You are on page 1of 12

Pengerusi :Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada para hadirin, guru yang kami hormati serta

rakan-rakan sekalian. Saya, Mohd. Fadhilatul Azryn, sebagai pengerusi majlis ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada hadirin sekalian kerana sudi mendengar forum kami yang bertajuk "Kepentingan Seni Mempertahankan Diri Dalam Diri Pelajar" . Jika kita lihat perkembangan negara kita dewasa ini, banyak perkara yang telah berlaku dan dari segi jenayah, angka-angka itu telah dipaparkan oleh pihak media dan ia agak menggerunkan. Tidak perlu dinyatakan di sini angka-angka itu kerana ramai yang telah mengetahuinya. Tidakkah anda berasa bahawa keselamatan anda semakin lama semakin terancam ? Banyak persoalan yang boleh ditimbulkan, dan apakah anda sudah bersedia untuk menghadapinya ? Oleh itu, seni mempertahankan diri sangat penting dalam diri pelajar. Bagi mengulas tajuk ini dengan lebih lanjut lagi, saya telah mengundang tiga ahli panel yang terdiri daripada Selvaraw, Pegawai Perhubungan Seni Mempertahankan Diri Malaysia, Mohd Ariff,Pengerusi Pertubuhan Seni Silat Malaysia dan Muhd Airul,seorang jurulatih terkenal bagi seni pertahankan diri wushu. Baiklah, tanpa membuang masa dipersilakan Selvaraw, ahli panel kita yang pertama untuk memulakan majlis. Dengan segala hormatnya, dipersilakan. Selva Raw : Terima kasih kepada tuan pengerusi majlis kerana sudi mengundang saya. Sidang hadirin yang dimuliakan, agak menyedihkan bagi saya kerana ada di antara sahabat-sahabat kita yang memperlekeh-lekehkan seni kebudayaan kita yang teragung ini. Ada yang beranggapan bahawa seni mempertahankan diri ini tidak lagi relevan pada zaman mengejar kemajuan ini. Apakah skop pemikiran mereka telah dicemari oleh modenisasi tanpa batasan yang menyelinap pada segala aspek kehidupan ? Jawapannya, Ya kerana kehadiran arus pemodenan yang tiada sempadan. Tidakkah anda berasa malu apabila melihat bangsa lain seperti bangsa asing memandang tinggi ilmu mempertahankan diri mereka sendiri sedangkan kita hanya terus mencaci ilmu warisan kita sendiri. Jika anda sedar dan merupakan seorang pemerhati masyarakat yang prihatin, anda boleh lihat dengan jelas keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat kita.Lebih-lebih lagi seni pertahankan diri ini adalah agak penting dalam diri setiap pelajar.Ini kerana pelajar sekolahlah yang sering dibuli atau dicaci oleh rakan-rakan mereka sendiri.Oleh yang demikian,pelajar-pelajar haruslah memahami kepentingan mempelajari seni pertahankan diri. Pengerusi :Terima kasih di atas ucapan ahli panel kita yang pertama itu.Izinkan saya untuk membaca sebuah hadis yang berbunyi ...Hendaklah sekalian kamu membuat persediaan bagi musuh-musuh kamu apa yang sekuasa-kuasa bagi kamu dari kekuatan... (Al Anfal:60).Hadis ini jelas memperlihatkan tentang betapa pentingnya seni mempertahankan diri dalam diri setiap manusia.Baiklah seterusnya dipersilakan pula ahli panel kita yang kedua,Encik Ariff untuk memberikan pendapat beliau mengenai isu yang

