You are on page 1of 7

PERGAS INDAH falsafah reka-bentuk

AHLAN WA SAH-LAN WA MARHABA


------------------------------------------------------------------Write-up on the new premise oleh Ustaz Zhulkeflee Hj Ismail Executive Officer (Research & Development) Artikel ini telah dimuatkan dalam makalah khas pembukaan pejabat PERGAS diWismah Indah, 448, 03-01 Changi Road bersebelahan Masjid Kassim, Singapura.

-----------------------------------------------------------------------

Ahlan was sahlan wa marhaba adalah kata-kata aluan di dalam menyambut kedatangan setiap para pengunjung dan tetamu. Mengalu-alukan dengan memperjelaskan kesediaan yang ada kepada tetamu dan pengunjung, juga merupakan adab yang Islami. Setiap sesuatu yang disusun sememangnya mempunyai maksud tertentu yang kami harapkan dapat memberi makna kepada mereka yang datang, agar kunjungan mereka itu lebih bererti. Sebagai memperkenalkan identiti dan matlamat kami, lambang-lambang alami dan hiasan tempat kami ini ada tersirat beberapa pengertian. Jika tidak diperjelaskan, mungkin ianya hanya setakat hiasan zahiri. Dari itu disini ingin kami perjelaskan beberapa konsep dan maksud reka-bentuk ruang yang ada di pusat kami ini.

Dengan mendapatkan tempat di Wisma Indah Masjid Kassim, PERGAS kini melangkah setapak lagi di dalam menempatkan perjuangan para Asatizah di Singapura. Didalam menyiapkan pelan ruang tingkat tiga ini, tergeraklah saya agar corak ruang tingkat PERGAS ini dapat sekaligus melambangkan juga kepada maksud dan falsafah pendidikan yang kami perjuangkan. PERGAS, atau Persatuan Guru Islam dan Ulamak Singapura mendokong Dawah dan Pendidikan Islam sebagai peranan utama kami. Peranan kami adalah sebagai penerus dan pendokong amanah para Nabi untuk mengIslamisasikan dunia melalui pendidikan insan. Konsep dan falsafah serta budaya pendidikan yang kami perjuangkan pula perlu kami paparkan. Maka dari itu reka bentuk yang kami siapkan diruang pusat kami ini, sengaja diatur untuk mengandungi makna yang tersirat. -------------------------------------------------Bermula di ruang pertama - yakni lobby. -------------------------------------------------Dengan memasuki ruang lobby ini, yang akan terserlah kepada pengunjung adalah kaunter penyambut tamu (reception counter) kami. Namun, kalau dilihat ke lantai, hiasan ruang ini terbahagi kepada tiga jenis corak hiasan yang tidak sama. Bermula dengan corak bebatuan beasar warna-warni sehingga menemukan dengan hiasan kebiru-biruan yang mengasingkannya dengan ruang lantai yang bercorak seperti pasir-pasiran di pantai.

All Rights ReservedZhulkeflee2000

PERGAS INDAH falsafah reka-bentuk

MAKNA

Hiasan bebatuan warna warni melambangkan kepelbagaian corak hidup dan ragam. Ini adalah simbolik kepada keadaan kepelbagaian nilai-nilai budaya serta berbagaibagai cara hidup yang mungkin pengunjung telah pun didedahkan sebelum ini. Corakcorak bebatuan yang agak besar dan mempunyai warna-warni yang agak garang ini seolah-olah memberi gambaran kepada gaya penghidupan yang sekular dan materialistik mencorakkan manusia-manusia yang bersifat individualistik, terlalu mementingkan diri, masing-masing manusia berlumba-lumba menyerlahkan diri dalam medan hidup. Corak nya seolah-olah melambangkan kerimasan suasana. Setiap batu pula mempunyai bucu-bucu yang agak kasar serta ruang antara bebatuan kelihatan jelas dan lebar. Walaupun ianya memberi gambaran rancak, namun ianya tidak mengarah kepada kedamaian malah menampakkan persaingan. Setiap bebatuan seolah-olah berhempas pulas untuk mendapatkan tempat.

