You are on page 1of 10

1.

SOALAN 11 (2008)
11. Usaha permodenan di Jepun pada pertengahan abad ke-19 hingga awal abad ke-20 lebih berjaya berbanding dengan usaha pemodenan di China. Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan ini ?

Negara Jepun dan China telah mengubah dasar negara untuk membawa kemajuan terhadap negara masing-masing. Di China, banyak gerakan pembaharuan yang dilancarkan bagi memajukan negara tersebut. Namun, dasar perubahan tersebut tidak berjaya membawa sebarang kemajuan terhadap negara China. Golongan berpendidikan Barat telah menggunakan idea-idea moden tetapi penduduk China telah menolak idea-idea tersebut kerana mereka tidak mahu menerima sebarang perubahan. Walaubagaimanapun , penduduk Jepun sanggup untuk menerima sebarang perubahan ke atas negara mereka. . Hal ini kerana , Maharaja Meiji telah memainkan peranan dengan menaikkan lagi semangat rakyatnya untuk mencapai kemajuan. Pemerintahan dan pentadbiran negara Jepun turut mengalami pemodenan. Sistem pemerintahan tradisional telah digantikan dengan pemerintahan bercorak Barat. Setelah Maharaja Meiji menakluki pemerintahan Jepun, beliau telah menghapuskan sistem feudalisme bertujuan untuk menguatkan pentadbiran Jepun. Pada tahun 1885, satu sistem kabinet dan jawatan perdana menteri diwujudkan dan diikuti dengan kewujudan Majlis Privy tiga tahun kemudian. Majlis ini berfungsi sebagai penasihat kepada maharaja. Pada 11 Februari 1889 pula, Maharaja Meiji telah mengisytiharkan perlembagaan baru Jepun yang menempatkan maharaja di peringkat tertinggi. Perlembagaan ini juga telah mewujudkan dua buah dewan iaitu Dewan Bangsawan dan Dewan Perwakilan. Jepun juga telah memberi perhatian khusus dalam bidang perundangan sebagai langkau untuk membangunkan negara. Jepun juga telah mendapatkan nasihat daripada pakarpakar perundangan Barat. Maharaja Meiji berjaya menguatkuasakan undang-undang moden dalam menghapuskan perjanjian-perjanjian yang tidak adil antara Jepun dengan kuasa-kuasa Barat dan mewujudkan masyarakat industri moden. Pada tahun 1873, seorang peguam Perancis, Gustave Roissonade de Fontarabe telah dilantik sebagai penasihat kepada Kementerian Keadilan di Jepun. Baliau telah ditugaskan menggubal undang-undang jenayah moden yang telah dikuatkuasakan dalam tahun 1882. Jepun berjaya dengan dasar pembangunan kerana mempunyai sumber kewangan yang kukuh. Oleh itu, Jepun berjaya membangunkan ekonominya. Jepun telah mengamalkan dasar pintu terbuka menyebabkan sektor pertanian menerima revolusi dari Barat. Revolusi ini telah mendatangkan hasil yang cemerlang. Selain itu, sektor perindustrian yang dianggap penting turut dimajukan. Pada tahun 1865, pusat pembinaan kapal di Yokosuka dibuka. Walaupun Jepun banyak menggunakan sistem yang diamalkan di Barat namun elemen-elemen tradisional masih dikekalkan dan berjalan seiringan dengan sistem Barat. Dengan perubahan yang dapat diterima oleh semua lapisan penduduk Jepun, kestabilan dan keamanan dalam negara dapat dikekalkan. Semua pihak terutama golongan feudal kehilangan kuasa dan wilayah pentadbiran tetapi mereka tidak menimbulkan sebarang

