You are on page 1of 1

Kepentingan Sukan

Sukan merupakan satu aktiviti riadah yang memainkan peranan yang sangat penting bukan sahaja dalam pembangunan ekonomi negara, tetapi juga pembangunan sosial. Sukan melibatkan aktiviti fizikal yang dilakukan untuk pelbagai tujuan seperti pertandingan, keseronokan, pembangunan, kemahiran, kecemerlangan dan sebagainya.

Aktiviti sukan penting untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain. Sukan bukan sekadar pertandingan, permainan ataupun riadah semata-mata, lebih dari itu, sukan merupakan arena untuk memupuk perpaduan kaum dan semangat cinta akan negara. Bagi atlet-atlet, mereka bersatu padu tidak mengira perbezaan agama dan budaya. Mereka turut bekerjasama untuk mencapai kemenagan bagi pasukan masing-masing. Penonton dan peminat sukan pula bersatu tenaga memberikan sokongan kepada pasukan yang bertanding dan diminati. Hal ini secara tidak langsung akan mewujudkan perpaduan serta semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selain itu, sukan turut menjadi sasaran berkesan untuk menggalakkan industri pelancongan tempatan khususnya sempena Tahun Melawat Malaysia 2007. Sukan juga dapat mewujudkan peluang dan kemudahan ke arah meningkatkan kemahiran dan kecemerlangan individu dengan tidak mengira peringkat ataupun bidang sukan yang diceburi. Hal ini dapat memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia termasuk yang menganggur untuk melibatkan diri dalam bidang sukan.

Sukan juga dapat membentuk masyarakat yang sihat, cergas, berdisiplin dan produktif. Hal ini kerana sukan menjadi sumber pembaik pulih tenaga dan minda selepas melakukan banyak aktiviti yang melibatkan pemikiran. Sememangnya aktiviti bersukan bertepatan dengan slogan Badan Cergas, Minda Cerdas. Sukan membantu melahirkan masyarakat yang berwibawa seperti mengharumkan nama diri, keluarga, bangsa dan negara.

Kesimpulannya, bidang sukan amat penting kepada negara. Aktiviti sukan dapat menggalakkan semangat persaingan yang sihat dan muhibah, di samping dapat melahirkan semangat kesukanan dan patriotisme dalam diri setiap individu. Majulah Sukan untuk Negara

You might also like