You are on page 1of 11

Sinopsis

Kehadiran Pak Tua di Kampung Alor Rambai menimbulkan kecurigaan penduduk kampung. Dia dianggap gila kerana membeli bukit yang penuh dengan hutan belantara. Bukit tersebut dianggap tidak berfaedah oleh penduduk kampung. Pak Tua terlalu mencintai alam sekitar sehingga menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan penduduk kampung. Dia akan menegur sesiapa sahaja yang cuba menebang pokok. Hubungan Pak Tua dengan penduduk kampung tidak mesra, dia tersisih kerana sikapnya yang pendiam, suka memencilkan diri dan tidak mesra. Zahiran sebagai pelajar Tingkatan 3 di kampung tersebut berjaya mendekati lelaki misteri ini dalam usaha menjayakan projek sekolah lestari. Projek sekolah lestari telah diilhamkan oleh Cikgu Idham, pengetua baharu di SMK Alor Rambai yang proaktif dalam menceriakan kawasan sekolah. Zahiran dan rakan-rakannya telah ditugaskan untuk mencari beberapa jenis burung dan ikan untuk menghiasi taman sekolah mereka. Projek sekolah lestari ini adalah sebagai persediaan untuk menyertai pertandingan Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kementerian Pelajaran yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000. Hasil usaha Zahiran dan rakan-rakannya, Pak Tua mula diterima oleh penduduk kampung. Hamzah yang diserang demam kuning menjadi titik permulaan kepada usaha gotong-royong bagi membersihkan kawasan rumah Hamzah yang kotor dan menjadi tempat pembiakan nyamuk. Seluruh kampung turut dibersihkan. Hasil cetusan idea Pak Tua, Tabung Pak Hamid dilancarkan bagi membantu keluarga malang itu. Penyakit untut Pak Hamid berjaya dirawat setelah menjalani pembedahan di Hospital Appolo, Chennai, India. Tragedi pokok Bintangor yang terbakar membolehkan Zahiran mencungkil sejarah hidup Pak Tua, iaitu seorang saintis yang pernah tinggal di Chicago, Amerika Syarikat. Isteri Pak Tua, Kamariah dan dua orang anaknya Zahirah dan Zuwairah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kedua-dua orang anaknya meninggal dunia, manakala isterinya menderita penyakit HIV akibat pemindahan darah. Kamariah meninggal dunia sewaktu Pak Tua dan rakan-rakannya telah berjaya dalam usaha mengumpul sampel untuk penawar HIV. Pokok bintangor spesies calophyllum leanigerum merupakan estrak penting dalam menghasilkan penawar HIV. Pokok ini banyak terdapat di belantara negeri Sarawak dan Pak Tua telah berusaha menanam pokok bintangor di sekitar Bukit Bintangor. Akhirnya, Pak Tua telah menghembuskan nafas terakhir setelah dia mewakafkan tanahnya di Bukit Bintangor untuk tujuan pendidikan dan penyelidikan.

