You are on page 1of 13

CADANGAN UNTUK MEWUJUDKAN DASAR PENSIJILAN HALAL SECARA KHUSUS UNTUK PENGUSAHA RESTORAN DI MALAYSIA Ilyia Nur Ab Rahman,

Dr Suhaimi Ab Rahman, Dr Rosli Saleh dan Dzulkifly Mat Hashim Halal Product Research Institute, Universiti Putra Malaysia Selangor, Malaysia ilyianur.rahman@gmail.com Abstrak Pasaran produk Halal yang dianggarkan bernilai RM 6.56 (USD 2.1) trillion setahun bukan sahaja tertumpu kepada produk makanan bahkan turut merangkumi skop lain termasuk pelancongan Islam. Dalam konteks ini, pelancong Islam di seluruh dunia menyumbang sepuluh peratus daripada USD 852 billion berdasarkan jumlah resit pelancongan antarabangsa. Pelbagai kemudahan dan prasarana mesra Muslim seperti kewujudan restoran makanan Halal, kemudahan penginapan dan tempat beribadat menjadikan Malaysia destinasi pilihan utama. Malangnya disebabkan segelintir pengusaha restoran yang tidak mematuhi standard Halal yang ditetapkan, ia telah mengurangkan keyakinan pengguna terhadap status Halal restoran di Malaysia. Perkara ini jika dibiarkan sedikit sebanyak akan menjejaskan kredibiliti Malaysia sebagai destinasi utama pilihan pelancong Islam. Kertas kerja ringkas ini akan melihat dasar pensijilan Halal sedia ada serta mencadangkan dasar baharu yang khusus untuk pengusaha restoran di Malaysia. Beberapa siri temuramah di kalangan pengeluar sijil Halal, badan penguatkuasa dan pemilik restoran turut dijalankan. Kajian ini diharapkan dapat mencadangkan penambahbaikan terhadap dasar pensijilan Halal sedia ada dan sebagai panduan kepada pengusaha restoran dalam mengamalkan konsep restoran Halal yang sebenar. Kata Kunci Pelancongan Islam, Makanan Halal, Standard Halal, Dasar Pensijilan Halal, Undangundang Makanan Halal PENGENALAN Makanan Halal merupakan salah satu aspek penting yang amat dititikberatkan oleh setiap pelancong Muslim ketika mengembara ke luar Negara. Ianya merupakan keperluan fardu dan menjadi tanggungjawab setiap umat Islam dalam mencari, menggunakan atau membeli barang yang dijamin keHalalannya. Setiap pelancong pasti mengunjungi restoran samada di dalam hotel ataupun di tempattempat yang mereka kunjungi untuk memenuhi keperluan asas dan selera mereka. Malaysia menjadi sebuah destinasi pelancongan bagi kebanyakan pelancong Muslim bukan sahaja kerana ianya mempunyai keindahan bumi hijau malahan juga kerana ia juga merupakan sebuah Negara Islam moden yang menyediakan pelbagai perkhidmatan yang mesra Muslim. Sebagai sebuah Negara Islam moden, Malaysia turut menjadi perintis dalam memperkenalkan piawaian yang komprehensif untuk produk Halal melalui MS 1500:2004 (Malaysia Standard: Makanan HalalPengeluaran, Penyediaan dan Penyimpanan-Garis Panduan Umum- Pindaan 2009) dan mempunyai beberapa undang-undang yang mengawalselia produk atau perkhidmatan Halal seperti Akta Perihal Dagangan 1972 dan juga undang-undang syariah bagi setiap negeri. Namun, masih terdapat pelbagai isu yang timbul terutamanya dalam industri perkhidmatan makanan seperti penipuan logo Halal, kekeliruan penggunaan pelbagai jenis logo Halal yang dipamerkan, pencampuradukkan bahan makanan yang Halal dengan yang Haram dan pelbagai lagi telah dilaporkan oleh pihak media massa. Hal ini merentap perasaan pengguna Islam di Malaysia bahkan boleh menjejaskan kredibiliti Malaysia sebagai sebuah Negara Islam yang menjadi tumpuan para pelancong. Maka, sebarang bentuk penipuan atau penyalahgunaan tanda Halal, turut menyebabkan imej Islam yang sinonim dengan Malaysia tercalar kerana Islam melambangkan agama yang aman damai dan mementingkan kebenaran di dalam ajarannya. Oleh yang demikian, kertas kerja ini akan membincangkan mengenai cadangan untuk mewujudkan dasar baharu yang khusus untuk pengusaha restoran bagi menangani isu-isu yang timbul bagi

meningkatkan kesedaran, pemahaman dan mengubah sikap pengusaha restoran terhadap pensijilan Halal Malaysia. Skop kajian ini meliputi kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sahaja kerana ia merupakan destinasi pelancongan utama para pelancong di Malaysia selain kelebihan kedudukannya di bawah kerajaan Persekutuan yang memudahkan cadangan untuk mengusulkan sesuatu dasar baharu melalui saluran parlimen. Ini kerana, pekara yang berkaitan dengan Islam di Wilayah Persekutuan adalah tertakluk di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong di mana parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam dan menubuhkan suatu Majlis untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkaraperkara yang berhubungan dengan agama Islam.

MAKANAN HALAL

Kewajipan mencari sumber makanan yang Halal Salah satu keindahan Islam adalah cara hidup Muslim yang merujuk kepada undang-undang Syariah. Setiap ajaran agama pastinya mempunyai panduan dan pedoman untuk dipatuhi dan bagi umat Islam, salah satu daripadanya adalah konsep Halal (yang dibenarkan) dan juga konsep Haram (yang dilarang). Hal-hal yang berkaitan dengan Halal dan Haram merupakan sebahagian daripada maqasid syariah (objektif syariah) iaitu untuk menjaga dan melindungi kehidupan, akal, iman, harta dan juga keturunan umat Islam. Oleh yang demikian, pengambilan makanan yang Haram boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini berdasarkan faktor-faktor yang disebut tadi serta memberi kesan negatif terhadap fikiran, semangat, integriti, dan juga boleh menjejaskan kesihatan manusia (Yaakob & Dzulkifly, 2008). Mencari yang Halal itu merupakan satu kefarduan dan menjadi tanggungjawab setiap umat Islam dalam mencari, menggunakan atau membeli barangan yang dijamin keHalalannya. Hal ini bersesuian dengan firman Allah di dalam Surah al-Maidah, ayat 88 yang bermaksud: Dan makanlah dari rezeki yang diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang Halal lagi baik dan bertakwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman. Manakala, daripada Abi Hurairah R.A., sabda Nabi SAW yang bermaksud Sesungguhnya Allah Taala itu baik, dan menerima hanya perkara-perkara yang baik(Hadis Riwayat Muslim). Firman Allah yang bermaksud: Wahai manusia makanlah daripada apa yang Kami berikan di muka bumi ini yang Halal lagi baik dan jangan sekali-kali kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana syaitan itu musuh yang nyata(Al-Baqarah: 168). Ini jelas menyatakan kepentingan konsep pemakanan Halal yang sempurna dan diperkuatkan lagi pada ayat 88 surah alMaidah, Allah menegaskan bahawa makan dan minum adalah tanda keimanan seseorang. Konsep makanan Halal di Malaysia Definisi makanan Halal di dalam MS1500: 2004 bermaksud makanan dan minuman dan/atau bahan yang dibenarkan di bawah undang-undang syariah serta memenuhi keperluan sebagaimana berikut (DSM, 2009):

