You are on page 1of 4

TEKS UCAPAN PERASMIAN PENUTUPAN PROGRAM KELUARGA ANGKAT 1MALAYSIA PERINGKAT KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA TAHUN 2011 OLEH

Y.A.B TAN SRI HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD. YASSIN TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA PADA 15 MAC 2011 (SELASA) JAM 11.30 PAGI BERTEMPAT DI AUDITORIUM PARCEL E, PUTRAJAYA

Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia Yang Berbahagia Dato Dr. Rosli bin Mohamed Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia Yang Berbahagia Dato Abd Ghafar bin Mahmud Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Yang Berbahagia Dato Asariah bt. Mior Shaharuddin Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Program Keluarga Angkat 1Malaysia Kementerian Pelajaran Malaysia Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Setiausaha-Setiausaha Bahagian KPM, Pengarah-Pengarah Bahagian KPM, Pengarah-Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Pegawai-Pegawai Pelajaran Daerah, Para Pemimpin, dan Pengurus Institusi Pendidikan, Yang Berbahagia Datuk-Datuk, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian, 1. Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan berkat limpah dan kurniaNya dapat sama-sama kita berhimpun pada hari ini dalam Majlis Penutupan Program Keluarga Angkat 1Malaysia Peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia. 2. Tahniah dan Syabas kepada Kementerian Pelajaran Malaysia di atas inisiatif menganjurkan program ini. Kita seharusnya berbangga dan berbesar hati kerana mampu untuk melaksanakan program sebegini sebagai satu lagi usaha bersepadu membantu merealisasikan matlamat 1Malaysia agar tidak hanya menjadi satu slogan semata-mata, sebaliknya dibuktikan dengan tindakan.

3. Program ini merupakan satu lagi usaha berterusan dalam membantu mencapai matlamat Gagasan 1Malaysia. Langkah untuk mendekatkan pemimpin kanan pendidikan dengan pemimpin pelajar pada peringkat sekolah merupakan satu proses awal untuk menyediakan pelajar agar mampu menjadi pemimpin negara pada masa akan datang. 4. Dalam menjayakan program sebegini, kerjasama dan komitmen daripada semua pegawai KPM amat dihargai. Saya mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian pegawai kanan KPM untuk menjadi bapa dan ibu angkat kepada pelajar kita. Saya berkeyakinan, sepanjang program ini berjalan, pelajar bersama-sama ibu dan bapa angkat, pastinya sudah banyak perkara baru yang telah dipelajari, banyak pengalaman yang telah ditempuhi dan pelbagai cara hidup baru turut diterokai. Para pelajar yang dikasihi sekalian, 5. Syabas dan tahniah kerana terpilih sebagai peserta daripada antara jutaan pelajar yang berada di Malaysia untuk menyertai program anak angkat ini. Anda seharusnya berbangga kerana dapat menyertai program yang bertujuan menyemai perpaduan melalui proses silang budaya yang julung kali diadakan. Melalui program sebegini, para pelajar dapat mengalami dan melalui sendiri kehidupan serta situasi yang berbeza bersama-sama keluarga angkat masing-masing. 6. Sebagai pemimpin pada peringkat sekolah, anda cukup bertuah kerana telah dapat melalui kehidupan bersama-sama dengan mereka yang menjadi tonggak dan peneraju kepada kecemerlangan pendidikan negara. Para pelajar menimba ilmu secara langsung daripada mereka yang tinggi pengetahuan dan kaya dengan pengalaman sebagai pemimpin dan pengurus pendidikan. Adalah satu kerugian seandainya peluang yang terbuka luas selama lima hari tersebut berlalu dengan sia-sia tanpa ada impak yang positif dalam diri pelajar sekalian. 7. Pepatah ada mengatakan, Hendak belajar berenang dapatkan itik; hendak belajar memanjat dapatkan tupai. Dalam erti kata lain, jadikanlah pemimpin berwibawa sebagai idola atau model contoh dalam menuju ke arah kecemerlangan. 8. Ibu bapa angkat yang berada bersama-sama pelajar pada hari ini telah menempuh pelbagai dugaan dan cabaran demi meraih kejayaan. Bukan mudah bagi mereka untuk berada pada tahap ini. Pengalaman mereka terlalu berharga dan tidak boleh dijual beli. Terlalu banyak pahit getir dan suka duka yang mereka lalui dan para pelajar patut menjadikannya panduan dan pedoman dalam meniti liku kehidupan. 9. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Para pelajar sekalian perlu menjadi insan yang tahu mengenang budi, juga tahu menghargai jasa. Hari ini, keluarga angkat telah berbudi dan berjasa kepada para pelajar sekalian. Justeru, sewajarnya budi dan jasa mereka dihargai dengan cara mengamalkan apa yang telah dipelajari, apa yang baik dijadikan panduan, ikutan dan teladan dan sekiranya terdapat jua rasa terkilan, lebih baik diketepikan. Hadirin sekalian, 10. Program Anak Angkat ini berbeza dengan program yang lain kerana di hadapan saya pada hari ini terdiri daripada pemimpin pelajar yang berlatarbelakangkan pelbagai warna kulit, bangsa dan juga agama yang sama-sama bersatu untuk menjayakan Gagasan 1Malaysia. Bagi mencapai hasrat tersebut, kita sepatutnya ada semangat kekitaan, kepunyaan, kebersamaan dan keakraban selaras dengan prinsip Rukun Negara.
2

