You are on page 1of 14

HUTAN HUJAN TROPIKA DI MALAYSIA DAN KEGUNAANNYA CHEAH LI PHENG KANDUNGAN

Pengenalan Sumber Kayu-Kayan Sumber Bukan Kayu Habitat Bagi Haiwan, Serangga Dan Tumbuhan Mengawal Alir Air Dan Kualiti Air Mengawal Hakisan Tanah Kestabilan Cuaca Rekreasi Kesimpulam Rujukan

PENGENALAN Hutan boleh ditakrifkan sebagai satu komuniti pokok-pokok besar serta haiwan dan serangga yang saling hidup dalam beranika cara dengan meliputi kawasan yang sangat luas. Ia memerlukan cahaya matahari, udara, air dan tanah untuk mencapai pertumbuhan, kematangan dan seterusnya membiak dengan baik. Hutan amat penting dalam alam ini, terutamanya untuk manusia dan haiwan. Hutan telah memberikan manusia banyak faedah walaupun dari segi hasilnya ataupun perkhidmatannya.Antara peibagai fungsi hutan yang amat memanfaatkan manusia boleh terbahagikan kepada 3 kumpulan besar iaitu dari segi ekonomi seperti pengeluaran balak dan hasil kayu dan bukan kayu serta haiwan liar. Selain itu, ia juga memberi pelindungan yang mempunyai hubungan dengan iklim atau mikro iklim. Seterusnya, hutan juga memainkan peranan dari segi aspek-sapek rekreasi. Hutan di Malaysia digolongkan sebagai Hutan Hujan Tropika. Hutan Hujan Tropika dipercayai merupakan ekosistem yang paling tua dan rumit di dunia. Hutan Hujan Tropika amat penting dari segi ekologi. Ekologi Hutan Hujan Tropika di Malaysia dan kawasan lain mempunyai 2 ciri yang ketara iaitu kadar pertumbuhan yang tinggi dan kepelbagaian spesies yang sukar disaingi. Kekayaan Hutan Hujan Tropika dari segi bilangan spesies merupakan faktor penting tarikan para pengkaji. Sebenarnya, di seluruh dunia terdapat tiga kawasan Hutan Hujan Tropika. Kawasan yang paling luas merupakan Hutan Hujan Tropika Amerika di Lembangan Amazon. Hutan Hujan Tropika di Indo-Malaya yang merupakan perbincangan utama di sini adalah kawasan hutan yang kedua luas di dunia. Di Afrika, Hutan Hujan Tropika terletak di Conga dan luasnya meliputi sepanjang pantai Teluk

Guinea dan beberapa kawasan di Uganda. Ini adalah kawasan Hutan Hujan Tropika yang terkecil. Mengikut statistik, dianggarkan terdapat 14500 spesies tumbuh-tumbuhan berbunga di Hutan Hujan Tropika Malaysia. Berdasarkan suatu penilaian yang dibuat, daripada jumlah di atas kira-kira 9000 spesies tumbuhan berbunga terdapat di Semenanjung Malaysia. Antaranya merangkumi 3000 spesies pokok, 1000 spesies orkid, 300 spesies palma dan 60 spesies rumput dan buluh, 500 spesies paku-pakis dan 24 spesies konifer. Selain itu, bilangan bagi spesies lumut, lumut hati, liken dan alga tidak dapat ditentukan dengan tepat. Tambahan lagi, daripada sejumlah 3000 spesies pokok dalam Hutan Hujan Tropika, terdapat 677 spesies balak yang meliputi 168 genus yang mempunyai nilai dagangan. Malaysia adalah amat beruntung kerana masih mempunyai kawasan hutan asli. Tetapi ini tidak bermakna bahawa kita harus berpuas hati dan mengabaikan masalah-masalah yang sedang mengancam kawasan hutan kita. Tiada jaminan yang konkrit bahawa sumber alam semulajadi dan warisan ini akan terus kekal pada masa hadapan. Ini jelas kelihatan dengan tanda-tanda bahawa kawasan hutan sudah mula berkurangan dengan cepat berdasarkan kadar eksploitasi masa kini. Sebenarnya, pemeliharaan dan pengurusan sumber-sumber ini memerlukan tindakan wajar dan segera. Terutamanya prihatin dan tanggungjawab masyarakat adalah amat diperlukan. SUMBER KAYU-KAYAN Hutan Hujan Tropika merupakan satu gedung spesies tumbuhan yang besar. Hanya sebahagian kecil daripadanya yang telah ditemui atau dikenali kegunaannya pada masa kini. Di Malaysia, sumber Hutan Hujan Tropika sering dikaitkan dengan Hutan Tanah Pamah dan Hutan Bukit Dipterokarpa iaitu kawasan taburan pelbagai spesies pokok balak komersial negara. Di samping itu, terdapat juga jenis-jenis hutan lain seperti Hutan Paya Laut, Hutan Paya Gambut, Hutan Oak Gunung dan Hutan Ericaceous Gunung. Setiap habitat hutan tersebut mempunyai spesies-spesies kayu yang berpotensi termasuklah spesies-spesies dipterokarpa dan spesies-spesies kayu kommersial seperti merbau, bitis, nyatoh dan kempas yang bernilai tinggi. Pada masa sekarang, penggunaan kayu keras tropika sedunia telah meningkat. Dalam tempoh masa 20 tahun (1970-1990), kadar pertambahan dalam pengunaan kayu adalah sebanyak 13 kali ganda di kebanyakan negara mengimport. Sebahagian besar kayu yang berasal dari Asia Tenggara telah dieksport ke negara Jepun untuk diproses dan kemudiannya kayu tersebut dihantar ke Amerika Syarikat. Kadar pembalakan di Malaysia adalah sangat tinggi. Misalnya pada 1977, kadar pembalakan di Malaysia adalah

