You are on page 1of 14

BAHASA DAN BAHAN SASTERA (BAHTERA): TINJAUAN AWAL

BAGI MEMENUHI KEPERLUAN SUKATAN PELAJARAN

Rozaiman Bin Makmun


Universiti Brunei Darussalam
gman@shbie.ubd.edu.bn

Abstrak. Kepentingan penyerapan atau penggunaan bahan sastera sebagai bahan


pengajaran dalam subjek Bahasa Melayu telah digariskan dengan jelas dalam Sukatan
Pelajaran Bahasa Melayu di negara ini. Dari sudut kebahasaan, bahasa kesusasteraan
merupakan peringkat kemahiran penggunaan bahasa yang tinggi. Dari sudut keperluan
pendidikan pula, bahan kesusasteraan mengandungi nilai-nilai murni yang perlu
disemai kepada pelajar. Namun, hakikat bahawa subjek Kesusasteraan Melayu sebagai
subjek pilihan telah mengehadkan jumlah pelajar yang boleh mengikutinya. Dengan
yang demikian, guru bahasa perlu memanfaatkan kedudukan subjek Bahasa Melayu
sebagai subjek wajib di peringkat sekolah, sebagai wahana untuk menyerapkan bahan
sastera. Berdasarkan temu bual yang dijalankan terhadap beberapa guru bahasa yang
sedang mengikuti kursus dalam perkhidmatan di UBD, sebilangan guru bahasa enggan
menggunakan bahan sastera dan mengabaikan bahan sastera yang terdapat dalam buku
teks Bahasa Melayu kerana: mereka kurang berminat; mereka tidak memahami sastera;
sukar untuk mendapatkan bahan sastera yang sesuai; dan mereka tidak dilatih secara
khusus untuk menggunakan bahan sastera sebagai bahan ajar dalam subjek Bahasa
Melayu. Melalui analisis terhadap beberapa bahan sastera yang terdapat di negara ini,
didapati bahawa bahan-bahan tersebut sangat mencukupi dan sangat sesuai digunakan
sebagai bahan ajar baik bagi peringkat rendah, mahupun bagi peringkat menengah.

Pengenalan

Kewujudan sastera sebagai dokumentasi kejadian alam dan aktiviti manusia diakui sebagai
media yang mampu menampungi pelbagai disiplin ilmu lalu mencetuskan konsep sastera
merentas kurikulum (Abdul Hamid dan Ab. Rahman, 2002). Jabatan Pendidikan Bahasa di
Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah juga menyedari hakikat ini sehingga jabatan ini
berusaha menawarkan kursus-kursus yang berkaitan dengan kesusasteraan seperti kursus PL
1225 Cerita Merentas Kurikulum; kursus PL3233 Penyerapan Sastera dalam Pengajaran
Bahasa; kursus PL3243 Pengajaran Gaya Bahasa; agar guru-guru yang terlatih dari jabatan ini
memiliki ketrampilan untuk menyerapkan bahan sastera dalam pengajaran bahasa dan subjek-
subjek yang lain.
Dari sudut lain, kita mengakui bahasa dan sastera itu sebagai elemen kebudayaan
bangsa. Mengajarkan bahasa dan sastera bermakna mengajarkan kebudayaan kepada pelajar.
Jika hal ini kita persetujui, maka semua pelajar seharusnya diberi kesempatan untuk
mempelajari bahasa dan sastera. Namun, hakikatnya budaya sekolah seolah-olah tidak begitu
menekankan keperluan ini sehingga cuma sebahagian pelajar sahaja yang berpeluang untuk
mempelajari subjek kesusasteraan sebagai subjek tunggal. Manakala pelajar-pelajar yang lain
hanya sekali-sekala mempelajari sastera apabila guru Bahasa Melayu menggunakan bahan
sastera untuk mengajarkan bahasa. Sedangkan, pentingnya penggunaan bahan sastera itu
tercermin pada tujuan dan objektif dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu di semua
peringkat. Di pihak guru pula, tidak semua cukup berinisiatif untuk menggunakan bahan
sastera. Namun kita tidak boleh menyalahkan guru kerana tidak semua guru Bahasa Melayu
dilatih untuk mengajarkan sastera. Di peringkat universiti, guru Bahasa Melayu dibenarkan
memilih minor mereka. Selain Kesusasteraan Melayu, ada yang memilih Pengajian Islam atau
MIB sebagai minor. Barang kali ada baiknya jika subjek Kesusasteraan Melayu itu tidak
diperiksakan namun diberikan status wajib agar semua pelajar berkesempatan untuk

1
menikmatinya seperti subjek MIB. Namun, hal ini memerlukan kajian yang lebih lanjut. Hal ini
kerana subjek yang tidak diperiksakan cenderung pula diabaikan. Timbul pula persoalan baik
atau buruknya sastera dan bahasa itu disatukan dengan alasan bahasa dan sastera juga disatukan
di peringkat lanjutan (A’ Level).
Menyedari hakikat sastera sebagai ketrampilan berbahasa yang tinggi, bermula pada
tahun 2000, secara berperingkat, kerajaan Malaysia mewajibkan penyerapan bahan sastera ke
dalam pengajaran bahasa Melayu sebagai komponen wajib. Komponen ini diberikan istilah
khusus sebagai KOMSAS. Di Brunei Darussalam, komponen sastera memang sejak dahulu
telah diserapkan ke dalam pengajaran bahasa sebagaimana yang dimaksudkan dalam Sukatan
Pelajaran Bahasa Melayu di semua peringkat. Namun, komponen ini sering pula diabaikan
oleh kebanyakan guru kerana mereka tidak dilatih secara khusus untuk menggunakan bahan
sastera dalam pengajaran bahasa, tambahan lagi, komponen ini tidak diwajibkan. Guru-guru
lebih suka mengajarkan peribahasa kerana ia lebih ringkas dan mudah digunakan dalam
pembinaan ayat atau karangan. Manakala genre sastera lain seperti cerpen, novel, drama, sajak,
syair, hikayat dan sebagainya itu kurang diberi perhatian. Menyedari fenomena ini, Jabatan
Pendidikan Bahasa, Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah telah membentuk kursus teras
PL3233 Penyerapan Sastera dalam Pengajaran Bahasa yang perlu diikuti oleh guru Bahasa
Melayu dengan harapan bahan sastera akan digunakan dalam pengajaran bahasa dengan cara
yang terancang dan berkesan.
Kajian awal ini dilaksanakan menggunakan kaedah analisis dokumen. Dokumen dan
bahan-bahan yang dianalisis ialah Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu, buku-buku terbitan DBP
dan buku-buku teks Bahasa Melayu di Brunei Darussalam. Tujuan utama kajian ini ialah untuk
memperkatakan tentang kepentingan bahan sastera dalam pengajaran bahasa bagi memenuhi
sebahagian keperluan objektif yang tercatat dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu, Jabatan
Perkembangan Kurikulum, Negara Brunei Darussalam.
Penulis memperkenalkan istilah singkat BAHTERA (KOMSAS di Malaysia) yang
membawa maksud ‘penyerapan bahan sastera dalam pengajaran bahasa Melayu.’ Untuk
menyedari hakikat pentingnya BAHTERA, tajuk ke-2 berikut ini akan membincangkan
falsafah dan objektif pengajaran bahan sastera.

