You are on page 1of 14

Perkembangan Sosio Ekonomi Negara Bermula Dari Era Kesultanan Melayu Melaka, Era Penjajahan Dan Era Selepas

Merdeka Hingga Masa Kini.

Pengenalan Sosio-ekonomi merujuk Kamus Dewan edisi keempat, berkaitan dengan, melibatkan unsur-unsur atau faktor-faktor kemasyarakatan dan ekonomi. Marshall yang dipetik oleh H.S Khera (dalam Haron Daud, 1993) berpendapat sosio-ekonomi adalah satu kajian manusia dalam pekerjaan sehari-hari; perbuatan-perbuatan dalam masyarakat yang berkait rapat dengan cara memenuhkan kehendak-kehendak material dan penggunaannya. Sejarah kewujudan negara Malaysia sering dikaitkan dengan bermulanya sejarah Kesultanan Melayu Melaka (Mardiana Nordin, 2006). Sejarah Melayu (edisi Shellaber, dalam Haron daud, 1993) mencatatkan masyarakat ketika itu banyak menjalankan kegiatan ekonomi sara diri seperti pertanian, bertanam padi (perhumaan), berburu, dan menangkap ikan dan memungut hasil hutan seperti damar, rotan. Kegiatan ekonomi sara diri yang digambarkan adalah bergantung kepada sungai, hutan, pinggir laut dan tanah pertanian. Malah kegiatan tersebut masih berterusan hingga kini cuma cara dan matlamat yang berbeza. Kegiatan ekonomi perdagangan pula telah bermula sejak kemunculan Melaka sebagai bandar pelabuhan dagang dalam abad ke lima belas. Ketika itu segala perdagangan tertumpu ke Melaka. Raja Melaka yang kedua iaitu Mahkota Iskandar Shah telah berjaya menjadikan Melaka menjadi sebuah negeri yang kaya dari sudut ekonomi dan menjadi tumpuan pedagang terutama dari Tanah Arab, Parsi dan India (Zainal Abidin, 1992). Senario ini mengubah aktiviti masyarakat melayu Melaka kepada kegiatan ekonomi perdagangan. Kejatuhan Melaka pada tahun 1511 akibat serangan Portugis telah menyaksikan era Peperangan Tiga Penjuru antara Portugis, Johor dan Acheh yang bersaing untuk menguasai perdagangan di Kepulauan Melayu. Johor yang dibantu Belanda telah berjaya mengusir Portugis dari Melaka namun, pada tahun 1874 bermulalah campur tangan Inggeris di Tanah Melayu. Antara faktor utama kedatangan Inggeris adalah kerana kekayaan hasil bumi di negeri-negeri Melayu seperti hasil galian bijih timah, emas, bijih besi dan arang batu (Muslimin Fadzil, 2010). Migrasi buruh pendatang dari China dan India yang dibawa oleh British telah mewujudkan kegiatan ekonomi kormersial di sektor perlombongan, perladangan, perkilangan dan perdagangan (INTAN, 1991). Namun orang melayu masih meneruskan kegiatan ekonomi sara diri di kawasan persisir pantai dan muara serta lembah

sungai kecuali golongan pembesar istana yang menguasai sumber ekonomi seperti tanah, buruh, modal pelaburan, perdagangan dan pungutan cukai. Pada zaman colonial ini kedudukan ekonomi penduduk bumiputera tidak mencapai kemajuan malahan semakin mundur disebabkan dasar utama British yang merugikan penduduk bumiputera.

Pengenalan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka merupakan sebuah kerajaan yang tersohor dan cukup sinonim dengan sejarah Malaysia. Apabila membincangkan mengenai sejarah

Malaysia, para sarjana tidak akan terlepas daripada membincangkan soal Kesultanan Melayu Melaka kerana kebanyakan daripada apa yang dilalui oleh Melaka cuba ditafsirkan dalam konteks Malaysia kini. Berdasarkan Sejarah Melayu, kerajaan Kesultanan Melayu Melaka telah dibuka oleh Parameswara atau Raja Iskandar Shah pada awal kurun ke-15, iaitu sekitar tahun 1400 Masihi. Sewaktu kedatangan Parameswara ke Melaka, baginda diterima baik oleh masyarakat pada waktu itu yang terdiri daripada orang laut, orang melayu dan orang asli yang kebanyakannya nelayan. Parameswara akhirnya membuat keputusan untuk menetap di kampung tersebut memandangkan kedudukannya yang istimewa dan berhampiran dengan laut. Apabila membuka petempatan di Melaka, Parameswara mula menyediakan

kelengkapan perahu dan pelabuhan yang membolehkan Melaka muncul sebagai sebuah tapak perdagangan antarabangsa.