Sinopsis Bab demi Bab


Bab 1 : Perubahan Setiap kali memandang Bukit Bintangor, Zahiran pasti akan mengingati Pak Tua. Perkenalan Zahiran dengan Pak Tua telah mengubah persepsi Zahiran terhadap hutan dan alam sekitar. Bagi Pak Tua mahupun Zahiran, kesejahteraan hidup manusia pati tergugat sekiranya tumbuh-tumbuhan hijau dimusnahkan. Pak Tua bukan anak jati Kampung Alor Rambai. Asal-usulnya tidak diketahui. Pak Tua telah membeli sebuah bukit seluas empat hektar daripada seorang tauke Cina. Dia hidup bersendirian di sebuah pondok kayu di bukit itu. Dia tidak mudah mesra dengan orang kampung. Penduduk kampung Alor Rambai menganggap Pak Tua gila lantaran dia hidup terpencil di hutan di bukit itu. Pada mulanya, Zahiran pun tidak mempedulikan Pak Tua. Namun, setelah Zahiran ditegur Pak Tua semasa hendak menebang pokok bunga cempaka putih di hadapan rumahnya, kehadiran Pak Tua telah mula menarik perhatiannya. Peristiwa yang sama berlaku semasa Lebai Jusoh hendak menebang pokok kacang kelor di sebelah kedai runcit Pak Long Hamad. Tiba-tiba Pak Tua menghalang Lebai Jusoh dengan kasarnya. Sejak itu, penduduk kampung menganggap Pak Tua nyanyuk dan gila. Di samping itu, kehadiran Pengetua baharu yang bernama Cikgu Idham di Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Rambai turut mengubah suasana. Beliau mengajarkan Sains Pertanian. Beliau memulakan kempen Amalan Hijau Sekolah dengan memperkenalkan tong sampah kitar semula. Para pelajar tidak lagi dibenarkan menggunakan tisu kertas di sekolah, sebaliknya menggunakan sapu tangan. Beliau juga mengarahkan pejabat sekolah agar menggunakan kertas kitar semula. Cikgu Idham turut merancang untuk mewujudkan sebuah taman alam semula jadi di sekolah dengan melibatkan pelajar-pelajar sekolah itu dengan bekas pelajar serta PIBG dan JKKK. Projek sekolah lestari mesra alam yang diusahakan oleh Cikgu Idham banyak mendorong pelajar-pelajar melakukan aktiviti menarik sepanjang cuti sekolah. Bab 2 : Fitnah Zahiran, Kamal dan Hamzah berbual-bual selepas menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di Kampung Alor Rembai. Mereka sedang ber-bincang tentang projek lestari mesra alam sekolah mereka. Kamal memberi cadangan kepada Zahiran untuk menangkap burung yang diperlukan untuk projek itu. Zahiran menyatakan masalah yang dihadapinya, iaitu dua orang rakan sekumpulannya, yakni Osman dan Kadir mengalami demam. Namun demikian, mereka tetap meneruskan rancangan mereka untuk menangkap burung di Bukit Bintangor. Hamzah dengan segera menyatakan bahawa Zahiran pasti akan bertemu dengan orang tua gila itu di Bukit Bintangor kelak. Sewaktu Kasa, Seleman dan Setopa menoreh getah di kebun mereka yang terletak di sebelah Bukit Bintangor, mereka melihat lapan orang yang berpakaian kemas dan menaiki kereta mewah menemui Pak Tua. Pak Tua dilihati sedang menerangkan sesuatu. Kasa, Seleman dan Setopa mengesyaki orang yang menemui Pak Tua itu adalah orang jahat sama ada penjenayah atau tauke dadah. Berita ini telah heboh di kampung itu. Sejak itu, kebanyakan orang kampung memandang serong terhadap Pak Tua. Zahiran, Kadir dan Osman bersiap-siap untuk pergi menangkap burung di Bukit Bintangor. Namun demikian, Kadir dan Osman masih berasa ragu-ragu untuk pergi menangkap burung di situ kerana mereka pasti Pak Tua tidak akan membenarkan mereka berbuat demikian. Seleman juga melarang Kadir dan Osman pergi ke bukit itu kerana menurut Seleman, Pak Tua terlibat dengan kegiatan haram, iaitu memproses dadah. Menurut Seleman lagi, pihak polis telah membuat intipan di situ. Sesiapa yang bernasib malang pasti akan tertangkap sekiranya pergi ke bukit itu. Zahiran tidak mempercayai berita yang dibawa oleh Osman dan Kadir itu. Bagi Zahiran, sekiranya

