You are on page 1of 30

Bagaimanakah ciri perundangan Islam yang tetap dan fleksibel dapat menjadikan syariat Islam itu suatu yang

istimewa?

PENDAHULUAN Sesungguhnya Syariah Islam adalah Syariah terakhir yang diutuskan oleh Allah SWT kepada umat manusia. Perutusan tersebut adalah melalui RasulNya yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW. Syariah ini adalah perundangan yang kekal untuk semua masa dan tempat. Kebelakangan ini, seruan yang mengajak ke arah mengenepikan Syariah makin mendapat sambutan. Ini kerana, mereka menganggap bahawa Syariah Islam yang disyariatkan sejak seribu empat ratus tahun yang lampau sudah tidak relevan lagi pada zaman sains dan teknologi ini. Dakwaan ini diperkukuhkan lagi dengan kenyataan bahawa zaman sudah berubah dan sentiasa berubah, dan Syariah pula statik dan tidak berubah, kerana itu mengamalkan Syariah bererti kembali ke arah kemunduran dan ke belakang. Dan seruan untuk kembali mengamalkan Syariah bererti seruan mengajak manusia ke arah kemunduran. Syariah juga dikatakan sesuai untuk memajukan masyarakat Arab jahiliyyah pada satu abad yang lampau dan bukannya umat moden sejagat. Adakah dakwaan ini benar? Sebagai muslim sudah tentu kita menolak dakwaan ini. Kita menolak dakwaan ini bukanlah kerana taksubkan dengan Syariah Islam yang kita anuti ini, tetapi kerana realiti fakta yang sebenar adalah bercanggah dengan kenyataan dan dakwaan tersebut. Untuk menolak dakwaan ini, kita mestilah dahulu memperkenalkan Syariah dan ciri-cirinya yang membolehkan ia sentiasa relevan pada setiap masa, tempat dan keadaan.

Syariah adalah undang-undang yang disyariatkan Allah kepada makhluknya melalui al-Quran dan juga as-Sunnah. Ciri-ciri utama Syariah adalah berbeza dengan mana-mana undang ciptaan manusia, kerana itulah Syariah kekal istimewa dan relevan. Kita sering mendengar masyarakat Islam mendakwa merekalah umat terbaik dan agama Islam sentiasa relevan dengan setiap masa dan budaya. Namun, jarang pula kita mendengar perbincangan tentang bagaimanakah proses yang menjadikan syariah Islam itu sesuai untuk semua umat manusia yang pelbagai bangsa, budaya dan tahap perkembangan teknologi. Dakwaan bersifat simplistik sebegini walaupun tepat, jika tidak disusuli oleh langkah-langkah perbahasan yang realistik, boleh memusnahkan kepercayaan masyarakat terhadap Islam. Kita sedia maklum bahawa syariah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW (wafat 632 Masihi) tidak pernah berubah sejak termaktub di dalam al-Quran hingga hari kiamat. Dengan sifat statik tersebut, bolehkah syariah Islam diamalkan oleh manusia yang sentiasa berubah budayanya? Bahkan, bolehkah syariah Islam yang bersumberkan alQuran dan sunah Rasulullah yang satu itu, mengatasi permasalahan umat yang pelbagai budaya, bangsa, bahasa dan adat resamnya? Menurut Ibnu Khaldun (meninggal 1405 Masihi) dalam buku Muqaddimah, manusia itu dijadikan berbeza dari segi bahasanya, adatnya dan budayanya. Setiap kaum mempunyai sifat-sifat tersendiri, adat setempat dan sudut pandangan semesta yang tersendiri. Bertepatan dengan firman Allah s.w.t. di dalam al-Quran: ``Dan sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran-Nya ialah penciptaan langit dan bumi, dan berbezanya bahasa-bahasa kamu dan warna kulit kamu, sesungguhnya yang demikian itu mempunyai tanda-tanda bagi mereka yang mempunyai pengetahuan.'' (Ar-Rum: 12)

Perbezaan ini cukup jelas hari ini dengan tersebarnya banyak bentuk ideologi dan aliran pemikiran. Bahkan di dalam Islam sendiri, terdapat pelbagai jenis mazhab. Dalam mazhab perundangan sahaja, kita boleh melihat bagaimana perbezaan antara Mazhab Syafie, Hanafi, Hanbali dan Maliki. Wujudnya perbezaan ini bukan alasan untuk kita berpecah belah tetapi itulah lambang kebesaran Allah yang menghendaki kita bersatu melalui perbezaan tersebut. Ini kerana adalah mustahil Allah mencipta manusia yang berbeza budayanya tetapi memberikan satu cara hidup yang hanya sesuai untuk satu-satu budaya sahaja. Bagaimana Islam boleh sesuai dengan keadaan budaya yang pelbagai? Inilah rahsia Islam, akarnya ia tetap statik dan kukuh pada tunjangnya, tapi rantingnya yang lembut begitu fleksibel untuk menyelinap ke setiap ruang dan keadaan. Dengan kata lain, perundangan Islam bersifat dengan tetap (thabit) pada prinsipnya dan bersifat fleksibel (al-murunah) pada peringkat cabang pelaksanaannya.

DEFINISI Pengertian Islam dari segi bahasa Islam bermakna taat, menyerah, damai, aman dan tidak ada kecacatan baik dari segi zahir mahupun batin. Dengan sebab inilah agama ini diberi nama Islam. Pengertian Islam dijelaskan oleh Allah dalam firmanNya: "Dan siapakah yang lebih baik Deennya dari orang yang menyerahkan wajahnya (dirinya) kepada Allah, sedangkan dia berbuat ihsan dan mengikut Deen Ibrahim dengan hanaya cenderung kepada Allah." (Surah An-Nisa':125) Berpandukan kepada ayat ini, Islam diertikan sebagai penyerahan diri kepada Allah dengan keikhlasan hati. Bahkan inilah intipati seluruh makna Islam. Islam dengan makna induk ini tidak hanya dikhususkan kepada manusia tetapi merangkumi segala kejadian di alam semesta seperti firman Allah:

"Apakah selain dari agama Allah yang mereka masih tercari-cari sedangkan segala yang ada di langit dan di bumi telah Islam (menyerh diri) kepadaNya dengan relah hati dan terpaksa. Dan kepadanyalah mereka dikembalikan." (Surah Aali-Imran:83) Firman Allah: "Dan kepada Allah sujud segala yang ada di langit dan bumi dengan rela hati dan terpaksa, dan juga bayang-bayang mereka setiap hari pada tiap-tiap pagi dan petang." (Surah Ar-Ra'd:15) Dari kedua-dua ayat ini maka dapat disimpulkan bahawa pengertian Islam tersimpul pula dalampenyerahan diri kepada Allah. Penyerahan yang setepat-tepatnya di antara hubungan manusia dengan penciptanya ialah sujud kepada Allah dengan penuh kepatuhan ketundukan. Oleh itu jelas sekali di antara ketiga-tiganya; Ad-Deen Islam dan sujud mempunyai kaitan dan jalinan makna yang erat dan tabi'i. Perundangan Islam dari segi bahasa bererti jalan yang lurus. Manakala dari segi istilah perundangan Islam bermaksud hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T kepada manusia yang merangkumi aspek politik, sosial, akidah (tauhid Allah S.W.T), ibadah (solat, zakat, puasa, haji dan ekonomi), syariah, makanan dan minuman, dan akhlak yang perlu diyakini dan dipatuhi untuk kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Perundangan dibahagikan kepada dua iaitu perundangan yang disyariatkan oleh Allah S.W.T dalam Al-Quran dan Al-Sunnah serta perundangan yang dicipta oleh manusia. Sungguhpun begitu, perundangan yang dicipta oleh manusia tidak menyentuh hal-hal keagamaan dan menyentuh hal-hal keagamaan melalui ijtihad sahabat serta ahli fikah yang berasaskan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah.

