You are on page 1of 14

MENGENAL ALAM SEKITAR

OLEH

ASRUL B. ABDULLAH
BAYREI B. ASRIN
MOHD. FAKHRUDDIN B. MD. RASHIDI
NIK ISHAK B. NIK LAH
Pendidikan Awal Kanak-Kanak
Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan manusia
Universiti Pendidikan Sultan Idris
20 OGOS 2008

PENGENALAN

Alam sekitar kita amat kompleks. Di dalamnya terdapat beberapa bahagian yang memainkan
peranan tertentu tetapi berfungsi secara saling bergantung. Komponen ini dibahagikan kepada
dua iaitu bukan hidupan seperti rupa bumi, iklim, tanah-tanih dan juga batuan. Sementara
bentuk hidupan pula seperti manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan organisma-organisma yang
lain. Komponen-komponen ini yang wujud dalam satu kawasan atau sempadan yang tertentu
disebut sistem. Bumi merupakan planet yang kelima besarnya antara planet-planet di sistem
suria. Jarak bumi dengan matahari kira-kira 150 juta kilometer dan luas bumi pula ialah 510 juta
kilometer persegi. Kira-kira 29 peratus daripada keluasan bumi terdiri daripada daratan
manakala bakinya ialah air iaitu membentuk 71 peratus dan bumi juga berbentuk sfera.

Kewujudan atau pembentukan bumi kita ini disokong oleh sistem fizikal bumi iaitu atmosfera
(udara), hidrosfera (air), litosfera (batuan/kerak bumi), biosfera hidupan-haiwan,tumbuhan dan
kepelbagaian biologi) dan juga pedosfera(tanih). Sistem fizikal bumi ini adalah saling
bergantung di antara satu sama lain dan juga interaksi di antara kelima-lima sfera ini
membolehkan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan dan juga hidupan lain wujud di muka
bumi ini. Hubungan antara komponen-komponen ini amat harmoni dan kestabilan hubungan
komponen ini juga mengekalkan keharmonian alam sekitar serta dapat mengelakkan berlakunya
bencana alam.
KOMPONEN-KOMPONEN ALAM SEKITAR
Seperti yang kita ketahui, bumi mempunyai lima komponen asas atau lebih dikenali dengan
sistem fizikal bumi yang mana terlibat dalam pembentukan bumi. Lima komponen tersebut
adalah atmosfera, hidrosfera, litosfera, biosfera dan juga pedosfera.

• Atmosfera

Atmosfera merupakan satu lapisan udara yang nipis yang mana berada di sekeliling bumi
dengan ketinggian kurang daripada 480 kilometer ke bahagian atas daripada permukaan
bumi. Atmosfera juga terdiri daripada gas, wap air dan kumin-kumin habuk. Kandungan gas
dalam atmosfera yang hampir dengan permukaan bumi ialah terdiri daripada gas nitrogen
iaitu 78 peratus, gas oksigen 21 peratus, gas argon 0.9 peratus, gas karbon dioksida 0.03
peratus dan juga gas-gas lain atau lebih dikenali sebagai gas-gas nadir sebanyak 0.07 peratus.
Kepelbagaian dalam tekanan udara dari satu tempat ke suatu tempat lain akan meyebabkan
berlakunya tiupan angin, menghasilkan ribut, hujan lebat serta mengawal bentuk presipitasi
iaitu hujan dan juga salji. Atmosfera juga boleh dihuraikan sebagai satu lapisan nipis gas
tanpa bau, warna dan rasa yang berada di atas permukaan bumi. Sempadan atmosfera yang
paling luas adalah di sekitar 1000 kilometer di atas paras laut. Bagi atmosfera, ahli kaji
cuaca mengukur tekanan atmosfera dalam unit ‘milibar’ (mb).

Atmosfera merupakan lapisan udara yang memainkan peranannya mengekalkan bekalan air
yang amat diperlukan oleh kehidupan di permukaan bumi. Atmosfera bumi juga berperanan
sebagai penebat permukaan bumi daripada mengalami keadaan suhu ekstrem dan dengan itu
menjadikan hampir keseluruhan alam sekitar bumi boleh didiami oleh binatang, tumbuh-
tumbuhan dan juga manusia. Peranan yang amat penting adalah ia menjadi penghalang
kepada kemasukan bahangan ultra ungu (lembayung) yang sungguh merbahaya kepada
sebarang kehidupan di atas permukaan bumi ini.