(a) Sosio-ekonomi era Kesultanan Melayu Melaka Menurut Kamus Dewan, Sosio-ekonomi adalah berkaitan dengan atau melibatkan unsur-unsur atau faktor kemasyarakatan dan ekonomi. Kegemilangan era Kesultanan

Melayu Melaka banyak dipengaruhi oleh faktor geopolitik iaitu menurut Kamus Dewan lagi ianya merupakan kajian tentang kesan faktor-faktor geografi terhadap politik (terutama politik antarabangsa). Parameswara merupakan seorang pemimpin yang bijak dan

berwawasan. Beliau berpandangan jauh dan cekap dalam merancang pembangunan dan kemajuan Melaka sehingga menjadi sebuah pelabuhan yang dapat menarik ramai pedagang asing yang berdagang di situ. Menjelang pertengahan abad ke -15, Melaka muncul sebagai sebuah pusat perdagangan antarabangsa. Kegemilangan Melaka sebagai pusat perdagangan jelas dinyatakan dalam buku Sejarah Melayu melalui pernyataan yang berbunyi: Maka segala dagang atas angin dan bawah angin sekalian datang ke Melaka, terlalu ramai Bandar Melaka pada zaman itu.

Dari segi georafi, Melaka terletak di kawasan strategik, iaitu di tengah-tengah jalan perdagangan di antara timur dan barat dan menjadi tempat persinggahan para pedagang, terutama dari Arab, Parsi, India dan Negara China. Melaka menjadi tempat persinggahan yang selamat dan menguntungkan bagi mereka, kerana pelayaran mereka dari Barat ke Timur atau sebaliknya sangatlah bergantung pada angin monson di Lautan Hindi ataupun di Laut China Selatan. Pelabuhan Melaka juga dilindungi oleh Pulau Sumatera daripada tiupan angin Monson Barat Daya dan Banjaran Titiwangsa daripada angin Monson Timur Laut. Keadaan ini membolehkan kapal dagang datang dan berlabuh di pelabuhan Melaka dengan selamat. Pedatang asing datang dan pulang mengikut angin monson. Pedagang dari timur datang ke Melaka mengikut angin Monson Timur Laut manakala pedagang dari barat datang dengan mengikut angin Monson Barat Daya. Ketika menunggu peralihan angin monson, pedagang akan menjalankan kegiatan perdagangan di Melaka. Dengan itu, dalam sedikit masa sahaja, Melaka telah berkembang menjadi sebuah pusat perdagangan yang sangat penting. Dengan itu juga pedagang-pedagang yang datang sama ada dari barat, timur ataupun Gugusan Kepulauan Melayu boleh mendapatkan barang dagangan yang mereka perlukan di Melaka sahaja. Mereka tidak perlu lagi pergi ke tempat lain u tuk mendapatkan barangbarang keperluan tersebut. Melaka telah menjadi tumpuan dunia dan menjadi salah sebuah negeri yang mewah dan kaya. Seperti pedagang-pedagang luar negeri, pedagang tempatan juga turut bergiat dalam perdagangan. Antara barangan tempatan yang didagangkan termasuklah emas, timah, kayukayan, bahan-bahan ubatan daripada akar, kulit dan daun kayu, ukiran-ukiran kayu dan damar. Di samping itu, buah-buahan tempatan seperti durian, cempedak, langsat, duku, pulasan dan manggis merupakan barang dagangan yang sangat digemari oleh pedagang luar negeri. Faktor perairannya yang dalam juga memudahkan kapal-kapal dagang yang besar berlabuh dengan selamat walaupun semasa air surut. Bentuk muka bumi kawasan sekitar perlabuhan yang berbukit-bukau juga sesuai dijadikan sebagai benteng pertahanan, iaitu tempat strategik untuk memerhati dan mengawasi keselamatan Melaka. Pesisir pantai pula ditumbuhi pokok bakau dan api-api yang dapat mengelak daripada hakisan. Pemerintah Melaka juga bijak merancang dan gigih berusaha untuk memajukan Melaka melalui kegiatan perdagangan. Pedagang-pedagang Melaka juga melibatkan diri dalam kegiatan perdagangan yang sangat menguntungkan itu. Mereka itu bukan sahaja terdiri daripada orang biasa, malah pembesar-pembesar negara juga turut mengambil bahagian. Di samping menjadi pemborong dan pengimport barang-barang dari luar dan dalam

negeri, mereka juga menyediakan berbagai-bagai perkhidmatan yang diperlukan oleh pedagang-pedagang dari luar negeri. Umpamanya , mereka menyediakan gudang-gudang untuk disewakan bagi menyimpan barang dagangan. Mereka juga menyediakan tempat

penginapan bagi pedagang yang menginap di Melaka untuk menguruskan perniagaan mereka selain menyediakan perkhidmatan mahir seperti membaiki kapal, jahit-menjahit dan bungkusmembungkus. Kemudahan pengangkutan juga disediakan seperti jong, lancar, gajah, perahu dan kapal untuk kemudahan pedagang di samping menyediakan bekalan air bersih dan makanan. Selain itu, mereka juga bekerja sebagai kakitangan buruh di pelabuhan Melaka yang sentiasa sibuk itu. Terdapat di antara mereka yang membuka kedai runcit dan gerai. Kaum wanita juga turut memainkan peranan yang aktif dalam kegiatan perdagangan di Melaka di Melaka. Ramai di antara yang mengendalikan kedai runcit dan gerai itu terdiri daripada kaum wanita. Ini tidaklah menghairankan kerana lapangan perdagangan itu

