You are on page 1of 7

SINOPSIS

Mencari Cinta adalah sebuah novel cinta remaja hasil karya penulis

muda berbakat iaitu Leeya Myra.

Novel Mencari Cinta ini mengisahkan tentang kemelut cinta seorang

gadis bernama Annessa yang dibelenggu dalam jerat cinta remajanya.

Anessa watak yang sentiasa mengingati kenangan manis di zaman

persekolahannya. Anessa yang antara watak penting menjadi perindu

menunggu kehadiran lelaki bernama Ilham Hazami. Namun penantian

yang panjang itu cukup menyeksa batin Annessa sehinggalah sirna

yang dicari kembali berputik.

Munculnya Faris bersama lamarannya membuatkan Annessa

kebinggungan. Anessa tersungkur ke lembah kekeliruan untuk

membuat keputusan. Lantas membiarkan persoalan itu tergantung dan

membebaninya tanpa menolak mahupun menerima. Hakikatnya

Annessa masih mahu mengejar bayang Ilham dan masih enggan

membiarkan bayang itu pergi dari hidupnya.

Namun, penantian Annessa berakhir dengan kekecewaan apabila Ilham

pulang dari Jepun dengan status suami orang. Annessa kecewa kerana

penantiannya sia-sia dan yang lebih mengecewakan lagi bila

mendapat tahu bahawa isteri Ilham adalah sahabat baiknya sendiri

iaitu Sofia.
Bersama luka yang parah dia berpaling kepada Faris. Menyambut

lamaran Faris yang dulunya dibiarkan sepi. Malahan Anessa juga telah

melakar janji akan berusaha untuk bahagia bersama Faris walaupun

jiwanya meronta setiap saat. Namun, semua itu bukanlah mudah

seperti melontar janji kerana Anessa masih gagal menyingkir

bayangan Ilham dari hidupnya. Dia seolah-olah hidup bersama-sama

bayangan Ilham. Walaupun bersama Faris namun jiwanya masih

mengejar bayangan Ilham.

Hanya kerana saling memendam perasaan mereka jadi penasaran dan

terpaksa menghirup kesunyian yang mengigit naluri mereka. Sekeping

kad ucapan kiriman Ilham menimbulkan seribu penyesalan.Kalaulah

Annessa berani meluahkan rasa hatinya mungkin mereka sedang

berbahagia di saat ini. Di mana silapnya? Siapa yang bersalah antara

mereka? Atau inikah perjalanan takdirnya.

Cinta itu duri. Cinta itu duka. Kadang-kadang ia mampu membuat

seseorang tersenyum, tidak sikit juga yang terus dirundum bingung.

Namun, cinta bukan sekadar hitam putih! Tidak juga betul atau salah!

Cinta adalah sesuatu yang sukar di kawal. Ilham suatu mimpi dan Faris

pula suatu realiti. Tapi, mimpi itu juga yang dikejarnya. Dia mahu

merebut cinta Ilham yang tidak pernah dimilikinya selama ini.

Tapi wajarkah cinta dijadikan alasan untuk bersikap keji? Wajarkah dia

merebut sesuatu yang bukan miliknya? Walaupun Sofia memberi


peluang itu kepadanya, tapi sangupkah dia mengkhianati sahabatnya

sendiri.

Di saat Annessa mencuba untuk menerima Faris, kejadian yang tidak

diduga terjadi. Sofia, isteri Ilham mendapat kemalangan dan

meninggal dunia. Annessa keliru. Tidak berdaya menghadapi dilema

ini. Anessa berada dalam ketakutan. Tidak percaya kepada permainan

takdir di depan matanya. Sahabat baik yang suatu waktu dahulu

berkongsi suka dan duka bersamanya telah pergi meninggalkannya.

Mungkinkah itu satu petunjuk ataupun peluang untuk dia kembali

bersama Ilham? Annessa dihambat segunung rasa buntu.

Dalam kekalutan fikiran, Annessa menolak kembali Faris. Lupa dengan

janjinya untuk bahagia bersama Faris. Kekerasaan hatinya tidak

mampu dilembutkan walaupun dengan airmata Faris. "Takkan saya

langsung tak bernilai pada awak?" Sukar untuk menangkis kata-kata Faris.

Annessa akui memang dia yang bersalah. Namun, keikhlasan hati Faris

meruntun jiwanya. Betulkah tindakannya itu? Membiarkan lelaki sebaik

Faris pergi dari hidupnya.