a) tidak mengandungi bahagian atau produk dari binatang yang tidak Halal oleh undang-undang
syariah atau bahagian atau produk dari binatang yang tidak disembelih mengikut undang-undang syariah; b) tidak mengandungi najs (kotoran) mengikut undang-undang syariah; c) selamat untuk digunakan, tidak beracun, tidak memabukkan atau tidak berbahaya bagi kesihatan; d) tidak disediakan, diproses atau dihasilkan dengan menggunakan peralatan yang tercemar dengan najs mengikut undang-undang syariah; e) tidak mengandungi mana-mana bahagian manusia atau hasil daripadanya yang tidak dibenarkan oleh undang-undang syariah, dan f) semasa penyediaan, pemprosesan, pengendalian, pembungkusan, simpanan dan pengedaran, makanan tersubut diasingkan secara fizikal dari makanan lain yang tidak memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan di dalam huruf a), b), c), d) atau e) atau hal-hal lain yang telah ditetapkan sebagai najs oleh undang-undang syariah.

Berdasarkan definisi makanan Halal seperti dinyatakan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa konsep makanan Halal di Malaysia bukan sahaja tidak mengandungi bahan yang dilarang, tetapi juga selamat, baik dan berkualiti (Halalan Tayyiban). Daripada segi penyediaan makanan, ia perlu dilihat secara menyeluruh, iaitu konsep daripada ladang sehingga ke pengguna, di mana semuanya di dalam rangkaian ini wajib memenuhi konsep Halalan Tayyiban. Masyarakat di Malaysia khususnya pengusaha restoran perlu diperjelaskan dengan lebih mendalam mengenai konsep Halal-Haram makanan mengikut perspektif Islam yang sebenar. Tanggapan mereka bahawa makanan yang Halal bukan makanan daripada babi dan tidak mengandungi alkohol sahaja perlu diubah kerana ia juga meliputi aspek lain seperti: 1. Punca atau bahan mentah (daging, sayur, beras, mee, susu dan tenusu) tersebut tidak mengandungi mana-mana bahagian atau produk daripada haiwan yang tidak Halal kepada orang Islam (khinzir, haiwan bertaring, haiwan dua alam dan haiwan yang jijik) atau produk daripada haiwan yang tidak disembelih mengikut undang-undang Islam.

2.

Kaedah penyembelihan haiwan menepati kehendak undang-undang Islam seperti penyembelih mestilah orang Islam, menggunakan alat sembelih yang dibenarkan dan sebagainya. Peniaga perlu memastikan daging yang mereka beli dipasaran dibeli daripada peniaga Islam atau syarikat penyembelihan yang mendapat pengiktirafan Halal oleh badan yang berkenaan (JAKIM atau JAIN) ataupun dari luar negara (IFANCA). Cara pengurusan dan pemprosesan sesuatu makanan perlu diperjelaskan seperti tempat pemprosesan perlu suci daripada najis, tempat penyimpanan tidak bercampur dengan bahanbahan yang Haram di sisi Islam dan juga daripada segi pengangkutan, barang makanan yang dibawa tidak bercampur dengan bahan makanan yang Haram di sisi Islam seperti daging khinzir yang dicampur dengan daging ayam di dalam sebuah lori. Aspek seterusnya yang perlu diberi penekanan adalah dari segi ramuan (rempah, bahan aditif, bahan bantu proses, stok masakan, sos dan perasa) dalam bahan makanan. Sebagai contoh bahan makanan yang dicampur dengan alkohol, minyak dari lemak khinzir dan sebagainya. Malah terdapat restoran yang memaparkan lambang Halal tetapi bahan makanannya dicampur dengan dengan ramuan seperti alkohol (wain dalam masakan) dan ini sering berlaku dikebanyakan restoran-restoran dan hotel yang menggunakan khidmat chef dan standard resepi dari luar negara. Peralatan yang digunakan untuk memasak atau memproses sesuatu makanan perlu dipastikan tidak pernah digunakan untuk memasak bahan makanan yang Haram mengikut undang-undang Islam. Penjagaan kebersihan makanan daripada benda-benda yang dianggap mengotorkan dalam Islam dan tidak suci serta kebersihan tempat penyediaan makanan perlulah diberi perhatian dan merujuk kepada garis panduan sedia ada seperti MS1514:2001 (Panduan Umum Kebersihan Makanan), GMP (Amalan Pengilangan Baik) dan GHP (Amalan Kebersihan Baik). Mungkin pelanggan tidak menyangka restoran yang memaparkan logo Halal dan mempunyai persekitaran yang bersih di luar tetapi di bahagian dapur berada dalam keadaan yang sangat kotor dan tidak memenuhi ciri-ciri Halal dalam Islam.

3.

4.

5.

6.

Jelaslah, konsep Halal bukan sahaja memastikan sumber bahan makan tersebut datang dari sumber yang dibenarkan oleh syarak, bahkan ianya turut merangkumi kebersihan, keselamatan dan jaminan kualiti yang tinggi daripada permulaan proses sehinggalah kepada pengguna. Allah berfirman: Wahai orang yang beriman (dalam Keesaan Allah)! Makanlah yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika (memang) Dia kepada siapa yang kamu sembah (AlBaqarah: 172). Mesej ini jelas membuktikan bahawa Allah menyuruh umatnya memilih makanan yang bersih, baik untuk kesihatan dan sedap untuk dinikmati bagi melahirkan rasa kesyukuran atas nikmat dan rezeki yang diberi. Ia juga membuktikan bahawa Islam bukanlah berdasarkan agama semata-mata, ia juga meliputi cara hidup yang mempunyai panduan berguna untuk manusia sejagat.

