You are on page 1of 3

TEKS UCAPAN

HARI ANUGERAH TEKNOPEN PERINGKAT PKG ROMPIN 2008


Alhamdulillah, segala kesyukuran buat Allah SWT kerana atas izin dan limpah rahmat-Nya, kita dapat bersama-sama meraikan Majlis Hari Anugerah Teknopen Peringkat Pusat Kegiatan Guru Rompin 2008 yang diadakan pada kali ini di SMK Palong Dua (F). Dalam kesempatan ini, saya ingin menyampaikan salam takzim daripada Pengerusi dan Naib Pengerusi JK Pengurusan PKG Rompin kerana tidak dapat bersama-sama dalam majlis ini atas sebab memenuhi tuntutan tugas daripada pihak Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan. Namun begitu, amanah bagi menjayakan majlis yang penuh bermakna ini perlu diteruskan bagi menentukan kesinambungan kejayaan sebelum ini terus dapat dipertahan dan dipertingkatkan momentumnya. Buat pengetahuan para hadirin, majlis seumpama ini mula diadakan pada tahun 2006 yang bertempat di PKG Rompin. Pada tahun tersebut, anugerah yang disediakan terhad kepada Kategori PSS cemerlang dan BBM sahaja. Pada tahun 2007, majlis ini tidak lagi diadakan di tempat yang sama, dan suatu anjakan baharu telah dilakukan dengan mengadakannya di luar mandala PKG Rompin. SMK Sri Perpatih telah menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah buat kali pertama. Kategori anugerah sedia ada telah ditambah dengan anugerah NILAM Guru, NILAM Murid, dan Laman Web. Sambutan daripada sekolah-sekolah di bawah kelolaan PKG Rompin amat menggalakkan. Pada tahun ini, SMK Palong Dua (F) pula menawarkan diri untuk memikul amanah bagi menjayakan majlis yang kita saksikan pada hari ini. Kategori anugerah juga telah ditambah, iaitu Laman PSS. Pihak PKG Rompin telah menerima penyertaan yang lebih menyeluruh daripada sekolah-sekolah yang menjadi ahli, berbanding tahun lepas. Mudah-mudahan trend ini akan berterusan bagi memastikan peranan PKG sebagai pemangkin penggunaan teknologi pendidikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran terus dapat diperkasa selaras dengan perkembangan dunia pendidikan yang arah alirannya pada masa kini berpaksikan teknologi maklumat dan komunikasi. Kejayaan-kejayaan yang tercipta sebagaimana yang telah saya perihalkan sebentar tadi, tidaklah terjadi laksana yang bulat datang bergolek , yang pipih datang melayang, tetapi menuntut kepada keringat jerih perih dan penggemblengan minda pihak pengurusan PKG Rompin dengan kerjasama yang tidak berbelah bahagi daripada barisan Guru Perpustakaan dan Media sekolahsekolah ahli yang tidak mengenal penat lelah berusaha memartabatkan PKG Rompin yang menjadi teraju bagi mencapai hasrat murni Kementerian Pelajaran Malaysia yang berusaha mencipta kualiti pendidikan bertaraf dunia. Insya-Allah kekuatan cita-cita yang terpendam dalam sanubari barisan pengurusan PKG

Rompin, dan ditambah pula komitmen Guru-guru Perpustakaan dan Media daripada sekolah yang menjadi ahli, tidak mustahil sekolah-sekolah di kawasan PKG Rompin yang berstatus luar bandar akan menjadi nukleus dalam mencipta kejayaan pendidikan di Bumi Adat Perpatih ini. Sesungguhnya kejayaan bermula daripada langkah pertama. Para hadirin yang dihormati, Perjumpaan antara pihak PKG Rompin dengan barisan Guru Perpustakaan dan Media kerap diadakan bagi mengenal pasti segala permasalahan yang timbul bagi tujuan penambahbaikan sama ada pada pihak PKG atau PSS sekolah-sekolah ahli. Hal ini penting bagi mengelakkan sebarang masalah komunikasi antara pihak PKG dengan PSS sekolah-sekolah ahli. Alhamdulillah, kekerapan perjumpaan ini telah menatijahkan peningkatan kualiti penggredan PSS sekolah-sekolah di kawasan PKG Rompin yang telah melonjak secara majoritinya kepada gred A. Senario ini merupakan suatu perkembangan yang positif dan mewujudkan daya saing antara ahli bagi mencapai kualiti PSS yang mampu menjadi aset bagi mencetus kejayaan dalam bidang akademik dan bidang kokurikulum sekolah. Pihak PKG Rompin juga berusaha melepaskan diri daripada label stereotaip, iaitu sebagai pemerhati kaku yang mengkritik kelemahan organisasi di bawahnya semata-mata. Sebaliknya, pihak PKG Rompin telah keluar dari kepompong tersebut dengan bertindak turun padang bagi membimbing PSS sekolah-sekolah ahli bagi memastikan setiap PSS di bawah seliaan PKG Rompin mencapai standard kualiti yang membanggakan. Amat jelas sekali, pada masa kini telah berlaku anjakan paradigma dalam kalangan Guru Perpustakaan dan Media untuk memastikan pengurusan PSS sekolah masing-masing secara konsisten dapat mengekalkan prestasi yang meyakinkan. Pengurusan PSS yang mantap amat diperlukan bagi merangsang peningkatan pencapaian akademik murid-murid dan melahirkan para guru yang kreatif dan inovatif. Para hadirin yang dimuliakan, Penumpuan pihak PKG Rompin tidak terarah kepada Guru Perpustakaan dan Media semata-mata, malahan kami juga berusaha membimbing murid-murid sekolah ahli untuk meningkatkan kemahiran mencari informasi bagi membantu mereka meningkatkan keyakinan diri dan keterampilan mereka agar tidak lagi bergantung kepada kaedah tradisi yang boleh merencatkan kejayaan mereka kerana tidak lagi relevan dengan keadaan dunia masa kini yang amat memerlukan kepantasan dan kecekapan. Justeru, pihak pengurusan PKG telah mengadakan pelbagai program seperti Program Jejak Maklumat yang bertempat di Teratak Zaba dan Karnival Membaca yang telah diadakan di SMK Sri Perpatih, serta Khemah Membaca yang dijalankan di SJKT Middleton yang bermatlamat membantu muridmurid membina sahsiah murni dan pemikiran kritis dan kreatif. Jelasnya, pihak PKG Rompin tidak sesekali meminggiri aspek pembinaan modal insan dalam usahanya memartabatkan penggunaan teknologi pendidikan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Akhir kata, kami barisan pengurusan PKG Rompin dan pasukan Guru Perpustakaan dan Media sekolah-sekolah ahli akan terus bersikap dinamik dan pragmatik dalam usaha mencapai hasrat yang terkandung dalam Pelan Induk

Pembangunan Pendidikan (PIPP). Usaha yang bersungguh-sungguh, perancangan yang dirangka secara bijaksana dan menyeluruh tetap menjadi tunjang utama warga PKG Rompin. Mudah-mudahan kekuatan tekad dan kerja secara berpasukan yang menjadi sikap kami selama ini akan tetap dipertahan demi kemajuan anak didik yang bakal mewarisi negara yang tercinta ini. Sekian, terima kasih. Wassalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.

You might also like