Sebagai kebalikkan nya, nun disebarang ruang lobby ini, terbentang pula hiasan pasir-pasiran, melambangkan akhir natijah batu-batu yang menjalani proses pensucian dengan air. Sifat tiap-tiap pasir dan batu, walaupun mempunyai keperibadian tersendiri namun keadaan mereka menampakkan kepengalaman dan kematangan (experience and maturity). Tiap pasir dan batu tersusun dan terurus menurut tempat masing-masing dengan rapatnya, melambangkan kedamaian jiwa serta keluhuran budi dan mengutamakan khidmat dan kebersatuan. Keberadaan setiap butir mengarah kepada saling lengkap-melengkapi. Unsur-unsur terlalu mementingkan diri (sifat ke-akuan) hilang dengan semuanya menyatu dalam satu ruang yang melambangkan kesatuan ummat sejagat Sedarkah kita bahwa setiap pasir dan batu (walaupun ada yang meremehkan keberadaan mereka dimuka bumi), adalah diantara bahan terpenting didalam pembangunan? Sepertinya juga, hanya insan-insan yang suci dan berbudi luhur lah yang mampu membawa keberkesanan setiap perjuangan dan pembangunan yang bererti. Ruang lantai yang bercorak kebiruan pula, adalah lambang air - sumber utama yang dijadikan Allah untuk penghidupan dan juga bahan utama untuk kesucian dan pengsucian. Coraknya dibentangkan seolah-olah ibarat sungai yang mengalir, memisahkan kedua corak yang kami sebutkan sebelum ini. Yang kami ingin maksudkan adalah mesej bahawa perubahan dari satu keadaan yang kurang baik kepada keadaan yang lebih baik memerlukan kepada suatu pensucian. Inilah lambang kepada pendidikan yang Islami. Pendidikan yang berlandaskan Syariah. Sebagai isyarat, kekata Arab Shariah itu juga mengandungi makna mata air atau jalan menuju ke mata air. Maka jalur air itu kami bentangkan ibarat sebatang sungai, yang seolah-olah telah mengalir dari ruang yang di dalam bangunan.

Suasana corak ketiga-tiganya sengaja diatur supaya mendorong seseorang untuk menyusul, mencari asal kepada punca air tersebut. Maka ia dipersilakan menapak jejak mengikuti alur air tersebut. Dengan memudik ke hulu, pengunjung akan diarahkan ke sebuah pintu. Tertera di atasnya adalah kekata yang dipetik dari Hadith Rasulullah s.a.w. Barangsiapa yang melangkah kakinya keperjalanan menunutut

All Rights ReservedZhulkeflee2000

PERGAS INDAH falsafah reka-bentuk

ilmu, maka Allah akan menjadikannya sebagai jalan menuju jannah (taman syurga). Dan bertentangan dengan pintu masuk ini ada tertera lima ayat dari Surah al-alaq: Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhan-mu Yang menciptakan, Dia telah Menciptakan manusia dari segumpal darah, Bacalah, dan Tuhanmu lah Yang Paling Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam, Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.

------------------------------------------------------------------------PENDIDIKAN ISLAM - KEMBARA MENUNTUT ILMU ------------------------------------------------------------------------Menuntut ilmu adalah seperti suatu pengembaraan. Setiap pengembaraan mestilah mempunyai landasan dan arah tuju hala. Islam meletakkan syariah sebagai landasan tersebut. Hiasan air itu adalah lambang kepada makna kekata syariah itu - adalah ibarat sungai dan sekaligus jalan menuju kepada mata air. Seorang penuntut di sebut talib (pencari) atau saalik (pengembara) dan mesti berusaha menempuh beberapa pengalaman dengan meniti kembara ilmu berlandaskan Islam. Ruang yang pengunjung akan kemudian masuki adalah berbentuk archway pintu pintu gerbang. Ini melambangkan pendidikan Islam mengutamakan kepada adab menuntut ilmu. Pelajar dikehendaki bersedia dan rela merubah diri, dengan melepaskan cara dan budaya lama yang mungkin ada. Seorang pelajar Islam adalah mereka yang menyerahkan diri kepada tiap tuntutan ilmu Islam yang mereka dilalui. Ilmulah yang akan menguasai diri, bukan diri yang konon menguasai ilmu namun tidak memberi jejas apa-apa kepada diri tersebut. Ini adalah suatu fahaman yang sangat kontradiktif, yakni bertentangan dengan istilah ilmu menurut Islam. Gerbang (archway) yang dilalui seumpama maqam yang harus ditempuh dan rentasi; atau seperti kulit-kulit yang mesti dikupas agar sampai kepada kehalusan budi pekerti, kerana ilmu bermaksud kesampaian jiwa kepada makna dan kesampaian makna kepada jiwa. (Re: S.M.Naquib Al-Attas). Islam lebih mementingkan kedalaman ilmu bukan setakat hanya mempunyai banyaknya maklumat. Matlamat pendidikan Islam adalah kepada terbentuk nya insan yang kulliy (universal) dan kamil(perfect). Kerana Rasulullah s.a.w. mengatakan : Tidaklah aku diutus melainkan untuk menyempurnakan keluhuran akhlaq manusia.