CIRI-CIRI SYARIAH DAN KEISTIMEWAANNYA SYARIAH ADALAH DATANG DARIPADA ALLAH Sumber perundangan Syariah Islam adalah daripada Allah SWT. Ia merupakan wahyu Ilahi yang disampaikan kepada manusia melalui RasulNya Nabi Muhammad s.a.w. Ciri inilah yang jelas membezakan antara Syariah dengan mana-mana perundangan ciptaan manusia. Ini kerana undang-undang yang lain, sekalipun yang paling terbaru, ia tetap ciptaan manusia, manakala Syariah pula adalah datang daripada Pencipta manusia itu sendiri, Yang Maha Mengetahui tentang situasi dan keperluan yang terbaik untuk manusia. Antara natijah daripada perbezaan sumber dua perundangan ini ialah:1. Asas Syariah dan hukum hakamnya itu bebas daripada sebarang kezaliman, kekurangan dan menurut hawa nafsu (iaitu tidak berpandukan akal yang rasional). Ini kerana Allah SWT bersifat dengan sifat yang sangat sempurna dan Dia adalah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Manakala mana-mana perundangan ciptaan manusia tidak akan terlepas daripada unsur-unsur tersebut, kerana memang manusia tidak akan terlepas daripada kejahilan (sekalipun kajian berterusan dan menyeluruh) dan juga kekurangan. Sebagai satu contoh, Syariah Islam menganggap bahawa manusia hanyalah sama sahaja, dan perbezaan warna kulit dan keturunan tidaklah mempunyai apa-apa keistimewaan. Kemulian yang sebenar terletak pada ketaqwaan kepada Allah SWT, iaitu Pencipta mereka semua. Asas ini mampu menyatukan masyarakat, kerana mereka akan berlumba mentaati Allah SWT, dan bukannya mementingkan diri dan bangsa sendiri sahaja. Kerana asas inilah, Syariah Islam mampu menyatukan qabilah-qabilah arab yang terkenal dengan sikap membezakan etnik. Tetapi perundangan ciptaan manusia tidak mampu menyatukan hati pelbagai kaum dan etnik yang berpecah, kerana ia tidak akan sunyi dari sudut teori atau praktikal atau kedua-duanya sekali daripada unsur pilih kasih dan warna. 2. Wujudnya perasaan hebat, hormat dan kagum terhadap Syariah di hati kaum muslimin, samada golongan pemerintah atau rakyat jelata. Ini kerana mereka semua mengetahui

bahawa Syariah ini adalah daripada Allah SWT. Mereka semua perlu akur dengan perintah Allah SWT yang berbunyi: "Dan tidaklah patut bagi seorang lelaki yang beriman dan juga perempuan, bilamana Allah dan RasulNya tetapkan sesuatu ketetapan, ada bagi mereka pilihan yang lain. Dan sesiapa sahaja yang menderhakai Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata". Surah al-Ahzab, ayat 36. Mereka semua akur dan faham bahawa melaksanakan syariah adalah ibadat yang wajib mereka laksanakan untuk mendekatkan diri mereka dengan Allah SWT, sebagaimana mereka juga yakin bahawa pelaksanaan Syariah Allah merupakan pelaksanaan terhadap perundangan yang paling adil untuk mereka dan yang paling mampu untuk menghalang sebarang kezaliman dan kebatilan. Di lubuk hati mereka juga ada perasaan bahawa Allah SWT sentiasa memerhatikan mereka, samada mereka melaksanakan Syariah ini atau tidak. Sebagai contoh, bila turunnya ayat pengharaman arak iaitu ayat 90, Surah alMa'idah yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, (berkorban untuk) berhala, bertenung nasib dengan anak panah adalah perkara keji yang termasuk dalam perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu semoga kamu beruntung", para muslimin berlumbalumba membuang arak mereka, bahkan mereka memecahkan bekas-bakas arak supaya tiada walau setitik arak yang berbaki. Sesungguhnya perkataan "jauhilah" itu memberikan kesan yang begitu hebat terhadap mereka. Berbeza dengan perundangan pengharaman arak yang dilaksanakan di Amerika sekitar tahun 1930, di mana mereka telah menggunakan segala kemudahan yang ada untuk memberitahu tentang keburukannya. Mereka telah menghabiskan 65 juta dolar Amerika, dan mencetak sembilan ribu juta helaian kertas untuk menyatakan keburukan arak dan hukuman yang akan dikenakan terhadap penjual, pembeli dan pembekal arak. Sehingga awal 1933, mereka telah membunuh 200 orang dan memenjarakan lebih kurang setengah juta orang dan mendenda mereka

dengan jutaan ringgit, namun undang-undang ini tidak mampu menyekat rakyat mereka daripada terus meminum arak. Akhirnya kegagalan ini membawa mereka kepada membuang undang-undang pengharaman arak tersebut. Inilah perbezaannya antara Syariah Islam dan perundangan ciptaan manusia. BALASAN DAN HUKUMAN DALAM SYARIAH ADALAH DUNIAWI DAN UKHRAWI Syariah Islam mempunyai persamaan dengan perundangan manusia dengan bahawa kedua-duanya mengenakan tindakan terhadap para pesalah, bezanya adalah Syariah Islam lebih menyeluruh kerana asas Syariah itu sendiri dan juga kerana wujudnya balasan di akhirat. Bahkan asal bagi hukuman dalam Syariah adalah berbentuk ukhrawi, namun Syariah Islam tidak melupakan realiti kehidupan bahawa untuk mengekalkan kesejahteraan dan keamanan masyarakat dunia ini, perlunya wujud balasan berbentuk duniawi. Kerana inilah wujudnya hukuman qisas, hudud, takzir, denda kewangan dan gantian kebendaan dalam Syariah Islam. Balasan akhirat ini dikenakan ke atas setiap perlanggaran hukum Syariah, samada dalam bab ibadat, muamalat, munakahat dan juga jinayat. Kesan daripada wujudnya balasan ukhrawi ini menyebabkan seorang muslim yang sejati akan mematuhi hukumhakam Syariah secara rela hati samada semasa terlindung dan juga terang-terangan, bahkan jika dia mampu untuk lari daripada hukuman keduniaan sekalipun, dia tetap tidak melanggari hukum-hakam Syariah kerana takutkan azab Allah SWT di akhirat. Dan jika mereka begitu lalai sehingga mereka melanggari hukum-hakam tersebut, meraka akan kembali bertaubat dan menyesali perbuatan tersebut. Kerana inilah ada seorang perempuan yang berzina sanggup pergi berjumpa Rasulullah SAW supaya dijatuhkan hukuman rejam ke atasnya kerana menyesali dengan perlanggarannya terhadap hukum Syariah. Dan perkara ini tidak terdapat dalam perundangan ciptaan manusia. Para muslimin akan mentaati perintah Syariah samada kerana hormatnya terhadap

