You are on page 1of 25

PENGENALAN

Ubatan tumbuh-tumbuhan

Masyarakat melayu di negara ini telah lama meyakini perubatan dan rawatan tradisional. Ini
dapat di buktikan dengan banyaknya produk-produk ubatan tradisional Melayu dipasarkan serta mendapat
sambutan meluas di seluruh negara. Mereka percaya bahawa perubatan dan rawatan tradisonal Melayu
merupakan kaedah paling selamat dan tidak memberi kesan sampingan terhadap tubuh badan manusia.
Perubatan dan rawatan tradisional Melayu banyak menggunakan bahan-bahan yang berasal daripada
tumbuh-tumbuhan yang boleh di perolehi di sekeliling tempat kediaman dan hutan belantara atau di
kawasan pendalaman. Satu lagi faktor perubatan dan rawatan tradisional Melayu mendapat tempat di
kalangan masyarakat ialah kerana ianya lebih murah berbanding dengan rawatan dan perubatan lain.

Dianggarkan pada masa ini lebih daripada 13,000 jenis tumbuh-tumbuhan berpotensi untuk
dijadikan sebagai ubatan bagi menyembuhkan berbagai penyakit. Kebanyakkan tumbuh-tumbuhan ini
terdapat di kawasan tropika seperti Malaysia. Menurut kajian Universiti Sains Malaysia, terdapat lebih
daripada 2000 hingga 3000 spesies tumbuh-tumbuhan ubatan di Malaysia telah digunakan bagi tujuan
perubatan moden dan tradisional. Ini menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang terkenal di
dunia yang kaya dengan tumbuhan semulajadinya dan dikaitkan dengan nilai perubatan.

Upacara perbomohan

Pada prinsipnya, amalan perbomohan menurut perspektif Islam mestilah didasari dengan sumber-
sumber yang pasti sama ada dari al-Quran dan al-Sunnah serta sumber-sumber perundangan yang diiktiraf
oleh Islam. Sekiranya berlaku kontradiksi dengan prinsip akidah Islam maka amalan tersebut dianggap
terkeluar dari landasan Islam. Sebagai contoh dalam amalan mantera dan jampi serapah, kandungan isi
mantera perlu jelas dan terang dan perkataan yang digunakan tidak mengandungi konotasi atau elemen
yang mempersekutukan kekuasaan Allah.

Penggunaan perkataan roh, penunggu atau makluk lain dengan tujuan bersahabat atau meminta
bantuan tidak dibenarkan dalam amalan perubatan. Rawatan yang menggunakan bantuan makluk seperti
jin atau umumnya dikenali sebagai syaitan bertentangan dengan prinsip akidah Islam. Justeru itu, bantuan
dan harapan hanyalah bersandarkan kepada Allah di samping usaha-usaha yang dilakukan.
SISTEM PERUBATAN TRADISIONAL

Sejak beberapa abad yang lampau perubatan dan rawatan tradisional Melayu telah menjadi suatu
tradisi dan merupakan cabang ilmu perubatan. Ia sering di kaitkan dengan zaman
kegemilangannya. Bomoh dan Tok Dukun telah menjadi pilihan masyarakat melayu pada masa itu untuk
mendapatkan rawatan. Masyarakat mengiktiraf mereka kerana mempunyai kemahiran untuk mengubati
penyakit yang berkaitan dengan jasmani (fizikal) dan rohani (dalaman). Bomoh dan Tok Dukun telah
digunakan secara meluas oleh segenap lapisan masyarakat dan menjadi orang terpenting bagi mengubati
penyakit. Masyarakat amat percaya dan mempunyai keyakinan dengan amalan perubatan dan
rawatan Bomoh dan Tok Dukun.

Pengamal perubatan tradisional Melayu (Bomoh dan Tok Dukun) banyak bergantung kepada
pengetahuan dan ingatan yang di warisi dari gurunya secara turun-temurun. Ada juga yang dikatakan
mendapat ilmu tentang perubatan dan rawatan melalui mimpi atau ilham dengan cara-cara yang tertentu.
Walau bagaimanapun perubatan dan rawatan jenis ini memerlukan mereka mengenalpasti hakikat sebenar
penyakit yang terkandung di dalam diri pesakit berkenaan. Rawatannya adalah bagi membersihkan si
pesakit daripada unsur-unsur penyakit sehinggalah sembuh. Dengan itu bahan-bahan semulajadi ciptaan
tuhan digunakan bagi mengubati penyakit si pesakit. Antaranya yang paling kerap digunakan adalah
daripada jenis tumbuh-tumbuhan dan herba.

Pernah pada suatu ketika perubatan dan rawatan tradisional Melayu menjadi tidak popular di
kalangan masyarakat Melayu. Ini disebabkan penemuan kaedah-kaedah perubatan dan rawatan yang lebih
moden dan saintifik. Kaedah perubatan dan rawatan seperti ini lebih di percayai oleh kalangan golongan
bangsawan dan para cendiakawan. Perubatan dan rawatan tradisional Melayu terpaksa bersaing dengan
amalan perubatan dan rawatan baru ini. Pada masa yang sama kaedah perubatan dan rawatan
sepertialopati, homeopati, naturopati, oesteopati dan sebagainya telah mulai berkembang dan bercambah.
Pada zaman penjajahan amalan perubatan dan rawatan alopati sangat popular sehinggakan amalan
perubatan dan rawatan tradisional Melayu di lupai. Masyarakat lebih mempercayai perubatan dan rawatan
moden yang di bawa oleh penjajah kerana kajian yang dijalankan terhadap sesuatu penyakit adalah lebih
saintifik dan lengkap.. Namun sejak akhir-akhir ini, perubatan dan rawatan tradsional Melayu mulai
mendapat tempat di hati masyarakat di negara kita. Masyarakat lebih menggemari perubatan dan rawatan
tradisonal Melayu yang tidak menggunakan bahan-bahan kimia dan beracun. Mereka lebih menyenangi
perubatan dan rawatan tradisional Melayu yang menggunakan sumber semulajadi terutama sekali
daripada tumbuh-tumbuhan.
FALSAFAH PERUBATAN DAN RAWATAN TRADISIONAL

Dalam perubatan tradisional Melayu falsafah asas yang di gunakan ialah penjagaan kesihatan itu
lebih baik daripada rawatan penyakit. Ini adalah selari dengan konsep perubatan dan rawatan Islam. Oleh
itu setiap manusia di galakkan mempunyai sedikit pengetahuan tentang cara mengamalkan kesihatan diri
samada daripada bentuk fizikal atau mental. Bagi mengekalkan kesihatan yang baik, seseorang itu di
galakkan melakukan senaman di awal pagi. Ini amat penting bagi menggerakkan sebahagian daripada
anggota badan selepas bangun daripada tidur.