Para pelajar yang dikasihi sekalian, 11. Semoga pelajar sekalian telah mempelajari erti kesabaran dan ketabahan, serta makna pengorbanan dan keinsafan dengan menghormati dan menerima perbezaan yang wujud antara kita seadanya. Saya menaruh harapan yang tinggi agar pemimpin pelajar sekalian juga mampu menjadi orang yang berjasa kerana Hidup kayu berbuah; hidup manusia biarlah berjasa. 12. Saya berharap agar pengalaman yang telah dikutip tidak akan dipersia-siakan sebaliknya dimanfaatkan segala yang telah dipelajari, dialami dan diperoleh sebaik mungkin. Hasilnya, pemikiran kita akan lebih terbuka, mempunyai sikap toleransi yang tinggi, berusaha untuk saling memahami serta menghormati walaupun terdapat perbezaan amalan, kepercayaan, identiti dan juga nilai kehidupan. 13. Kita tidak menafikan bahawa ada antara kita yang bersikap Seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Sebagai bakal pemimpin pada masa akan datang, sifat tersebut tidak sepatutnya ada dalam diri kita. Kita mesti sentiasa berusaha untuk menjadi manusia yang prihatin dan peka terhadap keperluan dan kehendak orang lain. Saling membantu dan bekerjasama sepatutnya menjadi amalan dalam kehidupan seharian. 14. Kita sekalian amat beruntung kerana berada dalam negara yang sudah merdeka. Sehingga ke hari ini, Alhamdulillah Malaysia masih lagi aman, ekonomi stabil dan perpaduan terus mantap berkat kesepaduan, keutuhan serta jati diri yang tinggi dalam kalangan rakyat negara ini. Maka, kita semua perlu mempertahankan kejayaan yang telah kita miliki dengan bersatu padu dan berusaha untuk memelihara kemakmuran negara. 15. Saya tidak mahu melihat para pelajar hari ini lemah, mundur dan terlibat dengan pelbagai aktiviti tidak sihat yang boleh menghancurkan diri sendiri dan masa hadapan negara. Kita mahu pelajar pada hari ini, gigih berusaha dalam pencarian ilmu kerana mereka yang berilmu dan berakhlak mulia sahaja seharusnya menerajui negara pada masa akan datang. 16. Saya amat berharap agar segala ilmu dan pengalaman yang dilalui oleh pelajar turut dikongsi bersama-sama rakan pelajar yang lain. Khabarkanlah kepada rakan-rakan betapa indahnya kenangan apabila kita berkongsi perbezaan. Yakinkan mereka bahawa di sebalik perbezaan wujud persamaan. 17. Jadikan diri para pelajar sekalian sebagai duta dan agen perubahan dalam membantu merealisasikan Gagasan 1Malaysia. Usah dipersia-siakan peluang yang berharga ini kerana saya yakin para pelajar sekalian mampu melakukannya asalkan ada kemahuan dan kesungguhan. Pasti anda boleh! 18. Pesanan saya buat keluarga angkat dan pelajar sekalian, agar jalinan yang wujud usah dibiarkan berlalu begitu sahaja. Teruskan hubungan ini sampai bila-bila. Jejaki anak angkat yang berada di hadapan saya ini bagi memastikan para pelajar mampu menjadi pemimpin yang akan membawa obor 1Malaysia dalam mentadbir negara pada masa akan datang. 19. Yakinlah Sepakat kita kuat, berpecah kita rebah. Dalam apa jua usaha yang ingin kita lakukan, berpakatlah agar kejayaan mudah dikecapi. Hidup ini satu perlumbaan, usah biarkan diri kita sering ditimpa kekalahan. Program Anak Angkat ini merupakan satu permulaan yang baik dan sewajarnya diteruskan agar antara kita boleh saling berkenalan kerana di situ ada titik pertemuan. Usaha murni ini akan membantu negara ke arah menjayakan Gagasan 1Malaysia. Sesungguhnya
3

muafakat membawa berkat. 20. Sampaikan salam saya kepada ibu bapa anda yang tidak dapat hadir pada hari ini. Semoga kembali ke pangkuan keluarga dengan keadaan selamat dan sejahtera hendaknya. 21. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, dengan rasminya saya menutup Program Anak Angkat 1Malaysia Peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia tahun 2011. Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

You might also like