peraturannya atau juga kerana bimbangkan azab yang akan menimpanya di akhirat. Inilah asas Syariah yang ditanam dalam jiwa kaum muslimin, sebagaimana firman Allah SWT: "Pada hari yang mana tiap-tiap diri mendapati segala kebajikannya dikemukakan, dan (begitu jugalah) setiap kejahatan. Ia ingin kalaulah kiranya antaranya dan antara hari itu masih terdapat masa yang jauh, dan Allah memperingatkan kamu dengan diriNya (seksaNya)". Surah Ali Imran, ayat 30. Satu perkara lagi yang membezakan antara kedua-dua perundangan ini, hasil daripada wujudnya balasan ukhrawi ialah ganjaran kepada individu yang mentaati perundangan. Dalam perundangan ciptaan manusia, inidividu yang mematuhi peraturan tidaklah diberikan ganjaran, kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja, tetapi semua pesalah akan dikenakan tindakan. Manakala dalam Syariah Islam, individu yang mematuhi hukum-hakam Syariah akan diberikan ganjaran yang berlipat ganda di akhirat sebagai penghargaan di atas kesungguhannya mematuhi hukum-hakam tersebut. Ini menambahkaan lagi kekuatan kepada mereka untuk mematuhi Syariah. Firman Allah SWT: "Sesiapa yang menerjakan kebaikan walau sebesar zarah sekalipun, nescaya mereka akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan keburukan sebesar zarah sekalipun, nescaya mereka (juga) akan melihat (balasan)nya". Surah azZalzalah, ayat 7 dan 8. SYARIAH BERSIFAT UNIVERSAL Syariah Islam diturunkan untuk semua manusia dan semua tempat dan masa. Ia adalah Syariah yang kekal yang tidak boleh diganti atau dipinda dengan sebarang peraturan yang lain. Sifat Syariah yang sebegini memestikan bahawa asas dan hukumhakamnya mampu memberikan kebaikan atau "maslahah" bagi semua manusia di semua tempat dan masa. Ia juga memastikan bahawa Syariah mampu memenuhi keperluan manusia dan tidak menyusahkan mereka dan menghalang mereka daripada mencapai kemajuan. Dan kesemua perkara ini sebenarnya wujud dalam prinsip-prinsip asas Syariah

dan hukum-hakamnya. Ini kerana Allah SWT yang Maha Meliputi PengetahuanNya, yang mensyariatkan Syariat ini untuk setiap masa dan tempat telah mengatur prinsipprinsip asas Syariah dan hukum-hakamnya supaya ia sentiasa relevan dengan setiap masa dan tempat. Dan perkara ini boleh dibuktikan dengan realiti Syariah, sumbernya, prinsipprinsip asasnya dan juga hukum-hakamnya. Perkara-perkara tersebut boleh diperjelas dan dibuktikan kebenarannya dengan hujah dan dalil seperti berikut: Dalil Pertama: Syariah Islam diasaskan di atas prinsip menghasilkan "maslahah" (kebaikan) dan menolak "mafsadah" (keburukan). Sesungguhnya Syariah Islam tidak disyariatkan melainkan untuk memberikan kebaikan kepada manusia samada di dunia ataupun di akhirat. Kerana inilah para fuqaha sentiasa menyebutkan bahawa "Sesungguhnya Syariah Islam kesemuanya adalah "maslahah, iaitu samada menghasilkan kebaikan atau menolak keburukan". Hakikat ini adalah satu perkara yang sentiasa wujud dalam Syariah dan boleh dijelaskan berdasarkan kepada nas-nas Syariah (al-Qur'an dan Hadis) dan juga hukum-hakamnya. Dan ia adalah sangat banyak dan tidak terhitung kerana asas ini terdapat pada keseluruhan Syariah. Tidak ada satu tuntutan dan suruhan dalam Syariah Islam melainkan untuk kepentingan dan kebaikan manusia, dan tidak ada satu larangan melainkan dengan tujuan mengelakkan mereka daripada bahaya dan keburukan. Antara dalil yang menunjukkan demikian ialah: 1. 2. Dalam menyatakan sebab penurunan al-Qur'an, Allah SWT berfirman: "Tidaklah Kami turunkan al-Qur'an itu untuk menyusahkan kamu". Dalam menyatakan sebab perutusan Nabi Muhammad SAW, Allah SWT berfirman: "Dan tidak kami utuskanmu wahai Muhammad, melainkan untuk "rahmat" bagi seluruh alam". Dan kalimah "rahmat" itu membawa erti menjaga kebaikan manusia dan mengelakkan mereka daripada keburukan.

3.

Hukum-hakam Syariah semuanya disyariatkan dengan berhikmah dan "ta'lil" (bersebab) untuk menghasilkan "maslahah"dan menolak "mafsadah", supaya manusia mengetahui bahawa Syariah itu sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada mereka. Ia boleh dibuktikan berdasarkan kepada "istiqra" (kaji selidik) yang menyeluruh kepada dalildalil Syarak (al-Quran dan al-Hadis). Nas-nas berkenaan dengan perkara ini adalah sangat banyak. Berikut sebutkan sebahagian daripadanya sebagai contoh. Antaranya ialah seperti berikut:3.1 3.2 Dalam bab kewajiban beribadah, hikmahnya ialah untuk menghasilkan ketaqwaan kepada Allah SWT (Surah al-Baqarah: 21). Dalam bab kewajiban bersolat, hikmahnya ialah untuk mengingati Allah SWT (Surah Toha: 14), menghapuskan dosa-dosa (Surah Hud: 114) dan juga mencegah perkara keji dan mungkar (Surah al-Ankabut: 45). 3.3 3.4 3.5 3.6 Dalam bab kewajiban berpuasa, hikmahnya ialah untuk menghasilkan ketaqwaan kepada Allah SWT (Surah al-Baqarah: 183). Dalam bab kewajiban bertaqwa kepada Allah SWT, hikmahnya ialah untuk kejayaan manusia dunia dan akhirat. (Surah al-Baqarah: 189). Dalam bab kewajiban melaksanakan qisas, hikmahnya ialah kelangsungan kehidupan manusia. (Surah al-Baqarah: 179). Larangan berjudi dan meminum arak, ialah kerana ia boleh menimbulkan permusuhan sesama manusia dan melalaikan daripada mengingati Allah SWT dan bersolat. (Surah al-Ma'idah: 91). 3.7 3.8 Larangan mencela berhala, hikmahnya ialah kerana dibimbangi menjadi punca kepada pencelaan terhadap Allah SWT. (Surah al-Anam: 108). Kewajiban berperang sekalipun tidak disukai, hikmahnya ialah untuk keharmonian di sebalik peperangan tersebut. (Surah al-Baqarah: 216). Kesemua perkara yang disebutkan di atas dengan jelas menunjukkan bahawa hukum-hakam Syariah adalah untuk kemaslahatan manusia dan menolak mafsadah ke