memang terbuka luas bagi mereka yang menyertainya, tambahan lagi agama Islam tidak menghalang kaum wanita Melaka bergiat aktif dalam bidang tersebut. Selain kegiatan ekonomi yang berupa perniagaan dan perdagangan, kegiatan pertanian dan penternakan juga dijalankan. Umpamanya dari segi penternakan, mereka memelihara binatang ternakan seperti lembu, kambing, ayam dan itik. Dibidang pertanian pula, mereka menanam pokok buah-buahan seperti durian, langsat, duku, manggis, pisang serta menanam sayur-sayuran dan padi. Walau bagaimanapun, Melaka mengimport sebahagian besar bahan makanan uatamanya iaitu beras dari negara jiran seperti Pulau Jawa, Siam dan Burma. Oleh kerana itu, hasil pertanian Melaka tidaklah begitu penting jika dibandingkan dengan hasil yang didapati daripada kegiatan perdagangan dan perniagaan. Sebahagian besar daripada hasil itu adalah untuk kegunaan tempatan dan bagi memenuhi keperluan seharian. Kebijaksanaan pemerintah Melaka semakin teserlah dengan menjalin hubungan diplomatik dengan kuasa besar seperti Negara China yang membebaskan Melaka daripada ancaman musuh seperti Siam dan Majapahit. Selain itu,, Melaka mempunyai ciri

keselamatan dan ketenteraan yang lengkap, terutama dengan penglibatan orang laut dan tokoh-tokoh kerajaan seperti bendahara, laksamana dann syahbandar. Kewujudan sistem undang-undang yang baik dan tersusun, iaitu Hukum Kanun Kanun Melaka dan Undang Undang Laut Melaka yang berlandaskan undang-undang Islam banyak membantu kerajaan mengekalkan keamanannya. Pelaksanaan undang-undang secara sistematik ini telah menarik ramai pedagang untuk berdagang kerana keamanan dan kestabilan Melaka. Melaka juga mempunyai sistem perbendaharaan yang tersusun seperti sistem cukai dan jual belinya yang mana barang dagangan yang dibawa masuk melalui pelabuhan Melaka

dikenakan kadar bayaran cukai yang tertentu. Umpamanya, kapal dagangan yangdatang dari Barat seperti dari Tanah Arab, India dan Pegu dikehendaki membayar cukai sebanyak enam peratus daripada jumlah nilai barang dagangan mereka. Pedagang-pedagang dari Timur pula, iaitu dari China, Annam Kemboja, Pulau Ryukyu, Malukku dan Pulau Jawa tidak dikenakan sebarang cukai tetapi hanya perlu memberi persembahan atau hadiah kepada Sultan,

Temenggong atau Syahbandar. Pedagang Melaka pula dikehendaki membayar cukai ke atas barang dagangan mereka sebanyak tiga peratus. Selain cukai-cukai yang dikenakan ke atas barang dagangan itu, cukai juga dikenakan ke atas harta yang dijual. Umpamanya, seseorang yang menjualkan tanah atau rumahnya, hendaklah membayar sedikit cukai kepada kerajaan. Mereka juga harus mendapat kebenaran daripada sultan sebelum boleh menjual hartanya itu. Hasil kutipan cukai itu digunakan untuk membiayai pertahanan empayar Melaka dan juga untuk meluas serta memesatkan lagi kegiatan ekonomi serta beberapa kegiatan politik, sosial dan agama Islam seperti membantu golongan miskin. Masyarakat Melaka yang mementingkan perdagangan, memang memerlukan satu cara yang lebih rapi bagi menetapkan nilai barang dagangan. Dengan itu mata wang pula , diperkenalkan. Proses jual beli di Melaka menggunakan mata wang dalam bentuk emas, perak dan timah. Di samping itu penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan

(lingua frnca) membolehkan proses perdagaangan berjalan lancar. Melaka telah muncul sebagai pusat penyebaran agama Islam di Gugusan Kepulauan Melayu. Melaka

melaksanakan dasar peluasan kuasa dan telah berjaya menakluk Pahang, Terengganu, Selangor, Johor, Kedah , Perak, Pattani, Pasai, Aru, Rokan, Siak, kampar, Inderagiri dan Jambi. Demikianlah kejayaan Melaka membentuk sebuah empayar yang luas telah menyebabkan ianya muncul sebagai kuasa teragung di Selat Melaka dan penyambung kepada keagungan Srivijaya. Kejayaan ini adalah disebabkan oleh kedudukkan geopolitiknya yang terletak di tengah jalan perdaganngan antara timur dan barat beserta pemimpin yang bijak dan berwawasan yang sentiasa mendapat sokongan daripada rakyat dan tentera. Melaka bukan sahaja dapat menguasai politik jajahan takluknya bahkan turut memajukan ekonomi kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, akhirnya Melaka jatuh juga ke tangan Portugis pada tahun 1511 di bawah angkatan Portugis yang diketuai oleh Alfonso de Albuquerque.

