You are on page 1of 1

"Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian".

Begitulah kata-kata pujangga nenek moyang yang mengajar kita betapa signifikannya sifat berjimat cermat dalam kamus kehidupan seseorang. Menabungkan wang dikatakan dapat mendisiplinkan diri kita. Kesabaran dan kesanggupan berkorban demi masa depan menjadi titik tolak seseorang menabung. Apabila menabung, prinsip sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Wang tabungan ini dapat mengekang diri kita daripada lalai dalam merancang masa hadapan. Disiplin diri yang terbentuk dalam amalan menabung dapat diaplikasikan dalam kehidupan sehari-hari. Ringkasnya, menabung merupakan rencah untuk mengawal diri daripada memboros. Ibu bapa yang bekerja siang dan malam bagai lebah mengumpulkan madu demi membiayai kos kehidupan yang meningkat harus kita sedari. Baki wang saku yang diberi mestilah dimasukkan ke dalam tabung. Apabila kita memerlukannya pada kala kecemasan, pertolongan orang lain tidak diperlukan. Oleh sebab itu, nilai berdikari dapat ditanam di samping mengetahui setiap sen merupakan hasil titik peluh dan keringat yang bermakna. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan penting mencorakkan amalan kepada anak-anak sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak bagaikan kain putih, ibu bapalah yang harus mewarnakan kehidupan mereka dengan amalan murni seperti menabung. Dengan berbuat demikian, anak-anak dapat diajar tentang perancangan masa hadapan. Mereka akan menyedari hakikat kepentingan berjimat cermat. Anak-anak yang pandai berjimat-jimat nescaya dapat berusaha dengan lebih giat untuk menjamin masa hadapan kerana asal ditugal, adalah benih. Kita juga berpeluang untuk mempelajari perkembangan dunia perbankan melalui wang tabungan yang dibawa ke bank untuk simpanan. Hal ini secara tidak langsung menjadikan kita warga yang sentitif akan perkembangan ekonomi semasa. Daripada perspektif ekonomi, kita dapat memainkan peranan sebagai penjana virus yang dapat membebaskan negara daripada serangan wabak kemelesetan ekonomi. Tegasnya, simpanan tidak seberapa yang kita laburkan dalam simpanan bank dapat digunakan oleh pihak bank untuk pelaburan mega lain sekali gus menstabilkan ekonomi negara. Kesimpulannya, kita wajarlah menjadikan amalan menabung sebagai rutin kehidupan. Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis merupakan kata-kata mutiara yang mesti kita hayati. Dengan menabung, kualiti kehidupan yang lebih baik dapat kita nikmati. Wang yang ditabung boleh menjadi modal melanjutkan pelajaran demi memberi pulangan kehidupan yang lebih baik kepada ayahanda dan bonda tercinta.

You might also like