P. 1
Kk1 Prof Nik Safiah Karim

Kk1 Prof Nik Safiah Karim

4.0

|Views: 1,761|Likes:
Published by api-3740802

More info:

Published by: api-3740802 on Oct 15, 2008
Copyright:Attribution Non-commercial

Availability:

Read on Scribd mobile: iPhone, iPad and Android.
download as PDF, TXT or read online from Scribd
See more
See less

03/18/2014

pdf

text

original

Situasi Multibahasa Yang Unggul: Antara Jati Diri Dengan Globalisasi Oleh Nik Safiah Karim Profesor Emiritus

, Universiti Malaya.

Mukadimah Ikan gelama ikan sepat, Ikan todak ikan keli; Hidup di dunia biar beradat, Bahasa tidak berjual beli.

1. Pendahuluan: Arus Globalisasi 1.1 Kita kini dilanda arus globalisasi. Hidup kita tidak terlepas daripada pengaruh luar. Tembok yang memisahkan Negara kita daripada dunia telah lama runtuh. Melalui kemajuan sains dan teknologi rumah kita dan kehidupan kita telah dikelilingi oleh unsure-unsur asing yang ada kalanya baik tetapi ada kalanya membawa kesan yang buruk. 1.2 Beberapa aspek globalisasi a. Perhubungan dengan dunia luar telah meningkat; keluar masuk manusia dan maklumat berlaku dengan luasnya disebabkan sistem komunikasi yang sangat maju. b. Keperluan untuk berhubung dengan dunia luar juga telah meningkat kerana faktor-faktor seperti hubungan diplomatik, kerjasama akademik dan penyelidikan, perdagangan antarabangsa dan sukan. c. Di samping bahasa tempatan (bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa etnik lain), perlu satu bahasa

PROSIDING SETALING II

d.

e.

antarabangsa atau lebih untuk berhubung dengan dunia luar, seperti bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Jerman, dan lain-lain. Dunia pendidikan turut berubah wajah, membuat penyesuaian dengan arus globalisasi: • bahasa antarabangsa untuk menimba ilmu pengetahuan • Proses mengkomersialkan pendidikan, iaitu penawaran kursus dan ijazah kepada masyarakat dunia. Situasi monobahasa tidak lagi sesuai. Globalisasi memerlukan multibahasa, iaitu penggunaan bahasa kebangsaan, bahasa-bahasa tempatan lain dan satu bahasa antarabangsa atau lebih.

2.

Pergolakan Bahasa Dalam Negara-negara Sedang Membangun

2.1 Dalam negara-negara sedang membangun seperti Malaysia dan Brunei Darussalam, sedang berlaku pergolakan bahasa yang amat menarik. 2.2 Pada sebelah pihak, negara-negara ini mempunyai bahasa kebangsaan yang berkait dengan maruah dan jati diri bangsa. Bahasa kebangsaan menjadi bahasa rasmi negara dan bahasa perhubungan masyarakat pelbagai latar belakang. Bahasa kebangsaan juga menjadi bahasa tinggi, bahasa wahana ilmu pengetahuan dan bahasa pengungkapan perasaan halus. Dengan kata lain, bahasa kebangsaan diharapkan juga berperanan sebagai wahana pengucapan ilmu pengetahuan dan saluran untuk berpantun, bersyair, dan dalam karyakarya sastera yang lain. Oleh itu, bahasa kebangsaan perlu dipupuk perkembangannya dan disemai di kalangan warganegara supaya mencintai dan membanggakannya. Dalam konteks ini bahasa kebangsaan dikaitkan dengan emosi dan cita rasa kenegaraan. Di samping itu, terdapat bahasa-bahasa kumpulan etnik lain dalam negara yang perlu digalakkan penggunaannya sebagai bahasa perhubungan intraetnik. Bahasa-bahasa ini tidak harus dipinggirkan, ditinggalkan dalam keadaan yang