(b) Sosio-ekonomi era penjajah Tanah Melayu mula mengalami pengaruh pendudukan Barat apabila kerajaan Melayu Melaka ditewaskan oleh Portugis pada tahun 1511. Sememangnya bermula abad ke-15 dan

ke-16, Portugis dan Sepanyol adalah antara kuasa Barat yang paling menonjol dan berpengaruh dalam usaha meluaskan kekuasaan maasing-masing di Alam Melayu. Bermula dari tahun 1511 hinggalah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, catatan masa menunjukkan negara ini telah diduduki kuasa penjajah selama 446 tahun dimulai dengan Portugis (1511-1641), Belanda (1641-1824) dan British (1824-1957). Selain itu, negara juga pernah diduduki Jepun (1941-1945). Tambahan pula negeri-negeri Melayu utara pernah dinaungi oleh kerajaan Siam. Kesimpulannya , Tanah Melayu mempunyai pengalaman

penjajahan yang cukup pahit kerana pernah dijajah beberapa kuasa asing seperti Portugis, Belanda , Inggeris dan Jepun tetapi pengalaman yang paling mencabar ialah apabila Tanah Melayu dikuasai oleh British yang membawa pengaruh besar dalam sosiobudaya, ekonomi dan politik Tanah Melayu. Kesan utama kepada Tanah Melayu ialah kewujudan masyarakat majmuk di Tanah Melayu yang terdiri daripada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India. Orang Melayu merupakan pribumi Tanah Melayu yang bergerak dari sekitar

Kepulauan Melayu termasuk Indonesia, Selatan Thailand, Indo-China dan Mindanao. Selepas penjajahan Inggeris, pada abad ke-19, penghijrahan masuk orang Melayu dari Indonesia semakin meningkat. Mereka diperlukan untuk bekerja di sektor pertanian padi, kopi, bijih timah dan getah tetapi tidak kekal kerana dasar diskriminasi penjajah Inggeris. Orang Melayu amat berpegang teguh dengan ajaran Islam dan setiap pertempatan atau kampung mereka mesti terdapat surau atau masjid. Malangnya, orang Melayu tersisih dari arus pembangunan perdana kerana pertempatan mereka yang di pinggiran, tiada infrastruktur moden, tiada pertanian komersial, hidup sara diri dan tidak berpendapatan tetap. Penghijrahan masuk Orang Cina beramai-ramai bermula pada abad ke-19, terutama ke negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Mereka datang dari wilayahwilayah selatan China seperti Hainan, Kwangsi, Kwangtung dan Fukien. Di negara China terdapat kebuluran, politik yang tidak stabil, perang saudara, kemiskinan, kebuluran dan pelbagi masalah menyebabkan mereka datang ke Tanah Melayu melalui Sistem Tiket Kredit, persendirian dan Sistem Kangchu. Kemasukan orang India melalui sistem buruh kontrak dan Sistem Kangani. Sebahagian mereka merupakan banduan dan penjenayah yang dibawa

masuk oleh British untuk membina bangunan awam, jalan raya dan jalan keretapi. Dasar pecah dan perintah British telah menyebabkan ketiga-tiga kaum itu hidup terpisah antara satu sama lain. Melalui dasar pecah dan perintah, British telah menentukan peranan setiap kaum untuk memastikan setiap kaum tidak berinteraksi antara satu sama lain. Untuk memudahkan sistem pentadbirannya, British tidak mahu orang Melayu, Cina dan India bersatu padu kerana bimbang akan bangkit menentang British. Jurang hubungan antara orang Melayu, Cina dan

India bertambah luas kerana kerajaan British telah menetapkan tempat tinggal dan kegiatan ekonomi masing-masing. Orang Melayu dibiarkan tinggal di kampung menjadi petani dan nelayan. Orang India pula ditempatkan di ladang getah dan bekerja sebagai buruh, manakala orang Cina pula mendiami kawasan lombong bijih timah yang kemudiannya berkembang menjadi pekan dan bandar. Kesannya, wujud masyarakat majmuk iaitu masyarakat yang hidup berkelompok tetapi terasing antara satu sama lain dari segi bahasa, budaya, agama, pekerjaan dan tempat tinggal yang menyulitkan proses perpaduan nasional.

Ketidakseimbangan ini telah mengakibatkan pelbagai insiden negatif hingga pihak kerajaan terpaksa menggubal pelbagai undang-undang demi menjamin kesejahteraan dan keadilan kepada semua rakyat. British telah memberikan penekanan terhadap sektor pertanian berasaskan eksport. Pertanian komersial dianggap sebagai penyumbang sumber pendapatan kerajaan British di Tanah Melayu. Anatara tanaman komersial yang digalakkan oleh pihak British ialah ubi kayu, tebu, lada hitam, gambir, tembakau dan kopi misalnya pada zaman pemerintahan Maharaja Abu Bakar, penanaman gambir dan lada hitam diusahakan secara besar besaran melalui Sistem Kangcu di Johor. Para pemodal Eropah dan Cina mula menguasai pertanian komersial kerana mereka mempunyai modal, teknologi, konsesi tanah yang luas dan tempoh pajakan yang panjang. Pada abad ke-19, British hanya memberi tumpuan kepada tanaman kopi dan tembakau maakala pemodal dari china mengusahakan gambir, lada hitam dan ubi kayu. Pada abad ke-20 pula pemodal British mula mengusahakan getah untuk tujuan eksport. Perkembangan pelbagai perindustrian di Eropah terutamanya industri automotif telah meningkatkan permintaan terhadap getah. Perkembangan industri pembuatan barangan