Udara pada umumnya ialah istilah yang sinonim bagi atmosfera. Kebanyakan udara adalah
juga mengandungi pelbagai partikel padat dan cair yang halus-halus yang berlainan
kuantitinya. Setiap partikel tersebut adalah bersifat submikroskopik atau lebih dikenali
sebagai sangat halus dan oleh itu ia mudah terampai di dalam udara. Struktur menegak
atmosfera boleh dibahagikan kepada empat lapisan terpenting iaitu troposfera, stratosfera,
mesosfera dan termosfera. Berdasarkan empat lapisan yang berbeza ketinggian, tekanan dan
suhu ini atmosfera boleh dibahagikan kepada lima lapisan yang berbaza darjah kepanasannya
iaitu tiga lapisan panas dan dua lapisaqn sejuk. Lapisan panas pertama terletak berhampiran
dengan permukaan bumi, lapisan panas kedua berada pada ketinggian 50 hingga 60 kilometer
dari permukaan bumi dan yang ketiga pada ketinggian melebihi 100 kilometer. Antara
lapisan panas ini, terdapat lapisan sejuk iaitu sekitar ketinggian 10 hingga 30 kilometer dan
80 kilometer dari permukaan bumi. Terdapat juga dua lapisan yang melampaui lapisan
mesosfera ke angkasa lepas iaitu eksosfera dan magnetosfera.

o Lapisan Troposfera

Lapisan ini merupakan lapisan atmosfera paling bawah yang mana mengandungi 75
peratus daripada keseluruhan jisim gas atmosfera dan merupakan lapisan yang paling
penting dari segi mencorakkan cuaca planet bumi. Lapisan atas troposfera dipisahkan
daripada stratosfera oleh ‘tropopaus’ iaitu lapisan sempadan yang sangat penting dari
sudut fenomena meteorologi. Ketinggian tropopaus adalah sekitar 16 hingga 17
kilometer dari garisan khatulistiwa manakala di kawasan kutub, ketinggiannya hanya
kira-kira 8 hingga 9 kilometer sahaja. Tropesfera juga dibahagikan kepada tiga iaitu
lapisan lamina, geseran dan juga atmosfera bebas.

o Lapisan Stratosfera

Lapisan ini merupakan lapisan yang menghuraikan sifat semulajadi berstrata dan
tanpa perolakan. Lapisan ini bermula daripada tropopaus hingga ke ketinggian 50
kilometer daripada permukaan bumi. Lapisan yang sangat kering dan tidak
mengandungi awan dan cuaca. Mengandungi satu gas yang sangat penting iaitu gas
ozon.

o Lapisan Mesosfera

Lapisan ini berada di atas stratosfera hingga Ketinggian 80 kilometer. Ia dianggap


sebagai permulaan bahagian atas atmosfera. Pada lapisan ini suhu mula berkurangan
di mesopaus iaitu lapisan mesosfera yang paling tinggi dan menjadi sempadan dengan
lapisan termosfera. Tekanan di kawasan ini sangat rendah iaitu berkurangan daripada
kira-kira 0.6 mb pada ketinggian 60 kilometer menjadi 0.01 mb pada ketinggian 80
kilometer.

o Lapisan Termosfera

Merupakan lapisan yang bermula di atas lapisan mesopaus adalah lapisan atmosfera
yang mempunyai profil suhu meningkat dengan ketinggian. Ketumpatan pada lapisan
ini sangat rendah. Lapisan paling bawah dipenuhi dengan gas nitrogen dan oksigen
dalam bentuk molekul dan atom.