penentangan. Keadaan tersebut disebabkan oleh semangat kebangsaan yang tinggi dalam kalangan mereka. Mereka taat dan setia terhadap maharaja. Pihak asing yang berada di Jepun turut mengiktiraf pemodenan negara Jepun. Malahan pihak Barat telah membuat penyemakan terhadap perjanjianperjanjian mereka untuk mengekalkan hubungan baik dengan Jepun. Contohnya, pada tahun 1894 Britain telah mengiktiraf pemodenan Jepun. Menjelang tahun 1911, Jepun mempunyai taraf yang sama dengan kuasa-kuasa besar Barat. Usaha untuk memodenkan pentadbirn negara China menghadapi masalah kerana China masih mengamalkan pentadbiran yang sedia ada. Namun kehadiran kuasa Barat telah membawa perubahan kepada sistem pentadbiran negara China. Pada tahun 1898, satu percubaan menggubal sistem kerajaan China dilakukan melalui Reformasi Seratus Hari oleh Kang Yu Wei tetapi gagal dilaksanakan kerana mendapat tentangan daripada pihak konservatif. Pada tahun 1905, berlaku sekali lagi perubahan dalam pentadbiran kemaharajaan China dengan adanya usaha mewujudkan sistem raja berperlembagaan, namun rancangan ini gagal dilaksanakan. Di samping itu, China menghadapi ancaman imperialisme Barat dan Jepun. China terlibat dengan dua kali insiden peperangan dengan Britain, iaitu Perang Candu I dan II. Kekuatan tentera sekutu telah melemahkan tentera China yang kekurangan dari aspek persenjataan. Gerakan penentangan terhadap kuasa-kuasa Eropah, khususnya British menghadapi kegagalan akibat kekurangan senjata. Contohnya, dalam Pemberontakan Boxer, mereka mengalami kekalahan kerana tidak mempunyai senjata yang lengkap. Kesempatan tersebut telah digunakan oleh pihak British untuk melemahkan rakyat China. Selain itu, China menghadapi ancaman dari Jepun yang berusaha untuk mengembangkan kekuasaannya di Tanah Besar China. Hal ini terbukti dengan beberapa siri peperangan dengan Jepun. Perang China-Jepun berlaku pada tahun 1894 yang mengakibatkan China mengalami kekalahan teruk. Serangan Jepun ke atas China telah dilakukan lagi pada tahun 1937 yang sekali gus telah melemahkan sistem pemerintahan negara tersebut. Seterusnya, negara China menghadapi masalah kekurangan sumber ekonomi akibat dikuasai oleh pihak asing. Setelah kekalahan China dalam dua siri peperangan dengan British dan Jepun, sumber ekonomi khususnya perdagangan telah dikuasai oleh mereka. Contohnya, perniagaan tradisional China mengalami kemerosotan akibat kehadiran ekonomi moden. Selain itu, sumber ekonomi seperti pertukangan turut mengalami persaingan dengan industri Barat yang lebih canggih. Dengan kekurangan sumber ekonomi, pembaharuan yang dilaksanakan mengalami kegagalan dana yang terhad. Tambahan pula, pihak Barat telah mempengaruhi sistem percukaian yang dikenakan oleh pemerintahan Manchu ke atas rakyat China. Beban hutang kerajaan China banyak akibat terpaksa membayar ganti rugi setelah kalah dalam peperangan. Kesimpulannya, kedatangan Barat di rantau Asia Timur telah membawa perubahan yang ketara dalam kehidupan masyarakat. Menjelang abad ke-19 dan awal abad ke-20, negara Jepun dan China telah berusaha untuk membuat pelbagai pembaharuan untuk memajukan negara masing-masing. Mereka berhasrat untuk memperbaharui sistem politik dan ekonomi supaya lebih berdaya saing dengan kuasa-kuasa Eropah. Walau bagaimanapun, jika ditinjau secara teliti hanya Jepun sahaja yang berjaya dengan pembaharuannya. Hal ini terbukti dengan terbinanya sebuah negara yang kukuh dan stabil berbeza dengan China yang gagal dalam usaha pemodenan.

2.

TEXT POST WED, JUN. 08, 2011

SOALAN 5 (2008)
5. Bincangkan usaha kerajaan untuk meningkatkan penglibatan dan sokongan penduduk tempatan dalam membanteras ancaman komunis dari tahun 1948 hingga tahun 1954.

