You are on page 1of 4

TOKOH TUN HUSSEIN ONN

Allahyarham Tun Hussein bin Dato' Onn merupakan Perdana Menteri Malaysia ketiga,
memimpin negawra dari 15 Januari 1976 sehingga 16 Julai 1981. Beliau diperlihatkan
sebagai seorang yang amat ikhlas dalam perjuangan untuk mencapai perpaduan kaum dan
mempunyai reputasi untuk bertindak keras kepada sesiapa yang mencuba membangkitkan
kekacauan perkauman di dalam negara. Oleh sebab usahanya dalam pemupukan perpaduan
di kalangan masyarakat Malaysia, Tun Hussein Onn telah dikenang sebagai "Bapa
Perpaduan".

Hussein Onn dilahirkan di Johor Bahru pada 12 Februari 1922. Beliau merupakan anakanda
sulung kepada Dato' Onn bin Jaafar dan Datin Halimah Hussein yang mempunyai lapan orang
anak. Ayahandanya Dato’ Onn merupakan orang yang bertanggungjawab menubuhkan
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1946 dan juga Presiden
UMNO yang pertama.

Tun Hussein berkahwin dengan Toh Puan Suhaila binti Tan Sri Haji Mohd Noah dan dikurnia
enam orang anak, dua anak lelaki dan empat anak perempuan. Salah seorang anak lelakinya
ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia sekarang ini.

Beliau menerima pendidikan awalnya di Singapura, dan kemudiannya di English College,


Johor Baru (kini digelar “Maktab Sultan Abu Bakar”). Selepas persekolahannya pada tahun
1940, Hussein Onn berkhidmat sebagai kadet dalam Pasukan Timbalan Setia Negeri Johor.
Pada tahun 1941, beliau dihantar ke Indian Military Academy di Dehra Dun, India. Selepas
ditauliahkan pada tahun 1942, beliau menyertai Regimen Hyderabad (Tentera India) dan
berkhidmat di Timur Tengah semasa meletusnya Perang Dunia Ke-2. Selepas peperangan
tamat, beliau telah dihantar ke Bahagian Perisik Tentera di Markas Tentera, New Delhi dan
dinaikkan pangkat sebagai Kapten. Memandangkan kepada pengalamannya yang luas, pihak
British melantiknya menjadi jurulatih di "Pusat Perekrutan dan Latihan Polis Malaya" di
Rawalpindi.

Pada bulan Ogos tahun 1945, beliau kembali ke Malaya dan dilantik sebagai Komandan
Depot Polis, Johor Bahru. Selepas enam bulan di dalam perkhidmatan tentera di Malaya,
beliau memasuki Perkhidmatan Pentadbiran Melayu sebagai Penolong Pegawai Pentadbir di
Segamat, Johor. Hussein Onn kemudian ditugaskan untuk bekerja di negeri Selangor, di
mana beliau menjadi pegawai daerah di Kelang dan Kuala Selangor. Ketika itu kerajaan
British sedang mengemukakan rancangan Malayan Union dan Dato’ Onn sendiri memainkan
peranan penting menentang Malayan Union dengan menubuhkan UMNO.

Tun Hussein Onn meninggal dunia pada hari Selasa, 29 Mei 1990 di Pusat Perubatan Seaton,
San Francisco, Amerika Syarikat ketika berumur 68 tahun kerana serangan jantung setelah
enam minggu menjalani pembedahan pintasan koronari. Beliau disemadikan pada hari
Jumaat di Makam Pahlawan, di perkarangan Masjid Negara Kuala Lumpur

Kerjaya Politik

Tun Hussein Onn berasal daripada sebuah keluarga yang begitu mendalam semangat
nasionalismenya dan akar politik yang mendalam. Apabila ayahandanya, Dato’ Onn Jaafar
menubuhkan UMNO, Hussein Onn meletak jawatan daripada perkhidmatan awam untuk
turut serta berjuang di samping bapanya dalam kegiatan politik UMNO. Pada tahun 1949,
beliau telah dilantik sebagai Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
(UMNO) yang pertama yang dikenali sebagai Perikatan Pemuda UMNO. Pada tahun 1950,
beliau dipilih menjadi Setiausaha Agung UMNO dan bertugas sepenuh masa. Beliau juga
telah dilantik menjadi Ahli Majlis Undangan Negeri Johor dan Majlis Undangan Persekutuan.
Semasa darurat, beliau dilantik menjadi Pegawai Penjaga Pasukan Kawalan Kampung di
Johor.