• Hidrosfera

Hidrosfera merupakan kawasan air yang terdapat di permukaan bumi termasuk lautan, laut,
tasik, kolam, sungai dan paya. Air juga boleh didapati dalam bumi yang dikenali sebagai air
bawah tanah. Kira-kira 71 peratus daripada permukaan bumi terdiri daripada lautan, laut,
tasik, sungai, kolam dan paya. Air boleh wujud dalam bentuk cecair, wap dan gas. Lebih
daripada 97 peratus air di permukaan bumi berada dalam bentuk cecair dengan lautan
menjadi penyumbang utama kepada kewujudan kuantiti air tersebut. Air laut membekalkan
wap air kepada atmosfera yang mana akan kembali ke permukaan bumi sama ada sebagai
hujan atau salji. Air khususnya lautan memerangkap haba dan melepoaskannya dengan amat
perlahan dan ini membantu dalam menyerdahanakan suhu di hampir semua permukaan bumi
di samping peranan sebagai sumber air bersih untuk minuman. Kuantiti air di dalam
hidrosfera tidak banyak berubah kerana kitaran hidrologi menyumbang kepada kehilangan air
dari bumi melalui sejatan dengan hujan yang turun. Di samping itu, hidrosera juga
memainkan peranan. Antara peranan hidrosfera adalah merupakan habitat pelbagai jenis
organisma dan tumbuh-tumbuhan, membekalkan sumber makanan seperti ikan, udang, ketam
dan kerang, punca pendapatan para nelayan dan juga menyediakan jalan perhubungan dan
pengangkutan seperti sungai dan laut.
• Litosfera

Litosfera merupakan lapisan bumi yang pejal dan keras. Ianya terdiri dari batuan dan
sediment yang saling berpadu untuk membentuk struktur yang kuat. Komponen Litosfera ini
juga dikenali sebagai kerak bumi. Asas pembentukan bumi merupakan satu lapisan kerak
bumi yang tebal dan kental tadi yang berbentuk sfera dan mengandungi logam (metallic
sphere) dengan garis pusat 3,500 km dan ia mempunyai ketebalan 8 hingga 40 km. di
sekeliling kerak bumi ini terdapat lapisan yang menyelubunginya atau ‘mantle’ dengan
garisan pusat 2,900 km. Lapisan luar merupakan lapisan paling nipis dan lembut dan ianya
mudah rapuh. Ia juga menjadi asas pembentukan lapisan tanih (pedosfera).

• Biosfera

Biosfera terdiri daripada semua organisma hidup di bumi, atmosfera, litosfera, hidrosfera dan
pedosfera yang mempunyai fungsi bersama untuk menghasilkan persekitaran bagi biosfera
yang meliputi dari dasar laut hinggalah ke lapisan bawah atmosfera. Di permukaan tanah,
komponen biosfera terdiri daripada spesis pokok-pokok besar yang boleh mencapai
ketinggian 110 meter serta juga mikroorganisma yang hidup di dalam tanah, gua dan juga
rekahan batu. Hutan tropika di negara kita merupakan hutan yang tertua di dunia disamping
hutan amazon yang mengandungi pelbagai spesis hidupan sama ada haiwan, tumbuhan dan
mikroorganisma.

• Pedosfera

Pedosfera merupakan lapisan tanih yang membentuk tanah dan pelbagai cirinya. Kesemua
komponen ekosistem atau sistem fizikal berinteraksi antara satu dengan yang lain. Tumbuhan
dan haiwan hidup di permukaan pedosfera dan litosfera di mana ia memperolehi makanan
dan perlindungan. Hidrosfera membekalkan bekalan air minum dan sokongan fizikal untuk
hidupan akuatik juga kepada manusia kerana semua elemen itu amat penting kepada manusia
sejagat. Dengan kata lain, keselesaan hidup manusia bergantung kepada komponen-
komponen tersebut. Manusia tidak boleh hidup tanpa udara atau dengan udara yang tercemar
(Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah, 2002). Manusia juga tidak dpat hidup tanpa air dan
manusia juga memerlukan makanan daripada biosfera. Kita juga memerlukan haba dalam
jumlah yang tidak ekstrim serta tidak mampu hidup jika terlalu sejuk. Kesemua komponen
ini saling berkaitan dan berinteraksi dan manusia harus mengekalkan hubungan ini supaya
sentiasa harmoni.