sedang dibincangkan ini.Dipersilakan. Muhd Arif :Terima kasih tuan pengerusi majlis. Pada pendapat saya, kemanakah perginya nilai ketimuran dan adab sopan yang digembur-gemburkan? Virus keruntuhan akhlak bukan sahaja menjangkiti golongan remaja pada masa kini, malah ia turut berlaku di kalangan golongan dewasa juga. Sebagai contoh, lihat sahajalah sendiri gejala ragut, pergaduhan yang tiada kesudahan, dan buli-membuli di kalangan pelajar yang sering berlaku telah merebak tanpa sebarang sekatan pun. Kemanakah perginya pertahanan diri kita semua? Jika ada pun, ianya sering difitnah serta sering disekat kemajuannya.Adakah mereka tidak mengetahui apa itu seni pertahankan diri atau sengaja membuat tidak tahu?Persoalan ini masih wujud di semua dahi masyarakat kita. Pengerusi :Terima kasih kepada kedua-dua ahli panel kita. Kedua-duanya memberikan pendapat yang cukup memberangsangkan. Selain itu, dipersilakan pula ahli panel kita yang ketiga bagi memberikan pendapat dari segi pandangan beliau sendiri.Dengan segala hormatnya dipersilakan. Mohd Airul :Baiklah, terima kasih tuan pengerusi majlis. Mungkin sesetengah dari kita mempunyai skop pandangan yang sempit mengenai ilmu mempertahankan diri. Ada yang menganggap ilmu ini hanyalah sekadar warisan kebudayaan. Bagaimanakah golongan-golongan yang berfikiran sempit ini hendak mempertahankannya? Bagi mereka seni mempertahankan diri hanya sekadar dipersembahkan apabila pelancong datang ke negara kita. Ada juga yang mengaitkannya dengan upacara-upacara spiritual ataupun pemujaan semangat roh serta demonstrasi yang tidak masuk akal. Walaubagaimanapun, ilmu mempertahankan diri ini tidak salah malah dituntut dalam semua agama tidak kira Melayu,Cina atau India. Pengerusi :Terima kasih Encik Airul.Memang tidak dapat dinafikan sememangnya wujud juga golongan rakyat yang masih berfikiran sempit terhadap seni mempertahankan diri ini.Mereka haruslah sedar akan kepentingannya agar anak-anak mereka juga dapat mengenali seni pertahankan diri yang ditinggalkan oleh nenek moyang mereka.Seterusnya saya ingin bertanya kepada ahli panel kita yang pertama, bolehkah tuan memberikan beberapa contoh seni mempertahankan diri yang ada di negara kita ? Selva Raw:Terima kasih tuan pengerusi majlis.Terdapat beberapa jenis seni mempertahankan diri di negara kita. Diantaranya Wushu, Silat, Silambam,Kung Fu dan sebagainya. Wushu sememangnya terkenal di kalangan kaum cina, silat pula terkenal di kalangan kaum melayu manakala Silambam terkenal dikalangan kaum india. Usia bagi setiap seni mempertahankan diri ini tidak dapat dihuraikan secara terperinci dan tepat kerana tiada usaha-usaha untuk mengkaji dari pihak berwajib secara

mendalam.Namun mengikut kajian yang dijalankan oleh pertubuhan kami,masih ada lagi segelintir rakyat yang turut mempelajari seni mempertahankan diri ini tidak kira dalam atau luar negara.Terdapat beberapa teknik atau cara yang berbeza untuk menguasai seni pertahankan diri yang dinyatakan. Pengerusi :Baiklah, terima kasih Encik Selva. Nampaknya setiap kaum di negara kita terdapat seni mempertahankan diri masing-masing. Bagi mengulas lebih lanjut, dipersilakan ahli panel kita yang kedua untuk mengulas mengenai kepentingan seni mempertahankan diri yang boleh kita dapat dari Silat yang terkenal di kalangan kaum Melayu.Dipersilakan. Muhd Arif : Terima kasih.Para hadirin sekalin, silat