Selain daripada itu penjagaan kesihatan dalam perubatan tradisional Melayu ialah melalui
amalan petua. Petua terdiri daripada dua aspek iaitu amalan suruhan dantegahan. Amalan suruhan banyak
berhubung dengan pemakanan dari segi jenis, kuantiti dan juga dari segi khasiat yang terdapat pada
tumbuhan. Petua-petua dari segi pemakanan dan kesihatan bertujuan untuk mendapatkan keseimbangan
serta mengelakkan daripada serangan penyakit dan keuzuran. Sementara amalan tegahan ialah
menghalang si pesakit daripada memakan makanan tertentu semasa ‘rawatan’ yang dikenali
sebagai berpantang. Ia bertujuan untuk memelihara agar kesihatan manusia dalam keadaan baik secara
berterusan atau bagi mempercepatkan penyembuhan penyakit.

Kebanyakkan pengamal perubatan tradisional Melayu mengkategorikan punca penyakit kepada


yang bersangkutan dengan darah dan angin. Darah dan angin merupakan dua elemen utama dalam tubuh
seseorang. Kedua-dua elemen berkenaan terdapat di dalam makanan seharian. Jika kedua-duanya berada
di dalam keadaan baik, maka baiklah kesihatan individu berkenaan.

Darah adalah eleman utama yang mengandungi khasiat makanan untuk pertumbuhan dan
kesihatan fizikal. Darah perlu ‘panas’ tetapi tidak boleh berlebihan. Panas di dapati daripada unsur ‘api’.
Jika ‘api’ seseorang itu boleh lumpuh atau mendapat barah. Angin juga berada di dalam badan dan
disalurkan melalui urat. Namun terlalu banyak angin akan menyekatkan perjalanan darah dan ini akan
menganggu kesihatan. Sehubungan dengan itu kaedah pengurutan juga di lakukan bagi menolak ‘angin’
dan merangsang perjalanan darah dan urat. Pengurutan biasanya di lakukan di bahagian-bahagian badan
yang terlibat dengan kerja-kerja berat, seperti tangan, kaki dan belakang tubuh. Mengurut di lakukan
dengan menggunakan minyak urut atau minyak angin yang di perbuat daripada minyak kelapa dan
beberapa jenis tumbuhan yang diketahui mempunyai khasiat ‘panas’. Tumpuan utama dalam amalan
pengurutan dilakukan terhadap perempuan lepas bersalin. Di samping itu mereka juga digalakkan
mengambil ramuan tumbuhan untuk dimakan dan disapu pada badan. Ramuan ini dimakan dan berfungsi
untuk mengeluarkan angin daripada urat.
TUMBUHAN DAN PENYAKIT

Dalam perubatan dan rawatan tradisional Melayu, penggunaan tumbuhan adalah amat meluas. Ia
digunakan apabila penyakit di kenalpasti mengikut nama sifat dan zatnya. Kebanyakkan pengamal
perubatan dan rawatan tradisional Melayu berpendapat khasiat perubatan terletak terutama pada
akarnya. Bagi tumbuhan yang berubi terletak pada ubinya. Mereka meletakkan zat tumbuhan kepada tiga
iaitu, Zat Besi, Zat Kawi dan Zat Kapur. Zat Besi ialah untuk menguatkan darah. Zat Kapur untuk
menyejukkan badan dan Zat Kawi untuk menstabilkan perjalanan fungsi tubuh.

Di antara tumbuh-tumbuhan yang mempunyai khasiat dan kesan ubatan ialah Daun sireh (Piper
betel), Serai wangi (Cymbopogun nardus), Cekur (Kaempferia galanga), pokok pinang (Areca catechu),
kunyit (Curcuma domestica), mengkudu (Morinda citrifolia), lobak putih (Raphanus sativus), halia
(Zingiber officinale), daun tutup bumi (Elephantopus scaber).

Daun penutup bumi


a. Sireh – Piper betel

Sireh (Piper betel) sampai ke Nusantara Melayu dari negara asalnya iaitu India dan Sri Lanka oleh
pedagang-pedagang India. Terdapat 5 jenis sireh yang biasa digunakan di dalam perubatan dan rawatan
tradisional. Di antaranya ialah sireh Melayu (kampung), sireh China (lada), Sireh India (keling), sireh
Hutan (hitam), sireh Hantu (ubat). Namun dalam kajian perubatan moden, memakan sireh boleh
menyebabkan penyakit kanser mulut, hidung dan perut. Ini menjadikan amalan memakan sireh semakin
di tinggalkan oleh masyarakat India dan Melayu. Tafsiran ini di sandarkan kepada tabiat orang India yang
memakan sireh tanpa mengikut peraturan dan rumusan asal serta memakan terlalu banyak dalam seharian.
Jika keadaan ini tidak diperbetulkan maka ia amat merugikan kerana menghilangkan rahsia dan fungsi
sebenar daun sireh. Kajian dan penerangan perlu dilakukan bagi menggalakkan masyarakat memakan
sireh dengan tatacara yang betul. Ini kerana resipi sireh mempunyai khasiat seperti:-

• Memecahkan angin berkumpul dalam sistem dan melegakan keadaan perut dan melepaskan angin
• mulut (sendawa) dan dubur (kentut).
• Merangsangkan sistem ke arah kstabilan (hormon).
• Pembersih darah dan angin kotor.
• Mengubati penyakit buasir, bisul, hidung berdarah, sakit gigi.
• Pencegahan hamil.
• Sebagai solekan - penjagaan kulit dan rambut.
• Mengubati sakit kepala, migrane, darah tinggi dan penyakit yang boleh menyebabkan penyakit
kepala.
• Merawat bengkak zakar.
• Merawat bengkak payudara.
• Mengurangi pengeluaran susu ibu.
• Merawat penyakit panau, keputihan, gatal ditempat sulit.
• Penyakit kulit, otot, sendi dan kayap.
• Mengubati haid yang tidak teratur.
• Perangsang urat saraf, penyegar otot dan sendi-sendi.
• Mencegah lendir-lendir dalam sistem badan dan melancarkan peredaran darah.
• Boleh menghilangkan bau nafas yang busuk melalui mulut.

