You are on page 1of 1

Anda telah dipilih menyertai perbahasan di sekolah anda.

Tajuk perbahasan ialah Belajar di Luar Negara Lebih Baik Daripada Belajar di Negara Sendiri. Sediakan hujah-hujah anda. Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, barisan pencadang, dan hadirin sekalian. Sebagai pembangkang pertama, saya ingin menegaskan bahawa belajar di negara sendiri lebih baik daripada belajar di luar negara. Hadirin yang saya hormati, Memang tidak dapat dinafikan bahawa ilmu amat penting kepada kita. Ilmu umpama pelita hidup yang sentiasa menerangi kita kerana tanpa ilmu gelaplah hidup kita. Oleh hal yang demikian, kita mestilah menuntut ilmu sejak kecil lagi. Dalam era letupan pengetahuan ini, kita harus mencuba sedaya upaya untuk belajar sehingga menara gading. Sesetengah orang menganggap bahawa untuk menerima pendidikan peringkat tinggi, kita perlu pergi ke luar negara kerana taraf pendidikan di luar negara jauh lebih tinggi daripada taraf pendidikan di tanah air. Anggapan ini sebenarnya hanyalah prasangka dan tidak berasas. Pada hakikatnya, beberapa tahun belakangan ini, bilangan penuntut dari luar negara yang menuntut di institusi pengajian tinggi tempatan semakin meningkat bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Hal ini membuktikan bahawa taraf pendidikan di tanah air boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah jika dibandingkan dengan luar negara. Pada pendapat saya, melepaskan peluang untuk menuntut ilmu di tanah air dan membelanjakan wang beberapa kali ganda banyaknya untuk menuntut ilmu di luar negara merupakan suatu pembaziran. Perbelanjaan yang besar ini merupakan beban yang berat bagi ibu bapa. Tergamakkah kita membebani ibu bapa semata-mata kerana kepentingan diri sendiri? Hadirin yang dihormati, Jika kita belajar di luar negera, kita terpaksa berpisah dengan ibu bapa dan anggota keluarga yang lain. Kita terpaksa hidup bersendirian di perantauan. Kemesraan bersama-sama dengan anggota keluarga terpaksa kita tinggalkan untuk tempoh beberapa tahun. Jiwa kita akan senantiasa diselubungi oleh perasaan rindu akan keluarga. Selain itu, kalau kita belajar di luar negara, kita akan mengalami kejutan budaya. Hal ini dikatakan demikian kerana kebudayaan luar negera jauh berbeza daripada kebudayaan tempatan. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Untuk membolehkan kita diterima oleh masyarakat tempat kita menuntut ilmu, kita mesti menyesuaikan diri dengan kebudayaan tempat tersebut. Apabila kita gagal menyesuaikan diri, emosi kita akan terganggu dan sebagai akibatnya kita tidak dapat memberikan tumpuan kepada pelajaran kita. Untuk membolehkan diri kita diterima oleh masyarakat tempat kita belajar, kita terpaksa mengetepikan nilai-nilai masyarakat kita dan mengamalkan nilai-nilai masyarakat yang berkenaan. Dalam keadaan begini, kita akan terdedah kepada gejala yang tidak sihat seperti pergaulan yang terlalu bebas antara lelaki dengan perempuan, sikap materialistik, budaya kuning dan sebagainya. Hadirin yang dihormati, Satu lagi kesan negatif yang timbul jika kita belajar di luar negera ialah kerugian dari segi wang pertukaran asing. Banyak wang negara kita akan mengalir ke luar negara. Hal ini akan merugikan kedudukan ekonomi negara. Sebelum mengakhiri hujah-hujah saya, sekali lagi saya menegaskan bahawa belajar di negara sendiri adalah lebih baik daripada belajar di luar negeri. Sekian, terima kasih.

You might also like