You are on page 1of 2

Kemilau danau menyilau mata, Tempat putera menahan ikan, Lafaz bismillah pembuka kata, Gelanggang pidato hamba

mulakan Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera diucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana yang sentiasa berpegang kepada neraca keadilan,guru-guru dikasihi dan rakan-rakan yang bertanding dan warga dewan yang budiman sekalian. Hadirnya saya di pentas yang indah dan pagi yang nirmala ini adalah untuk menyampaikan pidato yang bertajuk Kepentingan Penghayatan erti kemerdekaan oleh generasi muda. Warga dewan yang budiman, Berikan saya sepuluh remaja, nescaya akan saya gegarkan dunia ini, begitulah ungkapan yang telah dikatakan oleh Presiden Pertama Indonesia, Soekarno. Ungkapan ini menggambarkan betapa gahnya peranan generasi muda sebagai penentu pembangunan dan kemajuan Negara pada masa depan. Generasi muda merupakan aset modal insan yang amat bermakna. Namun, impak arus globalisasi kini telah menyebabkan semangat patriotic dalam kalangan remaja kian pudar.kebanyakan alpa akan tanggungjawab terhadap diri sendiri dan masa depannya. Generasi muda kini semakin tenggelam dalam kancah keruntuhan moral yang amat membimbangkan. Bagi mereka peduli apa dengan merdeka. Mereka juga berpendapat Negara kita telah bebas. Tiada apa-apa yang hendak ditakutkan. Kalau ada apa-apa berlaku , polis dan tentera boleh mengawalnya. Yang lebih menyedihkan ialah sambut hari kemerdekaan dinanti-nantikan hanya kerana cuti umum dan bersuka ria dan segala penyakit social akan bermaharaja lela sepanjang hari berkenaan.Seharusnya generasi muda kini perlu dididik menghargai kemerdekaan serta mengamalkan slogan Negara Kita, Tanggungjawab Kita. Para hadirin sekalian, Pada pendapat saya setiap warga malaysia terutamanya generasi muda yang merupakan pewaris bangsa perlu menghayati erti kemerdekaan dan menghargai erti kemerdekaan. Menyingkap kembali sejarah kemerdekaan , kita sewajarnya berterima kasih kepada para pejuang bangsa yang begitu gigih dan bersusah payah merealisasikan impian mulia ini. Ada dalam kalangan mereka yang terpaksa bergolok bergadai semata-mata untuk pergi ke London bagi merundingkan hal kemerdekaan. Dalam hal ini, penghayatan erti kemerdekaan haruslah disemaikan dalam kalangan generasi muda. Hal ini demikian untuk meyedarkan generasi muda tentang betapa murni dan mulianya pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu kala. Antara pejuang kemerdekaan tanah air termasuklah Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj , Tun Tan Cheng Lock, Tun V. Sambantham, Tun Sardon Jubir, Ibrahim Yaakub, Ishak Hj. Mohamad dan lain-lain. Janganlah hendaknya apabila gema merdeka dilaungkan pada setiap 31 Ogos, barulah kita mengenang kembali jasa mereka.Jika inilah realitinya, alangkah malangnya nasib Negara yang mempunyai generasi baru yang hanya tahu akan kata merdeka, tetapi tidak memahami dan menghayati erti kemerdekaan.

Sebenarnya, jasa dan bakti para pejuang haruslah dihargai dan dikenang setiap masa. Kita harus berasa syukur kerana dapat bernaung di dalam sebuah Negara yang bebas, mewah, dan aman sentosa. Para hadirin dan hadirat yang dihormati, Kita seharusnya berbangga kerana Negara kita mencapai kemerdekaan tanpa adanya pertumpahan darah. Kita tidak perlu memanggul senjata sebagai syarat wajib untuk membebaskan tanah air tercinta ini daripada belenggu penjajah, jauh sekali untuk berperang. Justeru, generasi baru harus sentiasa diperingatkan akan betapa bernasib baiknya mereka kerana dilahirkan di sebuah Negara yang merdeka. Oleh itu, kita semua harus menghargai dan mempertahankan kemerdekaan ini buat selama-lamnya. Sehubungan itu, kita sedia maklum bahawa generasi pejuang kemerdekaan mempunyai visi dan ilmu yang cukup tinggi. Mereka bijak menggunakan ilmu dan akal untuk mencari formula terbaik bagi mencapai matlamat kemerdekaan tanpa pertumpahan darah. Mereka mempunyai semangat juang dan sifat setia kawan yang tidak berbelah bahagi. Tanpa mengira keturunan, budaya, dan bahasa, mereka bersatu hati dalam menuntut kemerdekaan daripada pihak British. Baik yang berbangsa melayu, cina, mahupun India matlamat mereka hanya satu, iaitu mahu akan sebuah Negara yang merdeka. Mereka mengetepikan soal agama dan budaya. Falsafah yang ada pada ketika itu cukup mudah dan jelas iaitu dimana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Atas kepercayaan bahawa ketiga-tiga bangsa utama PersekutuanTanah Melayu itu dapat mencapai kata sepakat mentadbirkan Negara ini, maka penjajah British rela melepaskan bumi beruah ini kepada anak watan. Para hadirin sekalian, Generasi muda kini perlu juga ditanamkan nilai-nilai kesyukuran terhadap kebebasan yang dikecapi. Mereka perlu dididik tentang harga suatu kemerdekaan. Lazimnya, manusia cepat menjadi pelupa dan alpa.Mereka selalaunya akan hanya menghargai sesuatu apabila telah kehilangannya. Justeru, anak-anak merdeka perlu diingatkan agar sentiasa mempertahankan kemerdekaan Negara, tidak kira dalam apa-apa keadaan sekalipun. Sesungguhnya, Negara kita adalah tanggungjawab kita. Tidak ada bangsa lain di dunia ini yang sanggup mempertahankan hak dan maruah kita sebagai bangsa yang merdeka dan bebas, melainkan diri kita sendiri. Generasi muda kita perlu juga dicelikkan dengan fakta sejarah bahawa Negara kita pernah berada dalam cengkaman penjajah selama hamper 600 tahun selepas tumbangnya zaman kegemilangan kesultanan melayu Melaka. Tanah air kita pernah berada di bawah pemerintahan penjajah bermula dengan Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan dengan pemerintahan semula inggeris. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali. Oleh itu, menjadi tanggungjawab generasi muda untuk memelihara dan mempertahankan hak kita sebagai bangsa yang merdeka. Kita tetap akan hidup sebagai bangsa yang mulia dan bermaruah selagi kemerdekaan kita tidak tergugat. Sidang dewan yang dimuliakan Sebelum mengakhiri pidato ini, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa erti kemerdekaan harus disematkan dalam jiwa setiap warga kita, khasnya generasi muda serta disyukuri sepanjang zaman. Sekian Terima Kasih.

You might also like