b. Serai atau lemongrass (Graminae)

Serai (Cymbopogon sp.) boleh di kelaskan sebagai sejenis rumput berumpun besar dan berakar besar.
Keistimewaan serai adalah kerana semua bahagiannya seperti daun, batang, akar,
minyak dan bunga berpotensi untuk dijadikan sebagai ubatan Terdapat dua jenis serai yang biasa
digunakan oleh pengamal perubatan dan rawatan tradisional untuk dijadikan ubatan iaitu serai biasa
(Cymbopogon citratus) dan serai wangi (Cymbopogon nardus).
Daun Serai mempunyai banyak kegunaan. Di antaranya ialah:-

• Mencuci hanyir pada daging itik dan kambing.


• Daun serai yang dibalut dengan besi atau batu panas digunakan untuk tuaman dan bertungku
pada kawasan urat saraf yang lemah, penyakit bisa otot-otot, sendi, mengecutkan rahim yang
bengkak, memecahkan lendir, darah dan angin.
• Daun serai dan jintan hitam digiling untuk di jadikan ‘paste’ bagi ditampal di dahi untuk
melegakan sakit kepala seperti angin meriam dalam pantang bersalin. Campuran pada rempah
ratus untuk di jadikan ‘paste’ bagi merawat bengkak-bengkak sendi dan otot.
• Air rebusan daun serai digunakan bagi mandian ibu dalam pantang selepas bersalin dan untuk
penyakit lemah otot dan sendi.

Batang dan akar pokok serai digunakan untuk:-

• Membantu mengubati masalah sakit perut dan memecahkan gumpalan angin serta melepaskan
angin melalui dubur (kentut) dan mulut (sendawa).
• Dapat membantu mengimbangkan kestabilan hormon.
• Sebagai makan harian berlauk, menambahkan aroma hidangan serta membantu meringankan
keadaan keracunan pemakanan.
• Campuran dengan rempah ratus mempunyai khasiat bagi merawat kesihatan sistem dalaman
badan.
• Membantu melawaskan dan melancarkan pembuangan air kecil.

Minyak Serai digunakan dalam pembuatan:-

• Kosmetik.
• Minyak angin berubat.
• Pencegah nyamuk dan gigitan bisa.
• wangi, syampu dan losyen.

Bunga Serai sering di gunakan bagi:-

• Pencegahan kehamilan manusia dan binatang.


• Penyegar dan pelembab kulit (awet muda).
• Kesihatan dan kesegaran rahim.

c. Rempah Ratus

Tumbuhan yang dikenali dengan nama rempah ratus banyak digunakan untuk penjagaan kesihatan.
Kegunaannya bergantung pada sifat setiap jenis tumbuhan berkenaan. Sebagai contohnya, lada merah,
halia (Zingiber offinale), jintan putih, jintan hitam, biji sawi dan kayu manis yang mempunyai sifat panas
(hangat) dan kering. Dengan sifat-sifat yang di ketahui pada tumbuhan berkenaan, ia digunakan bagi
bertujuan memecah angin, menghilangkan sejuk, menghancurkan lendir dan menyembuhkan selsema
dalam perubatan dan rawatan tradisional Melayu. Sementara ketumbar, manjakani dan pinang yang sejuk
kering sifatnya telah digunakan bagi menyembuhkan penyakit hangat, melancarkan perjalanan darah haid
dan mengukuhkan gigi.
CONTOH PENYAKIT DAN UBAT

Resdung

Penyakit ini merupakan sejenis penyakit hidung yang mempunyai pelbagai simpton bergantung kepada
individu-individu berkenaan. Ada yang mengalami kesesakan bernafas dan ada juga yang sentiasa bersin
terutamanya di waktu pagi. Cara merawatnya adalah ambil enam helai daun limau purut dan enam helai
daun limau nipis. Tumbuk daun ini bersama-sama dan dibakar pada nyalaan api untuk menghasilkan asap
dan baunya. Asap yang terhasi disedutkan melalui hidung dengan menarik nafas yang panjang dan
dihembuskan nafas keluar melalui mulut.

Sakit gigi

Rawatan: Ambil tempurung kelapa , dibakar dan kemudianya ditelangkupkan sebuah bekas plastik atau
kaca ke atasnya. Tujuannya adalah untuk menghasilkan wapnya atau abu minyak pada bekas tersebut.
Calitkan wap tersebut dengan kapas yang kecil dan letakkan kapas tersebut digigi yang sakit.

Senggugut

Bahan: Lima helai daun ati-ati , 3 cm ubi bemban ,satu camca kecil abu dan satu gelas air. Daun ati-ati
dan ubi bemban ditumbuk dan dicampurkan dengan abu. Dan kemudiannya dimasukkan dalam satu bekas
berisi air. Separuh dari larutan tadi diminum ketika sakit dan sebahagian yang lebih itu kira-kira lima jam
kemudiannya.

Sembelit

Ramuan: 2 biji nenas masak. Nenas yang telah dibasuh ,diparut dan perahkan airnya. Simpan dalam bekas
di dalam peti ais. Airnya diminum sebanyak satu cawan dua kali sehari.

Kurap

Rawatan: 11 – 13 helai daun ketapang, 1 camca kecil kapur sirih. Tumbukkan dan lenyekkan daun
ketapang bersama-sama dengan kapur sehingga lumat. Sapukan ubat tadi pada tempat yang dijangkiti
iaitu 2 – 3 kali sehari bergantung kepada besarnya kawasan jangkitan dan biarkan ia kering sendiri.
Kurang nafsu makan

Bahan: 3 cm bahagian ubi lempuyung , 3 cm bahagian ubi cekur, 3 cm bahagian ubi temu kuning.
Tumbukkkan keseluruhan ramuan hingga lumat dan perahkan airnya ke dalam satu bekas. Minum air
hasil tumbukkan pada setiap pagi.