2

PROSIDING SETALING II

terbiar. Rasa cinta terhadap bahasa etnik perlu dipupuk, untuk digunakan dalam domain atau ranah tersendiri, yang saling melengkapi domain atau ranah bahasa kebangsaan. 2.3 Pada pihak yang lain pula ialah kesan globalisasi yang memerlukan negara-negara ini berhubung dengan dunia luar untuk pelbagai tujuan. Untuk itu, satu bahasa antarabangsa atau lebih perlu dikuasai. Lazimnya bahasa antarabangsa yang dipilih ialah bahasa Inggeris, walaupun bahasa-bahasa lain juga dianggap penting, misalnya bahasa Arab, bahasa Jerman dan bahasa Perancis. Lama kelamaan keadaan bahasa antarabangsa ini, terutama bahasa Inggeris, dilihat dalam konteks yang lebih luas. Bahasa Inggeris bukan sahaja menjadi bahasa perhubungan dengan dunia luar tetapi dikaitkan dengan ilmu pengetahuan. Banyak buku tentang ilmu pengetahuan moden, terutama dalam bidang sains dan teknologi, ditulis dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, bahasa Inggeris dikaitkan dengan ilmu dan dengan pengajian tinggi. 2.4 Dengan demikiansituasi bahasa dalam negara-negara membangun seperti Malaysia dan Brunei Darussalam berupa situasi multibahasa, iaitu yang warganegaranya mengetahui dan menggunakan bahasa kebangsaan, bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa tempatan lain, dalam konteks yang berlainan untuk memenuhi pelbagai keperluan. Situasi multibahasa ini hendaklah dilihat dalam konteks yang positif. Dari satu sudut, tidak salah dan tidak merugikan sesebuah masyarakat mempunyai situasi multibahasa. Bahkan beberapa kajian telah menunjukkan bahawa otak manusia berupaya mempelajari dan menguasai banyak bahasa, terutama jika dilakukan sejak kecil lagi. Maka tidak hairanlah jika banyak negara sedang membangun pada masa ini mengamalkan dasar multibahasa. Dari sudut yang lain pula, telah terbukti bahawa situasi monobahasa tidak lagi sesuai. Sesebuah negara tidak wujud bersendirian, terpisah daripada jiran-jirannya. Dalam konteks kemajuan pada masa ini, tiada lagi sempadan antara negara. Ungkapan ‘perkampungan global’ memang amat tepat. Oleh itu, mengetahui dan menggunakan hanya satu bahasa sahaja, iaitu bahasa tempatan, yang walaupun berstatus bahasa

3

PROSIDING SETALING II

kebangsaan, tidak lagi mencukupi. Dasar multibahasa didapati lebih menguntungkan, terutama dari segi mengetahui dan menguasai bahasa antarabangsa. Ini ditambah pula dengan sifat heterogen di kalangan kebanyakan negara. Dunia satu bangsa yang homogen sifatnya sudah berlalu. Kini kita berhadapan dengan negaranegara yang bersifat pluralistik. Anggota masyarakat yang menjadi warga negara sedemikian berasal dari pelbagai latar belakang, mengamalkan pelbagai agama dan cara hidup dan menuturkan pelbagai bahasa kebangsaan. Dalam konteks ini, di samping mempelajari dan menggunakan bahasa kebangsaan, mereka juga mempelajari dan menguasai bahasa kumpulan masing-masing dalam konteks tertentu. Dalam hal ini, mereka benar-benar berada dalam masyarakat multibahasa. Dalam konteks sedemikian, bahasa-bahasa etnik ini juga turut mengalami perkembangan. Bahasa-bahasa ini mempunyai tempat dalam domain-domain tertentu seperti di rumah, antara ahli-ahli keluarga dan dalam acara-acara adat dan agama. Bahasa-bahasa ini juga menyumbang kepada perkembangan bahasa kebangsaan. Satu contoh di Malaysia ialah perkataan ‘merarau’ daripada bahasa Iban telah masuk ke dalam bahasa Melayu untuk membawa pengertian ‘makan tengah hari’. Penutur-penutur bahasa etnik mempunyai semangat cinta akan bahasa sendiri dan berasa bangga sewaktu menggunakannya. 3. Beberapa Masalah Dunia kita tidak unggul. Walaupun situasi multibahasa didapati amat sesuai dalam zaman globalisasi, namun dalam pelaksanaannya berlaku kepincangan, yang akan dihuraikan di bawah. 3.1 Keghairahan terhadap bahasa Inggeris Bahasa Inggeris telah mendapat kedudukan yang tinggi kerana menjadi bahasa ilmu pengetahuan dan bahasa yang digunakan oleh beberapa buah negara besar dan maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Australia dan New Zealand. Dalam dunia yang menekankan ilmu sains teknologi, bahasa utama yang menampung dan menyebarkan

