You are on page 1of 7

REFLEKSI PERKHEMAHAN BIG Pada 22 hingga 25 Mei yang lalu, Institut Perguruan Kuala Terengganu telah mengadakan satu

perkhemahan di Taman Rehlah, Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh, Kelantan. Perkhemahan itu telah disertai oleh 99 orang pelajar PISMP semester 1 institut perguruan tersebut dan ia merupakan salah satu program Bina Insan Guru (BIG) yang wajib disertai oleh semua pelatih guru di institut perguruan. Kami telah bertolak dari institut pada pukul 4 petang dengan menaiki 2 buah bas yang disediakan oleh pihak institut. Mengikut jadual, kami sepatutnya bertolak pada pukul 2 petang. Oleh kerana bas yang menghantar pelajar unit sains bersama barangbarang ke tempat perkhemahan itu lewat tiba, kami terpaksa menunggu selama 2 jam. Disebabkan keletihan yang amat sangat ketika menunggu bas, kami tidur sepanjang perjalanan ke Taman Rehlah tersebut. Perjalanan itu mengambil masa selama 1 setengah jam dan kami tiba pada pukul 5.30 petang. Setibanya di Taman Rehlah, kami telah disambut oleh Ustaz Naim. Kami telah diarahkan untuk berkawad sebelum dibenarkan ke tapak perkhemahan. Tujuannya adalah untuk mengira jumlah ahli yang ada dan melantik ketua komandan serta penolong ketua komandan. Setelah selesai berkawad dan mengerjakan solat asar, kami pun diarahkan ke tapak perkhemahan untuk memasang khemah. Terdapat 21 khemah dan kami dibahagikan kepada 12 khemah untuk lelaki dan 9 khemah untuk perempuan. Kami diberikan masa sehingga pukul 7 petang untuk memasang khemah dan selepas itu kami diarahkan untuk bersedia untuk makan dan solat Maghrib serta Isyak. Pada petang itu makan malam telah disediakan oleh pelajar dari unit sains.

Pada pukul 9 malam, telah diadakan sesi taklimat yang telah disampaikan oleh Dr. Rohani. Dalam sesi taklimat itu, kami diarahkan untuk menamakan kumpulan, membuat logo, mereka sorakan untuk kumpulan serta membuat lagu. Kumpulan telah dibahagikan mengikut unit masing-masing yang mana terdapat 5 unit kesemuanya iaitu unit matematik, unit sains, unit pendidikan jasmani, unit pra sekolah dan unit pendidikan agama Islam. Kami sempat memperdengarkan sorakan kumpulan masing-masing dan setiap kumpulan sangat bersemangat melakukannya. Setelah selesai taklimat pada pukul 11.30 malam, kami pun bergerak ke tempat makan untuk makan tengah malam. Kami telah dihidangkan dengan air teh O serta biskut kering dan ia telah disediakan oleh pelajar unit sains sekali lagi. Selepas itu En. Hamdan iaitu camp commander kami telah membahagikan tugas-tugas pada malam itu. Unit pendidikan jasmani diarahkan untuk mencari kayu api, unit matematik diarahkan untuk membuat ampaian, unit pendidikan agama Islam diarahkan untuk membuat penyangkut life jacket dan unit pra sekolah diarahkan untuk menyediakan bahan-bahan untuk memasak sarapan pagi keesokan harinya. Kumpulan yang berjaga malam pada malam itu ialah dari unit matematik dan unit pendidikan agama Islam. Unit matematik diarahkan untuk berjaga dari pukul 12 tengah malam sehingga pukul 2 pagi manakala unit pendidikan agama Islam diarahkan berjaga dari pukul 2 pagi sehingga pukul 4 pagi. Tujuan diadakan kumpulan berjaga malam ini adalah untuk menjaga keselamatan kawasan tapak perkhemahan. Kod keselamatan pada malam itu ialah tayar lori.