10

atas mereka. Prinsip inilah yang menjadikan Syariah Islam sentiasa relevan dan terbaik untuk setiap masa dan tempat. Dalil kedua: Prinsip asas Syariah dan realiti hukum-hakamnya. Hukum-hakam dalam Syariah terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian yang pertama ialah hukum-hakam yang bersifat terperinci dan bahagian yang kedua ialah hukum hakam yang disyariatkan sebagai prinsip asas dan kaedah umum. Kedua-dua jenis hukum ini disyariatkan supaya sentiasa relevan dan terbaik untuk setiap masa dan tempat, sesuai dengan sifat asas Syariah yang bersifat universal. Bahagian Pertama: Hukum-Hakam Yang Terperinci. Hukum-hakam ini terdapat dalam bab aqidah, ibadat, akhlak dan sebahagian daripada hukum perhubungan sesama manusia. Aqidah yang menjadi tunjang asas kepada Syariah adalah satu perkara yang diperlukan oleh manusia pada semua masa. Kerana inilah asasnya diperincikan kerana ia adalah satu perkara yang tidak akan berubah. Keimanan kepada Allah SWT, RasulNya, hari akhirat dan sebagainnya tidaklah boleh berubah kerana ia adalah hakikat kebenaran yang tidak menerima sebarang perubahan. Masalah-masalah ibadat pula ialah satu perkara yang menyusun peraturan perhubungan Tuhan dengan manusia. Kerana inilah caranya telah diperincikan oleh Syariah kerana ia adalah satu perkara yang diperlukan oleh manusia pada sepanjang zaman dan tidak diketahui caranya melainkan dengan keterangan daripada Syariah. Ini kerana ibadat merupakan keperluan manusia kepada Penciptanya, selain ia juga memberikan "maslahat" kepada individu dan masyarakat. Akhlak dan budi pekerti pula merupakan satu perkara yang sentiasa diperlukan untuk kebaikan dan kekuatan masyarakat dan kerana inilah ia juga antara perkara yang diperincikan. Begitu juga sebahagian daripada perhubungan antara sesama manusia juga telah diperincikan hukumnya. Contohnya seperti hukum-hakam kekeluargaan seperti nikah kahwin, hak

11

penjagaan anak, perceraian, harta pusaka dan sebagainya. Tujuan perincian kepada perkara-perkara seperti ini adalah untuk menjaga kemaslahatan setiap individu dan juga masyarakat. Bayangkanlah apa yang akan terjadi jika tidak wujudnya hukum perkahwinan, perceraian dan sebagainya dalam masyarakat. Pengharaman riba dalam sistem perhubungan kewangan sesama manusia juga termasuk dalam hukum yang terperinci demi menjaga "maslahah" individu dan juga masyarakat. Begitu juga hukuman-hukuman yang telah ditentukan oleh Syariah kepada para pesalah seperti orang yang murtad, pembunuh, penzina, pencuri, peminum dan sebagainya telah diperincikan demi menjaga kerukunan masyarakat. Dan kesemua hukum ini adalah diasaskan di atas kebaikan dan keadilan yang memang diperlukan oleh masyarakat manusia supaya mereka tidak hidup dalam kezaliman hukum rimba. Bahagian Kedua: Hukum-Hakam Yang Bersifat Sebagai Asas Dan Prinsip Jenis hukum yang kedua ini adalah hukum-hakam yang diasaskan sebagai prinsip asas dan kaedah umum yang fleksibel dengan keperluan kehidupan manusia. Antara contoh-contoh jenis hukum ini ialah seperti: Pertama: Prinsip Syura. Islam sangat mementingkan prinsip permuafakatan bersama dalam kehidupan manusia. Walau bagaimanapun Islam tidaklah menentukan cara-cara tertentu yang terperinci dalam melaksanakan prinsip ini. Ini kerana ia boleh berubah mengikut kesesuaian masa dan tempat, asalkan tidak lari dengan Syariah. Kedua: Prinsip Keadilan. Islam sangat mementingkan keadilan bahkan telah menentukan sebahagian hukum yang terperinci ke arah perkara tersebut. Namun asas pelaksanaan keadilan tidaklah ditentukan kerana ia boleh berubah. Kerana ini, kalaulah keadilan akan lebih tertegak dengan wujudnya enakmen yang bertulis, atau beberapa peringkat mahkamah, atau memerlukan kepada lebih seorang hakim bagi sesuatu kes berat, atau memerlukan kepada badan yang mengkaji keadilan hakim, atau sebagainya, maka kesemua perkara

12

ini adalah diharuskan dalam agama demi menegakkan keadilan. Kalaulah dalam menentukan harga barangan oleh pemerintah itu merupakan cara ke arah keadilan, maka ia juga diharuskan. Perlu diperingatkan bahawa menghukum pesalah dengan hukuman yang ditetapkan oleh Syariah adalah termasuk dalam hukum terperinci yang kita tidak diberi lagi pilihan untuk mengambil hukuman dan peraturan yang lain. Ketiga: Prinsip Tidak Harus Memulakan Penindasan Dan Membalasnya. Dalam prinsip ini, tidak ada seorang pun harus untuk menganiayai dirinya sendiri, apatah lagi individu lain. Atas prinsip ini, tidak harus bagi seseorang yang dibakar rumahnya (sebagai contoh) untuk membakar rumah orang yang lain, kerana ia menambahkan lagi kekusutan dalam masyarakat, bahkan orang yang bertanggungjawab hendaklah membayar ganti rugi kepadanya selain dikenakan tindakan oleh pemerintah. Atas prinsip inilah, adanya hak "Syuf'ah" dalam Islam. Atas prinsip inilah, kerajaan perlu menentukan lesenlesen untuk dikeluarkan kepada para penternak ayam dan sebagainya, kerana ia boleh menyakiti orang yang lain. Atas prinsip ini juga haramnya "ihtikar" iaitu sorok barangan jualan untuk menaikkan harganya. Berdasarlan kenyataan ini semua, maka jelaslah bahawa dakwaan yang mengatakan Syariah Islam itu statik dan jumud adalah dakwaan yang tidak berasas dan merupakan fitnah kepada agama Allah SWT. Dalil Ketiga: Sumber Perundangan Syariah. Qur'an dan Sunnah (Hadis) yang merupakan sumber perundangan asli bagi Syariah telah datang dengan hukum-hakam yang mampu menangani setiap apa jua keadaan, yang membolehkan ia bersesuaian dengan setiap masa dan tempat, sebagaimana yang baru sahaja disebutkan tadi. Manakala ijmak dan segala jenis ijtihad seperti "Qias", "Istihsan", "Maslahah Mursalah", "Sadduz Zaraie, adalah sumber perundangan yang fleksibel yang

13

didasarkan kepada sumber asli Syariah, iaitu Qur'an dan Hadis. Keseluruhan sumber untuk mengetahui dan mengeluarkan hukum Syariah ini membolehkan hukum-hakam Syariah menjawab setiap persoalan baru yang tidak disebutkan nas keterangan tentangnya secara nyata dalam sumber asli. Hukum-hakam yang dikeluarkan melalui ijtihad juga adalah hukum yang diiktibar oleh Syariah kerana ia didasarkan kepada sumber perundangannya yang asli, iaitu Qur'an dan Hadis. Kerana semua inilah Syariah akan sentiasa relevan bagi semua masa, tempat dan keadaan. SYARIAH YANG SYUMUL Syariah Islam adalah Syariah atau perundangan yang mencakupi setiap aspek kehidupan manusia. Ia adalah perundangan yang menyatakan tentang hubungan manusia dengan dirinya, Penciptanya dan juga sesama mereka. Keseluruhan perjalanan kehidupan manusia tidak akan terkeluar dan terlepas daripada hukum-hakam Syariah. Kesempurnaan hukum Syariah ini boleh kita bahagikan kepada tiga bahagian:Pertama: Hukum-hakam Syariah yang berkaitan dengan aqidah (kepercayaan) seperti prinsip "ketuhanan", "kenabian" dan juga "sam'iyyat" (perkara-perkara ghaib). Contohnya seperti keimanan kepada Allah, para Rasul, Kitab-kitab, hari akhirat dan sebagainya. Perkara-perkara ini dipelajari dalam ilmu "Tauhid". Kedua: Hukum-hakam Syariah yang berkaitan dengan budi pekerti seperti, benar, amanah, menunaikan janji, menghormati orang lain dan sebagainya. Perkaraperkara ini dipelajari dalam ilmu "Akhlak". Ketiga: Hukum-hakam berkaitan dengan keseluruhan perbuatan manusia. Ia dipelajari dan diperbahaskan dalam ilmu "Feqah".

