You are on page 1of 10

Contoh Karangan : Pencemaran 

Sungai
Jun 30, 2007 — mindabahasa

Sejak beberapa tahun, kerajaan telah melancarkan kempen ”Sayangi Sungai ”dalam
negara yang merangkumi pelbagai usaha memantau, memulihara, membersih dan
mengindahkan keadaan sungai. Walaupun begitu, belakangan ini, isu pencemaran
sungai kian serius sehinggakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri
Azmi Khalid  melahirkan rasa kecewanya kerana tidak terdapat kesan yang boleh
dibanggakan terhadap keadaan banyak sungai kita.

Masalahnya tidak kelihatan apa-apa tindakan berkesan dilakukan. Mereka yang


mendiami sekitaran sungai seperti pengusaha kilang, peniaga gerai makan dan juga
penghuni rumah masih menganggap sungai sebagai tempat untuk menyalurkan
sampah dan segala macam sisa yang hendak dibuang.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri perlu mengadakan pelbagai acara
membabitkan orang ramai dan industri. Sokongan orang ramai dan swasta adalah
penting sekiranya kempen menyayangi sungai dikehendaki mendatangkan kesan.
Perasaan cintakan sungai yang mengalir melalui kediaman atau bandar mereka  diami
adalah milik mereka juga perlu dipupuk. Hanya dengan cara begini, baru akan timbul
perasaan menyayangi sungai mereka sendiri dan dengan itu mereka juga berusaha
memuliharanya daripada dicemari. Apa pun kebanyakan sungai dan kawasan
lembahnya terus dilanda pencemaran. Malah tahap pencemaran terhadap beberapa
batang sungai semakin teruk hingga ada yang terpaksa dikategorikan sebagai sudah
‘mati’.    

Mengikut perangkaan yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perairan dan
Saliran,   Datuk Keizrul Abdullah, kedudukan sungai dalam negara kita sebenarnya
semakin meruncing. Daripada keseluruhan 120 kawasan lembah sungai yang dipantau
Jabatan Alam  Sekitar (JAS) kedudukan pencemarannya semakin buruk dari tahun ke
tahun. Pada tahun 2002, masih ada 63 sungai dikategorikan sebagai bersih, tetapi
setahun  kemudian hanya tinggal 58 sungai yang masih bersih. Pada 2002, 43 sungai
dianggap sudah tercemar manakala setahun kemudian jumlah sungai yang tercemar
meningkat kepada 53. Bagaimanapun,  jumlah sungai yang mengalami pencemaran
teruk tinggal sembilan batang saja pada 2003 berbanding dengan 14 sebelum itu. Tidak
diketahui apakah yang menyebabkan lima sungai yang tercemar teruk pada 2002
bertambah baik setahun kemudian.  
Pemantauan yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bahawa kiranya tidak
ada rancangan berkesan memelihara kebersihan sungai, kedudukan kebanyakan sungai
dalam negara akan terus dilanda pencemaran. Hal ini disebabkan, keseluruhannya
rakyat negara ini amat kurang prihatin terhadap tahap kebersihan sungai. Kebanyakan
daripada mereka seolah-olah tidak pernah terfikir bahawa merekalah juga yang
menyebabkan keadaan kebanyakan sungai kita terus tercemar. Penghuni rumah di tepi
sungai baik setinggan atau pun tidak, berterusan menganggap sungai seperti saliran
membuang najis dan sampah. Kalau  diperhatikan kawasan perumahan, bangunan dan
rumah kedai yang didirikan 30 atau 40 tahun lalu semuanya membelakangkan sungai.
Ramai ketika itu  menjadikan sungai sebagai saliran sampah dan najis.  Sehingga kini
pun ketika pemaju perumahan misalnya sudah tidak lagi  menganggap sungai sebagai
saliran sampah dan mula mendirikan rumah menghadap sungai, itupun orang ramai
masih tidak dapat mengikis pandangan mereka terhadap sungai.