Pak Tua benar-benar terlibat dengan kegiatan haram, sudah lama Pak Tua diberkas polis. Pada pandangan Zahiran, mungkin Seleman yang membuat fitnah tersebut kerana dia tidak suka akan Pak Tua. Bab 3 : Memasang Hasrat Semasa hendak pulang ke rumah, di selekoh menuju ke Bukit Bintangor, Zahiran terlihat jip Pak Tua tersadai di tepi jalan. Zahiran melihat Pak Tua terkial-kial hendak menukar tayar jipnya yang pancit itu. Zahiran menawarkan bantuan kepada Pak Tua. Pak Tua menerimanya dengan senang hati. Setelah selesai menukar tayar jip yang pancit itu, Pak Tua mempelawa Zahiran datang ke pondoknya. Pelawaan Pak Tua itu menyebabkan Zahiran terfikir bahawa Pak Tua bukanlah sombong atau pendiam seperti yang disangka selama ini. Lantaran kemesraan yang ditunjukkan Pak Tua itu, Zahiran memasang hasrat untuk bertandang ke pondok Pak Tua suatu hari nanti. Sejak awal pagi, Zahiran, Osman dan Kadir datang ke Bukit Bintangor untuk menangkap burung. Kadir dan Osman masih ragu-ragu tentang Pak Tua. Namun, Zahiran bersungguh-sungguh meyakinkan mereka bahawa Pak Tua seorang yang baik. Semasa Zahiran berada di atas pokok untuk meletakkan getah perekat burung, Osman dan Kadir tiba-tiba menyuruh Zahiran turun dengan segera dan melarikan diri kerana ternampak Pak Tua menuju ke arah mereka. Apabila Zahiran turun dari pkok, Pak Tua sudah tiba di situ dan me-negur Zahiran. Zahiran berterus terang dengan menceritakan tujuan dia dan rakan-rakannya datang ke Bukit Bintangor. Kata Pak Tua, semua orang boleh datang ke Bukit Bintangor asalkan tidak merosakkan tumbuhtumbuhan yang ada di situ. Pak Tua juga menjelaskan kepentingan tumbuhtumbuhan dan pertalian antara alam dengan manusia. Zahiran memahami apa yang diper-katakan oleh Pak Tua dan merasakan betapa halusnya perasaan Pak Tua. Pak Tua bertanya kepada Zahiran tentang persekolahannya. Zahiran menyatakan bahawa dia belajar di tingkatan tiga dan akan menghadapi peperiksaan PMR tidak lama lagi. Pak Tua berharap akan melanjutkan pelajaran dalam aliran sains selepas peperiksaan PMR kelak. Bab 4 : Bukan Sembarangan Orang Hamzah, Marzuki, Khuzairi, Osman, Kadir dan Zahiran berbincang tentang Pak Tua. Rakan-rakan Zahiran membuat pelbagai andaian terhadap Pak Tua. Zahiran mempertahankan Pak Tua apabila rakan-rakannya mengatakan bahawa Pak Tua gila. Pada Zahiran, Pak Tua merupakan seorang yang baik, penyayang dan mesra. Rakan-rakannya terkejut apabila Zahiran menyatakan bahawa dia pernah bertemu Pak Tua. Zahiran mengajak rakan-rakannya itu mengunjungi Pak Tua di pondoknya di Bukit Bintangor. Zahiran yakin bahawa Pak Tua bukanlah sembarangan orang. Akhirnya, mereka bersepakat untuk pergi ke rumah Pak Tua sekiranya diizinkan ibu dan bapa masing-masing. Zahiran sangat gembira kerana rakan-rakannya sudah mula berfikiran positif terhadap Pak Tua.

