You are on page 1of 20

1.

0 Pendahuluan

Fitrah untuk hidup secara berpasangan merupakan satu lumrah kehidupan manusia.
Bagi memenuhi dorongan biologi ini umat Islam terikat dengan peraturan perkahwinan yang
berteraskan syariat. Perkahwinan bahagia berteraskan kasih sayang dan kemesraan menjadi
motivasi dan penggerak ke arah kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat. Sebaliknya
perkahwinan yang retak akan menghasilkan simpton-simpton ketidakteguhan peribadi yang
membawa kesan negatif bukan sahaja kepada diri bahkan juga masyarakat.
Perkahwinan secara mudahnya boleh diklafikasikan kepada dua bentuk yang utama
iaitu monogami dan poligami. Monogami ialah perkahwinan di antara seorang lelaki dan
seorang perempuan, manakala poligami dari sudut bahasa ialah memiliki ramai isteri dan
menurut istilah syarak dalam Kitab Fikah Mazhab Shafie terjemahan dalam bahasa Melayu,
poligami ialah perkahwinan seorang lelaki dengan lebih dari seorang perempuan tetapi tidak
melebihi empat orang dalam satu masa.
Penulisan ini akan memfokuskan kepada isu poligami kerana ia sering menimbulkan pro
dan kontra di dalam masyarakat termasuk dalam kalangan umat Islam. Kaum lelaki mendabik
dada mendakwa poligami sebagai hak mereka, manakala kaum wanita pula berkeras enggan
dimadu dengan berbagai-bagai alasan. Walaupun pada peringkat awal, poligami hanya
diamalkan oleh para ulama’ dan cerdik pandai Islam sahaja, namun hari ini ia sudah banyak
diamalkan oleh rami orang yan tidak mempunyai latar belakang agama yang kuat, tetapi
mempunyai sumber kewangan yang kukuh.
Lantaran itu topik ini cuba digarap dengan melihat konsep poligami mengikut hukum
syarak dan perlaksanaannya mengikut undang-undang syariah di Malaysia. Apa yang perlu kita
fahami, poligami adalah satu syariat. Syariat Allah tidak mungkin menzalimi manusia sebaliknya
berlaku adil kepada manusia. Allah menegaskan perkara ini dalam surah Al-Maidah ayat 48 :
  
  
   
   
     
  
    
  
    
  
   
  
   
Maksudnya : “Dan Kami turunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) Dengan
membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab suci yang telah diturunkan
sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. maka jalankanlah hukum di antara
mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah
engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah
datang kepadamu dari kebenaran. bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan
(tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). dan kalau
Allah menghendaki nescaya ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang
satu), tetapi ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada
kamu. oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh).
kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka ia akan memberitahu kamu apa
yang kamu berselisihan padanya.
( Surah Al-Maidah : Ayat 48 )

Mengikut sejarahnya amalan poligami telah berlaku secara meluas dari sebelum
kedatangan Islam lagi. Contohnya dalam kalangan bangsa ‘Ibrani, Arab Jahiliyyah dan juga
dalam agama Kristian, di mana dalam kitab Injil tiada tegahan amalan tersebut. Pendek kata,
poligami wujud sejak dahulu kala tidak kira di mana, baik dalam kalangan raja mahupun rakyat
biasa. Setelah kedatangan Islam, amalan tersebut telah diubah supaya selari dengan tuntutan
syariat dan demi kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat. Islam tidak menghapuskan terus
amalan poligami yang pernah dilaksanakan sebelum Islam, namun Islam membataskannya
kepada empat orang isteri sahaja dengan syarat mereka sanggup dan mampu berlaku adil
terhadap isteri-isteri mereka. ( Hassan Saleh (1992), Asas Kekeluargaan Islam Bahasan Empat
Mazhab )
Maka, dapat difahami bahawa Allah SWT tidak akan menurunkan ajaran yang tidak
mendatangkan kemaslahatan kepada manusia. Antara ajaran itu adalah kebenaran berkahwin
secara poligami bagi orang yang mampu melakukannya. Poligami merupakan satu system yang
sesuai dengam itrah manusia kerana ia apat meringankan beban masyarakat, khususnya
dalam melindungi wanita yang tidak bersuami dan menempatkannya dalam kalangan isteri
yang terpelihara dan terjaga kehormatannya. Keharusan berpoligami merupakan satu alan
penelesaian beberapa masalah dalam masyarakat tetapi poligami yang tidak terkawal akan
menimbulkan gejala-gejala tidak sihat dan penyakit sosial dalam masyarakat.
2.0 Poligami Menurut Islam

Islam adalah agama fitrah yang mengiktiraf kepelbagaian keperluan dan kehendak
manusia dalam hidup berpasangan. Berasaskan kepada keadaan inilah Islam membenarkan
poligami yang merupakan amalan masyarakat turun temurun sejak sebelum kedatangan Islam
lagi. Bagi memastikan amalan poligami secara yang lebih adil dan dapat menjamin
kesejahteraan hidup ummah seluruhnya, Islam telah menetapkan syarat-syarat tertentu yang
menghadkan amalan yang bebas sebelum ini dan mengambil jalan pertengahan yang lebih
wajar. Syariat Islam menetapkan bahawa seorang lelaki boleh berkahwin dengan lebih dari
seorang perempuan tetapi tidak melebihi empat orang.
Asas pensyariatan yang menjadi dalil utama di dalam keharusan berpoligami ialah
firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’, ayat 3 :
    
  
   
   
   
   
   

Maksudnya : “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim
(apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah (dengan) perempuan-
perempuan lain yang kamu berkenan, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak
akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja,
atau memadailah dengan hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Itu adalah lebih dekat
(untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman ”.
( Sura An-Nisa’ : Ayat 3 )

