You are on page 1of 3

TEKS UCAPAN PENGETUA SEMPENA KEMPEN MEMBACA 1 MALAYSIA 2010 PERINGKAT SMK PALONG DUA (F), GEMAS

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh dan salam sejahtera Terlebih dahulu saya merakamkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana atas izin-Nya jua kita warga sekolah ini dapat bersama-sama menyempurnakan Majlis Pelancaran Kem Membaca 1 Malaysia 2010 secara serentak dengan majlis pelancaran di peringkat kebangsaan dan juga di peringkat Negeri Sembilan Darul Khusus pada hari ini, tanggal 8 November 2010. Kem Membaca 1 Malaysia yang bertemakan Membaca Menjana Pemikiran 1 Malaysia merupakan program yang dilaksanakan bersama JPN, BTPN, PKG, dan sekolah dengan kerjasama agensi kerajaan seperti PNM, serta Rakan Perkongsian Pintar KPM seperti Scholastics Malaysia dan MABOPA. Tujuan utama program ini adalah untuk membina tabiat membaca dan budaya cinta akan ilmu dalam semua lapisan masyarakat terutamanya golongan remaja selaras dengan hala tuju kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang kaya maklumat. Pelancaran Kem Membaca 1 Malaysia peringkat kebangsaan akan dirasmikan oleh YAB Tan Sri Dato Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, di SRJK (C) Tsun Sin, Jalan Perwira, Kg. Pandan, Kuala Lumpur. Manakala, di peringkat Negeri Sembilan pula akan dirasmikan pelancarannya oleh Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan di SK Serting (Felda). 1005 buah sekolah seluruh Malaysia, 50 buah daripadanya adalah dari Negeri Sembilan, dan salah satu daripadanya ialah SMK Palong Dua (F) telah terpilih menyertai program ini bagi memecah Malaysian Book of Records. Berikan tepukan yang bergemuruh kepada diri anda kerana telah terpilih untuk menyertai Kem Membaca 1 Malaysia. Untuk pengetahuan kamu, sekolah yang terpilih akan ditaja 1 set buku oleh Scholastics Malaysia selaku penaja program ini. Secara tidak langsung akan bertambahlah koleksi buku di Balai Bestari. Bukan satu perkara mudah untuk terpilih menyertai program ini, sudah tentu terdapat kriteria-kriteria tertentu yang perlu dipenuhi bagi meyakinkan pihak penaja untuk memilih sekolah kita. Mudah-mudahan, dengan kepercayaan ini, saya yakin dan percaya bahawa program ini akan menjadi momentum untuk melonjakkan sekolah kita setanding dengan sekolah-sekolah lain yang telah lama mencipta kejayaan dalam membudayakan amalan membaca dalam kalangan warganya. Tidak mustahil akan lahir Tokoh NILAM yang baharu sebagaimana yang telah dibuktikan oleh pelajar sekolah ini pada tahun 2009, iaitu Saudari Nor Ashimah binti Mohd Saleh yang telah terpilih mewakili Negeri Sembilan di peringkat kebangsaan. Di mana kemahuan, di situ ada jalan. Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Murid-murid yang dikasihi, Sifat suka membaca ialah satu amalan mulia dan seharusnya dijadikan budaya seumur hidup. Membaca adalah langkah untuk menimba ilmu, memperkayakan maklumat, ilmu pengetahuan dan kebolehan dalam pelbagai bidang. Dalam erti kata yang lain, melalui membaca kita boleh mendidik diri sendiri dalam pelbagai aspek. Ilmu pengetahuan dan maklumat membolehkan kita mempertingkatkan taraf hidup, mampu berdaya saing dan bergerak maju dalam dunia kini yang semakin mencabar dan berteknologi tinggi. Rakyat yang suka membaca merupakan aset kerajaan yang tidak terhingga nilainya kerana kehidupan pada hari esok banyak bergantung kepada apa yang kita pelajari pada hari ini. Salah satu penekanan Wawasan 2020 adalah untuk membangun Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya maklumat dan mempunyai ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan. Seiring dengan hala tuju Kerajaan ini, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia amat prihatin dan sentiasa memberi sokongan padu kepada program yang berfokuskan pembudayaan amalan membaca dan yang menitikberatkan hal-hal yang bercorak maklumat. Justeru, dalam tempoh Kempen Membaca 1 Malaysia, pihak sekolah ini akan mengadakan pelbagai aktiviti galakan membaca secara berperingkat dan berterusan yang meliputi aktiviti asas, aktiviti pemupukan, dan aktiviti pengayaan. Pendekatan seperti ini perlu dilaksanakan untuk memperhebat lagi pencapaian Program NILAM ke tahap yang lebih baik serta menyeluruh, dan seterusnya, membantu merealisasikan satu daripada KPI Kementerian Pelajaran Malaysia., iaitu mengurangkan jurang pencapaian antara murid bandar dengan murid luar bandar. Murid-murid yang dikasihi, Penemuan kajian The Reading Profile of Malaysians, pada tahun 1996 menunjukkan bahawa rakyat Malaysia dari umur 10 tahun ke atas adalah celik huruf . Dalam kajian tersebut juga ada menyatakan bahawa secara purata rakyat Malaysia hanya membaca 2 buah buku dalam setahun. Namun, berdasarkan analisis pelaksanaan Program NILAM tahun 2009, kadar bacaan murid semakin meningkat. Kadar bacaan murid sekolah rendah ialah 15 buah bagi setiap murid, manakala kadar bacaan murid sekolah menengah ialah 10 buah buku bagi setiap murid. Arah aliran ini jelas menunjukkan adanya anjakan paradigma dalam mentaliti rakyat negara ini. Oleh hal yang demikian, bagi meningkatkan tahap pembacaan berskala tinggi dalam kalangan masyarakat di bumi yang bertuah ini, saya yakin melalui program seperti Kem Membaca 1 Malaysia ini, akan dapat meningkatkan minat sekali gus mewujudkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat seperti masyarakat di negara-negara maju. Sempena dengan Kem Membaca 1 Malaysia ini, saya menyeru kepada semua murid dan para guru agar sering berkunjung ke perpustakaan dan menggunakan kemudahankemudahan yang disediakan oleh PSS sekolah ini demi memenuhi objektif program ini yang berhasrat menjadikan kempen ini sebagai ruang untuk mengisi masa lapang khususnya untuk murid tingkatan tiga yang telah selesai menduduki peperiksaan PMR 2010. Selain itu, program ini juga berperanan sebagai penggerak aktiviti galakan

membaca dan pemupukan minat membaca secara berterusan dan sepanjang hayat. Tidak dapat dinafikan, program ini juga berusaha menjadikan PSS atau perpustakaan awam dan desa sebagai tempat rujukan bahan bacaan. Ingatlah pesanan pantun lama yang berbunyi:

Berburu di padang datar, Dapat rusa berbelang di kaki; Berguru kepalang ajar, Ibarat bunga kembang tak jadi. Kesimpulannya, tiada jalan pintas untuk kita menempa kejayaan dalam apa-apa jua bidang., melainkan dengan menyemai tabiat suka membaca dan keberanian meneroka pelbagai cabaran dalam dunia ilmu yang penuh ranjau dan duri sebelum kita dapat mengecapi kemanisan kejayaan. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan syabas kepada Jawatankuasa Kempen Membaca 1 Malaysia SMK Palong Dua (F), serta semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Tanpa dedikasi dan keringat yang telah kalian curahkan, sudah barang tentu kejayaan pada hari ini sukar untuk kita peroleh. Dengan ini, saya dengan sukacita dan bangganya merasmikan Kempen Membaca 1 Malaysia peringkat SMK Palong Dua (F) 2010. Sekian, terima kasih. Wassalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.

You might also like