4

PROSIDING SETALING II

ilmu-ilmu ini ialah bahasa Inggeris. Bukan tidak ada dan tidak dapat bahasa-bahasa lain memperkatakan ilmu-ilmu ini, misalnya bahasa Jerman, bahasa Perancis, bahasa Jepun dan bahasa Cina, tetapi bahasa yang tersebar luas ialah bahasa Inggeris. Oleh sebab faktor sejarah (melalui penjajahan), lebih banyak negara di dunia ini menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa dan bahasa wahana ilmu pengetahuan. Satu kesan ialah wujud perasaan ghairah yang amat sangat terhadap keupayaan dan kepentingan bahasa Inggeris di kalangan ahli-ahli masyarakat negara-negara membangun, termasuk golongan terpelajar dan pucuk pimpinan. Bagi mereka bahasa Inggeris ialah segala-galanya. Menguasai dan menggunakan bahasa Inggeris, bagi mereka, bererti memegang kejayaan di dalam genggaman. Sikap ini amat ketara di Malaysia tidak lama dahulu, tetapi telah reda sedikit pada masa ini, walaupun masih belum hilang. Kesan selanjutnya daripada sikap ini ialah hilang kepercayaan kepada bahasa kebangsaan. Ini ditambah pula dengan rasa sangsi di kalangan setengah-setengah warganegara terhadap keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia moden. Mereka dengan gembiranya menyambut dan menyokong dasar mengembalikan kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dalam negara, terutama sebagai bahasa ilmu pengetahuan. Lebih menyulitkan lagi ialah salah tanggap di kalangan beberapa pihak, yang melihat gejala ini sebagai langkah untuk benar-benar menjadi global, dengan globalisasi dilihat dari sudut penggunaan bahasa Inggeris. Maka lahirlah situasi di mana bahasa Inggeris, secara perlahan-lahan, mengambil alih semua peranan bahasa kebangsaan. Sikap mempunyai perasaan ghairah terhadap bahasa Inggeris ini perlu diperbetul, yang akan diulas sebentar lagi. 3.2 Kurang mahu menerima dasar multibahasa Masih terdapat segolongan kecil ahli-ahli masyarakat yang berpegang pada dasar bahasa kebangsaan sahaja. Mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa dalam situasi global, peranan bahasa antarabangsa penting. Golongan ini tidak

5

PROSIDING SETALING II

mahu menerima persaingan daripada bahasa-bahasa lain dan tidak berusaha untuk belajar bahasa-bahasa tersebut, terutama bahasa antarabangsa. Dalam kes ini, sikap sedemikian merugikan dan tidak kena pada tempat. Seperti yang telah dihuraikan, dunia sekarang dunia multibahasa. Jika kita masih mahu tinggal di bawah tempurung satu bahasa, kitalah yang kerugian. 3.3 Sikap yang tidak tepat Masalah yang ketiga berkait dengan sikap yang tidak tepat yang dipegang oleh ahli-ahli masyarakat terhadap peranan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Pada satu pihak ialah mereka yang dibincangkan dalam para 3.2 di atas, iaitu yang terus menolak bahasa Inggeris dan hanya mahu mempertahankan bahasa Melayu. Sebenarnya golongan ini tidak diberikan penjelasan tentang kedudukan sebenar bahasa Inggeris dalam konteks negara. Bahasa Inggeris digunakan untuk keperluan antarabangsa, iaitu stu alat yang amat perlu demi survival negara kita. Kita tidak perlu mencintai bahasa Inggeris tetapi kita mengakui hakikat bahawa kita perlu menguasai bahasa itu untuk berhubung dengan dunia luar dan untuk menimba ilmu pengetahuan moden. Pada pihak yang lain pula ialah sikap mereka yang menolak golongan yang memperjuangkan bahasa kebangsaan. Golongan pejuang bahasa kebangsaan ini dipandang sebagai golongan kolot dan tidak mahu maju. Sebaliknya, mereka yang tidak pernah belajar tentang sejarah kegemilangan bahasa Melayu ini menganggap bahasa Melayu itu lemah, tidak bertenaga dan tidak berupaya mengungkapkan ilmu pengetahuan. Yang tidak disedari oleh mereka ialah, pihak yang lemah ialah mereka sendiri, yang kerana tidak kenal akan bahasa Melayu, tidak tahu menghargai bahasa tersebut. Sikap yang salah ini juga perlu diperbetul, yang juga akan dihuraikan nanti.