KEPENTINGAN MENGENAL ALAM SEKITAR

Setiap apa yang diciptakan Tuhan mempunyai kepentingan dan fungsinya yang tertentu. Begitu
juga dengan kewujudan alam sekitar kita yang sememangnya berfungsi sebagaimana yang telah
ditetapkan oleh Pencipta. Seperti mana yang diketahui, alam ini merupakan tempat tinggal segala
kehidupan termasuklah manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Tanpa alam ini, kehidupan
tidak akan berlaku. Makhluk yang hidup memerlukan habitat atau tempat tinggal, tempat
membiak dan tempat untuk mendapatkan makanan. Jika diperhatikan dengan teliti, setiap bentuk
muka bumi mempunyai jenis-jenis kehidupan tertentu yang sesuai dengan ciri-ciri yang ada pada
hidupan tersebut. Misalnya di padang pasir yang tandus, ada tumbuh-tumbuhan seperti pokok
kaktus yang tahan panas dan dapat menampung air yang banyak. Alam sekitar kita kaya dengan
sumber makanan yang banyak membolehkan segala hidupan mendapatkan makanan bagi
penerusan hidup. Setiap muka bumi mempunyai sumber makanan yang sesuai dengan keadaan
iklim di tempat tersebut.

Mengenal alam sekitar adalah amat penting bagi manusia itu sendiri. Manusia perlu tahu tentang
kegunaan dan kepentingan alam sekitar yang berkait rapat dengan kehidupan mereka. Apabila
manusia tahu tugas-tugas mereka terhadap alam sekitar, sudah tentulah manusia akan
memakmurkannya dan akan mewujudkan persekitaran yang sihat kehidupan. Sebagai pendidik
pula, benih-benih untuk menyintai dan menyayangi alam sekitar perlulah ditanam ke dalam jiwa
anak didik bermula daripada peringkat prasekolah atau sebelumnya sehinggalah ke peringkat
yang lebih tinggi. Komitmen ini untuk menimbulkan kesedaran yang tinggi terhadap
pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Manusia yang terdidik dengan kesedaran ini akan beretika sebagaimana yang sepatutnya
terhadap alam sekitar. Mereka sesekali tidak akan mencemarkannya dengan pelbagai
pencemaran, merosakkannya dan merubah keadaannya dengan sewenang-wenangnya. Kanak-
kanak yang baru saja mengenal alam sekitar mula menyayangi apa yang ada di sekeliling
mereka. Misalnya menyayangi haiwan peliharaan seperti kucing, arnab dan sebagainya. Begitu
juga tumbuh-tumbuhan di sekeliling mereka seperti pokok-pokok bunga dan pokok-pokok
hiasan. Kanak-kanak akan merasa belas kasihan terhadap hidupan tersebut. Keadaan ini berlaku
hasil daripada didikan sempurna yang diterima oleh kanak-kanak tentang alam sekitar dan peri
penting memelihara dan memuliharanya.

Selain itu kanak-kanak juga menyedari bahawa jika sesuatu berlaku terhadap alam sekitar, maka
kehidupan mereka juga akan terganggu. Mereka dapat mengaitkan dengan aktiviti-aktiviti yang
berlaku dan kesan-kesannya terhadap alam sekitar. Contohnya aktiviti penebangan hutan yang
berleluasa akan menyebabkan berlakunya banjir kilat. Guru mengaitkan dan menerangkan
bahawa jika hutan yang menjadi tadahan hujan musnah, maka air tidak akan diserap ke dalam
bumi. Seterusnya air tersebut akan melimpahi kawasan-kawasan yang mempunyai bentuk muka
bumi yang rendah dan seterusnya akan membanjiri kawasan kehidupan manusia samada di
bandar atau di kampung. Keadaan ini menyebabkan berlakunya banjir kilat. Guru boleh
menunjukkan contoh kepada murid-murid dengan menyuruh mereka untuk melakonkan keadaan
tersebut. Murid-murid diarah untuk membuat barisan yang rapat di antara satu sama lain dan
sebahagian lagi membaling gumpalan-gumpalan kertas terhadap barisan tersebut. Barisan yang
dibentuk diumpamakan sebagai pokok-pokok atau hutan yang berfungsi sebagai tadahan hujan.
Manakala gumpalan-gumpalan kertas diibaratkan sebagai hujan yang turun ke bumi. Melalui
penerangan guru, murid menyedari bahawa air hujan yang mengenai pokok akan diserap oleh
akar. Maka kuranglah air yang poros daripada penyerapan akar pokok. Ia diibaratkan seperti
gumpalan-gumpalan kertas yang dibaling dan tidak menembusi barisan tersebut. Ini kerana
barisan yang rapat menggambarkan betapa banyaknya pokok-pokok yang menjadi tadahan
hujan. Maka tiadalah gumpalan-gumpalan kertas yang menembusinya.