Perbuatan-perbuatan manusia pula boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian Pertama:

14

Hukum-hakam "ibadat" seperti sembahyang, puasa, haji dan sebagainya. Ia adalah hukum-hakam yang menyusun perhubungan manusia dengan Penciptanya. Bahagian Kedua: Hukum-hakam yang menyusun perhubungan manusia sesama mereka. Ia dipanggil sebagai "adat" atau juga "muamalat". Bahagian ini merangkumi perkara-perkara berikut:Pertama: Hukum-hakam yang berkaitan dengan kekeluargaan, seperti nikah, cerai, nafkah, hak penjagaan anak, nasab dan sebagainya. Ia dipanggil sebagai "hukum kekeluargaan". Kedua: Ketiga: Hukum-hakam yang berkaitan dengan hubungan kewangan seperti jual, beli, sewa, gadaian dan sebagainya. Ia dipanggil sebagai "muamalat". Hukum-hakam yang berkaitan dengan pendakwaan dan hukuman. Ia adalah hukum yang berkaitan dengan kehakiman dan pengadilan. Keempat: Hukum-hakam yang berkaitan dengan hubungan dengan bukan muslim, samada sesama rakyat senegara atau bukan muslim dengan kerajaan Islam. Kelima: Hukum-hakam yang berkaitan dengan hubungan Negara Islam dengan Negara-negara yang lain, samada ketika aman atau perang. Keenam: Hukum-hakam yang berkaitan dengan sistem pemerintahan Negara, pendidikan, hak-hak individu dalam Negara dan hubungannya dengan Negara lain. Ketujuh: Hukum-hakam yang berkaitan dengan hasil mahsul Negara dan cara pengurusannya dan hubungan antara yang kaya dan miskin dalam sesebuah Negara. Kelapan: Hukum-hakam yang berkaitan dengan ikatan kesalahan, denda dan hukuman terhadap individu berhubung dengan Negara.

15

Berdasarkan kepada keterangan ini, jelaslah kepada kita bahawa Islam adalah satu peraturan yang lengkap yang mampu menangani segala permasalahan kehidupan manusia. Janganlah kita tertipu dengan dakwaan bahawa Syariah hanyalah hubungan antara manusia dengan Tuhan Pencipta mereka sahaja, kerana ini adalah fitnah dan tuduhan yang bertujuan memburukkan Syariah, dan mengenepikan pelaksanaannya. Kalaulah kita ingin membandingkan kesempurnaan perundangan Syariah dengan perundangan ciptaan manusia, kita akan dapati bahawa Syariah Islam adalah jauh lebih sempurna dan fleksibel. Ini kerana persoalan akidah, akhlak dan ibadat tidak terdapat dalam sistem perundangan ciptaan manusia. Kesemua eleman tadi adalah satu perkara yang penting untuk yang boleh membentuk keharmonian manusia sejagat. Dalam masalah "muamalat" yang merupakan asas kepada perundangan ciptaan manusia, terdapat perbezaan yang jelas antaranya dan "muamalat" berasaskan Syariah. Ini kerana aspek akhlak merupakan satu eleman yang diwajibkan dalam "muamalat" Syariah. Kerana inilah, dalam bab kewangan sebagai contoh, Islam tetap mengharamkan riba, perniagaan arak dan judi kerana ia boleh menimbulkan keburukan kepada masyarakat, sekalipun menghasilkan keuntungan kewangan. Persoalan halal dan haram juga merupakan asas "muamalat" Islam. Kerana inilah Syariah tetap mengharamkan perkara yang pada zahirnya adalah sah, jika pada hakikatnya adalah haram dan dilarang. Ini kerana hukum yang zahir tidaklah mengubah perkara yang haram kepada halal, dan begitulah sebaliknya. Kerana inilah tidaklah harus kepada seorang muslim melakukan satu perkara yang haram, sekalipun diharuskan di segi perundangan kehakiman. Dalam bab menjatuhkan hukuman dalam pendakwaan, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia. Dan kamu menjadikanku kata pemutus dalam pertelingkahan sesama kamu. Boleh jadi ada sebahagian kamu yang lebih pandai berhujah berbanding dengan yang lain, lalu aku bagikan kepadanya (menang dalam kes tersebut) berdasarkan kepada apa yang aku dengar (pada zahirnya, dan hakikat yang sebenar tidaklah diketahui). Maka sesiapa

16

yang aku putuskan kepadanya daripada hak (kepunyaan) saudaranya (lawannya dalam pendakwaan), maka janganlah dia mengambilnya walau sedikitpun, (kerana) sebenarnya aku telah putuskan baginya satu keratan daripada api neraka". (Hadis riwayat Bukhari). Dan roh akhlak dan halal-haram ini tidak ada dalam sistem perundangan ciptaan manusia.

SUMBER PERUNDANGAN ISLAM SUMBER ASLI 1. Al-Quran Al-Quran ialah kalam Allah S.W.T yang diturunkan sebagai mukjizat kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui Jibril A.S yang merakamkan segala kehendak Allah S.W.T ke atas manusia dalam perkara akidah, syarak dan akhlak serta perkara yang berhubung dengan perundangan Islam. Al-Quran menjadi sumber pertama perundangan islam. Menurut kajian, terdapat lebih kurang 330 ayat AlQuran daripada 6,666 ayat yang terdapat dalam Al-Quran yang menyentuh perundangan. Antaranya 140 ayat menyentuh ibadah dan taharah (bersuci secara fizikal dan spiritual); 70 ayat menyentuh hukum kekeluargaan; 70 ayat menyentuh hukum muamalah (urusan dan jual beli); 30 ayat menyentuh hukum jenayah dan 20 ayat menyentuh kehakiman. Selain itu, Al-Quran hanya menggariskan secara umum konsep, prinsip, dasar, cirri dan ruang lingkup kehakiman islam dari sekecil-kecil hinggalah kepada sebesar-besarnya. Misalnya Al-Quran menggariskan prinsip umum sesuatu hukuman seperti hukuman potong tangan kepada pencuri.

17

2.