6

PROSIDING SETALING II

3.4 Sikap terhadap bahasa-bahasa etnik Dalam keghairahan memperjuangkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, pemupukan bahasa-bahasa etnik kadangkala terabai. Keadaan demikian amat merugikan. Tanpa menjejaskan kedudukan bahasa kebangsaan, bahasa-bahasa tempatan perlu dipupuk. Generasi muda perlu diperkenalkan dan diajarkan bahasa etnik masing-masing kerana bahasabahasa itu mendekatkan mereka kepada budaya mereka sendiri. Pendedahan kepada pelbagai budaya tidak akan merosakkan perkembangan peribadi seseorang, bahkan akan mengayakan jiwanya, menjadikan orang itu lebih toleran kepada kepelbagaian kebudayaan di kelilingnya. Seperti yang telah dijelaskan, bahasa-bahasa etnik dengan latar belakang warisan lama mereka dapat pula menyumbang kepada perkembangan bahasa kebangsaan. Potensi ini perlu sentiasa digunakan. 4. Situasi Multibahasa Yang Unggul Setelah melihat latar belakang situasi bahasa dan beberapa masalah yang dihadapi oleh negara-negara membangun seperti Malaysia dan Brunei Darussalam, berikut dibincangkan beberapa ciri utama bagi menjayakan dasar multibahasa di negara-negara tersebut. 4.1 Sikap terhadap bahasa Ahli-ahli masyarakat hendaklah mempunyai sikap yang betul dan sihat terhadap kedudukan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Pertama, mereka yang tidak menyokong penggunaan bahasa Inggeris hendaklah menerima hakikat bahawa dalam arus globalisasi, dunia monobahasa tidak lagi sesuai, dan bahawa dunia sekarang ialah dunia multibahasa. Kedua, dunia multibahasa bererti dunia yang bahasa kebangsaan harus berkongsi peranan dengan satu bahasa antarabangsa atau lebih, dan juga dengan bahasa-bahasa etnik lain, masing-masing dengan tugas dan domain penggunaan yang berbeza-beza. Ketiga, dalam konteks negara, tidak ada mana-mana satu bahasa yang lebih penting, kerana kepentingan setiap bahasa terletak pada peranan yang dimainkan. Namun

7

PROSIDING SETALING II

begitu, dalam konteks pemberatan, penekanan perlulah diberikan kepada bahasa kebangsaan negara. Bahasa kebangsaan ialah bahasa yang melambangkan kedaulatan negara dan jati diri bangsa. Bahasa kebangsaan hendaklah dihormati dan disanjung dalam konteks kenegaraan. Setiap warganegara wajib menguasai bahasa kebangsaan dengan baik dan menggunakannya dalam semua situasi formal dan yang bersifat kebangsaan. Bahasa antarabangsa (bahasa Inggeris) ialah bahasa untuk perhubungan dengan dunia luar dan untuk menimba ilmu pengetahuan. Jikalau kita mau perhubungan kita dengan dunia luar berkesan, kita perlu menguasai bahasa antarabangsa itu dengan baik. Jikalau kita mahu menimba ilmu dengan cepat dan berkesan, melalui apa jua medium (cetak, elektronik, dll.), kita perlu menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Oleh itu, demi kepentingan-kepentingan ini, kita perlu menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Tetapi sikap kita hendaklah munasabah. Kita tidak perlu penguasaan bahasa Inggeris yang baik jikalau kita hendak menjual ikan atau sayur-sayur di pasar, atau untuk bertugas di kaunter menjual setem atau untuk bercucuk tanam di ladang. Maka jangan kita membuat dasar supaya semua warganegara menguasai bahasa Inggeris yang tinggi. Mereka yang perlu menguasai bahasa Inggeris ialah mereka yang berhubung dengan dunia luar, seperti golongan diplomat, mereka yang berdagang di pasaran antarabangsa, mereka yang berbincang dan membentang kertas kerja di persidangan antarabangsa dan golongan-golongan seperti itu. Bagi masyarakat biasa, penguasaan bahasa Inggeris yang sederhana sudah mencukupi. Beberapa langkah untuk diusahakan: i. Sikap menang-menang Selama ini kebanyakan orang mempunyai sikap menangkalah terhadap persoalan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Pada sebelah pihak, yang memperjuangkan bahasa Melayu melihat situasi bahasa Inggeris-bahasa Melayu sebagai keadaan yang akan meminggirkan bahasa Melayu, iaitu bahasa Inggeris menang dan bahasa Melayu kalah. Ini

