You are on page 1of 7

Usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara

kita
Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini
seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk
dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada
pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk
mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata.
Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan
sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera
Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar
semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.
Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat
patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan
memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah
lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata
peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya ”. Sekiranya semangat patriotik
dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan
dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan
masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan
memburukkan nama negara.
Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan
penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi
pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati
semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan
perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan
dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat
patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka
menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.
Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui
media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan
kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan
masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media
elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan
meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain,
televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan
semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara.
Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”,
“Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.
Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang
bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat
agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan
juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada
peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan
Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik
dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh
masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut
bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan
antara kaum di negara kita.
Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-
pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman
politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka
yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan
menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan
titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh
hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan
dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah
pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi
makna lagi kepada generasi yang akan datang.
Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan
sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk
melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang
berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat
patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar
mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju
yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah
mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh
itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar
semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.

KEPENTINGAN MEMULIHARA BANGUNAN BERSEJARAH


Pembangunan di negara kita semakin hari semakin maju dan pesat seiring dengan nama
Malaysia yang kini lebih dikenali sebagai negara yang sedang membangun. Banyak kilang
perindustrian, pusat beli-belah dan rumah dibina yang menggunakan ruang yang luas sehingga
memakan tanah yang berhektar-hektar. Antara isu yang hangat yang telah dibincangkan di
kedai kopi sehingga sidang di Dewan Parlimen mutakhir ini ialah isu meruntuhkan bangunan
bersejarah tetapi perbincangan itu telah membuat keputusan muktamad untuk tidak
meruntuhkan bangunan tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat juga negara-negara yang
telah merobohkan bangunan bersejarah seperti di Surabaya, Jakarta. Mengapakah ada kejadian
seperti ini berlaku? Adakah perlu bangunan tersebut diruntuhkan? Tepuk dada tanyalah selera.
Sebenarnya, terdapat pelbagai kepentingannya kita perlu mengekalkan bangunan bersejarah
yang terdapat di negara kita.

Satu daripada kepentingan bangunan bersejarah perlu dikekalkan ialah bangunan bersejarah
atau monumen dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh kepada sesuatu era atau peristiwa
sejarah yang telah berlaku. Monumen, mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat
bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang atau peristiwa penting.
Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 50 tahun, kesan yang ditinggalkan
oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga
dan bukanlah untuk dimusnahkan. Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk
generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan
bersejarah, kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dibukukan oleh
penulis-penulis yang terkenal merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah cerita-cerita
dongeng, mitos atau lagenda. Sebagai contohnya, zaman kegemilangan bandar pelabuhan
Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta
de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis,
Masjid Kling, Gereja St.George di Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-
detik sejarah negara yang pernah suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat membuktikan
berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir
abad ke-18. Tegasnya, usaha meruntuhkan bangunan bersejarah dan monuman negara tidak
wajar dilaksanakan.

Pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bangunan bersejarah perlu diruntuhkan
adalah tidak berasas kerana bangunan bersejarah dan monumen lama dapat memberikan
teladan dan iktibar kepada masyarakat terutamanya remaja kini yang mempunyai semangat
patriotisme yang semakin menipis. Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang hanya
menggambarkan sejarah hitam negara namun jika kita menghayati sejarah di sebalik bangunan
tersebut semula serta mengambil pengajaran daripada peristiwa yang telah berlaku, maka kita
dapat terus mara ke hadapan tanpa mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh
masyarakat terdahulu. Sebagai contohnya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah
kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki
Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana terdapatnya masalah perpaduan,
kelemahan kepemimpinan dan juga kelemahan tentera yang mengawal Melaka. Negara kita
juga mampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain sekiranya kita
tidak mengambil mudah dan mengambil iktibar daripada sejarah negara. Oleh itu, bangunan
bersejarah di negara kita sememangnya tidak perlu diruntuhkan kerana yang baik dijadikan
teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Bukan itu sahaja, dari sudut pelancongan pula, bangunan bersejarah dan monumen dapat
menarik pelancong baik pelancong tempatan mahupun pelancong dari luar negara untuk
melawat ke negara kita. Bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong
bercuti di negara kita selain menyaksikan Menara Berkembar Petronas. Oleh itu, bangunan
bersejarah tidak perlu diruntuhkan sebaliknya dipulihara dan diubah suai. Sebagai contohnya,
bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat
pelancongan. Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara
Eropah seperti di England, Perancis, Itali, dan Belanda. Bandar-bandar bersejarah seperti York,
Bath, Oxford, dan Cambridge di England telah berjaya melindungi sebahagian besar daripada
bangunan bersejarah mereka dengan baik. Usaha seperti ini dapat menarik lebih ramai
pelancong dari seluruh dunia dan dapat menjadi sumber pendapatan negara. Di samping itu,
pelancong juga dapat melawat bangunan bersejarah dan melihat monumen-monumen yang
terdapat di sekitar bangunan selain menikmati keindahan alam semula jadi negara kita dan
artifak-artifak di dalam muzium dan galeri seni lukis. Oleh itu, bangunan dan monumen ini
secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.

Di samping itu, bangunan dan monumen lama juga memainkan peranan yang penting dalam
pendidikan di negara kita khususnya para pelajar dan penyelidik. Pelbagai ilmu yang dapat
dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Sebagai contohnya,
dengan terdapatnya bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid
Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui
bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan
kebudayaan masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja
Selangor dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya
kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19.
Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan air Horse yang telah dibina di persimpangan
Jalan Raja dan Jalan Raja Laut pada tahun 1897. Pancutan air Horse dibina sebagai
memperingati seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper. Pemuliharaan
dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah persis peribahasa, yakni “tak kenal maka
tak cinta”. Oleh itu, bangunan bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang
tersendiri.