Bab 5 : Sangkaan yang Meleset Pagi itu, Zahiran menuju ke pondok Pak Tua di Bukit Bintangor. Zahiran kagum melihat pemandangan di sepanjang jalan menuju ke pondok Pak Tua. Keadaannya tidak semak, malah terdapat pelbagai jenis bunga seperti pokok kenanga, pokok mawar, pokok kemboja dan pelbagainya di situ. Keadaan di situ seola-olah sebuah taman rekreasi yang dijaga dengan rapi. Akhirnya, Zahiran tiba di pondok Pak Tua. Dia melihat Pak Tua sedang membelekbelek sebuah buku tebal. Pak Tua terperanjat melihat kehadiran Zahiran. Pak Tua mempelawa Zahiran bersarapan bersama dengannya. Selepas itu, Pak Tua mengajak Zahiran berjalan-jalan di sekitar bukit itu sambil menerangkan jenis-jenis dan habitat tumbuhan hijau yang ada di situ. Zahiran mendapati bahawa Pak Tua peramah orangnya. Pak Tua amat mencintai alam semula jadi. Sejak hari itu, Zahiran selalu mengunjungi Pak Tua di Bukit Bintangor. Kadangkadang, Zahiran bermalam di rumah Pak Tua. Zahiran semakin kenal akan pelbagai jenis pokok hutan yang selama ini amat asing pada pendengarannya. Pada suatu petang, Zahiran, Hamzah, Osman, Kadir, Marzuki dan Khuzairi bermain badminton di halaman rumah Zahiran. Sambil bermain, mereka berbincang tentang rancangan mereka untuk ke rumah Pak Tua. Mereka turut bercadang untuk berkelah bersama-sama dengan Pak Tua. Tiba pada hari yang dijanjikan, Zahiran dan rakan-rakannya berkunjung ke pondok Pak Tua. Pak Tua menyambut kedatangan mereka dengan gembira. Rakan-rakan Zahiran terpegun dengan keramahan dan kemesraan Pak Tua. Ternyata bahawa prasangka mereka terhadap Pak Tua meleset sekali. Setelah menjamu selera dengan makanan yang dibawa, Pak Tua membawa mereka berjalan-jalan di sekitar kawasan Bukit Bintangor itu. Pak Tua menceritakan kepentingan tumbuh-tumbuhan hijau kepada manusia dan makhluk-makhluk bernyawa yang lain. Lebih kurang pukul 4.30 petang, mereka pun pulang ke rumah. Dalam perjalanan pulang, rakan-rakan Zahiran menyatakan rasa kagum mereka terhadap usaha yang dijalankan oleh Pak Tua. Zahiran mencadangkan agar mereka meneruskan hubungan baik dengan Pak Tua. Zahiran juga memberitahu rakan-rakannya bahawa dia sering mengulang kaji di pondok Pak Tua. Rakan-rakannya agak terkejut. Namun, apabila ditanya tentang keluarga Pak Tua oleh rakan-rakan, Zahiran terdiam. Dia tidak mempunyai jawapan terhadap pertanyaan itu. Bab 6 : Karut-marut Hamzah sudah dua hari tidak pergi ke sekolah. Meledak berita bahawa Hamzah demam kerana telah tersampuk hantu tanah di Bukit Bintangor. Tersebar juga cerita bahawa Pak Tua pengamal ilmu hitam. Hal ini menyebabkan Pak Tua berasa tidak senang, oleh itu, Pak Tua mengajak Zahiran pergi ke rumah Hamzah untuk menziarahinya. Zahiran memberitahu keluarga Hamzah sangat miskin. Bapanya tidak lagi bekerja sejak menghidap penyakit untut. Dalam perjalanan menuju rumah Hamzah, Pak Tua banyak mendapati nyamuk di kawasan itu. Tiba di rumah Hamzah, Pak Tua mendapati rumah itu sangat daif dan uzur. Mak Limah, iaitu ibu Hamzah menyambut kedatangan mereka. Pak Tua dan Zahiran bersalaman dengan Pak Hamid, iaitu bapa Hamzah. Pak Hamid memberitahu Pak Tua bahawa Hamzah hanya deman biasa sahaja kerana ditegur hantu tanah. Namun, Pak Tua mendesak supaya Hamzah dibawa ke hospital dengan segera. Pak Tua khuatir kerana penyakit demam kuning yang dihidap Hamzah dapat membawa maut. Zahiran turut menyakinkan Pak Hamid dengan menyatakan bahawa semua perbelanjaan Hamzah ke hospital akan diuruskan oleh Pak Tua. Setelah diperiksa, ternyata Hamzah dijangkiti demam kuning yang disebabkan oleh gigitan nyamuk jenis aedes aegypti. Pak Tua menyarankan agar Pak Hamid juga perlu dibantu bagi mendapatkan rawatan untuk penyakit untutnya.