sebanyak 10 km perseri setiap hari. Walaupun Hutan Hujan Tropika Malaysia terdapat pelbagai spesies tumbuhan yang nampaknya mempunyai bekalan sumber kayu-kayan yang banyak tetapi ia semakin tidak mencukupi akibat kadar pembalakan yang tinggi. Sejak itu, barulah kita sedar bahawa hutan yang dahulunya nampak seperti tidak boleh dihabiskan tidak lagi mampu membekalkan kayu yang cukup untuk pasaran dalam negara. Untuk menampung penggunaan kayu keras tropika di Malaysia, pelbagai spesies kayu yang kurang terkenal sedang giat digalakkan kegunaannya. Spesiesspesies tersebut termasuk pauh kijang (Irvingia malayana), tempinis (Streblue elongatus) dan derum (Cratoxylum sp.). Selain itu, balak yang berdiameter kecil seperti kayu getah juga turut bertambahnya penggunaan. Hasil kayu-kayan ada banyak penggunaan. Hasil ini memainkan peranan penting dalam ekonomi moden. Industri yang berasaskan hutan telah menyediakan banyak pekerjaan dan wujudkan perdagangan antarabangsa yang berharga. Sebenarnya, pada awal tahun 1970-an balak dan papan gergaji merupakan eksport utama Malaysia untuk pertukaran matawang asing. Kini Malaysia mula beralih kepada industri pembuatan yang berasaskan kayu untuk meningkatkan nilai bahan kayu yang dieksport. Contohnya venier, papan lapis, papan serpai, perabot dan lain-lain. Negara import utama produk kayu Malaysia ialah Jepun, Taiwan, Eropah, Singapura dan China. Antara spesies yang sesuai untuk pembuatan perabot ialah Balak, Kembang Semangkok, Kayu Getah, Nyatoh dan sebagainya. Spesies-spesies luar negara seperti Oak, Maple, Walnut, Mahogany dan Jati digunakan sebagai bahan untuk meningkatkan kualiti dan memenuhi citarasa pengguna. Tambahan lagi, kayu-kayu keras seperti Meranti, Chengal, Merbau, Balau , Keruing dan lain-lain juga digunakan sebagai bahan binaan. Kayu-kayu juga digunakan oleh penduduk tempatan sebagai bahan api pada kehidupan harian. Oleh itu, hutan adalah penting untuk membekalkan kayukayu yang begitu banyak mendatangkan faedah kepada kita. SUMBER BUKAN KAYU Keluaran hasil bukan kayu ialah semua keluaran hutan selain kayu balak. Ianya termasuklah beberapa hasil keluaran hutan bernilai rendah tetapi pada umumnya sangat meluas digunakan. Jenis-jenis hasil keluaran tidak terhad kepada hasil keluaran tumbuh-tumbuhan sahaja tetapi juga meliputi keluaran daripada binatang. Walaupun terdapat pelbagai jenis hasil hutan bukan kayu tetapi ia tidak mempunyai kepentingan perdagangan yang tinggi. Jika berbanding dengan hasil kayu hutan, pengeluaran hasil bukan kayu adalah kurang teratur. Antara hasil-hasil hutan bukan kayu yang biasa dijumpai termasuklah rotan, buluh, tumbuh-tumbuhan pewarna, damar, ubat-ubatan, mengkuang, pandan dan sebagainya. Rotan merupakan hasil hutan yang terpenting di Malaysia. Ia dikenali di seluruh dunia kerana kecantikannya yang menyerlah apabila direkabentuk