Falsafah dan Objektif Penggunaan BAHTERA

Fokus pengajaran bahasa menggunakan bahan sastera tidak begitu sama dengan fokus
pengajaran sastera dalam subjek Kesusasteraan Melayu. Dalam kelas bahasa, karya sastera
digunakan sebagai bahan. Hal ini bermakna fokus pengajaran tetap pada kemahiran berbahasa
dan aspek bahasa. Sedangkan aspek sastera (bentuk dan isi) hanya menjadi fokus sampingan
atau ilmu dan nilai yang diserapkan. Hal ini akan dibincangkan dalam bahagian strategi
penggabungjalinan dengan lebih lanjut.
Keunikan BAHTERA ini dapat dilihat melalui tujuan pengajarannya yang merangkumi
tujuan pengajaran bahasa dan sastera. Di samping peluang mempertingkat penguasaan pelajar
terhadap kemahiran berbahasa dan aspek bahasa (kecekapan dan prestasi berbahasa), pelajar
juga berpeluang mengapresiasi karya sastera, khususnya karya sastera tempatan.
Umum memaklumi betapa kayanya karya sastera dengan nilai-nilai kehidupan dan
kemanusiaan. Ungkapan ‘sastera sebagai cerminan masyarakat’ tetap diperakukan oleh
masyarakat kerana penciptaan karya sastera itu merupakan pengalaman (lahir dan batin)
penulisnya ketika berinteraksi dengan masyarakat. Dengan menerima karya sastera sebagai
cerminan masyarakat, ia juga berimplikasi penerimaan kita terhadap karya sastera sebagai
sebahagian daripada dokumentasi kebudayaan (Rozaiman, 2000). Hal ini kerana kebudayaan
itu adalah cara hidup. Karya sastera pula cebisan pengalaman hidup penulis.
Kekuatan dan ketelitian pengamatan penulis tentang kehidupan dan masyarakat inilah
yang akan kita serapkan dalam pengajaran bahasa. Nilai-nilai seperti ketaatan, tolong-
menolong, berawar galat, berdangansanak, memucang-mucang, kasih sayang, cinta, jujur,

2
amanah, ikhlas, usaha, cita-cita, iltizam, nasionalisme dan sebagainya itu perlu diserapkan ke
jiwa pelajar-pelajar dengan harapan dijadikan benih untuk menyemai kekuatan akal, rohani dan
jasmani.
Di samping itu, penggunaan gaya bahasa juga merupakan ketrampilan berbahasa yang
tinggi yang perlu dipelajari oleh pelajar. Penggunaan bahasa yang halus dan sopan seperti yang
digunakan dalam pantun dan peribahasa mampu membayangkan kehalusan akal budi
masyarakat Melayu. Penggunaan bahasa perlambangan dalam sajak dan pembayang pantun
menggambarkan keupayaan berfikir secara analogi dalam kalangan masyarakat Melayu.
Kekuatan gaya bahasa dalam cerpen dan novel mampu menggamit jiwa pelajar untuk
menghargai alam ciptaan Tuhan.
Pengalaman watak dan latar tempat dalam penceritaan pula mampu membawa pelajar-
pelajar mengembara ke dunia sawah, laut, bukit, hutan, desa yang mungkin tidak dirasai oleh
mereka lagi. Teknik-teknik penceritaan yang pelbagai aliran pula akan menyedarkan pelajar-
pelajar bahawa penulis-penulis tempatan sudah maju. Karya-karya mereka sama hebatnya
dengan karya penulis-penulis luar. Karya sastera tempatan tidak hanya menjadi wadah idea-
idea romantisisme malah digunakan juga untuk membawakan persoalan-persoalan berat yang
mampu merangsang keupayaan berfikir dalam kalangan pelajar.
Dalam Sukatan Pelajaran Kesusasteraan Melayu, Negara Brunei Darussalam ada
digariskan tujuan dan objektif pengajaran dan pemelajaran kesusasteraan. Walaupun
BAHTERA cuma menggunakan karya sastera sebagai bahan untuk mengajarkan bahasa,
namun dari segi pendidikan bersepadu atau strategi penggabungjalinan, objektif dan tujuan
mengajarkan kesusasteraan itu boleh dijadikan dasar pengajaran dan pemelajaran BAHTERA.
Berikut ini, dipaparkan kembali objektif dan tujuan pengajaran dan pemelajaran kesusasteraan:

1. menanamkan semangat cintakan tanah air dan nilai-nilai kemanusiaan dengan


memperkenalkan unsur-unsur kebruneian yang berlandaskan falsafah Melayu Islam
Beraja;
2. mendidik pelajar mengamalkan keperibadian kebruneian dan mengenali sosiobudaya di
sekelilingnya, seimbang dengan peranan mereka sebagai anggota masyarakat; dan
3. melahirkan individu yang berminat untuk mengenali karya sastera yang bermutu dan
menikmati serta menghayati bahan-bahan yang berunsur sastera.

Tujuan yang dinyatakan di atas lebih merupakan objektif jangka masa panjang,
sedangkan objektif di bawah ini merupakan objektif yang lebih khusus dan diharapkan mampu
dicapai dalam masa yang terdekat:

1. memberi kefahaman tentang nilai-nilai kemanusiaan, kemasyarakatan dan kebudayaan


yang terdapat dalam karya sastera;
2. menerapkan nilai-nilai moral yang dicerminkan melalui karya sastera;
3. menganalisis bentuk dan memberi kefahaman isi kesusasteraan serta menghargai nilai
keindahan bahasa dalam kesusasteraan;
4. mengekalkan, menyuburkan dan memperkembangkan minat terhadap kesusasteraan;
dan
5. membuat penilaian terhadap mutu sesuatu karya sastera dan menghasilkan karya
sastera yang sepadan dengan kemampuan pelajar.

