You are on page 1of 1

Contoh teks ucapan pengacara Majlis Perpisahan Tahun 6 (Ucapan)

Terima kasih kepada Tuan Pengerusi Majlis, yang berusaha tuan guru besar, guruguru penolong kanan, guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan. Selaku wakil murid tahun enam, saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi peluang untuk berucap dalam majlis ini. Guru-guru dan rakan-rakan sekalian, Sebagaimana yang kita ketahui, hari ini adalah hari terakhir kami menjadi murid Sekolah Kebangsaan Seri Bestari. Selepas ini, kami akan melangkah ke alam persekolahan menengah pula. Selama enam tahun di sekolah ini, banyak kenangan suka dan duka yang tidak akan kami lupakan. Yang pastinya, perkara yang paling tidak dapat dilupa adalah sikap guru-guru yang baik di sekolah ini. Segala titik peluh yang guru-guru sekalian sumbangkan dalam memberi didikan dan tunjuk ajar sejak mula kami tahu membaca, menulis dan mengira sehinggalah kepada segala ilmu yang dicurahkan. Budi yang guru-guru taburkan tidak mampu kami balas. Hadirin sekalian, Kesempatan yang ada ini juga, saya mewakili rakan-rakan ingin menyusun jari sepuluh memohon kemaafan. Sepanjang tempoh enam tahun berada di sekolah ini, sudah pasti ada kesilapan dan kesalahan yang kami lakukan. Segala teguran dan nasihat guru-guru pasti akan kami sematkan di dada. Harapan saya semoga rakan-rakan akan terus berusaha dengan gigih apabila berada di sekolah menengah nanti. Semoga guru-guru di sekolah ini akan terus mendoakan kejayaan dan kesejahteraan kami. Jika ada kelapangan, pasti kami akan datang lagi menziarahi guru-guru di sini. Saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun. Kalau ada sumur di ladang, Boleh kita menumpang mandi; Kalau ada umur yang panjang, Boleh kita berjumpa lagi. Sekian, terima kasih.

You might also like