ISU-ISU SEMASA DAN MASALAH-MASALAH ALAM SEKITAR

Masalah persekitaran adalah sesuatu yang kompleks. Contohnya, pembakaran bahan api akan
melepaskan karbon dioksida yang menyumbang kepada pemanasan global. Pada masa yang
sama, ia membebaskan gas sulfur dioksida dan nitrogen oksida yang menjadi penyumbang utama
pemendapan berasid. Masalah ini mengakibatkan kemerosotan kualiti tanah, kepupusan hutan
dan ancaman kepada hidupan liar. Seiring dengan penambahan populasi dunia, pengawalan
pencemaran akan terus menjadi cabaran pada masa hadapan. Pembangunan negara menjadi
semakin pesat, justeru sumber dan tenaga yang besar diperlukan untuk mempertingkatkan
produktiviti negara bagi memenuhi permintaan semasa. Akibatnya banyak bahan-bahan buangan
terhasil dan seterusnya menjadi penyebab utama kepada masalah persekitaran global.

• Gas Rumah Hijau

Gas rumah hijau terdiri daripada 3 jenis gas utama iaitu karbon dioksida, sulfur dioksida dan
nitrogen oksida. Gas ini wujud di atmosfera sama ada secara semula jadi atau melalui
pelbagai kegiatan manusia. Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) Amerika Syarikat
menyatakan gas rumah kaca yang wujud secara semula jadi merangkumi wap air, metana
(CH4), nitrus oksida (N2O) dan ozon (O3) selain 3 gas utama tersebut. Kegiatan manusia
seperti pembakaran sisa pepejal dan bahan api fosil (minyak, gas asli dan arang batu),
pertanian dan penternakan menyebabkan peningkatan gas ini di atmosfera.

Menurut Allaby M., Bramwell M. dan Stokes J., tanpa kesan rumah hijau, purata suhu bumi
adalah kira-kira -0.4°F (-18°C) lebih rendah berbanding purata sebenar iaitu 59°F (15°C).
Mereka juga menyatakan bahawa konsentrasi CO2 meningkat di atmosfera kira-kira 30%,
konsentrasi metana pula meningkat sebanyak 145% manakala nitrus oksida meningkat kira-
kira 11% dalam tempoh 250 tahun. Keadaan tersebut merupakan kesan daripada pembakaran
bahan api fosil, perubahan kawasan padang rumput dan hutan yang luas untuk pertanian,
perusahaan padi, penternakan biri-biri dan ternakan lain.

Gas rumah kaca juga tidak wujud secara semula jadi sebaliknya terhasil daripada pelbagai
proses industri. Antaranya, klorofluorokarbon (CFC), hidrofluorokarbon (HFC),
perfluorokarbon (PFC) dan sulfur heksafluorida (SF6). Konvensyen Rangka Kerja
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), menetapkan tiga
gas iaitu CO2, metana dan nitrus oksida sebagai gas rumah kaca utama, yang perlu
dikurangkan pelepasannya bagi menangani masalah pemanasan global.
• Penipisan Lapisan Ozon

Ozon adalah salah satu daripada gas-gas yang membentuk atmosfera. Molekul dwiatom
oksigen (O2) membentuk hampir 20% atmosfera. Ozon (O3) merupakan sebatian yang terdiri
daripada tiga atom oksigen setiap molekul. Pada suhu dan tekanan biasa ia berbentuk gas
biru. Ozon membentuk cecair biru tua pada suhu bawah -112°C, dan cecair biru tua gelap
pada suhu di bawah -193°C. Ozon dijumpai oleh Christian Friedrich Schonbein pada tahun
1840. Ozon berupaya menyerap radiasi UV-B. Ozon terbentuk secara semulajadi di lapisan
ozon boleh terhakis oleh klorofluorokarbon (CFC). Secara semulajadi, ozon terhasil melalui
tindak balas cahaya ultra-lembayung dengan atmosfera bumi dan membentuk satu lapisan
ozon pada ketinggian 50 kilometer.