Parti Komunis Malaya (PKM) mengamalkan dasar yang lebih tegas di Tanah Melayu. PKM mahu melancarkan pemberontakan bersenjata untuk menggulingkan kerajaan British bagi membentuk Republik Komunis Malaya. PKM tidak didaftarkan sebagai sebuah parti yang sah di sisi undang-undang. Oleh yang demikian, parti itu tidak bergerak secara bebas. PKM telah melakukan kekejaman seperti membakar balai polis, menganjurkan mogok, membunuh anggota polis, tentera, pengurus ladang dan ahli Kuomintang. Justeru, British telah berusaha untuk membendung kegiatan komunis dengan mengisytiharkan darurat pada tahun 1948. Terdapat langkah ketenteraan dan bukan ketenteraan yang telah dilaksanakan bagi mengatasi masalah kegiatan komunis. Antara langkah ketenteraan ialah menguatkuasakan undang-undang darurat. Apabila darurat diisytiharkan, Tanah Melayu diletakkan di bawah pentadbiran tentera iaitu kerajaan British berkuasa penuh dalam pentadbiran. Kerajaan British telah bertindak mengharamkan parti-parti politik berhaluan kiri dan menangkap orangorang yang disyaki terlibat dalam PKM. Bahkan, mereka juga akan menjatuhkan hukuman bunuh kepada sesiapa yang dianggap bersubahat dengan komunis. Selain itu, kerajaan British juga telah memperkukuhkan bidang ketenteraan. PKM berani bertindak ganas kerana kerajaan British kekurangan tentera dan polis. Oleh itu, Sir Gerald Templer telah berusaha menambah kekuatan tentera di Tanah Melayu dengan beberapa cara. Antaranya ialah pasukan Polis Persekutuan dan Mata-Mata Khas diperbesar menjadi 70000 orang. Malahan, Perkhidmatan Negara diperkenalkan pada tahun 1952 untuk mewajibkan belia mendapat latihan ketenteraan dan berkhidmat dalam tentera. Kerajaan British juga mendapatkan bantuan ketenteraan daripada negara-negara Komanwel seperti Britain, Australia, New Zealand, Fiji, dan Afrika Timur (Gurkha). Pada tahun 1952, Gerald Templer telah memperkenalkan konsep kawasan `hitam dan kawasan `putih. Kawasan hitam ialah kawasan yang pengaruh komunis masih aktif. Di kawasan hitam, askar-askar akan mengawal bekalan makanan dan gerak geri penduduknya. Apabila anasir-anasir komunis sudah dibersihkan kawasan ini akan diisytiharkan sebagai kawasan putih. Kawasan hitam yang pertama ialah Gua Musang manakala kawasan putih yang pertama ialah Melaka.

Manakala bagi langkah bukan ketenteraan ialah sekatan jalan raya dan kawalan kanpung. Pasukan polis dan Home Guard telah mengadakan sekatan jalan raya di tempattempat strategik seperti di simpang-simpang jalan. Dalam sekatan tersebut, mereka akan memeriksa dan merampas barang-barang yang diharamkan atau barang makanan yang melebihi had ditetapkan. Sekatan jalan raya dapat menyekat pergerakan komunis untuk mendapatkan makanan, maklumat dan sabotaj terhadap British. Di samping itu, Rancangan Briggs turut diperkenalkan. Idea ini dicadangkan oleh Sir Harold Briggs, iaitu Pengarah Gerakan menentang komunis pada tahun 1949. Melalui Rancangan Briggs, kerajaan telah memindahkan lebih setengah juta kaum Cina yang tinggal secara haram di pinggir hutan ke kawasan penempatan baru yang dikenali sebagai Kampung Baru. Perpindahan setinggan Cina ke Kampung Baru dianggap penting kerana sebelum ini kawasan mereka menjadi sarang kegiatan komunis. Kawalan ketat oleh pasukan keselamatan telah menyelamatkan pendudk Kampung Baru daripada ugutan dan ancaman komunis. Bahkan , hubungan antara orang Cina dengan pengganas komunis terputus sekaligus menyebabkan komunis mengalami masalah kekurangan bekalan makanan dan sumber maklumat. Melalui Rancangan Briggs juga usaha British untuk melancarkan `Gerakan Kelaparan kepada komunis Berjaya. Seterusnya pihak British cuba mengeratkan hubungan antara kaum di Tanah Melayu. Kerenggangan hubungan dan syak wasangka antara kaum akan menyebabkan usaha kerajaan British membanteras kegiatan komunis gagal. Oleh itu, pada 10 Januari 1949, Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum ditubuhkan. Matlamat utama jawatankuasa ini ialah untuk membentuk kerjasama antara kaum terutamanya orang Cina dan orang Melayu. Usaha Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum berjaya mempengaruhi kaum Cina untuk menubuhkan parti Malayan Chinese Association (MCA) sebagai tanda mereka tidak menyokong perjuangan komunis. Tambahan lagi, kerajaan British juga telah mengenakan catuan makanan untuk mengelakkan pihak komunis mendapatkan bekalan makanan. Para pekedai diarahkan mencatat nama pelanggan dan kuantiti yang dibeli. Orang ramai pula diberikan kupon-kupon. Mereka diarahkan mengambil makanan mengikut jumlah ahli keluarga sahaja. Tujuannya adalah untuk memastikan barang-barang makanan dan keperluan lain tidak sampai ke tangan musuh. Dengan cara itu, komunis dapat dipaksa keluar daripada tempat persembunyian mereka. Kesimpulannya, segala usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan telah berjaya menghapuskan anasir komunis di Tanah Melayu. Darurat merupakan salah satu usaha yang telah dijalankan bagi membendung kegiatan komunis. Walaupun hal ini membawa kebaikan dalam membendung masalah komunis, namun penduduk Tanah Melayu tetap mengalami kesengsaraan dan penderitaan semasa darurat.

