You are on page 1of 8

SULIT 1103/2

UNIT PEPERIKSAAN DAN PENILAIAN


SMJK CHUNG HWA, KOTA BHARU,
KELANTAN DARUL NAIM

PEPERIKSAAN PERCUBAAN
SIJIL PELAJARAN MALAYSIA 2008 1103/2
BAHASA MELAYU
Kertas 2
September
2 ½ jam Dua jam tiga puluh minit

JANGAN BUKA KERTAS SOALAN INI SEHINGGA DIBERITAHU

1. Kertas soalan ini mengandungi empat soalan.

2. Jawab semua soalan.

3. Jawapan bagi Soalan 2(b), Soalan 2(c), Soalan 2(d) dan Soalan 4 berdasarkan teks
Komponen Kesusasteraan Melayu Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 .

4. Jawapan anda hendaklah ditulis dalam buku jawapan yang disediakan. Sekiranya
kertas jawapan tidak mencukupi, sila dapatkan helaian tambahan daripada pengawas
peperiksaan.

5. Jawapan boleh ditulis dalam tulisan Rumi atau Jawi.

Kertas soalan ini mengandungi 8 halaman bercetak


Lihat sebelah
 2008 Hak Cipta SMJK Chung Hwa, Kota Bharu
SULIT
SULIT 2 1103/2

Soalan 1 : Rumusan

[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kesan negatif
penggunaan telefon bimbit di sekolah dan usaha-usaha pihak sekolah untuk memastikan
larangan penggunaannya dipatuhi. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah
perkataan.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menarik balik penggunaan telefon bimbit dalam
kalangan pelajar. Pelbagai komen dan pendapat diluahkan terhadap langkah terbaharu itu. Ada
yang menyokong dan tidak kurang juga yang membantah. Terdapat ibu bapa membantah kerana
pada mulanya anak mereka dibenarkan membawa telefon bimbit. Mereka juga bimbang akan
keselamatan anak mereka. Namun begitu, menurut Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin
bin Tun Hussein, sudah menjadi tanggungjawab pihak sekolah untuk memastikan anak-anak
didik mereka selamat. Seandainya pihak sekolah gagal melaksanakan dan memastikan
keselamatan pelajarnya, maka pihak sekolah perlu dipertanggungjawabkan. Ibu bapa tidak perlu
risau akan keselamatan anak mereka apabila sudah berada di kawasan sekolah. Jika mereka sudah
hilang kepercayaan, apalah gunanya mereka menghantar anak mereka ke sekolah. Alasan
mahukan anak mereka menggunakan telefon bimbit supaya mereka mudah dipantau tidak masuk
akal sama sekali. Yang pastinya, walaupun larangan dikenakan, para pelajar yang degil akan
tetap membawanya ke sekolah.
Sesungguhnya, guru-guru tiada masa untuk bertindak terhadap pelajar yang degil itu. Tugas
guru disiplin akan bertambah untuk memastikan para pelajar tidak membawa telefon ke sekolah.
Guru mempunyai pelbagai tugasan akademik lain yang lebih penting untuk diuruskan. Sedarilah
bahawa telefon bimbit ini menyebabkan tugas hakiki guru terganggu. Keburukan penggunaan
telefon bimbit dalam kalangan pelajar memang ketara. Banyak masa pelajar dihabiskan dengan
melayan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada rakan di luar sekolah. Tidak mustahil, jika
berlakunya pergaduhan dengan rakan sekelas, mereka ini akan menghubungi rakan mereka di
luar sekolah untuk membalas dendam terhadap pelajar lain. Telefon bimbit juga menjadi punca
kepada pelbagai masalah disiplin lain seperti menyebarkan gambar lucah, dan menipu semasa
peperiksaan. Bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan sederhana, sudah pasti tidak mampu
untuk membeli telefon bimbit. Melihat rakan-rakan membawa telefon bimbit akan wujud
perasaan rendah diri dalam diri kerana menyedari diri tidak mampu. Sesetengahnya sanggup
menggunakan perbelajaaan seharian dan keperluan membeli buku untuk membeli telefon bimbit
atau kad prabayar. Bagi yang tangan panjang, mereka akan mencuri telefon bimbit rakan
walaupun mengetahui jika ditangkap boleh dibuang sekolah.
Tujuan sistem pendidikan negara yang mewajibkan pelajar memakai uniform, dan melarang
pelajar memperagakan barangan berharga adalah untuk mewujudkan keseragaman. Oleh itu,
tiada pelajar yang berasakan diri terlalu kaya dan tiada pula yang berasa terlalu miskin. Dengan
itu, fokus pelajar hanyalah kepada pelajaran, bukan perkara-perkara lain. Seandainya dibenarkan
pula penggunaan telefon bimbit ini, maka akan wujudlah keadaan yang berkasta-kasta, iaitu yang
kaya akan berkawan dengan yang kaya sahaja. Ada juga kemungkinan telefon bimbit
disalahgunakan untuk merakam aksi pelajar perempuan di dalam tandas. Lebih
membimbangkan, ketika guru sedang mengajar, keharmonian di dalam kelas akan terjejas kerana
diganggu oleh deringan telefon yang pelbagai. Oleh hal yang demikian, larangan penggunaan
telefon bimbit di sekolah dalam kalangan pelajar memang wajar dan mempunyai rasional
tertentu.
(Diubahsuaikan daripada rencana
‘Telefon Bimbit di Sekolah Memudaratkan,’
oleh Cucu Mat Kilau, Berita Harian, 16 Januari 2006)