Pada pukul 5 pagi, pelajar-pelajar telah bangun dari tidur untuk menyiapkan diri untuk ke surau. Sebelum masuk waktu subuh, kami telah melakukan Qiamullai. Di samping itu, pelajar-pelajar dari unit pra sekolah pula sibuk menyiapkan sarapan pagi. Setelah selesai solat subuh, telah diadakan kuliah subuh yang telah disampaikan oleh ustaz. Kuliah subuh itu telah berakhir pada pukul 6.45 pagi. Pada pukul 7 pagi, pelajar-pelajar diarahkan untuk berkumpul. Setiap ketua unit diarahkan untuk membuat laporan tentang kehadiran ahli unit masing-masing kepada ketua komander dan ketua komander akan membuat laporan kepada camp commander. Selepas itu, kami pun menyanyikan beberapa buah lagu iaitu lagu institut, lagu guru Malaysia, lagu negeri Terengganu dan lagu Negaraku. Kemudian, En. Safri telah mengambil alih untuk melakukan senaman pagi. Senaman pagi telah dilakukan di tepi pantai dan selepas kami diarahkan untuk membawa balik kayu api ke tapak perkhemahan. Pada pagi itu, kami telah dihidangkan dengan nasi lemak. Walaupun rasanya tidak sesedap nasi lemak ibu di rumah, kami tetap bersyukur dan mengahabiskannya. Setelah bersarapan, kami telah berkumpul sekali lagi bagi mendengar taklimat tentang aktiviti yang akan dilakukan selepas ini. Untuk aktiviti pagi itu, unit pendidikan jasmani, sains dan pendidikan Islam melakukan aktiviti berkayak dan water confident manakala unit matematik dan unit pra sekolah bergerak ke dewan untuk mendengar taklimat tentang kembara pada hari esok. Aktiviti-aktiviti ini terpaksa dijalankan secara bergilir kerana peralatan seperti life jacket dan kayak yang tidak cukup. Di dewan, pelajarpelajar dari unit matematik dan pra sekolah telah didedahkan dengan cara penggunaan kompas dengan betul.

Aktiviti-aktiviti pada pagi itu telah berakhir pada pukul 12.30 tengah hari untuk memberi laluan kepada pelajar lelaki menyiapkan diri untuk solat Jumaat. Sementara itu, pelajar-pelajar dari unit matematik sibuk menyiapkan makanan tengah hari. Pelajarpelajar lelaki kemudiannya bertolak ke masjid dengan menaiki bas. Sejurus pulang dari solat Jumaat, kami semua diberikan masa beberapa minit untuk menukar pakaian dan selepas itu berkumpul untuk makan tengah hari. Selepas makan, kami pun berkumpul untuk melakukan aktiviti seterusnya. Pada petang ini, unit matematik dan unit pra sekolah akan melakukan aktiviti air manakala unit pendidikan jasmani, pendidikan Islam dan sains pula akan membuat aktiviti di dalam dewan. Aktiviti-aktiviti yang dilakukan adalah sama cuma ia dilakukan secara bergilir untuk memberi peluang kepada semua pelajar merasai aktiviti-aktiviti tersebut. Pada pukul 6 petang, semua aktiviti pun berakhir. Pelajar-pelajar diberikan peluang untuk menguruskan diri. Selepas itu, kami pun bergerak ke surau untuk solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah. Setelah selesai solat, kami pun bersedia untuk makan malam. Oleh kerana hujan lebat, kami terpaksa makan di dalam surau. Tepat jam 9 malam, kami pun bergerak ke dewan untuk sesi ceramah dan taklimat. Pada malam itu, ceramah telah disampaikan oleh Dr. Rohani manakala taklimat tentang aktiviti kembara pada hari esok telah disampikan oleh En. Hamdan. Sesi ceramah dan taklimat telah berakhir pada pukul 11 malam dan selepas itu kami pun bergerak ke surau untuk makan tengah malam. Sebelum pulang ke khemah masing-masing untuk tidur, kami sekali lagi berkumpul. Tepat jam 12.30 malam, kami pun diarahkan tidur dan bersedia untuk aktiviti kembara esok.

Seperti biasa, pada pukul 5 pagi, kami telah bangun dari tidur untuk menyiapkan diri untuk solat subuh secara berjemaah di surau. Selepas solat, kami telah mendengar kuliah subuh yang telah disampaikan oleh ustaz. Kuliah subuh telah berakhir pada pukul 7 pagi dan selepas itu kami pun pulang ke khemah untuk menukar pakaian. Kami diberikan masa selama 5 minit sebelum berkumpul semula untuk senaman pagi. Selepas senaman pagi, kami pun bersarapan. Sarapan kami pada pagi itu ialah nasi goreng dan ia telah disediakan oleh pelajar-pelajar unit pendidikan jasmani. Setelah menikmati sarapan, kami pun berkumpul sekali lagi sebelum bergerak ke dewan untuk mendengar ceramah yang akan disampaikan oleh Dr.Rohani dan ia adalah sambungan ceramahnya pada malam semalam. Pada pukul 9.45 pagi, sesi ceramah pun tamat dan kami bersiap sedia untuk melakukan aktiviti kembara. Segala persiapan seperti makanan, beg, pakaian, ubatubatan dan lain-lain dibuat dengan rapi oleh setiap peserta. Hal ini adalah untuk memastikan kembara berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Tepat jam 10 pagi, kembara kami pun bermula. Pensyarah yang telah mengiring kami ialah En. Safri dan Pn. Norma. Semasa kembara, kami telah melalui banyak tempat seperti rumah api, kem latihan khidmat negara, masjid, kawasan perkampungan, bukit, bendang, paya dan sebagainya. Setelah mengharungi segala macam cabaran semasa aktiviti kembara, akhirnya kami pun tiba ke tapak perkhemahan tepat jam 6 petang. Walaupun penat, kami tetap berasa gembira kerana mendapat satu pengalaman yang baru melalui aktiviti kembara tersebut.