Di samping objektif yang berkaitan dengan kesusasteraan di atas, objektif yang


berkaitan dengan pengajaran dan pemelajaran bahasa juga ditekankan. Hal ini kerana, untuk
mencapai tujuan dan objektif yang dinyatakan di atas sudah tentu memerlukan penguasaan
pelajar terhadap kemahiran berbahasa yang tinggi, iaitu mendengar, bertutur, membaca dan
menulis. Di samping itu, kemahiran lain seperti kemahiran berfikir, menganalisis,
mengkategori, dan mengaplikasi juga diperlukan.

3
Penggunaan bahan sastera dalam pengajaran Bahasa Melayu telah diperakui
kepentingannya sehingga keperluan ini telah digariskan sebagai objektif dan tujuan dalam
Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu bagi sekolah rendah, menengah bawah dan menengah atas
(Jabatan Perkembangan Kurikulum, 1994a, 1994b dan 2006). Berikut ini dipaparkan kembali
objektif tersebut dan perhatikan ayat yang digariskan.
Objektif yang termuat dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (2006: 3) bagi
sekolah-sekolah rendah adalah:

1. mengetahui peraturan bahasa Melayu terutama dari segi fonologi, morfologi, dan
sintaksis;
2. bertutur dalam bahasa Melayu dengan lancar dan fasih serta memberi pendapat dan
hujah-hujah yang kritis dan analitis dalam pelbagai situasi;
3. mendengar, memahami dan menilai pertuturan dalam apa jua siaran am dan media
massa;
4. membaca, memahami dan menghayati pelbagai bahan termasuk bahan-bahan
kesusasteraan dan ilmiah;
5. menghasilkan pelbagai bentuk penulisan.

Objektif yang tercatat dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (1994a: 4) bagi
sekolah menengah bawah adalah:

1. menguasai segala peraturan bahasa Melayu baku terutama dari segi fonologi,
morfologi, dan sintaksis;
2. bertutur dalam bahasa Melayu baku dengan lancar dan fasih serta memberi pendapat
dan hujah-hujah yang kritis dan analitis dalam pelbagai situasi;
3. mendengar, memahami dan menilai pertuturan dalam apa jua siaran am dan media
massa;
4. membaca, memahami dan menghayati pelbagai bahan termasuk bahan-bahan
kesusasteraan dan ilmiah; dan
5. menghasilkan pelbagai bentuk penulisan, darihal perkara-perkara yang bersangkut paut
dengan kehidupan mereka dan berpadanan dengan peringkat umur mereka dan
kebolehan mereka.

Objektif yang termuat dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (1994b: xi) bagi
sekolah menengah atas adalah:

1. menguasai segala peraturan bahasa Melayu dari segi fonologi, morfologi, sintaksis,
semantik, wacana dan sosiolinguistik, sehingga pelajar-pelajar dapat mengungkapkan
sesuatu dengan betul dan sesuai, menepati konteks dan tujuan pengungkapan;
2. memahami, mengesan, mengutip, mengumpul dan menilai secara kritis dan analitis
akan buah fikiran atau idea yang termuat di dalam apa sahaja bahan yang mereka tatapi
secara kritis dan analitis, baik bahan lisan mahupun persuratan, baik idea itu tersurat
mahupun tersirat bagi tujuan menambah ilmu, mempertajam pemikiran dan
mendapatkan hiburan;
3. menerbitkan atau menyatakan apa sahaja buah fikiran secara teliti, teratur, kemas,
terpadu dan logis melalui saluran lisan dan persuratan sehingga dapat difahami dengan
tepat oleh khalayaknya, yakni pendengar ucapannya dan pembaca tulisannya; dan
4. menerbitkan ungkapan-ungkapan baru ciptannya sendiri yang indah dan tidak semata-
mata menerbitkan semula apa yang ditemui sebelumnya.

Dalam subjek Bahasa Melayu, terdapat pelajaran menulis karangan. Antara jenis
karangan itu ialah karangan jenis naratif. Dengan mempelajari teknik penceritaan, pelukisan

4
watak, latar dan penyusunan peristiwa kronologi dan antikronologi, sudah tentu membantu
pelajar untuk menghasilkan karangan naratif yang bermutu. Hal ini membuktikan pengajaran
BAHTERA mampu melengkapkan pelajar dengan kemahiran bercerita.
Menurut Taksonomi Bloom (1956) terdapat tiga domain yang perlu dititikberatkan,
iaitu domain kognitif, afektif dan psikomotor. Penggunaan BAHTERA mampu memenuhi
tuntutan ini. Domain kognitif mampu dipenuhi melalui aktiviti membaca dan memahami karya
sastera, berbincang, memberikan pendapat, mengulas, menyoal dan sebagainya. Domain afektif
mampu dipenuhi dengan aktiviti mendeklamasi sajak, pantun, syair; melakonkan babak dan
adegan dalam drama; mengupas nilai-nilai yang terkandung dalam watak dan perwatakan, latar
tempat dan latar kebudayaan. Domain psikomotor pula mampu dipenuhi dengan aktiviti-aktivti
yang dijalankan seperti lakonan, pantomim, main peranan, dan seumpamanya.
Pentingnya penyerapan bahan sastera dalam pengajaran bahasa diperkuatkan lagi
dengan anggapan bahawa karya sastera sebagai dokumentasi ilmu kemanusiaan. Di dalamnya
terkandung aspek-aspek psikologi, sosiologi, kebudayaan, kepercayaan, sejarah, selaku nilai-
nilai yang perlu disemai dan disemadikan pada jiwa pelajar-pelajar. Namun apa yang
mengecewakan ialah sikap sesetengah warga, pendidik bahkan ilmuan di negara ini yang tidak
bersikap pemedulian terhadap kewujudan sastera tradisional negara ini. Hal ini pernah
diungkapkan oleh Haji Hashim Haji Abdul Hamid (1998). Beliau pernah mencatatkan perihal
ilmuan tempatan yang tidak cukup kenal dengan Syair Awang Semaun.
Melalui Syair Yang Di-Pertuan, Syair Awang Semaun, Silsilah Raja-Raja Brunei, dan
Syair Rakis, pelajar-pelajar berkesempatan menikmati dokumentasi sejarah negara dalam
bentuk karya sastera. Pendokumentasian karya sastera sejarah dalam gaya bahasa yang tidak
kaku mampu memaparkan sedikit sebanyak aspek sejarah negara dengan cara yang berlainan
sedikit dari buku-buku sejarah yang menggunakan gaya bahas ilmiah, baku namun kaku.
Karya sastera seperti lagu-lagu rakyat, diangdangan dan penglipur lara pula mampu
menggambarkan corak hiburan masyarakat lampau. Pendedahan ini akan menyedarkan pelajar
tentang kemajuan yang telah dicapai dan dinikmati oleh mereka. Masyarakat lampau tidak
memiliki televisyen dan satelit seperti sekarang. Masyarakat dahulu mampu mengharungi
keperitan hidup tanpa peralatan canggih. Pelajar hendaknya bersyukur dengan kemajuan yang
telah diusahakan oleh kerajaan. Dengan kesedaran ini, pelajar akan menggunakan kemudahan
yang ada sekarang dengan efisien dan tidak menyalahgunakan teknologi, khususnya telefon
bimbit dan internet serta tidak membuang masa dengan menonton televisyen sehinga berjam-
jam lamanya.
Melalui perbincangan di atas, kita melihat pengajaran BAHTERA semakin relevan
dengan era globalisasi. Keperluan mendedahkan pelajar-pelajar dengan nilai-nilai kemanusiaan
semakin mendesak agar dapat menyeimbangi kepantasan dunia sains dan teknologi. Unsur-
unsur kebudayaan dan kepercayaan bangsa Melayu perlu sentiasa disemai pada jiwa pelajar
agar tidak kering dengan tuntutan materialistik dan kebendaan. Dengan penyemaian nilai-nilai
kemanusiaan ini, diharapkan mampu mengisi belahan emosi dan rohani pelajar di samping
belahan akli dan jasmani, sehingga setiap belahan kemanusiaan itu mampu diperkembang
dengan seimbang (jasmani, rohani, akli dan emosi). Karya sastera juga penting untuk
memberikan pembentukan tarbiah dan kesedaran bernegara bangsa (Haji Hashim Haji Abdul
Hamid, 1998).