Bab 7: Kita Perlu Bertangggungjawab Penyakit sebenar yang dihidapi oleh Hamzah telah menutup mulut orang kampung yang selama ini berprasangka terhadap Pak Tua. Beberapa orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Rambai juga telah dimasukkan ke hospital kerana meng-hidap demam kuning. Peristiwa ini telah menyebabkan Cikgu Idham mengadakan mesyuarat untuk membincangkan perkara tersebut. Lebai Jusoh selaku ketua Kampung Alor Rambai turut dipanggil. Pak Tua turut diminta menghadirkan diri lantaran dialah orang pertama yang mengesan penyakit tersebut. Pak Tua menjelaskan bahawa penyakit demam kuning ini berpunca daripada nyamuk dan mencadangkan agar gotongroyong diadakan untuk membersihkan kawasan kampung. Kawasan kampung yang kotor merupakan punca pembiakan nyamuk. Kata sepakat telah dicapai dan mereka bersetuju untuk mengadakan gotong-royong. Dua minggu kemudian, penduduk Kampung Alor Rambai bergotong-royong membersihkan kawasan kampung. Mereka turut mendapat kerjasama daripada Syarikat Alam Flora, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kerja Raya. Wakil rakyat turut turun padang dan bermurah hati menyediakan makan dan minuman untuk aktiviti tersebut. Pak Tua turut mencadangkan agar tabung kutipan derma diadakan untuk membantu Pak Hamid bagi merawat penyakit untutnya. Pak Tua menjelaskan usahausaha yang akan dilakukannya. Cikgu Idham dan Lebai Jusoh bersetuju dengan cadangan Pak Tua. Penyakit untut Pak Tua berjaya disembuhkan setelah menerima rawatan di Hospital Chennai, India. Pada suatu hari selepas selesai makan, Zahiran ternampak kepulan asap tebal yang keluar dari pucuk-pucuk hutan dari arah Bukit Bintangor. Zahiran bergegas berlari ke Bukit Bintangor. Sewaktu tiba di situ, Zahiran melihat Pak Tua terjelepok di tepi perdu sebatang pokok bintangor yang telah terbakar. Zahiran melihat air mata Pak Tua mengalir deras. Kata Pak Tua, api datang dari bukit sebelah, iaitu dari arah kebun getah milih Seleman dan Kasa. Berita tentang pokok bintangor Pak Tua yang terbakar tersebar ke seluruh kampung. Di kedai runcit Pak Long Hamad, Seleman dan Kasa bermati-matian menafikan penglibatan mereka. Namun, selepas diugut oleh Zahiran bahawa kononnya Pak Tua akan membawa kes ini ke mahkamah, akhirnya mereka mengaku merekalah punca pokok bintangor itu terbakar. Setelah digertak oleh Pak Long Hamad, mereka memohon maaf daripada Pak Tua. Pak Tua memaafkan mereka. Zahiran pula ingin tahu akan sebab-sebab Pak Tua amat sayang pada pokokpokok bintangornya. Bab 8: Ada Kisah Tersendiri Zahiran bermalam di rumah Pak Tua. Ketika mereka berbual-bual, Zahiran bertanyakan sebab Pak Tua banyak menanam pokok Bintangor di bukit itu. Pak Tua terkedu dengan pertanyaan itu dan akhirnya membuka rahsiannya. Dengan wajah beriak sedih, Pak Tua menceritakan perihal isterinya, Kamariah yang dijangkiti virus HIV akibat darah yang dipindahlan ke dalam tubuhnya dan kemalangan yang meragut nyawa kedua-dua anak perempuannya di kota Chicago. Kemudian, Pak Tua menceritakan bahawa dia dan beberapa orang pakar botani University of Illinois membuat kajian berdasarkan estrak daripada pokok bintangor. Dengan panjang lebar, Pak Tua menceritakan tentang uji kaji yang dijalankan sehingga berjaya menghasilkan penawar bagi virus HIV. Malangnya, penawar tersebut tidak sempat dinikmati oleh isteri Pak Tua, Kamariah. Masa terus berlalu, Zahiran akan melanjutkan pelajarannya di Kolej Matrikulasi Melaka di Londang. Pak Tua pula sudah tiga tahun kembali ke rahmatullah. Pak Tua telah mewakafkan tanahnya di Bukit Bintangor untuk tujuan pendidikan dan penyelidikan. Pak Tua itu ialah Profesor Osman Yunus, seorang pesara penyelidik sintesis organik. Zahiran bercita-cita ingin menurut jejak Pak Tua dengan menjadi seorang ahli sains yang berjasa kepada manusia dan masyarakat sejagat.

Tema
Kepentingan menjaga alam sekitar. Pak Tua sangat mencintai alam sekitar sehingga dia sanggup membeli bukit yang dipenuhi hutan belantara. Dia melarang sesiapa sahaja yang cuba menebang pokok. Dia juga menangis apabila pokok bintangor kesayangannya terbakar.

Persoalan
a) Persoalan cinta akan alam sekitar. Pak Tua amat mencintai alam sekitar hingga sanggup membeli sebuah bukit seluas empat hektar yang dipenuhi belantara. Kawasan bukit ini ditanami dengan pokok bintangor. b) Persoalan menjaga kebersihan kawasan persekitaran. Penduduk Kampung Alor Rambai telah membersihkan kawasan rumah Pak Hamid dan kawasan kampung demi mengelakkan penyakit-penyakit bawaan nyamuk. c) Persoalan peranan pelajar menjayakan sesuatu projek sekolah. Zahiran dan rakan-rakannya berusaha mencari burung dan ikan untuk menjayakan projek sekolah lestari. d) Persoalan mempercayai kepercayaan karut. Pak Hamid mempercayai khidmat dukun Lebai Deraman yang mengubati anaknya, Hamzah. Hamzah dikatakan demam biasa akibat ditegur hantu tanah. e) Persoalan para saintis membuat kajian menghasilkan perubatan moden. Pak Tua dan rakan-rakannya berjaya menghasilkan penawar HIV daripada ekstrak pokok bintangor spesies calophyllum lanigerum. f) Persoalan sumber alam yang boleh memberikan manfaat kepada manusia. Sumber alam seperti pokok bunga cempaka putih boleh mengubati bisul. Kudis dan radang tengkuk; daun pokok kacang kelor berkhasiat membantu membersihkan darah, mengurangkan kandungan gula dan mengawal tekanan darah di dalam badan.