Namun, Annessa kecewa bila Ilham langsung tidak menunjukkan rasa

sedih di atas kematian Sofia. Entah kenapa tiba-tiba perasaan cintanya

kepada Ilham menjadi hambar. Walaupun masih berbekas cintanya

kepada Ilham namun tidak mampu mengatasi rasa kecewa dan hampa
yang menyelinap di jiwanya. Hatinya tiba-tiba dibaluti kekosongan

yang menggunung. Sinar pelangi yang dinantinya kelihatan semakin

samar dan pudar lantas mencoret sejuta rasa malu, kecewa dan kacau

di lubuk jiwanya itu.

Annessa redha. Membiarkan kedua-dua lelaki itu pergi dari hidupnya.

Namun, dia bersyukur kerana cinta yang selama ini membelenggu

dirinya telah hilang. Bertahun dia gagal menyingkir rasa itu, akhirnya

dia berjaya.

Perjalanan hidup masih jauh. Dan Annessa perlu teruskan

kehidupannya dengan sebaik mungkin. Namun, dalam pada itu ada

getar rasa yang mula menyelinap di sanubarinya. Sebaris nama itu

mula mendapat tempat di hatinya. Ada rindu yang berputik buat lelaki

yang bernama Ahmad Faris.

Untuk mengambil keputusan itu, Annessa bermohon agar dilorongkan

hatinya pada yang sepatutnya. Annessa tidak pernah menyesal

dengan keputusannya dahulu. Lalu, bila hatinya tergerak untuk

melangkah, Annessa percaya itu satu ketentuan.

Bersama keyakinan Annessa menemui Faris, menyatakan hasrat di

hati. Dan Faris menyambutnya dengan rela hati. Episod cinta antara

mereka baru bermula. Dan Insya-Allah, kesudahannya pasti tidak akan


sama seperti sebelum ini.

Pendapat dan Komen


Perjalanan cerita ini digarap oleh penulis dengan begitu baik

sekali serta mampu menterjemahkan pelbagai perasaan yang

bercampur baur ke dalam jiwa-jiwa pembaca. Kekeliruan, kerinduan,

keinginan, serta runtunan nafsu yang dipaparkan melalui watak-

watak tersebut telah berjaya mengucar-kacirkan perasaan

pembaca. Setiap inci perjalanan watak-watak telah berjaya

memberi kesan emosi kepada pembaca agar dapat menikmati hasil

nukilan ini dengan baik.

Sebenarnya jika diteliti dengan penuh hemah, mesej yang

berguna dan positif untuk dipraktikkan ke dalam kehidupan

pembaca masih dapat digali melalui novel cinta sebegini. Kecekalan

hati yang dipaparkan melalui watak-wataknya begitu mengujakan

dan wajar dilihat dari sisi yang berguna. Hal ini ada rasionalnya

kerana disamping menikmati sejambak kisah dan coretan yang

hanya berupa khayalan pembaca disajikan dengan sedikit

pengajaran yang penting untuk ditransformasikan ke dalam diri

mereka.

Cabaran dalam memilih pasangan hidup, memilih keputusan yang

tepat dalam hidup dan menghadapi liku-liku cinta mampu menjadi

teladan terhadap pembaca. Situasi sebegini mampu mendidik jiwa

pembaca secara tidak langsung walaupun tidak dihidangkan dalam

bentuk ilmiah. Dan sudah pasti setiap pengajaran itu akan dapat

dilihat melaui kepekaan serta keprihatinan pembaca sahaja.


Selain itu, masih terpapar beberapa nilai-nilai positif yang cuba

disajikan dan dikira berjaya diterapkan bersama-sama jalan cerita

yang menarik disamping permainan watak-watak yang pelbagai.

Tentu sekali novel yang berada pada tingkat paling rendah dalam

hierarki pengtahapan sastera ini mampu menjadi medium terbaik

bagi melegakan jiwa pembaca yang mungkin dibebani masalah

seharian dan seumpamanya. Hal ini kerana novel yang mengisahkan

pergolakan cinta yang tidak tentu arah dan penuh dengan tanda

tanya yang tiada kesudahan pastinya berjaya menggugat kondisi

jiwa, emosi serta perasaan pembaca.

Pada situasi inilah novel Mencari Cinta ini telah dikira berjaya

memainkan peranannya untuk memberi tekanan, persoalan yang

sukar dimengertikan dan berbagai bentuk teka-teki kepada

penghayatan pembaca. Akhirnya, di hujung bahagian cerita

pembaca pasti akan mendapat ”dos” yang melegakan bagi setiap

persoalan yang membebani jiwa mereka.

Jadi, disini jelas sekali bahawa penyampaian novel yang berimej

cinta remaja ini mampu memberi sedikit moral, teladan serta

pengajaran berguna kepada pembaca khususnya golongan remaja.

Namun mustahil jua untuk pembaca itu mencapai atau memperoleh

nilai-nilai positif tersebut melalui novel ini jika tanpa penghayatan

yang halus lagi peka terhadap setiap ruang pembacaanya. Sekian.

You might also like