Bahan sastera dalam buku teks Bahasa Melayu

Melalui analisis terhadap buku teks Bahasa Melayu peringkat menengah 1 hingga menengah 5,
yang ditulis oleh Nik Safiah Karim, bahan sastera telah berjaya disediakan seperti yang
diinginkan. Hal ini telah dijangkakan kerana penulis ini merupakan antara pejuang bahasa dan
sastera yang terunggul di rantau kita. Bahan-bahan seperti pantun, dialog drama, perambahan
Brunei, perumpamaan, pepatah, syair rakis, bidalan, nyanyian tradisional Brunei, cerita rakyat,
sajak, pantun, simpulan bahasa, cerpen, kata-kata hikmat dan sebagainya telah disusun dengan

5
baik serta merangkumi aspek pengajaran kemahiran berbahasa dan aspek bahasa yang lain
termasuk Jawi. Harapan kita seterusnya ialah agar bahan-bahan ini digunakan oleh guru bahasa
sebaik mungkin. Namun bahan-bahan yang ada dalam buku teks itu masih terhad kerana
terpaksa berbahagi ruang dengan bahan-bahan lain. Untuk itu, kita mengharapkan agar guru-
guru bahasa mampu menggunakan bahan-bahan yang sedia ada yang diterbitkan oleh institusi
tertentu, terutamanya Dewan Bahasa dan Pustaka. Bahan-bahan yang telah diterbit, seperti
yang direntang di atas tadi, cukup banyak dan sesuai digunakan untuk keperluan bahan ajar
Bahasa Melayu di sekolah. Melalui temu bual pengkaji bersama beberapa guru bahasa yang
mengikuti kursus dalam perkhidmatan di Universiti Brunei Darussalam, bahan-bahan sastera
yang terdapat di dalam buku teks Bahasa Melayu sering diabaikan dan tidak diajarkan kerana
sebilangan guru bahasa kurang berminat dengan bahan sastera, tidak memahami bahan sastera
dan ada pula yang beralasan tidak mendapat latihan khusus untuk mengajarkan dan
menggunakan bahan sastera. Pada hemat pengkaji, hal ini perlu kajian yang lebih meluas dan
mendalam. Dalam pada itu, inisiatif Jabatan Pendidikan Bahasa, IPSHB, UBD, menawarkan
kursus terbaharu, PL3233 Penyerapan Sastera dalam Pengajaran Bahasa boleh disifatkan
sebagai kena pada masanya. Apa yang diharapkan ialah agar guru-guru bahasa tidak hanya
bergantung sepenuhnya kepada buku teks kerana bahan-bahan yang disediakan dalam buku itu
masih terhad. Guru-guru bahasa hendaklah mengambil inisiatif untuk meneroka bahan-bahan
sastera yang terdapat di negara ini, khususnya bahan-bahan yang telah diterbitkan oleh DBP.
Bahagian berikut ini akan membincangkan bahan sastera yang terdapat di Brunei Darussalam,
teknik, aktiviti dan strategi pengajaran bahan sastera.

Bahan Ajar Kesusasteraan di Brunei Darussalam

Bahan sastera yang boleh digunakan sebagai bahan ajar dalam pengajaran bahasa boleh terdiri
daripada dua bahagian, iaitu buku-buku teks dan karya sastera umum. Buku-buku teks subjek
Kesusasteraan Melayu di peringkat menengah di Brunei Darussalam kini menggunakan karya
tempatan, iaitu:

a) Hikayat Awang Kamaruddin (penglipur lara)


b) Pengabdian (novel)
c) Cermin Diri (antologi sajak)
d) Meniti Waktu (antologi cerpen)

Karya-karya di atas hanya dinikmati oleh pelajar-pelajar menengah empat dan lima
yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu. Hal ini bermakna, pelajar-pelajar lain tidak
berkesempatan untuk menikmati karya tersebut. Oleh itu, guru-guru bahasa perlu mengambil
inisiatif bagi menggunakan karya-karya tersebut dalam pengajaran Bahasa Melayu namun perlu
sesuai dengan aspek bahasa yang hendak diajarkan. Di samping karya-karya tersebut, karya-
karya lain boleh digunakan.
Karya sastera yang ada di negara kita lebih daripada mencukupi. Ia terbahagi kepada
dua kategori utama, iaitu Kesusasteraan Melayu Tradisional Brunei dan Kesusasteraan Melayu
Moden Brunei.