merupakan seni mempertahankan diri kebangsaan Malaysia. Sistem silat adalah berdasarkan kepada gerakan geometri manusia ataupun pola langkah. Teknik yang terdapat dalam silat sangat praktikal dan berguna. Ini dibuktikan kerana dengan silat,seseorang itu lebih fleksibel. Selain itu, ia akan meningkatkan kekuatan otot dan tahap kecergasan seterusnya akan dapat mengembangkan lagi teknik bersilat mereka. Mereka yang belajar silat digelar pesilat. Amalan sekarang, pegajar atau guru silat digelar jurulatih dan seorang yang mewarisi aliran sesuatu perguruan digelar Guru Utama aliran itu.Kebanyakan guru silat kini menolak gelaran Mahaguru kerana bagi mereka gelaran 'maha' hanya sesuai untuk Allah (Tuhan) dan ini menepati perawakan guru silat yang kebiasaannya gemar menyembunyikan kemahiran mereka dan amat merendah diri. Pesilat senior yang telah lama berkecimpung dalam dunia silat sebagai pengajar (atau menyembunyikan kemahiran mereka), berkemahiran tinggi dan ada di antaranya mewarisi beberapa aliran yang telah hilang digelar sebagai Guru Tua dan amat dihormati. Pesilat yang mempunyai tahap silat yang tinggi digelarkan pendekar. Seni silat juga adalah menghasilkan individu yang mulia dan positif agar dapat membangunkan umat. Antara senjata-senjata Melayu lama yang sering digunakan oleh pesilat adalah seperti keris,badik, kerambit, parang, pedang, lading, Tumbuk Lada, tekpi, tongkat, tembong dan sundang. Bagi silat yang tidak menggunakan senjata, pengajaran akan menumpukan perhatian kepada pertempuran tangan kosong (tanpa senjata). Secara am sesebuah aliran silat mengajar kedua-dua kemahiran dan aliran yang hanya menumpukan salah satu daripadanya adalah sedikit. Kebiasaannya seseorang penuntut atau murid baru akan ditumpukan kepada kemahiran tempur tangan kosong sebelum diajar bermain senjata. Bagi sesetengah aliran, hanya murid yang diiktiraf berkemahiran dan mempunyai adab keperibadian yang tinggi dibenarkan mempelajari kemahiran senjata, terutama bagi yang mempunyai senjata yang dianggap senjata 'rasmi' bagi aliran itu. Pengerusi :Terima kasih Encik Ariff kerana memberikan pendapat yang berguna kepada

semua mengenai silat. Seterusnya dipersilakan pula ahli panel kita yang ketiga untuk mengulas kepentingan seni mempertahankan diri Wushu yang terkenal dikalangan kaum Cina. Mohd Airul :Fakta sejarah menunjukkan bahawa Wushu Shaolin dipelajari oleh rakyat sipil.Shaolin sendiri sebenarnya adalah nama kuil yang isinya terdiri daripada akademisi dari dalam mahupun luar China.Kepentingan seni mempertahankan diri Wushu ini adalah seseorang itu akan mampu bertahan untuk hidup,baik untuk membela diri dari pelbagai jenis serangan binatang,mahupun untuk berperang melawan kelompok manusia yang dianggap ancaman terhadap keamanan hidup mereka.Selain itu,ia membantu kita dalam bertarung dengan musuh menggunakan tangan kosong tanpa memerlukan senjata.Kebanyakkan orang yang mempelajari seni pertahankan diri ini ialah pelajar sekolah menengah di negara China.Ada juga yang mempelajari seni mempertahankan diri ini di negara kita. Wushu secara harfiah bererti "seni bertempur / bela diri". Ini merupakan istilah yang lebih benar dibanding dengan istilah yang lebih terkenal