Penipisan lapisan ozon ini boleh dikaitkan dengan pelepasan beberapa gas utama yang
menyebabkan ozon tersebut musnah. Ancaman utama terhadap gas ini adalah daripada
pelepasan gas kloroflorokarbon (CFC). CFC yang dihasilkan oleh manusia ini akan
meningkatkan kadar penyingkiran ozon. Bagi tempoh kira-kira 5 tahun, CFC tersebut akan
naik perlahan-lahan ke lapisan stratosfera (10km – 50 km). Pada lapisan ozon utama iaitu
pertengahan julat ketinggian antara 20km hingga 25km, ozon kurang menyerap sinaran UV.
Keadaan ini akan menyebabkan molekul CFC terurai setelah bertindakbalas dengan UV,
seterusnya membebaskan atom klorin. Atom klorin yang dibebaskan tersebut berupaya untuk
memusnahkan ozon (Rajah 2).

• Pembuangan Sisa Toksid

Di Malaysia, berlakunya isu-isu yang berkaitan dengan sisa toksid dapat digolongkan seperti
kurangnya kemudahan pelupusan bahan buangan di dalam atau di luar kawasan industri
yang mencukupi dan cekap. Jumlah sisa toksid berbahaya yang dihasilkan oleh industri di
Malaysia dianggarkan sebanyak 417,000 tan metrik setahun dan akan meningkat di antara 8-
9% setahun. Selain itu, pendedahan manusia dan alam sekitar kepada bahaya bahan radio
aktif serta pelupusan yang dilakukan dengan cara yang tidak dikawal dan diawasi dengan
teliti dan teratur akan meninggalkan kesan negatif jangka panjang. Selain itu, kelahiran
kilang-kilang haram dan berbahaya dan tidak terkawal juga menambahkan beban masalah
pencemaran di kawasan bandar. Tidak ada suatu garis panduan yang komprehensif
berhubung dengan pembuangan bahan terjadual dan berbahaya.

Walaupun kerajaan telah memperkenalkan kaedah yang selamat dan menyediakan


kemudahan untuk melupuskan sisa bahan buangan, namun penghasilan sisa bahan buangan
termasuk sisa toksid menimbulkan banyak masalah. Penghasilan sisa bahan buangan
terjadual yang semakin meningkat di antara 8-9% setahun telah menimbulkan banyak
masalah seperti:

• Masalah Penyimpanan Sisa Toksid

Amalan masa kini, sisa toksid dan berbahaya di Malaysia akan dirawat oleh industri
berkaitan dengan dilupus secara kambus tanah, dieksport ataupun disimpan di premis
masing-masing. Disebabkan tidak semua industri di Malaysia mempunyai loji pelupusan sisa
toksid dan berbahaya terutamanya bagi industri kecil, maka sisa yang dihasilkan terpaksa
disimpan sementara menunggu pusat pelupusan sisa toksid di Bukit Nenas beroperasi.
Dianggarkan jumlah simpanan sisa toksid ini kini telah meningkat kepada 125,000 tan metrik
sejak dari tahun 1987 hingga 1994. Hal ini menimbulkan banyak masalah terutama dari segi
ruang simpanan yang terhad.

• Pengendalian Sisa Toksid

Sisa toksid dan berbahaya perlu dikendalikan dengan baik terutamanya dari segi teknik
penyimpanan yang selamat dan mengelakkan kebocoran termasuklah dari segi
pembungkusan, pengangkutan dan penyimpanan.