Kesusasteraan Melayu Tradisional Brunei

Khazah kesusasteraan tradisional negara kita tidak ternilai harganya. Guru-guru boleh memilih
bahan ajar antaranya yang berbentuk pantun, syair, perambahan, diangdangan, sastera sejarah
atau historiografi, sastera epik dan sastera lagenda. Untuk permulaan, guru-guru boleh bertolak
dari buku Pengantar Sastera Lama Brunei (Awang Bin Ahmad, 1989) sebagai panduan.
Berikut ini disenaraikan beberapa buah buku terbitan DBP, penerbit lain dan terbitan
persendirian yang boleh digunakan sebagai bahan ajar.

6
a) Pantun
Buku seperti Lanang Beladu Lanang boleh digunakan. Buku ini merupakan kumpulan pantun
bangsa Melayu Brunei yang diungkayahkan oleh Prof. Madya Dr. Hj. Hashim. Pantun-pantun
yang terkumpul terdiri daripada pelbagai jenis pantun dan sarat dengan persoalan dan
pengajaran. Pembayang-pembayang maksud yang sarat dengan perlambangan boleh digunakan
untuk mengajarkan kemahiran berfikir analogi kepada pelajar-pelajar.

b) Syair
Guru-guru tidak perlu risau tentang bahan syair. Sudah banyak buku syair yang telah
diterbitkan oleh DBP, antaranya Adun Nan Alun Sebahtera, Rampaian Laila Syair, Syair Asli
Rajang Hari, Syair Nasihat, Syair Perlembagaan Negeri Brunei, Syair Kumala Syukur (syair
remaja), Syair Madah Permata, Syair Rajang, Syair Ristaan, Syair Si Mercu Gunung. Di antara
syair-syair yang kita miliki, Syair Rakis merupakan syair yang cukup berpengaruh. Namun,
remaja-remaja kita pada masa ini tidak mengenali syair ini apatah lagi pernah mendengar bait-
baitnya. Sedangkan, jika diteliti isinya, terlalu banyak nilai dan pengajaran yang perlu
disemaikan kepada pelajar-pelajar (lihat Dr. Haji Hashim, 1995 dan Rozaiman Makmun, 2000).

c) Perambahan
Buku bertajuk Perambahan Brunei kini telah diterbitkan oleh DBP pada tahun 1998. Buku ini
berharga $4.00. Dengan harga sedemikian sudah tentu meringkankan guru-guru untuk
membelinya. Walaupun perambahan sebenarnya peribahasa, namun istilah perambahan lebih
mewakili pandangan hidup masyarakat Brunei, lebih-lebih lagi dari segi pemilihan kata. Selain
mengajarkan maksud perbandingan, kosa kata Melayu Brunei juga boleh diajarkan.

d) Diangdangan / Hikayat
Seperti bangsa Melayu di negara jiran, bangsa Melayu di Brunei juga memiliki hikayat
penglipur lara. Dahulu, hikayat ini disampaikan dengan iringan dombak secara berlagu (A.B.
Ahmad, 1989). Genre ini dikenali sebagai diangdangan dalam kalangan bangsa Melayu Brunei
dan balabai dalam kalangan Melayu Kadayan. Antara sumber yang boleh guru gunakan ialah
Hikayat Awang Kamaruddin, Diangdangan Bujang Sigandam, Awang Si Linong, Si Bujang
Maliwala, Hikayat Awang Si Ambok, Hikayat Awang Si Kanak, Hikayat Dang Suasa, Hikayat
Seri Rama, dan sebagainya. Diangdangan disarati dengan gaya bahasa berirama. Gambaran
kecantikan, pakaian, perkahwinan, ruang istana, ruang beradu, peralatan perang disampaikan
melalui pemilihan kata yang hidup dan pemerian deskriptif yang jelas. Gaya ini boleh dijadikan
asas pengajaran karangan deskriptif kepada pelajar. Dengan cara yang sama pelajar boleh
menggambarkan suasana kampung, aktiviti gotong-royong, keindahan Bandar Seri Begawan
dan sebagainya.

e) Cerita Rakyat
Cerita rakyat yang dibukukan sudah banyak, antaranya Ahmad dan Mohammad, Aman dengan
Kemala Ular, Awang Alak Betatar, Asal Usul Padi, Buaya dengan Alu, Ikan Patin, Kisah Dua
Beradik, Kisah Pulau Labi-Labi, Kisah Si Palui, Malik Sulaiman, Nakhoda Manis, Wasai
Tujuh dan banyak lagi. Cerita rakyat sangat sesuai untuk dijadikan bahan ajar di peringkat
rendah dan menengah bawah.

f) Sastera Sejarah atau Historiografi


Syair Yang Di-Pertuan merupakan karya historiografi Brunei. Karya ini, antaranya,
mencatatkan keberangkatan Sultan Sir Muhammad Jamalul Alam ke Singapura (Rozaiman
Makmun, 2000). Selain itu, Salsilah Raja-Raja Brunei mampu memberikan pengetahuan
tentang perkembangan sejarah dan kekuatan pemerintahan raja-raja Brunei (Siti Hawa Haji
Salleh, 1990) kepada pelajar.

7
g) Sastera Epik
Pelajar tingkatan enam disuguhkan dengan karya agung Hikayat Hang Tuah, sudah tiba
masanya untuk menyuguhkan pelajar menengah bawah dengan Syair Awang Semaun sebagai
epik Melayu Brunei. Keistemewaan Syair Awang Semaun terletak pada bentuk. Jika sastera
epik di seluruh Nusantara menggunakan bentuk prosa, SAS pula wujud dalam bentuk puisi.
Selain itu, watak Awang Semaun tidak hanya terdapat dalam SAS tetapi ada disebutkan dalam
karya luar negara, iaitu Hikayat Datuk Merpati (Haji Abdul Hamid Jaludin, 1998). Jika selama
ini kita hanya disuguhkan Hikayat Hang Tuah sebagai epik bangsa Melayu dan Hikayat Amir
Hamzah sebagai epik Islam, sudah tiba masanya bangsa Melayu Brunei mengenali epiknya,
iaitu Syair Awang Semaun. Selain itu, melalui syair ini, pelajar-pelajar akan mengetahui
peranan wira ini dalam sejarah pemerintahan sultan Brunei pertama, iaitu Awang Alak Betatar
atau Sultan Muhammad.