pengguna seperti kasut, tayar basikal dan peralatan elektrik secara langsung menambahkan permintaan terhadap getah. Kemasukan modal asing dan pembukaan syarikat menyebabkan pembukaan lading getah yang banyak. Keadaan ini mendorong perkembangan perusahaan getah sehingga menjadi perusahaan yang penting di Tanah Melayu. Tidak ketinggalan juga sektor perlombongan juga merupakan penyumbang utama kepada ekonomi Tanah Melayu pada zaman British di mana Tanah Melayu merupakan pengeluar bijih timah terbesar di dunia. Sebelum perag dunia Kedua, antara 30-40 peratus jumalah pengeluaran bijih timah dunia telah dibekalkan oleh Tanah Melayu. Hampir

keseluruhan bijih timahnya dieksport ke pasaran dunia. Perlombongan bijih timah hanya merupakan pekerjaan sambilan orang melayu yang dilakukan pada waktu lapang. Mereka lebih menumpukan kepada kerja-kerja pertanian. Cara sebegini hanya dapat mengeluarkan hasil yang sedikit dan tidak sesuai apabila permintaan terhadap bijih timah meningkat. Oleh

yang demikian pembesar-pembesar melayu mula mengupah buruh cina untuk mengusahakan lombong-lombong bijih timah mereka, seperti yang dilakukan oleh Long Jaafar di Larut dan Raja Jumaat di Lukut. Pembesar-pembesar Melayu mendapatkan modal untuk

mengusahakan lombong-lombong itu dengan meminjam wang daripada saudagar Cina di Negeri-Negeri Selat untuk mengusahakan lombong mereka di negeri-negeri Melayu. Dengan terjumpanya longgokan bijih timah yang banyak di negeri-negeri Melayu, terutama sekali di Perak telah menyebabkan perusahaan perlombongan bijih timah berkembang degan pesatnya. Sistem Pendidikan yang wujud pada zaman penjajahan ialah sistem pendidikan vernakular iaitu sistem pendidikan yang berbeza berdasarkan tiga kaum di mana sekolah sekolah Melayu hanya didirikan hanya pada peringkat sekolah rendah. Kurikulum yang disediakan adalah terhad dan bersesuaian dengan cita -cita British untuk menjadikan anak Melayu sebagai petani yang lebih baik daripada bapa mereka. Pendidikan Tamil disediakan oleh kerajaan British di kawasan bandar. Pihak pengurusan ladang akan membiayai sekolah Tamil di kawasan ladang yang mana sukatan pelajaran, buku dan tenaga pengajar dari India digunakan serta bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran. Sekolah Cina pula dibiayai oleh saudagar cina daripada negara China. Penggunaan dialek masing-masing sebagai bahasa pengantar yang mana guru, buku dan sukatan pelajaran datang dari China. Sekolah Inggeris pula dikendalikan oleh mubaligh Kristian dan badan sukarela yang mana sekolah Inggeris dianggap sebagai sekolah elit kerana lokasinya yang terletak di bandar, pelajarnya terdiri daripada orang atasan manakala kurikulumnya disusun m engikut sistem pendidikan di England. Pada pertengahan abad ke -19, wujud dua sistem ekonomi di Tanah Melayu iaitu ekonomi sara diri yang dijalankan oleh penduduk tempatan untuk memenuhi keperluan sendiri dan ekonomi komersial yang berorientasikan eksport seperti getah dan bijih timah yang dijalankan dan dikuasai oleh pengusaha dan pelabur-pelabur asing. Perkembangan pesat kegiatan perlombongan dan pertanian menyebabkan wujudnya banyak kemudahan infrastruktur seperti sistem pengangkutan iaitu jalan raya dan jalan keretapi di Tanah Melayu untuk mempercepatkan pengangkutan bijih timah dari kawasan perlombongan ke pelabuhan, menghubungkan kawasan perlombongan dengan kawasan pertanian, menghubungkan bandar-bandar dengan pelabuhan dan memudahkan British menjalankan pentadbiran di Negeri-Negeri Melayu. Pembinaan jalan raya dan landasan keretapi tertumpu di kawasan yang mempunyai kepentingan ekonomi British. Pada tahun 1885 landasan keretapi yang pertama dibina daripada Taiping ke Port Weld yang menjadi pusat perlombongan di kawasan Larut. Pada tahun 1886 landasan keretapi antara klang dengan Kuala Lumpur Lumpur telah