menjadi perabot. Sebenarnya, perusahaan rotan di Malaysia pada umumnya bersifat kecil dan tertumpu di kawasan-kawasan luar bandar di mana sumber-sumber bahan mentah ini mudah diperoleh. Rotan lazimnya tumbuh liar dengan banyaknya di kawasan-kawasan pedalaman hutan semulajadi. Dewasa ini, rotan yang paling popular diperdagangankan serta berharga tinggi ialah manau (Calamus manam). Manau merupakan pilihan utama bagi pembuatan rangka dan komponen perabot rotan. Selain rotan, terdapat juga 150 spesies jenis palma asli di dalam hutan Malaysia. Walau bagaimanapun, penekanan dan penggunaannya hanya terhad bagi beberapa jenis palma yang popular seperti nipah, rumbia dan bertam sahaja. Nipah (Nypa fruticnns) tumbuh di sepanjang tebing-tebing sungai seluruh Semenanjung Malaysia. Daun-daunnya boleh dibuat atap dan barangan kraf manakala daun-daun muda yang masih belum terbuka (anak daun) digunakan bagi membuat kertas pembalut tembakau rokok. Buahnya boleh dimakan sementara tangkainya boleh diperah bagi mendapat nira. Rumbia atau sagu (Metroxylon sagu) ialah jenis palma yang lebih besar dan hidup di paya-paya air tawar. Ia merupakan bahan utama dalam pembuatan tepung sagu daripada bahagian dalam batangnya. Daunnya boleh disisir menjadi atap dan dinding rumah. Isi batangnya juga berguna sebagai bahan makanan kepada binatang ternakan seperti ayam, itik, babi. Bertam (Eugeissona tristis) hidup di merata hutan pedalaman. Daunnya boleh dijadikan atap dan buahnya pula boleh dimakan sementara tangkai jambak bungannya kadangkala diukir untuk dijadikan barang hiasan. Buluh merupakan sejenis tumbuhan yang tergolong dalam famili rumput (Gramineae). Ia merupakan sumber bahan asli yang berkepentingan istimewa terutamanya di kalangan masyarakat desa. Penggunaan buluh adalah lebih meluas berbanding dengan hasil hutan bukan kayu yang lain. Dengan berkembangnya teknologi baru, mesin-mesin pemprosesan telah digunakan. Industri barangan yang berasaskan buluh telah dapat berkembang menjadi perusahaan yang lebih berdaya maju. Buluh telah diproses menjadi banyak alatan penggunaan harian. Antaranya termasuk sangkar-sangkar anyaman dan raga-raga besar untuk mengisi sayursayuran. Di kawasan luar bandar pula, terdapat pelbagai penggunaan buluh secara tradisi. Selain daripada dinding dan lantai yang direkabentuk dengan begitu indah dab menarik, ia juga dijadikan peralatan muzik, layang-layang, sangkar burung dan alat sumpitan buluh. Rebung-rebung buluh terutamanya buluh betang (Dendrocalamus aspera) dan beting (Gigantochloa levis) yang hidup liar atau ditanam boleh dijadikan sumber makanan berzat. Batang buluh lemang (Schizostachyum brachycladum) boleh menjadi bekas untuk memasak pulut yang dicampurkan dengan santan kelapa. Daun-daun buluh semeliang (S.grande) boleh digunakan untuk membungkus pulut kukus iaitu sejenis masakan kaum cina. Di samping itu, mengkuang dan pandan merupakan jenis-jenis tumbuhan monokotilidon dalam famili Pandanaceae. Lazimnya tumbuh sebagai pokok

berbatang seperti spesies Pandanus odoratissimus. Biasanya ia hidup merimbun di habitat berair, lembah-lembah, kawasan pantai dan bukit. Mengkuang mempunyai saiz daun yang lebih besar dan panjang berbanding dengan pandan. Penggunaan bahan-bahan mengkuang ialah bagi menghasilkan barangan seperti tikar, kajang dan tirai. Daun-daun pandan pula dianyam menjadi tikar, topi, bag tangan dan barangan ringan yang lain. Biasanya keluaran mengkuang adalah lebih tahan daripada pandan. Selain itu, tumbuh-tumbuhan pewarna yang paling berharga di Malaysia ialah daripada spesies sepang (Caesalpinia sappan) yang digunakan untuk mewarnakan pandan, tikar, sutera, kapas dan benang. Ia juga digunakan sebagai pewarna bahan makanan. Tumbuh-tumbuhan pewarna lain ialah mengkudu (Morinda sp.), merbau (Intsia sp.), sena (Pterocarpus indicus) dan akar kunyit (Fibraurea chloroleuca). Tambahan lagi, bayur (Pterospermum sp.), ketapang (Terminalia sp.), rhu (Casuarina sp.) dan rengas juga boleh digunakan untuk menghasilkan bermacam-macam pewarna. Hutan merupakan gedong yang penuh dengan pokok-pokok yang mempunyai nilai-nilai perubatan terutamanya dari bahagian-bahagian batang, akar, pucuk, daun dan ubi tumbuhan. Pemakaian bahan ubat yang dihasilkan daripada tumbuh-tumbuhan berbeza mengikut sifat penyakit yang diubati. Dalam kegunaan perubatan tradisional misalnya, masyarakat melayu meminum air rebusan Tongkat Ali (Eurycoma longifolia) dan (E.apiculata) sebagai sejenis tonik kesihatan untuk ibu-ibu selepas bersalin. Orang-orang asli pula menggunakan bahagian kulit akar Tongkat Ali bagi mengubati demam cacar manakala serbuknya pula digunakan bagi merawat luka atau bisul serta bagi meredakan demam malaria. Di antara spesiesspesies tumbuhan lain yang sering dikaitkan dengan nilai perubatan termasuklah jenis selusuh Fatimah (Labisia sp.), mempisang (Goniothalamus sp.) dan medang (Cinnamomum sp.). Bunga pakma (Rafflesia hasselitii) yang dikatakan mengandungi nilai perubatan turut mendapat harga yang tinggi di pasaran. Hutan juga membekalkan sumber makanan kepada manusia terutamanya bagi penduduk yang tinggal berhampiran dengan hutan dan fauna yang tinggal dalamnya. Buah dan biji-bijian liar hutan juga dijual di pasar-pasar tempatan. Antaranya terdiri daripada macang (Mangifera foetida), jambu (Eugenia sp.), sentul (Sandoricum koetjape), rambutan (Nephelium sp.), durian (Durio sp.) dan sebagainya. Kini, sumber pemakanan dari hutan telah mendapat promosi yang meluas dan dengan pendedahan ini, ia telah mula mendapat pasaran yang tinggi sebagai salah satu sumber makanan tempatan. Selain makanan, hutan juga membekalkan pelbagai bahan daripada binatang di hutan. Bahan-bahan tersebut menjadi buruan kepada mereka yang ingin memilikinya sama ada untuk hiasan atau sebagai sumber dagangan yang lumayan. Antara barang yang berasaskan haiwan-haiwan yang diburu ini termasuklah gading gajah, kulit harimau badak, harimau bintang, tapir, burung dan sebagainya. Di samping itu, tahi atau najis