Kesusasteraan Melayu Moden Brunei

Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan institusi kerajaan yang sudah sinonim dengan usaha
penerbitan karya-karya kesusasteraan. Karya sastera seperti sajak, cerpen dan drama sentiasa
mendapat ruang khusus yang diperuntukkan, antaranya dalam Bahana, Juara dan dalam bentuk
antologi. Karya novel dan drama diterbitkan dalam bentuk buku tunggal. Berikut ini
disenaraikan beberapa buah karya sastera yang boleh dijadikan bahan ajar dalam pengajaran
bahasa.

a) Sajak / Puisi
Untuk peringkat rendah, antologi sajak dan puisi yang boleh digunakan, antaranya ialah Azam
dan Doa, Doa Anak Soleh, Laju Perahu Laju, Merpatiku Sayang, Naindong Anak Pintar dan
Tanahairku. Bagi peringkat menengah pula, antara yang sesuai ialah Bulan Tanpa Madu, Dari
Bintang Ke Bintang, Hasrat Merdeka, Kembara Merdeka, Pelari 3, Rindu Buat Seorang Ibu,
Simfoni Batang Buruk, Suara Di Ambang Senja, dan Tiada Lagi Perjalanan.

b) Cerpen
DBP sudah menerbitkan puluhan antologi cerpen yang boleh digunakan untuk peringkat
rendah, menengah bawah dan menegah atas. Antara antologi yang boleh digunakan ialah
Apabila Sungai Mengalir, Basikal Idaman, Bumi Warisan, Di Hujung Pertemuan, Dunia
Indahku, Harga Kemanusiaan, Jalan Bengkok Ke Rumah, Meniti Arus Badai, Meniti Gugusan
Rasa (pernah dijadikan buku teks kesusasteraan), Periode Awal Brunei Darussalam, Titian, dan
Sawah Warisan.

c) Novel
Novel merupakan karya yang terbanyak diterbitkan oleh DBP. Novel-novel Brunei sudah
begitu maju sehingga berjaya menggunakan pelbagai teknik dan aliran penulisan. Untuk
peringkat rendah, novel Kapal yang Tersorok di Pantai dan Misteri Kapal Buruk boleh
digunakan. Bagi peringkat menengah pula, terdapat banyak pilihan, antara yang sesuai ialah
Kembali Mengabdi, Mencari Sinar Fajar, Meniti Jalur-jalur Impian, Meniti Sebuah Harapan,
Segaya Kita Berjaya, Sebuah Pondok di Bukit Kota, Harapan dan banyak lagi.

d) Drama
Terdapat beberapa buah antalogi drama dan teater yang diterbitkan oleh DBP, antaranya
Dayang Ayang dan Tabung Pecah. Antologi drama untuk remaja pula, Ika, Kiambang Bertaut,
Taman ‘O’ dan Sinar Sepanjang Jalan boleh dimanfaatkan. Manakala bagi peringkat menengah
atas, antologi drama Pengiran Indera Mahkota dan Sasterawan Bangsa sangat sesuai
digunakan.

8
Teknik dan Aktiviti BAHTERA

Teknik digunakan dalam proses pengajaran untuk melicinkan kaedah pengajaran yang telah
dirancang. Teknik merupakan pelaksanaan pengajaran dan pemelajaran yang bersifat praktikal.
Ia bukan berupa andaian (pendekatan) dan tatacara (kaedah). Hal ini bermakna teknik
merupakan pelaksanaan praktis andaian dan tatacara yang telah dirancang. Teknik berkaitan
secara langsung dengan langkah-langkah pengajaran guru dan aktiviti pemelajaran pelajar. Jika
teknik perbincangan digunakan, maka guru akan memilih sama ada teknik itu digunakan dalam
aktiviti perbincangan keseluruhan kelas, perbincangan secara berpasangan atau perbincangan
berkumpulan. Jika teknik main peranan digunakan, guru akan memilih sama ada menggunakan
aktiviti main peranan dalam bentuk lakonan, improvisasi, rekonstruksi, pantomin, atau
simulasi. Berikut ini akan dijelaskan beberapa jenis teknik dan aktiviti sambil mengaitkannya
dengan aspek pengajaran yang tertentu.

a) Teknik dan aktiviti berkaitan pengetahuan bahasa


Bagi mengajarkan jenis ayat bahasa Melayu, bahan sastera seperti petikan dialog dari cerpen,
novel, hikayat dan drama boleh dimanfaatkan. Dalam dialog terdapat penggunaan jenis ayat
penyata, ayat tanya, ayat seru dan ayat perintah. Teknik dialog yang digunakan boleh
dijalankan melalui aktiviti lakonan.
Bagi mengajarkan jenis kata bahasa Melayu atau kosa kata, bahan sastera seperti
pantun, puisi tradisional dan sajak boleh digunakan. Contoh-contoh jenis kata bahasa Melayu
seperti kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata sendi mudah didapati dalam bahan sastera
di atas. Teknik pembedahan atau analisis teks dan medan kata boleh dijalankan melalui aktiviti
perbincangan keseluruhan kelas atau perbincangan berkumpulan. Teknik ini dikenali juga
sebagai teknik sumbang saran yang berasaskan kaedah koperatif.
Bagi mengajarkan penanda wacana atau kata hubung, bahan sastera berbentuk cerpen
boleh digunakan. Dalam cerpen, penanda wacana seperti selepas itu, kemudian, sedang, lalu,
sejak, namun, dan sebagainya itu digunakan oleh pengkarya dengan cara yang menarik, penuh
gaya dan berkesan. Penggunaan penanda wacana dalam cerpen boleh menjadi model yang baik
kepada pelajar. Teknik Model (Teks terpilih) ini boleh diaplikasikan dalam aktiviti mencipta
atau menulis cerpen baik secara individu mahupun berkumpulan.

b) Teknik dan aktiviti berkaitan kemahiran mendengar dan bertutur


Kemahiran mendengar dan bertutur boleh dipertingkatkan melalui teknik mendeklamasi puisi,
teknik bercerita, teknik bersoal-jawab, teknik perbincangan dan sebagainya. Teknik-teknik ini
boleh dijalankan melalui aktiviti mendengar atau menyampaikan cerita, aktiviti mendeklamasi
puisi secara individu, berpasangan atau berkumpulan. Untuk menghidupkan suasana, deklamasi
puisi boleh diiringi dengan latar muzik. Dengan teknik dan aktiviti ini, pelajar-pelajar akan
dilatih tentang aspek sebutan, intonasi, nada, tekanan, penggalan suku kata dan hentian yang
tepat dan sesuai. Bahan sastera yang boleh digunakan antaranya sajak, pantun, petikan dialog
dalam cerpen, drama, novel dan hikayat. Aktiviti menambang syair dan nyanyian juga boleh
dijalankan baik secara individu mahupun menggunakan teknik korus.