dibina yang memberi kemudahan kepada kawasan lombong di Lembah Klang. Pada tahun 1891 landasan keretapi antara Port Dickson dengan Seremban telah dibina dan pada tahun 1895 sebuah landasan keretapi telah menghubungkan kawasan Pelabuhan Teluk Intan dengan Ipoh dan Batu Gajah. Ini memberi kemudahan kepada kawasan perlombongan di Lembah Kinta. Peringkat kedua dalam perkembangan perkhidmatan keretapi Tanah Melayu bermula pada tahun 1896 sehingga tahun 1909 dengan tertubuhnya Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ini disusuli denagn usaha menyatukan dan menyambung landasan keretapi yang sedia ada di bawah satu pentadbiran dan pengurusan. Menjelang tahun 1937 telah siap dibina sistem keretapi yang menghubungkan pelabuhan Singapura dengan Kuala Lumpur terus ke Perai dan ke Perlis, manakala satu lagi cabangnya menghubungkan Singapura denagn Gemas terus ke Pasir Mas, Golok dan Siam. Jalan raya dibina pada mulanya untuk menghubungkan kawasan pedalaman dengan landasan keretapi. Akan tetapi dengan berkembangnya penggunaan kereta motor, jalan raya pun

dibina selari dengan landasan keretapi an akhirnya jalan raya dibina bersaingan dengan landasan keretapi. Penggunaan lori dan pembinaan jalan raya yang berturap dan lebih lebar lagi menyebabkan penggunaan jalan raya untuk mengangkut barang-barang dagangan seperti getah dan hasil pertanian meningkat. Penggunaaan jalan raya memudahkan pengedaran barang dagangan dari satu tempat ke satu tempat lain. Pembinaan landasan keretapi dan jalan raya telah merapatkan hubungan antara negeri-negeri di Taah Melayu. Ia juga menolong mengubah rupa bentuk muka bumi Taah Melayu dari tanah belukar dan bergunung ganang kepada keadaan yang dapat kita lihat hari ini. Oleh kerana lombong bijih timah dan ladang getah banyak terdapat di negeri-negeri Melayu pantai barat, maka tidak hairanlah kalau landasan keretapi dan jaringan jalan raya lebih banyak terdapat di kawasan ini. Sistem pengangkutan yang baik adalah penting bagi perkembangan ekonomi dan masyarakat Tanah Melayu. Sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua, Tanah Melayu sudah mempunyai sistem perhubungan yang terbaik di Asia Tenggara. Selain sistem perhubunagn air, landasan keretapi dan jalan raya, Tanah Melayu juga mempunyai sistem perhubungan lain seperti telegraf dan telefon, sistem pos, radio dan perkhidmatan udara. Ini telah

membolehkan perhubungan dibuat di antara negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu dan Semenanjung Tanah Melayu dengan negara luar.

(c) Sosio-ekonomi era selepas merdeka hingga masa kini Malaysia telah mengamalkan sistem pemerintahan bercorak demokrasi selepas mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Sistem ini kemudiannya diperkenalkan di Sabah dan Sarawak apabila Persekutuan Malaysia dibentuk pada tahun 1963. Walaupun ekonomi Tanah Melayu berkembang pesat, orang Melayu masih dikekalkan oleh penjajah British dalam pertanian tradisional tanpa melibatkan mereka dalam kegiatan ekonomi moden. Jurang kemiskinan di kalangan orang Melayu yang tinggal di luar bandar cukup ketara. Pola seperti ini menimbulkan masalah sosioekonomi antara kaum selepas merdeka. Justeru

selepas mencapai kemerdekaan , tumpuan diberikan kepada pembangunan ekonomi luar bandar. Matlamat kerajaan ketika itu adalah untuk menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi agar dapat dinikmati oleh seluruh penduduk di Tanah Melayu. Selain utu, pembanguan ini bertujuan untuk mengatasi segala masalah politik, ekonomi dan sosial yang timbul akibat dasar penjajahan Inggeris. Secara keseluruhannya, rancangan pembangunan ekonomi di

Tanah Melayu sejak mencapai kemerdekaan sehingga kini dilaksanakan melalui dua fasa. Rancangan ekonomi fasa pertama dijalankan antara tahun 1956 hingga 1970 yang terdiri daripada tiga rancangan ekonomi iaitu rancangan ekonomi fasa pertama yang dilaksanakan sejak tahun 1956 hingga 197, sementara rancangan ekonomi fasa kedua pula bermula sejak tahun 1970 hingga kini melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB). Rancangan ekonomi fasa pertama ialah Rancangan Malaya Pertama (RM I)

merupakan rancangan ekonomi yang julung-julung kali diperkenalkan di negara ini sejak mencapai kemerdekaan. Tumpuan dan matlamat utama rancangan ini adalah untuk