 2008 Hak Cipta ganosSMJK Chung Hwa, Kota Bharu SULIT


SULIT 3 1103/2

Soalan 2 : Pemahaman

[35 markah]

Soalan 2(a) — Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata “tidak masuk akal sama sekali”. [2 markah]

(ii) Kenapakah terdapat ibu bapa yang tidak bersetuju apabila penggunaan telefon bimbit
dalam kalangan pelajar di sekolah ditarik balik? [3 markah]

(iii) Ada kajian yang menunjukkan bahawa penggunaan telefon bimbit dapat menjejaskan
kesihatan seseorang pengguna. Pada pendapat anda, bagaimanakah caranya untuk
mengurangkan kesan sampingan itu ? [4 markah]

Soalan 2(b) — Petikan Prosa Moden

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Daneng tersengih. Sinar mentari yang gagah menguasai suasana tengah hari. Tetapi
kepanasannya tidak terasa di bawah rendangan pohon gerutu pasir di tepi danau. Angin gunung
yang sejuk bertiup perlahan-lahan mendakap tubuh mereka dalam kesegarannya.
”Daneng tak ingin menyambung pelajaran?” Terlontar soalan itu daripada mulut Jo.
”Tidak!” jawabnya setelah membisu seketika.
”Mengapa?”
”Saya tak ingin meninggalkan tempat ini.” Jawabnya terputus-putus.
”Bukankah merugikan? Kamu salah seorang pelajar yang mendapat keputusan baik dalam
peperiksaan PMR di sekolah asrama pada tahun lepas. Bukankah merugikan jika tidak
menyambung pelajaranmu?”
Daneng tersenyum sinis. ”Sudah saya dengar hujah ini berpuluh kali. Saya sudah bosan.
Cikgu tak faham perasaan saya. Sebenarnya cikgu tak kenal Daneng.”
”Cikgu faham. Tetapi keputusan kamu mungkin bukan yang sebaik-baiknya. Kamu perlu
melihat dari semua segi.”
”Perkara terbaik untuk saya ialah berada di sini. Di tempat ini, nenek moyang saya hidup dan
bersemadi. Jiwa saya terikat pada pohon tualang. Pada bukit-bukit ini. Pada pohon-pohon ini.
Menghidu keenakan udara jati tempat ini, satu kemestian. Memanjat pokok, mendaki gunung,
menuruni lurah, memetik buah-buah hutan, memancing ikan, berjalan berkaki ayam. Inilah
kehidupan bagi saya. Saya mendambakan kehidupan di hutan ini. Inilah Daneng, cikgu.”
hujahnya.
Jo agak kagum dengan kepetahan tingkah ucapan anak didiknya itu. ”Saya faham
perasaanmu itu,” ucap Jo sambil memicit bahu kiri Daneng.
(Dipetik daripada cerpen Lambaian Malar Hijau oleh
Saroja Theavy a/p Balakrishnan dalam antologi Anak Laut,
Dewan Bahasa dan Pustaka)

 2008 Hak Cipta ganosSMJK Chung Hwa, Kota Bharu SULIT


SULIT 4 1103/2

(i) Kenapakah Daneng tidak ingin menyambung pelajarannya?