Penyakit angin

Orang yang menghidapi penyakit angin dan sering merasa sejuk perlu minuman campuran berikut tiap-
tiap hari. Campuran tersebut ialah cengkih dan lada putih atau lada hitam . Bahan – bahan tersebut yang
sama jumlah hendaklah digoreng hingga garing dan kemudiannya ditumbuk hingga halus. Campuran
tersebut hendakalah diayak terlebih dahulu . Campuran yang masih kasar digoreng lagi hingga garing
kemudian ditumbuk semula seperti proses yang terdahulu hingga kesemuanya sempurna menjadi serbuk
yang halus. Sebuk tersebut kemudian dicampur dengan setengah cawan air suam diminum tiap-tiap pagi
atau malam sebelum atau selepas makan. Ubat ini berguna untuk memecahkan angin yang ada di dalam
badan dan memanaskan badan yang sejuk.

Barah

Barah yang baru menyerang mungkin dapat diubati dengan mengambil sehelai daun sirih yang disapu
dengan sedikit kapur sirih. Daun sirih itu dijampi terlebih dahulu sebelum disapukan pada bahagian yang
ditumbuhi barah. Jampi ubat barah adalah seperti berikut:

Bis’mi’llahi r-rahami,r-rahim, kayu aras, darah babi, pecah darah, pacah bisul. Banyak susu basi yang
jadi berkat La ilaha I lla llah Muhammadu ‘r- rasulu llah.

Daun sirih yang telah dijampi itu hendaklah disapukan pada barah di waktu matahari terbenan hampir
terbenam (senja). Pengubatan ini dilakukan selama 3 hari berturut-turut.

Bisul

Bahan untuk mengubati bisul adalah sama seperti pengubatan barah tetapi jampi yang digunakan adalah
seperti berikut:

Bis’m’llahi r-rahami, r-rahim, kerasak kerisik rat gigitir, daging jangan masak, urat jangan tagincit, berkat
akan menjampi ubat tawan bisul, berkat La ilaha I lla llah Muhammadu ‘r-rasulu llah.
Sirih tadi disapukan disekeliling bisul. Bahagian mata bisul ditinggalkan tanpa disapu. Lakukkan tiap-tiap
hari sehingga bisul pecah dengan sendirinya.

Batuk berdarah

Pokok cili api sangat berguna dalam perubatan tradisional Melayu. Pokok cili api yang telah mati dan
kering perlu disimpan untuk digunakkan sebagai ubat. Seseorang yang menderita batuk berdarah boleh
diubati dengan menggunakan akan cili api yang telah kering. Akar cili api tidak kira berapa banyaknya
direndam dalam air sejuk selama semalam. Air rendaman itu diminum tiap-tiap pagi dan malam sehingga
penyakit itu benar-benar sembuh.

Ubat bau badan dan darah kotor

Bau badan yang tidak sedap dapat diatasi dengan membiasakan diri memakan daun selasih sebagai ulam.
Bagi ibu-ibu yang baru melahirkan anak ulam ini dapat melancarkan atau menyegerakan keluarnya darah
kotor.

Mudah bersalin

Ubat yang akan diterangkan dibawah ini dapat digunakan untuk mmpercepatkan proses bersalin atau
sekiranya ibu belum sampai lagi masanya untuk bersalin maka ubat ini akan menyembuhkan segera
kesakitan yang dialami oleh ibu-ibu. Bahan-bahan yang diperlukan ialah 10 biji lada putih , sebiji garam
jantan, 3 – 4 inci halia dan 2 sudu besar gula merah. Halia tersebut hendaklah ditumbuk atau diparut
terlebih dahulu. Air perahannya dimendapkan terlebih dahulu kemudian di bubuh didalam gelas lain dan
dicampur dengan bahan-bahan selebihnya. Air perahan ini mestilah sekurang-kurangnya suku cawan atau
seruas jari manis. Sekiranya air halia itu masih kurang dari suku, maka halia perlu ditumbuk lagi untuk
mendapatkan jumlah yang diperlukan itu. Ubat ini diminum apabila ibu-ibu mengalami kesakitan yang
agak teruk.

Darah tinggi

Darah tinggi merupakan penyakit yang merbahaya. Penyakit ini sukar diubati oleh perubatan moden.
Pesakit sering kali mengubati penyakit darah tinggi dengan menggunkan perubatan tradisional. Di
samping berpantang mereka juga makan ubat-ubat yang pahit. Di antara tanda-tanda seseorang itu
mengidap sakit darah tinggi ialah pening kepala yang berpanjangan, sering pitam dan bahagian-bahgian
badan terasa sakit dan lemah. Sebelum istilah darah tinggi ini diketahui masyarakat Melayu mengenalinya
sebagai penyakit lemah. Pesakit biasanya dilarang makan makanan yang terlalu masin, berlemak dan
daging kambing. Salah satu cara untuk mengubati adalah dengan minum rebusan rumput ambin atau
kelek anak. Sukatan yang digunakan untuk sekali minum ialah secekak jari manis rumput ambin, buah
direbus dengan 3 cawan air. Rumput ini direbus sehingga airnya tinggal kira-kira secawan. Air rebusan ini
diminum tiap-tiap pagi dan malam.

Demam panas

Sakit demam panas dapat diubati dengan menggunakan beberapa jenis bahan iaitu beberpa helai daun
tapak itik atau daun sedingin , daun bunga raya, sebiji bawang merah tunggal dan sebiji garam jantan.
Bahan-bahan ini kemudian diramas didalam air. Air ramuan ini dijaram atau disapukan di kepada pesakit.
Cara ini dilakukan beberapa kali sehingga pesakit tersebut merasa lega atau suhu badannya menurun.

Demam selsema

Caranya adalah dengan memconteng sedikit kunyit bersama sedikit kapur sirih. Kunyit ini diconteng
seperti tanda ( + ) ini didahi, tapak kaki , tapak tangan dan dada. Selepas itu kunyit yang digunakan terus
dibuang. Ubat ini bertujuan untuk menurunkan sesak nafas dan mengelakkan hidungnya tersumbat. Selain
dari itu orang-orang tua, percaya kanak-kanak yang mendapat selsema kerana gangguan dari syaitan atau
makhluk halus. Oleh itu syaitan akan menjauhkan diri dari kanak-kanak tersebut apabila kunyit disapukan
pada bahagian tertentu badan.