3.

TEXT POST WED, JUN. 08, 2011

SOALAN 2 (2008)
2. Bincangkan kegiatan ekonomi komersial di Sabah pada abad ke-19 hingga awal abad ke-20.

Sistem ekonomi masyarakat Melayu tradisional bersifat pelbagai iaitu sara diri, separa sara diri, ekonomi komersial dan perdagangan. Di Sabah, kegiatan ekonomi komersial telah dijalankan sejak abad ke-19 hingga awal abad ke-20. Penduduk peribumi Sabah mengamalkan sistem ekonomi komersial yang pelbagai seperti pertanian, penternakan, perikanan dan sebagainya. Manakala masyarakat peribumi Sabah yang tinggal di persisiran menjadi pedagang dan pengikut rombongan dagang pembesar-pembesar Brunei dan Sulu. Pihak Barat telah menggunakan penduduk tempatan di Sabah untuk menjalankan kegiatan ekonomi komersial. Antara kegiatan ekonomi komersial yang telah dijalankan pada abad ini ialah dalam bidang pertanian. Tembakau merupakan tanaman dagangan pertama yang penting. Peladang Eropah mula menanam tembakau di pantai timur Sabah pada awal tahun 1880-an.Tembakau ini mula dieksport pada tahun 1884. Pada tahun 1890, terdapat 60 estet di Sabah yang bertumpu di bahagian pantai timur laut dan pantai timur Sabah. Pertanian secara komersial telah berkembang dengan pesat di Sabah dengan adanya pemodal Barat. Namun, pertanian tembakau mula merosot selepas awal abad ke-20. Hal ini disebabkan oleh serangan penyakit dan akibat masalah bencana alam seperti banjir. Bahkan , persaingan dengan pengeluar tembakau di Amerika Syarikat telah menjejaskan pendapatan penanam tembakau tempatan di Sabah. Selain itu, kegiatan ekonomi komersial yang penting di Sabah ialah penanaman getah. Perkembangan penanaman getah di Sabah disebabkan oleh pembinaan jalan kereta api di antara Jesselton (Kota Kinabalu) dengan Beaufort. Permintaan yang tinggi di pasaran dunia turut menjadi faktor peningkatan penanaman getah di Sabah. Kawasan penanaman getah yang utama di Sabah pada abad ke-19 dan awal abad ke-20 ialah pantai barat. Getah masih menjadi penyumbang kepada kegiatan ekonomi komersial bagi Sabah sehingga tahun 1941. Tambahan lagi, pembalakan juga merupakan kegiatan ekonomi komersial di Sabah pada abad ke-19 dan awal abad ke-20. Perusahaan ini mula berkembang sejak tahun 1880-an lagi dan kebanyakannya dikuasai oleh syarikat-syarikat British dan Cina. Contoh sumber kayu balak yang mempunyai nilai eksport yang tinggi ialah seraya, berlian dan meranti. Kegiatan pembalakan ini dijalankan di kawasan Sandakan, Lahad Datu dan Tawau. Buruh dari Indonesia dan Filipina dibawa masuk ke Sabah untuk dijadikan sebagai pekerja dalam sektor pembalakan. Sektor perlombongan juga merupakan salah satu kegiatan ekonomi komersial yang terdapat di Sabah. Antara hasil galian yang terpenting ialah emas. Kegiatan perlombongan emas mula dijalankan sekitar tahun 1880-an di Sungai Segama oleh masyarakat Cina. Walaupun pengeluarannya terhad tetapi nilai eksport emas sangat tinggi. Seterusnya, bahan galian yang terdapat di Sabah ialah arang batu. Kawasan perlombongan arang batu ialah berdekatan dengan Sungai Silimpopon. Usaha perlombongan