Seperti biasa setelah selesai solat maghrib serta isyak dan makan malam, kami pun bergerak ke dewan. Pada malam ini, telah diadakan persembahan sempena malam kebudayaan. Tujuan malam kebudayaan ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada pelajar untuk menunjukkan bakat yang terpendam baik dari segi lakonan mahupun nyanyian. Malam kebudayaan ini merupakan malam yang sangat dinantikan oleh para pelajar kerana mereka dapat berhibur setelah penat mengharungi kembara yang panjang. Tema persembahan pada malam kebudayaan tersebut ialah lakonan. Setiap unit diberikan tajuk dan mereka perlu berlakon mengikut tajuk yang telah diberikan itu. Selain itu, setiap unit juga perlu mempersembahkan lagu kumpulan mereka. Pada pukul 11.30 malam, semua persembahan pun tamat. Keputusan persembahan tidak diumumkan lagi kerana ia akan diumumkan semasa majlis penutup. Kami kemudiannya bergerak ke tempat makan untuk makan tengah malam dan selepas itu kami pun berkumpul sekali lagi sebelum dibenarkan tidur. Kumpulan yang berjaga malam pada malam ialah dari unit matematik dan pra sekolah. Pada keesokan harinya, seperti biasa kami bangun dari tidur untuk bersedia untuk solat subuh pada pukul 5 pagi. Pada pagi itu juga, kami telah mendengar ceramah yang disampaikan oleh seorang tetamu yang datang ke Taman Rehlah tersebut untuk bercuti bersama rombongannya. Beliau merupakan seorang guru kanan di sebuah sekolah di Kedah. Beliau telah memberikan beberapa nasihat berguna yang boleh diambil iktibar dan dijadikan panduan untuk menjadi seorang guru. Tepat jam tujuh pagi, kami pun pulang ke khemah untuk bersiap sedia untuk aktiviti seterusnya.

Seperti biasa, pada pagi itu kami telah melakukan senaman ringkas. Kami kemudiannya bergerak ke tempat makan untuk sarapan pagi. Setelah itu, barulah kami bergerak ke dewan untuk aktiviti yang terakhir sebelum berkemas untuk pulang. Aktiviti terakhir kami ialah ceramah yang telah disampaikan oleh En. Zaharim. Selain ceramah, terdapat juga aktiviti lain untuk membuatkan kami tidak mengantuk. Tepat jam 11 pagi, kami pun diarahkan untuk mengemas semua peralatan dan khemah. Tugas-tugas telah diberikan secara adil kepada setiap unit. Kami diberikan masa selama 1 jam untuk mengemas dan selepas itu, kami pun diarahkan untuk bergerak ke dewan untuk majlis perasmian penutup. Sebelum majlis perasmian penutup itu berlangsung, kami telah diajukan beberapa soalan tentang kraftangan yang telah dihasilkan oleh setiap unit. Pada pukul 1 tengah hari, majlis perasmian penutup pun tamat dan selepas itu kami pun bergerak ke tempat barang-barang diletakkan dan membawa barang-barang tersebut ke dalam bas. Selepas itu, kami pun pulang dengan perasaan gembira tetapi letih. Tuntasnya, aktiviti perkhemahan ini memberikan banyak manfaat kami diri kami semua sebagai seorang pelatih guru. Banyak pengalaman baru telah kami peroleh antaranya seperti berkayak. Melalui aktiviti berkayak dan water confident itu, kami telah mendapat keyakinan dalam diri kami untuk menghadapi cabaran. Melalui aktiviti kembara, kami dapat belajar cara untuk bekerjasama di dalam satu pasukan. Secara keseluruhannya, kami telah mendapat pengalaman baru yang sangat berharga dalam persediaan untuk menjadi seorang guru yang baik, berkeyakinan tinggi dan mampu menghadapi cabaran yang bakal tiba dalam mendidik murid-murid akan datang.

You might also like