[3 markah]

(i) Pada pendapat anda, apakah langkah yang berkesan untuk meningkatkan tahap
pendidikan anak-anak Orang Asli di kawasan pedalaman?
[3 markah]

(ii) Huraikan dua perwatakan Daneng daripada petikan dan satu perwatakan daripada
keseluruhan cerpen.
[3 markah]

Soalan 2 (c) Petikan Prosa Klasik

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang
berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Maka Laksamana pun lelah terdiri di atas talam itu. Maka Hang Jebat pun berbangkit lalu
berdiri. Maka kata Hang Jebat, ”Hai Laksamana, apa perimu akan membunuh aku?” Maka
Laksamana pun berkata, ”Hai Si Jebat, bahawa tiada dengan kuasaku membunuh engkau;
bahawa Tuhanku yang amat kuasa membunuh engkau; Insya-Allah Taala, mati juga engkau
dalam tanganku.” Maka kata Hang Jebat, ”Hai Laksamana, sungguh-sungguh rupanya engkau
hendak membunuh aku!” Maka kata Laksamana, ”Mengapakah maka tiada sungguh? Jika
tiada engkau mati olehku, aku mati olehmu, maka sudahlah pekerjaan ini.” Maka Hang Jebat
pun memekis katanya, ”Cih! Si Jebat dengan Si Tuah hulubalang raja Melaka mati tiada berguna!
Jika Si Jebat dengan Si Tuah gerangan dititahkan raja Melaka menyerang negeri orang, aku dua
orang itu pun alah.” Maka kata Laksamana, ”Sungguh seperti katamu itu; pada hatiku pun
demikianlah. Sayang engkau berdosa. Jika lain daripada dosa ini, tiada engkau mati, barang
tipunya dayaku pun kuperlepaskan juga engkau daripada mati.” Maka Hang Jebat pun menangis
mendengar kata Laksamana demikian itu. Maka Laksamana pun menangis kasihan hatinya akan
Hang Jebat. Maka kata Hang Jebat, ”Aku pun kerana melihat engkau dibunuh oleh Bendahara
tiada dengan dosanya; sebab itulah maka sakit hatiku. Akan istimewa aku pula orang permainan
tiada akan dibunuhnya, kerana raja itu membunuh tiada dengan periksanya.

(Dipetik daripada Pertarungan Tuah Dengan Jebat,


dalam antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Berikan maksud rangkai kata ” maka sudahlah pekerjaan ini.” [2 markah]

(ii) Kenapakah Hang Jebat bertindak menderhaka terhadap raja? [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah yang patut dilakukan oleh Hang Tuah untuk mengelakkan
pertumpahan darah antara beliau dengan Hang Jebat? [3 markah]

 2008 Hak Cipta ganosSMJK Chung Hwa, Kota Bharu SULIT


SULIT 5 1103/2

Soalan 2(d) — Petikan Puisi

Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan
menggunakan ayat anda sendiri.

DI RUANG GEMANYA

Telah kurangkumkan rebah setiaku


pada setiap pilu dan rindu
melayang dan mengembang
ke hayat gemilang. Sejak itu
tidak kukesal lagi
goda dan duga
di gerimis senja.

Telah kupahatkan lelah umurku


pada setiap kerikil dan debu
datang dan menghilang
ke hujung kenang. Sesudah itu
tidak kukenal lagi
hampa dan derita
di guruh pagi.

Gerimis senja guruh pagi


adalah titipan maya
bakal kukongsikan hati
mengukir tadbir di ruang gemanya.

DHARMAWIJAYA
Antologi Kerusi,
Dewan Bahasa dan Pustaka.

i) Berikan maksud rangkai kata “gerimis senja guruh pagi”. [2


markah]

ii) Pada pandangan anda, bagaimanakah caranya seseorang rakyat menunjukkan kesetiaan
terhadap negara? [4
markah]

iii) Nyatakan tiga nilai murni yang ada pada penyajak. [3


markah]

 2008 Hak Cipta ganosSMJK Chung Hwa, Kota Bharu SULIT


SULIT 6 1103/2

Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa

[30 markah]

Jawab semua soalan.

(a) Tulis dua ayat bagi tiap-tiap perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan bahawa anda
faham akan perbezaan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan
imbuhan, dan menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i) bekas

(ii) mentah

(iii) haus
[6 markah]

(b) Tulis semula ayat-ayat di bawah ini supaya menjadi tiga ayat sahaja tanpa mengubah
maksud dan susunan asal ayat-ayat tersebut.