Selagi tahap kesedaran terhadap kebersihan sungai tidak dapat diwujudkan, selagi
itulah segala usaha untuk memulihkan sungai tidak akan berkesan. Kesedaran
demikian ini seharusnya dipupuk daripada bangku sekolah lagi. Perasaan cinta akan
sungai dan prihatin terhadap persekitaran alam didedahkan kepada murid di sekolah
lagi supaya apabila dewasa kelak mereka akan lebih prihatin terhadap usaha
kebersihan alam sekitar. Media juga boleh memainkan peranan untuk meningkatkan
kesedaran orang  ramai terhadap pentingnya sungai dipelihara supaya terus bersih.

Demikian juga walaupun ada pelbagai peraturan dan undang-undang mencegah


kotoran dan sisa pengilangan atau ternakan dibuang ke sungai, kegiatan tidak
bertanggungjawab ini tetap diteruskan.  Pemantauan dan pencegahan oleh Jabatan
Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan perlu ditingkatkan. Lazimnya,  apabila
pencemaran didedahkan media, barulah mereka bertindak. Bahkan kadangkala pesalah
hanya dikenakan kompaun yang tidak seberapa sehingga tidak wujud perasaan takut
menghadapi tindakan. Walaupun ada peruntukan membolehkan kilang yang secara
berterusan membuang sisa dan sisa toksik ditutup, apakah tindakan drastik demikian
ini pernah diambil? Sebenarnya kalau ada kemahuan, sungai-sungai ini sememangnya
boleh dipulihkan menjadi bersih agar ikan akan dapat membiak kembali dan berbagai-
bagai kegiatan riadah dan pelancongan boleh dilaksanakan menggunakan sungai
terbabit.

Jelasnya, segala usaha mungkin akan mengambil masa tetapi sekiranya ada keazaman
dan dengan perangan rapi dan dapat pula dilaksanakan dengan betul tanpa
pengecualian tentunya sungai-sungai yang terjejas dapat dipulihkan.
Hari Raya Aidiladha (bahasa Arab: ‫' عيد األضحى‬Eid Ul-Adha) atau Hari Raya Haji merupakan
perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain
Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas,
dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada
malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10
Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11
atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam
memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-
sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat
korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib
menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13
Zulhijah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan
perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender
Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam
dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang
Arafah, di luar bandar Mekah.

Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih,
dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan
sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat dengan 7 takbir pada rakaat pertama diikuti 5
takbir pada rakaat kedua.

Pada kebiasaannya solat sunat Aidiladha dicepatkan sedikit berbanding solat sunat Aidilfitri.
Hikmahnya dicepatkan sedikit waktu solat sunat Aidiladha adalah bagi memberi lebih banyak
masa untuk penyembelihan korban. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri pula
adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakat menunaikan
kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid. [1]

Manakala bagi Aidiladha, hikmat disunatkan makan selepasnya supaya makanan yang mula-
mula dimakan pada hari itu ialah daging korban yang berkat. Selepas bersembahyang, upacara
korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara
beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya
kepada golongan fakir miskin.

Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung
Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam
memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk
menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.
Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan
orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu yang muda akan
memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah
yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka.
Malaysia ketandusan atlet yang berbakat dalam bidang sukan. Semua pihak termasuk
keluarga berperanan penting dalam mencungkil bakat anak-anak mereka sejak kecil lagi.

      Huraikan peranan ibu bapa untuk menggilap bakat anak-anak dalam bidang sukan.

Di bawah ini, dipaparkan soalan dan karangan contoh yang hampir sama dengan soalan tersebut.

Soalan contoh

Ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak bergiat dalam bidang
sukan.
          Huraikan pendapat anda.