• Pencemaran

Isu pencemaran alam sekitar ini sering kali diperbincangkan di mana-mana sahaja sama ada
melalui media cetak mahupun media elektronik. Kejadian ini timbul kerana manusia sering
mengabaikan masalah-masalah alam sekitar. Menurut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang
menyatakan bahawa pencemaran adalah sebarang perubahan sama ada secara langsung atau
tidak langsung kepada sifat-sifat fizik,kimia,biologi atau aras-aras radiasi mana-mana
bahagian alam sekeliling dengan melepaskan,mengeluarkan atau meletakkan buangan hingga
menjejaskan keguanaan-kegunaan berfaedah, yang menimbulkan sesuatu keadaan berbahaya
atau mungkin berbahaya kepada kesihatan, keselamatan atau kebajikan awam atau
organisma-organisma lain,tumbuhan dan haiwan. Isu pencemaran ini terbahagi kepada 7
bahagian iaitu udara, air, laut, bunyi, tanah, haba, sungai dan kolam. Menurut Organisasi
Kesihatan Dunia (World HealthOrganization) melaporkan bahawa tiga juta orang mati setiap
tahun disebabkan pencemaran udara. Ini adalah tiga kali lebih tinggi daripada jumlah
kematian yang disebabkan kemalangan.

KAEDAH GURU MENDIDIK KANAK-KANAK TENTANG PENJAGAAN ALAM


SEKITAR

• Amalan Petua Hijau


Melalui Petua Hijau ini kanak-kanak mestilah diterapkan dan diajar tentang pentingnya
amalan menjaga kebersihan sejak dari kecil lagi termasuklah menjaga kebersihan alam
sekitar dengan tidak membuang sampah di merata-rata tempat supaya keindahan alam dapat
dikekalkan. Guru juga boleh mendidik kanak-kanak supaya memelihara alam sekitar dengan
menerapkan amalan mendisiplinkan diri supaya bersama-sama;
• Menjaga pokok di sekitar kawasan taman dengan tidak mencabut,
memotong, mematahkan dahan serta memetik bunga.
• Menjaga binatang peliharaan seperti kuda, rusa, burung dengan baik dan
tidak menyakiti binatang-binatang tersebut.
• Bersifat meringan tulang bermaksud menolong mengutip sampah yang
kelihatan dijalanan dan membuang sampah ke dalam tong sampah.
• Mengikut segala peraturan dan arahan yang telah dibuat oleh pihak
pengurusan taman seperti tidak mencoteng, merosakkan harta benda dan
papan-papan tanda dan petunjuk jalan yang telah disediakan.
Selain itu, kanak-kanak juga dididik agar tidak memusnahkan atau menangkap haiwan-
haiwan semulajadi yang berhabitat seperti rama-rama,pepatung, monyet dan sebagainya
kerana haiwan ini adalah sebahagian daripada kitaran makanan demi mengekalkan kehijauan
alam semula jadi. Guru juga haruslah sentiasa mengikut perkembangan berkaitan dan
mengambil bahagian dalam projek-projek yang melibatkan alam sekitar seperti kempen
menanam pokok bunga, pokok herba dan tanaman sayuran di setiap halaman rumah, taman,
sekolah dan sebagainya. Hal in dapat merapatkan kepada kanak-kanak tentang mencintakan
alam sekitar dalam usaha untuk mengindahkan alam sekeliling.

• Melalui Pendidikan

Melalui pendidikan formal, guru boleh mendidik dan membimbing kanak-kanak supaya
memelihara alam sekitar sejak dari kecil lagi. Amalan ini adalah amat penting kerana ianya
sebagai asas untuk kanak-kanak menjaga alam sekitar dengan baik kelak. Kanak-kanak juga
dapat menyedari bahawa menjaga alam sekitar adalah penting bagi mewujudkan persekitaran
yang sihat dan selamat. Semasa sesi pengajaran dan pembelajaran, guru dapat mendedahkan
kepada kanak-kanak tentang bagaimana alam sekitar ini mesti dijaga dengan baik agar ianya
tidak dirosakkan dengan sewenang-wenangnya. Hal ini dapat mengubah sikap kanak-kanak
agar dapat mengamalkan nilai-nilai murni dan etika alam sekitar dengan lebih baik.
Contohnya nilai-nilai murni dan etika alam sekitar yang baik yang boleh diamalkan dalam
kehidupan seharian ialah pengurangan penggunaan beg plastik (tidak biodegrasi),
penggunaan beg kertas, membawa bakul atau beg sendiri semasa membeli belah dan
menggunakan semula beg plastik.