Maka seorang penuntut ilmu adalah juga seorang pengembara yang apabila memenuhi adab-adab didalam menuntut akan merasai setiap keadaan pembelajaran mereka seumpama keberadaan mereka di dalam taman. Sesuatu yang indah dan mengasyikkan. Maka dari itu, dengan menyusuli air, ia akan menemui ruang yang di hiasi seumpama taman.

All Rights ReservedZhulkeflee2000

PERGAS INDAH falsafah reka-bentuk

Taman adalah simbolik kepada kedamaian. Suatu tempat dan keadaan yang amat mententeramkan. Corak yang dilantai adalah secara simbolik seperti sebuah mata-air (fountain). Corak hiasan bintang yang berbucu lapan yang, jika di ikuti jalurnya tidak akan kesampaian kepada akhir ataupun mula.- senantiasa berterusan : adalah simbolik kepada tidak terhingganya ilmu yang ada disisi Tuhan. Dan tentu sekali dengan corak bintang juga ia melambangkan Islam sebagai agama wahyu, agama samaawi (yang berasal dari langit). Islam mengajarkan bahwa kita sebagai insan, adalah dijadikan agar tidak lalai atau leka dari mengingati Allah dan merenungi aayat (tanda-tanda keagungan Allah) melaui aayat qawliyyah (melalui wahyu) dan juga aayat kauniyah(yang ada pada alam). Renungkanlah! Seorang yang benar berilmu (aalim) dan alam semesta (aalam) ditulis dengan huruf-huruf hijaiyah yang serupa. Yakni ayn-alif-lam-mim.

Ruang ini sengaja digubah seumpama taman kerana Rasul s.a.w. mengatakan, apabila berkumpulnya manusia ketempat yang dimana ilmu diajarkan, maka ia adalah taman diantara taman-taman syurga (raudhah min riyaa-dha al-jannah).

Ruang ini juga di sediakan dengan tempat duduk dan juga sebuah bilik-khas yang bersebelahan dengan sebuah bilik berdinding kaca yang menpunyai corak Islami. Ini mengisyaratkan bahwa kembara pendidikan perlu kepada tahap perhentian dari bergerak, untuk jangka masa yang mungkin agak lama. Perlu kepada kesabaran dan ketekunan untuk beberapa waktu Pengembaraan menuntut ilmu kini bukan lagi diukur dengan jarak atau gerak laluan Perkembangan yang difokuskan adalah pengisian dan perubahan dalaman, melalui zikr dan fikr. Zikr merangkumi pembelajaran dan peringatan, dan fikr pula adalah usaha-usaha inisiatif peribadi. Dua perkara ini - ruang bilik melambangkan aspek zikr (melalui talim, muzaakarah, uzlah, muhaasabah diri dan lain) dan ruang duduk ditaman adalah mewakili aspek fikr (merenung dan berfikir kepada makna tanda-tanda alami ini). Kedua aktiviti ini adalah yang menjadi aktiviti utama seorang murid. Ianya juga adalah aktiviti yang perlu ditanamkan supaya membiasakan murid itu agar dapat meneruskan aktiviti tersebut dalam kehidupan seharian mereka. Sama ada pada waktu bersendirian ataupun pada keberadaan mereka di dunia umum. Pendidikan terus melalui dua metode tersebut. Diharapkan akan lahirlah insan seperti digambarkan oleh Allah: (Mereka itu adalah) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau ciptakan ii dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka. (Q: Aali Imran : 3 :191)

Bilik adalah disediakan sebagai ruang untuk halaqah (study circle). Di harapkan, pelajar dapat dikumpulkan oleh guru pembimbing didalamnya agar sistem sheikhmurid dapat diterapkan secara lebih berkesan lagi diluar darjah formal. Pendidikan di

All Rights ReservedZhulkeflee2000

PERGAS INDAH falsafah reka-bentuk

PERGAS menggalakkan pembelajaran secara kelompok ini (sememangnya menjadi tren pembelajaran tradisional Islam), agar ianya menjadi satu budaya (culture) mereka yang terdidik dari PERGAS. Diharapkan mereka ini akan mampu mengembangkan tradisi ini di masyarakat agar pembelajaran secara halaqah ini dapat dihidupkan dan dikembangkan semula dimasyarakat.

