You are on page 1of 5

Tajuk : Amalan Berjimat Cermat Mendatangkan Pelbagai Manfaat Kepada

Sesebuah Negara. Huraikan Kepentingan-Kepentingan dan Langkah-Langkah


Amalan Berjimat Cermat.

Pendahuluan :

Istilah “berjimat cermat” sering diuar-uarkan oleh pihak kerajaan pada zaman
muasir ini. Adakah masyarakat Malaysia tidak tahu berjimat cermat? Sebenarnya
berjimat cermat merupakan istilah keramat yang memacu kepada kejayaan sesebuah
bangsa dan negara.Tanpa amalan tersebut maka tidak mustahilah negara akan
terdedah kepada krisis ekonomi, maka mundurlah ekonomi negara tersebut. Dalam
konteks ini, semua individu dalam sebuah negara memainkan peranan penting dalam
mengamalkan amalan berjimat cermat. Sesungguhnya, terdapat banyak faedah yang
diperoleh daripada amalan itu.

Kepentingan Amalan Berjimat Cermat.

Apakah kepentingan amalan berjimat cermat?.

Isi 1: Persediaan dan Jaminan Masa Hadapan.

Apakah kepentingan amalan berjimat cermat?.

Amalan berjimat cermat membolehkan individu merancang masa depan


mereka.

Mengapakah amalan berjimat cermat perlu dilakukan?

Hal ini perlu dilakukan oleh semua orang bak kata pepatah “beringat sebelum
kena, berjimat sebelum habis” kerana kita tidak menduga sesuatu perkara yang akan
berlaku pada masa hadapan.

Bagaimanakah amalan ini perlu dilakukan?

Golongan masyarakat terutamanya ibu bapa perlu mengamalkan sikap berjimat


cermat terutamanya dalam aspek kewangan kerana “sedikit-sedikit lama-lama menjadi
bukit” dan “sehari selembar benang lama-lama menjadi kain”. Hal ini akan dapat
membantu mereka membiayai perbelanjaan pendidikan anak-anak apabila melanjutkan
pelajaran ke menara gading. Masyarakat terutamanya generasi muda perlu merancang
perbelanjaan mereka agar tidak berdepan dengan masalah apabila menempuh usia
emas kelak. Kebanyakan warga emas menghadapi masalah kerana mereka gagal
merancang kewangan ketika usia muda. Hal ini perlu dielakkan supaya tidak seperti
pepatah “sudah terhantuk baru tengadah”.

Contoh

Sebagai contoh, apabila anak-anak berjaya melanjutkan pelajaran, ibu bapa


akan memerlukan kos yang banyak. Sekiranya ibu bapa mempunyai wang simpanan,
mereka tidak menghadapi apa-apa masalah, sebaliknya jika ibu bapa tidak mempunyai
wang simpanan, mereka akan tertekan dengan kemelut kewangan sekali gus akan
mengharapkan biasiswa dan pinjaman daripada pihak kerajaan.

Rumusan isi

Oleh itu, kita janganlah menjadi masyarakat yangn sentiasa mengharapkan


bantuan daripada pihak kerajaan dan melahirkan bangsa yang sentiasa bertongkat.
Oleh hal yang demikian, amalan berjimat cermat ini dapat melahirkan masyarakat yang
harmoni dan keluarga yang bahagia kerana tidak mengalami sebarang tekanan
kewangan kerana mempunyai wang simpanan mereka sendiri.

Isi 2 : Persediaan Menghadapi Waktu Kecemasan.

Apakah kepentingan amalan berjimat cermat?.

“Malang tidak berbau”. Peribahasa ini sangat sinonim dengan fitrah kehidupan
manusia. Tiada sesiapapun yang mengetahui akan musibah yang bakal dihadapi pada
masa akan datang. Sejajar dengan itu, amalan berjimat cermat boleh membantu
masyarakat sebagai suatu persediaan apabila menghadapi waktu kecemasan seperti
perbelanjaan merawat pembedahan, kemalangan dan penyakit kronik yang dialami
oleh diri sendiri, ibu bapa atau kaum keluarga.

Mengapakah amalan berjimat cermat perlu dilakukan?

Sehubungan dengan itu, melalui amalan berjimat-cermat, kita tidak perlu


“mengemis” di merata-rata tempat apabila memerlukan rawatan kesihatan. Langkah
berjimat cermat ini sangat penting kepada masyarakat sebagai satu persediaan jika
berlaku sesuatu kecemasan kerana manusia hanya merancang sedangkan Tuhan yang
menentukan.

Bagaimanakah amalan ini penting kepada seseorang?

Hal ini disebabkan kos rawatan yang tinggi dan biasanya tidak mampu dibiayai
oleh pesakit terutamanya apabila melibatkan pembedahan dan penyakit kronik yang
memerlukan perbelanjaan beratus-ratus ribu ringgit. Kos rawatan yang terlalu tinggi ini
tentulah membebankan pesakit tersebut.