Watak dan Perwatakan


Watak Utama Zahiran o Anak yatim (bapanya telah meninggal dunia semasa berusia 10 tahun). o Pelajar Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Rambai. o Seorang yang baik hati (membantu Pak Tua menukar tayar jip yang pancit). o Menjadi ketua kumpulan mencari burung bagi menjayakan projek sekolah lestari. o Seorang yang mencintai alam sekitar dia sedar manusia mempunyai hubungan yang rapat dengan alam sekitar. o Dapat menguasai nama saintifik beberapa jenis pokok (belajar daripada Pak Tua). o Menjalinkan hubungan erat dengan Pak Tua. o Berjaya mengikis anggapan orang kampung terhadap Pak Tua. o Bertanggungjawab. Zahiran melaksanakan tugasan yang diarahkan seperti mencari burung. o Rajin berusaha. Zahiran rajin mengulangkaji pelajarannya dan mempelajari nama-nama saintifik pokok daripada Pak Tua. o Bijak. Zahiran bijak hingga berjaya melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi Melaka di Londang. o Bercita-cita untuk menjadi seorang saintis seperti Pak Tua. Watak Sampingan Pak Tua o Berusia dalam lingkungan 60-an. o Pendiam, selekeh, suka memencilkan diri, tidak mudah mesra. o Hidup bersendirian di sebuah pondok kayu. o Seorang saintis (Profesor Osman Yunus). o Pernah bertugas di Chichago, Amerika Syarikat. o Berharta (mampu membeli 4 hektar tanah di Bukit Bintangor). o Amat cinta akan alam sekitar. o Seorang yang berpengetahuan luas dalam banyak perkara mengetahui tentang punca penyakit untut yang disebabkan bawaan nyamuk, kegunaan pokok-pokok untuk tujuan perubatan. o Menguasai nama saintifik pokok-pokok. o Banyak idea bernas - beliau mencetuskan idea penubuhan Tabung Pak Hamid bagi membantu mengubati penyakitnya). o Seorang yang pemurah - mewakafkan Bukit Bintangor untuk tujuan pendidikan dan penyelidikan. Cikgu Idham o Pengetua baharu di SMK Alor Rambai. o Mengajarkan mata pelajaran Sains Pertanian. o Berusia dalam lingkungan 45 tahun. o Kreatif dan banyak idea. o Memperkenalkan Kempen Amalan Hijau Sekolah dan kitar semula. o Mencetuskan idea menceriakan kawasan sekolah dan mengadakan projek sekolah lestari. o Berfikiran terbuka dan mudah menerima idea Pak Tua untuk bergotong-royong membersihkan kampung serta menubuhkan Tabung Pak Hamid.

Plot
Novel ini dibina mengikut kronologi dari awal hingga akhir. Permulaan Dimulakan dengan kehadiran Pak Tua di Kampung Alor Rambai telah menimbulkan pelbagai prasangka penduduk kampung terhadapnya. Keputusan Pak Tua membeli bukit seluas empat hektar (bukit bintangor) menyebabkan penduduk kampung menganggapnya sebagai tidak waras. Zahiran cuba mendekati Pak Tua yang tinggal di kaki Bukit Bintangor. Perkembangan Cikgu Idham mencetuskan idea untuk mengadakan projek sekolah lestari dan berhasrat menyertai pertandingan Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar anjuran Jabatan Alam Sekitar dan Kementerian Pelajaran. Zahiran dan rakan-rakannya ditugaskan menangkap burung dan ikan, serta mencari pelbagai jenis pokok bunga. Secara tidak langsung, hal ini membolehkan Zahiran dan rakan-rakannya mengenali Pak Tua dengan lebih dekat. Mereka mendapati Pak Tua bukanlah seperti yang dianggap oleh orang kampung. Puncak Hamzah telah diserang penyakit demam kuning yang boleh membawa maut. Penyakit demam kuning berpunca daripada gigitan nyamuk aedes aegypti. Pak Tua menyarankan Hamzah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Rentetan daripada peristiwa itu, gotong-royong membersihkan kawasan rumah Hamzah dan sekitar kampung dijalankan. Peleraian Pak Tua berhasrat untuk membantu Pak Hamid yang menderita penyakit untut akibat gigitan nyamuk culex SP. Pak Tua mencadangkan penubuhan Tabung Pak Hamid untuk tujuan rawatan. Manakala, Zahiran berjaya mencungkil latar belakang kehidupan Pak Tua. Sebelum meninggal dunia, Pak Tua telah mewakafkan tanahnya di Bukit Bintangor untuk tujuan pendidikan dan penyelidikan. Teknik Plot o Dialog Contoh: Kenapa dengan jip pak cik? Zahiran mengulangi. Tayarnya pancit! ujar Pak Tua sambil mengeluh panjang. o Imbas kembali Contoh: Zahiran terkenang akan kisah Pak Tua setiap kali dia memandang Bukit Bintangor. Pak Tua telah menceritakan kisah kehidupannya kepada Zahiran. Suspens Contoh: Pembaca tertanya-tanya apakah yang berlaku apabila kelihatan asap tebal keluar dari pucuk-pucuk hutan di Bukit Bintangor. Kejutan Contoh: Zahiran mengetahui latar belakang kehidupan Pak Tua. Dia terkejut apabila mengetahui bahawa Pak Tua ialah saintis yang pernah bertugas di Chicago, Amerika. Pemerian Contoh: Bukit yang tersergam megah, menghijau di hujung kampung. Kampung Alor Rambai, Sungai Jeneri, Jeniang itu banyak kisahnya, terselit suka terpalit duka perjuangan seorang tua.