Rangka Karangan

Pendahuluan
- antara bidang yang penting di negara kita - aktiviti sukan mendatangkan banyak faedah

Isi-isi
i. memberikan galakan dengan cara membeli peralatan sukan
ii. menggalakkan anak-anak untuk menceburkan diri dalam bidang sukan dengan aktif
iii. memberikan sokongan moral dengan menghantar anak-anak mereka ke tempat latihan
iv. membelikan anak-anak majalah sukan

Penutup
- peranan ibu bapa tidak boleh dikesampingkan – ibu bapa perlu memainkan peranan yang
sepatutnya

Karangan Contoh

       Bidang sukan merupakan salah satu bidang yang penting di negara kita. Hal ini demikian
kerana, aktiviti sukan mendatangkan faedah yang banyak kepada masyarakat dan negara kita.
Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab dalam bidang sukan perlulah memainkan peranan yang
berkesan dengan kerjasama semua pihak seperti ibu bapa. Sekiranya ibu bapa memberikan
galakan dan sokongan moral, sudah pasti matlamat untuk memajukan bidang sukan di negara
kita akan tercapai iaitu, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Dengan cara itu, nama negara
kita akan dikenali dan digeruni di peringkat antarabangsa melalui kejayaan atlet negara dalam
bidang sukan.

       Antara peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa adalah dengan memberikan galakan
dengan cara membeli peralatan sukan untuk anak-anak mereka. Sekiranya anak-anak memiliki
peralatan sukan yang lengkap dan sesuai sudah pastilah mereka lebih bersemangat untuk
bersukan. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah membelikan anak-anak mereka pakaian, kasut
dan alat-alat yang berkaitan dengan permainan yang diceburi oleh anak-anak mereka seperti
raket badminton, squash dan tenis. Oleh hal yang demikian, minat anak-anak dapat
dikembangkan sekiranya peralatan yang sesuai dimiliki oleh mereka. Seterusnya, mereka
diharapkan dapat melakar kemenangan dan seterusnya mengharumkan nama sekolah, daerah,
negeri dan negara.

       Ibu bapa juga perlu menggalakkan anak-anak untuk menceburkan diri dalam bidang sukan
dengan aktif. Ibu bapa boleh menasihati anak-anak supaya memperuntukkan masa mereka dalam
aktiviti kokurikulum seperti sukan dan permainan. Hal ini demikian kerana, aktiviti sukan akan
menyihatkan dan mencergaskan badan. Di samping itu, anak-anak yang berbakat dan berminat
dalam sukan dan permainan tertentu bolehlah melibatkan diri dengan lebih aktif untuk mencipta
kejayaan yang cemerlang. Bakat dan minat tersebut perlulah dipupuk dari bangku sekolah lagi
untuk dikembangkan agar dapat mengharumkan nama negara di persada dunia.

       Selain itu, ibu bapa hendaklah memberikan sokongan moral dengan menghantar anak-anak
mereka ke tempat latihan atau permainan tersebut dijalankan. Dengan cara itu, anak-anak mereka
lebih bersemangat untuk bergiat aktif dalam bidang sukan tersebut. Mereka juga boleh
menemani anak-anak dan menyaksikan anak-anak mereka berlatih atau bertanding dalam sesuatu
acara sukan atau permainan. Sudah tentulah perkara ini akan memberikan kesan yang lebih
mendalam kepada anak-anak dalam usaha untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu
permainan iaitu, tinggi gunung, tinggi lagi harapan kami. Seterusnya, mereka akan berasa lebih
yakin untuk mencipta kemenangan pada peringkat yang lebih tinggi lagi.

       Ibu bapa perlulah membelikan anak-anak mereka majalah sukan yang diminati oleh mereka.
Hal ini demikian kerana, anak-anak akan lebih berminat untuk menceburkan diri dalam bidang
sukan dengan serius. Mereka juga akan mendapat maklumat atau perkembangan terkini dalam
bidang sukan menerusi majalah-majalah sukan tersebut. Selain itu, kejayaan ahli-ahli sukan
antarabangsa yang dipaparkan dalam majalah sukan tersebut akan menjadi idola dan pencetus
semangat serta motivasi kepada anak-anak untuk menjadi ahli sukan yang berjaya.

