Syair Nasihat ~ Ibnu Ahmad Medan

Inilah suatu kalam dikarang Ayuhai tuan muda yang garang Kalam nan bukan sebarang-barang Tujuannya banyak bukan seorang Adapun akan di zaman ini Banyak kulihat tolan ikhwani Selama hidup sebelum fani Tidak mengingat Tuhan yang ghani Dunia dijangka kekal selama Berbuat dosa sangat ternama Mencari wang sangat utama Tidak menurut kata ulama Ulama disangka bicara kosong Sebarang kata lalu disongsong Mencari wang berpesong-pesong Sangatlah suka berkata bohong Wang terkumpul diri pun kaya Takbur dan sombong timbul sebaya Perintah Tuhan Rabbi yang kaya Sekali-kali tidak percaya Kaum kerabat dipandang lata Bangsa dimiskin jangan dikata Takdir ia datang meminta Haram dipandang sebelah mata Dengarkan tuan suatu ibarat Keadaan alam timur dan barat Kuasa Allah punya kudrat Lautan boleh menjadi darat Ingatlah wahai emas juita Fikir, ya fikir di dalam cita Sungguhpun diri orang berharta Tuhan jangan dipandang lata Contoh yang ada bukan sedikit Gunung tinggi menjadi bukit Tanahnya runtuh berdikit-dikit Ibarat badan kena penyakit

Jikalau hasil bagai diperi Pastilah tuan menyesal diri Kata terlanjur dahulu hari Menjadi musuh kanan dan kiri .

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful