You are on page 1of 19

Tajuk Oleh Catatan pada Jabatan

: Kemelesatan Ekonomi Dunia dan Kesannya Terhadap Malaysia. : Nazri Ghani : 9 Oktober 2011 : SK Peserian, Semerah, Batu Pahat.

KANDUNGAN BIL 1 2 3 4 Pendahuluan Permulaan Krisis Ekonomi Amerika Kesan Krisis Terhadap Malaysia Pakej Rangsangan Ekonomi 4.1 Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama 4.2 Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua 4.3 Kesan Pakej Rangsangan Ekonomi 5 Pengangguran 5.1 Peranan Penasihat Ekonomi Negara 5.2 Cadangan Langkah-langkah bagi Menjamin Pekerjaan Kesimpulan 7 Apendix 14 18 19 PERKARA MUKA SURAT 3 4 6 7 8 9 10 12 13

1.

Pendahuluan Model ekonomi kapitalis yang diamalkan oleh kebanyakan negara khususnya

Amerika dan Eropah telah memacu kemajuan yang pesat dalam pelbagai bidang dengan pergerakan modal yang besar merentasi sempadan. Terdapat juga negara-negara Asia yang mengikuti sistem ekonomi ini antaranya Singapura dan Korea Selatan. Sistem ini terbukti berjaya meningkatkan daya saing negara berkenaan di peringkat global seterusnya dikenali antara negara ekonomi baru dunia selain kumpulan negara G7. Namun sistem ekonomi ini juga mempunyai kesan negatif jika disalahgunakan dengan tujuan meraih keuntungan berlebihan tanpa mengira kesan ekonomi kepada rakyat berpendapatan rendah dan negara miskin. Ketamakan penanam modal mengaut keuntungan dengan kuasa kewangan mereka telah memberi kesan kepada negara ekonomi kapitalis seperti Amerika yang mengalami krisis sub-prima seterusnya mempengaruhi negara yang bergantung dengan suasana ekonomi di Amerika. Sub-prima adalah sebuah model kewangan yang digunakan bagi menggantikan model kewangan tradisional di Amerika. Dalam model kewangan tradisional pembiayaan hanya melibatkan dua pihak iaitu pembeli hartanah dan pihak bank sebaliknya model sub-prima melibatkan tiga pihak iaitu pembeli hartanah, pihak bank dan pemegang bon. Rajah 1.1 di bawah menunjukkan model yang disebutkan di atas.

Rajah 1.1 Model Kewangan Amerika

2.

Permulaan Krisis Ekonomi Amerika Secara tradisional, bank-bank di Amerika membiayai pinjaman gadaijanji mereka

melalui deposit yang diterima dari para pelanggan. Hal ini telah menyekat jumlah pinjaman gadaijanji yang boleh mereka berikan. Bank telah beralih ke model baru di mana mereka menjual gadaijanji ke pasaran bon. Hal ini telah menambah dana untuk diberikan kepada para peminjam. Ini menyebabkan bank tidak lagi memiliki insentif untuk menyemak dengan teliti gadaijanji mereka yang bermasalah. Sektor swasta telah secara dramatik memperluaskan peranannya dalam pasaran bon gadaijanji, yang sebelumnya didominasi oleh agensi kerajaan seperti Freddie Mac. Mereka menawarkan gadaijanji yang baru, seperti pinjaman sub-prima untuk peminjam dengan sejarah kredit yang buruk dan dokumentasi pendapatan yang lemah yang selama ini sukar untuk berurusan dengan agensi seperti Freddie Mac. Ini termasuklah gadaijanji "jumbo" untuk hartanah melebihi dari had gadaijanji USD 417,000 ( 202,000) yang diberikan oleh Freddie Mac. Perniagaan ini terbukti sangat menguntungkan bagi bank, yang memperoleh bayaran untuk setiap gadaijanji yang diurusniagakan. Mereka mendesak broker untuk menjual lebih banyak gadaijanji. Broker-broker telah menawarkan kepada pemilik rumah agar membuat pembiayaan semula ke atas rumah mereka bagi mendapatkan wang. Sikap rakyat Amerika yang berbelanja melebihi kemampuan menyebabkan mereka gagal melunaskan kembali hutang yang dibuat hingga menyebabkan rumah mereka diambil alih oleh pihak bank. Dalam masa yang sama berlaku lambakan rumah yang tidak dijual di pasaran. Ini memburukkan lagi keadaan dan menyebabkan harga hartanah jatuh seterusnya merugikan syarikat perumahan. Menurut BBC News, Kejatuhan nilai hartanah telah mempengaruhi ekonomi Amerika, di mana industri pembinaan mengurangkan separuh output mereka, dan ini mengakibatkan kehilangan antara 1-2 juta peluang pekerjaan. Banyak syarikat pembinaan kecil kehilangan perniagaan mereka manakala syarikat-syarikat besar juga mengalami kerugian yang teruk. Industri pembinaan membentuk 15% daripada ekonomi AS, namun penurunan di pasaran hartanah juga mempengaruhi banyak industri lain, misalnya, pengeluar barang keperluan rumah dan sebagainya.

Keadaan ini telah menimbulkan krisis subprima di AS sehingga menyebabkan beberapa bank utama di negara itu bankrap. Krisis subprima AS telah menyebabkan jatuhnya harga hartanah, kelembapan ekonomi, dan kerugian yang dialami oleh bankbank dan syarikat kewangan di Amerika antaranya seperti Fannie Mae, merill Lynch & Co, Washington Mutual, Lehmann Brothers dan AIG . Perubahan dasar dalam gadaijanji dan tabungan serta lambakan hutang tidak berbayar telah menjejaskan kecairan tunai institusi kewangan. Bank-bank dan institusi kewangan di mana-mana negara merupakan tunjang ekonomi sesuatu negara dan jika institusi ini mula tumbang, ekonomi negara itu akan turut tumbang dan jika negara yang tumbang itu ialah satu negara gergasi seperti AS maka ianya akan tumbang dan mencederakan banyak negara-negara di dunia. Antara kesannya ialah pasaran saham menjadi tidak menentu akibat penarikan modal oleh para pelabur. Menurut sumber pada 20 September 2008, purata indeks Dow Jones Industrial telah kehilangan 504 mata atau 4.42 %. Nilai matawang Amerika juga kian merosot dan memberi kesan kepada negara yang terlalu bergantung kepada nilai dolar dalam perdagangan. Usaha menyelamat beberapa syarikat gergasi telah dilakukan oleh pentadbiran Amerika menggunakan dana persekutuan namun ia tidak dapat membantu memulihkan kembali kelembapan ekonomi Amerika dengan pantas. Jelaslah Amerika telah mengalami krisis dan sudah tentu akan melibatkan banyak negara dunia yang bersandarkan eksport ke negara tersebut antaranya Jepun dan Malaysia. Kemelesetan ekonomi yang diumumkan oleh kerajaan Jepun pada suku tahun terakhir 2008 telah menandakan bermulanya era kemelesetan ekonomi dunia. Banyak kerajaan di seluruh dunia telah membuat persiapan untuk menghadapi krisis ekonomi global ini dengan pengenalan beberapa pakej penyelamat bagi memastikan kemelesetan ekonomi yang terburuk pada dekad ini tidak menular dan seterusnya memburukkan lagi keadaan ekonomi dunia.

3.

Kesan Krisis Terhadap Malaysia YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyatakan bahawa walaupun

negara-negara maju telah mengumumkan empat pakej rangsangan ekonomi yang begitu besar melebihi 3 trilion dolar Amerika, sejumlah besar digunakan untuk menyelamatkan institusi kewangan dan syarikat gergasi mereka, namun masih belum dapat memulihkan keyakinan para pengguna dan pelabur. Malah pengumuman terkini menunjukkan kadar pengangguran di Amerika Syarikat berada di tahap 8.1%, kadar paling tertinggi sejak tahun 1983. ( Dewan Rakyat : 10 Mac 2009 ). Perkembangan ekonomi dunia yang amat negatif ini telah memberi impak ke atas ekonomi negara dalam suku keempat tahun 2008. Eksport dan pengeluaran industri negara mula merosot dan pelaburan berkurangan. Sentimen pengguna juga telah turut terjejas. Berikutan ini, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) telah mencatatkan penurunan kadar yang ketara rendah sebanyak 0.1 peratus, berbanding dengan purata sebanyak 6.3 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2008. Pengurangan ini disebabkan, terutamanya oleh penguncupan eksport, bagi tempoh yang sama, telah mengalami kejatuhan nilai sebanyak 13.4 peratus. Kejatuhan eksport ini telah menjejaskan pertumbuhan sektor ekonomi, terutamanya pembuatan yang telah mencatatkan penguncupan sebanyak 8.8 %. Ekonomi Malaysia telah mencapai pertumbuhan yang menggalakkan sebelum ini kerana peningkatan perdagangan antarabangsa yang mencakupi hampir 200% daripada KDNK, iaitu antara yang tertinggi di dunia. Pertumbuhan ekonomi negara juga telah dijanakan oleh aliran masuk pelaburan asing yang tinggi dan pembangunan pasaran modal yang mantap. Walau bagaimanapun, dalam keadaan kegawatan ekonomi dunia, Malaysia terpaksa menerima hakikat bahawa ekonominya yang begitu terbuka sudah pasti menerima tekanan berikutan kegawatan ekonomi global. Tekanan terhadap ekonomi Malaysia disebabkan oleh empat faktor iaitu berkurangnya nilai eksport akibat permintaan dunia yang merosot, penurunan harga komoditi eksport, Kemerosotan FDI dan kejatuhan pasaran saham Bursa Malaysia seterusnya memberi impak negatif kepada sektor perkhidmatan.

4.

Pakej Rangsangan Ekonomi krisis ekonomi dunia 2008 bukanlah krisis pertama yang dihadapi Malaysia malah

negara telah menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran, terutamanya dalam tahun 1969, 1972, 1986 dan 1997. Setiap krisis itu telah dapat diatasi dengan jayanya dan ekonomi negara telah muncul lebih kukuh. Krisis ekonomi 2008 membawa negara sekali lagi berdepan dengan persekitaran ekonomi global yang jauh lebih getir berbanding dengan krisis-krisis terdahulu. Walau bagaimanapun, berbekalkan pengalaman lalu kerajaan terus berusaha menggunakan sumber negara secara berhemah bagi mengelakkan impak yang lebih besar kepada ekonomi negara dan rakyat keseluruhannya. Sehubungan dengan itu, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan telah memperkenalkan langkah-langkah bagi memperkukuhkan daya tahan ekonomi negara pada 4 November 2008. Antaranya menyediakan persekitaran perniagaan dan pelaburan yang kondusif serta penjanaan peluang pekerjaan yang mapan bagi sektor swasta iaitu mengurangkan duti import bahan pembinaan, usahasama dengan pihak swasta bagi membangunkan tanah kerajaan, tambahan RM 200 Juta makro kredit dan sebagainya. Selain itu, kerajaan juga berusaha untuk meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat dan mengekalkan permintaan dalam negara antaranya melalui pengurangan potongan caruman KWSP pekerja, pelanjutan tempoh bayaran balik pinjaman perumahan serta peningkatan had kelayakan pinjaman kereta bagi kakitangan awam, dan lain-lain. Kerajaan juga berusaha meningkatkan keberkesanan perbelanjaan kerajaan di mana mengutamakan projek yang mempunyai kesan pengganda tinggi dan kandungan import yang rendah. Kerajaan juga mempercepatkan pengambilan kakitangan bagi jawatan yang kritikal dalam sektor awam secara kontrak selain mempercepatkan pelaksanaan pendaftaran serta liputan penuh penerima kebajikan masyarakat berdasarkan kelayakan baru. Dengan mengambil kira persekitaran ekonomi yang semakin mencabar, kerajaan juga telah mengambil langkah tindak balas polisi bagi menangani masalah kewangan global dengan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi pertama pada 4 November 2008 dan pakej rangsangan ekonomi kedua pada 10 Mac 2009.

4.1

Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama merangkumi tiga strategi khusus dalam

Bajet 2009 iaitu menjamin kesejahteraan rakyat, membangunkan modal insan berkualiti dan memperkukuhkan daya tahan negara. Pakej ini merupakan inisiatif kerajaan yang melibatkan suntikan peruntukan sebanyak RM 7 Billion bertujuan memangkinkan aktiviti ekonomi dalam negeri serta merangsang aktiviti ekonomi sektor swasta dan menjamin kesejahteraan rakyat yang melibatkan pelaksanaan lima teras misi nasional mengikut tiga strategi yang ditetapkan. Peruntukan Pakej ini adalah berdasarkan kepada penjimatan subsidi bahan api berdasarkan kriteria-kriteria bahawa negara mesti berbelanja ke arah projek-projek yang memberi kesan multiplier kepada ekonomi negara dan membela kesejahteraan rakyat. Menurut YAB Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, pakej ini adalah pilihan terbaik bagi meningkatkan domestic consumption untuk mencapai ekonomi yang lebih baik dengan unjuran sebanyak 3.5 % pada tahun 2009. Sementara itu, nilai defisit pula dikekalkan pada tahap 4.8 %. ( Bahagian Penerbitan Dasar Negara, 2008 ). Kepantasan bertindak bagi melaksanakan semua program adalah amat kritikal. Oleh itu, kerajaan telah menubuhkan Unit Pengurusan Projek (Project Management Unit - PMU) di bawah Kementerian Kewangan bertujuan memantau dan menyelaras pelaksanaan projek kritikal dan berimpak tinggi serta memastikan pelaksanaan yang cekap dan berkesan. Unit ini melapor terus kepada Menteri Kewangan yang dianggotai oleh pegawai-pegawai kanan kerajaan, badan kawal selia, dan syarikat berkaitan kerajaan yang terpilih.

4.2

Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua Pakej Rangsangan Kedua bertujuan mengurangkan kesan penguncupan ekonomi

global ke atas ekonomi negara. Sekiranya usaha-usaha ini tidak diambil, ekonomi negara akan mengalami kemelesetan yang serius. Pakej ini dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Mac 2009 oleh YAB Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, ketika itu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Malaysia. Pakej Rangsangan Kedua bersifat lebih komprehensif dan bersaiz besar yang menjangkau lebih banyak sektor ekonomi dan kumpulan sasaran. Ini termasuk pekerja, pengguna, pelabur, peniaga kecil dan sederhana, pengeksport dan graduan menganggur. Di samping itu, langkah-langkah yang dirangka dalam Pakej Rangsangan ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada usaha merangsang ekonomi dalam tempoh terdekat tetapi merangkumi juga inisiatif membina kapasiti ekonomi pada jangka panjang. Pakej Rangsangan ini memberi tumpuan kepada empat teras utama, iaitu mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan, meringankan beban rakyat terutamanya golongan mudah terjejas, membantu sektor swasta menghadapi krisis serta membina keupayaan masa depan negara. Pakej Rangsangan ini berjumlah RM 60 bilion. Pakej ini akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun, iaitu 2009 dan 2010. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM 15 billion merupakan suntikan fiskal, RM 25 billion Dana Jaminan dan RM 10 billion pelaburan ekuiti, RM 7 billion inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan off-budget serta RM 3 billion insentif cukai. ( Kementerian Kewangan Malaysia, 2009 ) Jumlah RM 60 bilion ini merupakan hampir 9% daripada KDNK. Pelaksanaan Pakej Rangsangan yang bersaiz besar seperti ini adalah kali pertama dilakukan dalam sejarah ekonomi negara. Oleh itu, Ketua Setiausaha Kementerian dan ketua perkhidmatan yang berkaitan dikehendaki mengemukakan Laporan Kemajuan Pelaksanaan secara berkala setiap minggu kepada KSP dan disalinkan kepada KSN, KPPA, KP ICU dan Unit Pengurusan Projek (PMU) bagi Pakej Rangsangan Ekonomi ini manakala prestasi pelaksanaan projek atau program di bawah Pakej ini dan Bajet 2009 akan menjadi KPI Pegawai Pengawal yang berkaita. 8

4.3

Kesan Pakej Rangsangan Ekonomi Sehingga 5 Jun 2009, RM 7 billion yang diperuntukkan untuk Pakej Rangsangan

pertama, 99% atau RM6.95 billion telah diagihkan. Daripada jumlah ini, sebanyak RM4.02 bilion atau 57.9% yang melibatkan 43,681 projek telah ditawarkan kepada kontraktor-kontraktor yang berjaya. sebanyak RM1.4 bilion telah dibelanjakan untuk menyiapkan 10,979 projek. Ini turut melibatkan projek-projek kecil seperti menaik taraf dan membaikpulih jalan luar bandar, jambatan, sekolah dan hospital yang berjumlah RM 500 juta telah dilaksanakan. Di samping itu, program penyelenggaraan infrastruktur awam (PIA) dan projek infrastruktur asas (PIAS) bernilai RM592 juta siap dilaksanakan. Projek rumah mesra rakyat yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM200 juta bagi membina 2,664 unit rumah telah dilaksanakan dengan segera. Perlaksanaan projek ini telah memberi kesan positif kepada aktiviti sektor pembinaan pada suku pertama tahun 2009, di mana sektor ini telah mencatat pertumbuhan 0.6%. Perlaksanaan projek tersebut telah memberi peluang pekerjaan dan pendapatan kepada kontraktor-kontraktor kecil, terutamanya di kawasan luar bandar. Bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua pula, sejumlah 7,811 projek bernilai RM 4.2 billion telah diberikan sehingga 5 Jun 2009. Daripada jumlah projek tersebut, sebanyak RM 1.2 bilion telah dibelanjakan untuk menyiapkan 453 projek. Ini turut melibatkan program penyelenggaraan infrastruktur awam (PIA) dan projek infrastruktur asas (PIAS) bernilai RM 173 juta yang melibatkan 2,686 projek, yang memberi tumpuan kepada Sabah dan Sarawak. Ini secara langsung telah dapat membantu meningkatkan aktiviti ekonomi serta kualiti hidup rakyat luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak. Peruntukan sebanyak RM 674 juta telah ditambah sebagai subsidi untuk mengelakkan kenaikan harga bahan makanan harian seperti gula, roti dan tepung. Ini telah membantu mengurangkan kadar inflasi kepada 3.0% pada bulan April 2009, berbanding dengan 8.5% pada bulan Julai dan Ogos 2008. Kerajaan juga telah menerbitkan Bon Simpanan Kerajaan berasaskan Syariah berjumlah RM5 bilion. Bon ini telah mendapat sambutan yang amat baik dan habis dilanggan.

Sejumlah RM 460 juta disediakan bagi memberi latihan kemahiran dan teknikal kepada golongan sasaran. Perbelanjaan ini juga termasuk pemberian elaun harian berjumlah antara RM500 hingga RM1,800 sebulan. Sehingga Jun 2009, seramai 3,200 orang pelatih telah mengikuti program latihan kemahiran dan teknikal di pusat-pusat latihan kemahiran negeri dan ini telah bertambah dari semasa ke semasa. Di samping itu, program untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan PhD turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kesemua peruntukan berjumlah RM 200 juta telah dihabiskan diagihkan. Selain itu, sebanyak 4,869 kekosongan jawatan di pelbagai agensi dalam sektor awam juga telah diisi. Trend bilangan pemberhentian pekerja telah mula reda dengan bilangannya telah berkurangan daripada 7,665 pada bulan Disember 2008 kepada 3,085 pada bulan Mei 2009 sejak pakej rangsangan ekonomi ini dilaksanakan. Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi, Kementerian Sumber Manusia telah disediakan peruntukan oleh Kerajaan bagi melaksanakan Program bagi Pekerja Yang Diberhentikan, Graduan Menganggur, Belia, JobsMalaysia Centre (JMC),/ CommunityBased Employment Support Service (CESS), Kursus Modular dan Job Creation bagi membantu pekerja yang hilang pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran. Program tersebut telah berjaya membantu pekerja yang diberhentikan kerja mendapat pekerjaan serta mengurangkan pengangguran. Bagi tempoh 1 Januari 2009 hingga 24 Jun 2009 Kementerian telah berjaya membuat 20,049 penempatan pekerjaan. Inisiatif yang diambil oleh Kerajaan untuk memulihkan ekonomi telah dapat memberi keyakinan para pelabur, terutama dalam pasaran ekuiti. Ini jelas dilihat apabila Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) mencatatkan peningkatan ketara sejak Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua diumumkan. KLCI telah melonjak sehingga 1,072.85 mata pada 8 Jun 2009 berbanding 855.25 mata pada 10 Mac 2009. Perlaksanaan pakej ransangan dijangka memberi kesan lebih ketara ke atas ekonomi negara dan dijangka mencatatkan pertumbuhan positif dalam suku ke empat tahun 2009. ( Parliamentary reply Pakej Rangsangan Ekonomi, 2009 )

10

Tidak dinafikan bahawa strategi dan langkah yang telah dirangka dalam keduadua pakej rangsangan yang komprehensif dan menyeluruh ini seiring dengan tindakan oleh kebanyakan negara luar telah dapat mengurangkan impak kemelesetan ekonomi dunia terhadap ekonomi domestik serta dapat memastikan kesejahteraan rakyat. 5. Pengangguran Krisis ekonomi yang membelenggu dunia, telah menyebabkan permintaan terhadap barangan eksport Malaysia berkurangan terutama barangan yang berasaskan industri elektrik dan elektrikal. Keadaan ini menyebabkan sektor perkilangan yang berkaitan mengurangkan kemampuan pengeluaran mereka antaranya tindakan mengurangkan pekerja secara VSS, menghadkan kerja lebih masa dan menutup sebahagian operasi kilang serta menyatukan operasi kilang agar lebih ekonomik, berdaya saing serta dapat mengimbang kos dengan lebih baik. Utusan Malaysia 31 Mac 2009 melaporkan bahawa Sebanyak 26,224 orang telah diberhentikan kerja di negara ini sejak 19 Mac 2009. Ini berpandukan kenyataan oleh Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan. Daripada jumlah itu, sebanyak 12,674 rakyat tempatan dan 6,651 warga asing diberhentikan kerja begitu sahaja, manakala selebihnya ditawarkan skim pemisahan sukarela (VSS). Menurut Shamsuddin lagi lebih banyak pekerja hilang pekerjaan sekiranya keadaan ekonomi tidak segera diperbaiki. Kerajaan juga menjangkakan seramai 40,000 hingga 58,000 orang akan diberhentikan kerja ekoran krisis ekonomi global. Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad berkata, angka sebenar bergantung kepada perkembangan ekonomi global dan sejauh mana kesan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi pertama dan kedua kelak. ( Kosmo, 26 Februari 2009 )

11

Mengikut rekod Kementerian Sumber Manusia (KSM), mulai 1 Oktober 2008 sehingga 25 Jun 2009, seramai 30, 111 pekerja tempatan telah diberhentikan kerja. Daripada jumlah tersebut, sejumlah 15,716 atau 52.2 peratus adalah pekerja lelaki dan 14, 395 atau 47.8 peratus pekerja wanita. Pengangguran dalam kalangan rakyat jika tidak ditangani dengan berhemah dan bijak akan membuka rantaian masalah lain antaranya meningkatnya kadar jenayah, kemiskinan, masalah sosial dan sebagainya. Oleh itu perlu ada langkah yang berkesan agar matlamat kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat mencapai sasarannya. Sebuah kerajaan yang baik boleh tumbang akibat masalah pengangguran yang tidak ditangani dengan segera apatah lagi ada tangan-tangan tersembunyi yang sedia mengambil peluang akibat kemelut tersebut untuk mengkucar-kacirkan suasana semasa. 5.1 Peranan Penasihat Ekonomi Negara Peranan penasihat ekonomi amat penting dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti ekonomi sesebuah negara. Malaysia juga mempunyai sebuah badan yang membantu kerajaan iaitu Majlis Penasihat Ekonomi (MPE) yang ditubuhkan bagi menyediakan nasihat pakar sebagai sokongan secara langsung kepada Perdana Menteri. Majlis ini terdiri daripada 6 hingga 8 penasihat pakar dalam hal-hal ekonomi. Jawatan Pengerusi Majlis ini adalah bertaraf Menteri. Di samping itu Bank Negara juga turut bertindak sebagai agensi penasihat ekonomi terutama berkaitan sistem kewangan negara agar ia dapat diuruskan dengan baik, lancar, telus dan sempurna. Antara tugas penasihat ekonomi negara ialah menganalisa data-data ekonomi, menilai pembangunan dalam ekonomi domestik dan antarabangsa dan mengenal pasti bidang yang perlu diberi perhatian. Selain itu ia perlu menjalankan aktiviti perisikan dan pengawasan rapi serta membuat ramalan tentang keadaan ekonomi negara seterusnya membentangkan saranan-saranan dasar pada sesi taklimat tetap kepada Menteri Kewangan dan juga melalui penyertaan dalam pelbagai forum pembuat dasar ekonomi di peringkat kebangsaan.

12

Langkah-langkah yang boleh diambil kerajaan dalam menjamin pekerjaan dalam situasi ekonomi yang tidak menentu juga turut dicadangkan oleh penasihat ekonomi negara. Cadangan yang dikemukakan dapat membantu kerajaan seterusnya krisis yang dihadapi boleh ditangani dengan baik dan berkesan. 5.2 Cadangan Langkah-langkah bagi Menjamin Pekerjaan. Industri elektrik dan elektronik (E&E) menerajui sektor industri Malaysia dengan menyumbang sebahagian besar kepada keluaran, eksport dan gunatenaga perkilangan negara. Pada 2006, keluaran kasar industri ini berjumlah RM 214.9 bilion, manakala eksport produk elektrik dan elektronik adalah sebanyak RM 282.2 bilion atau 61.7 peratus daripada jumlah eksport perkilangan. Industri berkenaan telah mewujudkan 397,553 peluang pekerjaan dan menyumbang 36.6 peratus kepada keseluruhan gunatenaga dalam sektor perkilangan. Pada masa ini, industri elektronik Malaysia berjaya membina keupayaan dan kemahiran yang signifikan bagi mengeluarkan rangkaian meluas peranti semikonduktor, barangan elektronik pengguna lebih canggih dan produk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Krisis ekonomi dunia menyebabkan industri elektrik dan elektrikal (E&E) terjejas teruk kerana kurangnya permintaan terhadap barangan berkaitan terutama dari negara pengimport utama seperti Amerika. Import dan eksport bagi barangan ini telah menjunam semenjak 3 tahun yang lalu. Pertumbuhan dalam sektor ini juga turut terjejas dan lebih parah lagi risiko kehilangan pekerjaan dalam sektor berkenaan. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan bagi menjaga kebajikan pekerja apatah lagi mereka adalah rakyat Malaysia. Ini jelas dinyatakan dalam Akta Pekerja 1955. Maka langkah bagi menjamin menjamin pekerjaan seterusnya mengurangkan peningkatan pengangguran dalam kalangan rakyat hendaklah diteliti agar masalah ini dapat ditangani secara berkesan dan kesejahteraan rakyat terus terjamin.

13

Antara langkah yang boleh dilaksanakan kerajaan ialah memperkenalkan program latihan dan penempatan bagi bekas pekerja yang masih belum mendapat pekerjaan bertujuan melatih mereka dengan kemahiran baru. Bagi mengurangkan sedikit beban kewangan mereka, elaun latihan haruslah diberikan di samping jangka masa latihan yang bersesuian dengan kemahiran baru yang diikuti. Jabatan Tenaga Kerja ( JTK ) juga haruslah membuka bilik gerakan pendaftaran pekerjaan bagi pekerja yang kehilangan pekerjaan mereka serta melatih dan memadankan mereka dengan pekerjaan lain yang bersesuaian. Seterusnya, keutamaan hendaklah diberi kepada pekerja tempatan bagi mengisi jawatan dalam bidang yang memerlukan pekerja dan tidak terjejas dengan krisis ekonomi. Jika syarikat terpaksa mengurangkan pekerja, maka pekerja asing hendaklah diberhentikan dahulu sebelum pilihan kepada pekerja tempatan. Kerajaan boleh meningkatkan kadar levi pekerja asing di mana Levi akan dibayar oleh majikan dan bukannya oleh pekerja manakala pembayaran balik levi pekerja asing kepada majikan akan dibuat secara prorata sekiranya tempoh perkhidmatan pekerja asing disingkatkan berbanding kontrak asal. Sehubungan dengan itu dasar perberhentian pekerja asing terlebih dahulu hendaklah dikuatkuasakan. Satu direktori peluang pekerjaan di Malaysia juga hendaklah disediakan sebagai rujukan pencari kerja yang mengandungi maklumat penawaran kerja di seluruh Malaysia. Direktori ini boleh disediakan dalam bentuk cetakan bulanan, mingguan atau secara online bagi memudahkan bekas pekerja mencari pekerjaan yang bersesuaian. Program Penempatan Pekerjaan Khas untuk warga tempatan perlu diadakan bagi memberi peluang mereka yang diberhentikan kerja mendapat kerja baru. Hal ini dapat dilakukan dengan mendapatkan kerjasama majikan dari pelbagai sektor yang memerlukan pekerja, parti-parti politik dan sebagainya. Selain itu, bagi menggalakkan syarikat mengekalkan pekerja tempatan mereka, insentif atau potongan cukai yang berpatutan haruslah dipertimbangkan. Pengurangan sumbangan syarikat kepada Tabung Pembangunan Sumber manusia (HRDF) haruslah diperhalusi terutama bagi syarikat-syarikat berasaskan E & E bagi membolehkan mereka terus berkeupayaan mengekalkan pekerja tempatan.

14

Kerajaan hendaklah membekukan pengeluaran lesen agensi pengambilan pekerja asing dan syarikat penyumberan luar serta memperketat syarat kemasukan mereka. Langkah tersebut bertujuan memastikan tidak berlaku lambakan tenaga kerja asing di dalam negara sewaktu permintaan semakin merosot berikutan kesan kemelesetan ekonomi global. Pekerja industri yang diberhentikan akibat kesan kemelesetan ekonomi perlu dibantu dengan menyerapkan mereka ke dalam sektor perladangan dan ternakan atau diberikan modal khusus untuk membolehkan mereka memulakan kegiatan berasaskan pertanian dan perniagaan kecil. Pihak syarikat juga boleh memainkan peranan melatih semula pekerja mereka dengan sokongan kerajaan dalam bentuk insentif dan bantuan yang bersesuaian. Ini akan membantu pekerja meningkatkan kemahiran mereka seterusnya menyumbangkan kepada kualiti produk yang dihasilkan. Langkah ini juga dapat membantu pengilang yang tidak ada permintaan produk atau terpaksa mengurangkan operasi manakala pekerja tidak diberhentikan tetapi diberi peluang untuk dilatih semula sehingga ekonomi kembali pulih dan pekerja dapat kekal bekerja. Langkah mengadakan program latihan semula dilihat praktikal kerana pembuangan pekerja untuk mengurangkan kos operasi bukan jalan penyelesaian yang terbaik malah kos untuk pengambilan semula tenaga kerja bila ekonomi kembali pulih adalah mahal. Kerajaan juga hendaklah memastikan agar pembuangan pekerja oleh syarikatsyarikat adalah pilihan terakhir mereka. Pekerja yang diberhentikan hendaklah diberikan pampasan yang setimpal dengan perkhidmatan mereka. Nasihat kewangan juga haruslah diberikan agar pekerja terbabit membelanjakan pampasan yang diterima secara bijak serta dapat memperkembangkan ekonomi mereka melalui aktiviti ekonomi lain seterusnya dapat melalui detik sukar sebelum memperolehi pekerjaan baru dengan baik. Pengembangan sektor ekonomi lain contohnya pelancongan, pendidikan, perniagaan hendaklah digalakkan bagi memberi lebih peluang pekerjaan kepada rakyat. Pembukaan pusat membeli belah terkemuka seperti Tesco, Carrefour dan Giant misalnya sudah tentu membuka peluang pekerjaan yang besar kepada rakyat. Oleh itu perlu ada perancangan teliti bagi menarik pelaburan dalam sektor berkenaan.

15

Bagi menggalakkan pekerja terlibat dengan bidang pertanian, Konsep pertanian kontrak di mana hasil pertanian mendapat jaminan pasaran hendaklah diperluaskan dan diperkenalkan kepada golongan sasaran. Ini kerana terdapat pekerja berasal dari kawasan desa yang mempunyai tanah pusaka dan sebagainya serta sesuai dijadikan tapak memulakan aktiviti pertanian. Seperti yang kita sedia maklum keperluan bahan makanan dan permintaannya dalam pasaran negara dan dunia adalah tinggi. Oleh itu para pengusaha tidak perlu risau dengan nilai pasaran hasil pertanian mereka. Buku berkaitan Garis Panduan Pengurusan Pemberhentian Pekerja hendaklah disebarkan luaskan terutama kepada pekerja dan majikan yang terlibat dengan krisis agar langkah-langkah bersesuian dapat diambil sebelum tindakan pemberhentian pekerja diambil. Antara langkah yang dinyatakan dalam panduan berkenaan ialah menghadkan kerja lebih masa, mengurangkan hari bekerja serta mengurangkan waktu kerja harian selain mengadakan program latihan semula. Panduan ini hendaklah dipatuhi oleh syarikat dan pihak JTK mesti mengawasi pelaksanaannya. Akhir sekali, kerajaan hendaklah mengadakan latihan kerja yang bermutu berasaskan teknologi di mana pekerja dilatih untuk menjadi tenaga kerja mahir dan separa mahir agar tenaga kerja yang berlebihan boleh dieksport ke negara luar contohnya seperti di Arab Saudi, UAE, Singapura dan sebagainya. Sektor pembinaan di negara terbabit misalnya amat memerlukan tenaga kerja mahir akibat kerancakan pembangunan yang dijalankan. Pusat-pusat pengajian tinggi juga hendaklah melatih para mahasiswamahasiswi dengan silibus yang berasaskan keperluan pasaran. berkemahiran tinggi, berteraskan R & D serta sektor yang masih belum diteroka sepenuhnya. Kita sedia maklum bahawa pasaran buruh Malaysia secara umumnya tidak lagi kompetitif bagi sesetengah pelabur. Ini kerana terdapat negara-negara Asean lain yang dapat menawarkan tenaga kerja yang lebih murah. Oleh itu, tenaga kerja Malaysia hendaklah memiliki kualiti dalam semua aspek bagi menandingi rakan-rakan mereka dalam rantau ini atau rantau yang lain. Sikap terlalu memilih pekerjaan dan banyak membuat tuntutan yang tidak munasabah akan merimaskan industri dan kemungkinan operasi syarikat akan terganggu dan output juga akan terjejas.

16

6.

Kesimpulan Kerajaan sentiasa mengambil berat segala permasalahan rakyat. Selaras dengan

slogan 1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian diutamakan menuntut segenap lapisan masyarakat sama-sama berganding bahu membantu kerajaan dalam menjayakan setiap misi yang telah ditetapkan. Jika krisis ekonomi Asia pada 1997, sering diperkatakan negara Barat sebagai urus tadbir kewangan yang lemah, korupsi, sikap politik yang tidak bertanggungjawab dan sebagainya kini negara ekonomi sebesar Amerika yang dikatakan memiliki segala kecanggihan juga turut mengalami krisis. Lalu, di manakah keadilan tuduhan-tuduhan liar yang selama ini memperlekehkan orang Asia tentang urusan negara mereka ? Philippe Ries (2006) dalam bukunya ASIAN STORM : The Economic Crisis Examine menyatakan bahawa badai kewangan Asia meninggalkan sisa kebenaran yang menyedihkan tentang ledakan ekonomi Asia yang tidak pernah berlaku sebelumnya bank lumpuh akibat hutang lapuk dan syarikat membuat pinjaman besar dalam matawang asing tidak dilindungi, bersama pelaburan berisiko tinggi, amalan perniagaan diragui, nepotisme dan rasuah yang berleluasa. Jadi apakah agaknya komen Philippe apabila krisis yang sama melanda Amerika. Jelaslah bahawa kita bukan orang yang tidak mempunyai ilmu dalam ekonomi. Pemimpin-pemimpin kita juga melanjutkan pengajian ekonomi di negara Barat. Kemampuan kita adalah setanding malah kadangkala lebih baik dalam merangka dan memberi reaksi segera terhadap suasana ekonomi negara. Seperkara lagi para penasihat ekonomi hendaklah meningkatkan kemampuan mereka dalam menganalis dan memberi cadangan yang praktikal dan berkesan kepada kerajaan untuk dilaksanakan. Tindakan kerajaan mengadakan pakej rangsangan ekonomi dalam situasi sukar sekitar 2008 -2009 amatlah bertepatan demi kesejahteraan negara dan rakyat. Dengan adanya pakej sebegini negara kurang mengalami kesan langsung yang ketara akibat krisis ekonomi As seperti masalah pengangguran dan sebagainya.

17

APENDIKS RUJUKAN / REFERENSI

Bank Negara Malaysia (2003). Maklumat Am Bank Negara Malaysia. Kuala Lumpur : Bank Negara Malaysia Dewan Rakyat. Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (2009) Teks Pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009). Kuala Lumpur : Parlimen Malaysia. Malaysia. Bahagian Penerbitan Dasar Negara. (2008) Rancangan Isu Khas Pakej Rangsangan ekonomi 2009. Kuala Lumpur : Bahagian Penerbitan Dasar Negara. Malaysia. Kementerian Kewangan Malaysia (2008). Langkah-langkah Memperkukuhkan Daya Tahan Ekonomi Negara. Kuala Lumpur : Kementerian Kewangan Malaysia Malaysia. Kementerian Kewangan Malaysia (2009). Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua.. Kuala Lumpur : Kementerian Kewangan Malaysia Malaysia. Dewan Rakyat (2009). Parlimentry reply Pakej Rangsangan Ekonomi. Kuala Lumpur : Parlimen Malaysia. Malaysia. Dewan Rakyat (2009). Pengangguran - Dewan Rakyat Sidang 2 Dari 15 Jun 30 Jun 2009. Kuala Lumpur : Parlimen Malaysia. Malaysia. Kementerian Sumber Manusia (2009). Garis Panduan Pengurusan Pemberhentian Pekerja (kegunaan Majikan dan Pekerja). Putrajaya : JTKSM

18

Nooriah Yusof, Katiman Rostam (2008). Sumber Manusia dan Kelebihan Daya Saing Lokasi Industri Barangan Elektrik dan Elektronik : Kes Zon Perindustrian Bayan Lepas, Pulau Pinang. Pulau Pinang : USM The Commissioner of Law Revision (2006). Act 265 EMPLOYMENT ACT 1955 Incorporating all amendments up to 1 January 2006. Kuala Lumpur : Percetakan Nasional Berhad.

Philippe Ries (2006). ASIAN STORM : The Economic Crisis Examine. Massachusetts : Turtle Publishing

58,000 dijangka hilang kerja (26 Februari 2009). Akhbar Kosmo, ms 3.

19

You might also like