8

PROSIDING SETALING II

menjadikan mereka marah kerana tidak mahu melihat bahasa Melayu diketepikan. Pada pihak yang lain pula, yang memperjuangkan bahasa Inggeris melihat keadaan yang sebaliknya. Bagi mereka, kemenangan bahasa Melayu akan meminggirkan bahasa Inggeris. Ini merisaukan mereka yang melihat bahasa Inggeris penting dalam dunia yang global ini. Pada hemat saya, sikap kedua-dua golongan ini tidak tepat. Mengapa mesti dilihat persoalan ini dari sudut menang-kalah? Mengapa tidak menang-menang? Kita mementingkan bahasa Melayu dengan menerima hakikat bahawa bahasa ini bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa yang melambangkan jati diri dan maruah bangsa. Maka itu bahasa Melayu mesti diberi kedudukan yang tinggi dan dihormati. Kita hendaklah mempunyai rasa cinta akan bahasa Melayu dan kita semaikan rasa bangga terhadapnya di kalangan warganegara kita, terutama di kalangan anakanak sekolah. Demikian juga, pada waktu yang sama kita menerima hakikat bahawa dalam senario globalisasi, bahasa Inggeris amat penting. Kita dapat maju dengan lebih cepat jikalau kita menggunakan bahasa Inggeris bagi situasi-situasi tertentu, terutama untuk berhubung dengan dunia luar dan untuk menimba ilmu pengetahuan. Bahasa Inggeris bukan untuk dipuja atau untuk digunakan bagi mencipta karya-karya kreatif, tetapi sebagai bahasa yang berguna, yang mempunyai nilai utiliti. Sikap menang-menang ini, pada hemat saya, akan membawa keuntungan kepada semua pihak. Di sekolah dasar dwibahasa kita gunakan; kita belajar dalam dua bahasa dan kita berhubung dan berbincang tentang ilmu pengetahuan dalam dua bahasa. Tetapi bagi ilmu-ilmu yang lebih banyak rujukannya dalam bahasa Inggeris, kita menimba ilmu tersebut dalam bahasa Inggeris. 4.2 Tahap penguasaan bahasa Penguasaan sesuatu bahasa wujud pada pelbagai tahap, misalnya amat baik, baik dan kurang baik. Untuk tujuan perhubungan yang berkesan, penguasaan bahasa lazimnya hendaklah baik atau dapat difahami.

9

PROSIDING SETALING II

i.

Dalam konteks bahasa Melayu, tahap penguasaan pada tahap formal, iaitu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, hendaklah baik dan betul dalam semua aspek. Di samping itu, bentuk bahasa hendaklah indah. Ini merupakan satu masalah buat masa ini, kerana banyak penutur bahasa Melayu tidak mementingkan unsur yang baik, betul dan indah ini. Kebanyakan mereka mempunyai sikap asalkan dapat difahami sudah mencukupi, lantas menggunakan sejenis bahasa Melayu yang berada pada tahap yang amat sederhana. Masalah kedua berkaitan dengan tahap penguasaan bahasa Melayu ialah kewujudan variasi bahasa yang digunakan dalam situasi-situasi tidak formal, seperti dalam penggunaan di rumah, sewaktu bersantai dan antara golongan-golongan tertentu, misalnya para remaja. Antara variasi-variasi yang digunakan ialah bahasa basahan, bahasa slanga, bahasa sms, bahasa rojak dan pelbagai lagi. Persoalannya ialah bukan variasi-variasi bahasa Melayu ini tidak boleh digunakan, tetapi apabila pengguna bahasa tidak tahu tentang domain-domain penggunaan setiap variasi bahasa tidak formal ini. Lebih teruk lagi ialah apabila dicampuradukkan penggunaan bahasa ini, menghasilkan situasi bahasa rojak yang amat memalukan. Pada masa ini, masalah ini semakin ketara, sehingga ada yang membawa kepada penggunaan jenisjenis bahasa tidak formal ini ke dalam situasi ucapanucapan formal dan dalam jawapan-jawapan peperiksaan. Ramai guru, misalnya, mengeluh tentang pencerobohan bahasa sms ke dalam karangan pelajar-pelajar mereka. Dalam konteks ini, satu perkara yang perlu ditekankan ialah penguasaan bahasa Melayu pada tahap tinggi. Demi kedaulatan bahasa kebangsaan kita, demi menjaga maruah dan jati diri kita, kita mesti menekankan penguasaan bahasa Melayu yang tinggi di kalangan warganegara kita, terutama dalam situasisituasi formal dan rasmi. Ini bererti bahawa para

