You are on page 1of 3

Harapan dan Wawasan Seorang Guru Cemerlang

Seorang sarjana Barat pernah berkata “Kalau seorang doktor membuat kesilapan, dia hanya

membunuh seorang pesakit. Tetapi, kalau seorang guru melakukan kesilapan, dia akan membunuh

satu generasi”. Kata-kata tersebut membawa konotasi betapa pentingnya tugas seseorang yang

bergelar ‘guru’ kerana mereka dapat menentukan jatuh bangun masa depan sesebuah negara atau

generasi. Dalam konteks perbincangan ini, ungkapan tersebut sebenarnya memberi gambaran

bahawa atas pundak para pendidik khususnya guru cemerlanglah tergalasnya pelbagai harapan dan

wawasan untuk menjayakan segala aspirasi nasional. Persoalan yang mungkin bermain dalam minda

semua pihak ialah apakah harapan dan wawasan berkenaan?

“Orang yang menguasai ilmu akan menguasai dunia”. Ungkapan bombastik golongan

cendikiawan ini menggambarkan akan peri pentingnya untuk kita memiliki ilmu pengetahuan dalam

kehidupan seharian. Lebih-lebih lagi dalam usaha kita memenuhi pelbagai tuntutan dalam

marcapada yang lebih berpaksi kepada aspek inovasi dan pengetahuan (knowledge) seperti “k-

economi” dan “k-worker’s”. Hal ini membawa maksud bahawa kita perlu melahirkan para intelektual

iaitu golongan yang memiliki kecemerlangan dalam bidang akademik dalam kalangan masyarakat kita

khususnya golongan generasi muda bagi merealisasikan pelbagai transformasi yang diuar-uarkan

oleh kerajaan. Oleh itu, harapan dan wawasan pertama saya sebagai seorang guru cemerlang ialah

memberi didikan dan bimbingan kepada anak-anak murid saya dengan penuh dedikasi dan kasih

sayang. Unsur-unsur kreatif dan inovatif juga perlu disulam bersama dalam proses mendidik dan

membimbing berkenaan agar mereka berupaya mencapai kecemerlangan dalam hidup khususnya

dalam bidang akademik. Sesungguhnya, kecemerlangan dalam bidang akademik amat perlu dalam

diri setiap individu kerana para jauhari sentiasa berpendapat bahawa ilmu itu adalah pelita dalam

kehidupan manusia. Dalam konteks ini, saya berharap mereka bukan setakat mendapat A+ dalam

mata pelajaran Pendidikan Moral, tapi juga dapat mengaplikasikan nilai dan kemahiran moral
tersebut dalam semua subjek yang dipelajari sesuai dengan konsep Pendidikan Moral merentas

kurikulum.

Kehidupan dalam era globalisasi kini juga menuntut transformasi hebat dalam bidang

pendidikan negara terutamanya dalam usaha melahirkan modal insan berminda kelas pertama. Kita

semua maklum bahawa kita memerlukan pemimpin berwibawa yang mampu menerajui tampuk

pentadbiran dan pembangunan nusa kita sebagai sebuah negara maju berasaskan manhaj kita

sendiri dalam Wawasan 2020. Kita juga sedar bahawa tahun 2020 tersebut kini hanya berbaki lebih

kurang sembilan tahun sahaja lagi. Lantaran itu, harapan dan wawasan saya sebagai seorang guru

cemerlang ialah dapat membentuk kemenjadian murid dalam aspek sahsiah dan jati diri. Saya

berharap, murid-murid tersebut bukan sahaja akan dapat dididik agar memiliki minda yang kritis dan

kreatif, bahkan terpuji sikap dan perilakunya, stabil emosinya dan terasuh rohaninya. Dalam skop

diskusi ini, sebagai seorang guru cemerlang dalam subjek Pendidikan Moral, saya amat berharap saya

dapat memateri kesemua 16 nilai murni yang terkandung dalam kurikulum sekolah dalam diiri setiap

anak murid. Nilai-nilai tersebut akan menjadi hiasan yang mewarnai kehidupan seharian setiap anak

didik tersebut sama ada sebagai seorang murid di sekolah ataupun sebagai seorang individu

cemerlang di luar sekolah. Pendek kata, murid-murid tersebut akan berkembang sebagai individu

yang mengamalkan resmi padi iaitu semakin berisi semakin tunduk dan bukannya mengikut resmi

lalang, seterusnya terbentuk menjadi insan seimbang yang tidak mudah hanyut dalam arus godaan

duniawi mahupun gentar dilambung tsunami cabaran.

Harapan dan wawasan saya sebagai seorang guru cemerlang yang seterusnya ialah

membantu rakan-rakan sejawat dan pihak-pihak yang memerlukan dalam usaha mereka menggapai

kecemerlangan. Saya amat berharap saya dapat menyebarluaskan ilmu dan kemahiran saya dengan

pelbagai pihak. Hal ini dapat saya laksanakan melalui pembinaan modul-modul pengajaran dan

pembelajaran (P&P) cemerlang yang menerapkan elemen kreatif, inovatif, menarik dan mampu

meransang motivasi murid untuk memburu kejayaan. Situasi ini sesuai dengan pendapat seorang

sarjana dari barat iaitu Edward Bulwer-Lytton yang mengatakan bahawa “Guru yang terbaik adalah
seorang guru yang memotivasikan pelajarnya berbanding mendominasi mereka, dan menginspirasi

mereka dengan harapan untuk mendidik diri mereka juga". Kolaborasi dan perkongsian pintar

sebegini yang dijalin melalui konsep tolong-menolong bagai aur dengan tebing dengan semua pihak

diharap dapat membuahkan kecemerlangan dalam bidang pendidikan untuk semua orang. perkara

ini juga diharap dapat merapatkan jurang pendidikan antara bandar dengan luar bandar dan jurang

pendidikan antara negeri-negeri di Malaysia.

Berdasarkan semua kupasan tersebut, dapat kita simpulkan di sini bahawa guru cemerlang

merupakan salah seorang pemain global utama dalam sistem pendidikan negara. Oleh itu, para guru

cemerlang perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran demi memastikan mereka

mampu melaksanakan segala tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan agar tidak wujud

situasi guru kencing berdiri, murid kencing berlari. Sebaliknya, guru-guru cemerlang ini akan

memastikan transformasi pendidikan negara akan berlaku agar aspirasi kita untuk mewujudkan

pendidikan bertaraf dunia tercapai dalam tempoh terdekat.

Disediakan oleh:

(CHIN MEE NA)

You might also like