Dalam surah An-Nisa’ ini tadi disebut bilangan jamak dahulu baharulah disebut satu. Ini
bukanlah bermakna Syariah Islam membolehkan seseorang itu cua berkahwin ramai dahulu,
kemudian baharu diuji adakah dia sanggup berlaku adil ataupun tidak? Jika sanggup teruslah ia
berpoligami. Dan jika tidak, bererti dia melakukan penganiayaan sedangkan penganiayaan itu
haram menurut ijmak ulamak Islam. Oleh sebab itu, apabila ia tidak sanggup berlaku adil
hendaklah dia menceraikan isteri-isterinya kecuali seorang sahaja yang tetap dikekalkan
berkahwin denannya. Sebenarnya maksud ayat itu ialah menyuruh tiap-tiap orang supaya
berhati-hati sebelum mengamalkan poligami agar mereka tidak melakuka perkara haram yang
dilarang oleh Allah SWT. ( Hassan Saleh (1992), Asas Kekeluargaan Islam Bahasan Empat
Mazhab )
Hasrat berkahwin ramai semata-mata untuk keseronokan dan merasai berbagai-bagai
kelazatan dengan perempuan, tidak termasuk dalam syarat yang mengharuskan lelaki
berpoligami. Pernah terjadi bahawa seorang lelaki datang mengadap Rasulullah SAW lalu
meminta kebenaran untuk untuk berkahwin dengan seorang perempuan yang jelita dan
berkedudukan tinggi tetapi mandul. Rasulullah SAW tidak membenarkannya kerana Baginda
dapat memahami hasrat lelaki itu sebenarnya adalah terdorong oleh kecantikan wanita itu
semata-mata. Rasulullah SAW pernah bersabda :
       

Maksudnya : “Berkahwinlah kamu sekalian dan janganlah bercerai-berai kerana Allah tidak
kasih akan orang yang suka hendak merasa-rasa dalam perkahwinan sama ada lelaki
mahupun perempuan.” ( Hassan Saleh (1992), Asas Kekeluargaan Islam Bahasan Empat
Mazhab )

Menurut Dr. Muhammad al-Bahi dalam bukunya Sikap Wanita Islam Kini yang
diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Fathurrahman (1988), poligami bukanlah suatu prinsip
yang wajib dilaksanakan di dalam syariah Islam sehingga boleh menyebabkan berdosa jika
tidak mengamalkannya. Poligami hanya merupakan perkara harus dan satu rukhsah
(keringanan) dalam keadaan darurat. Jelasnya di sini walaupun bahasa yang digunakan di
dalam ayat di atas berunsur perintah, ia bukanlah membawa kepada makna wajib
dilaksanakan. Bahkan jika diamati ia boleh membawa kepada suatu tegahan dan haram
hukumnya jika suami yang berpoligami tidak berupaya berlaku adil dan mengakibatkan
penganiayaan terhadap isteri yang dikahwini. ( Poligami Satu Keharusan Bersyarat,
http://www.islam.gov.my )
Berdasarkan penjelasan ini, jelaslah poligami sebenarnya bukanlah ciptaan Islam dan
Islam tidak memikul apa-apa dosa berkaitan dengannya. Islam datang dalam keadaan system
poligami sudah sedia ada dan Islam memperakui tetapi membataskannya kepada empat orang
isteri sahaja. Kenyataan ini dijelaskan melalui dali Al-Quran da As-Sunnah. Islam sama sekali
tidak akan menghalalkan melainkan perkara yang baik lagi bermanfaat. Islam juga tidak akan
tidak mengharamkan melainkan yang keji dan membawa kerosakan dan kemudaratan. Malah
poligami adalah amalan bangsa yang bertamadun dan maju.
3.0 Hukum Poligami

Poligami yang diharuskan dalam Islam mempunyai seribu satu hikmah. Namun begitu,
ia juga mempunyai hukum-hukum dan syarat-syarat yang wajib diketahui dan dipatuhi oleh
orang yang berhasrat untuk melakukannya. Terdapat dua hukum dalam melakukan poligami
iaitu hukum asal dan hukum mengikut keadaan individu yang ingin berpoligami itu.

Hukum asal berpoligami adalah harus berdasarkan firman Allah dalam surah An-Nisa’,
ayat 3 seperti yang telah disebutkan sebelum ini. Namun, kadangkala amalan berpoligami pada
waktu dan keadaan-keadaan tertentu menkarkan keadaan asalnya yang harus kepada sunat,
makruh ataupun haram. Orang yang berhasrat untuk berpoligami disarankan supaya merenung
betul-betul hukum berpoligami ini bagi memastikan kita benar-benar menepati hukum sunat
ataupun harus dan bukannya hukum makruh atau haram. ( Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha
dan ‘Aliy al-Shurbajiy. (2007). Kitab Fikah Mazhab Shafie. )

Dalam buku Hassan Salleh (1992), Asas Kekeluargaan Islam, Keharusan ini didorong oleh
faktor-faktor berikut :

1. Isteri mempunyai penyakit. Suami pula terpaksa memilh antara tiga pilihan iaitu sama

ada memilih bagi melakukan zina dan mensia-siakan agama, harta dan kesihatan tubuh
badannya ataupun kekal terus dengan isterinya dan menyeksa dirinya sendiri ataupun
berkahwin lain dengan syarat mampu mengeluarkan perbelanjaan dan berlaku adil.

2. Berlaku peperangan dan ramai kaum lelaki yang meninggal dunia di medan peperangan

ataupun cacat. Secara tidak langsung menyebabkan bilangan wanita melebihi lelaki. Maka
tidak wajar bagi seorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita sahaja dan membiarkan
wanita-wanita lain sendirian tanpa suami. Mereka juga berhak diberikan peluang melahirkan
anak seperti wanita lain yan bersuami. Mereka juga berhak memiliki seorang yang sanggup
membela, memberikan kasih sayang dan menjaga mereka semasa usia tua. Maka,
mengamalkan poligami dalam situasi ini lebih menjaga maruah dan memenuhi sifat
cemburu kaum wanita yang terbiar begitu sahaja.
3. Isteri mandul dan tidak dapat melahirkan anak sedangkan suami ingin mendapatkan anak.
Wajarkah kita mengharamkan suami sebegini daripada berkahwin lagi dalam keadaan tidak
menzalimi isteri pertama? Wajarka juga kita menyuruh suami seumpama ini menceraikan
isteri yang dikasihinya?

Dalam buku Wahbah al-Zuhayliy. (2002). Fiqh Perundangan Islam terjemahan dalam
bahasa Melayu, hukum berpoligami yang bergantung kepada individu melibatkan:
1. Sunat.
Apabila lelaki memerlukan isteri lagi kerana tidak cukup baginya seorang isteri sahaja
ataupun isteri pertama sakit ataupun mandul sedangka si suami inginkan anak dan dia pula
yakin dapat berlaku adil antara isteri-isterinya. Hokum mengamalkan poligami dalam
keadaan keadaan ini adalah sunat, kerana mengandungi kemaslahatan syarak. Ramai
dalam kalangan sahabat Nabi SAW yang berkahwin lebih daripaa seorang isteri.

2. Makruh.

Apabila seserang tidak ada keperluan bagi melakukan poligami, sebaliknya dilakukannya
semata-mata bagi menunjukka kemewahan hidup dan berseronok-seronok sahaja. Pada
masa yang sama, dia meragui kemampuannya sendiri untuk berlaku adil terhadap isteri-
isterinya. Mengamakan poligami dalam konteks ini adalah makruh kerana tidak ada
keperluan berbuat demikian. Ia mungkin memudaratkan isteri-isteri kerana dia tidak mampu
berlaku adil kepada mereka.

3. Haram.

Apabila seseorang meyakini jika berkahwin lebih daripada seorang isteri, dia tidak dapat
berlaku adil kepada isteri-isterinya lantaran kelemahannya ataupun rasa tidak pecaya
kepada kemampuan dirinya. Mungkin juga dia cenderung kepada salah seorang isterinya
sahaja dan mengabaikan isteri-isteri yang lain. Poligami dalam situasi ini adalah haran
kerana memudaratkan orang lain. Walau bagaimanapun satu perkara yang perlu diingati
bahawa pengharaman melakukan poligami dalam situasi ini tidak menyebabkan hukumnya
tidak sah. Hukum pernikahan tetap sah. Cuma yang terliabat itu akan berdosa kerana
melakukan poligami dengan tidak memenuhi syarat berpoligami.

4.0 Syarat Poligami


Sebelum merancang melakukan poligami, seseorang itu perlulah memikirkan semasak-
masaknya perkara yang berkaitan dengan syarat-syarat berpoligami yang wajib dipenuhi.
Dalam buku Wahbah al-Zuhayliy. (2002). Fiqh Perundangan Islam, antara syaratnya adalah :

1. Berkemampuan Untuk Menanggung Nafkah Isteri-isteri


Suami berkewajipan menanggung nafkah isteri zahir dan batin tidak kira sama ada dia
mempunyai seorang isteri atau lebih. Nafkah zahir yang dimaksudkan di sini ialah dari aspek
makan-minum, pakaian, kediaman dan perubatan. Nafkah batin pula ialah suami berkeupayaan
dalam memberi layanan seks kepada isteri. Di dalam Mazhab Syafi’e, terdapat dua pendapat
mengenai kadar pemberian nafkah kepada isteri iaitu :

i. Melihat keadaan suami sahaja tanpa mengambil kira keadaan isteri,


ii. Melihat keadaan kedua-dua suami dan isteri iaitu dinilai menurut kesanggupan
suami dan perlu diberi menurut keadaan isteri.

Allah SWT juga ada berfirman :


  
 
    
   
  
   
     
   
   
    
    
   
    
 
   
  
   
   
Maksudnya : “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap
Iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah
memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. tidaklah diberatkan
seseorang melainkan menurut kemampuannya. janganlah menjadikan seseorang ibu itu
menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana
anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian
jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah
dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya).
dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada
salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang
patut. dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, Sesungguhnya Allah sentiasa
melihat akan apa jua yang kamu lakukan.”
( Surah Al-Baqarah : Ayat 233 )

Allah SWT berfirman lagi dalam surah At-Talaaq :


     
   
     
    
    
  
Maksudnya “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan
sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang
diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan
(sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadaNya. (orang-orang yang dalam kesempitan
hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.
( Surah A-Talaaq : Ayat 7 )

2. Mampu Untuk Berlaku Adil Kepada Isteri-isteri.


Menurut Abu al-‘Aynayn, keadilan bermaksud penyamarataan terhadap semua isteri
tanpa wujud pilih kasih di antara mereka. Ia termasuk interaksi yang baik di antara suami isteri
yang meliputi perbuatan, tutur kata dan akhlak. Keadilan ini wajib dijelmakan di dalam perkara-
perkara ikhtiari dan lahiriah yang melibatkan beberapa aspek iaitu nafkah, pakaian,
penempatan, giliran bermalam dan musafir. Perasaan dan kasih sayang pula tidak termasuk di
dalam tuntutan keadilan kerana ianya di luar kawalan manusia dan bersifat relatif. Walaupun
begitu suami tetap dilarang daripada menzahirkan secara jelas tentang perbezaan ini
berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’, ayat 129 :
  
  
    
  
  
   
   

Maksudnya : “ Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun
kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya). Oleh itu janganlah kamu cenderung (berat
sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti
tergantung (di awang-awangan). Jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan
memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun
lagi Maha Mengasihani.”
( Suran An-Nisa’ : Ayat 129 )

2.1. Adil Dalam Menyediakan Kediaman.


Sebagaimana pemberian nafkah, suami juga perlu menyediakan tempat tinggal isteri
baik dalam keadaan monogami atau poligami. Apabila berpoligami, kediaman isteri seboleh-
bolehnya hendaklah diasingkan sebagai suatu inisiatif untuk mengelakkan perselisihan keluarga
dan perasaan cemburu menular dalam kalangan isteri. Menurut ‘Abd al-Nasir Tawfiq al-‘Attar
dalam bukunya Ta’addud al-Zawjat min al-Nawahi al-Diniyyah wa al-Ijtima’iyyah wa al-
Qanuniyyah, pengasingan ini bergantung kepada kemampuan seseorang suami yang mana
tidak semestinya disediakan sebuah rumah untuk setiap isteri bahkan dibolehkan juga
disediakan bilik-bilik berasingan dalam satu rumah yang sama. Walau bagaimanapun dari segi
psikologi, menempatkan isteri-isteri dalam rumah yang sama akan memudahkan mereka
berselisih faham yang boleh melukakan perasaan. ( Poligami Satu Keharusan Bersyarat,
http://www.islam.gov.my )

2.2. Adil Dalam Giliran Bermalam.


Suami wajib menentukan kadar giliran bermalam yang adil di antara isteri-isterinya
tanpa mengira sama ada isterinya itu isteri muda, isteri tua dan sebagainya. Suami berdosa jika
memberikan giliran lebih banyak kepada salah seorang isteri berbanding dengan isterinya yang
lain. Walau bagaimanapun ‘Abd al-Nasir Tawfiq al-‘Attar berpandangan kelonggaran boleh
diberikan pada malam-malam awal perkahwinan dengan isteri baru tanpa perlu diqada’ balik
kepada isteri tua. ( Basri Ibrahim (2008), Hidup Bahagia Dengan Poligami ) Ini berdasarkan
kepada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Anas r.a. dengan katanya :
       
     
 
Maksudnya : “ Di antara sunnah ialah apabila seorang lelaki berkahwin dengan anak dara lalu
dia bermalam dengannya selama tujuh malam. Sekiranya janda, selama tiga malam ”.
( Hadis Riwayat Muslim )
Di samping itu keadilan dalam giliran malam ini masih juga relatif sifatnya dan perlu
dinilai mengikut situasi seseorang isteri. Ia boleh dilonggarkan apabila ada kerelaan daripada
mana-mana isteri tersebut. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang diriwayatkan dari al-
Bukhari:
    ,
        
   
Maksudnya : “ Sawdah telah memberikan giliran beliau kepada Aisyah dan Rasulullah telah
bermalam bersama Aisyah dengan giliran beliau dan Sawdah ”.
( Hadis Riwayat al-Bukhari )

2.3. Adil Dalam Musafir.


Munurut pendapat Imam Syafie, suami wajib membuat undian di antara isteri-isteri
sekiranya beliau menginginkan salah seorang dari mereka menemaninya bermusafir. Dengan
itu suami tidak wajib menggantikan giliran bermalam kepada isteri yang sepatutnya mendapat
hak pada masa musafirnya. Berbeza keadaannya jika undian tidak dibuat dan tiada kerelaan
mana-mana isteri, suami wajib mengqada’ giliran bermalam kepada isteri yang tidak
memperoleh haknya pada masa musafir tersebut. Perkara berkenaan undian ini disebut oleh
Aishah r.a. menerusi hadis riwayat al-Bukhari :
      
   
Mafhumnya : “ Nabi SAW apabila keluar bermusafir, baginda akan menjalankan undian di
antara isteri-isterinya ”.
( Hadis Riwayat al-Bukhari )
Bagaimanapun mazhab Hanafi berbeza pandangan dalam hal ini dengan mengatakan suami
tidak wajib membuat undian untuk memilih isteri yang menemaninya ketika musafir. ( Hassan
Salleh (1992), Asas Kekeluargaan IslamBahasan Empat Mazhab )

5.0 Pembahagian Giliran Bermalam

( 
Giliran dari segi bahasa ialah bahagian. Sementara giliran dari segi istilah
bermaksud lelaki yang beristeri dari seorang dan jika dia bermalam dengan seorang
daripadanya, dia hendaklah pula bermalam dengan isteri-isterinya yang lain. ( Mustafa al-Khin,
Mustafa al-Bugha dan ‘Aliy al-Shurbajiy. (2007). Kitab Fikah Mazhab Shafie.)
Giliran bermalam dalam kalangan isteri adalah sunat sahaja, dan bukannya wajib.
Orang yang berpoligami sunat membahagikan giliran bermalam dalam kalangan isterinya dan
tidak membiarkan mereka. Ia tidak wajib kerana giliran bermalam adalah hak suami dan dia
tidak boleh tidak melaksanakannya. ( Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha dan ‘Aliy al-Shurbajiy.
(2007). Kitab Fikah Mazhab Shafie.)
Walaupun begitu, jika bermalam dengan seorang daripada isterinya sama ada secara
undian atau cara yang lain dia mesti bermalam dengan cara undian atau dengan cara yang lain,
dia mesti mesti bermalam dengan isteri-isterinya yang lain dan wajib menggilirkannya bagi
melaksanakan keadilan dalam kalangan mereka. Hal ini berdasarkan firma Allah SWT :
…    
   
 
Maksudnya : “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu)
maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau memadailah dengan hamba-hamba
perempuan yang kamu miliki…”
( Surah An-Nisaa’ : Ayat 3 )
Ayat ini menunjukkan bahawa wajib bersikap adil dalam member giliran dalam kalangan isteri-
isteri.
Pembahagian giliran dikhususkan kepada semua isteri walaupun sakit, haidh atau nfas,
selagi mereka mentaati suami. Isteri yang menderhakai suaminya idak berhak mendapat giliran
bermalam kerana dia sendiri menggugurkan haknya dengan sifat tersebut.Suami harus
menentuka giliran setiap isteri satu malam dan satu hari sebelum atau selepasnya. Dalam hal
ini, malam ialah permulaan giliran bermalam dan siang mengikutnya. Namun jika suami bekerja
malam seperti jaga, maka siang adalah permulaan gilirannya dan malam pula mengikutnya.
Suami yang tinggal bersendirian boleh memintaisteri-isterinya bermalam dengannya. Walau[un
begitu, suami afdal pergi bermalam di rumah isteri-isterinya.
Jika suami telah bermalam di rumah seorang daripada isteri-isterinya, maka dia wajib
membuat giliran bermalam di rumah isteri-isterinya yang lain dengan setiap seorang mendapat
giliran sehari dan semalam. Suami haram bermalam di rumah seorang daripada isteri-isterinya
manakala isteri-isterinya yang lain diminta datang bermalam di rumahnya. Hal ini adalah kerana
haram mengumpulkan isteri-isteri di satu tempat tinggal tanpa persetujuan kerana akan
menimbulkan kebencian dalam kalangan mereka.
Giliran bermalam boleh dibuat antara dua ke tiga hari manakala lebih daripada itu
adalah haram. Hal ini adalah kerana isteri akan kesunyian dalam tempoh masa yang panjang.
Bagi memulakan giliran bermalam, undian wajib dilakukan bagi mengelak timbulnya perbuatan
melebihkan seorang daripada mereka. Begitu jugalah giliran bermalam seterusnya. Suami
boleh ke rumah isteri yang bukan gilirannya padasiang hari sekiranya perlu. Walaupun begitu,
dia tidak boleh berada lama di rumah isteri tersebut. Sementara pada malam hari, suami tidak
boleh pergi ke rumah isteri yang bukan gilirannya melainkan terdapat keperluan yang
mendesak seperti sakit yang membimbangkan, kebakaran dan seumpamanya.
Anak dara yang baru dikawini wajib mendapat giliran bermalam selama tujuh malam
berturut-turut manakala janda pula tiga malam berturut-turut. Hal ini berdasarkan hadis
Rasulullah SAW :
, :      :
     
 
Maksudnya : Daripada Umu Salamah r.a katanya, Rasulllah SAW bersabda: “Bagi anak dara
tujuh malam dan bagi janda tiga malam”.
( Hadis Riwayat Muslim )

Jika seorang daripada isteri memberi giliran kepada madunya, suami boleh bermalam
dua malam dengan madu tersebut. Walaupun begitu, giliran bermalam itu hendaklah dilakukan
mengikut waktu gilirannya. Jika giliran yang diberi oleh madunya berturutan dengan gilirannya
sendiri, suami bolehlah bermalam selama dua malam berturut-turut. Jika giliran yang diberi
tidak berurutan dengan gilirannya, maka suami hendaklah mematuhinya. Isteri yang
memberikan gilirannya itu juga behak menarik balik pemberiannya itu.
Ulamak mazhab syafie berpendapat, isteri boleh memberikan giliran bermalamnya
kepada madunya dengan syarat perlu mendapat persetujuan daripada suami dan tidak
disyaratkan mendapat persetujuan daripada isteri yang diberikan hak itu terlebih dahulu.
Bahkan suami boleh bermalam di sisi isteri yang diberikan giliran itu, walaupun beliau sendiri
tidak suka dengan pemberian itu. Isteri juga oleh memberikan gilirannya kepada isteri-isteri
yang lain. Apabila dia berbuat demikian, setiap orang isteri mendapat bahagiannya masing-
masing. Manakala suami pula wajib melaksanakan pemberian itu pada masa yang telah
ditetapkan.
Manakala, apabila suami hendak bermusafir, buatlah undian dengan para isterinya jika
mereka semua sesuai dan layak dibawa bermusafir dan bolehlah membawa isteri yang
mendapat undian tersebut bersama-samanya. Jika seorang sahaja yang layak keluar bersama
dengannya, suami perlu membawa isteri yang layak sahaja tidak perlu lagi membuat undian
dan ditinggalkan isteri yang lain. ( Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha dan ‘Aliy al-Shurbajiy.
(2007). Kitab Fikah Mazhab Shafie.)

Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW :


      
 :    
     ,  
Maksudnya : Daripada ‘Aishah r.a katanya, “ apabila Rasulullah SAW ingin bermusafir Baginda
membuat undian di kalangn isterinya, baginda akan bermusafir dengan isteri yang mendapat
undian tersebut.”
( Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

6.0 Hikmah Pensyariatan Poligami

Pada asalnya Islam mengharuskan poligami dan tidak mewajibkannya. Hal ini demikian
kerana Islam mempunyai matlamat yang jauh untuk menambah baik system kemasyarakatan.
Perkara ini tidak dapat difahami melainkan mereka yang berpandangan jauh.

Hikmah poligami dalam buku Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha dan ‘Aliy al-Shurbajiy. (2007).
Kitab Fikah Mazhab Shafie, ialah :

6.1 Untuk menjaga kesucian diri seseorang.


Ini merupakan perkara fitrah yang sekiranya tidak dibenarkan akan menyebabkan
mereka melakukan perkara yang dilarang agama. Justeru, apabila mereka berkahwin dengan
perempuan yang lain dalam keadaan yang terpelihara, mempunyai hak-hak yang wajib
ditunaikan serta penghormatan yang selayaknya berpoligami adalah lebih baik daripada mereka
terjebak dalam lembah perzinaan.

6.2 Untuk memelihara perempuan daripada menjadi magsa lelaki.


Poligami juga bertujuan untuk menjaga perempuan daripada kerakusan nafsu lelaki.
Tanpa adanya akad yang akan menjamin penjagaan anak-anaknya. Hubungan it hanya berlaku
dengan berzina dan sebagai perempuan simpanan. Dia boleh dibuang begitu sahaja tanpa
mendapat sebarang hak. Anak-anak juga tidak mendapat hak sebagai nasab dan kasih sayang
seorang bapa.
Menjadi isteri kedua yang terpelihara hak dan kemuliaannya seribu kali lebih baik
daripada terus membujang atau hidup hanya sebagai perempuan simpanan ataupun kekasih.
Keadaan ini akhirnya hanya menjerumuskan perempuan tersebut dalam keperitan dan
kesengsaraan.

6.3 Untuk mengatasi masalah bilangan wanita yang melebihi lelaki.


Di beberapa Negara, berlaku keadaan bilangan wanita lebih ramai daripada lelaki
seperti yang kerap berlaku selepas perang. Bahkan kebanyakan bangsa di dunia mempunyai
jumlahwanita yang lebih ramai daripada lelaki walaupun dalam suasana aman tanpa
peperangan. Ini kerana ramai lelaki yang menderita kerana terpaksa melakukan kerja berat
berbanding wanita. Pertambahan bilangan wanita memerlukan poligami bagi menjamin
peningkatan bilangan rakyat seterusnya mencegah dari berleluasanya zina. ( Basri Ibrahim
(2008), Hidup Bahagia Dengan Poligami. )

6.4 Menyelesaikan masalah isteri mandul


Kadang-kadang berlaku keadaan si isteri yang mandul dan tidak dapat melahirkan anak
ataupun mengalami penyakit yang tiada harapan sembuh. Pada masa yang sama, suami ingin
meneruskan kehidupan berumah tangga. Dalam masa yang sama juga, suami inginkan anak
dan isteri yang dapat meguruskan rumah tangganya. Adakah lebih baik bagi suami yang berada
dalam situasi ini sekadar meredai masalah itu dan terus hidup bersama bersama isterinya yang
mandul? Atau adakah lebih baik memaksa si suami berpisah dengan isteri yang disayangi?
Penyelarasan yang lebih ideal adalah dengan berkahwin lain dan pada masa yang sama isteri
pertama tetap kekal menjadi isterinya.

6.5 Mengekalkan masyarakat dalam keadaan suci


Mengekalkan masyarakat dalam keadaan bersih dan suci daripada unsure-unsur keji
dan keruntuhan moral yang semakin meruncing dalam kalangan masyarakat yang tidak
mengamalkan atau mengiktiraf poligami. Banyak laporan mencatatkan perkara fasik dan keji
berlaku dalam kalangan masyarakat yang mengharamkan poligami. Malah ia juga
menyebabkan peningkatan jumlah pelacur daripada bilangan wanita yang berkahwin sehingga
melahirkan ramai anak luar nikah. Di Amerika Syarikat sahaja, lebih kurang 100 000 anak luar
nikah dilahirkan setiap tahun. ( Al-Sayyid Sabiq, Fiqh Al-Sunnah, jld 2, hlmn 390-396 )
Justeru, matlamat Islam mengharuskan poligami bertujuan menghindar lelaki daripada
berzina dan melindungi perempuan daripada menjadi magsa akibat kerakusan hawa nafsu
yang mengakibatkan kesusahan dan kesengsaraan. Ia juga bertujuan melindungi masyarakat
daripada penyelewengan, kerosakan dan kecelaruan akhlak.
7.0 Poligami Dalam Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia (Mat Saad Abd. Rahman
(2002). Undang-Undang Keluarga Islam)

Dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia, poligami dibenarkan dengan syarat


suami hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Ini
diperuntukkan dalam seksyen 23(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah
Persekutuan) 1984. Menurut seksyen 23(3) AUKI 1984, permohonan suami hendaklah
dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan
suatu akuan. Akuan tersebut hendaklah mengandungi alasan-alasan mengapa perkahwinan
poligami ini patut dan perlu, keadaan kewangan suami dengan memberi butir-butir
komitmennya dan kewajipan dan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan serta
bilangan tanggungan termasuk orang yang akan ditanggungnya berikutan dengan perkahwinan
baru yang dicadangkan. Selain daripada itu, pemohon juga perlu menyatakan sama ada izin
atau pandangan isteri atau isteri-isteri telah diperolehi mengenai perkara tersebut.

Mahkamah dalam memberi pertimbangan akan mengambil kira empat syarat kebenaran
untuk berpoligami sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 23(4) AUKI 1984, iaitu :

1. Perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu memandang kepada keadaan
isteri dari segi kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk
persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila.
2. Pemohon mempunyai kemampuan mengikut kehendak syarak untuk menanggung semua
isteri dan tanggunggannya termasuk orang yang bakal ditanggungnya berikutan dari
perkahwinan yang baru.
3. Pemohon berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isteri mengikut kehendak
hukum syarak.
4. Perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syar’ie kepada isteri.

Persoalan sama ada keempat-empat syarat di atas perlu dipenuhi kesemuanya dalam
satu-satu permohonan telah diputuskan dalam kes Aishah lwn Wan Mohd Yusof, [1990] 3 MLJ
1x dan [1991] JH VII, yang dibicarakan dalam Jawatan Kuasa Rayuan Mahkamah Syariah
Selangor. Hakim membuat keputusan bahawa keempat-empat syarat yang disebut di bawah
Sek. 23(4) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor adalah sama pentingnya dan
hendaklah dibuktikan berasingan oleh pihak suami.
Perkara sama juga telah diputuskan oleh Jawatankuasa Ulang Bicara Selangor dalam
kes Rajamah lwn Abd Wahab, [1990] JH 171. Oleh sebab suami gagal membuktikan bahawa
dia dapat memenuhi kesemua syarat dan keperluan dalam Sek 23(4) tersebut, Mahkamah
menolak permohonan suami untuk berpoligami.
Hakikatnya syarat yang dikenakan dalam undang-undang bukan bertujuan untuk
mengharamkan poligami kerana mengharamkannya bertentangan dengan hukum syarak.
Namun ia dijadikan sebagai satu mekanisme untuk mengawal kaum lelaki daripada
menyalahgunakan keharusan berpoligami sesuka hati mereka. Sebagai pengiktibaran yang
paling baik dapat dilihat dalam kes Ruzaini lwn Nurhafizah, [2002] JH 79 memperlihatkan
bagaimana adilnya hakim dalam membicarakan kes permohonan berpoligami. Walaupun
mendapat keizinan dari isteri untuk berkahwin lagi satu, mahkamah tetap tidak meluluskannya
kerana sangsi dengan kemampuan suami untuk berlaku adil dengan kedua-dua isteri dan
tanggungan.
Seterusnya bagi mengelakkan penganiayaan terhadap wanita, AUKI 1984 juga
memperuntukkan penalti bagi lelaki yang tidak memperolehi kebenaran Mahkamah tetapi tetap
juga berkahwin lagi secara poligami. Seksyen 123 menyebut bahawa lelaki yang berpoligami
tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu dari Mahkamah adalah melakukan
kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak
melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Namun begitu, bilangan lelaki yang berpoligami tanpa kebenaran mahkamah terus
berlaku dan lebih banyak berbanding yang dilakukan mengikut prosedur mahkamah syariah.
Contohnya ialah perkahwinan di antara Datuk Noridan Spee Yee dan Siti Insiah Abdul Wahab
yang dilakukan di Thailand seperti yang dilaporkan dalam Harian Metro bertarikh 20 Mac 2006.
Pasangan tersebut asalnya dijadual bernikah di Padang Serai, Kedah tetapi gagal mendapat
kebenaran Pegawai Agama Daerah Kulim akibat tidak menyerahkan dokumen yang diperlukan
dalam permohonan poligami.
Persoalannya ialah banyak masalah yang akan timbul kelak apabila pernikahan dibuat
tetapi tidak didaftar dan disahkan oleh mahkamah. Antara masalah yang akan berlaku ialah
status isteri muda dan juga anak-anaknya yang akan tergantung. Keadaan menjadi lebih teruk
apabila suami meninggal dunia yang mengakibatkan mereka tidak dapat menuntut harta
pusaka disebabkan tidak ada bukti pernikahan. Selain itu, masalah yang mungkin berlaku ialah
suami tidak boleh menjalankan tanggungjawab dengan sempurna. Sebagai contoh isteri muda
hanya dapat berjumpa suami secara sembunyi-sembunyi seminggu ataupun sebulan sekali.
Akhirnya ini juga akan mempengaruhi perkembangan emosi isteri dan anak kerana merasakan
kehidupannya tidak sama dengan orang lain dan ini akan mendatangkan pula masalah sosial.
Bagi menjaga dan memelihara hak isteri daripada menjadi mangsa ketidak adilan oleh
suami, undang-undang juga menerusi Seksyen 128 AUKI 1984 memperuntukkan bahawa
seorang suami yang tidak memberi keadilan yang sewajamya kepada isteri telah melakukan
satu kesalahan dan boleh didenda tidak lebih daripada satu ribu ringgit atau penjara tidak lebih
daripada 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Peruntukan ini selaras dengan ajaran Islam yang
menekankan pentingnya kaum wanita itu dilindungi dari penyalahgunaan amalan poligami yang
sememangnya dihalalkan ini. Penekanan perlu dibuat supaya suami memberikan keadilan
yang secukupnya kepada isteri.

8.0 Alasan Berpoligami

Terdapat beberapa sebab yang menjadikan poligami sebagai satu perkara yang
menonjolkan hikmah tersendiri dan mempunyai faedah yang nyata. Menurut Mustafa al-Khin,
Mustafa al-Bugha dan ‘Aliy al-Shurbajiy. (2007). Dalam Kitab Fikah Mazhab Shafie antaranya
ialah :

8.1 Lelaki yang mempunyai nafsu yang kuat terhadap perempuan sedangkan isterinya tidak
mempunyai keinginan kepada lelaki sama ada secara firah ataupun kerana sakit. Apakah yang
lebih baik bagi lelaki seperti ini berzina lalu menghancurkan agama, harta dan kesihatannya
atau membiarkn keinginannya terpendam dan menyeksa dirinya, ataupun mengahwini
perempuan yang lain sedangkan dia mampu menyara keluarga, adil dan tidak berlaku zalim
dalam pergaulannya? Sudah pasti penyelesaian untuk berpoligami lebih baik bagi lelaki
tersebut, lebih bermanfaat kepada masyarakat dan merupakan perbuatan yang lebih suci.

