, Roelof (1975), Bahasa Melayu, Leiden: Universitaire Pers Leiden.
Syafie Abu Bakar (1984), “Institusi Pondok dan Kesan Pendidikan di Zaman Silam”, Kertas kerja
Muzakkirah Institusi Pondok Sebagai Benteng Tradisi Islam, Markaz Tarbiah Islamiah, Kedah,
pada 4-5 Disember.
Voorhoeve, P. (1965), “Dawud b. „Abd Allah al-Fatani”, Encyclopeadia of Islam, vol. 11, Leiden: E.J.
Brill.
Wan Mohd. Shaghir Abdullah (1990a), Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani: Ulama dan Pengarang
Terulung Asia Tenggara, Shah Alam: HIZBI.
________ (1990b), “Pendokumentasian karya-karya Syeikh Daud bin Abdullah Al Fatani yang belum
pernah dicetak”, (Bahagian 2), Jurnal Dewan Ba hasa, J. 34 Bil. 12, Disember, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka h. 966-974.
________ (1991a), “Sejarah ringkas Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fatani dan karya-karyanya”,
Nadwah Ilmiah Tokoh Ulama Peringkat Kebangsaan Kali Keempat, anjuran Bahagian Hal
Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Akademi Islam Universiti Malaya,
pada 17-19 Disember.
________ (1991b), “Warduz Zawahir: Kitab Usuluddin yang terbesar di dunia Melayu karya Syeikh
Daud bin Abdullah al-Fatani”, Jurnal Dewan Bahasa, J. 35 Bil. 10, Oktober, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
________ (1995), “Manuskrip Islam Dunia Melayu Ditinjau Dari Pelbagai Peringkat”, Forum Ilmiah,
anjuran Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya, pada 27 September.
________ (2001), “Ulama-ulama Patani: satu paparan mengenai ketokohan dan karya mereka”,
Nadwah Ulama Nusantara I: Peranan dan Sumbangan Ulama Patani, anjuran Fakulti Pengajian
Islam, UKM dan Kolej Pengajian Islam, Prince of Songkla University, Thailand dengan
kerjasama Persatuan Kakitangan Akademik, UKM dan Majlis Agama Islam Wilayah Patani,
Thailand, 19-20 Mei.
________ (2003a), Mun-yatul Mushalli Syeikh Daud al Fathani: Pengetahuan Sembahyang Masyhur,
Cet. Ke 6, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur.
________ (2003b), Majlis Tazkirah Tokoh dan Ulama Islam Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani Kali
Ke II, anjuran Jabatan Agama Johor, 28 April, h. 1-47.
Winzeler, Ronert L. (1975), Tradisional Islamic School in Kelantan, Kota Bharu: Koleksi Kelantan.

11

You might also like