ini telah dilakukan oleh Syarikat Cowie Harbour Coal yang ditubuhkan pada tahun 1905 dan beroperasi sehingga tahun 1930. Malahan, terdapat juga bahan galian lain seperti mangan yang telah dijumpai pada tahun 1902 di Teluk Marudu. Hasil bahan galian mangan telah dieksport ke Britain. Di samping itu, kegiatan ekonomi komersial di Sabah ialah hasil kekayaan bumi Sabah yang dieksploitasi oleh penjajah Barat. Antara hasil bumi yang terdapat di Sabah ialah seperti sarang burung, pokok lanut, sirip yu dan sagu. Kawasan pengumpulan sarang burung ialah di Gua Gomantong, Sandakan. Pokok lanut yang dikenali sebagai abaka diproses bagi dijadikan sebagai tali kapal untuk dieksport ke Eropah. Manakala pokok sagu atau rumbia pula merupakan tanaman tradisional Sabah yang telah dikomersialkan. Kesimpulannya, kegiatan ekonomi masyarakat peribumi di Sabah sebelum kedatangan British adalah bersifat sara diri iaitu hasil pengeluaran digunakan untuk memenuhi keperluan sendiri sahaja. Apabila negara kita dijajah oleh penjajah Barat, pihak pembesar dan rakyat jelata terpaksa melihat perkembangan ekonomi moden yang langsung tidak menguntungkan mereka. Kegiatan ekonomi moden dikuasai sepenuhnya oleh pelabur dan pedagang asing.

4.

TEXT POST WED, JUN. 08, 2011

SOALAN 12 (2003)
12. Jelaskan perkembangan politik yang berlaku di China dan Jepun, setelah tamatnya Perang Dunia Kedua (1945-1955).

Selepas Perang Dunia Kedua, China dan Jepun telah diberikan kemerdekaan oleh penjajah. Hal ini menunjukkan bahawa perjuangan pembebasan oleh pemimpin tempatan tidak sia-sia. Perkembangan politik di China dan Jepun selepas Perang Dunia Kedua bergerak secara aman atau mengikut perlembagaan. Pada September 1945, Jepun telah menyerah kalah secara rasmi kepada Amerika Syarikat. Sejak tahun 1947, kerajaan Jepun telah berpegang kepada corak sekular dan mengamalkan demokrasi berperlimen. Pada 1 Oktober 1949 kerajaan Republik Rakyat China telah diisytiharkan oleh Parti Komunis China. Pendudukan tentera Amerika Syarikat di Jepun diketuai oleh Jeneral Douglas MacArthur. Beliau telah menubuhkan sebuah badan khas yang diwakili oleh semua ahli tentera Berikat yang dinamakan Supreme Commander of Allied Powers (SCAP). Richard Storry membahagikan pendudukan ini kepada dua peringkat. Peringkat pertama ialah pembalasan dan pembaharuan. Peringkat kedua ialah pembangunan semula.