       Secara keseluruhannya, peranan ibu bapa tidak boleh dikesampingkan dalam usaha untuk
menggalakkan anak-anak bersukan. Oleh itu, ibu bapa perlulah diberikan kesedaran supaya
memainkan peranan yang sepatutnya dalam usaha untuk melahirkan lebih banyak ahli sukan di
negara kita. Ibu bapa tidak seharusnya mementingkan aspek kecemerlangan akademik semata-
mata dan mengetepikan kepentingan sukan kepada anak-anak mereka. Kita mahu agar
kecemerlangan akademik dan kecemerlangan sukan bergerak seiring sekiranya mahu negara kita
maju dalam bidang sukan. Perkara ini akan menjadi realiti jika pepatah, "genggam bara api biar
sampai jadi arang" sentiasa menjadi amalan dalam diri setiap orang yang ingin akan kejayaan.
Punca-punca dan cara mengatasi kemalangan jalan raya
Posted on 20 April, 2008 by admin

Assalamualaikum. Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, yang berbahagia Tuan Pegawai
Daerah Kubang Pasu, pegawai polis trafik, dan hadirin yang dihormati sekalian. Saya
mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk menyampaikan ceramah
dalam majlis ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kes kemalangan jalan raya menjelang hari raya semakin meningkat sejak kebelakangan
ini. Pada tahun-tahun lepas kadar kemalangan jalan raya pada musim perayaan khususnya Hari
Raya Aidilfitri tidak sebanyak pada tahun lepas. Terdapat banyak punca yang menyebabkan
berlakunya peningkatan kes kemalangan jalan raya di negara kita.

Antara punca utama kemalangan itu ialah kebanyakan pemandu tidak mempunyai lesen
memandu. Sesetengah pemandu juga menggunakan lesen memandu yang palsu. Oleh itu, apabila
tidak memiliki lesen yang sah, maka pemandu tersebut sudah semestinya tidak cekap dan tidak
biasa memandu kenderaan. Hal ini akan mengakibatkan kemalangan. Setiap pemandu harus
mempunyai lesen kenderaan kerana sebelum seseorang itu memperoleh lesen memandu, mereka
telah didedahkan dengan teknik pemanduan yang betul. Malah apabila mereka lulus ujian
pemanduan barulah mereka dianggap layak memandu kenderaan. Oleh itu seseorang yang masih
tidak mempunyai lesen memandu dinasihatkan agar tidak memandu kenderaan di jalan raya.

Selain itu, kebanyakan kes kemalangan jalan raya juga berpunca daripada kecuaian
pemandu kenderaan itu sendiri. Ramai pemandu yang memandu dalam keadaan mengantuk.
Biasanya keadaan mengantuk ini berlaku ketika tengah hari dan sebelah malam. Mereka yang
memandu dalam keadaan mengantuk besar kemungkinan terlelap seketika semasa memandu.
Seterusnya mengakibatkan kenderaan mereka terbabas ataupun melanggar kenderaan lain pada
arah yang bertentangan. Saya amat berharap agar para pemandu memastikan mereka tidak
mengantuk semasa memandu kenderaan mereka. Sekiranya pemandu mengantuk mereka
dinasihatkan supaya berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan.