Sakit kencing, gatal-gatal dan keputihan

Sakit kencing ialah sakit yang dialami oleh seseorang semasa membuang air kecil. Penyakit ini boleh
dialami oleh sesiapa sahaja . Penyakit gatal-gatal dan keputihan pula adalah penyakit yang sering terjadi
kepada wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum. Keputihan juga sering kali disebut sebagai
darah putih. Keputihan ialah lendir-lendir berwarna putih yang keluar dari rahim. Pesakit yang
mengalaminya akan berkeadaan letih dan kurang bertenaga. Penyakit ini bertambah banyak apabila
seseorang itu berada dalam runsing atau sedang menghadapi sesuatu maslah. Penyakit ini amat
merbahaya sekiranya dibiarkan berlarutan. Penyakit ini dapat diubati dengan cara mengambil 7 helai daun
sirih kerakap , 3 pucuk daun selasih dan seketul ibu kunyit . Bahan –bahan ini ditumbuk dan diperah
airnya . Kunyit boleh ditambah lagi sekiranya air perahan belum cukup seruas jari manis. Perahan ini
dicampur dengan sebiji garam jantan dan dimendapkan terlebih dahulu sebelum diminum tiap-tiap pagi
dan malam. Di buat 3 hari berturut-turut .Sebelum minum pesakit perlu baca surah al Fatihah dan selawat
3 kali. Pesakit dilarang makan makanan yang terlalu berminyak dan gatat seperti udang, ikan kembung
dan lain-lain serta makan makanan sejuk seperti betik dan labu.

Gatal kulit

Cara ubi bemban belanda atau bemban sualih. Ubi ini diparut mengikut keperluan penyakit kulit dan
kemudian disapukan kebahagian-bahagian kulit yang berpenyakit. Pokok ini juga boleh digunakan untuk
merawat jerawat, membersihkan dan melicinkan kulit muka.

Gastrik

Gastrik peringkat awal : Caranya minum susu kambing dan mengamalkan minum madu sebanyak sesudu
sehari sama ada di waktu pagi atau malam. Selain daripada itu pesakit disuruh makan sekepal nasi sejuk
yang telah digaul dengan gula pada tiap-tiap pagi sebelum bersarapan.

Kencing manis

Penyakit ini merupakan suatu penyakit yang sangat sukar diubati oleh perubatan moden. Pesakit sering
menemui maut akibat luka atau kudis yang tidak boleh sembuh. Bahagian –bahagian tertentu di badan
kerap kali dipotong kerana luka yang tidak boleh sembuh. Pesakit dilarang makan makanan yang manis
atau terlalu berkanji seperti nasi atau roti. Pesakit digalakkan makan makanan yang pahit seperti peria,
jering, petai, pucuk pegaga dan lain-lain. Selain dari itu pesakit juga dilarang makan makanan yang
berawet seperti sardin, buah-buahan dalam tin dan sebagainya. Ibu-ibu mengandung yang mengidap
penyakit ini kerap kali mengalami keguguran. Kelahiran bayi pula berlaku ketika kandungan baru
mencapai 7 bulan. Cara pengubatan adalah dengan menggunakan pokok periuk kera. Caranya ialah
dengan merebus seluruh pokok periuk kera ini ikut sukatan yang berikut: Sepokok periuk kera ini
digunakan untuk mendapatkan secawan air rebusan. Caranya ialah dengan rebus pokok periuk kera
dengan 3 kali ganda air dari jumlah yang diperlukan. Air rebusan ini boleh diminum bila-bila masa seperti
minum air teh atau kopi.

Luka

Caranya : Rumput sialah dicampur dengan sedikit kapur sirih. Ubat ini dijampi terlebih dahulu sebelum
digunakan.
Mengeluarkan darah kotor selepas bersalin

Pokok mangkukkan. Air rendaman pokok mangkukkan ini digunakan untuk mengeluarkan darah kotor
yang disebut sebagai ‘lungsur’. Caranya ialah dengan mengambil beberapa helai akar pokok mangkukkan
kemudian dipotong kira-kira seinci atau 2 inici dan direndam semalaman di dalam air. Air hendaklah
diminum pada tiap-tiap pagi sekurang-kurangnya selama seminggu. (Pokok ini sering digunakan sebagai
penghias halaman atau pagar rumah. Daunnya digunakan untuk sebagai ubat penyubur rambut)

Perut kembung

Beberapa helai daun jarak, daun sirih dan daun bungkal udang. Kesemua bahan digunting atau dicincang
halus, dicampur dengan minyak kelapa atau zaitun. Campuran hendaklah dipanaskan terlebih dahulu
sebelum digunakan. Kemudian disapu ke perut pesakit semasa suam-suam panas.

Sakit mata

Titikan air perahan pucuk kacang belimbing atau kacang botol pada mata. Dilakukan selama 3 hari
berturut-turut.

Sakit perut

Gunakan daun durian belanda. Pucuk durian belanda diambil kira-kira 3 atau 4 helai dan dicampur
dengan sedikit air kapur sirih. Daun –daun ini dilenyekkan di tapak tangan dan terus disapukan di perut
yang sakit.

Sakit pinggang

Layurkan sehelai daun bakung yang telah disapu dengan sedikit minyak kelapa. Sapukan daun yang
disapu minyak ini pada pinggang yang sakit.

Sejuk kaki dan kebas

Jika kaki tangan sering mengalami sejuk-sejuk dan kebas seseorang itu boleh mengamalkan ubat ini.
Bahan : beberapa batang serai. Serai ini digiling lalu disapukan pada bahagian yang sejuk atau kebas.
Pengubatan dilakukan pada tiap-tiap malam semasa hendak tidur dan tidak boleh kena air.
TOK BOMOH

Pengertian Tok Bomoh.

Tok Bomoh menurut Kamus Dewan ialah tabib kampung yang mengubati orang sakit dengan
menggunakan ubat tradisional atau cara kampung dan jampi-jampi yang tertentu dan sebagainya.
Termasuk juga dalam istilah ini ialah Tok Pawang dan dukun.