Kita mestilah berhati-hati di jalan raya. Kemalangan mungkin terjadi pada bila-bila
masa saja. Kemalangan menyebabkan kecederaan dan kecacatan. Kemalangan juga
menyebabkan maut. Pelbagai undang-undang digubal. Undang-undang itu bertujuan
mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Undang-undang itu juga memupuk kesedaran
rakyat terhadap keselamatan mereka ketika di jalan raya. Masih ada orang yang menjadikan
jalan raya sebagai tempat berlumba. Mereka juga melepaskan geram. Mereka
membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
[6 markah]

(c) Dalam setiap ayat di bawah ini terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan
imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak
boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan
imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula. [ ARAHAN ini seperti soalan BM JUN
2008]

(i) Oleh sebab terlalu seronok bermain ping pong di dewan sekolah hingga lewat malam,
Han Hui dan Dimple ditegurkan oleh pengawal keselamatan yang bertugas pada hari
itu.

(ii) Akhir-akhir ini motorsikal berkuasa tinggi menjadi gilaan pemuda-pemudi di negara
kita walaupun harganya terlalu mahal.

 2008 Hak Cipta ganosSMJK Chung Hwa, Kota Bharu SULIT


SULIT 7 1103/2
(iii) Hafizi telah memperolehi hadiah utama berupa pakej pelancongan ke Itali untuk dua
orang semasa sessi cabutan nombor bertuah anjuran syarikat insurans itu di Kompleks
Beli-belah Pelangi Jaya .
[6 markah]

(d) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan
satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap
ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau
istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
[ARAHAN seperti soalan BM JUN 2008]

(i) “Mak, baju kebaya yang saya baru pakai itu sudah buruk dan alangkah baiknya jika
dibeli yang baharu,” pujuk Elisya lagi.

(ii) Majalah akademik itu turut memuatkan kata-kata aluan Yang Berusaha Tan Sri Haji
Abdul Halim bin Abdul Hamid, Ketua Pengarah Eksekutif Baycom Malaysia.

(iii) Baginda Sultan Melaka amat marah sekali bila baginda dipersembahkan dengan
berita penderhakaan Hang Jebat itu.
[6
markah]

(e) Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti dan kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai
dengan situasi yang terdapat dalam setiap ayat tersebut.

(i) Malang sungguh nasib Puan Rajeswari. Dia baru saja bersedih atas kematian
suaminya dua hari yang lalu. Hari ini anak sulungnya pula terlibat dalam kemalangan
jalan raya ketika menghantar adik perempuan ke sekolah. Nasib Puan Rajeswari ini
tidak ubah seperti ______________________ .

(ii) Walaupun Datin Rozita dilantik menjadi pengarah syarikat itu, namun kedudukannya
belum selamat kerana dicabar oleh Datin Noraini yang lebih berpengaruh. Kedudukan
Datin Rozita diibaratkan seperti _________________________________.

(iii) Ketika membeli-belah di kedai kain itu saya terserempak dengan seorang gadis yang
wajahnya seperti Chin Ming, rakan sekelas saya. Rupa paras yang sama ini
diumpamakan seperti __________________ .

[6 markah]

 2008 Hak Cipta ganosSMJK Chung Hwa, Kota Bharu SULIT


SULIT 8 1103/2

Soalan 4 : Novel

[15 markah]

Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel yang berikut:

(i) Terminal Tiga karya Othman Puteh

(ii) Perlumbaan Kedua karya Marwilis Hj. Yusuf

(iii) Di Hadapan Pulau karya A. Samad Said

(iv) Bukit Kepong karya Ismail Johari

(iv) Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain

(vi) Seteguh Karang karya Tuan Faridah Syed Abdullah

(vii) Julia karya Abu Hassan Morad

(viii) Putera Gunung Tahan karya Ishak Hj. Muhammad

(a) Peringkat permulaan dalam binaan plot sesebuah novel amat penting untuk membantu
pembaca memahami cerita dengan lebih jelas.
Jelaskan peringkat permulaan itu berdasarkan sebuah novel yang telah anda kaji.
[7 markah]

(b) Berdasarkan dua buah novel yang telah anda kaji, jelaskan dua latar masyarakat yang
terdapat dalam setiap novel.
[8 markah]

KERTAS SOALAN TAMAT

 2008 Hak Cipta ganosSMJK Chung Hwa, Kota Bharu SULIT

You might also like