tapi salah penggunaannya kung fu , yang bererti "ahli" dalam bidang tertentu, tidak hanya terbatas dalam bela diri. Semua kategori Seni bela diri China yang tradisional, keras dan lembut dapat disebut Wushu. Wushu keras termasuk tinju selatan Nanquan dan tinju panjang Changquan . Wushu lembut termasuk tinju Taiji , Telapak Bagua , dan tinju Hsing Yi .Adapun seni bela diri Wushu yang telah dibangunkan oleh etnik China yang menetap di rantau Asia Tenggara (terutama Indonesia) seringkali disebut dengan istilah Kuntao . Pengerusi :Terima kasih di atas ucapan ahli panel kita itu.Seterusnya,saya ingin bertanyakan pula kepada ahli panel kita yang pertama, apakah kepentingan seni mempertahankan diri yang boleh kita dapat dari Silambam yang terkenal dikalangan kaum India ?Diharapkan tuan akan memberikan pendapat yang bernas kerana ramai daripada masyarakat kita tidak mengenali tentang seni pertahankan diri ini.Persoalan apa itu Silambam masih wujud di kepala semua orang termasuk saya sendiri.Baik,tanpa membuang masa dipersilakan tuan. Selva Raw:Terima kasih tuan pengerusi majlis.Pertama sekali,saya ingin menjelaskan maksud seni pertahankan diri Silambam ini. Silambam atau Chilambam, merupakan seni bela diri Dravidian tradisi berasaskan pertempuran tongkat. Gaya ini dipercayai berasal dari Bukit Kurinji masa kini Kerala, 5,000 tahun dahulu, di mana penduduk tempatan menggunakan tongkat buluh bagi mempertahankan diri mereka dari haiwan buas. Narikuravar dari Bukit Kurinji menggunakan tongkat yang dikenali sebagai Chilambamboo sebagai senjata bagi mempertahankan diri mereka daripada haiwan buas, dan juga bagi menunjukkan kemahiran mereka semasa perayaan keugamaan.Secara umumnya, Silambam sebahagian besarnya merujuk kepada tongkat atau gaya tempur menggunakan tongkat. Panjang tongkat biasanya sekitar 1.68 meter (lima setengah kaki). Saiz tongkat berkait dengan ketinggian pengguna

silambam. Ia sepatutnya mencecah dahi sekitar tiga jari dari atas kepala, sungguhpun panjang berlainan digunakan dalam keadaan berlainan. Kayu sepanjang tiga kaki yang dikenali sebagai "sedikutchi" boleh dibawa secara tersembunyi. Latihan berlainan diperlukan bagi mengendalikan tongkat yang berlainan kepanjangannya. Gaya biasa termasuk memegang tongkat pada satu hujung, tangan kanan hampir kebelakang, tangan kiri sekitar 40 sentimeter (16 inci) darinya. Kedudukan ini membenarkan pelbagai pergerakan badan-dan-tongkat, termasuk serangan dan tangkisan yang rumit. Pengamal silambam tidak bersenjata menggunakan beberapa pola pergerakan berasaskan pergerakan haiwan, terutamanya bentuk ular dan helang. Silambam dinaungi oleh Dinasti Chola silam, Dinasti Chera dan Raja-raja Pandiya dari India Selatan semasa tempoh Sangam. Ia digunakan secara meluas oleh Maravar pada dari tentera Travancore.Rujukan kepada "Silappadikkaram" dalam kesusteraan Sangam bahasa Tamil bertarikh semenjak abad ke-2 merujuk kepada penjualan tongkat Silamabam, pedang, mutiara, dan perisai kepada pedagang asing. Tongkat silambam merupakan salah satu senjata seni bela diri, yang mendapat permintaan tinggi dari pelawat. Selepas seni ini tersebar ke dunia Melayu, "Silambam" merujuk kepada seni tersebut termasuk senjatanya.