Latar
Latar Masa o Sekitar tahun 1990-an (buktinya kajian mencari ubat penyakit HIV dan adanya pertandingan Sekolah Lestari). o Peristiwa berlaku pada waktu pagi, petang dan malam Contoh peristiwa : i. Pagi Zahiran pergi ke Bukit Bintangor untuk berjumpa dan mengenali Pak Tua dengan lebih rapat. ii. Petang Zahiran pergi ke kedai runcit Pak Long Hamad dan dalam perjalanan dia melihat banyak tumbuhan hijau yang telah dikenalinya. iii. Malam Selepas sembahyang Isyak penduduk kampung telah berbincang tentang cadangan Pak Tua menubuhkan tabung kutipan derma bagi membantu mengubati penyakit Pak Hamid. Latar Tempat o Kampung Alor Rambai -- Secara keseluruhannya, kebanyakan peristiwa berlaku di Kampung Alor Rambai. o Bukit Bintangor -- Pak Tua telah menanam pokok bintangor yang hanya terdapat di belantara Sarawak. o Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Rambai -- Cikgu Idham memperkenalkan Kempen Amalan Hijau Sekolah. o Pondok Pak Tua di kaki Bukit Bintangor -- Pak Tua hidup bersendirian di pondok kayu di bukit itu. o Kedai Runcit Pak Long Hamad -- Setiap awal bulan, Pak Tua akan ke kedai runcit Pak Long Hamad untuk membeli barang-barang keperluan dapur. o Rumah Hamzah -- Pak Tua dan Zahiran mengunjungi rumah Hamzah untuk melawatnya yang sedang demam. o Hadapan rumah Zahiran -- Pak Tua menengking Zahiran yang sedang menebang pokok cempaka putih di hadapan rumahnya. o Sungai Jeneri -- Sewaktu musim hujan lebat, Sungai Jeneri akan dilimpahi air deras dan berbahaya. Latar Masyarakat o Masyarakat kampung yang suka membuat fitnah. Contoh: Seleman, Setopa dan Kasa menyebarkan fitnah bahawa Pak Tua terlibat dalam kegiatan haram memproses dadah untuk diedarkan ke bandarbandar besar seluruh negara. o Masyarakat pendidik yang berwawasan. Contoh: Cikgu Idham ialah guru yang berwawasan untuk merealisasikan impian pelajar Modal Insan Berdisiplin dan Sekolah Mesra Alam Lestari. o Masyarakat pelajar yang rajin dan bertanggungjawab. Contoh: Zahiran, Kadir, Hamzah dan rakan-rakannya yang lain rajin dan bertanggungjawab mencari pokok bunga, ikan dan burung yang diamanahkan kepada mereka. o Masyarakat saintis yang membuat uji kaji tentang penawar penyakit. Contoh: Profesor Osman Yunus bersama dengan beberapa orang pakar botani membuat penyelidikan dan berjaya menghasilkan penawar HIV.

Gaya Bahasa
Diksi o o o o o o o Penggunaan kata yang mudah difahami. Penggunaan istilah-istilah saintifik. Contoh: atmosfera, biodiversiti, bronchitis, farmakologi, sintesis dan virus. Penggunaan bahasa pinjaman Bahasa Arab. Contoh: madrasah. Penggunaan bahasa Inggeris. Contoh: mosquito. Penggunaan dialek. Contoh: benak (bertempiaran), ceridau (kicauan), jerba (terkam/terpa), mengeluyur (keadaan tidak keruan/merayau-rayau), terkelih (terlihat) dan upar (menggentel tapak tangan).