Walau bagaimanapun, penglibatan Tun Hussein Onn dalam UMNO mulai pudar apabila
tercetus satu krisis dalam parti pada bulan Ogos 1951 di mana cadangan bapanya untuk
membuka pintu UMNO kepada orang bukan Melayu tidak dapat diterima oleh orang
Melayu. Apabila Dato’ Onn bin Jaafar menarik diri dari UMNO, Tun Hussein Onn juga turut
menyertai bapanya keluar dari UMNO dan seterusnya menubuhkan Independent of Malaya
Party (IMP) pada tahun 1951 dan kemudiannya Parti Negara.

Oleh sebab IMP tidak menerima sambutan yang baik, Tun Hussein Onn telah pergi ke
London untuk belajar undang-undang di Lincoln's Inn dan berjaya melayakkan diri sebagai
Barrister-at-Law pada tahun 1958. Beliau kembali ke tanah air sebagai seorang peguam yang
bertauliah dan membuka firma guamannya sendiri di Kuala Lumpur.

Ibarat sireh pulang ke ganggang, Hussein Onn kembali ke politik untuk menyertai UMNO
semula pada tahun 1968 selepas dipujuk oleh birasnya Allahyarham Tun Abdul Razak Dato'
Hussein, Perdana Menteri ketika itu. Pada bulan Jun 1969 Allahyarham Tun Hussein bin
Dato'Onn dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertinggi UMNO).
Dalam tahun yang sama, beliau telah bertanding dan memenangi pilihan raya umum di
kawasan Parlimen Johor Bahru Timur dan seterusnya dilantik sebagai Menteri Pelajaran
pada 22 September 1970 di dalam kabinet Tun Abdul Razak. Sebagai Menteri Pelajaran,
beliau telah menghadapi beberapa isu penting yang berkaitan dengan pelajaran, termasuk
mengenai masalah keciciran di kalangan penuntut-penuntut sekolah. Pada masa ini juga satu
perjanjian antara Malaysia dan Indonesia mengenai sistem ejaan baru telah diadakan di
Kuala Lumpur. Kemudiannya pada tahun 1972, beliau dipilih sebagai Timbalan Presiden
UMNO.

Kenaikan pangkatnya yang pantas itu berterusan sewaktu beliau dilantik sebagai Timbalan
Perdana Menteri Malaysia pada 13 Ogos tahun 1973 menggantikan Tun Dr. Ismail yang
meninggal dunia pada 2 Ogos 1973. Beliau juga menjawat jawatan Menteri Kewangan dan
Menteri Penyelarasan Perbadanan Awam. Pada 15 Januari 1976, Tun Hussein Onn menjadi
Perdana Menteri Malaysia yang ke-3 menggantikan Tun Abdul Razak yang telah meninggal
dunia di London pada 14 Januari 1976.

Berikutnya, beliau mengumumkan satu kabinet baru yang agak memeranjatkan, di mana
peluang-peluang yang luas diberi kepada tokoh-tokoh muda dalam UMNO untuk memegang
jawatan-jawatan penting. Beliau telah memilih Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sebagai
Timbalannya.Dalam pilihan raya umum yang diadakan pada tahun 1978, Barisan Nasional
yang bermanifesto “A man whom you can trust” (Tun Hussein) telah beroleh kejayaan yang
cemerlang dengan 131 kerusi daripada jumlah 154 kerusi Parlimen, di samping menguasai
semua kerajaan-kerajaan Negeri.

Dalam soal luar negeri, seperti juga dengan pemimpin-pemimpin sebelumnya, Tun Hussein
Onn terus mengadakan perhubungan yang baik antara Malaysia dengan negara-negara luar
termasuklah negara-negara barat dan lain-lain anggota ASEAN.

Pada 17 Julai 1981, beliau bersara daripada politik aktif dan meletak jawatannya sebagai
Perdana Menteri atas sebab-sebab kesihatan. Jawatan Perdana Menteri diambil alih oleh
timbalannya, Mahathir bin Mohamad. Disebabkan perkhidmatannya kepada negara, Hussein
Onn dikurniakan dengan gelaran "Tun" yang merupakan anugerah DiRaja yang tertinggi di
Malaysia.

KEJAYAAN DAN SUMBANGAN TOKOH

Hussein Onn termasyhur dalam penegasannya terhadap persoalan perpaduan melalui dasar-
dasar yang bertujuan semata-mata untuk membetulkan ketidakseimbangan ekonomi antara
kaum masyarakat. Ketika menjadi Perdana Menteri, Tun Hussein Onn telah meneruskan
agenda pembangunan yang telah digariskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak khususnya
dalam menggerakkan `Dasar Ekonomi Baru’.