Al-Hadis Al-Hadis ialah segala yang disandarkan kepada Rasulullah S.A.W sama ada

dalam bentuk kata-kata, perbuatan atau pengakuan serta kejadian, akhlak dan riwayat hidup baginda, sebelum dan sesudah baginda dilantik menjadi Rasul. Ia diriwayatkan daripada Rasulullah S.A.W oleh para sahabat, Tabiin dan seterusnya sehingga ditulis oleh ulamak Hadis. Hadis menjadi sumber kedua dalam perundangan Islam. Malah umat Islam berijmak (bersepakat) bahawa al-hadis menjadi sumber hukum syariah sebagaimana firman Allah S.W.T menerusi ayat 7 dalam Surah al-Hasyr yang bermaksud: Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah ia, dan apa yang ditegahnya maka tinggalkan ia. Oleh kerana Al-Quran hanya menggariskan secara umum, kasar dan teori sahaja perkara yang berkaitan dengan kehakiman dan perundangan Islam maka hadis yang bertanggungjawab memperincikan ajaran Al-Quran dalam bentuk amali. Tanpa hadis perundangan Islam amat sukar dilaksanakan. Contohnya Rasulullah S.A.W menjelaskan maksud tangan yang akan dipotong bagi mencuri ialah pergelangan tangan kanan. Namun terdapat beberapa perkara al-sunnah yang bukan menjadi hukum kepada umat islam, iaitu perkara-perkara yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W sebagaI seorang insan seperti bangun, duduk, tidur, dan makan; kecuali baginda memerintahkannya, perkara-perkara duniawi yang diperoleh dari pengalaman baginda sendiri, dari segi pertanian, perniagaan, peperangan, dan sebagainya, serta perkara-perkara yang khusus bagi baginda sahaja seperti puasa tanpa buka, wajib bertahajjud dan lain-lain.

18

SUMBER- SUMBER SEKUNDER 1. Ijmak Ijmak dari segi bahasa ialah sepakat. Dari segi istilah pula bermaksud persetujuan antara ulama Islam daripada umat Muhammad S.A.W mengenai hukum syarak pada suatu masa selepas kewafatan Rasulullah S.A.W. Ijmak merupakan hasil ijtihad majoriti ulama di dalam sesuatu hal yang tidak jelas nasnya sama ada di dalam Al-Quran atau hadis. Apabila suatu fatwa itu dipersetujui oleh majoriti ulama yang muktabar, maka ia diterima sebagai ijmak. Contohnya semua ulama bersepakat mengatakan bahawa orang-orang yang telah sabit kesalahan qazaf (menuduh zina) tidak boleh diterima kesaksiannya selagi tidak bertaubat kerana ia telah melakukan maksiat yang menyebabkan hiang sifat adil yang menjadi syarat menjadi saksi. Ijmak menjadi perundangan Islam selepas Al-Quran dan hadis. Terdapat dua jenis ijmak, iaitu ijmak sarikh dan ijmak sukuti. Ijmak sarikh berlaku apabila semua mujtahid memberi persetujuan mereka. Manakala ijmak sukuti berlaku apabila sebahagian sahaja yang menyatakan persetujuan sedangkan yang lain diam dan tidak membantah. 2. Qias Qias dari segi bahasa ialah ukuran atau anggaran. Manakala dari segi istilah pula bermaksud menghubungkan sesuatu peristiwa atau masalah yang tidak ada nas untuk menentukan hukumannya dihubungkan dengan sesuatu perkara yang ditentukan hukumannya oleh nas, sebab kedua-dua peristiwa itu mempunyai illah (sebab dan musabab) yang sama.

19

Contohnya pengharaman dadah dan semua benda mabuk diqiaskan pengharaman dengan arak yang telah ditentukan hukumannya oleh nas kerana mempunyai illah yang sama iaitu memabukkan. Qias menjadi sumber perundangan islam yang keempat dan digolongkan ke dalam sumber yang disepakati oleh ulama dan yang tidak dipertikaikan. 3. Al-Istihsan Istihsan dalam bahasa Arab memberi erti membilang atau menganggap sesuatu itu baik, sedangkan Istihan dari segi istilah ulama ialah seorang mujtahid berpaling dari mengamalkan kehendak qiyas jaliy (yang nyata) kepada mengamalkan qiyas khafiy (yang tersembunyi), atau berpaling dari mengamalkan hukum kulliy kepada hukum istithnaiy (pengecualian), atau mengecualikan masalah juziyyah daripada asal kulliy atau prinsip umum kerana terdapat dalil yang menuntut supaya dipalingkan. 4. Al-Masalih al-Mursalah Al-Masalih al-Mursalah itu ialah maslahah-maslahah yang mana Syara tidak membina hukum-hakam bagi memperolehinya dan tidak ada dalil tertentu yang menunjukkan ia diambil kira atau dibatalkan. Terdapat sebahagian ulama menamakan dalil ini al-Istislah yang bermaksud beramal dengan maslahah. Apakah boleh diwujudkan hukum untuk mendapatkan maslahah seperti ini ? Para jumhur ulama menjawab pasti boleh. Maka setiap persoalan yang tidak ada Nas, Ijma, Qiyas dan Istihsan tetapi ada padanya maslahah dan kebaikan kepada manusia, nescaya haruslah bagi mujtahid mewujudkan hukum yang bersesuaian bagi memastikan maslahah itu tercapai.

20

Contoh hukum-hukum yang dibina berasaskan maslahah antara lain ialah mengumpulkan al-Quran dalam satu Mushaf oleh Abu bakar, membentuk jabatan-jabatan kerajaan oleh Umar, mewujudkan penjara, mengenakan hukum Qisas ke atas satu kumpulan yang membunuh seorang sahaja, mewajibkan tukang membayar ganti rugi sesuatu barang yang rosak ditangannya, diharuskan mengambil cukai dari orang kaya selain dari zakat apabila kepentingan negara memerlukannya bagi membangun kekuatan ketenteraan atau membina keperluan-keperluan dan kemudahan asas. 5. Al-Urf Urf dalam bahasa Arab bererti marifah (mengetahui atau pengetahuan) kemudian digunakan dengan pengertian sesuatu yang maruf dan kebiasaan yang dianggap baik serta dapat diterima oleh akal fikiran yang sejahtera. Sementara urf menurut istilah ialah adat majoriti sesuatu kaum dari segi perkataan, pengucapan atau amalan. Dan ditakrifkan juga sebagai amalan yang biasa dilakukan oleh manusia dan dihayati dalam urusan kehidupan dan muamalat mereka, sama ada perkataan atau perbuatan atau meninggalkannya. Dinamakan juga dengan adat menurut kebanyakkan para ulama. Tetapi sebahagian ulama menjadikan adat itu perkara yang berulang-ulang, dan lebih umum dari urf. Maka setiap urf itu adat dan tidak setiap adat itu urf. Sebahagian ulama lain pula berpendapat urf itu lebih umum. Walau bagaimana pun pendapat yang menjadi pilihan kita ialah urf dan adat sama sahaja, kedua-duanya adalah nama kepada sesuatu yang telah menjadi kebiasaan oleh manusia dan dihayatinya dalam kehidupan mereka.

21

6.