Secara tuntas, bangunan bersejarah amat penting dalam pembentukan minda generasi muda
negara terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara. Bangunan dan
monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu
generasi ke satu generasi. Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan
lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. Hal ini akan membentuk
sebuah masyarakat yang sensitif terhadap sebarang perobohan atau pemusnahan bangunan
bersejarah. Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah
sebagai bangunan yang perlu dikekalkan. Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang
merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan tindakan
undang-undang.

Langkah-langkah untuk Menggalakkan Orang Ramai Menggunakan Pengangkutan Awam


“Zaman beralih, musim bertukar”, selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun yang telah
lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali.
Untuk menyesuaikan diri dalam mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah
mengalami pelbagai anjakan paradigma, kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang
mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian
pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi,
Sistem Transit Tren Ringan (LRT), Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan monorel. Jikalau bukan
kita yang sebagai warganegara Malaysia menyokong pengangkutan awam, siapakah lagi
menyokong? Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan drastik hendaklah diimplementasi
untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.

Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak rakyat mengatakan bahawa
kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan
telah mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke tempat destinasi dengan
penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem
tiket bersepadu yang dapat menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan
awam. Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk
menguruskan pengangkutan di negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses
perlaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam peringkat kajian. Selain itu, kerajaan
juga harus mengambil contoh negara barat seperti Melbourne, di negara Melborune
penumpang hanya perlu membeli satu tiket untuk menaiki kereta api dan bas. Seperti kata
peribahasa serampang dua mata, pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang
tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur pejalanan laluan. Jikalau sistem tiket
bersepadu direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah
diramalkan oleh pengendali.

Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam
adalah dengan meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau
bas awam haruslah dipertingkatkan bagi memenuhi kehendak rakyat. Selain itu, KTM negara
kita haruslah mencontohi perkhidmatan kereta api di Jepun yang menggunakan kuasa elektrik
seprti shinkansen (bullet train). Dengan menggunakan lokomotif kuasa elektrik, kekerapan KTM
di negara kita pasti dapat meningkatkan. Kekerapan pengangkutan awam adalah salah satu
unsur untuk menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau
menunggang motosikal. Dengan kekerapan pengangkutan yang tinggi, penumpang tidak akan
membazirkan masa untuk menunggu komuter. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan
keseluruhan. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kekurangan dalam
kekerapan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan
mereka kurang keyakinan terhadap pengakutan awam. Lantaran itu, cara ini haruslah
dilaksanakan untuk mendapat balik keyakinan rakyat terhadap pengangkutan awam.

Langkah memasang televisyen dalam bas awam yang dijalankan oleh kerajaan mendapat
banyak komen yang baik dan diberi pujian kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat
dalam perjalanan mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton siaran televisyen
ketika berada dalam perjalanan mereka. Prakasa ini haruslah diperluaskan dalam pengangkutan
awam seperti Komuter dan LRT untuk menarik lebih banyak penumpang untuk menaiki
pengangkutan awam. Selain menghiburkan para penumpang ketika dalam perjalanan, siaran
televisyen juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat
dengan menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan mengimbas kembali detik-detik
sejarah negara dan sebagainya. Selain rancangan sebegini, program lain seperti berita, laporan
cuaca, perkembangan sukan, maklumat kewangan juga harus disiarkan supaya rakyat dapat
mendapat informasi yang terbaharu dan meningkatkan pengetahuan dalam perjalanan mereka.
Hal ini pasti dapat meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam kerana langkah ini
telah memenuhi tabiat rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti
tinggi dengan banyaran yang minimum. Manisfestasinya, langkah memasang televisyen
memang dapat menarik perhatian para penumpang.

Seperti peribahasa Melayu yang berbunyi “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, pendidikan
sejak kecil juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki
pengangkutan awam. Sekolah dicadangkan supaya memberi pelajaran tentang kebaikan-
kebaikan menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan
awam supaya dapat menanam konsep yang mendalam kepada fikiran pelajar supaya menaiki
perkhidmatan awam lebih baik daripada menggunakan kenderaan sendiri. Usaha ini bukan
sahaja diberi kepada pelajar yang kecil, tetapi juga harus diberi kepada mereka yang dewasa
untuk mengubah imej buruk yang mendalam di dalam hati mereka. Melalui pendidikan, kita
dapat menghasilkan golongan yang bergantung pada perkhidmatan kereta api sebagai
pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat meningkatkan bilangan penumpang yang menaiki
pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki kenderaan sendiri, tetapi mereka tetap akan
menggunakan perkhidmatan awam seperti kereta api sebagai pengangkutan utama mereka jika
konsep kebaikan pengangkutan awam ditanam mendalam kepada mereka.

Sebenarnya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan seperti mengurangkan jarak


perjalanan, menghematkan masa, mempercepat operasi penghantaran barangan ke sesuatu
destinasi dan sebagainya kepada kita. Akhir kata, pemodenan sistem perhubungan darat
merupakan inovasi yang penting ke arah mewujudkan mobilisasi sumber tenaga manuasia pada
tahap yang paling optimum. Lantaran itu, kita harus menyokong usaha-usaha yang diambil oleh
kerajaan dalam meningkatkan penumpang menaiki pengangkutan awam.

You might also like