DASAR PENSIJILAN MAKANAN HALAL DI MALAYSIA

Sistem pensijilan Halal di Malaysia Sebelum ini, makanan Halal di Malaysia tidak dilabel sebagai Halal dan pengguna Muslim menggunakan penilaian sendiri samada makanan tersebut Halal atau tidak berdasarkan siapa yang menyediakan makanan tersebut. Sekiranya makanan tersebut disediakan oleh seorang Muslim, mereka percaya bahawa makanan tersebut adalah dijamin Halal. Dengan peningkatan jumlah sektor perkhidmatan makanan termasuk restoran bukan Islam, istilah "Ditanggung Halal", dan Makanan orang Islam telah diperkenalkan melalui Akta Perihal Dagangan 1972 di bawah Perintah Perihal Dagangan 1975 (Perihal Perbahasan Halal) untuk melindungi para pengguna. Kemudian, berlaku keraguan dalam makanan yang disediakan oleh bukan Islam samada mereka benar-benar memahami ataupun boleh dipercayai untuk memastikan makanan tersebut Halal. Maka, kaedah baru diperkenalkan oleh jabatan agama Islam untuk menangani isu ini dengan memperkenalkan logo Halal (Zin, 2005). Kerajaan Malaysia memberi sokongan penuh dalam mempromosikan pensijilan Halal pada produk dan perkhidmatan Halal yang lain manakala negara-negara lain seperti Amerika Syarikat sistem pensijilan Halal dibangunkan oleh individu atau kerajaan negeri dan disokong oleh pertubuhan bukan kerajaan (Mariam, 2004). Di Malaysia, sistem pensijilan Halal dikendalikan oleh badan kerajaan iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di mana mereka diberi kuasa untuk memberi sijil Halal, menjalankan pemantauan serta menarik balik sijil Halal jika berlaku penipuan. Permohonan sijil Halal boleh dilakukan secara terus ke pejabat JAKIM di Cyberjaya atau secara dalam talian di laman webnya di http://www.Halal.gov.my (Portal Halal Malaysia, 2010). Setelah permohonan sesuatu produk atau perkhidmatan itu diluluskan, mereka boleh meletakkan logo Halal Malaysia di bungkusan produk ataupun di premis makanan. Logo Halal yang dikeluarkan oleh JAKIM adalah tanda dagangan yang berdaftar di bawah Akta Tanda Dagang 1975. Setiap produk yang mempunyai logo Halal haruslah memastikan ianya sentiasa mematuhi standard Halal yang telah ditetapkan dari semasa ke semasa. Selain daripada JAKIM terdapat beberapa badan persendirian yang turut mengeluarkan logo Halal di Malaysia seperti Halal Food Council International (HFCI), Islamic Food Research Centre (IFRC) serta beberapa badan yang lain. Walau bagaimanapun, ianya menimbulkan kekeliruan di kalangan pengguna Muslim di Malaysia apatah lagi pelancong Muslim yang turut menggunakan produk atau perkhidmatan tersebut. Senario ini berlaku kerana sijil Halal dari badan tersebut mendapat permintaan yang tinggi di kalangan pengusaha restoran kerana ia mudah didapati dan tiada undang-undang yang khusus dalam mewajibkan penggunaan logo Halal JAKIM sahaja.

Gambar 1: Logo Halal Malaysia

Gambar 2: Logo Halal IFANCA

Gambar 3: Logo Halal IFRC

Undang-undang makanan Halal di Malaysia Undang-undang Malaysia yang berkaitan dengan makanan Halal dibahagi kepada dua iaitu, undangundang konvensional dan undang-undang syariah. Secara umumnya, undang-undang yang berkaitan secara langsung dengan Halal adalah seksyen 15A, Akta Perihal Dagangan 1972 di mana di bawahnya terdapat dua perintah tambahan yang khusus berkenaan makanan Halal iaitu Perintah Perihal Dagangan 1975 (Penggunaan Perbahasan Halal) 1975 dan Perintah Perihal Dagangan 1975 (Penandaan Makanan). Tugas penguatkuasaan di bawah akta ini terletak di bawah Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Perintah Perihal Dagangan 1975 (Penggunaan Perbahasan Halal) 1975 memberi definisi yang betul mengenai makanan Halal serta menggariskan tata cara pemakaian istilah seperti Ditanggung Halal atau Makanan untuk orang Islam atau lain yang bermaksud makanan yang sesuai untuk pengguna

Muslim. Manakala, Perintah Perihal Dagangan 1975 (Penandaan Makanan) bertujuan untuk mengelakkan penyalahgunaan perkataan Halal pada makanan melainkan makanan itu dilabel atau ditanda bagi membezakan makanan Halal ataupun tidak. Selain itu, antara undang-undang lain yang berkaitan dengan permasalahan Halal secara tidak langsung adalah Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 di mana ia memberi perlindungan kepada pengguna dengan memastikan setiap makanan yang dibekalkan tidak mengandungi unsur-unsur yang boleh membahayakan kesihatan serta keperluan untuk menandakan makanan yang mengandungi alkohol ataupun bahan-bahan yang mengandungi daging lembu, daging babi serta apa-apa daripada penghasilannya tertakluk di bawah Seksyen 11. Undang-undang lain yang boleh dirujuk secara tidak langsung berkaitan dengan Halal jika berlaku penipuan ataupun untuk melindungi para pengguna adalah Akta Cap Dagangan 1976 dan Peraturan Tanda Dagang 1997 sebagai perlindungan terhadap penipuan logo Halal JAKIM, Akta Perlindungan Pengguna 1999 untuk melindungi pengguna daripada terkeliru dengan pernyataan salah yang dinyatakan oleh pengeluar serta Kanun Kesiksaan di bawah seksyen 415 juga memperuntukkan sesiapa yang secara tidak jujur menarik orang ramai membeli dan membayar barangan dikeluarkan boleh dikenakan tindakan. Manakala, Akta Kerajaan Tempatan 1976 di bawah Seksyen 20 D (1) (a) dan (b) Perlesenan Pembuatan Makanan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) (Pindaan) Perundangan Kecil 1995 mensyaratkan pemegang lessen ini untuk mencuci peralatan yang digunakan untuk makanan tidak Halal secara berasingan dengan makanan Halal,. Terdapat juga undang-undang Islam yang mengawal selia makanan Halal di Malaysia yang tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah negeri. Namun begitu, Mahkamah Syariah hanya boleh mendengar kes yang melibatkan orang Islam sahaja. Antara undang-undang yang berkaitan ialah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 di bawah Seksyen 42 yang memperuntukkan mana-mana orang yang mempamerkan pada atau berkenaan dengan makanan dan minuman yang tidak Halal, apa-apa tanda yang mentakan makanan atau minuman tersebut Halal boleh dikenakan hukuman maksima 3 tahun penjara atau 6 sebatan atau maksima RM 5000 denda atau kombinasi mana-mana hukuman. Standard dan polisi lain yang berkaitan makanan Halal Malaysia merupakan pelopor utama bagi negara-negara Islam lain di dalam membangunkan standard berkaitan produk Halal. Namun demikian terdapat juga standard antarabangsa yang digunapakai oleh pengusaha industri makanan dan juga pengguna sebagai dokumen rujukan bagi memastikan piawaian makanan mencapai tahap yang dikehendaki. Antara polisi antarabangsa yang paling dikenali oleh masyarakat dunia dalam mencapai standard Halal yang ditetapkan adalah Codex Alimentarius (Panduan Am Penggunaan Perkataan Halal) CAC/GL 24-1997 (FAO, 1997). Panduan ini mengesyorkan langkah-langkah yang perlu diambil bagi penggunaan perkataan Halal di dalam label makanan. Pembangunan standard antarabangsa ini merupakan cadangan delegasi Malaysia melalui pembentangan kertas kerja di Perjumpaan ke Lapan Jawantakuasa Koordinasi Codex untuk Asia di Kuala lumpur, 1992 (Yaakob et al, 2007). Standard Malaysia bertajuk Makanan Halal:Pengeluaran, Penyediaan, Pengendalian dan Penyimpanan Garis Panduan Umum- Pindaan Kedua (MS 1500:2004) merupakan dokumen konsensus yang dibangunkan oleh Sistem Pembangunan Standard Malaysia yang di bawah tanggungjawab Jabatan Standard Malaysia (DSM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Standard Malaysia ini merupakan satu daripada lima inisiatif kerajaan di dalam merealisasikan Malaysia sebagai pusat makanan Halal. Skop standard ini mengandungi garis panduan yang praktikal bagi industri makanan pada setiap peringkat pemprosesan, penyediaan dan pengendalian makanan Halal. Dokumen ini disyorkan untuk digunakan bersama-sama dengan MS 1480:1999 (Keselamatan Makanan mengikut Sistem HACCP) dan MS 1514:2001 (Prinsip Umum dalam Kebersihan Makanan) di mana kedua-dua standard meliputi aspek kebersihan, sanitasi dan keselamatan makanan di dalam pemprosesan makanan Halal seperti yang dianjurkan oleh Islam (DSM 2009). Ianya bertujuan menyediakan peraturan asas bagi produk makanan serta perniagaan makanan di Malaysia dan digunakan oleh JAKIM sebagai asas untuk pensijilan Halal di Malaysia. Selain itu, JAKIM turut menerbitkan Manual Prosedur Pensijilan Halal pada tahun 2005 yang mengandungi panduan permohonan sijil Halal, pemeriksaan dan pemantauan serta keperluan minimum yang perlu dipenuhi oleh pengeluar makanan, rumah sembelihan, premis makanan dan dapur hotel ketika memohon sijil Halal (JAKIM, 2005)