c) Teknik dan aktiviti berkaitan kemahiran membaca dan menulis


Kemahiran membaca dan menulis boleh diajarkan melalui pelajaran kefahaman. Guru boleh
menggunakan cerpen, petikan novel atau hikayat. Teknik membaca mekanis dan korus bagi
peringkat rendah boleh digunakan manakala bagi peringkat menengah teknik membaca akliah
boleh dijalankan. Aktiviti perbincangan berpasangan atau berkumpulan boleh dilaksanakan
diikuti aktiviti menjawab soalan kefahaman secara bertulis. Soalan kefahaman yang boleh
diajukan kepada pelajar antaranya yang berkaitan dengan watak dan perwatakan, tindak-tanduk
watak, latar, peristiwa yang berlaku, persoalan yang dikemukakan, tema dan nilai-nilai yang
ingin disampaikan oleh pengkarya. Selain kefahaman, aktiviti menghasilkan cerpen boleh

9
dicuba. Melalui pembacaan dan kefahaman pelajar tentang teknik-teknik penceritaan,
penggunaan gaya bahasa yang menarik, penyusunan peristiwa atau plot, pelajar-pelajar diminta
untuk mengaplikasi pengetahuan tersebut untuk menghasilkan cerpen. Di samping cerpen,
pelajar juga boleh mencuba untuk menghasilkan pantun, syair dan sajak.

d) Teknik dan aktiviti berkaitan kemahiran afektif dan psikomotor


Teknik dan aktiviti yang melibatkan aspek afektif dan psikomotor merupakan kegiatan yang
lebih praktis dan aktif. Antara aktiviti yang sesuai ialah lakonan, pantomin, drama muzikal,
improvisasi dan rekonstruksi peristiwa. Melalui aktiviti ini, pelajar-pelajar berpeluang untuk
melatih gerakan tubuh sesuai dengan tindakan watak serta menjiwai perwatakan watak serta
penggunaan mimik muka, ekspresi bahasa dan nada suara yang sesuai dengan dialog yang
diucapkan.

e) Teknik dan aktiviti berkaitan kemahiran berfikir


Terdapat pula teknik dan aktiviti yang lebih menekankan aspek kemahiran berfikir, antaranya
teknik sumbang saran, teknik analisis kesalahan bahasa, teknik pembedahan teks, teknik
perbincangan, teknik soal jawab, teknik perbahasan, teknik komentar dan sebagainya. Teknik-
teknik ini sebaiknya dilaksanakan melalui aktiviti berkumpulan menggunakan Kaedah
Kolaboratif atau Kaedah Koperatif. Untuk menjalankan aktiviti ini, tugas setiap ahli kumpulan
perlu ditetapkan terlebih dahulu. Arahan yang jelas perlu diberikan, begitu juga dengan objektif
yang ingin dicapai.

Strategi Penggabungjalinan dan Penyerapan

Strategi dalam pengajaran dan pemelajaran diperlukan dengan harapan untuk menghasilkan
kesan yang optimum. Proses pengajaran dan pemelajaran tidak hanya memerlukan penentuan
pendekatan dan kaedah; tidak hanya memerlukan pelaksanaan teknik dan aktiviti; malah juga
kebolehan memanipulasi strategi. Kini, pengajaran dan pemelajaran lebih berpusatkan pelajar;
lebih melibatkan pelbagai kemahiran sekali gus; berlangsung dalam suasana yang lebih
menyeronokkan dan merangsang minat pelajar; lebih memerlukan konteks; dan berupaya
menghubungkan aspek atau isi pelajaran dengan pengalaman dan pengetahuan sedia ada
pelajar. Berdasarkan tuntutan yang tersebut di atas, maka pengajaran dan pemelajaran lebih
sesuai dilaksanakan menggunakan strategi penggabungjalinan dan penyerapan.
Pengajaran dan pemelajaran BAHTERA yang diharapkan mampu menggabungjalinkan
unsur-unsur bahasa dan sastera; mampu menggabungjalinkan kemahiran berbahasa; dan
mampu menggabungjalinkan pelbagai teknik dan aktiviti. Di samping itu, pengajaran dan
pemelajaran BAHTERA juga mampu menyerapkan ilmu dan nilai yang terkandung dalam
karya sastera. Berikut ini disediakan jadual yang menunjukkan penggabungjalinan dan
penyerapan unsur-unsur yang telah dijelaskan di atas.

10
Jadual I: Gabungjalin dan Penyerapan Bahan Sastera

Bahan Unsur Aspek Kemahir- Peringkat Penye Teknik


Sastera Sastera Bahasa an Kognitif rapan dan
Berbahasa Nilai Aktiviti

Sajak Tema Kosa kata Men- Mentafsir Nasional- Mendekla-


Gaya Jenis kata dengar isme masi
Bahasa Frasa Bertutur Akhlak
Perlam- Seman- Membaca Kasih
bangan tik Menulis sayang

Pantun Rima Kosa kata Men- Mentafsir Nasihat Berbalas


Jenis Jenis kata dengar Kasih pantun
Pantun Bertutur sayang Teka-teki
Pemba- Membaca Budi
yang Menulis Kebudaya-
maksud an
Persoalan

Syair Rima Kosa kata Men- Apresiasi Nasihat Bersyair


Persoalan Jenis kata dengar Ketaatan
Bertutur Ketekunan
Membaca Usaha
Menulis Sejarah

Peri- Jenis Seman- Men- Mentafsir Mesra Membina


Bahasa Peribaha- tik dengar alam ayat
sa Bertutur Pandang- Memadan-
Maksud Membaca an hidup kan
Perlam- Menulis Melayu ayat
bangan Memadan-
kan
maksud
Memadan-
kan
gambar
Kuiz
Menulis
karangan

11
Jadual I: Sambungan

Cerpen Tema Karang- Men- Meng- Nasional- Bercerita


Novel Persoalan an dengar aplikasi isme Berbin-
Teknik Tataba- Bertutur teknik Nasihat cang
Watak hasa Membaca penulis- Kasih
dan Semantik Menulis an sayang
perwa- Kohesi Meng- Kekeluar-
takan Koheren analisis gaan