Pecahan-pecahan Tok Bomoh.

Tok Bomoh dalam masyarakat Melayu secara ringkasnya boleh dibahagikan kepada beberapa pecahan
dan bidang mengikut kepakaran masing-masing. Antara yang terkenal ialah :-

a. Tok Bomoh Kayap

Tok Bomoh Kayap biasanya mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian yang di ambil
daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah
seperti daun sireh, kapur makan, pinang dan sebagainya.

b. Tok Bomoh Santau

Tok Bomoh Santau biasanya mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian yang di ambil
daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah
seperti tanah liat, bawang merah, sireh pinang dan sebagainya.

c. Tok Bomoh Barah


Tok Bomoh Barah biasanya mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian yang di ambil
daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah
seperti telur ayam, akar lalang, sireh pinang dan sebagainya.

d. Tok Bomoh Patah

Tok Bomoh Patah biasanya mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian yang di ambil
daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah
seperti minyak, daun mengkuang, air telaga dan sebagainya.

e. Tok Bomoh Ekor

Tok Bomoh Ekor biasanya menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan
mentera-mentera tertentu dan jampi serapah menyeru Jin dalam usaha untuk menghadirkan nombor
ekor yang diingininya. Manakala peralatan yang sering digunakan ialah seperti telur ular tedung,
cawat besi, keris atau senjata lama dan sebagainya.

f. Tok Bomoh Harta Karun/Tarik Duit.

Tok Bomoh Harta Karun/Tarik Duit menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-
Quran dan mentera-mentera tertentu dalam usaha mereka menarik duit atau mencari harta karun yang
tersembunyi di mana-mana. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti stareka cap kepala
ayam, talam tembaga, batu delima merah, lesong batu berlubang, keris samar kucing dan sebagainya.

g. Tok Bomoh Urat/urut

Tok Bomoh Urat dan urut mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian yang di ambil
daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah
seperti minyak angin, air telaga dan sebagainya.

h. Tok Bomoh Budak, Tok Bomoh kecil dan sebagainya

Tok Bomoh budak, Tok Bomoh kecil yang boleh berubat berbagai-bagai jenis penyakit yang pelik
pelik tanpa belajar dari mana-mana, walaupun beliau masih kecil dan belum akhil baligh.
Senarai di atas adalah merupakan sebahagian daripada pecahan-pecahan Tok Bomoh dalam istilah
masyarakat Melayu. Walaupun begitu masih banyak lagi pecahan Tok Bomoh yang tak dapat di terangkan
dan dimasukan dalam tulisan ini kerana terlalu banyaknya pecahan tersebut.

Cara-cara menjadi Tok Bomoh dan seumpamanya.

Untuk menjadi Tok Bomoh dan sumpamanya, adalah melalui berbagai jalan dan caranya yang tertentu.
Antaranya :-

a) Melalui warisan dari keturunan datuk neneknya atau melalui saka-baka, di mana datuk nenek atau
keturunanya yang terdahulu pernah menjadi Tok Bomoh yang terkenal dan apabila mereka
meninggal dunia maka ilmu perbomohan itu menurun atau mengalir terus ke dalam tubuh
anakcucu mereka pula.

b) Mereka didatangi oleh Khadam yang menyerupai datuk neneknya dalam mimpi yang
memberitahunya supaya membaca ayat-ayat, jampi -jampi atau mentera-mentera tertentu. Setelah
diamalkan ayat-ayat atau jampi tersebut maka datanglah khadam-khadam tertentu untuk memberi
pertolongan.

c) Melalui bacaan wirid, ayat, jampi, serapah atau doa-doa tertentu yang diamalkanya.

d) Melalui amalan-amalan latihan pertahanan diri tertentu, ataupun daripada ilmu perlatihan
pertahanan dirian yang dituntutnya.
e) Melalui pertapaan atau uzlah di tempat-tempat tertentu seperti di dalam gua, di muka kuala, di
dalam hutan dan sebagainya sehingga dikunjungi oleh khadam-khadam yang bersyarat bagi
menghasilkan hajatnya.

f) Melalui pembelajaran dan penerimaan daripada guru-guru yang mempunyai khadam atau yang
diamalkanya melalui kitab-kitab tertentu secara bersendirian.

g) Meniru tanpa berguru iaitu samada belajar dari kitab atau melihat cara orang lain berubat lalu di
tirunya.

KESESATAN DALAM PERUBATAN

Kebanyakan kesesatan yang boleh membawa kepada syirik dan menyebabkan seseorang itu menjadi kafir
kebiasaannya berlaku dalam bidang perubatan yang dilakukan Tok Bomoh dan seumpamanya. Kesesatan
tersebut bolehlah dibahagikan kepada tiga bahagian yang utama antaranya :-

Sesat Tok Bomoh, Tok Dukun, Tok Pawang, Mak Bidan dan Mak Andam dan seumpamanya

Kesesatan yang sering berlaku pada golongan ini, ialah melalui proses mengubati pesakit atau dalam
melakukan pekerjaan mereka, mereka mempunyai hubungan dan meminta pertolongan dengan khadam-
khadam yang terdiri samada daripada Jin Islam alam rendah atau yang terdiri daripada Jin-Jin kafir.
Mereka menjadi sesat melalui berbagai cara antaranya :-

i. Melalui Jampi, mentera dan serapah.


Kebanyakan daripada Tok Bomoh dan seumpamanya menggunakan jampi atau mentera yang
menyeru khadam-khadam untuk meminta pertolongan bagi membantu mereka memberi rawatan
kepada pesakit-pesakit yang mengunjungi mereka. Biasanya jampi mentera itu dimulai dengan
bacaan Basmallah …………. Dan di sudahi dengan selawat ke atas Nabi atau dengan menyebut
Lailahailll Allah Muhammadar Rasulullah ". Tetapi di tengah-tengah jampi mentera mereka terdapat
seruan-seruan kepada Jin bagi meminta pertolongan mereka dalam mengubati pesakit atau
mendapatkan sesuatu. Contohnya seperti :-

Amalan Batin.

