You are on page 1of 2

PRINSIP PEMERINTAHAN ISLAM

Oleh SAODAH ABD. RAHMAN

POLITIK atau perkara berkaitan dengan kepimpinan dan kenegaraan merupakan satu bidang
yang amat rumit serta berisiko tinggi. Setiap individu yang melibatkan diri dalam bidang ini
perlu bersedia menghadapi risiko apabila gagal menunaikan tugas kepimpinan memerintah
negara. Jawatan pemimpin dan pemerintah bukan merupakan satu pekerjaan yang kekal
atau berbentuk warisan. Jawatan ini adalah berkaitan dengan amanah Allah kepada individu
yang mempunyai kebolehan, kepakaran dan kebijaksanaan dalam mengendalikan urusan
kemasyarakatan dan kenegaraan.

Dalam arena politik dan kepimpinan, kerjasama di antara pemimpin dan rakyat merupakan
satu prinsip kepimpinan yang tidak boleh diabaikan. Islam memperkenalkan sistem
kepimpinan dan pemerintahan berlandaskan kepada amanah sebagai khalifah Allah di muka
bumi ini. Setiap umat Islam mempunyai tugas masing-masing dalam mengendalikan urusan
keduniaan berlandaskan kepada wahyu dan kepimpinan Rasulullah SAW.

Pemimpin atau pemerintah dianggap sebagai wakil rakyat untuk mengendalikan urusan
kenegaraan dan kemasyarakatan berdasarkan kepada prinsip kepimpinan dalam Islam
seperti mana dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda.

Apabila konsep kepimpinan ditafsirkan sebagai amanah yang berbentuk wakil rakyat maka
secara jelas menunjukkan bahawa setiap pemimpin dan pemerintah tidak mempunyai kuasa
mutlak untuk menguasai dan mewarisi negara yang dipimpin dan diperintah oleh mereka.

Pemimpin dan pemerintah perlu akur kepada suara rakyat jika mereka tidak dapat memenuhi
harapan dan impian rakyat dalam mengendalikan urusan keduniaan. Jika mereka mempunyai
keupayaan dan kebolehan memerintah dan memimpin serta menyemarakkan keamanan,
kestabilan politik, ekonomi serta bijak mengatasi rintangan dan permasalahan maka rakyat
perlu akur kepada suara dan arahan pemimpin dan pemerintah.

Apabila seseorang pemimpin tidak mempunyai keupayaan dalam kepimpinan dan


pemerintahan maka pelbagai permasalahan akan wujud dalam negara. Ketika ini rakyat perlu
bersuara dan mengkritik kepimpinan dengan tujuan meminta dan menyeru supaya
menyerahkan jawatan tersebut kepada orang yang lebih berkemampuan dan layak. Ini
merupakan satu bentuk kepimpinan dalam Islam.

Perletakkan jawatan akibat kegagalan dalam kepimpinan bukan merupakan satu perkara
yang aib, malah ia merupakan satu pengorbanan untuk kebaikan negara dan masyarakat.
Sikap akur kepada suara rakyat merupakan satu bentuk penghormatan diri yang dimiliki oleh
pemimpin Islam yang berwibawa.

Jawatan pemimpin hanyalah satu amanah dan tugas untuk mengendalikan urusan rakyat dan
negara. Jika rakyat tidak memerlukan kepimpinannya maka beliau terlepas daripada
memegang amanah berat yang dipikul selama ini.

Kepimpinan dan pemerintahan dalam Islam berunsurkan kepada kejujuran, keadilan,


kebijaksanaan dan jiwa kemanusiaan yang tinggi. Jika ciri-ciri ini disebatikan dalam pemikiran
dan hati nurani para pemimpin dan pemerintah negara Islam maka tidak akan berlaku
perselisihan atau pertarungan hebat untuk memegang jawatan tertinggi dalam kepimpinan.

Pertarungan dan perselisihan di antara para pemimpin dan pemerintah yang wujud dalam
negara Islam masa kini adalah akibat daripada salah tafsir dalam memahami konsep dan
prinsip dalam kepimpinan dan pemerintahan. Ini disebabkan pemikiran dan jiwa umat Islam
sering dikaburkan dengan keindahan dan kemewahan yang akan dinikmati ketika mereka
dilantik menjadi pemimpin dan pemerintah.