Drama Tema Kosa Men- Meng- Nasihat Berlakon


Persoalan kata dengar hayati Kasih Menghasil
Watak Jenis Bertutur Menilai sayang -kan
dan kata Membaca Meng- Kekeluar- skrip
perwa- Intonasi Menulis kritik gaan pendek
takan Jenis
Dialog ayat
Monolog Binaan
Multilog ayat
Ragam
ayat

Cerita Tema Memo- Men- Apresiasi Sejarah Berbin-


Klasik: Persoalan denkan dengar Kebuda- cang
Hikayat Pengajar- bahasa Bertutur yaan Improvi-
Binatang an Membaca Nasional- sasi
Epik Watak Menulis isme Main
Lagenda dan Kepahla- peranan
Sejarah perwa- wanan Teater
takan Keyakinan
Latar Keazaman
tempat Ketaatan
Latar Jati diri
masya-
rakat
Latar
budaya
Latar
peralat-
an

12
Kesimpulan

Keperluan untuk menyerapkan bahan sastera dalam pengajaran bahasa sangat penting kerana
tidak semua pelajar berkesempatan untuk menikmatinya. Kedudukan subjek Bahasa Melayu
sebagai subjek wajib di peringkat sekolah perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh guru bahasa
untuk menyerapkan bahan sastera. Hal ini sebenarnya telah dituntut pelaksanaannya seperti
yang dimaksudkan dalam objektif Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu. Sikap kurang berminat
terhadap kesusasteraan pada sebilangan guru bahasa perlu diinsafi kerana bahasa kesusasteraan
itu merupakan kemahiran penggunaan bahasa yang tertinggi yang perlu dikuasai, bukan sahaja
oleh pelajar malahan guru bahasa itu sendiri. Di samping itu, nilai-nilai kehidupan bangsa
Melayu yang terkandung dalam kesusasteraan perlu disemai ke dalam jiwa pelajar bagi
menyeimbangi nilai-nilai kemajuan barat yang tidak akan terelakkan. Pelajar-pelajar perlu maju
dalam Sains, Teknologi Komunikasi dan Maklumat, Ekonomi dan seumpamanya, namun,
belahan jiwa kemanusiaan mereka perlu diisi dengan agama dan sastera.

Rujukan dan Bahan Bacaan

Ahmad, A.B. (1989). ‘Diangdangan sastera orang bunian’ dalam Budaya Bangsa. Halaman 33-37.
Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Hamid Mahmood, Ab. Rahman Ab. Rashid (2002). ‘Teknik pengajaran sastera dalam bahasa
Melayu.’ Dalam Jurnal Dewan Bahasa. Jun 2002:12-17. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Mohammad Haji Timbang, A. (1995). ‘Siti Aida’ dalam Bahana. Julai 1995. Bandar Seri Begawan:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ampuan Haji Brahim Ampuan Haji Tengah (1995). Pamor. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Awang Haji Yahya Haji Ibrahim, Yang Dimuliakan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka seri Setia Ustaz
(1998). Menghayati Sastera Islam Abad Ke-21. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Badaruddin H.O. (1998). Episod-episod Si Awang. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dewan Bahasa dan Pustaka, (1993). Pelari 3: Antologi puisi remaja. Bandar Seri Begawan: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Dewan Bahasa dan Pustaka, (1993). Sasterawan Bangsa: Antologi Drama. Bandar Seri Begawan:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Hamid Jaludin, Haji (1998). ‘Perbandingan Syair Awang Semaun dengan Karya-karya dalam dan
luar Negari’ dalam Pangsura, Januari-Jun 1998, Bil. 6 Jil. 4. Bandar Seri Begawan: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Hashim Haji Abdul Hamid, Dr. Haji (1998). ‘Sastera Brunei: Sarana Pembinaan Bangsa’ dalam
Pangsura, Januari-Jun 1998, Bil. 6 Jil. 4. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hashim Bin Haji Abd. Hamid, Dr. Haji (2001). Lanang Beladu Lanang. Bandar Seri Begawan: Jabatan
Kesusasteraan Melayu, Universiti Brunei Darussalam.

Hashim Awang (1998). ‘Teori dan Kritikan Kesusasteraan Melayu Di Malaysia’ dalam Pangsura,
Januari-Jun 1998, Bil. 6 Jil. 4. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

13
Jabatan Perkembangan Kurikulum, (1994a). Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu: Sekolah Menengah
Bawah (Menengah I, II dan III). Bandar Seri Begawan: Jabatan Perkembangan Kurikulum,
Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam.

Jabatan Perkembangan Kurikulum, (1994b). Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu: Sekolah Menengah
Atas (Menengah IV dan V). Bandar Seri Begawan: Jabatan Perkembangan Kurikulum,
Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam.

Jabatan Perkembangan Kurikulum, (2003). Cermin Diri: Antologi Sajak. Bandar Seri Begawan: Jabatan
Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam.

Jabatan Perkembangan Kurikulum, (2006). Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu: Sekolah-sekolah Rendah
(Darjah I hongga VI). Bandar Seri Begawan: Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian
Pendidikan, Negara Brunei Darussalam.

Lutfi Abas (1979). ‘Analisa Wacana Sebuah Cerpen’ dalam Dewan Sastera, Disember 1979. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lutfi Abas (2004). Hujah Dalam Karangan. Bandar Seri Begawan: Universiti Brunei Darussalam.

Mahmudamit (1997). ‘Langit Senja’ dalam Bahana. Disember 1997. Bandar Seri Begawan: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah (2002). ‘Sastera dalam pengajaran bahasa Melayu.’ Dalam Jurnal Deawan Bahasa. Oktober
2002: 34-39. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Othman Puteh, (1993). Penulisan Cerpen: Visi dan Langgam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Puasha (2002). ‘Temarok’ dalam Bahana. November-Disember 2002. Bandar Seri Begawan: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Rahim Dulani, (1987). Hikayat Awang Si Kanak. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rozaiman Makmun (2000). ‘Kesusasteraan Klasik Brunei: Gambaran Masyarakat Brunei Masa Lalu.’
Dalam Pangsura. Julai-Disember 2000: 43-69. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Rozaiman Makmun (2000). Kajian Stilistik dan Tema Novel Sumbangsih Seni Berdasarkan Aliran Seni ,
Latihan Ilmiah di Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Sastera dan Sain Sosial, Universiti
Brunei Darussalam.

Shahnon Ahmad (1981). Kesusasteraan dan Etika Islam. Petaling Jaya: Fajar Bakti.

14

You might also like