Selaras dengan perkembangan produk Halal yang bukan sahaja terhad kepada makanan, Malaysia telah melebarkan langkah dengan memperkenalkan MS 1900: 2005 iaitu Sistem Pengurusan Kualiti Keperluan dari Perspektif Islam. Objektif Pensijilan MS 1900:2005 yang digunapakai bersama MS ISO 9001:2000 adalah untuk menyokong inisiatif kerajaan menjadikan Malaysia sebagai Halal Hub di peringkat antarabangsa serta menerapkan amalan Syariah dalam pengurusan kualiti bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan organisasi, tahap pematuhan Syariah dan tahap keyakinan masyarakat (DSM, 2005). Penguatkuasaan makanan Halal di Malaysia Pihak JAKIM melakukan pemeriksaan terhadap penggunaan sijil Halal melalui pemantauan berkala ataupun secara mengejut berdasarkan aduan daripada pengguna. Pemeriksaan yang dilakukan dengan kerjasama pegawai penguatkuasa KPDNK samada secara berkala ataupun mengejut akan dilakukan bersama dua orang pegawai daripada JAKIM (pegawai Syariah dan pegawai tekologi makanan) serta beberapa pegawai daripada institusi lain seperti Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Kementerian Kesihatan Malaysia ataupun Jabatan Perkhidmatan Haiwan. Di Malaysia, penguatkuasaan Halal dilaksanakan oleh Penguatkuasa yang dilantik oleh Menteri di KPDNKK bagi menyita, mengkompaun dan mendakwa mana-mana pemilik syarikat yang melanggar peraturan Halal. Manakala pihak JAKIM hanya boleh memainkan peranan sebagai pemantau, pengesah kesalahan dan pegawai-pegawainya sebagai saksi kes-kes berkaitan (Ismail, 2009).

HUBUNGAN PELANCONGAN ISLAM DENGAN MAKANAN HALAL Islam dan pelancongan Mengembara atau merantau adalah satu aktiviti amat digalakkan di dalam Islam. Di dalam surah alHajj, Allah s.w.t berfirman (maksudnya): Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. (al-Hajj: 46). Allah menjadikan bumi yang terbentang luas ini untuk diterokai supaya minda manusia berkembang dan sentiasa mencari peluang untuk menambahkan ilmu pengetahuan serta mencari kebenaran. Bumi ini diciptakan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan olehNya dengan kepelbagaian kehidupan dan bangsa manusia untuk mereka saling mengenali budaya dan kepelbagaian cara hidup antara satu sama lain. Islam juga menggalakkan umatnya merantau melalui keperluan untuk berhijrah, menunaikan haji yang mana ia merupakan salah satu rukun Islam, rihlah (perjalanan untuk belajar ataupun berdagang), dan juga ziyara (lawatan ke tempat suci) supaya dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dunia dan memenuhi keperluan kehidupan sosial (Kessler, 1992). Pada masa kini, mengembara atau merantau ditafsirkan sebagai melancong dan tujuannya tetap sama iaitu untuk menimba ilmu pengetahuan, menambah pengalaman, untuk memperbaiki diri dan juga menjadikan manusia lebih dewasa dan berfikiran terbuka. Bak kata pepatah Melayu Jauh perjalanan, luas pengalaman. Konsep pelancongan bukan sahaja untuk melawat tempat-tempat yang menarik atau melihat bangunan-bangunan bersejarah, malahan ianya perlu lebih daripada itu. Pelancongan dan ekonomi Negara Dalam era dunia globalisasi kini, pelancongan merupakan salah satu sektor yang penting dalam menjana ekonomi sesebuah Negara. Di Malaysia, sektor pelancongan merupakan sektor kedua terbesar di dalam menjana pendapatan Negara iaitu sebanyak 50.2 billion pada tahun 2008 (Malaysia Tourism Indicator, 2008). Pelancongan Islam pula dianggarkan menyumbangkan sepuluh peratus daripada pasaran pelancongan dunia yang bernilai USD 852 billion (UNWTO, 2009). Populasi umat Islam di dunia yang berkembang dengan cepat di mana pada tahun 2009 ianya telah mencecah 1.73 billion orang iaitu meliputi hampir 23 peratus jumlah populasi penduduk dunia daripada anggaran 6.8 billion penduduk dunia (Farah, 2009) memberi peluang kepada Malaysia sebagai sebuah Negara Islam yang membangun dan selamat untuk dikunjungi sepanjang tahun. Pada tahun 2009 ini, Malaysia turut