Sepanjang perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri, beliau banyak menyumbang


terhadap perkembangan masyarakat Bumiputera. Dasar Ekonomi Baru telah diberi nafas
baru di bawah terajunya. Hussein Onn sentiasa mencuba meningkatkan taraf hidup kaum
Melayu yang agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain pada waktu itu.
Usahanya yang paling ketara adalah apabila beliau melancarkan Skim Amanah Saham
Nasional pada 20 April 1981, iaitu satu dana amanah Bumiputera yang bertujuan untuk
meningkatkan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara. Skim ini melibatkan pemindahan
berjuta ringgit saham milik Kerajaan ke Amanah Saham Nasional (ASN) yang dikuasai oleh
Permodalan National Bhd (PNB). Kemudian, berjuta-juta unit di dalam Skim ASN ini dijual
kepada golongan Bumiputera bagi membolehkan mereka melabur secara tidak langsung di
dalam saham-saham tersebut. Dengan dana yang terhasil daripada jualan ini, PNB menjadi
sumber utama bagi Kerajaan untuk menguasai kepentingan di dalam syarikat-syarikat asing.

Sebagai seorang perwira, Tun Hussein Onn fasih tentang hal ehwal keselamatan. Hussein
Onn juga memberi penekanan kepada konsep Rukun Tetangga dan perjuangan terhadap
ancaman dadah. Di bawah pentadbirannya, angkatan bersenjata Malaysia telah
diperbesarkan dan dipermodenkan apatah lagi di rantau Asia Tenggara yang ketika itu
gempar ekoran jatuhnya Vietnam Selatan ke tangan komunis dan termasyhurnya cita-cita
`Teori Domino’ komunis. Semasa pentadbirannya, usaha membanteras pengganas komunis
di hutan dan di bandar-bandar semasa tempoh darurat telah diperhebatkan. Malah,
golongan yang bersimpati dengan aliran komunis dipulihkan menerusi gerakan-gerakan
pengitipan (intelligent) yang berjaya.

Setelah persaraannya sebagai Perdana Menteri, Tun Hussein Onn masih kekal aktif di dalam
beberapa inisiatif lain dan masih meneruskan sumbangannya kepada pertubuhan-
pertubuhan kebajikan.. Sebagai contoh, pada bulan Mei tahun 1983, beliau telah dilantik
sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa. Manakala pada 22 Februari tahun 1983
pula, beliau terpilih sebagai Penasihat kepada Petronas dan pada 9 Jun tahun 1983 beliau
telah dilantik sebagai Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS). Tun
Hussein juga dilantik sebagai Presiden Persatuan Orang-orang Buta Malaysia. Kini, sebuah
Hospital Mata telah mengabdikan namanya dan dikenali sebagawi Hospital Mata Tun
Hussein Onn.

SIFAT-SIFAT ISTIMEWA TOKOH

Allahyarham Tun Hussein bin Dato' Onn adalah seorang yang amat berhati-hati apabila
membuat keputusan yang melibatkan hal-ehwal negara. Beliau sangat tegas dan berpegang
teguh kepada prinsip hidupnya. Pengalaman ketenteraan menjadikan Allahyarham Tun
Hussein bin Dato'Onn seorang yang berdisiplin dan mementingkan ketepatan masa.
Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn memberi kebebasan akhbar dan majalah untuk
memberi kritikan dan komentar dengan harapan ini akan meningkatkan prestasi
pentadbirannya. Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn adalah seorang negarawan yang
disegani dan dihormati. Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn terkenal dengan sifat
merendah diri serta jujur dan beliau disanjungi oleh masyarakat Malaysia sebagai seorang
pemimpin.

Dalam sejarah, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn akan sentiasa dikenang sebagai
'Penyambung Warisan Yang Terbilang'. Allahyarham Tun Hussein bin Dato' Onn juga dikenali
sebagai 'Bapa Perpaduan' kerana berjaya memupuk semangat perpaduan berbilang kaum
yang lebih erat dalam masyarakat Malaysia. Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn
mewarisi kepimpinan UMNO yang pernah disandang oleh ayahandanya, mewarisi program
pembangunan yang dijana oleh sahabatnya dan melaksanakannya dengan penuh setia.
Malah Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn pula mewariskan kerajaan kepada Dr.
Mahathir dalam keadaan yang stabil dan UMNO dalam keadaan yang begitu kukuh.

Tun Hussein Onn kini dikenang sebagai Bapa Perpaduan bagi mengenangkan segala jasa dan
usahanya dalam memupuk perpaduan di negara ini.

You might also like