" Bismillahirrahmanirrahim."
Kuliat kulit banyu, sufaat daging banyu, rai ro ra inson, rogo iro rogo inson,
aku bali gowo cohyo, cohyo maskinang kining,
sang yang tunggang gerono anci-ancik kendali puro,
berkat bulan kembang bintang dengan berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah.

Serapah lekat Tulang.

" Bismillahirrahmanirrahim."
Hei ! kerancang tulang dalam buluh, melela makan buat daku,
kalau kau hendak ke dalam, kedalam tulang, kalau kau nak keluar, keluar tulang,
kalau tidak aku sumpah kata Allah berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah.
Serapah menepung Tawar
" Bismillahirrahmanirrahim."
Hai Jin Tanah Jembalang Bumi,
Hai Jin Hitam serangkap rang bumi, pelesit di bumi,
putar tanggah di bumi, puak juak mu, aku nak minta tolong jaga,
tempat yang aku buat ni, aku menanggung baik di atas aku,
dan jahat di atas mu, dengan berkat kata Lailahaillah Muhammadurrasulullah.

Mentera Menepung Tawar.

" Bismillahirrahmanirrahim."
Hai ya sema yang semung, ya sema tiga terkendong,
kembang wadi kembang wada cat udi nyunyi,
batang wong batang wang batang terkendong,
ribut salah musim, kiong kemaling cendi seruka, dalam usul punya melepas,
siapa yang melepas, dalam asal punya melepas,
siapa punya melepas, kedi bunuh punya melepas,
siapa punya melepas, sema putih punya melepas,
siapa punya melepas, sema hitam punya melepas,
Pelepas di padang luas, melepas mak inang kurang sa empat puluh,
pelepas kata dengan berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah

Kesesatan yang telah dilakukan oleh Tok Bomoh yang menggunakan kaedah ini adalah terhadap dirinya
sendiri, kerana jampi mentera yang digunakan itu mengandungi permintaan pertolongan kepada kuasa
khadam dampingannya di samping meminta pertolongan daripada Allah, ini menunjukkan seolah-olah
terdapat dua pihak yang berkuasa dan dapat memberi pertolongan kepada mereka, iaitu Allah s.w.t dan
Khadam-khadam mereka. Perbuatan tersebut dengan terangterang telah melakukan perbuatan syirik
kerana menyamatarafkan Allah s.w.t dengan mahkluk lain dan meminta pertolongan kepada mahkluk lain
selain daripada Allah.

ii. Melalui Perbuatan / Kelakuan.


Kesesatan Tok Bomoh.

Kesesatan seseorang Tok Bomoh dan seumpamanya boleh berlaku pada perbuatan dan kelakuan Tok
Bomoh tersebut melalui penjelmaan Jin ke dalam tubuh badan mereka yang di panggil " Tanasakhul
Aruah " semasa mereka melakukan perubatan. " Menurun " yang dilakukan untuk mengubati itu, adalah
dengan bergantung kepada pertolongan dan kuasa Jin bagi membantu merawat pesakit tersebut.
Bercakaplah Jin itu menggantikan Tok Bomoh atau Tok Pawang dengan mengkhabarkan berita-berita atau
masalah-masalah yang dihadapi oleh pesakit tersebut. Pada hakikatnya yang sedang mengubati itu adalah
Jin dan bukannya Tok Bomoh atau Tok Pawang tersebut, kerana tiada nas dan dalil dalam Al-Quran,
hadis, ijmak ulama ataupun qias dan lain-lain pendapat yang muktabar yang boleh di pakai dalam Islam,
yang menyatakan bahawa aruah Jin dan wali-wali boleh menjelma dan masuk ke dalam diri seseorang
serta memperkenalkan dirinya dengan nama yang dijelmakan. Demikian juga yang dilakukan oleh Mak
Bidan ketika menyambut kelahiran bayi. Ada yang tidak sedarkan diri ketika menyambut bayi, namun
mereka dapat melaksanakan tugas tersebut hingga selesai walaupun mereka tidak sedarkan diri.
Persoalannya, siapakah sebenarnya yang memainkan peranannya ketika Mak Bidan tersebut tidak
sedarkan diri. Mak Andam juga memainkan peranan penting dalam menghidupkan suasana persandingan
ala Hindu dengan adat istiadat pelamin dan pengantinnya. Bermula dari berinai , masuk pelamin
sehinggalah selesai majlis persandingan tersebut di penuhi dengan suasana dan perkara-perkara khurafat
yang berhubung rapat dengan majlis pemujaan Dewa Rama dan Dewi Sita. Sedangkan sebagaimana yang
telah kita ketahui bahawa upacara persandingan tidak pernah ujud dalam tamadun Islam, tambahan lagi
mempertontonkan aurat wanita di khayalak ramai itu hukumnya haram dan persandingan pula bukanlah
merupakan Sunnah Nabi s.a.w.
Kesesatan Tok Guru Latihan Pertahanan Diri.

Kesesatan boleh berlaku ke atas tok guru latihan pertahanan diri atau pendekar seni pertahanan diri jika
mereka melakukan salah satu daripada perkara yang diharamkan oleh syarak. Antaranya :-

a. Melalui kaedah " Mubai’at yang disertakan dengan kalimah Qasam atau sumpah-sumpah yang
bertujuan kepada hikmah dan perkara-perkara luar biasa yang mencarik adat.
b. Melalui petua-petua atau kaedah yang ada pantang larang yang menepati hukum syarak.
c. Melalui petua-petua atau kaedah marah atau dimarahi bagi menzahirkan perkara-perkara luar
biasa yang mencarik adat.
d. Melalui petua-petua atau kaedah yang berpegang kepada kebesaran ayat, wirid, jampi atau doa
semata-mata tanpa mengharapkan pertolongan daripada Allah.
e. Tidak tahu asal usul ilmu yang dipelajarinya itu dan yang diajarinya kepada orang lain.
Kebiasaanya tok guru latihan pertahanan diri juga merupakan Tok Bomoh kerana di samping beliau
mampu berlatihan pertahanan diri beliau juga biasanya mampu mengubati orang sakit. Kesalahan besar
yang telah dilakukan oleh tok guru latihan pertahanan diri yang sesat ini ialah sudahlah diri mereka
sendiri telah tersesat melalui amalan-amalan yang sesat itu, kemudian mereka mengajarkan pula ilmu
sesat itu kepada anak-anak muridnya, yang bukan saja mengamalkan ilmu tersebut, malahan juga akan
turut tersesat sama. Jika kumpulan ini terus mengembangkan ilmu tersebut maka akan bertambah ramai
lagilah orang yang akan tersesat. Kesalahan yang sering mereka lakukan ialah dari segi penggunaan jampi
dan mentera yang digunakan dalam kebanyakan latihan pertahanan diri terdapat seruan-seruan terhadap
bantuan Jin bagi memulakan latihan. Berbagai-bagai bentuk mentera dan jampi digunakan dalam pelbagai
jenis latihan pertahanan diri, antaranya menyeru roh Panglima Hitam, atau roh-roh panglima panglima
yang lain samada Hang Tuah atau Hang Jebat dan sebagainya.