menduduki carta ke sembilan daripada sepuluh Negara yang paling banyak dikunjungi oleh pelancong berdasarkan jumlah ketibaan pelancong antarabangsa yang mencecah 23.6 juta orang (UNWTO, 2009) di mana 23% daripadanya terdiri daripada pelancong Muslim iaitu sebanyak 4.48 juta orang. Berdasarkan statistik yang dijalankan oleh Tourism Malaysia, pelancong daripada Arab Saudi, UAE dan Oman merupakan pembelanja paling banyak berbelanja dengan jumlah purata perbelanjaan per kapita masing-masing ialah RM 7991.60, RM 6412.20 dan RM 6315.70 iaitu hampir dua kali ganda daripada pelancong Australia dan United Kingdom dengan masing-masing berjumlah RM 3, 97470 dan RM3797.60. Jumlah perbelanjaan untuk makanan dan minuman sahaja menyumbangkan 17.7% daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan iaitu sebanyak RM 8.7 juta berbanding yang digunakan untuk penginapan sebanyak RM 15.4 juta iaitu 31.2 % daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan (Malaysia Profile 2008). Kecenderungan bahawa pelancong Muslim merupakan salah satu pembelanja paling banyak membelanjakan wang mereka untuk percutian bukan sahaja berlaku di Malaysia, malahan menurut UWTO, pelancong UAE membelanja secara purata USD 1700 bagi setiap percutian di mana USD 500 lebih tinggi daripada pelancong Eropah (Talal, 2008). Ini menunjukkan pelancong daripada Negara Muslim mempunyai kuasa membeli yang tinggi dan ini akan menguntungkan Negara-negara yang bakal mereka kunjungi dengan menawarkan perkhidmatan yang mesra Muslim. Tambahan pula kebanyakan kerajaan daripada Negara-negara Arab sedang hebat mempromosikan pelancongan Islam di kalangan penduduknya dan ini memerlukan Malaysia merebut peluang tersebut dengan menyediakan pelbagai kemudahan yang mesra Muslim terutamanya daripada segi tempat penginapan dan restoran yang menyediakan makanan yang Halal kerana pelancong daripada Negara Arab gemar bercuti bersama keluarga mereka (WTM Global Trend Report, 2007). Keupayaan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam yang moden dalam menyediakan pelbagai kemudahan dan prasarana yang mesra Muslim tidak dapat disangkal lagi. Ini dapat dilihat dengan pembinaan masjid-masjid yang menelan perbelanjaan besar, hotel-hotel bertaraf dunia, tempat membeli belah yang mempunyai surau dan restoran-restoran Halal, pulau-pulau indah yang dibangunkan dengan pesat dan pelbagai lagi menjadikan Malaysia sebagai tempat tumpuan pelancong antarabangsa yang mempunyai segala-galanya. Selain itu, kelebihan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang sentiasa aman dan harmoni serta boleh dikunjungi pada bila-bila masa menjadikannya satu daya tarikan tersendiri untuk menggamit para pelancong sepanjang tahun percutian (Norhazarina, Jamie & Nazlida, 2006). Kemudahan untuk pelancong Muslim Pelancongan mesra Halal bermaksud aktiviti pelancongan yang di benarkan dibawah undang-undang Islam dari segi perkhidmatan penerbangan, kemudahan penginapan, pemandu pelancong, makanan, pakej pelancongan sehinggalah kepada aktiviti pelancongan yang bakal dijalankan (WTM Global Trend Report, 2007). Sebagai contoh, pakej pelancongan yang ditawarkan perlulah mematuhi kehendak undang-undang Islam seperti mengadakan aktiviti yang tidak melibatkan perjudian, meminum arak, serta mengelakkan aktiviti-aktiviti maksiat. Selain itu, pelancong Muslim perlulah dibawa ke restoran atau premis makan yang menyediakan makanan Halal sahaja serta memastikan waktu solat mereka dapat dilaksanakan semasa di dalam perjalanan percutian (Henderson, 2003). Pelancongan mesra Halal merupakan produk pelancongan terbaru di dalam industri pelancongan, maka sehubungan dengan itu amatlah wajar keperluan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan pelancongan Halal ini ditingkatkan atapun diperbaiki demi memenuhi kehendak pasaran antarabangsa. Menurut Harmaneh (2004), terdapat tiga cabang konsep pelancongan Islam iaitu pertama, ekonomi, iaitu keuntungan ekonomi untuk masyarakat Islam; kedua, budaya, iaitu kebangkitan kembali budaya dan nilai-nilai Islam; dan iaitu ketiga konservatif agama, penyesuaian industri pelancongan kepada tafsiran Islam. Konsep ekonomi adalah antara isu yang sering dibincangkan oleh dunia Muslim dengan tujuan untuk meningkatkan industri pelancongan di kalangan negara-negara Muslim, mengembangkan destinasi pelancongan Islam baru serta menjalin kerjasama di antara Negara Islam. Konsep pelancongan budaya Islam merangkumi kemasukan ciri-ciri dan budaya Islam di dalam program pelancongan dengan melawati lebih banyak tempat-tempat warisan budaya Islam untuk dikunjungi oleh pelancong Muslim. Manakala, bagi konsep konservatif agama di dalam pelancongan Islam ianya masih belum dibincangkan secara teoritikal walaupun terdapat pelbagai pandangan serta

beberapa amalan pengurusan hotel yang sedang menjurus ke arah pelaksanaan pelancongan yang mengikut kehendak undang-undang Islam. Penggabungan unsur-unsur dan budaya Islam yang dianggap konservatif boleh digabungkan dengan industri pelancongan yang moden dengan penyesuaian pilihan pakej pelancongan baru, serta menyediakan persekitaran dan kemudahan yang mesra Muslim. Terdapat beberapa hotel di Malaysia yang mematuhi kehendak undang-undang Islam sebagai contoh, PNB Darby Park Suites, yang menyediakan perkhidmatan servis apartment dan hotel yang bercirikan Islam walaupun ianya terletak di tengah-tengah arus permodenan bandaraya Kuala Lumpur. Hotel ini berkonsep Islam di mana ianya menggunakan sistem kewangan Islam di dalam urusan pentadbiran, semua restoran dan makanan didalam bangunan tersebut memiliki sijil Halal yang diiktiraf oleh kerajaan, mengamalkan konsep samak di dapur apartment apabila pelancong bukan Islam tamat menyewa, menyediakan hiburan yang berbentuk kekeluargaan seperti bilik karoke yang khusus untuk keluarga, serta kemudahan-kemudahan lain yang tidak bertentangan dengan agama Islam (Suhaili, 2010). Jelaslah di sini Islam amat menggalakkan umatnya untuk melancong, namun mereka haruslah mengikuti batas-batas syariat yang telah ditetapkan dan memastikan tiada unsur-unsur maksiat semasa melakukan aktiviti pelancongan. Kewajipan mereka sebagai hamba Allah perlulah dilaksanakan walau di manapun berada dan di dalam agama Islam sendiri terdapat kelonggaran di dalam mengerjakan solat kepada umatnya yang sedang bermusafir. Soal makanan Halal juga menjadi isu penting yang perlu dititikberatkan terutamanya ketika melawat ke Negara yang majoritinya bukan Islam kecuali dalam pada situasi darurat yang tidak dapat dielakkan. Sebagai Muslim, kita perlulah bijak dalam mengenalpasti keHalalan sesuatu makanan serta berusaha mendapatkan makanan yang Halal dan Tayyiban walau di manapun kita berada.