kelawar juga dipungut untuk digunakan sebagai baja asli. Lilin lebah dan sarang burung layang-layang dipungut sama ada untuk tujuan makanan atau perubatan. Akibatnya, pihak PERHILITAN telah menjalankan langkah kawalan agar binatang-binatang tersebut tidak terus pupus dari habitat hutannya. Sebenarnya, selain hasil-hasil yang disenaraikan di atas terdapat lagi banyak hasil hutan bukan kayu yang lain. Antaranya termasuklah kayu gaharu yang boleh menghasilkan bau wangi apabila dibakar dan sering digunakan dalam upacara keagamaan. Pokok-pokok pengeluaran gaharu ialah karas (Aquilaria malaccensis) dan cendana (Wikstroemia candalleana). Selain itu, minyakminyak daripada sayur-sayuran terdapat secara semulajadi daripada buahbuahan dan biji-bijian tumbuhan. Kebanyakannya boleh dimakan dan hasil daripada pokok sengkawang dan ketupang. Minyak daripada pokok penaga pula boleh digunakan untuk membuat bahan-bahan seperti sabun, cat dan lilin. Di samping itu, minyak bauan asli merupakan sejenis minyak yang meruap dan lazimnya terdapat dalam bahagian-bahagian kulit, akar, daun, buah atau bunga tumbuhan. Minyak-minyak ini berperisa enak dan berbau harum. Antara jenis-jenis tumbuhan yang sering dimanfaatkan sebagai bahan dasar dalam penghasilan minyak bauan asli ialah kenagan, bunga tanjung dan keruing gondol. Penaga dan pulasari pula digunakan dalam pembuatan bahan perisa dan haruman bahan makanan serta penyediaan ubat-ubatan. Dengan ini, boleh dikatakan hutan menyediakan banyak peluang pekerjaan bagi usahawan-usahawan kecil yang ingin menceburkan diri dalam industri berasaskan sumber keluaran hasil hutan bukan kayu. Kerajaan kini telah mengambil tindakan dalam menghadkan pengeluaran bahan-bahan mentah keluaran hasil hutan supaya ia dapat diurus bagi pengeluaran yang berkekalan. HABITAT BAGI HAIWAN, SERANGGA DAN TUMBUHAN Hutan menyediakan habitat yang semulajadi bagi beribu-ribu haiwan, serangga dan tumbuhan yang setiap satunya mempunyai peranan dalam pengekalan ekosistem hutan. Mengikut kajian yang dijalankan, Hutan Hujan Tropika Malaysia terdapat 1200 spesies burung, 1000 spesies rama-rama dan kupu-kupu, 147 spesies amfibia, 250 spesies ikan air tawar dan 675 spesies mamalia. Lebih daripada 8000 spesies tumbuhan berbunga di mana antaranya ada 2500 spesies adalah spesies pokok. Hutan turut menyediakan makanan secara langsung bagi herbivor dan secara tidak langsung kepada karnivor. Haiwan, serangga dan tumbuhan adalah saling bergantung untuk hidup. Peranan serangga dalam pendebungaan, burung dan kelawar sebagai penyebar buah dan biji tidak boleh diperkecilkan. Secara kasar, Hutan Hujan Tropika boleh dibahagikan kepada beberapa nic yang terasing antara sama lain dari segi ruang, aktiviti atau diet haiwan.

Harrison (1962) telah membezakan 6 komuniti burung dan mamalia dalam Hutan Hujan Tropika berdasarkan aras kanopi yang didudukinya dan juga berdasarkan julat bahan makanannya seperti berikut: 1. Di atas kanopi : insektivor serta burung karnivor dan kelawar. 2. Kanopi atas : burung dan mamalia pemakan daun, buah-buahan dan sebahagian kecil yang makan nektar dan serangga. 3. Haiwan yang terbang di tengeh-tengah kanopi : Kebanyakan burung dan kelawar insektivor. 4. Haiwan pemanjat di tengah-tengah kanopi : mamalia pemakan pelbagai jenis makanan yang bergerak turun naik batang daripada silara pohon hingga ke tanah, terdapat juga sejumlah kecil karnivor. 5. Haiwan besar di atas tanah : herbivor dan karnivor pngiringnya. 6. Haiwan kecil di atas tanah atau di bawah pokok : mamalia dan burung pemakan pelbagai jenis makanan pada lantai hutan, terutamanya insektivor atau omnivor serta beberapa jenis herbivor dan karnivor. Dapat dilihat bahawa kumpulan burung dan mamalia fitofaj yang utama hidup pada kanopi atas. Sebaliknya, pada zon yang lain kurang menampung pengguna primer dan terdapat lebih banyak pengguna sekunder, iaitu haiwan yang menjadi mangsa kepada haiwan yang lain. Contahnya burung yang hidup di atas kanopi termasuk burung enggang, burung merpati dan burung-burung yang memakan buah-buahan dan serangga. Burung pacat, burung-burung rimba dan burung kuang terdapat pada tumbuhan bawah. Kumpulan burung yang menduduki bahagian tengah kanopi adalah lebih sukar untuk dibezakan antaranya terdapat burung kesumbar, burung belatuk dan burung merbah. Dalam Hutan Hujan Tropika terdapat populasi invertebrata yang mempunyai kepadatan yang rendah tetapi menunjukkan taksonomi yang sangat pelbagai. Invertebrata merupakan haiwan yang tidak bertulang belakang seperti serangga. Contohnya, rama-rama, labah-labah, anai-anai, dan sebagainya. Tempat habitat serangga juga dibahagikan kepada banyak aras. Contohnya aras yang lebih tinggi dalam hutan terdapat Ceratopogonidae, Homoptera dan pemangsanya. Di bawah tumbuhan kecil pula terdapat Psocoptera, semut, anai-anai dan kebanyakkan famili Diptera. Sebenarnya, komuniti invertebrata adalah berbeza pada lurah yang bersebelahan dan pada lereng dan permatang rabung. Lubang-lubang dalam batang pokok, batang yang reput serta tanah di bawahnya merupakan habitat tak selanjar yang penting. Tiap-tiap habitat ini mempunyai sekutuan dengan invertebrata yang tertentu. Selain itu, banyak invertebrata yang terdapat dalam hutan amat berfaedah kepada manusia. Misalnya, Apis mellifera dan Apis dorsata akan membekalkan lebah madu kepada kita. Spesies Lepidoptera (ramarama) pula adalah sangat penting untuk industri pelancongan. Oecophylla sp. (kerengga) penting sebagai pengawalan perosak secara biologi.