Penggunaan Ayat o Penggunaan ayat yang pendek. Contoh: Pagi berkabus. o Penggunaan ayat yang panjang. Contoh: Di pinggir bukit yang kaya dengan pokok-pokok pelbagai jenis mengalir Sungai Jeneri, tempat bermain seluang, baung, sempilai, haruan, kenjeng, lais, betuk, bujuk, tapah dan kedak. Bahasa Perbandingan o Simile. Contoh: seperti penceramah Forum Perdana (m.s: 11), terkenal macam Datuk Azhar Mansur (m.s: 39), Pandai betul kamu buat lawak ye! Macam Senario dalam TV3 (m.s: 41) Penggunaan imej alam o Contoh: sungai, bukit, pokok, ikan, burung, hutan balak, hutan belantara dan nyamuk. Sinkope o Contoh: tak, ni, nak, dah dan tu. Personifikasi o Contoh: mesra dengan hujan yang menitis, manja dengan belaian angin yang menderu segar, hujan tak bertandang menyuburkan tumbuhan hijau, angin tidak datang mengusap tubuh, sinarnya menjunam di celah-celah daun pokok lalu menimpa tanah, cahaya matahari masih lagi bersembunyi. Ungkapan Menarik o Simpulan Bahasa: tersenyum simpul (m.s : 10) o Peribahasa: tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, ada udang di sebalik batu. (m.s: 24) Bahasa puitis: Semua makhluk ada hubungan yang erat dengan cahaya matahari. Mesra dengan hujan yang menitis dari langit dan manja dengan belaian angin yang menderu segar.

Nilai
a) Kasih sayang antara sesama insan. Contohnya, Pak Tua menunjukkan kasih sayang sejati kepada isterinya, Kamariah sehingga dia sanggup membuat penyelidikan tentang penawar HIV. b) Tolong-menolong dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Contohnya, Zahiran telah menolong Pak Tua menukar tayar keretanya yang pancit. c) Kecekalan menghadapi halangan dan rintangan. Contohnya, Pak Tua cekal menghadapi dugaan hidup selepas kematian anak dan isterinya. d) Baik hati. Contohnya, Pak Tua baik hati terhadap keluarga Zahiran dengan membelikan barang-barang keperluan dapur. e) Bertanggungjawab. Contohnya, Zahiran dan rakan-rakannya bertanggungjawab menangkap burung dan ikan yang diamanahkan kepada mereka. f) Berkerjasama. Contohnya, Penduduk Kampung Alor Rambai bekerjasama membersihkan kawasan rumah Pak Hamid dan kawasan kampung demi menjaga kebersihan kawasan persekitaran.

Pengajaran
a) Kita hendaklah berkasih sayang antara satu sama lain. Contohnya, Pak Tua menunjukkan kasih sayang sejati kepada isterinya, Kamariah sehingga dia sanggup membuat penyelidikan tentang penawar HIV. b) Kita hendaklah bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara. Contohnya, Pak Tua dan rakan-rakan saintisnya bekerjasama menjalankan uji kaji untuk mencari penawar HIV. c) Kita haruslah menolong orang yang berada dalam kesusahan. Contohnya, Zahiran telah menolong Pak Tua menukar tayar keretanya yang pancit. Penduduk kampung juga telah membantu Pak Hamid dengan mengadakan kutipan derma bagi mengubati penyakitnya. d) Kita mestilah cekal apabila menghadapi halangan dan rintangan dalam hidup. Contohnya, Pak Tua cekal menghadapi dugaan hidup selepas kematian anak dan isterinya. e) Kita perlu bersikap baik hati terhadap orang lain. Contohnya, Pak Tua baik hati terhadap keluarga Zahiran dengan membelikan barang-barang keperluan dapur. f) Kita hendaklah bertanggunjawab terhadap amanah yang diberikan. Contohnya, Zahiran dan rakan-rakannya bertanggungjawab menangkap burung dan ikan yang diamanahkan kepada mereka. g) Kita mestilah menjaga kebersihan kawasan persekitaran pada setiap masa. Contohnya, Penduduk Kampung Alor Rambai bekerjasama membersihkan kawasan rumah Pak Hamid dan kawasan kampung demi menjaga kebersihan kawasan persekitaran.

You might also like