Para hadirin sekalian,

Kemalangan juga boleh berlaku apabila pemandu dalam keadaan mabuk. Kemampuan
pemandu untuk mengawal kenderaan mereka akan menjadi berkurangan apabila mereka mabuk.
Hal ini kerana mereka memandu dalam keadaan berkhayal. Kenderaan yang dipandu mungkin
akan membelok ke kiri dan ke kanan sehingga menyebabkan kemalangan. Lebih malang lagi jika
kecuaian pemandu ini melibatkan kemalangan kepada pihak lain. Saya juga berpesan kepada
semua hadirin agar tidak sekali-kali memandu dalam keadaan mabuk. Ia bukan sahaja
membahayakan nyawa anda malahan pengguna jalan raya yang lain.
Kita seharusnya memandu kenderaan yang sempurna sifatnya. Sebelum memandu
kenderaan, kita mesti memeriksa kenderaan kita supaya selamat untuk dipandu. Contohnya,
keadaan minyak hitam, brek, bateri, air, dan lampu berada dalam keadaan baik. Terdapat
pemandu yang tidak menghiraukan masalah ini. Mereka mengabaikan kesempurnaan kereta
mereka. Contohnya, mereka tidak mengganti tayar yang haus. Apabila tayar kita sudah haus,
sudah tentu daya cengkaman kenderaan itu akan berkurangan. Hal ini lebih membahayakan
ketika hujan kerana sewaktu hujan, cengkaman tayar dengan jalan raya semakin berkurangan.
Jelas di sini, tayar yang haus boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Bagi mengatasi masalah ini, pihak polis trafik telah mengadakan pelbagai usaha bagi
mengurangkan lagi kadar kemalangan jalan raya. Usaha yang dilakukan nampaknya masih
kurang berkesan. Pihak kami sering mengadakan kempen keselamatan jalan raya terutama
sempena sambutan hari raya. Hal ini kerana kami telah mendapat maklumat bahawa kejadian
kemalangan jalan raya semasa musim perayaan meningkat dengan mendadak berbanding hari-
hari lain. Hal ini kerana semua rakyat di Malaysia akan melakukan perjalanan jauh sarna ada
pulang ke kampung ataupun pergi melancong. Kempen-kempen yang dilakukan tertumpu di
jalan-jalan utama di seluruh negara. Melalui kempen ini sedikit sebanyak dapat memberikan
kesedaran kepada pengguna jalan raya.

Pada tahun lepas, Menteri Besar Kedah telah menyertai kempen keselamatan jalan raya.
Kempen ini telah diadakan di lebuh raya Bukit Kayu Hitam-Sungai Petani. Ketika beliau
berucap, beliau telah menekankan kesedaran kepada para pemandu agar memandu kenderaan
mereka dengan cermat. Malah beliau juga turut memberikan baju keselamatan kepada
penunggang motosikal. Kempen ini sekurang-kurangnya berjaya memberikan sedikit
pengetahuan kepada pengguna jalan raya.

Pihak polis trafik juga telah memasang kamera perangkap kelajuan. Kami telah
memasangnya di tempat-tempat yang strategik iaitu kawasan yang biasanya dipandu laju oleh
pemilik kenderaan. Jika mereka memandu dengan kelajuan melebihi 110 km sejam, justeru
kamera perangkap kelajuan ini akan merakam gambar kereta dan pemandunya. Selepas disemak
oleh pegawai kami, dan didapati mereka telah melanggar had kelajuan yang dibenarkan, pihak
kami akan menghantar surat sama kepada pemiliknya. Cara ini telah dapat mengurangkan kadar
kemalangan jalan raya terutama di Lebuh Raya Utara-Selatan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Pasukan polis trafik bertugas selama 24 jam di sekitar jalan raya utama di negara ini. Mereka
akan memastikan agar pemandu tidak membawa kenderaan mereka dengan laju atau secara
berbahaya. Jika para pemandu memandu kenderaan mereka dengan laju, mereka boleh disaman
ataupun kenderaan mereka boleh ditahan. Banyak saman telah dikeluarkan oleh pasukan polis
trafik melalui cara sebegini terutamanya di sekitar bandaraya Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan
di Johor Bahru.
Jelaslah bahawa kemalangan jalan raya sebenarnya berpunca daripada sikap pemandu itu
sendiri. Seandainya pemandu itu berhati-hati ketika memandu maka kemalangan jalan raya dapat
dikurangkan. Tetapi seandainya pemandu itu masih lagi berdegil dan tidak mematuhi undang-
undang jalan raya justeru kadar kemalangan ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa.
Oleh itu saya berharap agar setiap yang hadir ini menyedari pentingnya kita berhemah semasa
memandu di jalan raya. Saya juga berharap perkara ini dapat disebarkan kepada orang lain yang
tidak menghadiri majlis ini.

Sebelum saya mengundurkan diri besarlah harapan saya agar kemalangan jalan raya di
negara ini dapat dikurangkan. Sekian, terima kasih.

You might also like