SCAP telah menyusun semula sistem pemerintahan Jepun dengan memperkenalkan sistem parlimen mengikut perlembagaan 1947. Perubahan paling penting dalam sistem pemerintahan Jepun ialah kedudukan maharaja dijadikan sebagai simbol perpaduan manakala kedaulatan diserahkan kepada rakyat. Sebuah kabinet ala British dibentuk dengan seorang perdana menteri dilantik oleh maharaja daripada kalangan parti yang telah memenangi pilihan raya. Badan perundangan Jepun dikenali sebagai Diet yang terdiri daripada dua dewan iaitu Dewan Rendah dan Dewan Tinggi. Dewan Rendah mempunyai banyak kuasa dan boleh mengatasi Dewan Tinggi. Semenjak tahun 1947, kerajaan Jepun bercorak sekular dan demokrasi berparlimen. Semua rakyat berumur 20 tahun ke atas berhak untuk mengundi. Jepun terbahagi kepada 46 daerah tempatan dan setiap daerah tempatan ini mempunyai gabenor dan sistem perundangan tersendiri. Setiap daerah tempatan terdapat bandar raya, bandar dan kampung. Badan-badan awam tempatan ini mempunyai hak mentadbir hal ehwal masing-masing dan mempunyai kuasa dalam bidang pendidikan, cukai dan perjalanan pentadbiran. Parti Liberal Demokratik telah ditubuhkan pada tahun 1955 oleh dua parti konservatif. Politik Jepun telah didominasikan oleh parti ini selepas perang. Parti lain yang muncul ialah Parti Sosialis Jepun. Parti Liberal Demokratik dan Parti Sosial Jepun mempunyai dasar sama dalam perkara-perkara kebajikan. Perbezaan antara keduanya ialah Parti Liberal Demokratik percaya kepada pembangunan ekonomi melalui perancangan kebebasan kepada usahawan dan inisiatif individu. Parti Sosialis menyeru agar disingkirkan sistem kapitalis menerusi parlimen. Kerajaan China manjalankan corak pemerintahan komunis. Kongres Kebangssan Rakyat (KKR) merupakan badan tertinggi kerajaan. KKR berkuasa meluluskan undangundang , menyelidik, mengesahkan belanjawan negara atau membatalkan keputusan Jawatankuasa Tetap. Kongres juga berkuasa memilih dan menyingkirkan presiden dan naib presiden serta perdana menteri dan anggota-anggota lain dalam Majlis Negeri. Parti Komunis China (PKC) adalah parti utama kerajaan China yang telah ditubuhkan pada tahun 1921. Parti ini telah menguasai politik negara China. Parti Komunis China ini mendapat kerjasama dari lapan buah parti politik yang lain iaitu Jawatankuasa Revolusi Kuomintang, Liga Demokratik China, Persatuan China Demokrat, Persatuan Pembinaan Demokratik Kebangsan China, Parti Petani dan Pekerja China, Pertubuhan China Chin Kung Tang, Persatuan Chiu San, dan Liga Kerajaan Sendiri Demokratik Taiwan. Lapan parti tersebut adalah merupakan ahli Barisan Bersatu yang telah ditubuhkan pada tahun 1948. PKC mencadangkan Barisan Bersatu turut sama untuk tujuan penubuhan kerajaan campuran. Kelapan-lapan parti tersebut telah menerima jemputan PKC dalam Jawatankuasa Bersama Politik Rakyat China pada September 1949. Parti Demokrat terpaksa menerima kepimpinan PKC kerana tiada pilihan lain. Kesimpulannya, selepas Perang Dunia Kedua, kebanyakan negara di Asia mencapai kemerdekaan. Perkembangan politik antarabangsa yang membahagikan dunia kepada dua ideologi turut member kesan kepada perkembangan sistem pemerintahan di negara-negara Asia. Sungguhpun ideology berkenaan diikuti namun unsur-unsur tempatan tetap diterapkan supaya sistem pentadbiran bersesuaian dengan kehendak negara.

5.

TEXT POST WED, JUN. 08, 2011

SOALAN 6 (2003)
6. Bincangkan dasar pendidikan di Tanah Melayu pada tahun 1957 hingga tahun 1963 dalam usaha membina sebuah negara yang bersatu padu.