Cambidae sp. Pula ialah sejenis kumbang yang larvanya dimakan oleh kaum tertentu. Di sanping itu, hubungan antara tumbuhan dan haiwan juga jelas lihat dalam hutan. Hutan bukan hanya merupakan suatu persekitaran yang terdapatnya haiwan yang banyak tetapi juga tidak boleh kurangnya tumbuh-tumbuhan. Tumbuhan yang merupakan sumber makanan haiwan yang utama juga tertakluk kepada hukum pemilihan semulajadi. Tumbuhan juga memerlukan bantuan haiwan dalam pendebungaan dan penyebarannya. Dengan ini, hasillah hubungan haiwan dengan tumbuhan yang saling memerlu. Dalam pendebungaan, bunga yang didebungakan oleh haiwan mempunyai daya penarik untuk menarik haiwan tersebut dan mungkin ada daya penghalang untuk mencegah peengusahahasilan yang berlebihan. Terdapat juga gabungan kombinasi binaan, bentuk, saiz dan bauan yang disebut "sindrom" yang ada kaitan dengan lawatan sesuatu kelas haiwan. Contohnya, bunga yang didebungakan oleh burung tidak mempunyai bauan tetapi berwarna terang merah, jingga, kuning dan hijau, mempunyai binaan bunga yang kukuh dan mempunyai banyak nektar cair. Selain itu, haiwan juga memainkan peranan yang penting dalam penyebaran biji bagi pokok-pokok di kawasan tropika. Contoh satu ciri "sindrom" ialah penyesuaian pokok untuk sebaran biji oleh kelawar. Buah yang disebarkan oleh kelawar berwarna lebih pucat, kebanyakan berwarna coklat atau kekunigan dan mempunyai bau yanng hapak. Buah yang disebarkan oleh kelawar masak di atas pokok kemudian buah akan terkeluar daripada dedaun supaya mudah dilawati oleh kelawar. Antara kelawar yang berperanan penting ialah Pteropus yang boleh mengangkat buah seberat 200 g. Walaupun hutan penting sebagai habitat haiwan, serangga dan tumbuhan, tetapi dengan masalah pemusnahan yang semakin serius ini, sebilangan besar haiwan sedang mengalami masalah kepupusan. Haraplah dengan terlaksananya Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972, usaha ke arah pemuliharaan haiwan yang mengalami bahaya terpupus dapat dipertingkatkan. MENGAWAL ALIR AIR DAN KUALITI AIR Apabila hujan turun dengan lebat, air hujan akan menitis ke bawah menuju ke lantai hujan dengan pantas. Akan tetapi, pergerakan titisan air hujan dapat dilambatkan oleh kanopi hutan dan lapisan tumbuhan di bawahnya. Struktur Hutan Hujan Tropika yang berkanopi adalah penghalang hujan yang sangat cekap. Mengikut pendapat para ahli ekologi, liputan hutan dapat mengurangkan kejadian banjir pada musim hujan lebat dangan memerangkap sebahagian daripada air hujan dan mengembalikan sebahagiannya kepada atmosfera.