Contoh.

Apabila seseorang dimasukkan ke hospital kerana menghidap penyakit kronik seperti


kanser, rawatan pembedahan melibatkan perbelanjaan berjumlah beratus-ratus ribu
ringgit. Kegagalan pesakit menyediakan sejumlah wang yang besar ini boleh
menyebabkan pesakit tidak mendapat rawatan yang sewajarnya dan akan berakhir
dengan kematian.

Rumusan isi.

Rumusannya, langkah berjimat cermat ini sangat penting kepada masyarakat sebagai
satu persediaan menghadapi waktu kecemasan agar rawatan segera dapat
menyelamatkan nyawa pesakit.

Isi 3 : Kestabilan Ekonomi Negara.,

Apakah kepentingan amalan berjimat cermat?.

Salah satu faedah berjimat cermat ialah ekonomi negara dapat distabilkan.

Mengapakah amalan berjimat cermat perlu dilakukan?

Tanpa kestabilan ekonomi negara, sesebuah negara tidak dapat dibangunkan atau
dimajukan. Komitmen seseorang amatlah diharapkan bagi membangunkan ekonomi
Negara.
Bagaimanakah amalan berjimat cermat perlu dilakukan?

Seseorang itu dapat berjimat cermat dengan cara membeli barangan buatan
tempatan atau melancong dalam negara mereka sendiri. Apabila seseorang itu
membeli barangan buatan tempatan, hal ini akan mengelakkan pengaliran wang keluar
wang dan menggalakkan wang beredar dalam negara. Jika kita membeli barangan
buatan tempatan dan bukannya barangan import, wang yang kita bayar atau
belanjakan itu akan diterima oleh pengeluar tempatan dan wang tersebut boleh
mengalir dalam negara.

Contoh

Dengan pendapatan yang ada, negara akan dapat membiayai pelbagai projek
yang mendatangkan keuntungan, lebih-lebih lagi ketika kegawatan ekonomi. Negara
juga tidaklah perlu membuat pinjaman kewangan daripada Bank Dunia, justeru
maruah negara dapat diselamatkan. Oleh yang demikian itu, kegiatan ekonomi
tempatan dapat dihidupkan secara lebih aktif dan efektif. Impaknya, ekonomi menjadi
lebih mampan. Seseorang individu atau masyarakat turut dapat membantu kestabilan
ekonomi negara dengan mengamalkan pelancongan domestik. Mereka digalakkan
melancong dalam negara mereka sendiri seperti peribahasa “hujan emas di negeri
orang, hujan batu di negeri sendiri lebih baik di negeri sendiri” Apabila hal ini berlaku,
maka secara tidak langsung mereka telah memberi sumbangan kepada pertumbuhan
ekonomi. Ekonomi negara akan menjadi lebih teguh dan mantap. Wang yang
dibelanjakan akan diterima oleh pengusaha tempatan dan hal ini bermakna wang itu
seterusnya akan beredar dalam kalangan rakyat tempatan.

Rumusan isi

Oleh itu, jelaslah bahawa sikap berjimat cermat merupakan salah satu punca
yang menyumbang ke arah kekukuhan ekonomi negara. Sejajar dengan itu, marilah
kita bersama-sama mengamalkan amalan yang terpuji itu.

Langkah-Langkah Amalan Berjimat Cermat

Isi 4: Peranan ibu bapa

Apakah peranan ibu bapa untuk memupuk amalan berjimat cermat.

Ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak


mengamalkan tabiat suka berjimat cermat, sebagaimana dalam pepatah Melayu
“bagaimana acuan begitulah kuihnya”.

Mengapakah ibu bapa perlu menunjukkan sikap berhemah ketika berbelanja?.

Ibu bapa menunjukkan sikap bijak dan berhemah apabila berbelanja dan
menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak sama juga seperti peribahasa “bapa
borek anak rintik”.

Bagaimanakah ibu bapa boleh memupuk amalan berjimat-cermat?.

Antara langkah permulaan yang boleh dilakukan ialah menggalakkan anak-


anak membawa bekal makanan ke sekolah. Dalam hal ini, anak-anak mereka bukan
sahaja ditanam minat suka menabung dan berjimat cermat tetapi juga membawa
bekalan makanan seimbang yang disediakan oleh ibu dari segi khasiatnya malah
terjamin kebersihannya. Tidak timbul lagi masalah keracunan makanan yang sering
dihadapi oleh pelajar seandainya mereka makan makanan di kantin sekolah atau yang
dibeli di luar.

Contoh

Sebenarnya, penabungan wang belanja yang diberi oleh ibu bapa dapat
digunakan untuk membeli barang keperluan yang berfaedah seperti barangan peribadi
ataupun buku-buku rujukan. Hal ini, sebagai serampang dua mata, selain berjimat-
cermat, pada masa yang sama dapat merasai air tangan ibu dan boleh mengeratkan
kasih sayang ibu dan anak.

Rumusan isi.