Selain itu, guru juga boleh menjalankan pelbagai aktiviti untuk menbimbing kanak-kanak
mengenal dan memelihara alam sekitar. Antaranya ialah guru boleh menjalankan aktiviti
bercerita kepada kanak-kanak tentang bagaimana hendak menjaga alam sekitar dengan
baik.Selain itu, aktiviti pertandingan melukis pemandangan alam semula jadi, berlakon iaitu
memainkan peranan, kuiz alam sekitar, lawatan sambil belajar dan sebagainya boleh
dijalankan bagi mendedahkan lagi kepada kanak-kanak untuk menyanyangi dan mencintaiu
alam sekitar di samping menarik minat pelajar dan membangkitkan perasaan ingin tahu
mereka terhadap alam sekeliling.
Manakala pendidikan tidak formal juga penting bagi memberi kesedaran sivik kepada
masyarakat untuk menangani masalah ketidakprihatinan masyarakat terhadap isu-isu alam
sekitar. Contohnya, melalui media massa elektronik dan bukan elektronik, banyak maklumat
disebarkan kepada masyarakat tentang penjagaan alam sekitar. Selain itu, kempen dan
ceramah penjagaan alam sekitar di tempat-tempat awam supaya semua lapisan masyarakat
mendapat pendedahan yang mencukupi dapat dilaksanakan.

KESIMPULAN
Kesedaran terhadap pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar seharusnya terbentuk dalam setiap
jiwa insan. Ini kerana manusia sendiri mendiami alam dan alam adalah kediaman kita. Kita boleh
membangunkan pelbagai unsur dan elemen alam sekitar namun dalam batas yang munasabah
dan terkawal. Tragedi tsunami yang berlaku baru-baru ini turut dikaitkan dengan alam sekitar, di
mana kehilangan kawasan hutan paya bakau sebagai penampan dari ombak besar telah
menyebabkan kemusnahan yang lebih buruk. kemusnahan manusia ada kaitannya dengan
kemusnahan alam sekitar dan semua ini adalah akibat perbuatan manusia itu sendiri. Justeru
adalah penting pendidikan dan kesedaran tentang kepentingan alam sekitar walau pun kecil di
pupuk dan di semai demi membangunkan sahsiah peribadi yang memahami pentingnya
pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar. Kita boleh membiarkan persoalan dan permasalahan
khusus tentang alam sekitar kepada ahli ilmuan dan pakar-pakar namun persoalan dan
pemahaman am tentang alam sekitar sepatutnya di pupuk dalam jiwa setiap insan agar manusia
bisa hidup lebih makmur dan bersatu dengan alam tanpa merosakkan kepelbagaian rantaian
biologi di bumi ciptaan Tuhan ini.
BIBLIOGRAFI

Atmosfera. Diperolehi pada 13 ogos 2007 daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Atmosfera

Datuk Noraini Ahmad (2007, Julai). Suara Orang Muda: Pemanasan global mesti diberi
perhatian serius. Berita Harian.

Doc Horsley (1998). Geografhy Of World Environment. United States; John Wiley and Sons,
Inc.

Enger and Smith (2006). Environment Science, (Tenth Edition). New York; McGraw – Hill
Companies, inc.

Global Warming, The Green House Effect. Diperolehi pada 15 ogos 2007 daripada
http://www.solcomhouse.com/globalwarming.htm

Lapisan Ozon, Lubang Ozon. Diperolehi pada 15 ogos 2007 daripada


http://www.kjc.gov.my/malay/pendidikan/alam_sekitar/ozon2.html

Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah (2002). Pengantar Persekitaran Fizikal. Tanjong Malim:
Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Pelupusan haram sisa toksik industri (2004). Diperolehi pada 16 ogos 2007 daripada
http://www.prn2.usm.my/mainsite/bulletin/2004/penawar51.html

Pemuliharaan In-Situ. Diperolehi pada 15 ogos 2007 daripada


http://www.nre.gov.my/opencms/opencms/NRE/BM/Services/Biodiversity/insitut

Raven and Berg (2004). Environment. United States; John Wiley and Sons, Inc.

You might also like