Dasar Pendidikan Negara sebelum merdeka adalah bercorak vernakular iaitu pengasingan pelajar mengikut kaum. Antara sekolah yang telah diperkenalkan oleh kerajaan British pada masa tersebut ialah Sekolah Inggeris, Sekolah Melayu, Sekolah Cina dan Sekolah Tambi. Bagi British, sistem persekolahan sebegini sengaja dilakukan bagi mengasingkan pelbagai kaum sebagai strategi mengukuhkan kedudukan politik dan ekonomi mereka di Tanah Melayu. Namun, kerajaan British mula sedar bahawa untuk menyatukan masyarakat berbilang kaum di Tanah Melayu, maka sistem pendidikan perlu diselaraskan. Oleh itu , beberapa dasar pendidikan yang baru telah diperkenalkan. Antara dasar pendidikan yang telah diperkenalkan di Tanah Melayu ialah Penyata Razak . Penyata Razak telah diterbitkan pada bulan April 1956. Penyata ini mencadangkan supaya sekolah rendah dibahagikan kepada dua jenis iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan yang menggunakan bahasa Inggeris, Cina atau Tamil sebagai bahasa pengantar. Manakala pada peringkat menengah pula, hanya satu jenis sekolah menengah yang diwujudkan dengan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dijadikan bahasa yang wajib dipelajari oleh semua murid. Bahkan, murid-murid keturunan Cina dan India dibenarkan untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing jika terdapat sekurang-kurangnya 15 orang murid yang ingin mempelajari bahasa tersebut. Penyata Razak juga menekankan unsur-unsur dan nilai-nilai perpaduan negara sebagai satu matlamat yang perlu dicapai untuk menjamin kesejahteraan dan kepentingan masyarakat majmuk di negara ini. Seterusnya, cadangan yang dikemukakan dalam Penyata Razak ini telah digubal menjadi Ordinan Pelajaran 1957. Ordinan ini mewajibkan kandungan sebuah Jawatankuasa Penyemak Pelajaran ditubuhkan untuk mengkaji semula pelaksanaan sistem pelajaran yang dicadangkan oleh Laporan Razak. Kajian itu dibuat setelah timbul beberapa bantahan terhadap pelaksanaan Laporan Razak. Ordinan ini menjadi asas sistem pendidikan negara kita selepas negara mencapai kemerdekaan. Selain itu, Penyata Rahman Talib (1960) telah diperkenalkan sebagai dasar pendidikan di Tanah Melayu. Penyata Rahman Talib memperakukan bahawa sistem pelajaran ketika itu telah dilaksanakan dengan berkesan mengikut syor-syor yang dikemukakan dalam Laporan Razak dan patut diteruskan. Antara syor Penyata Rahman Talib ialah pelajaran rendah adalah percuma. Malahan, peperiksaan awam yang dijalankan mestilah dalam Bahasa

Inggeris atau Bahasa Melayu sahaja. Nama semua sekolah rendah umum dan jenis umum ditukar kepada Sekolah Rendah Kebangsaan dan Jenis Kebangsaan, bertujuan memupuk semangat kebangsaan. Cadangan Laporan Rahman Talib telah dimasukkan dalam Akta Pelajaran 1961. Akta Pelajaran telah menetapkan penggunaan satu kurikulum yang sama untuk semua sekolah yang berlainan aliran. Ini bertujuan untuk mewujudkan perpaduan kaum di negara ini. Selain itu, Akta Pelajaran 1961 menetapkan bahawa bahasa Melayu digunakan sepenuhnya di semua peringkat pengajian, iaitu daripada sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi. Akta ini juga menetapkan bahawa kanak-kanak perlu mendapat pendidikan wajib di sekolah sehingga berumur 15 tahun. Kesimpulannya, dalam perkembangan Sistem Pendidikan Kebangsaan di negara ini, Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib menjadi batu asas kepada kepentingan perpaduan kebangsaan dan penghasilan tenaga rakyat. Strategi yang diperkenalkan dalam setiap dasar pendidikan adalah bertujuan untuk meningkatkan mutu pelajaran secara keseluruhan. Tambahan lagi, kerjasama yang wujud selama ini telah menyediakan asas kepada negara kita untuk lebih maju pada masa depan.

6.

TEXT POST WED, JUN. 08, 2011

SOALAN 1 (2003)
1. Huraikan perubahan-perubahan yang berlaku dalam sistem pemerintahan beraja dan pembesar Melayu di Perak dari tahun 1874 hingga tahun 1909.

Sultan atau raja menduduki hierarki tertinggi dalam struktur sosial masyarakat Melayu tradisional. Sultan atau raja mempunyai kuasa mutlak dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Manakala pembesar pula merupakan golongan kedua yang penting selepas sultan. Pembesar merupakan sekumpulan pegawai yang membantu sultan atau raja menjalankan pentadbiran di peringkat negeri dan daerah. Walaubagaimanapun, setelah campur tangan pihak British di Perak, kuasa Sultan dan pembesar mula hilang dan diambil alih oleh pihak Britih.