PERMASALAHAN DALAM SEKTOR PERKHIDMATAN MAKANAN Kepentingan integriti Halal Kerajaan Malaysia memberi komitmen dan sokongan yang kuat untuk pembangunan industri Halal dengan kewujudan pelbagai institusi dan agensi yang membantu menjaga segala sudut integriti industri Halal seperti pengenalan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) bagi membantu memasarkan dan meningkatkan lagi keutuhan industri Halal di Malaysia, pengenalan standard Halal seperti MS 1500:2004 yang menjadi panduan kepada pengusaha industri makanan Halal, undangundang yang mengawal selia produk Halal serta inisiatif-inisiatif kerajaan lain seperti yang dibentangkan di dalam Ucapan Bajet 2010 (Najib, 2009). Namun demikian, masih banyak masalah-masalah berkaitan Halal terutamanya di dalam sektor perkhidmatan makanan (restoran) perlu di tangani dengan segera oleh semua pihak yang terlibat termasuk kerajaan, badan pengeluar sijil, pengusaha restoran dan juga pengguna. Melalui pemerhatian yang dijalankan, kebanyakan restoran terutamanya di kawasan tumpuan pelancong seperti kompleks membeli belah menggunakan logo Halal daripada syarikat swasta. Namun, kemampuan syarikat yang dikendalikan oleh orang persendirian ini di dalam memberi pentauliahan kepada majoriti restoran yang terdapat di kebanyakan premis makanan amat dipersoalkan. Disamping jaminan samada logo Halal tersebut menjaga integriti Halal pada keseluruhan rantai penyediaan makanan dan pengendali makanan bukan Muslim yang terdapat di premis makanan menimbulkan keraguan di kalangan pengguna. Permasalahan Halal dalam perkhidmatan restoran Isu Halal Haram merupakan isu yang amat sensitif dan sebagai umat Islam, memang wajib bagi kita mengetahui status makanan yang hendak dimakan. Laporan akhbar tentang penyelewenganpenyelewengan sijil Halal dan kewujudan produk makanan yang dicampur dengan bahan-bahan Haram amat menyentak perasaan umat Islam. Kesan daripada laporan-laporan tersebut, segelintir rakyat mula meragui kesahihan logo Halal yang dipamerkan pada produk samada logo Halal JAKIM atau JAIN ataupun logo Halal dari luar Negara yang telah diiktiraf oleh JAKIM. Ironinya, dengan

kepesatan pembangunan industri produk Halal, menambahkan lagi kerakusan pihak yang tidak bertanggungjawab dalam memanipulasi perkataan Halal dan mengaut keuntungan tanpa mengira sensitiviti masyarakat Islam. Pensijilan Halal semata-mata tidak memberi sebarang erti, tanpa pemantauan yang berterusan bagi memastikan piawaian Halal yang ditetapkan telah dipatuhi sepenuhnya oleh pemegang sijil Halal. Secara amnya, fungsi JAKIM sebagai pengeluar sijil Halal di Malaysia memerlukan mereka sentiasa menjalankan proses pemeriksaan dan pemantauan dari masa ke semasa ke atas premis dan produk makanan yang telah diberikan sijil Halal. Ini penting bagi memastikan tahap keyakinan masyarakat Islam sentiasa tinggi terhadap produk makanan Halal dan barangan gunaan yang mempunyai sijil Halal JAKIM. Namun demikian, sebagai sebuah institusi yang mengeluarkan sijil Halal ia juga patut diberikan kuasa yang lebih bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan dan seterusnya membuat pendakwaan. Pihak JAKIM juga tiada kuasa yang hakiki dari sudut undang-undang yang dapat membantu melancarkan kerja penguatkuasaan Halal ini tanpa bergantung kepada mana-mana agensi seperti KPDNKK. Kini pihak JAKIM sedang mengusahakan akta Halal yang akan memberi kuasa dan autoriti yang lebih jelas kepada pegawai JAKIM dalam isu Halal (Amri, 2009). Pengusaha restoran/premis makanan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang terdiri daripada orang Islam adalah tertakluk di bawah Akta 505 iaitu Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan dan Akta 559 iaitu Akta Kesalahan Jenayah Syariah atau mana-mana undang-undang syariah yang telah dikuatkuasakan. Akta 559 telah memperuntukkan bahawa tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada mana-mana orang Islam yang melakukan sebarang penyelewengan terhadap penyalahgunaan tanda Halal. Namun, bidangkuasa undang-undang ini terhad kepada orang Islam sahaja. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh pihak JAKIM pada tahun 2009, 75% daripada pemohon sijil Halal yang diluluskan merupakan bukan Islam dan ini menyukarkan tindakan undang-undang Islam dikenakan ke atas mereka.Sekiranya yang melakukan kesalahan itu adalah pemilik bukan Islam di mana mereka menggunakan pekerja Islam sebagai pengendali makanan yang kebanyakannya terdiri daripada pekerja bukan tempatan untuk menunjukkan premis mereka sesuai untuk dikunjungi oleh pengguna Muslim, bagaimana undang-undang ini dapat digunapakai perlu dibincangkan ataupun dikaji lebih mendalam lagi. Bagi maksud yang demikian, mereka secara tidak langsung sebenarnya tertakluk di bawah Perintah Perihal Dagangan 1975 (Penggunaan Perbahasan Halal) kerana menggunakan pekerja Muslim bukan tempatan untuk menunjukkan restoran mereka sesuai di kunjungi untuk pengguna Muslim (Khairuljannah, 2009). Berlainan dengan situasi di Singapura, di mana badan yang bertanggungjawab menyelaras sijil Halal merupakan badan agama Islam iaitu Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). MUIS telah ditubuhkan pada 1968 di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Orang Islam 1968 merupakan badan tunggal bagi pengeluaran sijil Halal di Singapura (Sekyen 88A) dan juga mempunyai kuasa seperti KDNKK untuk menyita, mengkompaun atau mendakwa mana-mana individu atau syarikat yang menyalahgunakan tanda Halal di Singapura (Sekyen 5) (Singapore Statutes Online, 2009). Antara isu lain yang timbul adalah kecenderungan pengambilan pekerja bukan tempatan di kalangan pengusaha restoran kerana ia dapat mengurangkan kos upah disamping mereka sanggup bekerja dengan kadar yang murah pada masa yang lebih panjang serta cekap melakukan tugas-tugas yang diberikan. Walaupun demikian, kurangnya pengetahuan konsep Halal di kalangan mereka dan sikap sambil lewa di kalangan pekerja mengenai penjagaan aspek Halalan tayyiban pada setiap peringkat penyediaan makanan menjadikan isu integriti Halal itu dapat dijamin ataupun tidak (Noraini, 2010). MS 1500:2004 ada menetapkan syarat sekurang-kurangnya terdapat dua orang pekerja Muslim tempatan berada sepanjang masa operasi restoran bagi menjamin makanan yang disediakan terjamin keHalalannya di mana mereka dapat memantau sekurang-kurangnya rakan-rakan mereka yang bukan Muslim di dalam mengendalikan makanan serta dapat membantu menjamin integriti Halal dapat dikekalkan sepanjang masa operasi restoran (Shamsiah, 2009). Namun terdapat tanda tanya samada jaminan integriti Halal itu dapat dikekalkan ataupun tidak kerana pegawai JAKIM hanya membuat pemeriksaan dan pemantauan sekurang-kurangnya dua kali setahun timbul berikutan senario peningkatan pengambilan pengendali makanan bukan tempatan seperti yang dapat dilihat di kebanyakan restoran-restoran di Malaysia.