Pengerusi : Terima kasih diucapkan diatas hujah yang telah dilontarkan dengan lantang sebentar tadi. Memang tidak dinafikan lagi ilmu mempertahankan diri amat penting pada masa kini. Ada yang mengatakan pada masa kini terdapat bermacam-macam jenis senjata yang boleh meragut nyawa dengan hanya sekali tembakan sahaja. Selain daripada itu, terdapat juga bom yang boleh memusnahkan bangunan dengan sekelip mata sahaja. Mereka mempersoalkan dan membandingkan dimanakah peranan ilmu mempertahankan diri ini di dalam situasi sebegitu. Jika ada yang berkata demikian, anda hendaklah merujuk kembali kepada kepercayaan agama masing-masing. Bagi meneruskan hujah yang seterusnya, ingin saya bertanyakan kepada ahli panel kita yang kedua berkenaan isu yang sedang diperbincangkan sekarang. Dipersilakan. Muhd Arif :Terima kasih diucapkan kepada tuan pengerusi majlis kerana mengizinkan saya untuk menambah hujah saya. Ketahuilah, apabila anda mempelajari ilmu mempertahankan diri, dengan secara tidak langsungnya akan timbul bibit keberanian di dalam hati anda. Anda tidak akan takut menghadapi sebarang ancaman kerana sesungguhnya rasa takut itu perlu dizahirkan hanya kepada tuhan yang Maha berkuasa atas tiap sesuatu dan adapun makhluk itu tidak berkuasa untuk memudaratkan makhluk yang lain melainkan dengan izin-Nya.kelebihan ilmu bela diri ini adalah untuk menaikkan semangat penuntutnya supaya tidak gentar dengan apa cabaran sekalipun. Selain daripada pengertian gerak, kita boleh mendapat pengertian

batinnya sekali dengan syarat kita sendiri mencari dan menilai sendiri rahsia di sebalik pergerakan-pergerakan di dalam ilmu mempertahankan diri ini. Pengerusi : Terima kasih diucapkan kepada ahli panel kita yang kedua itu.Memang tidak dapat dinafikan bahawa seni pertahankan diri ini mempunyai banyak kebaikan tidak kira dari segi fizikal dan emosi .Seharusnya masyarakat perlulah sedar akan kepentingan ilmu pertahankan diri yang dikurniakan oleh tuhan ini.Nampaknya ahli panel kita yang ketiga seperti berminat untuk menambah hujah yang telah dinyatakan oleh ahli panel 2 itu tadi. Dipersilakan tuan. Mohd Airul : Terima kasih tuan pengerusi. Memang saya berminat untuk menambah hujah yang telah dinyatakan oleh ahli panel yang kedua sebentar tadi. Sedarkah anda, apabila kita sudah mempunyai keyakinan diri, perjuangan kita menegakkan agama, bangsa dan negara akan menjadi lebih mudah. Tidakkah anda berasa marah dan tercabar apabila ada pihak yang mempersenda dan memperlekehkan agama, bangsa dan negara kita akibat daripada kelemahan kita sendiri? Selain daripada keyakinan diri, ilmu bela diri seperti silat juga boleh membantu kita menjaga kesihatan kita dari segi mental dan fizikal. Jika kita lihat pada masyarakat cina, mereka mempunyai ilmu tai chi yang boleh menjaga diri dan juga kesihatan mereka. Selva Raw : Izinkan saya untuk mencelah sebentar tuan pengerusi. Seseorang pengamal seni mempertahankan diri yang berkeyakinan diri akan meningkatkan disiplin diri yang akan meningkatkan kemahiran serangan dan defensif samada serangan tunggal atau lebih kepada tubuh lawan. Tindakan ini akan mendidik anak-anak untuk taat, keseimbangan, positif, tegas dan berkeyakinan tinggi dalam apa sahaja bidang yang mereka akan terlibat pada masa hadapan. Selain itu, tindakan menerima serangan lawan akan mendorong anak untuk meningkatkan kemahiran berstrategi tentang bagaimana untuk menerima serangan dari pihak lawan. Secara tidak langsung, kegiatan ini akan memberi sikap yang positif seperti mengambil berat, menyayangi, bertanggungjawab, setia, kreatif, dan setiawan terhadap rakan seguru mereka serta terhadap lawan mereka. Pengerusi :Terima kasih kepada kedua-dua ahli panel kita itu tadi.Seterusnya saya ingin menujukan soalan ini kepada ahli panel kita yang kedua,Encik Ariff,bolehkan tuan memberikan beberapa contoh kejadian yang berlaku di negara kita akibat pengabaian seni mempertahankan diri ini.Dipersilakan tuan. Muhd Arif :Terima kasih tuan pengerusi majlis. Contoh kejadian adalah seperti di TANAH MERAH 12 Jan 2011.Keseronokan seorang pelajar perempuan tingkatan satu terpilih memasuki sebuah sekolah berasrama penuh di Pasir Puteh, tidak lama apabila dia menjadi mangsa buli pelajar senior, pada 2 hari yang sebelum iaitu 10 Jan.Kejadian menimpa Nur Arfah Mohd. Nordin, 13,