----------------------------------------------- KEMBARA SELANJUT NYA -------------------------------------------------

Corak lantai yang seterusnya kini berubah menjadi corak hiasan yang berlambanglambang Islami (Islamic ornamental patterns). Hiasan di-dinding pula tertera beberapa maklumat yang memaparkan aspek-aspek institusi pendidikan Islam umpamanya peribadi-peribadi ulama Islam, sumbangan-sumbangan Islam kepada dunia ilmu dan pendidikan, dan lain-lain . Ini diharapkan agar menjadi wadah perangsang kepada pelajar untuk mengikuti jejak para ilmuan dan ulama Islam. Laluan ini pula, selain lantainya dihiasi dengan hiasan bintang-bintang dan motif Islami, disebelah kanan menghadap atrium, tingkapnya dicorakkan dengan reka bentuk ala mihrab (di ilhamkan dari reka bentuk Islam-Andalusia.) Ini adalah harapan kami agar lahirlah para ilmuwan dan ulama yang mempunyai kecemerlangan seperti ulama Islam di zaman itu yang pernah memimpin dunia dibenua Eropah itu seperti IbnRushd, Al-Farabi, Ibn Hazm, A-Mawardhi, Al-Qurtubi, Ibn Arabi, dan lain-lain.

Maqsud nya adalah diharapkan penuntut yang sudah mengalami pendidikan Islami akan menjalani perubahan, terutama pada fikrah dan tasawwur. Alam pendidikan Islami akan merubah pandangan mereka terhadap alam. Setiap sesuatu akan dilihat dari kacamata atau perspektif Islam, tidak lagi berpisah-pisah. Tiap sesuatu di alam ini akan dilihatnya amat indah dan menakjubkan, sehingga menimbulkan rasa syukur dan terus mendorong mereka bertasbih kepada Allah s.w.t. Walaupun bentuk dan rupa benda-benda di alam semsta ini mungkin kelihatan nya berbeza-beza, namun tiap sesuatu itu dapat diterapkan kepada suatu paradigma Tauhid. Seseorang yang terdidik secara Islami akan tahu letak-nya sesuatu di alam maya ini, menurut perspektif Islam. Dan tiap sentuhan kreatif mereka adalah ibarat usaha mentasbih dan mentasdiqkan keEsaan Allah s.w.t.

Gambar hiasan didinding pula adalah wadah untuk mengejutkan para pelajar kepada sejarah kegemilangan Islam yang dipelopori oleh para ulama masa lampau yang telah menunjukkan keupayaan menyumbang kepada dunia dengan hidup mereka. Tradisi ilmu inilah yang diharapkan dari pelajar-pelajar Muslim masa kini. Pendidikan setiap Muslim kini mesti dilihat sebagai suatu kesinambungan dan hubungan sejarah ini perlu ditanamkan kepada setiap generasi Muslim. Kalau mereka para ulama dahulu telah meneroka kejayaan masa kegemilangan Islam, maka tanggung jawab kita sebagai pelajar Islam masa kini, adalah untuk terus mengembalikan kegemilangan itu. Satu-satunya cara adalah melalui pendidikan secara Islami.

All Rights ReservedZhulkeflee2000

PERGAS INDAH falsafah reka-bentuk

Apabila ke luar ruang yakni lobby, akan nampak tertera di tiang-tiang yang ada ditempat duduk bersebelahan kaunter penyambut tamu beberapa kalimat. Taqwa, Ikhlash, Sidq, Sajaah, Iffah, Hilm, Quwwah, Adalah, Zuhd, (atau seumpama-nya) Agar ianya mengimgsatkan kepada setiap Muslim yang terdidik agar senantiasa mendukung dan merealisasikan sifat dan akhlaq yang mulia ini.

