You are on page 1of 1

LAPORAN LAWATAN SAMBIL BELAJAR

KE KILANG COKLAT CADBURY


Persatuan Geografi Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Suria telah mengadakan lawatan sambil belajar ke
Kilang Coklat Cadbury yang terletak di Shah Alam pada 15 Jun 2008. Rombongan ini terdiri daripada empat puluh
orang ahli Persatuan Geografi dan tiga orang guru pengiring, yakni Puan Saloma, Puan Zubaidah, dan Puan Siti
Muqalmah. Seawal lapan pagi lagi, para pelajar dan guru yang terlibat sudah menaiki bas yang disewa khas oleh ahli
jawatankuasa lawatan ini. Perjalanan mengambil masa tiga puluh minit sahaja kerana antara jarak sekolah dengan
kilang tersebut hanya 20 kilometer.
Sebaik-baik sahaja tiba di kilang tersebut, rombongan kami disambut dengan tangan terbuka oleh pengurus
pemasaran dan promosi, Encik Soo Sing Fei. Encik Soo telah membawa kami ke bilik mesyuarat yang terletak di
tingkat tiga Wisma Cadbury. Di dalam bilik mesyuarat itu, kami diberi penerangan sejarah penubuhan kilang coklat
secara ringkas tapi jelas. Selepas mendengar taklimat, ahli rombongan pun bersemangat tinggi dan menanyakan
pelbagai soalan yang berkaitan dengan kilang coklat tersebut. Hal ini demikian kerana mereka perlu menyediakan
laporan lawatan ini.
Program pascataklimat ialah memulakan lawatan ke bahagian memproses coklat. Kami dibawa ke bahagian
paling penting, yakni zon penyediaan. Di kawasan itu, kami diberi pakaian berupa tudung kepala, penutup mulut,
dan sarung tangan. Langkah penyediaan yang bersih dan selamat adalah penting kata Encik Soo kerana pihak kilang
amat mementingkan soal kualiti coklat. Hal ini demikian kerana kebersihan menjamin mutu makanan yang
disediakan. Kami melihat sendiri biji koko panggang dikisar dengan sebuah mesin. Selepas itu, koko yang lumat
dimasak bersama gula dan susu yang diimport khas.
Selepas proses penyediaan selesai, coklat dalam bentuk cecair pekat yang mencapai kepanasan seratus lima
puluh darjah itu disalurkan ke paip besar yang menuju ke bahagian pemprosesan coklat prapembungkusan. Di
bahagian itu, kami dapat melihat pelbagai jenis coklat berjaya diproses dengan mesin yang canggih. Mesin itu
seterusnya menghantar jongkong-jongkong coklat yang sudah siap diproses menuju ke peringkat pembungkusan
mengikut saiz dan perisa. Di bahagian ini, bilangan pekerja yang banyak diperlukan untuk menyudahkan proses
pembungkusan sehingga proses akhir, penyimpanan.
Sepanjang lawatan di bahagian penyediaan, kami telah mengemukakan soalan tentang kepentingan
penyediaan makanan yang selamat. Sepanjang dua jam lawatan, kami berasa teruja dan berpuas hati dengan
penerangan yang disampaikan. Walau bagaimanapun, kami berasa penat kerana kawasan pemprosesan kilang ini
amat besar. Di bilik mesyuarat, kami diberi taklimat multimedia berkaitan perancangan masa depan kilang coklat ini.
Daripada taklimat multimedia ini, kami berasa kagum akan semangat pengurusan syarikat ini yang memegang para
prinsip “genggam bara api biar jadi abu”.
Sebelum mengakhiri lawatan, Pengarah Urusan Kilang Cadbury telah meluangkan masa untuk berjumpa
dengan ahli rombongan sekali gus menyampaikan cenderahati kepada kami. Selain itu, kami juga diberi baucar
istimewa untuk membeli coklat dengan potongan harga sebanyak dua puluh hingga empat puluh peratus. Selepas
bersalam dengan tuan pengarah, kami pun menuju ke kedai coklat yang terletak di sebelah pintu besar kilang itu.
Ahli rombongan yang selesai membeli coklat bersiap sedia menaiki bas untuk pulang ke sekolah.
Rombongan ini tiba di sekolah pada pukul dua belas tengah hari. Cikgu Saloma yang bertugas menjaga
disiplin pelajar berpuas hati dengan kelakuan ahli rombongan walaupun ada segelintir daripada mereka yang mulut
murai. Akhirnya, murid-murid pun pulang ke rumah masing-masing. Lawatan sambil belajar seperti ini amat
bermanfaat kepada pelajar. Selain mendapat ilmu dan pengalaman, kami juga berjaya menimba pengetahuan tentang
pengurusan kilang. Kami berharap lawatan umpama ini akan dijadikan agenda tahunan Persatuan Geografi Sekolah
Menengah Kebangsaan Seri Suria.

Laporan disediakan oleh, 29 JUN 2008.


Amalina
(SITI NUR AMALINA BINTI AZMAN DARUS)
Setiausaha Persatuan Geografi
Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Suria.

Disediakan oleh Cikgu Tan, www.cikgutancl.blogspot.com

You might also like