Daripada tinjauan umum yang dibuat, di dapati kebanyakan pengusaha restoran terutamanya secara kecil-kecilan menghadapi masalah di dalam memenuhi salah satu keperluan minimum prosedur pensijilan Halal iaitu tanggungjawab pengurusan untuk untuk melantik eksekutif Halal atau menyediakaan personel yang bertanggungjawab di dalam memastikan keberkesanan sistem Halal. Bagi kebanyakan pengusaha Islam terutamanya di kalangan pemilik restoran Melayu, mereka merasakan logo Halal tidak perlu diadakan kerana mereka merasakan diri mereka sememangnya Islam dan sentiasa memastikan makanan tersebut Halal (Khalilah, 2010). Namun demikian, kurangnya kesedaran mereka dalam konsep Halal yang sebenar amat merisaukan segelintir pengguna Islam seperti adakah mereka benar-benar memastikan sumber ayam yang di ambil daripada pembekal di iringi oleh sijil Halal yang sah ataupun adakah mereka benar-benar memastikan setiap kandungan bahan terproses yang digunakan sebagai penambah perisa tidak bercampur aduk dengan bahan yang tidak Halal ataupun meragukan. Tambahan pula, kurangnya pengetahuan berkenaan terma-terma di dalam ramuan makanan yang mengandungi kod-kod yang mengelirukan pengusaha makanan ataupun kebersihan restoran yang menjadi komponen penting di dalam konsep Halal memerlukan mereka mendapat latihan atau khidmat nasihat daripada yang pakar. Isu penipuan logo Halal di kalangan pengusaha restoran dan juga masalah logo Halal yang pelbagai jenis variasi yang terdapat di premis-premis makanan terutamanya di restoran amat mengelirukan pengguna restoran.Meskipun penggunaan satu logo Halal dimulakan pada Januari 2008, sijil Halal masih dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Buat masa ini, JAIN menggunakan standard masing-masing untuk pengeluaran sijil Halal di negeri. Selain itu penggunaan logo Halal daripada syarikat swasta yang semakin mendapat tempat terutamanya di kalangan pengusaha premis makanan untuk menarik perhatian pelanggan selain logo tersebut mudah didapati. Walaupun terdapat tindakan pengharaman penggunaan logo tersebut oleh Jabatan Agama Islam Selangor, namun tidak terdapat undang-undang yang mewajibkan pengusaha menggunakan logo Halal JAKIM sahaja (Berita Harian, 2010).

KEPERLUAN MEWUJUDKAN DASAR YANG KHUSUS UNTUK RESTORAN Berikutan permasalahan yang timbul di dalam industri ini, terdapat beberapa cadangan yang dikenalpasti dapat membantu menyelesaikan isu ini dengan penglibatan semua pihak kerajaan, pihak pengusaha restoran, pihak pengeluar sijil, pihak penguatkuasa dan pengguna sendiri. Antaranya:

1. Setiap pengusaha restoran yang menyediakan makanan Muslim perlu menghantar pengendali
makanan mereka menjalani latihan kesedaran Halal sepertimana mereka perlu menghadiri latihan asas pengendali makanan sebelum boleh menyediakan makanan Halal kepada pengguna Muslim. Ini penting bagi meningkatkan pemahaman mereka terhadap konsep Halal di dalam penyediaan makanan dan meningkatkan kesedaran mereka tentang kepentingan menjaga integriti Halal pada setiap rantaian penyediaan makanan. Bagi menjimatkan masa dan wang kursus asas pengendali makanan perlu ditambahkan lagi modul dengan memperkenalkan konsep makanan Halal dan kepentingan menjaga integriti Halal. Pihak kerajaan juga boleh membantu pengusaha restoran kecil-kecilan dengan mengadakan latihan kesedaran Halal serta membantu menyediakan inisaitif kewangan kepada para pembekal yang membekal makanan Halal kepada restoran Halal.

2. Satu standard Malaysia yang khusus untuk premis makanan perlu dikeluarkan sebagai panduan
kepada para pengusaha restoran dalam menyediakan perkhidmatan makanan yang Halal. Panduan ini merangkumi setiap rantaian penyediaan makanan dan konsep Halal dapat disesuaikan di dalam industri perkhidmatan makanan yang mempunyai pelbagai jenis perkhidmatan ini seperti restoran, gerai, catering dan pelbagai lagi supaya dapat bersesuaian dengan kehendak semasa. Semua pihak daripada pelbagai bidang perkhidmatan, para penyelidik, pihak kerajaan, pihak pengeluar sijil serta penguatkuasa perlu bekerjasama di dalam membangunkan standard yang khusus untuk pengusaha restoran.

3. Penyeragaman penggunaan satu logo dan standard Halal di kalangan negeri-negeri perlu
dilaksanakan secepat mungkin. Ini bermakna hanya standard Halal Malaysia MS1500:2004 untuk produk makanan yang digunapakai semasa menjalankan proses pengeluaran sijil Halal. JAKIM sebagai badan induk yang mengeluarkan sijil Halal sambil dibantu oleh jabatan agama negeri masing-masing dalam proses pengeluaran sijil Halal. Ini bermaksud, pengusaha makanan akan memohon sijil Halal hanya daripada JAKIM sahaja dan JAIN akan membantu JAKIM dalam menjalankan pemeriksaan terhadap restoran tersebut bagi memastikan ianya mengikut garis panduan yang telah ditetapkan serta membantu dalam menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan di negeri masing-masing.

4. Pihak JAKIM dan JAIN diberi autoriti di dalam menjalankan penguatkuasaan dan seterusnya
menjalankan pendakwaan kepada pesalah yang menyalahgunakan logo Halal atau menipu pengguna. Sebagai badan pengeluar sijil dan juga badan agama kerajaan, JAKIM patut diberi kuasa sambil dibantu oleh JAIN bagi memastikan integriti Halal dapat dijaga. Apa yang berlaku sekarang, JAKIM hanya bertindak sebagai pengesah kesalahan ataupun saksi bagi kes-kes yang berbangkit sahaja dan tidak mempunyai kuasa untuk mewajibkan pengusaha-pengusaha restoran menggunakan logo Halal sebaliknya hanya boleh mengambil tindakan terhadap pihak yang memalsukan logo berkenaan. Bagi pengusaha yang tidak menggunakan logo Halal JAKIM, tiada kuasa yang autoriti menyebabkan JAKIM tidak boleh menjalankan pemeriksaan ke atas restoran tersebut melainkan terdapatnya aduan mengenai penipuan yang berlaku di restoran tersebut.

5. Keperluan untuk mewujudkan Akta Halal perlu dilaksanakan dengan segera bagi mengatasi isu-isu
yang timbul. Sekiranya usaha ini kelihatan susah untuk dilaksanakan, skop undang-undang sedia ada perlu diperluaskan atau dipinda. Sebagai contoh, pindaan ke atas Akta Perihal Dagangan 1972 yang mana Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan melantik pihak berkuasa yang kompeten untuk mengeluarkan sijil Halal dan dalam hal ini pihak berkenaan ialah JAKIM dan JAIN. Manakala Akta 559 iaitu Akta Kesalahan Jenayah Syariah juga boleh diperluaskan skop undang-undang tersebut di mana syarikat yang melakukan kesalahan turut sama di hukum sepertimana undang-undang penyalahgunaan logo Halal di Singapura.

