You are on page 1of 1

SUDUT PELAJAR SMJK CHUNG HWA, KOTA BHARU

BAHAGIAN A

Lihat catatan di bawah ini dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang kepentingan
semangat kejiranan tersebut. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah
perkataan.

KEPENTINGAN SEMANGAT KEJIRANAN

• Mewujudkan masyarakat bersatu padu


• Melahirkan masyarakat yang prihatin
• Mengakrabkan hubungan sesama jiran

Contoh Jawaban
Jiran ialah sekelompok masyarakat setempat yang tinggal berhampiran antara satu
dengan lain. Jiran diibaratkan sebagai saudara kandung tempat kita mengadu atau
mendapatkan pertolongan. Jiran yang baik ibarat ‘cubit paha kiri paha kanan pun terasa’
amat sukar ditemui.’ Sesungguhnya, banyak kepentingan yang diperoleh jika kita
mengutamakan hubungan yang erat sesama jiran atau mengamalkan semangat kejiranan.

Salah satu kepentingan semangat kejiranan ialah kita dapat mewujudkan masyarakat
yang bersatu padu. Hal ini dapat dilaksanakan melalui budaya ziarah-menziarahi semasa
perayaan besar seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Hari Krismas, Hari
Gawai dan Deepavali. Selain itu kita juga boleh berkunjung ke rumah jiran ketika mereka
mendapat musibah atau sakit. Kunjungan kita ke rumah jiran mungkin dapat melegakan
penderitaan yang dialami mereka dan secara tidak langsung mengeratkan hubungan
silaturahim. Selain itu, hubungan antara kaum dan agama juga dapat dieratkan.

Semangat kejiranan juga berupaya mewujudkan masyarakat yang prihatin. Hal ini
boleh terjadi seandainya jiran tetangga saling mengambil berat antara satu dengan lain.
Hubungan yang terjalin akan memudahkan kita untuk meminta bantuan ketika dalam
kesusahan. Selain itu, kita juga boleh mengharapkan jiran memerhatikan rumah kita semasa
kita pulang ke kampung atau pergi melancong. Pada masa yang lain mungkin kita pula akan
dipinta oleh mereka untuk berbuat perkara yang serupa. Tegasnya, semangat kejiranan akan
melahirkan rasa prihatin dalam kalangan masyarakat.

Semangat kejiranan yang dipupuk juga memudahkan tugas yang besar dilaksanakan
secara bergotong-royong. Apabila hubungan sesama jiran sudah menjadi akrab seperti aur
dengan tebing, sesuatu tugas yang berat dan besar seperti membersihkan kawasan kampung
atau perumahan dapat dilaksanakan secara bersama-sama tanpa sebarang masalah. Oleh itu,
tugas yang berat menjadi mudah laksana ‘hati kuman sama dicecah hati gajah sama
dilapah.’ Lantas suasana yang harmoni dapat dibentuk dalam masyarakat.

Kesimpulannya, semangat kejiranan wajar dipupuk dalam masyarakat kita agar


masyarakat dapat hidup dalam keadaan harmoni. Sekiranya hal ini dapat dilakukan, maka akan
tercapailah cita-cita negara untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu dan penyayang
sebagaimana dihasratkan dalam matlamat Wawasan 2020.

BM 1 SPM – BAHAGIAN A – ESEI RANGSANGAN

You might also like