10

PROSIDING SETALING II

a.

b.

c.

d.

pemimpin kita, golongan intelek kita, para penulis kita, sasterawan dan budayawan kita hendaklah secara sedar berusaha ke arah menggunakan bahasa Melayu yang baik, betul dan indah. Dalam masyarakat yang berpegang pada cogan kata ‘kepimpinan melalui teladan’, tingkah laku golongan pemimpin amat penting. Mereka selalunya mendahului mana-mana gerakan, apatah lagi gerakan menggunakan bahasa Melayu yang baik. Saya kerap dilantik menjadi hakim pertandingan pidato, debat dan forum yang dikendalikan di kalangan pelajar-pelajar sekolah. Dalam pertandingan ini, terbukti dengan jelas keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa untuk mengungkapkan ilmu dan buah fikiran yang tinggi dan indah-indah, yang disampaikan oleh para pelajar yang memang terpilih. Persoalan sebenarnya ialah bukan ketidakupayaan pada bahasa Melayu tetapi, sebaliknya, ketidakupayaan pada pihak pengguna-pengguna bahasa tertentu. Oleh itu, antara beberapa langkah yang perlu diambil dalam konteks penguasaan bahasa Melayu ialah: Mewujudkan tekad untuk semua pihak membaiki taraf penguasaan bahasa Melayu masing-masing, daripada golongan pemimpin kepada rakyat jelata. Mengadakan kempen-kempen peningkatan penguasaan bahasa Melayu sebagai usaha meningkatkan kemahiran. Di Malaysia, gerakan menggalakkan orang-orang kenamaan mendeklamasikan sajak (nukilan sendiri atau oleh orang lain) didapati sangat berjaya. Menggalakkan mereka yang berucap menyelitkan unsurunsur keindahan bahasa Melayu dalam ucapan mereka, misalnya dengan pantun, peribahasa dan gurindam. Sistem pendidikan hendaklah secara sedar menekankan penggunaan bahasa Melayu yang baik, sama ada melalui kelas-kelas bahasa Melayu atau menerusi konsep bahasa Melayu merentas kurikulum.

11

PROSIDING SETALING II

e.

Pihak-pihak lain terutama media massa dan agensiagensi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan institusi pengajian tinggi hendaklah sentiasa menganjurkan program-program yang bertujuan meningkatkan penggunaan bahasa Melayu.

ii. Dalam konteks bahasa Inggeris pula, penguasaan yang baik juga perlu diberikan tekanan, terutama di kalangan mereka yang ada hubungan dengan dunia luar dan mewakili negara di pentas antarabangsa, seperti para diplomat dan golongan cendekiawan serta ahli-ahli profesioanl. Kita berhak mengharapkan penguasaan bahasa Inggeris mereka baik. Jika didapati penguasaan bahasa mereka tidak mencapai tahap, maka hendaklah mereka menjalani kursus dan latihan yang sesuai. Dengan kata lain, menjadi tanggungjawab golongan ini menguasai bahasa Inggeris dengan baik disebabkan tugas dan tanggungjawab mereka dan hakikat bahawa mereka mewakili negara di dunia antarabangsa. Demikian juga bagi para pelajar yang ingin menimba ilmu melalui buku-buku rujukan dalam bahasa Inggeris. Penguasaan bahasa mereka juga hendaklah baik, sekurang-kurangnya pada tahap pembacaan. Dengan kata lain, oleh sebab mereka menimba ilmu daripada sumber-sumber berbahasa Inggeris mereka hendaklah memahami apa yang dibaca. Hal ini menjadi lebih penting apabila mereka melanjutkan pelajaran ke luar negara, ke universiti asing yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Beberapa langkah yang perlu diambil dalam konteks penguasaan bahasa Inggeris termasuklah: a. Menimbulkan sikap positif di kalangan masyarakat tentang penguasaan bahasa Inggeris dan fungsinya yang sebenarnya. Pada masa ini, terdapat banyak salah tanggap yang merugikan. b. Meningkatkan mutu pengajaran bahasa Inggeris di sekolah agar taraf penguasaan para pelajar menjadi lebih tinggi. Mereka perlu diterangkan sebab mengapa mereka perlu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

12

PROSIDING SETALING II

c.

d.