Mazhab Sahabi Sahabi atau sahabat mengikut pengertian ulama Usul al-Fiqh ialah mereka

yang bertemu dengan Nabi s.a.w. dan beriman dengannya, bersahabat dengannya dalam tempoh masa yang agak panjang dan mengambil ilmu darinya sehingga wajar dikatakan dia sebagai sahabat atau teman rapat dari segi urfnya seperti Khulafa al-Rasyidin, Ibnu Abbas, Aisyah dan lain-lain lagi. Sahabi menurut istilah Muhaddithin ialah mereka yang berjumpa dengan Nabi s.a.w. dalam keadaan Islam dan mati dalam agama Islam. Manakala Mazhab Sahabi pula ialah perkataan yang dinukilkan kepada kita dan sabit di sisi kita dari seseorang Sahabat dalam bentuk fatwa atau keputusan penghakiman dalam apa jua masalah Syara yang tidak terdapat nas dan tidak berlaku Ijma. 7. Al-istishab Al-Istishab dari segi bahasa bererti saling bersahabat (al-Musahabah) atau mengekalkan persahabatan. Adapun al-Istishab dari segi istilah ulama Usuliyyin memberi erti menghukum dengan kekalnya sesuatu di atas keadaannya yang dahulu sehingga tertegak dalil yang menunjukkan di atas perubahannya atau dikekalkan hukum yang telah sabit pada masa yang lalu sehinggalah didapati dalil yang menunjukkan berubahnya hukum itu. Apabila ditanya seorang mujtahid tentang hukum sesuatu kontrak atau tindakan, dan dia tidak mendapati mana-mana nas dalam Al-Quran atau al-Sunnah dan dalil Syara lain berkenaan hukum kontrak itu, nescaya dia akan menghukum harus kontrak atau tindakan itu berdasarkan kaedah Asal pada beberapa perkara adalah harus. Itulah keadaan yang Allah ciptakannya semua yang terdapat di muka bumi ini, maka sesuatu yang tidak terdapat dalil di atas perubahannya nescaya hendaklah

22

dikekalkan atas keharusannya yang asal. Demikian juga apabila ditanya mujtahid tentang hukum haiwan atau tumbuhan atau apa-apa makanan, minuman atau pekerjaan dan tidak menemui dalil Syara bagi hukum itu, nescaya dia hukumkan dengan harus, kerana harus itu adalah yang asal dan tidak ada dalil atas perubahannya. 8. Syaru man Qablana Syaru man Qablana bermaksud hukum-hukum yang disyarakan Allah kepada umat sebelum kita dan diturunkannya kepada Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang terdahulu bagi disampaikan kepada umat-umat tersebut. Apabila al-Quran atau Sunnah Sahihah menceritakan mana-mana hukum Syara yang telah disyarakan kepada umat-umat yang terdahulu melalui rasul-rasul mereka dan dinaskan bahawa ia juga difardhukan ke atas kita sepertimana difardhukan ke atas mereka, maka tidak berlaku khilaf bahawa ia juga Syariat kita dan undang-undang yang wajib diikuti kerana Syariat kita turut memperakukannya untuk kita. Seperti firman Allah :Wahai orang-orang yang beriman ! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Al-Baqarah : 183)

MATLAMAT PERUNDANGAN ISLAM Pelaksanaan perundangan Islam di dalam sesebuah negara adalah sangat penting kerana dengan pelaksanaan tersebut dapat mengekalkan keharmonian hidup yang amat diperlukan manusia.Islam mensyariatkan perundangan ini adalah untuk menjaga beberapa perkara yang merupakan keperluan asas bagi manusia, antaranya ialah:

23

1.

Untuk memelihara agama Islam agama yang dicipta dan diturunkan oleh Allah S.W.T kepada manusia

untuk menjamin keselamatan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Oleh itu Islam memerintahkan umatnya supaya mempertahankan agama ini darioada dicemari dana dicerobohi oleh musuh. Cara-cara perundangan Islam memelihara agama ialah dengan mengambil tindakan tegas terhadap golongan yang menyeleweng daripada ajaran Islam seperti riddah, khurafat, dan ajaran sesat. Selain itu, Islam mengharamkan riddah (murtad) dan mewajibkan hukuman mati ke atas sesiapa yang murtad di samping memberi kebebasan beragama kepada non-muslim kerana tiada paksaan di dalam beragama. 2. Untuk menjaga nyawa Nyawa manusia adalah anugerah Allah S.W.T yang sangat bernilai dan berharga kerana tanpa nyawa, manusia akan mati. Justeru itu, islam menjamin memelihara nyawa manusia daripada diceroboh atau dibunuh dan memastikan tiada unsur-unsur yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain. Islam telah mengharamkan pembunuhan serta menetapkan hukuman qisas ataupun diyat atau Irsy terhadap sesiapa yang melakukan kesalahan bunuh dan yang berkaitan dengannya. 3. Untuk menjaga akal Kesempurnaan seseorang manusia terletak pada akalnya. Melalui akallah manusia boleh mengkaji segala ciptaan Allah S.W.T yang ada di alam ini dan berfikir untuk menggunakan segala sumber-sumber yang ada untuk memakmurkannya. Akal juga digunakan untuk mempelajari segala bidang ilmu pengetahuan untuk kebahagiaan hidup

24

manusia. Islam mengharamkan arak serta setiap yang memabukkan dan telah menetapkan hukuman kepada peminum arak iaitu dikenakan sebatan sebanyak 80 sebatan. 4. Untuk menjaga keturunan Manusia adalah makhluk Allah S.W.T yang paling mulia jika dibandingkan dengan makhluk-makhluk yang lain. Namun kemuliaan itu bergantung kepada pembentukan keluarga yang sempurna iaitu keturunan nasab yang jelas dan diketahui asal usulnya. Justeru itu, manusia hendaklah menjaga keturunannya daripada dicemari oleh perbuatan-perbuatan yang boleh merosakkan kesucian keturunan. Oleh hal yang demikianlah Islam telah mengharamkan perbuatan zina. Sesiapa yang didapati bersalah, Allah S.W.T telah menetapkan hukuman rejam sampai mati bagi sesiapa yang sudah berkahwin dan 100 kali sebatan kepada mereka yang masih bujang. Perundangan Islam juga telah mensyariatkan perkahwinan untuk melahirkan keturunan yang sempurna dan mulia. 5. Untuk menjaga maruah Maruah seseorang manusia bergantung kepada ketinggian akhlak dan budi pekertinya. Akhlak yang mulia membentuk keperibadian yang tinggi dan budi pekerti yang terpuji membentuk sahsiah yang mulia. Seterusnya, mereka akan mendapat penghormatan daripada masyarakat. Oleh kerana kehormatan diri sangat penting kepada manusia, perundangan Islam telah menetapkan beberapa cara untuk memelihara kehormatan dan maruah diri, iaitu Islam mengharamkan qazaf (menuduh tanpa bukti). Hukuman kepada pesalah qazaf iaitu sebatan sebanyak 80 kali. Selain itu, Islam juga menyuruh umat Islam menjaga batas-batas pergaulan, percakapan dan tingkah laku.

25

6.