Sebelum ke luar, bertentangan dengan pintu masuk tadi adalah sebuah pintu yang padanya tertera surah Al-Alaq. Tersembunyi dibalik pintu ini, walaupun kecil, adalah sebuah kutub khanah.. Asalnya adalah tangga ketingkat atas yang kini diubah suai khas. Ruang ini (kutub khanah) adalah simbolik kepada budaya membaca, penyelidikan dan penulisan. Budaya ini adalah suatu kelaziman para ulama dan ilmuan Islam. Mudah-mudahan tangga-tangga didalamnya juga adalah suatu peringatan tentang betapa pentingnya pembacaan dalam kita meningkatkan ke-ilmuan itu. Aspek budaya membaca dan menulis memang tidak boleh dipisahkan apabila kita mengenali institusi pendidikan Islam. Ini juga adalah peringatan kita kepada kutub khanah yang termashur Islam seperti di Qurtubi (Cordova), di Baghdad, di Iskandaria (Alexandaria) dan sebagainya.

Apabila keluar semula ke ruang lobby, lantai yang akan dipijak adalah berupa pasiran-pasiran bebatu yang telah melalui proses hakisan atau penyucian dengan air (washed gravel). Setiap biji pasir, walaupun mempunyai riwayat tersendiri, kini merapatkankan barisan dalam satu penampilan yang padat dan padu. Ini adalah sebagai lambang natijah pendidikan Islam yang mampu merobah sifat seorang insan dengan menghilangkan sifat keras dan kotor yang tersalut padanya, serta mengembalikan atau menyerlahkan potensi sebenar bebatu itu. Pasir dan bebatu ini adalah pembuktian ketahanan mereka, penuh dengan pengalaman dan kedewasaan (matured). Malah, melalui proses pensucian dan peng-gilapanlah, kadangkala akan terserlah diantara butiran-butiran itu beberapa intan dan berlian. Namun bukanlah sifat satu atau dua biji butiran yang perlu disini, malah yang penting adalah keberadaan mereka semua pada keseluruhannya. Samalah juga sikap tiap ulama dan ilmuan Islam. Masing-masing lebih menumpukan kepada pembangunan ummah, bukan penyerlahan pribadi masing-masing. Mereka para ulama, sedar bahwa penyerlahan yang perlu baginya adalah melalui khidmat dan ketulusan budi, bukan penyerlaan ego atau penonjolan rupa. Mereka, para ulama Islam ini adalah umpama batu-batuan yang disebutkan ini. Kefahaman mereka adalah, sesiapa yang mempunyai ilmu adalah mereka yang, oleh kerana pendidikan yang mereka lalui, akan menjadi senantiasa tawadhu, tahu diri dan tahu letak duduknya sesuatu di alam raya kepunyaan Allah s.w.t. Seorang yang benar terdidik adalah mereka yang beradab dan mendokong peradaban. Walaupun sememangnya Allah s.w.t. mengangkat derajat para ulama yang beriman ketahap yang tinggi, namun didunia, mereka para ulama menumpukan hidup mereka untuk berkhidmat, memikul tanggung jawab sebagai pewaris para Nabi (alayhimus-salaam) terutama dalam pembangunan (masyarakat).

All Rights ReservedZhulkeflee2000

PERGAS INDAH falsafah reka-bentuk

Ilmu bukan untuk ditayang dan dibangga-banggakan, tetapi ilmu adalah untuk di amal. Ilmu mestilah yang memanfaatkan dan di manfaatkan. Dan walau sebanyak mana pun sumbangan mereka kepada ummah, bagi para ulama itu sendiri, sumbangan mereka itu adalah dianggap tetap kecil, hanya ibarat sebutir pasir di gurun yang luas. Harapan setiap mereka adalah hanya untuk mendapat restu dan keredhaan Tuhan. Seolah-olah hidup dan perjuangan mereka dapat disimpulkan dengan doa: Ilahii, anta maqsuu-di wa ridhaa-ka mat-luu-bi Tuhanku, Engkau lah maqsud (dan tujuan bagi hidup)ku, dan keredhaan Mu lah menjadi kedambaan ku.

Itulah falsafah dan maqsud dari reka-bentuk PERGAS di WISMA INDAH ini. Ianya juga adalah harapan kami untuk setiap pelajar kami dan pengunjung ke pusat pendidikan kami di PERGAS ini. Mudah-mudahan Allah s.w.t. menjayakan kita semua agar terdidiklah generasi Islam yang mendokong ilmu, dan sekaligus giat berusaha dan beramal dalam masyarakat untuk melahirkan Khayra ummah (ummat terbaik). Aamin! WallaAllaahu alam Zhulkeflee Haji Ismail. ----------------------------------------------------------------------------------------

All Rights ReservedZhulkeflee2000

You might also like