semasa program suai kenal di sekolah tersebut, menyebabkan remaja berkenaan trauma dan enggan ke sekolah.Malah mangsa juga mengalami kesakitan di leher, bengkak di dahi, lebam di beberapa bahagian badan serta sakit tekak sehingga terpaksa dihantar ke Hospital Tanah Merah (HTM) oleh ibu bapanya untuk rawatan.Doktor yang merawat terpaksa memasang alat penyokong di leher Nur Arfah untuk mengelakkan kecederaan dialaminya itu bertambah serius.Ini adalah kerana pelajar senior yang belajar di sekolah tersebut yang menyuruh adik Nur berlari sewaktu program dijalankan dalam keadaan muka tertutup dengan kain tudung.Sungguh menyedihkan,kerana pihak sekolah tersebut tidak mengambil sebarang tindakan walau menghantar adik Nur ke hospital.Lihatlah betapa kejamnya pelajar perempuan pada masa kini.Sekiranya adik Nur telah mempelajari ilmu pertahankan diri sudah tentunya perkara di atas tidak akan berlaku.Selain itu saya juga ingin berkongsi dengan para hadirin satu lagi kejadian yang berlaku di BUKIT KAYU HITAM: Seramai 20 pelajar Tingkatan Lima Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kubang Pasu, dibuang sekolah berkuat kuasa selepas didapati bersalah membuli dengan menjentik dahi seorang pelajar Tingkatan Empat beramai-ramai pada 25 Februari 2011.Mereka diarahkan pulang pada petang hari kejadian, sebelum pihak sekolah mengambil keputusan membuang semua pelajar terbabit selepas mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).Betapa padahnya keadaan adik itu.Ibu bapa adik tersebut seharusnya telah menggalakkan anak mereka untuk mempelajari seni pertahankan diri di mana adik tersebut akan dapat melindungi dirinya pada saat-saat yang genting. Mohd Airul :Izinkan saya mencelah sebentar tuan pengerusi.Kejadian yang berlaku di SRI AMAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin kesal dan sedih dengan kematian pelajar Tingkatan Empat Maktab Tentera Diraja (MTD), Muhammad Naim Mustakim Mohd Sobri akibat dibuli dan berharap pihak berkuasa bertindak tegas dalam kes berkenaan.Ini adalah berpunca daripada pelajar senior yang mendera adik tersebut dengan tujuan ragging yang sebenarnya sudah pun diharamkan di sekolah dan institusi.Memang menyedihkan keadaan ini tuan pengerusi.Pelajar kita sanggup membuat ragging sehingga pelajar sekolah tersebut meninggal dunia.Seharus-harusnya pelajar-pelajar seperti ini diberikan hukuman yang setimpal akibat perbuatan mereka yang keji itu.Selain itu,kejadian di Gua Musang juga ingin saya perkatakan di pagi yang indah ini.Adik Mat Razarizu,14,koma selepas dibuli rakan sekelas di Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK)Tengku Bendahara,Bertam pada 29 Julai yang lalu.Dalam kejadian jam 11 pagi itu,abang kepada Mat Razarizu mendakwa adiknya dipukul,ditumbuk serta dipijak di dada oleh lebih daripada seorang rakan sekelasnya.Akibatnya Mat Razarizu mengalami pendarahan dalaman sehingga koma dan dirawat di Unit Rawatan(ICU)Hospital Raja Perempuan Zainab II(HRPZII),Kota Bahru.Menurutnya,sehari selepas kejadian,adiknya mengadu sakit badan sehingga demam sebelum dibawa ke Pusat Kesihatan