Sebenarnya, hujan yang sampai ke muka bumi akan membebaskan tenaga yang akan mengakibatkan serakan kumin tanih. Dengan ini, untuk menitis air hujan, kanopi hutan dapat menghasilkan perubahan kadar dan tempoh curahan air hujan ke lantai hutan. Yang penting sekali ialah hutan dapat mengurangkan kesan titisan air hujan ke atas tanah. Di samping itu, daundaun yang gugur di lantai hutan juga boleh bertindak ssebagai "kusyen" yang dapat menyerap titisan air hujan dan seterusnya menghalang pengaliran air ke dalam tanah di bawahnya. Justeru, peranan hutan bukan sahaja dapat mengurangkan kesan titisan hujan ke atas tanah, tetapi ia juga menggalakkan penyusupan air. Hal ini penting kerana penyusupan air dapat menghalang sesuatu kawasan itu daripada digenangi air. Selain itu, kewujudan humus dapat memperbaiki tekstur dan meningkatkan ketelapan supaya membantu dalam penyusupan air. Oleh itu, boleh mengatakan bahawa hutan berperanan untuk mengurangkan larian air dan meningkatkan keupayaan penyusupan serta membantu perkolasi air. Pada hakikatnya, hanya sebahagian sahaja hujan yang turun dapat sampai ke lantai tanah hutan akibat daripada pemintasan tumbuhan. Kuantiti hujan yang sampai ke lantai hutan adalah bergantung kepada bentuk dan susunan daun dan ranting pokok dalam hutan. Tanah hutan hujan primer dilindungi oleh beberapa lapisan kanopi. Oleh itu, berapa banyak hujan yang dipintas oleh pelbagai lapisan kanopi bergantung kepada keamatan hujan dan tempoh hujan turun. Sebahagian besar air hujan yang dipintas tidak sampai ke tanah dan sebelumnya akan tersejat ke atmosfera. Sebaliknya, air hujan yang tidak terpintas akan menjadi aliran terus atau aliran batang dan akan mengalir secara perlahan-lahan ke anak-anak sungai. Selain itu, sistem saliran yang ada sekarang adalah tidak dapat menampung kesemua hujan yang turun pada musim hujan dan mengakibatkan berlakunya banjir. Banjir berlaku akibat daripada air yang berlebihan dalam sungai dan rangkaian sungai. Sebelum air hujan mengalir ke sungai dan rangkaian sungai, ia akan melalui aliran dataran, aliran dasar dan aliran subpermukaan. Mengikut statistik, larian air dalam hujan adalah rendah iaitu 40%-50% kerana sebahagian besarnya telah dipintas oleh hutan. Ekosistem hutan berperanan sebagai "regulator" air dalam mengawal kadar alirannya. Kajian Liken 1970 telah menunjukkan bahawa kehilangan litupan hutan akan menyebabkan air hujan terus mengalir ke sungai-sungai dan mengakibatkan kejadian banjir kilat secara tidak langsung yang mendatangkan bencana kepada manusia. Ini dapat dilihat pada sebatang anak sungai yang mengalir ke kawasan hutan dan berbanding dengan sebatang sungai yang mengalir ke kawasan rancangan perumahan ketika hujan lebat. Disebabkan oleh kurangnya air hujan yang terpintas dan tersejat, kekerapan banjir dan kehebatannya dapat dilihat setelah pemusnahan hutan berlaku. Hutan adalah sangat penting sebagai satu sistem penyediaan kualiti air yang bermutu kepada manusia. Ramai ahli ekologi bersetuju bahawa legah yang

dilitupi tumbuhan membekalkan air yang berkualiti lebih baik digunakan oleh manusia kerana hutan bertindak sebagai penapis dalam menentukan kebersihan dan kejernihan air. Penebangan hutan bukan sahaja mempengaruhi aliran sungai dan suhu air sungai tetapi juga boleh menimbulkan perubahan keadaan kimia air sungai. Hal ini disebabkan apabila pokok-pokok ditebang, bekalan nutrien yang tersimpan dalam tumbuhan akan hilang. Walaupun sebahagian daripada nutrien boleh digunakan oleh tumbuhan lain yang ditanam oleh petani pindah tetapi kebanyakannya akan terlarut resap dan mengalir ke sungai. Perubahan nutrien yang banyak mungkin menimbulkan kesan yang tidak diingini seperti eutrofikasi tasik dan kolam. Dengan ini, kemerosotan kualiti air akan berlaku. MENGAWAL HAKISAN TANAH Masalah hakisan tanah sering berlaku kebelakangan ini akibat daripada aktiviti manusia sendiri. Kawasan hutan telah ditebang dan diusahakan untuk pertanian dan kegiatan lain yang menguntungkan manusia pada jangka masa yang pendak. Akibat penebangan hutan yang melampau, proses hakisan tanah telah mula berlaku secara perlahan-lahan. Apabila hujan diturunkan dengan lebat, percikan titisan hujann akan mempercepatkan proses hakisan. Hal ini kerana agregat tanih relai dan liang-liang besar dalam tanih telah ditutupi atau disumbati. Dengan ini, aliran daratan pun mula memperlihatkan kesannya dengan membawa bersama-sama kumin-kumin tanih. Proses sedemikian dinamakan sebagai proses iring arus. Di kawasan tropika lembap, proses penggondolan melibatkan beberapa proses yang penting. Antara proses-proses itu termasuklah: 1. Penggondolan kimia yang berlaku apabila batuan bertindak balas dengan air dan gas yang terlarut dalamnya. 2. Eluviasi mekanikal yang berlaku apabila kumin halus kelodak dan lampung di bawa air. 3. Basuhan cerun akibat tindakan titisan air hujan dan larian permukaan. 4. Hakisan oleh sungai. Antara proses-proses tersebut ada perbezaan dari segi kepentingannya. Peranan penggondolan kimia adalah lebih berkesan daripada hakisan mekanikal. Hakisan ini telah memberi implikasi bahawa litupan tumbuhtumbuhan di rantau ini melindungi permukaan bumi daripada hakisan mekanikal. Sebenarnya, litupan tumbuh-tumbuhan bertindak sebagai penutup bumi yang semulajadi. Ia dapat melindungi permukaan tanah daripada hentaman titisan air hujan dan akarnya dapat mencengkam pada tanah, pokok-pokok juga berfungsi sebagai pengikat tanah-tanih dengan akarnya. Keupayaan ini