8.2 Tercetusnya api peperangan pada hari ini merupakan lumrah kehidupan menyebabkan
ramai lelaki yang terkorban dan cacat. Bilangan perempuan semakin bertambah melebihi lelaki.
Apakah baik bagi perempuan jika seorang lelaki terhad dengan seorang isteri sahaja,
sedangkan ramai lagi perempuan yang terhalang daripada kasih sayang seorang lelaki yang
boleh menyara kehidupannya, terhalan daripada melahirkan anak yang boleh membantu dan
menanggung kehidupannya tatkala tua, lalu dia memenuhi keperluan itu dengan melakukan
dosa dan kejahatan? Atau lebih baik membenarkan lelaki menambahkan bilangan isterinya
dengan penjagaan sempurna menurut syarak.

8.3 Suami isteri yang saling mencintai dan menyayangi ingin mempunyai anak tetapi
isterinya mandul dan tidak mampu melahirkan anak. Dalam keadaan ini, yang manakah lebih
baik antara :
i. Melarang lelaki itu berkahwin lagi dan membiarkan jiwanya terseksa kerana tidak memiliki
anak?
ii. Lelaki itu diminta untuk menceraikan isteri yang amat disayanginya? Atau
iii. Lelaki itu dibenarkan mengahwini perempuan lain di samping menjaga isteri yang
pertama daripada teraniaya?
Penyelesaian yang terakhir inilah yang lebih baik kerana sama-sama menjaga kepeningan
lelaki dan perempuan.

8.4 Masyarakat yang mengharamkan poligami mendapati keadaan yang lebih bahaya
daripada kemudaratan yang mereka sangka akan berlaku apabila berpoligami. Berlaku pelbagai
kerosakan dalam kalangan mereka, pengkhianatan yang berleluasa dalam hubungan
perkahwinan serta mempunyai ramai perempuan simpanan. Keadaan ini mendorong cerdik
pandai menyeru agar poligami dibenarkan dan membanteras kerosakan yang menghancurkan
kehidupan sosial mereka.

9.0 Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbincangan di atas, beberapa kesimpulan dapat dirumuskan iaitu :

1. Poligami menjadi bukti kesempurnaan hukum Islam kerana dapat mengelakkan manusia
daripada melakukan zina dan perlakuan membela perempuan simpanan yang pastinya
menzalimi diri dan wanita. Namun begitu poligami diharuskan untuk dinikmati dan digunakan
dengan penuh tanggungjawab. Ukuran tanggungjawab digariskan dengan terang melalui
amalan keadilan. Adil di sini menyentuh soal giliran, pemberian nafkah zahir dan batin, makan-
minum, pakaian, jaminan keselamatan dan tempat tinggal. Justeru itu, haram berpoligami bagi
lelaki yang tidak dapat memenuhi tuntutan tersebut.

2. Poligami bukanlah dipelopori oleh agama Islam sebagaimana yang didakwa oleh
sesetengah masyarakat Islam dan bukan Islam. Ia sebenarnya telah diamalkan zaman
berzaman oleh masyarakat China, Yunani, Kristian dan Yahudi.

3. Kecacatan poligami sebenarnya bukanlah dari segi prinsip tetapi lebih kepada
perlaksanaannya oleh sesetengah lelaki yang menyimpang dari landasan syariat. Ini terbukti
daripada statistik menunjukkan bahawa 80 peratus pengadu yang mengadu masalah rumah
tangga terdiri daripada kaum wanita. Ia secara tidak langsung memberi pengertian bahawa
krisis rumah tangga berpunca daripada kelalaian pihak suami (Utusan Malaysia, 16 September
2005).

4. Syarat yang ketat ditetapkan dalam undang-undang keluarga Islam bukanlah bertujuan
mengharamkan poligami. Ia dirangka bagi menjaga ketenteraman rumah tangga dan mengelak
dari penindasan serta kezaliman suami terhadap isteri. Ia juga bagi mengelakkan timbulnya
fitnah dan polemik dalam masyarakat yang akan merendahkan martabat agama Islam. Kaedah
fiqh ada menyebut :
      
Maksudnya : “ Pemerintah hendaklah bertanggungjawab meletakkan maslahah Negara dan
kepentingan rakyat dalam dasar pentadbiran dan pemerintahannya ”.

Rujukan

Basri Ibrahim (2008). Hidup Bahagia Dengan Polgami. PTS Islamika : Selangor.
Hassan Salleh (1992). Asas Kekeluargaan Islam Bahasan Empat Mazhab. Dewan Bahasa dan
Pustaka : Kuala Lumpur.

Imran Yusuf (2007). Di Bawah Payung Aishah, Tip-tip Poligami. PTS Islamika : Selangor.

Mat Saad Abd. Rahman (2002). Undang-Undang Keluarga Islam: Aturan Perkahwinan: Suatu
Pendekatan Berdasarkan Amalan Semasa. Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala
Lumpur.

Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha dan ‘Aliy al-Shurbajiy. (2007). Kitab Fikah Mazhab Shafie
(terj.) Jil. 4. Kuala Lumpur : Pustaka Salam.

Wahbah al-Zuhayliy. (2002). Fiqh Perundangan Islam (terj.). Jil. 7. Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Poligami Satu Keharusan Bersyarat. Diperoleh pada September 13, 2008 daripada laman web
http://www.islam.gov.my

Utusan Malaysia, 16 September 2005. Diperoleh pada September 23, 2008 daripada laman
web http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0916&pub=Utusan_
Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_04.htm

You might also like