1
Pemikiran dan jiwa yang dihiasi dengan keindahan material dan keduniaan menyebabkan
umat Islam sering tersungkur apabila menjadi pemimpin negara.

Prinsip dan konsep kepimpinan dalam Islam terkubur apabila para pemimpin dan
pemerintahan Islam beranggapan bahawa kuasa yang dimiliki itu merupakan satu kuasa
mutlak, dan hak serta keistimewaan negara dijadikan hak milik diri dan ahli keluarga. Ini
merupakan satu dilema yang paling getir dihadapi oleh dunia Islam masa kini.

Kekayaan

Negara Islam yang mempunyai sumber kekayaan paling bernilai menjadi negara miskin
kerana harta dan kekayaan negara dimiliki oleh para pemimpin dan dikongsi bersama pelabur
asing. Kemiskinan yang wujud dalam negara-negara Arab yang terkenal dengan sumber
kekayaan dunia perlu dijadikan tauladan kepada para pemimpin dan pemerintah dalam
negara ini.

Umat Islam perlu memahami bahawa negara adalah hak milik penghuni dalam negara
tersebut. Setiap sumber kekayaan negara perlu dikongsi bersama dengan rakyat.
Tanggungjawab para pemimpin dan pemerintah perlu berasaskan kepada konsep kecintaan
kepada rakyat dan merupakan amanah Allah dalam mengendalikan urusan makhluknya di
muka bumi ini.

Jawatan pemimpin bukan merupakan satu jawatan yang terlalu istimewa mengikut perspektif
Islam. Ia hanya merupakan tugas dan amanah yang berat dan akan dipersoalkan oleh Allah
di hari Akhirat. Oleh itu setiap pemimpin perlu akur kepada suara dan rintihan rakyat supaya
kepimpinan mereka direstui oleh rakyat dan diberkati oleh Allah.

Konsep dan prinsip kepimpinan Islam perlu disemat dalam pemikiran dan jiwa umat Islam
supaya setiap individu yang dilantik menjadi pemimpin dan pemerintah memahami bahawa
setiap pergerakan dan aktiviti mereka dipantau oleh masyarakat. Ini merupakan satu cara
untuk membentuk sistem politik dan keperibadian umat Islam bersesuaian dengan konsep
dan prinsip sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Konsep dan prinsip kepimpinan yang berunsurkan demokrasi yang dilaksanakan oleh
Rasulullah SAW dan para sahabat perlu dijadikan panduan umat Islam. Rasulullah SAW tidak
mewarisi jawatan khalifah kepada ahli keluarga baginda atau individu tertentu. Baginda
menyerahkan perkara tersebut kepada masyarakat untuk menentukan siapakah yang layak
menjadi pemimpin selepas baginda.

Konsep keterbukaan menjadi amalan kepada para sahabat Rasulullah SAW semasa
memimpin negara. Abu Bakar secara terbuka meminta umat Islam menyokong dan taat
kepada beliau jika beliau melaksanakan tugas dengan baik. Beliau juga menggalakkan
masyarakat mengkritik dan menyuarakan tentangan terhadap beliau jika beliau gagal dalam
melaksanakan tugas.

Abu Bakar juga menyeru masyarakat menentang dan memecat beliau daripada jawatan
khalifah jika beliau gagal dalam pemerintahan dan ingkar meletakkan jawatan. Oleh itu
perlucutan jawatan dalam kepimpinan dan pentadbiran akibat kelemahan dan kegagalan para
pemimpin dan pentadbir merupakan satu fenomena biasa dalam sistem politik dan
pemerintahan dalam Islam.

Berdasarkan kepada prinsip dan konsep kepimpinan dan pemerintahan dalam Islam maka
diharapkan setiap pemimpin dan pentadbir dalam negara ini menumpukan perhatian kepada
tugas dengan sebaik mungkin semoga sumbangan dan pengorbanan mereka direstui oleh
rakyat dan diberkati oleh Allah.

Oleh itu rakyat dan pemimpin dalam negara ini perlu bekerjasama untuk menjadikan Malaysia
sebuah negara Islam yang maju.

UTUSAN MALAYSIA 24/10/2008

You might also like