dapat mengelakkan butir-butir tanah daripada pecah dan dihakis oleh air. Dengan ini, enapan dalam sungai akan berkurangan dan seterusnya terus mengurangkan pemendakan di hilir sungai. Dengan keupayaan ini, hutan dapat memelihara kualiti alam sekitar dan mencegah kejadian-kejadian buruk seperti banjir kilat daripada berlaku. Sebenarnya cara yang paling mudah untuk merosakkan tanih ialah dengan membasmi litupan tumbuh-tumbuhan dan mendedahkannya kepada hujan lebat yang menghakis bahagian atas tanah. Bahagian atas tanah kaya dengan humus dan mengandungi banyak pengurai. Jika litupan tumbuhan dibuangkan maka ini seolah-olah menyingkirkan sebahagian besar daripada kesuburan tanah. Tanah yang kehilangan humus tidak akan dapat serap air hujan dengan berkesan dan membiarkannya menjadi air lari. Hal in akan menyebabkan berlakunya hakisan tanah yang serius. Justeru, hutan memang memainkan peranan yang tidak dapat digantikan dalam mengawal hakisan tanah. Satu tinjauan telah dilakukan untuk mengukur larian air yang berlaku dalam hutan. Keputusannya menunjukkan bahawa kadar larian air adalah sebanyak 40%-50% sahaja. Ini adalah rendah di kawasan Hutan Hujan Tropika kerana kadar pemintasan oleh kanopi hutan adalah tinggi. Selain itu, bukit-bukit yang curam juga perlukan perlindungan daripada hutan untuk mencegah kerosakan yang serius yang disebabkan oleh hakisan. Dengan ini, jelaslah kita lihat peranan hutan sebagai pengawal hakisan tanah yang penting. KESTABILAN CUACA Pengurangan kawasan Hutan Hujan Tropika sejak kebelakangan ini telah disedari dengan memberi kesan terhadap cuaca di bumi. Semasa proses fotosintesis terjadi pada tumbuhan, tumbuh-tumbuhan akan menyerap karbon dioksida dengan mengeluarkan oksigan. Serasah daun yang terkumpul di lantai hutan juga akan menyimpan karbon dari atmosfera dalam proses fotosintesis. Proses karbonisasi pula telah diimbangi oleh pernafasan tumbuhan dan haiwan dan aktiviti ungkaibina yang mengakibatkan penggunaan oksigan dan pengeluaran karbon dioksida. Hutan Hujan Tropika adalah unik kerana mempunyai kadar biojisim yang tinggi. Mengikut statistik, daripada sejumlah 8330 bilion tan organik karbon yang terkumpul bersama-sama bahan tumbuhan, 40 % daripadannya dihasilkan di Hutan Hujan Tropika (Whitmore 1984). Pemusnahan hutan yang berlarutan bererti semakin berkurangnya penukaran karbon dioksida kepada organik karbon di udara. Hal ini terjadi lebih serius lagi dengan pembakaran fosil seperti arang batu, minyak dan gas asli untuk menampung keperluan tenaga. Yang membimbangkan kita ialah proses ini telah mengeluarkan karbon dioksida yang banyak ke udara. Ini telah menjejaskan suhu udara di

sekitar kawasan hutan yang asalnya adalah lebih rendah dan selesa daripada kawasan yang terbuka tanpa tumbuhan. Kenyataan menunjukkan bahawa pemekatan karbon dioksida di udara telah bertambah. Ini telah kelihatan semakin jelas sejak 100 tahun kebelakangan ini. Para saintis meramalkan bahawa hal ini akan mengakibatkan pemanasan dunia. Ianya akan mempengaruhi pengugangan kadar gas dan secara tidak langsung juga mempengaruhi ketebalan lapisan ozon yang terdapat di atmosfera. Kehadiran gas-gas seperti karbon dioksida, kloroflorokarbon (CFC), nitrid oksida di atmosfera akan menyekat pelepasan tenaga sinaran daripada permukaan bumi tetapi ia tidak menghalang laluan tenaga haba dari matahari ke atmosfera. Ini telah menyebabkan suhu meningkat. Fenomena ini dikenali sebagai kesan rumah hijau. Jika kita berjalan dalam kota raya yang penuh dengan bangunan batu dan kemudiannya berjalan melalui jalan yang dinaungi oleh pokok-pokok, sudah pasti mendapat jawapan betapa hutan memberi kesan terhadap cuaca persekitaran yang nyaman. Saintis-saintis alam sekitar telah mendapati bahawa suhu pada siang hari di bandar adalah lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar. Di kawasan bandar, pokok-pokok berfungsi sebagai agen pembersih udara melalui proses fotosintesis di mana gas karbon dioksida diserap dan gas oksigan dibebaskan. Wap-wap air hasil daripada proses ini pula menolong melembap dan menyamankan udara. Pokok-pokok yang ditanam di kawasan bandar dan di sepanjang jalan selain daripada mempunyai fungsi tersebut juga dapat bertindak sebagai zon penyerap bunyi di samping menambah keindahan suasana sekeliling. REKREASI Ahli sains menganggap hutan sebagai satu makmal yang besar bagi mereka menjalankan eksperimen dan kajian yang tak terhingga. Ahli masyarakat yang biasa pula telah menganggap hutan sebagai sesuatu tempat yang cantik dan selesa untuk merehatkan minda dan jiwa. Pada berpuluh-puluh tahun dahulu, hutan telah digunakan untuk berehat dan bersukan. Penggunaan hutan untuk rekreasi kian berkembang sejak kebelakangan ini. Sebab yag pertama mungkin kerana penduduk mula mempunyai masa untuk berekreasi. Selain itu, taraf hidup penduduk juga semakin meningkat dan mempunyai masa yang lapang untuk beristirehat. Penduduk bandar juga mula bosan dengan kehidupan di bandar dan ingin tinggal jauh dari bandar buat seketika. Dengan perkembangan kegiatan perindustrian, semakin ramai lagi orang yang menuju ke hutan untuk mendapat udara yang segar dan bersih. Oleh itu, hutan-hutan rekreasi telah diwujudkan dengan tujuan menyediakan kawasan-kawasan yang mempunyai ciri-ciri hutan alam semulajadi bagi aktiviti-aktiviti peristirehatan kepada masyarakat. Dengan ini, masyarakat berkesempatan menghayati suasana persekitaran hutan di samping mengenali pelbagai fungsi flora dan fauna hutan. Dalam konteks