Kesesatan dalam perbuatan dan permainan latihan diri pula ialah, terdapat sesetengah latihan
pertahanan diri itu yang mensyaratkan pelatih pertahanan diri mestilah tidak sedarkan diri terlebih dahulu
sebelum boleh menzahirkan perkara-perkara yang luar biasa, seperti melayang diatas pucuk pokok kayu,
boleh melekat di dinding seperti cicak, boleh bertenggek di atas pucuk pisang seperti katak dan
sebagainya. Perbuatan seperti itu sebenarnya menyalahi syarak kerana rohani Jin telah masuk kedalam
tubuh pelatih pertahanan diri tersebut sehingga menyebabkan dia tidak sedarkan diri. Pemulihan pula
dilakukan dengan membaca jampi dan mentera tertentu oleh tok guru latihan pertahanan diri tersebut.
Setelah sedar pelatih itu tidak ingat apa-apa dan merasa letih yang amat sangat.
KESIMPULAN PERUBATAN TRADISIONAL MASYARAKAT MELAYU

Tumbuh-tumbuhan

Jumlah tumbuhan yang mempunyai khasiat dan nilai ubatan di negara ini adalah sangat banyak.
Banyak kajian secara saintifik dan konvensional di lakukan bagi mengenalpasti khasiat dan nilai ubatan
bagi tumbuhanan berkenaan. Semoga kebaikan daripada khazanah semulajadi tumbuh-tumbuhan yang
terdapat di negara ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan insan sejagat.

Namun suatu masalah yang timbul ialah tiada keyakinan sebahagian besar di kalangan masyarakat
mengenai sistem perubatan dan rawatan tradisional Melayu yang menggunakan tumbuh-tumbuhan. Pada
hakikatnya pengamal perubatan tradisional Melayu mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang
mantap tentang khasiat pelbagai jenis tumbuhan dalam rawatan penyakit. Bagi pengamal perubatan dan
rawatan tradisional Melayu, mereka mempunyai hasrat untuk memajukan bidang perubatan dan rawatan
tradisional Melayu ke tahap industri moden dan saintifik. Tetapi peranan yang boleh mereka mainkan
sangat terbatas. Bagi mengatasi masalah tersebut, usaha bersama secara gabungan di antara pengamal,
pengusaha, penyelidik dan perlaksana dasar kesihatan amat di perlukan. Pada masa ini usaha ke arah
menggabungkan pelbagai pihak telah bermula dan kian dipergiatkan. Dalam usaha ini semua pihak
seharusnya mengambil pendekatan yang dipercayai boleh membawa kejayaan. Mereka perlu mencontohi
kaedah-kaedah yang dilakukan di negara yang telah terbukti berkeupayaan mencapai matlamat yang
dirancang.

Perbomohan

Setelah dianalisis amalan perbomohan Melayu tradisonal kebanyakannya bersumberkan kepada


sistem perubatan Nabi. Meskipun begitu, terdapat juga amalan perbomohan di kalangan pengamal
perubatan tradisional Melayu masih lagi dipengaruhi dengan amalan nenek moyang yang mempunyai
elemen magis. Malah segelintir individu bomoh masih menerima pakai amalan memohon bantuan
makhluk halus, roh nenek moyang, roh para wali dan sheikh dalam merawat pesakit. Dalam istilah
perbomohan, ketentuan ini dikenali sebagai “bersahabat” atau menggunakan perkhidmatan “khadam”. Ia
bermaksud, bomoh akan meminta bantuan dari makhluk halus dalam proses penyembuhan atau untuk
memudharatkan orang lain. Menurut al-Syahid Dr. Abdullah Yusuf Asma dalam bukunya “Akidah Asas
Wawasan Ummah”, amalan ini jelas bercanggah dengan Islam.
Islam juga melarang sebarang bentuk kepercayaan yang mempunyai unsur-unsur khurafat dan tahyul
kerana boleh menyebabkan seseorang itu cenderung kepada perbuatan syirik. Sebagai contoh, ada dalam
kalangan individu berjumpa bomoh untuk mendapatkan pandangan tentang jodoh pilihannya kerana
dibimbangi pasangan tersebut tidak akan bahagia. Malah ada yang sanggup berjumpa bomoh untuk
menghancurkan kebahagian rumah tangga orang lain kerana bermotifkan dendam. Dalam soal ekonomi,
individu tertentu mendapatkan bantuan bomoh untuk mendapatkan tangkal atau azimat supaya
perniagaanya maju. Terdapat juga di kalangan peniaga mendapatkan pelaris, tangkal atau azimat yang
berbentuk angka-angka atau rajah-rajah tertentu dan gambar seseorang tokoh bertujuan untuk menarik
pelanggan ke premis perniagaanya. Selain itu, ada juga yang mendapatkan khidmat bomoh untuk
merosakkan manusia seperti sihir dan santau. Semua amalan ini merosakkan akidah umat Islam dan
dilaknat oleh Allah. Islam melarang sebarang bentuk pencerobahan ke atas jiwa manusia. Ini kerana
objektif perubatan Islam adalah untuk tujuan kebaikan dan dilarang secara mutlak menggunakan ilmu
tersebut untuk tujuan jahat seperti dendam, menakut-nakutkan orang lain atau untuk mendapat
keistimewaan dalam kalangan masyarakat.

You might also like