Untuk memelihara harta Memelihara harta ialah mengakui hak milik seseorang individu terhadap harta yang dimilikinya secara halal. Islam telah mengharamkan kegiatan sariqah (pencurian) serta hirabah (rompakan) dengan cara yang tidak sah. Justeru itu, perundangan Islam telah mengaturkan peraturan- peraturan yang memelihara harta, iaitu mengenakan hukuman yang tegas terhadap sesiapa yang mencuri dan merompak. Kepada pencuri dipotong tangannya sebagai hukuman. Manakala hukuman kepada perompak pula hendaklah dipotong tangan dan kakinya secara bersilang (tangan kanan kaki kiri). Sekiranya rompakan itu disertai dengan pembunuhan, maka hukuman mati hendaklah dijatuhkan terhadap pesalah oleh mahkamah. KESIMPULAN Secara tuntasnya di sini jelaslah bahawa perundangan Islam merupakan perundangan yang amat diperlukan oleh seluruh umat manusia di alam ini. Tanpanya, kehidupan manusia tidak teratur, sebarang hukuman tidak akan dijalankan ke atas mereka yang melakukan jenayah dan penganiayaan, serta tidak wujud sebarang penghinaan bagi mereka yang lemah. Undang-undang Islam seharusnya dilaksanakan di seluruh Negara khususnya Negara Islam seperti Malaysia. Insya Allah dengan pelaksanaan undangundang di Negara ini kadar jenayah seperti merogol, merompak, mencuri dan sebagainya dapat dikurangkan malah kemakmuran dan keharmonian Negara kita dapat terus dikekalkan buat sepanjang zaman. Justeru didikan sedari kecil perlu disemai agar dapat meningkatkan kesedaran rakyat tentang kepentingan perundangan Islam. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melentur buluh biarlah daripada rebungnya . Para ibu bapa seharusnya mendidik anakanak cara-cara beribadah, cara jual beli yang sebenar mengikut syarak dan berakhlak

26

dengan akhlak nabi-nabi yang terdahulu. Melalui didikan sejak kecil diharapkan anakanak yang bakal menggantikan tampuk pimpinan pada masa hadapan dapat mentadbir melalui tauladan seterusnya mentadbir Negara dengan adil, telus dan saksama tanpa sebarang diskriminasi. Disamping itu, pihak kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) seharusnya berganding bahu mempergiatkan usaha mendidik masyarakat khususnya di Malaysia mengenai perundangan Islam dengan mengadakan ceramah-ceramah mahupun mengedarkan risalah-risalah dengan berkesan. Selain itu, pihak Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM) juga seharusnya menerbitkan pelbagai buku ilmiah mengenai perundangan Islam yang diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia agar masyarakat di Malaysia dapat maklumat yang lebih mendalam mengenai ilmu syariah. Oleh hal yang demikian, diharapkan masyarakat di seluruh Negara boleh memahami apa itu perundangan Islam serta kepentingan pelaksanaannya. PENUTUP Hakikat bahawa Islam adalah agama untuk seluruh umat Islam telah dinyatakan oleh Allah di dalam al-Quran melalui firman-Nya: ``Dan tidaklah Kami utuskan engkau wahai Muhammad, kecuali untuk membawa rahmat kepada seluruh alam.'' Allah dengan begitu jelas menyatakan bahawa Islam bukan hanya menjadi cara hidup yang selamat buat satu-satu bangsa atau budaya, bahkan semua bangsa di alam ini yang meliputi pelbagai budaya dan bangsa. Ulama paling berpengaruh dunia kini, Dr. Yusuf al-Qardhawi, pernah menulis sebuah buku kecil yang ringkas tetapi begitu bermanfaat bertajuk Awamil al-Si`ah wa alMurunah fi al-Islam yang menjelaskan tentang fleksibiliti Islam yang membolehkan Islam dipraktikkan oleh semua golongan dan budaya di dunia ini. Ciri fleksibiliti Islam

27

yang pertama menurut beliau ialah wujudnya banyak ruang, yang tidak dinyatakan hukumnya oleh Allah dan sengaja ditinggalkan kepada manusia. Dalam perundangan Islam, mana-mana yang menjadi keperluan manusia pada pandangan Allah, akan diletakkan hukum wajib atau sunat, mana yang buruk pada pandangan Allah untuk manusia, akan diletakkan hukum haram atau makruh, dan manamana yang tidak dinyatakan itu adalah harus, boleh dilakukan tanpa melampaui batas. Betapa banyaknya kes-kes yang sengaja ditinggalkan oleh Allah sebagai memberi ruang kepada perbezaan manusia. Sabda Rasulullah; ``Apa-apa yang disuruh, maka kerjakanlah, apa-apa yang dilarang, maka jauhilah, dan apa-apa yang tidak disebut itu, sengaja ditinggalkan tanpa lupa, sebagai rahmat untuk kamu sekalian, bukan kerana lupa, maka janganlah kamu mempertikaikannya.'' (Riwayat Daruqutni). Implikasinya ialah, kita boleh melakukan apa sahaja selagi mana ia tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip yang ada di dalam al-Quran dan sunah. Semua hukum di dalam Islam ditetapkan oleh Allah, bukan oleh manusia. Walaupun begitu, hukum yang dinyatakan oleh Allah melalui perantaraan al-Quran atau sunah daripada Rasulullah s.a.w. perlu diterjemahkan oleh manusia menggunakan ketajaman akal mereka dan kaedah-kaedah yang tertentu. Di dalam teks al-Quran dan sunah, tidak semua hukum datang dalam bahasa yang jelas. Hukum-hukum yang sudah jelas pengertiannya biasanya melibatkan hukum-hukum asas ibadah, akhlak dan budi pekerti, hukum harta pewarisan, hukum akidah yang berkaitan dengan kepercayaan kepada Allah dan alam ghaib, serta kisah-kisah sejarah umat terdahulu. Manakala terdapat juga ayat-ayat yang tidak jelas pengertiannya, sama ada kerana perkataan yang digunakan boleh memberikan pelbagai maksud, atau terlalu luas untuk dipraktikkan dalam sesuatu kes. Untuk bersatu dalam realiti perbezaan masyarakat, undang-undang Islam perlu difahami daripada skop yang luas dan komprehensif. Bukan diambil hujung sana dan sini

28

sahaja. Islam juga bukan sekadar meletakkan hukum-hukum sahaja, tetapi wujudnya hukum itu bermatlamat menegakkan kemaslahatan ummah dan mengelakkan kemudaratan kepada manusia sejagat. Inilah yang dinamakan maqasid al-syariah (matlamat Syariah). Hukum tidak boleh sekadar difahami tanpa cuba memahami matlamatnya. Dengan pemahaman yang luas tentang Islam barulah kita dapat melihat bahawa Islam itu cukup menghargai perbezaan manusia di dunia ini. Tetapi sekadar melihat itu masih tidak cukup selagi kita sendiri tidak mengamalkannya untuk membuktikan bahawa umat Islam tetap bersatu padu di dalam perbezaan.

29

RUJUKAN

1.

al-Madkhal Li Dirasati as-Syariah al-Islamiyyah, karangan Syeikh Dr. Abdul Karim Zaidan, m/s 38. Cetakan ke 14, Muassasash Risalah, Beirut, 1417H.

2.

Abdul Aziz Bari, Islam Dalam Perlembagaan Malaysia, Intel Multimedia and Publication, Petaling Jaya, 2005 Cetakan 1

3.

Ahmad Ibrahim, Sistem Undang-Undang di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 1986

4.

Aminuddin Ruskan al-Dawamy, Syariah dan Perundangan, Cetak Ratu Sdn Bhd, Johor 1998

5. 6.

Jurnal Hukum JH (1407)H Jld V Bhg II Mahmood Zuhdi Abdul Majid, Pengantar Undang-undang Islam di Malaysia, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1997,

7.

Mohd Saleh Haji Ahmad, Pengantar Syariat Islam, Pustaka Haji Abdul Majid, Kuala Lumpur, 1999. Cetakan 1

8.

Syed Naquib al-Attas, Islam dalam Sejarah Kebudayaan Melayu, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1972

30

You might also like