Selepas campur tangan British secara rasmi di Perak melalui Perjanjian Pangkor 1874, kuasa dan peranan sultan mula mengalami perubahan. Institusi sistem beraja mula terancam akibat dasar-dasar yang diperkenalkan oleh British melalui Sistem Reseiden. Mengikut sistem ini, seorang pegawai British akan dilantik menasihati sultan dalam semua hal ehwal pentadbiran kecuali perkara yang berkaitan dengan agama Islam dan adat istiadat Melayu.

Sultan juga kehilangan hak untuk memungut cukai. Melalui Sistem Residen, British telah memperkenalkan kaedah pungutan cukai baru yang lebih sistematik. Hak memungut cukai diserahkan kepada Majistret dan Pemungut Hasil. Kehilangan hak memungut cukai menyebabkan sumber pendapatan sultan terjejas. Sebagia ganti rugi, kerajaan British hanya memberi pencen yang nilainya lebih rendah daripada hasil pungutan cukai kepada sultan.

Sultan kehilangan kuasa mutlak. Walaupun kerajaan Brtish mendakwa akan memelihara kedudukan sultan di peringkat tertinggi tetapi sultan tiada kuasa. Buktinya Majlis Sultan telah digantikan dengan Majlis Negeri. Dalam Majlis Negeri, sultan dilantik sebagai presiden tetapi tidak ada kuasa membuat keputusan kerana semua keputusan ditentukan oleh residen. Sultan kehilangan kuasa pentadbiran termasuk tidak dibenarkan mempunyai tentera sendiri. Bidang keselamatan terletak di bawah kekuasaan residen.

Pentadbiran British telah mempengaruhi pelantikan Sultan. Pelantikan Sultan tidak mengikut sistem yang sedia ada, iaitu mengikut keturunan atau sistem giliran di Perak, sebaliknya British telah melantik sultan daripada golongan yang tidak menentang pentadbiran British. Kuasa dan peranan sultan semakin terjejas pada tahun 1896 apabila Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) ditubuhkan. Melalui NNMB, negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang disatukan di bawah satu pentadbiran. Pada tahun 1909, Majlis Mesyuarat Persekutuan (MMP) telah ditubuhkan. Penubuhan MMP telah menjejaskan lagi kedudukan dan kuasa sultan kerana kuasa kini berpusat di tangan pesuruhjaya tinggi. Sultan hanya menjadi ahli biasa dan tidak mempunyai undi pemutus. Semua perundangan yang diluluskan ditandatangani oleh pesuruhjaya tinggi dan bukan lagi oleh sultan. Hal ini bermakna, sultan tidak boleh membantah atau membatalkan usul MMP.

Manakala bagi sistem pembesar pula, mereka telah kehilangan kuasa dan hak untuk memungut cukai di daerahnya kerana tugas memungut cukai telah diambil alih oleh residen atau wakil residen. Pembesar Melayu kehilangan sumber pendapatan utama mereka. Kerajaan British telah memberi bayaran elaun kepada pmebesar sebagai bayaran ganti rugi kerana tidak boleh memungut cukai. Bagi pembesar yang sanggup bekerjasama dengan kerajaan British, mereka dilantik sebagai pemungut cukai yang bekerja untuk kerajaan British dan diber gaji bulanan.

Pembesar tempatan kehilangan kuasa politik mereka. Sebelum campur tangan British, pembesar tempatan berperanan menaihati sultan dalam hal ehwal pentadbiran dalam Majlis Penasihat Sultan. Apabila Sistem Residen diperkenalkan pembesar diketepikan kerana residen telah mengambil alih tugas menasihati sultan.

Pembesar juga telah kehilangan kuasa dalam bidang kehakiman. Tugas pembesar diambil alih oleh Pegawai Daerah British. Pihak British telah memperkenalkan sistem mahkamah dan undang-undang yang berdasarkan undang-undang jenayah dan sivil British.

Kesimpulannya, kedatangan pihak British dan mula campur tangan dalam sistem pemerintahan Melayu tradisional menyebabkan peranan sultan dan pembesar mula tergugat. Namun , semangat nasionalisme yang tinggi dan perasaan tidak puas hati para pembesar telah membawa kepada penentangan masyarakat Melayu terhadap pihak British

You might also like