ini, Hutan Hujan Tropika menepati keperluan berekreasi. Di samping teduhan tumbuhan dan aliran sungai, masyarakat turut disediakan dengan pelbagai kemudahan riadah seperti kawasan perkhemahan, persiaran danai alam, kolam mandi dan pelbagaai kemudahan rekreasi lain. Sebenarnya, hutan telah memberikan kita banyak faedah yang secara langsung atau tidak langsung. Di negara asing, nilai rekreasi hidupan liar dari segi ekonomi adalah lebih tinggi daripada nilai dagangannya. Misalnya di Amerika Syarikat, terdapat lebih daripada 30 juta penduduk menjalankan kegiatan memburu dan memencing. Ini telah menampung keperluan industri pelancongan dan rekreasi Amerika. Walau bagaimanapun, masih ramai penduduk yang menganggap hidupan liar sebagai sesuatu yang menarik untuk dilihat dan dikaji, bukannya untuk diburu. Oleh sebab itu, kawasan hutan diperuntukan untuk tujuan rekreasi dan tempat pemeliharaan hidupan liar. Dengan ini, Taman Negara telah diwujudkan. Dalamnya terdapat banyak hidupan liar seperti seladang yang takutkan manusia. Dalam Rancangan Malaysia ke-2 dan ke-3 (1971-1980), 25 kawasan hutan rekreasi telah ditubuhkan. Sehinggan penghujung Rancangan Malaysia ke-4 (1981-1985), sebanyak 14 kawasan lagi telah dimajukan sebagai hutan rekreasi. Langkah kerajaan dalam menubuhkan hutan-hutan rekreasi ini telah menambahkan perkembangan kemajuan pelancongan negara. Kawasan hutan tidak akan dimusnahkan melalui aktiviti penebangan dan ia digunakan untuk tujuan pelancongan alam semulajadi dan aktiviti rekreasi. Dengan cara ini, masyarakat akan menjadi lebih prihatin dan peka terhadap kepentingan hutan dalam menyumbangkan peranannya mensejahterakan kehidupan. Justeru, masyarakat akan menjadi lebih mencintai alam semulajadi sejajar dengan kehendak negara bagi memelihara dan mengekalkan kualiti dan keindahan alam sekitar. Kini, pengurusan dalam industri berorientasikan pelancongan alam semulajadi berpotensi menghasilkan pendapatan yang lumayan kepada ekonomi negara. KESIMPULAN Walaupun kita telah menikmati banyak faedah daripada hutan, tetapi kadar eksploitasi masa kini memberi penanda bahawa tidak banyak yang masih tinggal untuk dilihat dan dinikmati oleh generasi akan datang. Oleh demikian, adalah penting untuk menjadikan hutan kita sebagai sumber alam semulajadi yang tidak seharusnya dipergunakan dengan berleluasa untuk mendapatkan keuntungan jangka pendek. Sebaliknya, kita perlu mempunyai pandangan yang jauh bahawa hutan kita akan terus memberi kesejahteraan kepada penghidupan sejagat. Walaupun proses pembangunan terus dijalanjkan di negara ini, ia tidak seharusnya menjejaskan sistem penampungan penghidupan bersumberkan hasil hutan yang sedia ada. Keperluan yang diseimbangi dan tindakan yang teratur di dalam mengeksploitasi khazanah hutan perlulah diuruskan bersesuaian dengan program pembangunan negara. Sebagai warganegara yang

bertanggungjuwab, kita harus mengimbangi pandangan dan mempunyai komitmen terhadap nilai-nilai hutan serta memeliharanya demi kesejahteraan penghidupan yang seimbang. Haruslah kita ingat bahawa segala yang ada dalam alam ini bukan hak milik kita sahaja. Kita hanya meminjamnya daripada generasi lalu dan perlu kembalikannya kepada generasi yang akan datang. RUJUKAN Hutan Hujan Tropika Di Timur Jauh, T.C Whitmore, Dewan Bahasa Dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia 1991

Global Forest Resources Alexander S. Mather Belhaven Press A Division of Pinter Publishers London

Tumbuh-tumbuhan Dan Persekitaran Satu Perspektif Geografi Ismail Ahmad Yaakob Mohamad Jani Percetakan Dewan Bahasa Dan Pustaka

Hutan Hujan Tropika Semenanjung Malaysia Khairuddin Haji Kamaruddin Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia

You might also like