Mengadakan rangsangan tambahan di luar bilik darjah untuk membolehkan para pelajar meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka, misalnya Kelab Bahasa Inggeris dan menonton drama dan pementasan dalam bahasa Inggeris. Menyemai kesedaran bahawa penguasaan bahasa Inggeris yang baik perlu bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran di luar negara (yang berbahasa Inggeris) dan ingin menceburi bidang-bidang yang melibatkan perhubungan dengan dunia luar, misalnya perkhidmatan diplomatik.

4.3 Pencernaan dan Pewahanaan Ilmu pengetahuan Melalui Multibahasa Mana-mana bahasa yang digunakan oleh penuturnya menjadi alat bagi meyalurkan buah fikiran dan perasaan, dari tahap yang serendah-rendahnya hinggalah sebagai wahana pengucapan idea yang kompleks dan seni. Telah terbukti bahawa semua bahasa yang digunakan di dunia ini mampu memikul tugas sedemikian, tidak kira siapa yang menuturkannya dan di daerah mana sekalipun dia berada. Yang berbeza ialah bahan yang diperkatakan, iaitu sama ada tentang unsur-unsur budaya biasa atau yang amat kompleks sifatnya dan memerlukan istilah dan ungkapan yang banyak dan pelbagai. Pada suatu ketika manusia hidup dalam lingkungan yang agak terhad dan mereka menggunakan bahsa sendiri. Jikalau ada masyarakat lain mendatangi mereka, berlaku penyesuaikan yang kadang-kadang bersifat pinjammeminjam. Dari segi bahasa, orang yang mendatang lazimnya belajar bahasa tempatan, kecuali orang yang mendatangi itu kuasa yang menakluki masyarakat tempatan, maka bahasa orang yang menakluk selalunya dipaksa ke atas orang yang ditakluk. Jikalau yang mendatang membawa unsur-unsur baharu, orang tempatan akan menerima unsur itu dan kadang kala menerima juga perkataan yang menghuraikan unsur itu. Kadang-kadang dicari perkataan daripada bahasa sendiri, jika ada. Proses pinjam-meminjam

13

PROSIDING SETALING II

ini berlaku secara perlahan-lahan dan dalam masa yang panjang. Tetapi halnya tidak demikian pada masa ini. Perpindahan manusia telah meningkat dan kawasan penduduknya bersifat heterogen semakin kurang. Yang lazimnya ialah masyarakat yang multibahasa sifatnya. Namun demikian, dari segi pola penggunaan bahasa, terdapat perbezaan yang ketara. Ada bahasa yang luas penggunaannya, ada bahasa yang tidak. Ada bahasa yang berstatus rasmi, ada yang tidak. Namun setiap bahasa mempunyai fungsinya yang tersendiri. Dalam keadaan yang demikian, situasi multibahasa banyak manfaatnya, asalkan wujud penerimaan oleh semua pihak dalam masyarakat berkenaan kewujudan situasi multibahasa itu. Dengan kata lain, semua ahli masyarakat senang dengan situasi itu dan berusaha ke arah mencari manfaat daripadanya dan tidak menghabiskan masa dan tenaga bertengkar sesama sendiri mengenai isu tersebut. Berikut dibincangkan beberapa perkara berkait dengan manfaat yang akan diperoleh dalam situasi multibahasa. a. Dari satu segi, masyarakat multibahasa amat pelbagai sifatnya. Kerana kepelbagaian anggotanya, maka input yang diberikan ke arah pembinaan negara juga pelbagai. Ini suatu sifat yang menguntungkan dan, pada akhirnya, menambah proses pembangunan masyarakat berkenaan. b. Dasar masyarakat multibahasa yang memberikan penekanan kepada bahasa kebangsaan dan bahasa antarabangsa serta yang tidak mengetepikan bahasabahasa tempatan lain amat wajar, bahkan amat bijak. Sesebuah negara perlu mempunyai bahasa kebangsaan sendiri yang berupa bahasa anak negeri dan tidak bahasa penjajah. Perkara ini penting dan diperlukan dalam konteks kedaulatan negara dan jati diri bangsa. Maka itu, dasar bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara amat wajar. Namun, dalam konteks globalisasi, dasar menerima dan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa untuk perhubungan dengan dunia luar juga bersifat praktikal. Kita tidak mahu ketinggalan, dan satu

14

PROSIDING SETALING II

c.

d.

e.