membangunkan sektor ekonomi di luar bandar bagi merapatkan jurang perbezaan antara penduduk bandar dan luar bandar. Bagi melaksanakan rancangan ini, kerajaan berusaha memmpelbagaikan kegiatan ekonomi agar tidak hanya bergantung kepada pengeluaran getah dan bijih timah semata-mata. Bagi menambahkan pengeluaran tanaman makanan, kerajaan memberikan galakan terhadap pembukaan tanah-tanah baru untuk pertanian. Dalam bidang sosial, tumpuan diberikan terhadap kemajuan kesihatan, pendidikan serta memodenkan sistem perhubungan yang sedia ada. Di samping itu perkhidmatan bercorak ketenteraan dan keselamatan turut ditingkatkan dengan menambahkan pembinaaan balai polis, pejabat pos, mahkamah dan rumah kerajaan. Rancangan Malaya Kedua pada tahun 1961-1965 pula sebagai kesinambungan kepada Rancangan Malaya pertama. Rancangan ini bertujuan untuk menyediakan lebih banyak kemudahan asas serta menambahkan kepelbagaian eko nomi di

luar bandar bagi mengurangkan lagi jurang perbezaan taraf hidup dan pendapatan antara kawasan bandar dan luar bandar. Rancangan Malaysia pertama (1966-1970) adalah pembangunan ekonomi bersepadu pertama berikutan kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia . Rancangan Malaysia Pertama telah menentukan arah pembangunan dan matlamat-matlamat yang perlu dicapai dalam tempoh lima tahun. Dalam RMP ini kerajaan menjalankan banyak rancangan pembangunan wilayah dengan pembukaan penempatan FELDA, FELCRA, Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH). Projek tersebut melibatkan pembukaan tanah seluas 308 400 ekar dan menempatkan 20 700 buah keluarga. Rancangan pembangunan lima tahun kerajaan diteruskan dengan melancarkan Rancangan Malaysia Kedua yang dilancarkan antara 1971 hingga 1975. Asas penggubalan RMD ialah Dasar Ekonomi Baru yang matlamat utamanya adalah untuk mencapai perpaduan negara melalui strategi serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan di kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat. Ia juga bertujuan bagi membaiki keadaan ekonomi yang tidak seimbang supaya dapat mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan ekonomi mengikut fungsi ekonomi. Rancangan Malaysia Ketiga (1976-1980) merupakan peringkat kedua dalam pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru. Rangka Rancangan Jangka Panjang telah diperkemasakan dan perancangan pembangunan wilayah turut diperkenalkan. Analisis yang lebih sempurna dibuat terhadap pembahagian peruntukkan kepada negeri-negeri di samping isu-isu keselamatan dan alam sekitar yang juga turut diberi perhatian yang sewajarnya. Rancangan Malaysia Keempat dilancarkan semasa ekonomi Malaysia dan ekonomi dunia mula mengalami keadaan pertumbuhan yag lembab. Sejak tahun1980, Malaysia mengalami

berbagai-bagai masalah ekonomi seperti kemerosotan dalam imbangan bayaran, kejatuhan harga dan penurunan pendapatan eksport sektor komoditi, kelembapan sektor swasta dan peningkatan kadar pengangguran. Ekoran daripada masalah-masalah tersebut beberapa dasar dan strategi baru telah diperkenalkan bagi menghadapi kemelesetan ekonomi. Di antaranya ialah termasuklah

pelaksanaan sistem mini-estet pertanian, sistem koperasi dan strategi pembandaran kawasan luar bandar. Dasar Pertanian Negara dilancarkan pada tahun 1984 bertujuan meningkatka pendapatan dan pengeluaran sektor pertanian melalui penggemblengan sumber-sumber dengan lebih cekap di samping penigkatan daya pengeluaran serta mutu keluaran.

Dalam sektor perindustrian pula Malaysia telah memasuki era pembangunan industri gentian import peringkat kedua dan juga industri berat. Ini termasuklah pengeluaran barangbarang pengguna tahan lama, barang perantaraan dan barang modal. Industri berat pula ialah pengeluaran simen, besi waja, kompleks petrokimia, baja urea, palpa dan kertas dan kereta nasional. Rancangan Malaysia Kelima digubal ketika ekonomi masih dalam keadaan

meleset. Dengan itu perencanaannya adalah berdasarkan kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah. Teras pembangunan di dalam Rancangan Malaysia Kelima adalah untuk

mencapai matlamat perpaduan negara dan objektif Dasar ekonomi Baru serta pertumbuhan yang dapat menjamin kestabilan ekonomi. Tahun 1990 menandakan tamatnya tempoh Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (1971-1990) dan DEB. Sepanjang dua dekad tersebut ekonomi Malaysia telah

berkembang pesat walaupun menghadapi beberapa cabaran dari dalam dan luar negeri. Tahun 1991 merupakan tahun bersejarah bagi pembangunan ekonomi negara. Dalam tahun ini kerajaan telah melancarkan Wawasan 2020, Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan Rancangan Malaysia Keenam. Dasar Pembangunan Nasional menandakan bermulanya satu era baru dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Pembangunan sosial dan pembangunan ekonomi saling melengkapi. Pembangunan sosial dilaksanakan dalam bentuk pendidikan dan penglibatan aktiviti sosial. Pendidikan adalah teras menjana rakyat efektif untuk pembangunan progresifjangka panjang. Dalam hal ini kerajaan Malaysia melaksanakan pelbagai dasar dan program pendidikan bagi mengubah minda dan sikap rakyat Malaysia supaya berkualiti, berketrampilan dan sayangkan negara. Pelbagai peristiwa hitam dalam lembaran sejarah negara yang melibatkan pergaduhan kaum utama di negara ini. Peristiwa paling tragik dan menguji kepimpinan dan

