You are on page 1of 2

PERMAINAN TRADISIONAL KANAK KANAK Disediakan oleh: Kamal Bakshir Kassim

Abstrak: Zaman kanak kanak adalah suatu tempoh yang sangat menyeronokkan. Warisan Melayu telah memperkenalkan banyak jenis permainan yang menarik dan mengujakan kepada kanak kanak sebagai memenuhi masa lapang mereka. Walau bagaimana pun, warisan ini telah semakin dilupakan, kecuali beberapa yang masih diteruskan tradisinya hingga ke hari ini. Di sini kita akan meninjau secara ringkas permainan tradisional yang telah membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Jika ini tidak diberikan perhatian, permainan tradisional atau permainan rakyat ini akan hanya menjadi kenangan bagi ibubapa yang pernah terlibat sama dan kepada generasi seterusnya akan tinggal sebagai catatan di dalam buku dan penerbitan sahaja. Di antara permainan tradisional Melayu yang agak popular yang dimainkan oleh generasi kanak kanak dari dahulu adalah gasing, wau, congkak, sepak raga, sepak takraw, guli, galah panjang, konda kondi, batu seremban, sepak bulu ayam, ketingting, aci sorok, cari cucu, datuk harimau, tarik upih, lompat getah, getah atas para, baling tin, susun selipar, dam aji, aji terbang, main tikam, lawan bola, dan jala itik. Sesetengah dari permainan ini diberi panggilan yang berbeza; bergantung kepada di mana ianya dimainkan. Contohnya, kepada kanak kanak di pantai barat Semenanjung Malaysia, permainan batu seremban juga dikenali sebagai permainan serembat atau selambut di bahagian lain di Semananjung Malaysia. Begitu juga dengan permainan konda kondi; yang juga dikenali sebagi Perik mata; juga ketingting; yang dikenali sebagai teng teng. Walaubagaimana pun, secara umumnya, peraturan dan kaedah semua permainan ini adalah hampir sama walau apa pun panggilannya dan ianya merentas sempadan negeri. Sesetengah dari permainan tradisional ini juga mempunyai versi yang berbeza untuk setiap satunya. Contohnya bagi permainan gasing; terdapat permainan gasing pangkah dan juga gasing uri. Bagi permainan ketingting pula, bergantung kepada bagaimana tapak permainan ini dilakarkan, begitulah ianya digelarkan. Bagi ketingting kapalterbang, lakarannya adalah berbentuk kapalterbang dengan kepak di sisi kira dan kanan; manakala ketingting buku pula berbentuk seperti buku; di mana lakaran adalah berbentuk segiempat tepat dengan garisan dilakar di dalamnya.

Satu perkara yang ketara adalah di mana permainan ini sesetengahnya tidak memerlukan sebarang alat dan tapak yang khusus. Contoh yang dapat kita perhatikan di sini adalah permainan aci sorok, jala itik, datuk harimau dan cari cucu. Keunikan jala itik dan cari cucu adalah di mana ianya mempunyai rangkap nyanyian semasa permainan ini berlangsung. Permainan yang menggunakan satu alatan atau tapak yang paling minima pula adalah seperti galah panjang, sepak bulu ayam, sepak raga, ketingting, tarik upih, lompat getah, getah atas para, baling tin, konda kondi, main tikam, guli, dan batu seremban. Manakala permainan yang perlu menggunakan sekurang kurangnya dua alatan adalah baling tin, susun selipar, dam aji, aji terbang, congkak, lawan bola, sepak takraw dan gasing. Satu lagi ciri yang menarik kepada permainan tradisional Melayu ini adalah di mana ada di antara permainan itu adalah permainan yang boleh dimainkan oleh kanak kanak lelaki dan perempuan. Ianya bersifat neutral; tidak terlalu kasar jika dimainkan oleh kanak kanak perempuan; dan juga tidak terlalu lembut untuk dimainkan oleh kanak kanak lelaki. Di antaranya adalah aci sorok, dam aji, jala itik, datuk harimau, dan galah panjang. Bagi permainan seperti gasing, getah atas para, guli, main tikam, lawan bola, sepak raga, sepak takraw dan sepak bulu ayam, kebiasaannya dimainkan oleh kanak kanak lelaki. Manakala permainan lompat getah, ketingting, congkak, batu seremban lebih popular di kalangan kanak kanak perempuan. Kesimpulannya, permainan tradisional Melayu ini perlulah kita perkembangkan dan pelihara supaya ianya seperti kata peribahasa tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas. Jika tidak ianya akan dilupakan dan tenggelam oleh kebanjiran permainan zaman moden ini yang lebih bersifat individualistik dan pasif. Masyarakat Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya perlu disedarkan tentang keujudan dan keunikan permainan tradisional ini Ianya dapat disuburkan dengan mengadakan demonstrasi dan pertandingan. Selain pihak kerajaan dan NGO, media massa juga berperanan untuk menimbulkan kesedaran ini dan ianya cuma berkesan jika dilakukan secara berterusan. Rujukan : 1. Mohd Arif Abu Bakar.Permainan Tradisional. Kuala Lumpur.sama Publications, 1989

2.

Laman web www.permainantradisi.com diakses pada 26 Ogos 2011.

You might also like