Bertam Baru,di situ,untuk rawatan.Katanya,doktor di situ merujuk adiknya ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.Namun keadaan adiknya semakin hari semakin parah yang mengakibatkan abang kepada adik Mat membuat laporan polis.Katanya,pelajar yang membuli adiknya itu dipercayai tinggal di Kampung Jerek di situ dan masih datang ke sekolah seperti biasa kerana tiada tindakan dikenakan.Menurut Mat Razarizi,dia percaya adiknya tiada musuh dengan rakan di sekolah itu kerana baik dan sentiasa memberi tumpuan kepada pelajaran berikutan menyedari keluarganya miskin.Sementara itu,Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan,Hussain Awang berkata,setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian berkenaan.Sungguh mengejutkan dan menyedihkan kerana pihak sekolah tidak mengendahkan langsung kejadian tersebut dan buat tidak tahu sahaja.Kejadian yang menimpa adik Mat ini diharap tidak berulang lagi kepada pelajar yang lain. Pengerusi :Terima kasih kepada kedua-dua ahli panel kita itu tadi.Memang menggerunkan apabila memikirkan keadaan pelajar-pelajar yang ditimpa kejadian buruk kerana tidak mempelajari seni mempertahankan diri.Bolehkah Encik Selva memberikan contoh kejadian lain yang melibatkan pengabaian seni mempertahankan diri? Selva Raw :Terima kasih tuan pengerusi majlis.Saya ingin menceritakan tentang kejadian yang berlaku di DUNGUN pada 7 Ogos -Kes buli pelajar di sebuah sekolah menengah di bandar Bukit Besi, yang menyaksikan seorang pelajar parah akibat dibelasah oleh lima pelajar lain. Kejadian berlaku pagi hari sebelumnya itu menyebabkan Mohd. Rizuan Mohd. Hashim, 15, terpaksa menggunakan kerusi roda.Dia yang dirawat di Hospital Hulu Terengganu (HHT) sudah pun dibenarkan keluar petang hari tersebut.Lima pelajar tingkatan tiga yang disyaki terbabit telah ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun bagi siasatan lanjut. Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Supritendan Che Hamzah Che Ismail ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian buli itu.Kes buli ini berlaku ketika mangsa dan kelima-lima pelajar terbabit berada di sebuah kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerangau kerana mengikuti Program Pendidikan Terengganu Gemilang.Mangsa dipercayai diserang dan dipukul dengan kerusi dan disepak di beberapa bahagian tubuh pada waktu rehat, kira-kira puku 10.50 pagi.Semua pelajar tersebut bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun tersebut.Mereka datang ke sekolah itu kerana diminta mengikuti kelas khas beberapa mata pelajaran terpilih, yang membabitkan pelajar tingkatan tiga dan pelajar tingkatan lima.Mohd. Rizuan yang cedera di beberapa bahagian badan itu kemudian dikejarkan ke HHT oleh dua orang guru sekolah itu.Mangsa yang ditempatkan di wad HHT terpaksa menggunakan kerusi roda kerana sukar bergerak.Akibat buli kehidupan seorang remaja telah terjejas.Sungguh

mendukacitakan keadaan remaja itu tuan pengerusi.Saya ingin menegaskan di sini bahawa gejala buli akan dapat dibanteras sekiranya dalam diri setiap pelajar mempunyai wawasan untuk mempelajari seni mempertahankan diri.Mereka mungkin beranggapan bahawa seni pertahankan diri ini akan menjejaskan pembelajaran mereka.Tapi sebaliknya,mereka tidak memikirkan kebaikan yang akan mereka memperolehi akibat mempelajari seni pertahankan diri ini. Pengerusi : Baiklah. Terima kasih kepada Encik Selva kerana memberikan pendapat yang berguna sebentar tadi.Dalam proses mempelajari seni mempertahankan diri mungkin sukar bagi pelajar, namun ianya memberi impak atau kesan yang positif terhadap keperibadian dan perilaku dalaman mereka. Ini kerana tujuan utama seni mempertahankan diri adalah menghasilkan individu yang mulia dan merubah sikap negatif ke positif yang dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara dalam membangunkan umat yang kuat. Dengan ini, saya ingin menujukan soalan kepada Encik Ariff, apakah kesan-kesan yang dapat kita ambil dari ilmu seni mempertahankan diri ? Muhd Ariff : Terima kasih kepada tuan pengerusi majlis. Baiklah, dalam ilmu seni mempertahankan diri ini terdapat pelbagai kesan-kesan yang positif yang boleh kita ambil. Antaranya ialah menghormati. Pelajar-pelajar akan dididik dengan sikap menghormati pada guru-guru dan rakan rakan mereka apabila berada di gelanggang atau di mana sahaja. Pelajar bukan sahaja menghormati guru-guru mereka, malah ibu bapa juga akan lebih ditaati oleh diri mereka. Selain itu, disiplin dan sabar juga memainkan peranan sebagai kesan dalam seni mempertahankan diri. Dalam mempelajari sesuatu latihan, pelajar sering disakiti atau dimarahi oleh rakan-rakan atau guru-guru ketika berlatih. Oleh itu, pelajar haruslah lebih bersabar ketika berlatih. Dengan sikap berdisiplin pula, pelajar akan mengamalkan peraturan atau undangundang yang digunakan di gelanggang dalam kehidupan mereka. Contohnya, tidak menunjuk-nunjuk kepada orang lain yang mereka memiliki seni mempertahankan diri, tidak menyakiti orang lain atau salah menggunakan kuasanya dan sebagainya. Seterusnya, sikap berkeyakinan tinggi juga akan mendidik pelajar-pelajar untuk berpendirian, bersemangat, tegas, dan berkeyakinan tinggi dalam menempuhi cabaran yang akan datang pada masa hadapan. Pengerusi : Terima kasih kepada Encik Ariff kerana menjelaskan dengan penuh teliti tentang kesan-kesan seni mempertahankan diri di kalangan pelajar. Seterusnya, saya juga ingin mempertanyakan soalan yang sama kepada Encik Airul tentang kesan seni mempertahankan diri di kalangan pelajar.Diharapkan encik akan memberikan pendapat yang lebih bernas. Dipersilakan.

Mohd Airul : Terima kasih kepada tuan pengerusi majlis. Saya akan menyambungkan hujah yang dikemukakan oleh Encik Ariff sebentar tadi. Selain kesan-kesan seni mempertahankan diri tadi, ada banyak lagi kesan terhadap diri pelajar. Antaranya ialah semangat yang kental. Jika pelajar selalu berlatih dengan latihan yang mencabar, ia akan dapat meningkatkan semangat dan tekad para pelajar dari hati hingga ke fikiran mereka. Dengan demikian, mereka akan memiliki sikap positif seperti inovatif, berani dan gagah. Seterusnya, sikap keperwiraan dalam diri. Para pelajar mempelajari banyak teknik bela diri yang dapat membantu mereka dalam membina sikap kesopanan dan sikap sebagai seorang pendekar. Selain itu, kesan seni mempertahankan diri di kalangan pelajar juga termasuklah sikap integriti dan semangat perjuangan yang tinggi. Nilai-nilai positif seperti berani, kerjasama berpasukan, integriti, bersemangat tinggi, dan tangkas akan ditimba dalam latihan-latihan yang dapat membangunkan keperibadian pelajar terutama dari segi kepimpinan. Sikap semangat perjuangan yang tinggi amat diperlukan dalam diri pelajar. Sikap ini mampu mengubah diri setiap pelajar agar lebih kuat pendirian dan mahu memperjuangkan seni mempertahankan diri yang terdapat pada masa kini. Pengerusi : Terima kasih kepada ketiga-tiga ahli panel kita yang telah melontarkan dan menyuarakan pendapat masing-masing berkenaan dengan kepentingan seni mempertahankan diri dalam kalangan pelajar. Oleh itu, marilah bersama-sama kita menganjakkan paradigma kita ke satu skop pemikiran yang lebih matang dan terbuka bahawa ilmu mempertahankan diri bukan sekadar mempertahankan diri, malah lebih daripada itu. Adalah menjadi tanggungjawab kita menjaga warisan kebudayaan ini supaya tidak jatuh ke tangan bangsa lain. Kita semua patut bersyukur kepada Tuhan kerana nenek moyang kita membuat persediaan dan menyediakan bekal untuk kita di kemudian hari. Tugas kita hanyalah mempertahankannya supaya anak cucu kita di masa akan datang dapat mewarisi perkara yang sama. Jadilah ulama' yang berjiwa panglima untuk membolehkan hasrat untuk memupuk penglibatan pelajar dalam seni mempertahankan diri dapat dicapai. Sekian........

You might also like