perlembagaan negara ialah Tragedi 13 Mei 1969, yang merupakan pergaduhan kaum terbesar selepas negara mencapai kemerdekaan. Pada Julai 1970, ditubuhkan Majlis Perundingan Negara bertujuan mencari jalan untuk menguatakan perpaduan dan kerjasama di antara kaum. Hasil perbincangan telah melahirkan Rukun Negara dan Jabatan Perpaduan Rakyat yang kemudian dikenali sebagai Lembaga Perpaduan Negara. Rukun Negara bertujuan untuk melahirkan masyarakat saintifik dan progresif. Pelbagai program telah dilaksanakan untuk mengukuhkan semula perpaduan kaum dengan sokongan media massa, kerajaan dan rakyat awam. Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang ditubuhkan pada tahun 1971 bertujuan untuk menentukan kebudayaan kebangsaan, mengesyorkan cara-cara mencapai kebudayaan kebangsaan dan menetapkan dasar-dasar kebudayaan kebangsaan. Tiga asas kebudayaan kebangsaan ialah kebudayaan penduduk asal dijadikan asas kebudayaan kebangsaan, unsur-

unsur kebudayaan lain yang wajar dan sesuai boleh diterima dan Islam sebagai agama rasmi negara. Kebudayaan kebangsaan sangat penting untuk mengeratkan perpaduan, membentuk identiti kebangsaan, semangat nasionalisme, nilai hidup dan membentuk suatu gaya hidup. Bahasa melambangkan bangsa dan kerajaan mencanangkan slogan Bahasa Jiwa Bangsa bagi memupuk perasaan cintakan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu. Rakyat diberi kebebasan untuk menggunakan bahasa ibunda tetapi bahasa Malaysia. rasmi negara ialah

Semenjak tahun 1972 Bahasa Malaysia digunakan sebagai bahasa pengantar

utama di sekolah dan di institusi pengajian tinggi kerajaan pada tahun 1982. Sistem Pendidikan Bersepadu Tahun1979 juga digubal oleh Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Dasar Pelajaran Kebangsaan 1979. Perkara yang disyorkan ialah pendidikan rendah berteraskan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira, menyediakan pengajaran pemulihan bagi pelajar yang kurang maju dan pengayaan bagi pelajar pintar, sukatan pelajaran dan peperiksaan yang sama di semua sekolah, menggalakkan kegiatan ko-kurikulum, bahasa Malaysia sebagai mata pelajaran wajib dalam semua peperiksaan dan pendidikan bermatlamatkan perkembangan potensi individu dalam aspek jasmani,rohani, intelek dan emosi. Penubuhan Kementerian Belia Dan Sukan bertujuan untuk mewujudkan perpaduan dan membentuk identiti kebangsaan. Pihak Kementerian merancang pelbagai program

menjadikan sukan sebagai wadah untuk menyuburkan perpaduan rakyat di samping meningkatkan bakat kesukanan sebagai teras kesihatan rakyat. Pada tahun 1987,

dilansungkan Sukan Malaysia (SUKMA) bertemakan Integrasi Nasional Melalui Sukan. Bagi menjamin mutu sukan, ditubuhkan Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Pada tahun 1988, dibentuk Dasar Sukan Kebangsaan untuk memastikan perancangan pembangunan sukan mencapai matlamat juara dunia seperti yang dibuktikan oleh anak-anak Dato Haji Sidek dalam sukan badminton. Kerajaan Malaysia menggalakkan ekspedisi dan eksplorasi rakyat ke tempat yang mencipta nama di mata dunia. Dalam konteks ini rakyat Malaysia menyambut positif motivasi kerajaan yang berslogankan Malaysia Boleh. Di antara pencapaiannya ialah

belayar dengan kapal layar mengelilingi dunia secara solo, ekspedisi ke puncak Gunung Everest, pengembaraan ke Kutub Selatan dan berenang merentasi Selat Inggeris. Semuanya ini adalah bukti bahawa rakyat boleh merealisasikan slogan Malaysia Boleh.

Penutup Begitulah rentetan peristiwa Sejarah negara kita Malaysia daripada Zaman kesultanan Melayu Melaka, zaman penjajahan sehingga kini yang banyak mempengaruhi sosio-ekonomi rakyat daripada dahulu sehinggalah kini. Dasar pembangunan ekonomi dan sosial telah digunakan untuk membina negara Malaysia yang bersatu padu, aman dan sejahtera. Kesejahteraan rakyat yang menjadi agenda utama pembangunan negara akan dapat dicapai dengan keadilan ekonomi dan perpaduan negara. Kerjasama yang wujud selama ini telah menyediakan asas kepada negara kita untuk lebih maju lagi pada masa depan sepertimana yang disarankan oleh Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir bin Mohamad untuk menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020.

You might also like