Kesimpulannya, membawa bekalan makanan dari rumah ini perlu dijadikan


satu budaya yang patut diamalkan oleh setiap pelajar.

Isi 5: Peranan kerajaan dan rakyat

Apakah peranan kerajaan dan rakyat dalam usaha menggalakkan sikap berjimat
cermat?

Salah satu langkah untuk menggalakkan sikap berjimat cermat, kerajaan perlu
menyeru rakyat agar membuat pelaburan pendidikan untuk anak-anak.

Mengapakah pelaburan pendidikan ini amat berguna kepada ibu bapa dan anak-anak?

Pelaburan pendidikan ini amat berguna kerana para ibu bapa dapat
mempersiapkan diri awal-awal lagi untuk membiayai pendidikan anak-anak agar tidak
perlu berhadapan dengan masalah kewangan ketika sampai masanya anak-anak
memasuki institusi pendidikan. Janganlah nanti anak-anak terpaksa mengalah untuk
tidak menyambung pelajaran disebabkan masalah kewangan.

Bagaimanakah caranya ibu bapa boleh melabur dalam skim pelaburan pendidikan?

Para ibu bapa boleh memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan


mereka untuk membuat simpanan dalam skim pelaburan pendidikan.

Contoh

Pada hari ini, banyak syarikat insurans, umpamanya Malaysian National


Insurance (MNI), Malayan Alliance Assurance (MAA), Insuran Takaful dan Takaful
Nasional serta bank-bank perdagangan lain yang menawarkan pelan pendidikan untuk
meringankan beban ibu bapa bagi menampung pembiayaan pendidikan anak-anak
pada masa depan. Amalan ini sesuai dengan peribahasa Melayu , “ sediakan payung
sebelum hujan”.

Rumusan isi.

Sesungguhnya, kita tidak boleh mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata


kerana kita perlu berusaha sendiri untuk menempa kejayaan anak-anak. Pelaburan
awal ini dapat menjamin penerusan kegemilangan generasi cemerlang.

Isi 6: Peranan golongan wanita

Apakah peranan golongan wanita dalam amalan berjimat-cermat?


Kajian menunjukkan bahawa golongan wanita memainkan peranan penting dalam
mencorak perbelanjaan keluarga.

Mengapakah wanita perlu mempunyai pengetahuan dalam bidang ekonomi?

Bagi golongan wanita yang celik ekonomi,mereka akan sentiasa peka dan mengambil
berat tentang wang yang dibelanjakan.

Bagaimanakah golongan wanita boleh menstabilkan ekonomi rumah tangga?

Oleh itu, untuk memastikan ekonomi dalam rumah tangga mereka sentiasa
stabil, wanita yang bergelar suri rumah harus bertindak dengan bijaksana serta teliti
ketika berbelanja. Suri rumah perlu mengikis sikap terburu-buru semasa membuat
pilihan kerana hal ini akan merugikan diri.

Contoh

Sebagai contoh, mungkin mereka terpaksa membeli barangan yang tidak perlu
atau tidak berkualiti hanya kerana tertarik dengan iklan-iklan jualan murah yang “indah
khabar daripada rupa”. Selain itu, sekiranya mereka ada masa terluang, suri rumah ini
juga boleh menyahut seruan kerajaan agar berjimat cermat melalui penanaman sayur-
sayuran atau memelihara ayam itik di belakang rumah. Kebaikannya memang ketara,
iaitu di samping dapat menghidangkan sayur-sayuran yang segar untuk keluarga,
mereka juga dapat membantu suami mengurangkan perbelanjaan rumah tangga. Pada
masa yang sama, kempen yang dilancarkan oleh kerajaan agar membeli barangan
buatan tempatan perlu dimanfaatkan oleh golongan wanita. Jika selama ini mereka
terlalu taksub dengan barang-barang buatan luar negara yang kononnya berkualiti
tinggi, kini mereka boleh beralih arah dengan barang-barang buatan tempatan yang
tidak kurang hebatnya. Selain murah, barang-barang ini juga mempunyai kualiti yang
lebih baik.

Rumusan isi

Oleh itu, di samping berjimat cermat, suri rumah juga dapat membantu
menjana ekonomi negara.

Penutup

Konklusinya, amalan berjimat cermat perlu diamalkan oleh setiap lapisan


masyarakat agar hasrat murni kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi
akan tercapai. Sesungguhnya, amalan berjimat cermat dapat meloloskan diri daripada
belenggu inflasi yang melanda negara. Secara tidak langsung, hal ini akan melahirkan
warga negara yang bijak dan berhemah dalam mengurus ekonomi
keluarga,masyarakat dan negara. Maka, sekiranya kita sayang akan keluarga dan
negara daripada dibebani kebejatan ekonomi,kita perlu menggembleng tenaga dalam
mengamalkan budaya berjimat cermat. Akhirulkalam, “berakit-rakit ke hulu, berenang-
renang ke tepian,bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.’’

You might also like