bahasa yang akan mendekatkan kita dengan dunia antarabangsa dan sumber ilmu pengetahuan ialah bahasa Inggeris. Maka itu, dasar bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa juga amat wajar. Demikian juga, dasar memupuk dan menggalakkan bahasa-bahasa tempatan lain juga wajar dalam konteks kepelbagaian anggota masyarakat kita. Dalam semua aspek, kita berada dalam situasi menangmenang. Masyarakat yang multibahasa bererti masyarakat yang mempunyai pelbagai sumber untuk mencari dan mengembangkan khazanah ilmu pengetahuannya. Sumber untuk menimba ilmu banyak, bukan sahaja daripada khazanah bahasa kebangsaan tetapi juga melalui khazanah ilmu bahasa antarabangsa. Demikian juga, sumbangan bahasa-bahasa tempatan lain tidak harus diperkecil. Tiap-tiap kumpulan etnik kaya raya dengan tradisi budaya sendiri dengan pengalaman yang diperoleh sejak zaman berzaman. Koleksi khazanah ilmu yang banyak ini akan mempercepat proses pemantapan ilmu dan sekali gus proses pengembangannya. Situasi multibahasa lazimnya disertai sikap toleransi yang amat tinggi terhadap bahasa-bahasa lain yang wujud dan digunakan dalam masyarakat. Ini menggalakkan sifat pinjam meminjam dan penerapan unsur-unsur bahasa lain. Dengan demikian, proses pengembangan bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa tempatan akan berlaku dengan licin dan cepat. Pengaliran ilmu pengetahuan akan berlangsung dengan lebih sempurna. Yang diterima melalui bahasa Inggeris akan segera disampaikan dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa tempatan lain kepada ahli-ahli masyarakat. Mendekatkan diri dengan bahasa Inggeris yang lebih maju dan begitu mendalam diselidiki dan dikaji juga membawa keuntungan sampingan. Bahasa Inggeris digunakan dan dikembangkan oleh negara-negara maju dan kemajuan yang dicapai oleh bangsa itu amat pesat.

15

PROSIDING SETALING II

Kita yang menggunakannya sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan bahasa perhubungan antarabangsa akan mendapat manfaat daripada kemajuan yang dicapai oleh bahasa tersebut. 5. Penutup Situasi multibahasa tidak merugikan. Dapat dilihat bahawa dasar ini amat wajar dilaksanakan pada masa ini, pada waktu kita dilanda globalisasi tetapi masih mahu mempertahankan kedaulatan dan jati diri negara sendiri. Dasar multibahasa berjaya mengekalkan maruah bangsa dan sekali gus mendekatkan kita kepada dunia antarabangsa dan sumber ilmu pengetahuan yang kaya raya. Dasar multibahasa juga memberi ruang kepada pelbagai kumpulan etnik dalam negara mengekalkan bahasa ibunda masing-masing, sekali gus mengeratkan ciri keakraban dengan budaya sendiri. Akhir kata, Umpama berjalan dah sampai ke batas Umpama berkayuh dah sampai ke pulau Umpama memanjat dah sampai ke pucuk Entah saya salah sapa Entah duduk salah tempat Entah sirih salah sorong Entah kain salah ikat Saya memohon ampun dan maaf Disusun jari nan sepuluh Sambutlah salam saya Salam nan minta maaf.

16

PROSIDING SETALING II

Senarai Rujukan Abdullah Hassan (pent).1999. Perancangan bahasa di Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hassan Ahmad. 1988. Bahasa sastera buku – Cetusan fikiran Hassan Ahmad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Nik Safiah Karim. 2000. Bahasa Melayu dalam dekad 90-an. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Nik Safiah Karim. 2003. Bahasa Melayu sebagai bahasa tamadun moden: Program pengisiannya. Syarahan Raja Ali Haji. Kuala Lumpur: Persatuan Linguitik Malaysia. Nik Safiah Karim. 2003. “Sastera dalam pengajaran Bahasa Melayu” dalam Melayu Jilid 1, Bil.1. Shaharir Mohd Zain. 1991. Pembangunan sains dan teknologi di Malaysia menerusi Bahasa Melayu. Syarahan Raja Ali Haji. Kuala Lumpur: Persatuan Linguitik Malaysia. Tenas Effendy. 1989. Ungkapan tradisional Melayu Riau. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

17

You're Reading a Free Preview

Download
scribd
/*********** DO NOT ALTER ANYTHING BELOW THIS LINE ! ************/ var s_code=s.t();if(s_code)document.write(s_code)//-->