KESIMPULAN Memandangkan usaha untuk mewujudkan Akta Halal kelihatannya mengambil jangka masa yang lama, maka kewujudan dasar-dasar baharu yang dapat mambantu industri makanana Halal dirasakan amat perlu sebagai panduan kepada pengusaha-pengusaha. Walaupun terdapat standard yang komprehensif yang dapat dijadikan panduan, namun tiada lagi panduan yang khusus terutamanya kepada pengusaha-pengusaha restoran di dalam menjalankan perniagaan makanan yang Halal. Cadangan untuk mewujudkan dasar yang khusus untuk pengusaha restoran amat diperlukan kerana kurangnya pengetahuan dan kesedaran mereka dalam penyediaan makanan Halal yang benar-benar mengikuti syarak. Isu-isu dan permasalahan yang timbul mengenai penyediaan makanan Halal di kalangan pengusaha restoran perlu dikaji dan dan perbincangan di kalangan pakar-pakar samada dalam bidang perkhidmatan makanan, syariah, auditor, penyelidik serta penglibatan pengusaha daripada industri perkhidmatan makanan perlu dijalankan bagi mengetahui permsalahan mereka dan seterusnya membantu menyediakan standard yang dapat digunapakai sebagai panduan kepada industri perkhidmatan makanan khususnya. Maka tidak timbul lagi tunding jari antara satu sama lain atau menyalahkan satu pihak sahaja sekiranya berlaku isu-isu penyalahgunaan logo Halal. Rujukan Al-Harmaneh, A., & Steiner, C. (2004). Islamic Tourism: Rethinking the Strategies of Tourism Development in the Arab World after Spetember 11, 2001. Comparative Studies of the South East, 24(1), 173-182. Berita Harian (6 Mac 2010). MAIS Haramkan Logo Halal Swasta. Berita Harian Online. Di akses pada 26 Mei 2010 daripada http://berita-harian-online.com/mais-haramkan-logo-Halal-swasta/

Farah Karudin (2009). Overview of the Global Halal Market and its Oppurtunities. Pembentangan kertas kerja di 2nd Global Islamic Tourism Conference & Exhibition, Selangor, Malaysia. Food and Agriculture Organization (FAO) (1985). Codex General Guidelines for Use of the Term Halal CAC/GL 24-1997 Henderson, J. C. (2003). Managing Tourism and Islam in Peninsula Malaysia. Tourism Management, 24(4), 447-456 Jabatan Standard Malaysia (DSM) (2005). Sistem Pengurusan Kualiti Keperluan dari Perspektif Islam (MS 1900:2005) Jabatan Standard Malaysia (DSM) (2009). Makanan Halal: Pengeluaran, Penyediaan, Pengendalian dan Penyimpanan Garis Panduan Umum (Second Revision) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) 1975. Akta Perihal Dagangan 1972. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) 1976. Akta Cap Dagangan 1976. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) 1999. Akta Perlindungan Pengguna 1999. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 1985. Akta Makanan 1983 (Akta 281) dan Peraturan Makanan 1985 Kessler, C. S. (1992). Pilgrims progress: The travelers of Islam. Annals of Tourism Research, 19, 147153. Mariam Abd Latif (2004). Requirement for the Development of Halal Food Quality Management System in Malaysia. Thesis sarjana di Universiti Putra Malaysia. Najib Abd Razak (2009). Ucapan Bajet 2010. Di akses pada 21 Mei 2010 daripada http://www.lawnet.com.my/lawnetpublic/2010Bajet.pdf Norhazarina Hashim, Jamie Murphy & Nazlida Muhammad (2006). Tourism and Islam: Understanding and Embracing the Oppurtunity. Ehlite Magazine, 14 (September): 11-13 diakses pada 17 September 2009 daripada http://web.biz.uwa.edu.au/staff/jmurphy/ Touirsm_and_Islam.pdf Portal Rasmi Halal Malaysia (2010). Prosedur Pensijilan. Diakses pada 20 Mei 2010 daripada http://www.Halal.gov.my/v2/index.php?ty=content_view&id=PRO20100117095406&type=PRO Singapore Statutes Online (2009). Administrative Muslim Law, Cap No.3. Di akses pada 17 Ogos 2009 daripada http://statutes.agc.gov.sg/ Suhaili Muhammad (2010). Temubual Peribadi, 31 Mei 2010. Shariah Eksekutif, Hotel PNB Darby Park Kuala Lumpur Talal Malik (2008). Islamic Travel Sector 10% of World Tourism Market. Travel Survey 2008. Di akses pada 26 Mei 2010 daripada http://www.arabianbusiness.com/research/travel-surveyreport/feature/517854 Temubual Peribadi, pada 1 Julai 2009 di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. Khairuljannah Abdullah merupakan KPP Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Temubual Peribadi, pada 15 Julai 2009 di Halal Hub JAKIM, Cyberjaya. Amri Yahya merupakan Eksekutif Senior, Pemantauan & Penguatkuasaan, Integriti Halal, Halal Industry Development Corporation. Temubual Peribadi, pada 29 September 2009 di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri. Ismail Hamzah merupakan Penolong Pengarah, Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Temubual Peribadi, pada 23 Oktober 2009 di Halal Hub JAKIM Cyberjaya. Shamsiah Aziz merupakan Penolong Pengarah di Bahagian Hub Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Temubual Peribadi, pada 28 April 2010 di restoran Belanga, Shah Alam. Khalilah Abu Hassan merupakan pengusaha restoran Belanga, Shah Alam Selangor. Temubual Peribadi, pada 25 Mei 2010 di Restoran TCRS, Dataran Prima, Selangor. Noraini Idris merupakan Halal Eksekutif, TCRS Restaurant Sdn Bhd Tourism Malaysia (2008). Malaysia Profile of Tourists by Selected Markets 2008. Tourism Malaysia Tourism Malaysia (2008). Malaysia Tourism Key Performance Indicators 2008. Research & Planning Division, Tourism Malaysia. Undang-Undang Malaysia (1997). Akta 559. Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 World Tourism Market WTM (2007). WTM Global Trend Report 2007. Diakses pada 26 Mei 2010 daripada www.euromonitor.com/PDF/wtm_report_2007.pdf

World Tourism Organization UNWTO (2010). UNWTO World Tourism Barometer Interim Update, April 2010. World Tourism Organization. Di akses pada 26 Mei 2010 daripada http://www.unwto.org/facts/eng/barometer.htm Yaakob Che Man, Jamil Bojei, Ahmad Nizam Abdullah, &, Mariam Abd Latif (2007). Halal Food in 50 Years of Malaysian Agricultural: Transformational Issues, Challenges and Direction, p196198 Yaakob Che Man & Dzulkifly Mat Hashim. (2008). Syariah Principles and Requirement Pertaining to Halal. Course of Halal Profesional Program in HDC Halal Modul Training. Zalina Zakaria (2004). Keberkesanan Undang-undang Makanan dan Produk Halal di Malaysia. Jurnal Syariah, 12:2, 95-106 Zin Mahmud (2005). Apabila Halal Dijadikan Label. Al Islam, Februari 2005, p61-63

You might also like